Anda di halaman 1dari 6

Aplikasi Teori Behavioris

Teori Behaviorisme merupakan salah satu daripada beberapa teori pembelajaran yang
sering diaplikasikan oleh guru dalam menjayakan strategi pembelajaran yang
dirancang. Menurut Siti Hajar Abdul Aziz 2009, teori Behavioris diasaskan oleh John
Broadus Watson (J.B Watson) yang terkenal dengan teori Little Albert. Little Albert
merupakan sebuah eksperimen berkaitan dengan tingkah laku seorang kanak-kanak
bernama Albert B. terhadap seekor tikus putih. Beberapa tokoh lain yang terkenal
dengan fahaman teori Behavioris ini ialah Ivan Petrovich Pavlov dan Edward Lee
Thordike. Hasil penelitian terhadap teori ini telah banyak diaplikasikan dalam proses
pengajaran dan pembelajaran guru.
Aplikasi Teori Ivan Pavlov dalam pembelajaran dan pengajaran matematik
Merujuk kepada Teori Ivan Petrovich Pavlov, pembelajaran merupakan akibat daripada
rangsangan yang telah diterima oleh seseorang. Seorang guru perlu sedar bahawa
rangsangan dan gerak balas mempunyai perkaitan yang dapat dikukuhkan melalui
latihan. Contohnya, guru memberi pujian (rangsangan) apabila murid menunjukkan
sesuatu hasil kerja yang baik (gerak balas). Gerak balas tadi akan berterusan apabila
semakin kerap guru memberikan rangsangan terhadap tingkah laku tersebut. Hasilnya,
gerak balas akan berterusan ditunjukkan walaupun rangsangan tidak lagi diberikan.
Oleh itu, guru perlulah sedar akan keperluan memberikan rangsangan positif kepada
murid-murid bagi menggalakkan gerak balas psitif ditunjukkan secara berterusan.
Selain memberikan pujian, guru juga boleh memberikan motivasi lain seperti hadiah
atau ganjaran sekiranya murid menunjukkan gerak balas yang dikehendaki. Langkah ini
akan meningkatkan keinginan murid untuk menunjukkan gerak balas terbaik dan
sekaligus menarik minat mereka terhadap proses pembelajaran.
Guru juga boleh meningkatkan motivasi murid dengan menyediakan suasana
pembelajaran yang kondusif dengan mengampil kira aspek-aspek kawalan kelas yang
baik, kemudahan pembelajaran dan juga melibatkan murid-murid dalam kepelbagaian
aktiviti pembelajaran yang diadakan seperti perbincangan, kerja berkumpulan dan juga
aktiviti projek. Hal ini kerana menurut Ivan Pavlov, pembelajaran berlaku melalui latihan,
kebiasaan dan pengalaman yang dialami sendiri oleh murid. Contohnya, guru memberi
peluang kepada murid untuk membina sendiri bentuk 3D dan bentuk 2D bagi
mengukuhkan konsep kefahaman terhadap ciri-ciri bentuk 3D dan bentuk 2D. Murid
melihat dan mengalami sendiri proses pembelajaran ketika mengenal ciri-ciri sisi, bucu,
permukaan bentuk dan juga bentangan-bentangan bentuk 3D.
Selain itu, generalisasi juga boleh berlaku dalam proses pembelajaran iaitu murid dapat
melakukan tingkah laku yang sama dalam situasi yang berlainan. Contohnya, murid-
murid telah belajar konsep penukaran unit wang dalam RM kepada sen di dalam kelas,
generalisasi berlaku apabila murid dapat mengaplikasikan konsep penukaran unit wang
ketika berurusan jual beli di kedai.
Selain daripada generalisasi, penghapusan juga boleh berlaku apabila peneguhan tidak
diberikan secara berterusan. Penghapusan berlaku apabila guru berhenti memberikan
ganjaran atau motivasi dan akibatnya murid akan berhenti memberikan gerak balas
yang dikehendaki. Penghapusan dapat dielakkan daripada berlaku dengan tindakan
pemulihan. Pemulihan semerta ini dapat membantu guru meningkatkan semula
motivasi dan minat murid terhadap pembelajaran dan sekaligus menunjukkan gerak
balas positif yang dihendaki.
Aplikasi Teori J.B Watson Dalam Pembelajaran Dan Pengajaran Matematik
Menurut J.B Watson pula, tingkah laku merupakan refleks terlazim yang dipelajari
melalui proses pelaziman klasik yang diperkenalkan oleh Ivan Pavlov. Dalam teori
behavioris ini, Watson telah memperkenalkan dua prinsip baru iaitu prinsip kekerapan
dan prinsip kebaruan.
Prinsip kekerapan mengatakan bahawa semakin kerap seseorang individu
menunjukkan gerak balas terhadap sesuatu rangsangan, semakin tinggi kemungkinan
individu tersebut memberikan gerak balas yang sama terhadap rangsangan yang sama.
Sebagai contoh dalam aplikasi pembelajaran dan pengajaran Matematik, semakin
kerap murid mengulangkaji kandungan topik yang diajar guru, semakin mudah murid
menjawab soalan yang diberikan oleh guru. Ini kerana murid telah memahami konsep
pelajaran yang diuji oleh guru daripada ulangkaji yang telah dilakukan.
Prinsip kebaruan pula menyatakan bahawa semakin baru gerak balas ditunjukkan
terhadap sesuatu rangsangan, semakin tinggi kemungkinan gerak balas yang sama
untuk diulang semula terhadap rangsangan tersebut. Prinsip ini amat sesuai
diaplikasikan dengan konsep ulangkaji pelajaran sebelum menghadapi peperiksaan.
Sekiranya murid sentiasa mengulangkaji topik-topik yang telah diajar oleh guru,
kemungkinan untuk murid lupa terhadap konsep yang telah diajar semakin
berkurangan. Contohnya dalam subjek Matematik bagi topik luas, jika murid sering
mengulangkaji dan melakukan latihan bagi topik luas, kemungkinan untuk murid lupa
terhadap rumus mengira luas adalah kurang kerana murid selalu mengaplikasikan
rumus luas ketika melakukan ulangkaji dan latihan. Oleh itu, guru perlulah sentiasa
memberikan motivasi dan rangsangan kepada murid bagi meningkatkan keinginan
mereka untuk mengulangkaji dan melakukan latihan bagi topik-topik yang telah
dipelajari.
Menurut tokoh behavioris, rangsangan yang baik dapat meningkatkan minat murid
terhadap sesuatu perkara. Guru boleh mengambil hujah ini untuk diaplikasikan dalam
pembelajaran dan pengajaran Matematik. Seorang guru haruslah bersikap dinamik
dengan mempelbagaikan alat bantu mengajar dan aktiviti pembelajaran bagi
meningkatkan minat murid untuk melibatkan diri dalam proses pembelajaran. Murid
yang termotivasi dengan seorang guru akan sentiasa ternanti-nantikan kemunculan
guru tersebut dan teruja dengan aktiviti yang akan dilakukan dalam proses belajar.
Terdapat banyak strategi pembelajaran yang boleh diaplikasikan dan guru haruslah
bijak mengatur strategi dengan mengambil kira juga kepelbagaian individu murid. Guru
haruslah sedar bahawa semakin kerap rangsangan baik diberikan, semakin tinggi
kemungkinan gerak balas positif ditunjukkan oleh murid-murid.
Aplikasi Teori Edward Lee Thorndike Dalam Pembelajaran Dan Pengajaran
Matematik
Tokoh behavioris Edward Lee Thordike mengatakan bahawa pembelajaran merupakan
satu proses cuba-ralat atau cuba-jaya (trial and error) ataupun proses memilih dan
menghubungkait (selecting and connecting). Menurut beliau, gerak balas yang
ditunjukkan pada peringkat permulaan rangsangan diberi dapat dikurangkan menerusi
latihan yang dilakukan berulang kali. Ini seterusnya akan memperkukuhkan hubungan
antara rangsangan dan gerak balas yang ditunjukkan.
Thorndike memberi penekanan terhadap tiga hukum yang diperkenalkannya iaitu
Hukum Kesediaan, Hukum Latihan dan juga Hukum Kesan. Beliar amat menyarankan
agar ketiga-tiga hukum tersebut diaplikasikan dalam mengawal pembelajaran manusia
agar pembelajaran akan menjadi mudah dan berkesan.
Hukum Kesediaan merupakan hukum yang paling penting dan paling asas sebelum
seseorang murid memulakan pembelajaran. Seorang murid perlulah mempersiapkan
diri dari pelbagai aspek mencakupi aspek mental, fizikal, emosi, sosial dan psikomotor.
Sebagai seorang guru, kita haruslah sentiasa memastikan murid-murid sudah bersedia
dari aspek-aspek ini sebelum memulakan sesuatu pelajaran.
Sebagai contoh, guru boleh bertanyakan kesihatan murid terlebih dahulu untuk
mendapat input kesihatan dan seterusnya melakukan beberapa aktiviti ringkas bagi
memastikan murid-murid benar-benar bersedia sebelum proses pembelajaran
dimulakan. Selain itu, guru juga boleh memperuntukkan sedikit masa untuk
membolehkan murid-murid mempersiapkan diri mereka terutama jika subjek Matematik
diadakan selepas subjek yang melibatkan aktiviti fizikal seperti Pendidikan Jasmani.
Murid-murid lazimnya akan berasa penat dan jika murid belum bersedia sepenuhnya
untuk memulakan proses pembelajaran, penglibatan murid dalam aktiviti pembelajaran
tidak mencapai tahap maksima dan objektif pelajaran sukar untuk dicapai. Oleh itu,
guru perlulah bijak untuk menyediakan motivasi-motivasi positif untuk meningkatkan
semangat murid agar bersedia sepenuhnya sebelum pembelajaran dimulakan. Proses
pembelajaran akan berjalan dengan lancar dan seronok jika murid sudah memenuhi
Hukum Kesediaan ini dan objektif pembelajaran dapat dicapai dengan berkesan.
Selepas Hukum Kesediaan, Hukum Latihan pula menyatakan pendapat Thorndike yang
mengatakan bahawa hubungan antara rangsangan dan gerak balas akan menjadi
semakin kukuh apabila latihan kerap diberikan. Ini bermaksud, semakin banyak latihan
yang diberi, semakin kuat ikatan antara rangsangan dan gerak balas yang ditunjukkan.
Sebagai contoh dalam aplikasi pembelajaran dan pengajara Matematik, jika seorang
murid kerap diberikan latihan Matematik, kemahiran murid dalam menyelesaikan
masalah Matematik semakin meningkat dan semakin kerap diulang, murid menjadi
semakin mahir dan dapat menyelesaikan masalah Matematik dengan cepat dan betul.
Hukum Latihan ini juga dapat mengukuhkan konsep, meningkatkan kemahiran dan
membantu ingatan murid-murid terhadap kandungan pelajaran yang dipelajari. Dengan
itu, sebagai seorang guru perlulah mengambil insiatif melakukan banyak latih tubi, kuiz
dan aktiviti menyeronokkan yang mengaplikasikan konsep Hukum Latihan bagi
membantu murid-murid mengukuhkan dan meningkatkan keberkesanan pembelajaran
mereka.
Selain daripada kedua-dua hukum di atas, terdapat satu lagi hukum yang diperkenalkan
oleh Thorndike iaitu Hukum Kesan. Hukum Kesan pula menyatakan bahawa hubungan
antara rangsangan dan gerak balas akan menjadi semakin kukuh jika ada kesan yang
menyeronokkan manakala kesan yang tidak menyeronokkan akan melemahkan
hubungan antara rangsangan dan gerak balas. Sebagai contoh, jika murid mendapati
bahawa mengulangkaji dan melakukan latih tubi Matematik dapat membantu mereka
menjawab soalan Matematik, mereka akan menjadi lebih termotivasi untuk meneruskan
tingkah laku tersebut. Perkara sebaliknya berlaku apabila mereka mendapati bahawa
mengulangkaji dan latih tubi Matematik tidak membantu sama sekali dalam
memahirkan mereka menjawab soalan Matematik.
Selain itu, Hukum Kesan juga dapat dikaitkan dengan konsep ganjaran dan denda.
Apabila guru memberikan ganjaran seperti hadiah, pujian dan kata-kata positif terhadap
gerak balas yang diberikan, kemungkinan untuk gerak balas itu terus ditunjukkan
semakin tinggi dan jika guru memberikan denda, gerak balas itu akan dihapuskan.
Sebagai seorang guru haruslah bersikap adil dalam memberikan peluang yang sama
rata kepada semua murid untuk belajar agar murid-murid termotivasi untuk terlibat
dalam proses pembelajaran. Guru juga perlu bertimbang rasa dalam memberikan
tugasan kepada murid-murid dengan mengambil kira kemampuan semua murid-murid
untuk melaksanakan tugasan tersebut. Guru juga tidak boleh memandang rendah
terhadap kebolehan murid sebaliknya harus sentiasa memberikan sokongan kepada
murid-murid agar mereka menjadi lebih bersemangat untuk meningkatkan potensi diri
masing-masing bagi mencapai kejayaan yang mereka inginkan. Sebagai contoh,
kebanyakan murid di sekolah sering berputus asa untuk mempelajari subjek Matematik
kerana menganggap Matematik sebagai sebuah subjek yang sukar untuk difahami.
Oleh itu, guru perlulah sentiasa memberi dorongan dan galakan kepada murid-murid
untuk memahirkan diri dalam subjek Matematik dan menunjukkan kepada murid-murid
akan keunikan dan keseronokan mempelajari Matematik. Guru boleh mengaitkan
Matematik dalam kehidupan seharian murid-murid agar mereka dapat melihat dengan
jelas kaitan Matematik dalam aplikasi kehidupan seharian.
Kesimpulannya, teori behavioris dapat diaplikasikan dalam pembelajaran dan
pengajaran Matematik dan terpulanglah kepada guru tersebut untuk menggunakan
kemahiran yang ada bagi menjadikan proses pembelajaran dan pengajaran menarik,
seronok dan berkesan. Ketiga-tiga tokoh Behavioris telah menekankan akan
kepentingan persekitaran dalam proses pembelajaran dimana pembelajaran berlaku
apabila wujudnya hubungan kuat antara rangsangan dan gerak balas. Adalah menjadi
tugas guru untuk mewujudkan persekitaran kondusif dimana rangsangan dan gerak
balas dapat dikukuhkan bagi meningkatkan motivasi murid untuk belajar dengan
berkesan sekaligus membantu perkembangan murid dari aspek jasmani, emosi, rohani,
intelek dan sosial.

Anda mungkin juga menyukai