Anda di halaman 1dari 3

Assalamu'alaikum.W.B.

T

Yang dihormti ___________________, Nama ______________________, yang
hormati _______ selaku pengacara majlis, yang kami hormati
___________________, panel hakim yang bijaksana lagi arif, penjaga masa
yang setia dengan jam randiknya, guru-guru seterusnya hadirin hadirat yang
berbahagia sekalian.
Selamat datang saya ucapkan kepada seluruh warga dewan yang
hadir disini. Tajuk pidato saya pada hari ni tidak lain dan tidak bukan adalah
berkaitan Memupuk Amalan Nilai Murni. Ya, tajuk yang tidak asing bagi kita
semua bukan. Sebelum saya mulakan molek kalau kita mengenal takrif nilai
murni itu sendiri.
Nilai murni boleh ditakrifkan sebagai amalan yang baik dalam
kehidupan, umpamanya hormat-menghormati, tolong-menolong, prihatin,
bersimpati, berperikemanusian dan lain-lain lagi. Namun, pada era dunia
tanpa sempadan ini, amalan murni ini semakin lenyap ditelan zaman.
Persoalan yang menjadi percaturan minda adalah apakah
prakarsa istiqamah yang boleh dijana untuk menjamin amalan suci in terus
diamalkan?
Obligasi untuk memupuk nilai-nilai murni ini tidak harus dipandang
enteng oleh setiap ibu bapa dan haruslah dijulang sampai ke langit. Ibu
bapa harus mendidik amalan ini sejak anak-anak merah tapak kaki lagi, bak
kata pepatah, melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Hal ini kerana
secara analoginya, kanak-kanak diibaratkan kain putih dan ibu bapa
merupakan warna yang akan mencorakkan kehidupan anak-anak mereka.
Misalnya, ibu bapa harus menerapkan ajaran agama yang mantap
dalam atma anak-anak dengan membawa mereka untuk mendekati Tuhan
seperti dengan bersembahyang dan mengikut anutan agama masing-
masing. Selain itu, mereka haruslah mengajar anak-anak untuk
menghormati orang tua dan menyayangi haiwan. Mereka mestilah
memberi amaran kepada kanak-kanak supaya tidak bersikap biadab
terhadap sesiapa sahaja apatah lagi ahli keluarga sendiri. Malah, mereka
harus mendidik kanak-kanak tentang cara bercakap dengan orang tua dan
tingkah laku semasa berada di rumah orang. Apabila selalu terdedah
kepada pengajaran sedemikian, kanak-kanak boleh membezakan antara
intan dengan kaca dan antara batu dengan permata. Dalam konteks ini,
ibu bapa juga haruslah menjadi teladan yang terbaik kepada anak-anak
dengan bersikap sopan santun kerana pepatah Melayu ada mengatakan
bahawa bapa borek anak rintik. Ikhtisarnya, ibu bapa perlu berpegang
kepada prinsip jika menebang menuju pangkal, jika melanting menuju
tangkai dalam mendidik anak-anak agar mereka mengamalkan nilai-nilai
murni yang disanjungi, bak rangkap sajak berikut,

Hikayat Melayu disanjungi warisan,
Menjadi wahana penglipur nestapa,
Anak bersopan tonggak wawasan,
Berkat usaha ibu dan bapa.
Sementelahan itu, peranan pendidikan formal dalam memupuk nilai-
nilai murni dalam sukma kanak-kanak tidak harus kita kesampingkan.
Amalan nilai-nilai murni dalam kehidupan misalnya nilai bertanggungjawab,
rasional, kepercayaan kepada Tuhan, amanah, toleransi, berhemah tinggi,
kesederhanaan, kasih sayang, menyayangi dan menghargai alam sektiar,
hidup bersama secara aman, mematuhi peraturan dan undang-undang
wajar diterapkan dalam subjek Pendidikan Moral, Pendidikan Sivik Dan
Kewarganegaraan, serta Pendidikan Agama Islam. Kendatipun, untuk
mencapai misi yang komprehensif dan konkrit, nilai-nilai murni haruslah
diamalkan secara berkesan. Bertitik tolak daripada itu, pihak sekolah boleh
menganjurkan minggu Budi Bahasa Budaya Kita dan memberi anugerah
Pelajar Sopan kepada pelajar yang bersikap sopan santun, menghormati
guru-guru dan berhemah tinggi sepanjang berada di sekolah supaya boleh
menjadi suri teladan kepada pelajar lain. Tambahan pula, para pendidik
harus mementingkan amalan nilai murni dalam proses Pengajaran dan
Pembelajaran (P&P) dengan mengajar murid-murid terutama pelajar sekolah
rendah tentang adab sopan ketika berada di dalam kelas, adab sopan
ketika berkomunikasi dengan guru dan rakan. Hal ini kerana misi pendidikan
negara kita bukan sahaja untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dalam
kurikulum dan kokurikulum, malah juga untuk melahirkan modal insan yang
mengamalkan nilai-nilai murni, bermoral dan bertatasusila, sejajar dengan
prinsip kelima Rukun Negara, yakni Kesopanan dan
Kesusilaan. Deduksinya, sudah terang lagi bersuluh bahawa pendidikan
merupakan senjata yang dominan untuk memupuk nilai-nilai murni dalam
kalangan kanak-kanak.
Rentetan iu, kerajaan juga sewajarnya memandang serius masalah
yang berkaitan sahsiah kanak-kanak bagai menghela rambut dalam tepung,
rambut jangan putus, tepung jangan berserak. Pihak kerajaan sepatutnya
bersendel bahu dengan pihak media massa dan badan bukan kerajaan
(NGO) seperti Astro, Persatuan Karyawan Malaysia dan lain-lain lagi untuk
menggerakkan kempen Budi Bahasa Budaya kita secara menyeluruh di
tanah air kita kerana bersatu teguh bercerai roboh. Barangkali, kempen
yang dianjurkan oleh kerajaan tidak berkesan kerana tidak disokong oleh
banyak pihak, termasuklah syarikat-syarikat swasta yang bersikap
bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Buktinya,
kempen Kami Prihatin gagal mengurangkan kemelut sosial yang semakin
berleluasa dalam masyarakat kita, iaitu isu pembuangan bayi. Berikutan itu,
kempen Budi Bahasa Budaya kita hanya akan berjaya sekiranya semua
pihak melibatkan diri dalam pelaksanaannya. Dalam pada itu, kempen ini
perlu disempurnakan di peringkat awal persekolahan, iaitu tadika untuk
memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan kanak-kanak. Ceramah,
pertandingan menulis esei, melukis poster, pertandingan syarahan,
pertandingan kuiz dan sebagainya boleh dilaksanakan sempena kempen
ini. Pihak sekolah pula haruslah mewajibkan penglibatan murid-murid dalam
kempen ini untuk memastikan keberkesanannya, bak kata pepatah,bulat air
kerana pembuluh, bulat kata kerana muafakat. Selain itu, kempen tersebut
haruslah disokong oleh artis-artis tempatan dan luar negara yang menjadi
idola masyarakat, seiring dengan trend pemuda-pemudi kini yang suka
mengikut jejak langkah idola mereka dari semua aspek. Jelaslah
menunjukkan bahawa kempen-kempen yang mendapat sokongan semua
pihak mampu mencapai matlamat melahirkan kanak-kanak yang
bersahsiah mulia.
Di samping itu, peranan media massa, sama ada media cetak dan
media elektronik amat dominan dalam usaha memupuk nilai-nilai murni
dalam atma kanak-kanak. Berdasarkan penyelidikan, dipercayai bahawa
kecanggihan teknologi media seperti televisyen, radio dan internet serta
akhbar arus perdana mampu mempengaruhi akhlak kanak-kanak kerana
kanak-kanak pada era moden ini sememangnya sudah celik teknologi
maklumat. Mereka akan tergila-gila kepada media baru. Oleh hal yang
demikian, pihak media massa bolehlah mengambil kesempatan ini untuk
menyiarkan iklan, dokumentari, drama dan paling penting, siaran kartun
yang semestinya menjadi kegemaran kanak-kanak. Misalnya, iklan tentang
seorang kanak-kanak yang memberi tempat duduk kepada orang tua di
dalam komuter yang kerap disiarkan di TV3 dan iklan kanak-kanak
membantu seorang wanita tua mengangkat barang amat berkesan kepada
penonton. Malahan, drama-drama seperti Precious Babies, Three Pads,
One Mom, Hwang Jin Yi, Next Stop, Happiness dan lain-lain lagi
mengandungi babak-babak yang menonjolkan kepentingan nilai-nilai murni
yang boleh dipelajari dan seterusnya diamalkan oleh kanak-kanak dalam
kehidupan seharian. Jadi, sudah terang lagi bersuluh, bahawa media massa
merupakan wadah yang paling sesuai untuk memupuk nilai-nilai murni dalam
sanubari kanak-kanak.
Akhirulkalam, semua pihak sewajarnya berganding bahu
untuk mengorak langkah yang afdal bagi memupuk nilai-nilai murni dalam
kalangan kanak-kanak agar memacu pembangunan negara untuk
memakbulkan hasrat mencapai Wawasan 2020. Kita sedia maklum bahawa
kekurangan nilai-nilai murni dalam diri individu akan menyumbang kepada
pelbagai gejala sosial yang semakin meruncing dalam masyarakat. Selaras
dengan peribahasa Melayu yang mengatakan tiada keruh yang tidak
dapat dijernihkan, tiada kusut yang tidak dapat dileraikan, bersama-
samalah kita memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan kanak-kanak, bak
rangkap sajak yang dipetik daripada sajak Seuntai Kata Untuk Dirasa karya
A. Samad Said,

Sekarang singkirkan semua bicara,
Sekarang kumpulkan tenaga raksasa,
Tiba saat berbunga merah,
Serentak kita bersama.