Anda di halaman 1dari 13

1

Penulisan esei


1.0 Pengenalan
1.1 Pengurusan Bilik Darjah
Bilik darjah merupakan satu tempat yang paling penting bagi menjalankan
proses pengajaran dan pembelajaran. Secara amnya, murid menghabiskan sebahagian
besar masa di dalam bilik darjah untuk menimba ilmu. Secara rasmi, bilik darjah boleh
ditakrifkan sebagai sebuah bilik di mana sekumpulan murid diajar oleh seorang guru.
Pengurusan bilik darjah merupakan salah satu aspek yang amat penting dalam
mempengaruhi motivasi, tahap penglibatan murid dalam proses pengajaran dan
pembelajaran serta tingkah laku dan sikap murid di dalam bilik darjah. Menurut Haliza
Hamzah dan Joy Nesamalar Samuel (2009), Alberto & Troutman mengatakan bahawa
pengurusan bilik darjah boleh didefinasikan sebagai kemahiran guru menguruskan masa,
ruang, sumber pembelajaran, peranan dan tingkah laku murid dalam menyediakan
suatu iklim yang sesuai untuk pembelajaran. Menurut Haliza Hamzah dan Joy
Nesamalar Samuel (2009), Marzano pula menyatakan tindakan guru dalam bilik darah
mempunyai impak dua kali ganda dalam pencapaian murid berbanding dengan polisi
sekolah berkenaan kurikulum, penilaian kerjasama di antara guru dan masyarakat.
Pengurusan bilik darjah meliputi satu bidang yang sangat luas. Ia juga
merangkumi kebolehan guru merancang, mengelola, menilai, dan membuat refleksi agar
proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan lancar dan berjaya
memajukan murid-murid (Haliza Hamzah dan Joy Nesamalar Samuel, 2009). Pada
masa yang sama, guru juga perlu mengambil kira keperluan murid-muridnya, iaitu
keperluan fisiologi, psikologi dan akademik. Pengetahuan tentang keperluan murid akan
membantu perancangan pengajaran.


Sejauh manakah persekitaran fizikal dan psikososial relevan di dalam konteks
pengurusan bilik darjah abad ke- 21.
2

1.2 Pengurusan bilik darjah abad ke - 21
Pengurusan bilik darjah abad ke -21 adalah satu usaha menjadikan bilik darjah
sebagai suatu tempat yang dapat memenuhi keperluan fizikal dan psikologi murid,
memupuk motivasi intrinsik dalam kalangan murid untuk belajar dan melibatkan diri
mereka secara aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Pada pendapat saya, pengurusan bilik darjah abad ke 21 memberi penekanan
kepada sikap dan profesionalisme seseorang warga pendidik. Menurut Noriati A. Rashid.
et. al (2012), matlamat Falsafah Pendidikan Guru (FPG) adalah menghasilkan warga
pendidik yang berkualiti dari segi professional, peribadi, sosial dan amalan nilai-niali
keguruan, serta berupaya mencapai kecemerlangan pendidikan untuk pengisian
tuntuntan wawasan pendidikan dalam abad ke-21. Untuk ini, sikap pendidik perlu diubah
supaya menjadi lebih profesional selaras dengan tujuan dan dasar Falsafah Pendidikan
Kebangsaan (FPK) dan Falsafah Pendidikan Guru (FPG). Misalnya, guru perlu
meningkatkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran, terutamanya dalam Teknologi
Maklumat dan Komunikasi (TMK) agar dapat bergerak seiring dengan perubahan dan
pengajaran di dalam kelas.
Malaysia merupakan sebuah negara majmuk yang terdiri daripada pelbagai
kaum dan etnik. Dalam konteks pengurusan bilik darjah abad ke-21, guru seharusnya
membuat perancangan yang rapi dalam penyusunan tempat duduk murid. Guru boleh
menempatkan murid-murid yang berlainan kaum dan bangsa dalam satu kumpulan atau
duduk bersama. Ini dapat menerapkan nilai-nilai perpaduan dan saling menghormati
dalam kalangan murid yang berlainan agama.
1.3 Persekitaran fizikal
Merujuk kepada Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying, Sharifah Fakhiah Syed
Ahmad (2009), persekitaran fizikal merujuk kepada prasarana tempat tinggal,
persekitaran rumah, kemudahan dan kelengkapan yang tersedia di sekeliling murid.
Persekitaran fizikal bilik darjah pula merujuk kepada kemudahan dan kelengkapan,
bahan bantu belajar, susun atur meja kerusi, paparan termasuk pengudaraan,
kedudukan bilik darjah dan seumpamanya. Persekitaran fizikal amat mempengaruhi
pembelajaran murid secara langsung. Contohnya, bilik darjah yang terletak berhampiran
3

dengan pejabat atau bilik guru akan memberikan pengaruh yang berbeza berbanding
bilik darjah yang tersorok di sebelah tandas murid.
1.4 Persekitaran psikososial
Psikososial merujuk kepada hubungan antara keperluan emosi individu dengan
persekitaran sosialnya. Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying, Sharifah Fakhiah Syed
Ahmad (2009) menyatakan bahawa persekitaran bilik darjah aspek ini lebih dikenali
sebagai sebagai iklim bilik darjah. Iklim bilik darjah yang sihat mengutamakan hubungan
sesama murid, hubungan guru dengan murid, penerimaan, penghargaan dan rasa
selamat. Guru memainkan peranan yang amat penting dalam menentukan iklim bilik
darjah yang sihat.
2.0 Huraian esei
2.1 Faktor persekitaran dan psikososial relevan dengan pengurusan bilik darjah
abad ke-21
2.1.1 Pengurusan bilik darjah yang berkesan
Secara amnya, faktor persekitaran fizikal merupakan salah satu faktor yang
penting dalam mewujudkan pengurusan bilik darjah yang berkesan. Pengurusan bilik
darjah yang berkesan dapat meningkatkan pembelajaran. Suasana persekitaran yang
kondusif dapat merangsangkan minat dan semangat murid untuk belajar dan melibatkan
diri secara aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Justeru, guru harus
melengkapan diri dengan kemahiran dalam mengurus, melaksana dan mengekalkan
suatu persekitaran pembelajaran yang kondusif.
Menurut Nora Mislan (2007), MacAulay menyatakan bahawa bilik darjah
sebaiknya diatur agar ianya dapat menampung aktiviti-aktiviti yang pelbagai sepanjang
hari bagi memenuhi arahan yang ingin disampaikan oleh guru. Jadi, guru seharusnya
merancang dan membuat susunan kerusi dan meja murid yang bersesuaian dengan
aktiviti yang dijalankan bagi mencapai objektif untuk mewujudkan pengurusan bilik
darjah yang berkesan.

4

Kajian Kounin (1970) terhadap pengurusan bilik darjah menunjukkan terdapatnya
perubahan tumpuan daripada menekankan strategi disiplin kepada strategi pengurusan
bilik darjah secara proaktif atau preventif. Kedua-dua strategi mengambil pendekatan
bersifat mengelakkan sesuatu kejadian yang tidak diingini daripada berlaku dan tidak
semata-mata mengenakan hukuman kepada pelajar. Didapati kebanyakan pengurus
bilik darjah yang berkesan adalah mereka yang mengamalkan strategi preventif.
Susunan fizikal di dalam kelas boleh memberi sumbangan dari segi kawalan,
perhubungan guru dengan murid dan sesama murid di dalam kelas malah mewujudkan
keseronokan bekerja bersama-sama untuk mencapai sesuatu visi. Susunan kerusi meja
yang efektif dapat mewujudkan pengurusan bilik darjah yang berkesan. Susunan meja
kerusi guru hendaklah teratur, sistematik dan fleksibel bergantung kepada aktiviti-aktiviti
yang akan dilaksanakan. Bagi aktiviti perbincangan, guru perlulah menyusun meja dan
kerusi murid mengikut kumpulan seperti dalam bentuk ladam kuda atau bentuk U
supaya memudahkan interaksi antara murid dengan guru. Kumpulan murid ini
hendaklah terdiri daripada golongan murid yang berlainan kaum dan bangsa supaya
relevan dengan konteks pengurusan bilik darjah abad ke 21 untuk memupuk perpaduan
dalam kalangan murid.
Dari aspek ruang trafik kelas pula, susun atur di dalam bilik darjah mestilah
memberikan ruang atau lorong yang mencukupi bagi guru dan murid untuk bergerak di
dalam kelas dengan mudah dan tanpa halangan. Di dalam sesebuah kelas, interaksi
antara guru dengan murid adalah sangat penting. Kewujudan lorong ini membolehkan
guru untuk membuat pemantauan dan pemerhatian terhadap tingkah laku semua murid
dengan mudah dan berkesan. Melalui penggunaan lorong ini, guru dapat mengenali dan
memahami muridnya, mengenal pasti keperluannya serta memberikan bimbangan
kepada mereka dengan serta-merta.
Selain itu, pencahayaan dan pengudaraan juga berperanan penting mewujudkan
suasana bilik darjah yang selesa semasa proses pengajaran dan pembelajaran
dijalankan. Tingkap dan lampu yang mencukupi boleh memberi pencahayaan yang
mencukupi. Murid dapat mGuru haruslah memastikan alat elektrik ini berfungsi dan
melaporkan kepada pihak bertanggungjawab jika terdapat kerosakan. Susun atur
perabot dalam bilik darjah juga hendaklah disusun dengan baik supaya tidak
menghalang tingkap untuk mengelakkan berlakunya halangan pencahayaan dan
5

pengudaraan. Oleh itu, guru hendaklah sentiasa membuka pintu dan tingkap untuk
pengudaraan.
Seterusnya, guru hendaklah menyediakan sudut-sudut khas atau sudut bacaan
di dalam bilik darjah. Contohnya, satu ruang kosong, dimana murid boleh duduk di atas
lantai dan mendengar cerita, membaca atau menjalankan aktivti berkumpulan. Ruang ini
juga boleh digunakan oleh murid-murid pada ketika tertentu, misalnya untuk aktiviti
pemulihan dan pengayaan. Dalam pengurusan bilik darjah yang efektif, guru harus peka
dan prihatin dalam merancang aktiviti pengajaran yang bersesuaian dan selaras dengan
saiz bilik darjah agar murid dapat belajar dalam keadaan yang selesa dan kondusif.
Ruang dan saiz bilik yang mencukupi akan memberi keselesaan kepada murid-murid
untuk menjalankan pelbagai aktiviti kumpulan atau permainan.
Di samping itu, bilik darjah pada abad ke 21 ini mesti mempunyai kelengkapan
dan kemudahan prsarana ICT yang lengkap dan canggih. Misalnya penggunaan
projector, LCD, interaktif board, makmal komputer dan sebagainya dalam usaha untuk
menwujudkan pengurusan bilik darjah yang berkesan. Penggunaan teknologi pada hari
ini dalam bidang pendidikan telah menjadikan proses penyampaian maklumat kepada
murid menjadi lebih mudah, pantas, dan berkesan.
Guru pada hari ini tidak perlu menggunakan papan tulis dan kapur, malah guru
hanya perlu menyediakan persembahan slaid power point dengan pelbagai animasi,
bentuk dan warna. Contohnya, semasa guru subjek Sains mengajar tentang topik yang
lebih abstrak dan kompleks. Maka, guru boleh menayangkan video yang berkaitan
supaya murid dapat mendapat satu gambaran yang jelas tentang apa yang diajar.
Tayangan video yang menarik ini akan dapat menarik minat perhatian untuk belajar dan
dapat mewujudkan pengurusan bilik darjah yang berkesan memandangkan murid akan
memberi perhatian di dalam kelas.
Dari aspek persekitaran psikososial, kemahiran pedagogi guru memainkan
peranan penting dalam mewujudkan pengurusan bilik darjah yang berkesan. Dalam
meniti abad ke 21, kemahiran pedagogi menuntut seseorang guru memiliki kemahiran
kemahiran abad ke-21 seperti kemahiran menguasai kandungan kurikulum, memiliki
kemahiran kaunseling dan kemahiran menggunakan teknologi terkini. Banyak perkara
6

yang perlu ditimbangkan oleh seseorang guru khususnya guru kelas kerana biasanya
mempunyai murid-murid yang pelbagai kebolehan dan pontensi dalam sesebuah kelas.
Guru harus peka dan sensitif kepada perbezaan individu di dalam sesebuah
kelas. Semasa menjalankan aktiviti, guru perlu mengambil kira keperluan murid,
perkembangan kognitif dan juga gaya pembelajaran murid yang berbeza. Secara amnya,
guru berperanan penting dalam membantu kanak-kanak menyerlahkan potensi yang
terpendam dalam diri mereka. Dalam pengurusan sesebuah bilik darjah, guru boleh
menggunakan strategi berpusatkan murid untuk menggalakkan penglibatan murid dalam
proses pengajaran dan pembelajaran.
Justeru, guru perlu menyediakan pelbagai aktiviti kognitif yang dapat mengilap
potensi intelek murid. Contohnya, bagi murid yang lemah, guru boleh menyediakan
aktiviti pemulihan bagi mereka. Selain itu, guru juga perlu menghargai setiap komitmen
yang diberikan oleh murid dan elakkan daripada membesarkan kelemahan murid-murid.
Maka, perbuatan ini dapat merangsang murid-murid untuk terus belajar dan berusaha
dan membentuk suatu persekitaran dan pengurusan bilik darjah yang berkesan.
Dalam era globalisasi, penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK)
atau dikenali sebagai ICT menjadi semakin memuncak terutama dalam sistem
pendidikan. Kepentingan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kepada negara,
masyarakat dan para murid dalam konteks penjanaan ilmu memang tidak dapat
dipertikaikan lagi. Jadi, pada abad ke 21, guru perlu mengambil inisiatif untuk
menyesuaikan dan memperlengkapkan diri dengan kemahiran dan pengetahuan
kemahiran terkini dan ICT supaya dapat membentuk suatu persekitaran dan pengurusan
bilik darjah yang berkesan.
2.1.2 Tingkah laku bermasalah di dalam kelas dapat dikurangkan
Tingkah laku bermasalah merujuk kepada perlakuan yang tidak mengikut norma-
norma yang diterima oleh masyarakat. Misalnya bercakap atau bersiul ketika guru
sedang bercakap. Tingkah laku bermasalah di dalam bilik darjah ini akan menjejaskan
proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Dalam usaha untuk
mengurangkan fenomena tingkah laku bermasalah murid di dalam kelas, guru boleh
memberi penenkanan kepada susunan tempat duduk murid. Ini juga dapat memberi
peluang kepada guru untuk berinteraksi dengan murid-murid berkenaan.
7

Di dalam kelas, guru boleh menempatkan murid yang bermasalah ini di depan
atau berhampiran dengan mejanya supaya dapat memantau murid berkenaan. Selain itu,
guru juga boleh menempatkan murid yang bermasalah tersebut di sebelah murid yang
berdislipin dan berkelakuan baik. Murid yang berdislipin tersebut boleh menjadi rol
model kepada murid yang bermasalah dan ini akan dapat mencapai matlamat
perubahan tingkah laku murid bermasalah tersebut ke arah yang positif. Secara amnya,
rakan sebaya dapat mempengaruhi atau membendung tingkah laku dengan lebih
berkesan dibandingkan dengan guru sendiri. Oleh itu, ini menunjukkan bahawa susunan
tempat duduk yang sistematik dapat mengurangkan masalah tingkah laku murid di
dalam kelas.
Bukan itu sahaja, guru seharusnya menyusun tempat duduk murid mengikut
ketinggian murid supaya mereka dapat melihat apa yang diajar oleh guru dengan selesa.
Sekiranya murid yang bersaiz kecil dan rendah duduk di belakang, maka pemandangan
mereka akan terhalang dan kadangkala menyebabkan mereka terpaksa mengalih kerusi
atau berdiri. Susunan tempat duduk yang tidak sistematik akan menyebabkan fokus
murid terhadap proses pengajaran dan pembelajaran. Serterusnya, mereka akan mula
bersembang dan ini akan menjejaskan murid-murid lain.
Di dalam bilik darjah, guru juga seharusnya bijak dalam menggunakan ruang
yang ada pada dinding. Guru boleh mewujudkan satu papan kenyataan di dalam ruang
tersebut. Contohnya, guru boleh menyediakan jadual waktu kelas, jadual waktu bertugas,
dan peraturan bilik darjah. Saiz tulisan dan huruf mestilah jelas dan besar agar dapat
dibaca oleh murid yang duduk di belakang bilik darjah. Peraturan dan rutin seharusnya
ditampal pada tempat yang dapat dilihat oleh semua murid supaya ia dapat dijadikan
garis panduan kepada semua murid.

Bukan itu sahaja, bilik darjah yang teratur, kemas dan bersih akan dapat
memberikan gambaran keselesaan kepada murid dan menimbulkan rasa hendak
berada di dalam bilik tersebut. guru perlu memastikan kelas mempunyai tong sampah,
penyapu, pemadam papan hitam dan sebagainya. Guru perlu sentiasa memantau
kebersihan kelas sebelum dan selepas pengajaran. Keadaan ini akan memberikan
kesan kepada kemampuan guru menguruskan kelasnya dengan baik. Kepentingan
kebersihan mesti sentiasa ditegaskan oleh guru agar menjadi sebahagian daripada
8

kebiasaan dan ikutan murid dalam melahirkan murid yang mempunyai tingkah laku yang
positif.
Dari segi psikososial pula, sikap dan kemahiran guru dalam menyelesaikan
masalah akan mempengaruhi suasana di dalam bilik darjah. Dalam abad ke-21,
kebanyakkan ibu bapa kurang mendapat perhatian dan kasih sayang di rumah akan
cuba mendapatkan perhatian daripada guru dan rakan sebaya. Cara yang biasanya
digunakan oleh mereka untuk menarik perhatian adalah menimbulkan masalah dislipin.
Dalam mengendalikan kes ini, guru pada abad ke-21 seharusnya
memperlengkapkan diri dengan kemahiran kaunseling. Guru perlu memberikan
bimbingan dan maklum balas yang berkesan kepada murid. Rasa kasih sayang boleh
dipupuk dalam persekitaran bilik darjah yang demokratik. Guru seharusnya bersikap
prihatin dan mengambil berat terhadap mereka, di samping bersikap positif terhadap
semua pelajar terutamanya terhadap pelajar yang bermasalah. Golongan ini perlu diberi
lebih perhatian, dan bukannya disisihkan atau tidak dipedulikan. Tunjukkan kepada
mereka bahawa sikap mereka yang tidak digemari, bukannya diri mereka. Biasanya
apabila mereka sedar bahawa guru mengambil berat terhadap mereka, mereka akan
Iebih bersifat terbuka, mudah berkongsi masalah dan sedia mengubah perlakuan
mereka yang negatif.

2.2 Faktor persekitaran dan psikososial kurang relevan dengan pengurusan bilik
darjah abad ke-21
2.2.1 Kedudukan sekolah yang berada di tempat pendalaman dan kekurangan
kemudahan prasarana
Faktor persekitran fizikal banyak menyumbang dalam pengurusan bilik darjah
yang berkesan. Namun, pada masa yang sama, kita harus mengambil kira aspek
sekolah yang terletak di pendalaman terutamanya di Sabah dan Sarawak masih
ketinggalan dalam pelbagai aspek. Antaranya ialah dari segi pemodenan
(pembangunan), kemudahan teknologi komunikasi maklumat (ICT) dan sebagainya. Ini
disebabkan oleh faktor geografi, di mana kawasan sekolah ini terletak di kawasan yang
terpencil dan tercicir, menyukarkan perhubungan atau komunikasi untuk berlaku,
9

seterusnya menyukarkan untuk kemudahan infrastruktur disalurkan. Ini akan
meninggalkan impak yang negatif kepada para pelajar dari segi proses pembelajaran.
Terdapat segelintir sekolah di di pendalaman Sabah dan Sarawak yang tidak
mempunyai kemudahan prasarana yang asas seperti bekalan air dan elektrik. Ini
menyukarkan proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan pada waktu petang dan
waktu malam kerana tiada bekalan elektrik di sekolah tersebut. Keadaan suram dan
tidak terang di dalam bilik darjah akan menyebabkan murid berasa mengantuk, tidak
selesa dan keletihan.
Pada hakikatnya, kami perlu menyedari bukan semua sekolah di Malaysia yang
mempunyai sumber kewangan yang mencukupi bagi menampung kos untuk membeli
kelengkapan asas seperti meja dan kerusi, bahkan mahu membeli kemudahan ICT yang
berkos tinggi seperti komputer, projektor, dan LCD terutamanya sekolah di luar bandar
atau di pendalaman. Bagi kebanyakkan sekolah yang berada di pendalaman, murid
mungkin akan menghadapi masalah kesukaran untuk memperoleh dan mendapatkan
maklumat tambahan melalui akses internet memandangkan tidak ada kelengkapan ICT
di segelintir sekolah. Jadi, murid di sekolah tersebut hanya bergantung kepada buku
rujukan atau buku teks sahaja. Justeru, ini menunjukkan bahawa faktor persekitaran
fizikal adalah relevan dengan pengurusan bilik darjah abad 21, namun hanya dengan
syarat-syarat tertentu seperti sumber kewangan.
2.2.2 Sistem pendidikan di Malaysia yang berorientasikan sistem peperiksaan
menyebabkan persekitaran psikososial diabaikan.
Kurikulun dan sistem sekolah di Malaysia yang berorientsikan sistem
peperiksaan kurang relevan dengan pengurusan bilik darjah pada abad ke-21. Murid
seolah-olah dibentuk melalui mesin (kurikulum). Kaedah pembelajaran ini menjadikan
pelajar sebagai produk yang dibentuk dan pembelajaran akan berlaku secara terpaksa.
Maka, ia tidak akan membantu pelajar dalam membentuk keyakinan diri.
Kelemahan lain yang turut dinyatakan ialah penekanan pembelajaran yang lebih
tertumpu kepada buku sebagai bahan rujukan kedua selepas guru. Murid akan
menumpukan kepada konsep-konsep yang dipelajari dan terhad untuk mengatasi
masalah tertentu sahaja. Kaedah ini menjadikan pembelajaran tidak disepadukan
dengan dunia luar dan tidak mempedulikan isu-isu semasa. Dengan ini, guru hanya
10

perlu menghabiskan semua masa untuk mengajar sukatan pelajaran yang bertujuan
untuk melahirkan murid yang cemerlang dalam peperiksaan semata-mata.
Menurut kajian, di Malaysia, guru-guru hanya mengajar kandungan yang
ditetapkan oleh sukatan pelajaran walaupun kandungan yang dinyatakan bertujuan
untuk mencapai kecekapan minimum. Malah, sesetengah guru mungkin memilih untuk
mengorbankan beberapa kandungan atau topik-topik di mana mereka merasakan terlalu
sukar untuk murid mereka dan mereka hanya memberi tumpuan kepada topik yang
terhad untuk memastikan pelajar-pelajar mereka boleh menguasai topik-topik ini dan
seterusnya lulus dalam peperiksaan.
Jika murid didedahkan dengan kemahiran dan strategi penyelesaian masalah
selain yang terdapat dalam sukatan mata pelajaran yang ditetapkan, mereka akan lebih
cemerlang tanpa perlu memberi penekanan terhadap bentuk soalan peperiksaan dan
latih tubi. Penilaian pada asalnya mempunyai kepentingan dalam meningkatkan mutu
pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Namun begitu, pada masa kini peperiksaan
telah menjadi ukuran kebijaksanaan dan kejayaan negara melahirkan pelapis generasi
masa depan lebih berwibawa.
Sistem pendidikan yang berorientasikan perperiksaan ini menyebabkan guru
kurang memberi perhatian terhadap keperluan murid. Teori Hierarki Keperluan Maslow
menekankan komponen keperluan asas seseorang individu yang perlu dipenuhi terlebih
dahulu iaitu keperluan fisiologi, keperluan keselamatan dan keperluan kasih sayang
sebelum memenuhi komponen keperluan yang lebih tinggi iaitu penghargaan kendiri
dan kesempurnaan kendiri. Seseorang individu akan mempunyai konsep kendiri yang
positif jika individu tersebut telah mencapai kesempurnaan kendiri. Keperluan asas perlu
dipenuhi terlebih dahulu sebelum mencapai tahap kesempurnaan kendiri.
Cara mengatasi masalah ialah seseorang guru itu perlu prihatin dan peka
terhadap setiap murid. Guru seharusnya bersikap peramah dan sentiasa bersedia untuk
mendengar masalah yang dihadapi oleh murid. Contohya, di dalam kelas, guru boleh
memberi tumpuan yang lebih kepada murid yang lemah dan bermasalah. Guru boleh
sentiasa memberi motivasi dan memberi peneguhan positif kepada golongan murid ini
supaya mereka dapat berasa dirinya dihargai dan diterima sebagai sebahagian daripada
kelas.
11

3.0 Rumusan
Sebagai kesimpulannya, saya dapat merumuskan bahawa persekitaran fizikal
dan psikososial adalah relevan di dalam pengurusan bilik darjah abad ke- 21 namun
hanya dengan syarat-syarat yang tertentu. Maka, warga guru haruslah memanfaatkan
kepakaran dan ilmu masing-masing untuk membina modal insan dalam pelbagai disiplin
dan dimensi demi memenuhi tuntutan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang
menjadi tunjang kepada sistem pendidikan di negara kita selama ini.
Oleh yang demikian, guru berperanan penting dalam memenuhi semua
keperluan tersebut supaya dapat melahirkan murid yang selaras dengan perubahan
pada abad ke-21. Dengan memenuhi faktor persekitaran dan psikososial, maka ini dapat
mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang bermatlamat untuk
melahirkan modal insan yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia,
bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi
sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.











12

Rujukan
Bryan Coombs (1995). Mengajar secara efektif. Kuala Lumpur. Institut Terjemahan
Negara Malaysia Berhad.
Haliza Hamzah, Joy Nesamalar Samuel (2009). Pengurusan Bilik Darjah dan
Tingkah Laku. Selangor. Oxford Fajar Sdn. Bhd
Mok Soon Sang (2009). Falsafah Pendidikan, Kurikulum dan Profesionalisme
Keguruan. Selangor. Penerbitan Multimedia Sdn.Bhd
Nora Mislan (2007). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah laku. Selangor. Open
University Malaysia (OUM)
Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying, Sharifah Fakhiah Syed Ahmad (2009). Murid
dan Alam Belajar. Selangor. Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Noriati A. Rashid, Lee Keok Cheong, Zulkufli Mahayudin, Zakiah Noordin (2012).
Falsafah Dan Pendidikan di Malaysia. Selangor. Oxford Fajar Sdn.Bhd.
Pengurusan Bilik Darjah Dinamik. Dicapai pada 17 Febuari 2014. Daripada
http://kelasmayacikguadibah.blogspot.com/p/normal-0-false-false-false-en-us-x-
none.html







13



LAMPIRAN