Anda di halaman 1dari 10

MEKANISME HELAH BELA DIRI

Mekanisme helah bela diri ialah satu proses di mana kita berperilaku atau berfikir mengikut cara-
cara tertentu untuk mempertahankan konsep kendiri yang baik atau harga diri yang tinggi.
Mekanisme helah bela diri ialah salah satu cara untuk melihat bagaimana manusia menjarakkan
diri mereka daripada kesedaran yang tinggi terhadap apa-apa pemikiran, perasaan, dan perbuatan
yang tidak menyenangkan.
Beberapa ahli psikologi telah menyenaraikan mekanisme-mekanisme helah bela diri berdasarkan
tahap primitif mereka. Semakin primitif tahap mekanisme helah bela diri tersebut, semakin ianya
tidak berkesan untuk diguna pakai pada jangka masa yang panjang. Walaubagaimana pun,
mekanisme helah bela diri yang sangat primitif adalah sangat berkesan dalam jangka masa yang
singkat, oleh itu ianya banyak diguna pakai oleh kebanyakan kanak-kanak dan orang dewasa
yang tidak tahu cara yang terbaik untuk mengatasi masalah depresi atau stres yang baik.
Kebanyakan manusia menggunakan helah bela diri dalam keadaan di bawah sedar. Berdasarkan
senarai mekanisme helah bela diri yang dinyatakan oleh ahli psikologi, mekanisme helah bela
diri yang berada pada tahap paling primitif ialah penafian, regresi, keagresifan, fantasi,
kompartementalisasi, projeksi, dan pembentukan reaksi. Manakala mekanisme helah bela diri
yang separa primitif ialah represi, pindah gantian, intelektualisasi, rasionalisasi, dan penarikan.
Mekanisme helah bela diri yang matang pula ialah sublimasi, kompensasi, dan ketegasan
(assertiveness).
Oleh itu, mekanisme helah bela diri yang telah dinyatakan sebelum ini akan dibincangkan
dengan lebih teliti berkenaan penggunaannya dalam situasi sebenar dalam interaksi manusia
seharian.
Penafian
Mekanisme helah bela diri penafian berlaku apabila seseorang itu gagal menerima kenyataan
akan sesuatu kejadian dan menganggap seolah-olah ianya tidak berlaku. Sebagai contoh, seorang
ibu baru sahaja kehilangan seorang anak lelaki kesayangannya dalam satu kemalangan yang
dahsyat seminggu yang lalu. Ibu tersebut sangat tertekan dengan kehilangan anaknya tersebut
dan sepanjang seminggu selepas kejadian itu dia hanya menghabiskan masa di dalam bilik
menangis dan meratapi pemergian anak lelakinya. Tiba-tiba pada suatu pagi seminggu setelah
pemergian anaknya, dia dilihat menyediakan sarapan dan melakukan kerja-kerja rumah yang lain
seperti biasa seolah-olah tiada apa yang berlaku. Semasa hendak bersarapan, si ibu memanggil
anak perempuannya supaya pergi mengejutkan si abang supaya bersarapan bersama-sama. Di
sini si ibu telah malakukan penafian terhadap kemalangan yang berlaku dan menganggap
anaknya masih wujud oleh kerana dia tidak mampu menanggung kesedihan dan tekanan kesan
daripada kemalangan itu.
Regresi
Regresi ialah mekanisme helah bela diri yang berlaku apabila seseorang berperilaku seolah-olah
dia kembali pada tahap perkembangan yang terdahulu. Contohnya seseorang yang berumur
belasan tahun berperilaku seperti semasa dia masih kanak-kanak disebabkan oleh kejadian-
kejadian tertentu. Dalam situasi antara seorang ibu dan anak perempuan contohnya, anak
perempuannya yang berumur belasan tahun meminta kebenaran ibunya untuk pergi keluar ke
bandar bersama rakan-rakan namun si ibu tidak memeberi kebenaran kerana risau akan
keselamatan anaknya. Si anak memberontak dan menghentak-hentakkan kakinya sebagai tanda
protes terhadap keputusan si ibu.
Keagresifan
Mekanisme helah bela diri keagresifan berlaku apabila seseorang itu mempamerkan tingkahlaku
yang berbahaya dan ekstrem sebagai proses melahirkan dan menterjemahkan perasaan atau
pemikiran yang tidak menyenangkan. Contohnya, situasi di antara seorang pengurus restoran
makanan segera dan pekerjanya. Disebabkan pelanggan terlalu ramai pada waktu tersebut, si
pekerja kelihatan agak tertekan dengan situasi tersebut. Tambahan pula, seorang pelanggan
kelihatan tidak berpuas hati dengan servis yang diberikan oleh pekerja tersebut dan membuat
aduan kepada si pengurus. Selepas waktu bekerja, pengurus memanggil pekerja dan
memarahinya dengan teruk. Pekerja berasa tertekan dan gagal mengawal perasaan marah dan
malu akibat dimarahi lalu dia memecahkan satu teko kaca yang digunakan untuk mengisi air
kopi.
Fantasi
Fantasi berlaku apabila seseorang itu kehilangan jejak masa dan hilang dalam khayalan akibat
tekanan dan depresi yang sudah tidak mampu ditanggungnya. Ini apabila tekanan dan depresi
yang dirasakan sudah sampai satu tahap maksima yang tidak mampu ditanggung, seseorang itu
akan jatuh dalam satu situasi yang mana, dia tidak sedar akan apa yang dia telah lakukan pada
sela-sela masa tertentu.
Kompartementalisasi
Mekanisme helah bela diri ini biasanya berlaku apabila seseorang itu selalu berpegang pada
moral dan etika yang baik, sehingga pada satu situasi, dia perlu bertindak bertentangan dengan
moral dan etika yang dipegangnya selama ini. Dalam situasi ini, dia akan mewujudkan ruangan-
ruangan yang berasingan dalam mindanya, yang membolehkan dia melakukan perkara yang
bertentangan dengan moral yang dipegangnya tanpa dia perlu merasa tidak senang dan sekaligus
tidak menjejaskan harga dirinya.
Projeksi
Mekanisme helah bela diri projeksi biasanya berlaku apabila seseorang itu melakukan perkara
yang boleh menjejaskan harga dirinya. Namun oleh kerana dia ingin melindungi harga dirinya,
dia meletakkan kualiti yang tidak baik itu terhadap orang lain. Contohnya, seorang pelajar yang
ponteng kelas, dia merasakan ponteng kelas itu tidak baik, namun dia cuba melihat perbuatan
ponteng kelas itu dalam diri kawan-kawannya yang sama-sama ponteng kelas. Akhirnya dia
merasakan perbuatan ponteng kelas itu bukan satu kesalahan, dan harga dirinya tidak terjejas
dengan ponteng kelas.
Pembentukan Reaksi
Mekanisme ini selalunya terjadi apabila seseorang itu memindahkan pemikiran dan perasaan
yang tidak menyenangkan kepada perbuatan yang berlawanan dengan situasi yang tidak boleh
diterimanya. Sebagai contoh, terdapat sepasang suami isteri yang selalu bergaduh dan akhirnya si
suami mengambil keputusan untuk berpisah. Atas sebab-sebab tertentu, isteri tidak mahu
perkahwinan mereka berakhir dengan jalan penceraian. Oleh itu keesokan harinya setelah suami
mengutarakan hendak berpisah, isteri dilihat berbuat baik, melakukan segalal kerja-kerja rumah
dengan baik dan melayan suaminya dengan baik.
Represi
Represi berlaku apabila sesorang itu mempunyai pemikiran dan perasaan yang tidak
menyenangkan atau berhadapan dengan perkara yang tidak menyenangkan, dia menolak
pemikiran dan perasaannya ke dalam zon tidak sedar di dalam otaknya. Ini selalu terjadi apabila
sesorang tidak mahu mengingati memori-memori pahit yang dia pernah lalui dan menghalang
fikirannya daripada mengingati perkara tersebut dengan kaedah represi.
Pindah Gantian
Pindah gentian berlaku apabila seseorang mempunyai pemikiran atau perasaan yang tidak senang
terhadap kawannya, namun dia akhirnya menzahirkan perasaan dan pemikiran itu terhadap
kawannya yang lain yang tidak terlibat dengan apa yang dia lalui yang menyebabkan dia berasa
tidak senang sebelum itu.
Intelektualisasi
Intelektualisasi berlaku apabila seseorang itu menyibukkan dirinya dengan berfikir langkah-
langkah yang patut dilakukan sebagai respon pada satu peristiwa atau kejadian yang tidak
disenangi tanpa melibatkan atau untuk tidak membenarkan tingkahlakunya dipengaruhi emosi.
Sebagai contoh, seorang lelaki baru sahaja menerima panggilan daripada kekasihnya yang
mengatakan hendak berpisah dengan lelaki tersebut. Sedangkan, lelaki tersebut telah menempah
sesi makan malam di sebuah restoran yang ternama. Untuk mengelakkan tingkahlakunya
dipengaruhi emosi yang boleh menyebabkan hara dirinya tercemar, lelaki tersebut menyibukkan
dirinya berfikir tentang apa yang patut dilakukan untuk membatalkan tempahan yang telah dibuat.
Rasionalisasi
Rasionalisasi ialah proses di mana sesorang itu cuba memberi atribusi terhadap sesuatu peristiwa
atau tingkahlaku yang mana ianya sebagai salah satu cara untuk merubah reality yang tidak
menyenangkan itu kepada sesuatu yang menyenangkan. Contohnya, seorang pelajar yang kalah
dalam satu pertandingan catur telah meletakkan punca kekalahan itu terhadap pihak lawan yang
bernasib baik. Sedangkan ianya berpunca daripada sifatnya yang terlalu yakin dan memandang
rendah terhadap kebolehan pihak lawan. Dengan itu, harga dirinya tidak tercemar.
Penarikan
Mekanisme helah bela diri penarikan berlaku apabila seseorang itu cuba menarik balik pemikiran
atau perasaan yang tidak menyenangkan. Ini berlaku apabila seorang pelajar memesan makanan
daripada teman sebiliknya yang keluar untuk makan malam. Akan tetapi beberapa jam telah
berlalu, teman sebiliknya masih belum pulang. Ditambah lagi dengan perut yang semakin lapar,
pelajar tersebut mula marah dah membuat kesimpulan yang tidak baik tentang temannya.
Akhirnya dia tersedar yang apa yang dia fikirkan itu tidak baik dan memikirkan semula
kebaikan-kebaikan yang telah temannya lakukan.
Sublimasi
Sublimasi ialah proses melahirkan dan menzahirkan perasaan dan pemikiran yang tidak senang
kepada jalan yang sepatutnya. Ianya merupakan helah bela diri yang paling sihat. Seseotang yang
kecewa akan satu-satu peristiwa akan melahirkan kekecewaasnya pada jalan yang boleh
diterimanya. Sebagai contoh, seseorang pelajar yang berasa tertekan dan terbeban dengan kerja-
kerja yang harus disiapkannya akan menzahirkan perasaan tertekan itu dengan menulis, melukis,
atau apa-apa sahaja cara yang dia rasakan sesuai dan tidak membahayakan.
Kompensasi
Kompensasi ialah tindakan seseorang yang cuba memberi kredit pada dirinya yang lemah dalam
satu bahagian dengan berusaha mencapai kejayaan dalam bidang yang lain. Sebagai contoh,
seseorang pelajar yang mendapat keputusan yang teruk dalam SPM tidak merasa tertekan
sebaliknya cuba mengasah bakatnya dalam bidang yang lain seperti kemahiran membaiki alat-
alat elektrik, yang boleh menjadi jaminan masa depannya jika dia berusaha dengan gigih dalam
bidang tersebut.
Ketegasan
Ketegasan ialah berkenaan penekanan terhadap keperluan atau pemikiran seseorang pada jalan
yang dipandang tinggi, tepat, dan tegas. Diberikan satu situasi di mana terdapat sekolompok
pelajar di sekolah yang suka mangganggu dan memperkecil-kecilkan pelajar lain. Satu hari
kumpulan pelajar ini menganggu dan cuba membuli seorang pelajar yang baru berpindah ke
sekolah itu. Pelajar baru ini tidak bertindakbalas dengan perbuatan yang kasar, atau bertindak
pasif dengan membiarkan sahaja mereka membuli, sebaliknya, dia membalas dengan kata-kata
yang penuh hemah dan tegas.
PERBANDINGAN SOSIAL
Teori perbandingan sosial menyatakan yang manusia menentukan nilai social dan peribadi
berdasarkan bagaimana mereka dibandingkan dengan orang sekeliling. Ini menyebabkan
manusia cenderung untuk membuat penilaian peribadi dan menilai orang lain mengikut pelbadai
aspek seperti kecantikan, kekayaan, kepandaian, dan kejayaan. Kebanyakan manusia tahu
menyembunyikan apa yang mereka rasa cemburu terhadap kejayaan atau kebolehan orang lain,
namun begitu, ada sesetangah daripada kita gagal menyembunyikannya, malah cenderung untuk
menterjemahkan kecemburuan itu dengan cara yang tidak baik.
Perbandingan sosial bagaimana pun boleh membantu manusia untuk lebih mengenali tentang
sifat-sifat diri mereka seperti tingkahlaku, kebolehan, kepercayaan yang mereka pegang melalui
proses membuat perbandingan dengan orang lain. Selain itu, ia juga merupakan satu proses
meletakkan petanda yang membenarkan mereka membuat penilaian tentang diri sendiri dan
orang lain.
Teori perbandingan sosial ini mula diperkenalkan oleh seorang ahli psikologi Leon Festinger
pada tahun 1954. Menurutnya, dunia ini bersifat fiskal tidak mampu berfungsi sebagai standard
yang kukuh dalam memberi penilaian tentang perasaan, kemahiran, dan kepercayaan, dalam
kehidupan insan. Selalunya manusia lebih gemar beralih kepada reality kehidupan sosial yang
mampu menjadi standard bagi menilai kendiri individu. Perubahan sikap, penampilan, dan
personaliti diri adalah antara elemen kendiri yang amat dititik beratkan dalam penampilah diri
seseorang individu itu. Justeru, melalui interaksi sosial sahaalah perbandingan sosial ini dapat
dilaksanakannya.
Perbandingan sosial boleh berlaku dalam dua arah sama ada ke bawah atau ke atas.
Perbandingan sosial ke atas berlaku apabila seseorang itu membandingkan sifat dirinya dengan
sifat orang lain yang dirasakan lebih baik daripadanya. Manakala perbandingan sosial ke bawah
pula ialah apabila seseorang itu membandingkan sifat dirinya dengan sifat orang lain yang
dirasakan kurang baik daripadanya. Sebenarnya proses perbandingan sosial ini sedikit sebanyak
dipengaruhi oleh skemata-kendiri manusia, topic yang akan dibincangkan selepas ini.
SKEMATA-KENDIRI
Secara ringkasnya, skemata-kendiri merujuk kepada apa yang seseorang itu tahu tentang dirinya.
Dalam kata lain, skemata-kendiri ialah generalisasi kognitif tentang diri sendiri yang diperoleh
daripada pengalaman silam. Ianya melibatkan struktur kognitif dan struktur afektif dalam diri
seseorang. Bagaimana seseorang itu menyusun maklumat berkenaan dirinya dan generalisasi
yang dibuat berkenaan dirinya banyak dipengaruhi oleh pengalaman-pengalaman lepas. Di sini,
akan diberikan beberapa situasi yang boleh menambahkan lagi pemahaman tentang skemata-
kendiri.
Situasi 1
Ahmad, seorang lelaki pertengahan umur, kebiasaannya merokok satu kotak rokok dalam satu
hari dan beliau telah merokok selama bertahun-tahun. Walaubagaimana pun, pada suatu ketika,
Ahmad tersedar yang merokok ini sangat tidak baik untuk kesihatan. Lebih-lebih lagi kesan
merokok itu lebih teruk pada golongan yang tidak merokok (seperti keluarganya) tetapi berada di
kalangan orang-orang yang merokok. Demi keluarganya Ahmad cuba untuk berhenti merokok.
Akan tetapi, Ahmad mempunyai skemata-kendiri yang cenderung mengatakan aku perokok
tegar dan aku ketagih merokok. Skemata-kendiri ini bagaimana pun melibatkan proses
kognitif yang kompleks yang mana akhirnya diterjemahkan dalam bentuk perlakuan yang
menggalakkan lagi Ahmad merokok sekaligus menghalang niat murninya untuk berhenti
merokok. Kegagalan Ahmad untuk berhenti merokok ini bukanlah kerana semangat beliau yang
tidak cukup kuat untuk berhenti merokok, sebaliknya disebabkan dipengaruhi fungsi kognitif
dalam otaknya yang membentuk skemata-kendiri berkenaan sifat perokoknya.
Situasi 2
Terdapat dua orang pelajar perempuan, kedua-duanya belajar di sebuah institusi pengajian tinggi
yang sama, pelajar A dan pelajar B. Pelajar A seorang yang peramah, mesra, senang bergaul, dan
mempunyai ramai kawan, dan yang paling utama, pelajar A seorang yang berwajah molek.
Manakala pelajar B seorang yang pendiam, pemalu, takut untuk bersosial, lebih suka
menghabiskan masa sendiri. Walau bagaimanapun, pelajar B pernah mengalami pengalaman
yang pahit ketika berada di sekolah menengah. Personaliti beliau ketika di sekolah menengah
sama seperti beliau yang sekarang. Apa yang berbeza, pelajar B menjadi mangsa buli ketika di
sekolah menengah, yang mana, menjadikan sifat pendiam dan pemalunya lebih teruk ketika ini.
Diberikan satu keadaan di mana pelajar A dan B kedua-duanya pergi menikmati makan tengahari
bersendirian di sebuah restoran. Dalam masa yang sama ada seorang lelaki yang juga sedang
makan berseorangan asyik memerhatikan mereka. Dalam hal ini, disebabkan oleh pengalaman-
pengalaman pelajar B yang lepas, satu skemata-kendiri telah terbentuk. Pelajar B akan cenderung
untuk berfikir yang lelaki tersebut memerhatikannya disebabkan ada sesuatu yang tidak kena
dengannya. Atau, lelaki tersebut sedang memikirkan perkara yang tidak bagus tentang dirinya
seperti perempuan ini tidak cantik dan aku tidak sesuai berkawan dengan perempuan yang
tidak bergaya seperti ini.
Sebaliknya, dalam situasi pelajar A, disebabkan beliau peramah dan senang berkawan, dia akan
cenderung berfikir, lelaki ini pasti terpikat dengan kecantikanku atau lelaki ini pasti hendak
bersahabat denganku. Di sini dapat dilihat yang corak pemikirang kedia-dua pelajar berbeza
disebabkan perbezaan pengalaman yang mereka lalui pada masa lalu. Skemata-kendiri juga
sebenarnya memainkan peranan penting dalam menentukan tahap harga diri seseorang.
KESEDARAN KENDIRI
Kesedaran kendiri merujuk kepada mempunyai persepsi yang jelas tentang personaliti,
termasuklah kekuatan, kelemahan, pemikiran, kepercayaan, motivasi, dan emosi. Melalui
kesedaran kendiri, diri kita akan dapat memahami dengan lebih baik berkenaan orang sekeliling,
persepsi merekan tentang diri kita, tentang tingkahlaku kita, dan bagaimana kita memberi respon
pada mereka.
Kenapa perlunya kita membangunkan kesedaran kendiri? Sesetengah daripada kita mungkin
berasa mereka mempunyai tahap kesedaran kendiri yang tinggi. Namun begitu, seringkali apa
yang mereka rasakan itu sebenarnya tidak tepat. Perilaku yang ditunjukkan tidak melambangkan
mereka mempunyai tahap kesedaran kendiri yang tinggi. Berbalik kepada soalan, dalam proses
kita membangunkan kesedaran kendiri, kita akan dapat merubah pemikiran-pemikiran dan
interpretasi dalam minda, ke arah membina personaliti yang lebih baik. Perubahan pemikiran dan
interpretasi dalam minda seterusnya memberi perubahan pada emosi. Dalam hal yang lain,
kesedaran kendiri merupakan salah satu elemen penting dalam konsep Kecerdasan Emosi yang
mana merupakan factor penting yang menyumbang kepada kejayaan seseorang.
Kesedaran kendiri merupakan batu loncatan kepada pembentukan apa yang kita mahukan, di
mana kita meletakkan fokus pada pemerhatian, emosi, reaksi, personaliti dan tingkah laku yang
mana mempengaruhi hala tuju kita dalam hidup. Mempunyai tahap kesedaran kendiri yang
tinggi akan dapat membantu kita melihat ke mana hala tuju emosi dan pemikiran kita. Seterusnya,
ianya membantu kita mengawal emosi, tingkah laku, dan personaliti dengan lebih baik.
Kegagalan mempunyai kesedaran kendiri yang baik akan menghalang kita membuat apa-apa
perubahan yang baik dalam hidup.
Ada beberapa aspek yang merujuk kepada kepentingan mempunyai kesedaran kendiri yang baik.
Antaranya empati, kemasukan (admission), manusia di dalam cermin, toleransi, merendah diri,
dan likabiliti (likability).
Empati: Dalam konsep empati, seseorang itu mempunyai kebolehan untuk melihat dan menilai
bila mana dia melakukan kesilapan atau kesalahan, berkenaan tentang perspektif atau pandangan
orang lain tentang kesilapan atau kesalahan yang dilakukan. Mempunyai rasa empati juga
membenarkan seseorang itu memahami perasaan atau keadaan orang lain dengan lebih baik.
Kemasukan (admission): Dalam hal ini, orang-orang yang tidak mempunya kesedaran kendiri
yang baik cenderung untuk tidak meminta maaf atas kesalahan yang telah dilakukan, atau susah
untuk mereka mengakui kesalahan itu adalah disebabkan diri mereka. Orang-orang seperti ini
selalu berfikir yang mereka selalu benar dan jika sesuatu berlaku tidak seperti yang dirancang,
mereka akan meletakkan kesalahan ke atas orang lain.
Manusia di dalam cermin: Konsep manusia di dalam cermin ini mudah. Ianya berkenaan
proses seolah-olah kita melihat refleksi diri di dalam cermin. Di mana kekurangan dan
kelemahan terlihat melalui cerminan diri kita. Melalui proses ini, tahap kesedaran kendiri akan
bertambah dan kita akan lebih mengakui kekurangan dan berusaha ke arah memperbaiki
kekurangan dan kelemahan tersebut. Yang paling utama ialah kita harus tahu dan sedar di mana
letaknya kekurangan dan kelemahan kita.
Toleransi: Apabila kita sudah mampu melihat dan sedar akan kelemahan diri sendiri, ini secara
tidak langsung akan memudahkan kita untuk lebih bersifat terbuka dalam menerima kelemahan
orang lain.
Rendah diri: Dengan adanya tahap kesedaran kendiri yang tinggi, kita akan cenderung untuk
mengakui yang tiada yang sempurna di dunia ini, dan lebih menghargai apa jua kelebihan atau
kebaikan yang mendatang dan tidak bersifat bongkak dengan kelebihan yang kita ada yang tidak
ada pada orang lain.
Likabiliti (likability): Orang yang tidak mempunyai tahap kesedaran kendiri yang tinggi selalu
nya cenderung untuk bersikap bongkak dan suka menunjuk-nunjuk yang mana tidak akan disukai
oleh orang sekeliling. Oleh itu, tahap kesedarang kendiri yang tinggi akan membantu kita
membina hubungan dan interaksi sosial yang baik.
HARGA DIRI
Harga diri merujuk kepada penilaian menyeluruh diri sendiri samada secara positif atau pun
negatif. Harga diri merangkumi kepercayaan seseorang terhadap nilai-nilai dirinya samada dari
segi penampilan, emosi, mahupun tingkah laku. Mengikut pandangan Braden (1969), ada tiga
komponen enting dalam harga diri iaitu yang pertama, harga diri merupakan keperluan manusia
yang paling asas yang sangat penting dalam memastikan kelangsungan dan pembangunan hidup
yang sihat dan normal. Yang kedua, harga diri muncul secara automatik berdasarkan
kepercayaan dan kesedaran seseorang. Yang ketiga, harga diri berlaku secara langsung dengan
pemikiran, tingkah laku, tindakan, dan perasaan seseorang.
Ada beberapa langkah yang boleh dilakukan untuk meningkatkan harga diri. Antaranya ialah:
1. Kenali kualiti-kualiti positif dalam diri. Cara ini boleh dilakukan dengan menyenaraikan
apa jua aset diri yang dirasakan berharga dan boleh dibanggakan seperti kebolehan,
pengalaman, sumber sosial, bakat, atau apa-apa jua kualiti diri lain. Selain itu, kita juga
boleh menyenaraikan apa-apa jua pujian atau kredit positif yang pernah diberikan oleh
rakan-rakan di sekeliling yang boleh meningkatkan tahap keyakinan.
2. Percaya dengan tahap kompetensi diri. Selalu ingatkan dan yakinkan diri kita yang walau
pun apa jua masalah mendatang, kita pasti mampu menyelesaikannya. Ingatkan semula
masalah-masalah masa lalu yang telah berjaya diselesaikan. Ingatkan semula diri
bagaimana kita menyelesaikan masalah tersebut. Senaraikan semula pencapaian-
pencapaian yang boleh dibanggakan pada masa lalu. Yang paling utama ialah, keperluan
untuk percaya dan yakin akan kebolehan diri sendiri.

3. Percaya dengan nilai diri sendiri. Kadang-kadang seseorang itu terlalu mengambil berat
akan hal orang lain sehingga dia lupa untuk mengambil berat akan dirinya sendiri. Dalam
hal ini, kita perlu meletakkan keuatamaan pada diri sendiri sekali-sekala. Kadang-kadang,
kita tidak yakin untuk melakukan sesuatu perkara kerana takut akan mengecewakan
orang lain. Jika hidup terlalu memikirkan pandangan orang lain, ianya akan menghalang
kita melakukan perubahan positif terhadap diri sendiri. Oleh itu, kita perlu mengambil
risiko bakal mengecewakan sesetengah orang do sekeliling demi memberi keutamaan
pada diri sendiri.

4. Perhatikan diri sendiri dalam cermin yang boleh memperlihatkan seluruh badan.
Senaraikan sekurang-kurangnya lima kelebihan luaran yang boleh dilihat seperti atribusi
fizikal: mata, bibir, rambut, wajah, atau senyuman atau lain-lain. Selain itu, penampilan
dari segi pemakaian juga boleh dipilih. Kemudian senaraikan kelebihan dari segi dalaman
yang boleh dibanggakan seperti semangat, jatidiri, keluhuran budi dan sebagainya. Jika
berhadapan dengan masalah dalam menyenaraikan kelebihan dari segi dalaman, adalah
dicadangkan untuk mendapatkan pendapat orang sekeliling seperti teman-teman rapat
atau keluarga.

PERSEPSI KENDIRI
Persepsi kendiri ialah kesedaran terhadap diri sendiri. Ini dapat dilihat melalui pemerhatian kita
terhadap tingkah laku sendiri iaitu yang berkaitan sikap, emosi, dan keadaan dalam diri. Dengan
melalui proses ini, individu akan lebih sedar tentang sikap, perasaan, dan tingkah laku dengan
lebih jelas lagi. Namun begitu, pandangan individu terhadap diri sendiri selalunya tidak tepat
kerana kita sering membuat rumusan tentang diri sendiri berlandaskan apa yang dilihat atau
dilakukan berbanding dengan apa yang tidak dilakukan.
Secara umumnya, terdapat empat kategori yang yang mempengaruhi persepsi kendiri, iaitu
identiti, tret, nilai, dan kecekapan.
Identiti
Di bawah kategori identiti, persepsi kendiri seseorang boleh dipengaruhi oleh samada identiti
sosial dan identiti peribadi atau kedua-duanya sekali. Identiti sosial merujuk kepada peranan
yang seseorang itu pegang dalam kelompok sosial seperti peranan dalam institusi keluarga,
pekerjaan, atau bangsa. Dalam aspek pekerjaan contohnya, persepsi kendiri seorang guru
jelasnya tidak sama dengan persepsi kendiri seorang doktor. Begitu juga dari segi bangsa.
Persepsi kendiri di kalangan golongan berkulit putih berbeza dengan golongan Asia. Identiti
peribadi pula merujuk kepada jantina seseorang itu contohnya sama ada lelaki atau perempuan.
Tret
Dalam kategori tret, persepsi kendiri dipengaruhi oleh karekter peribadi atau bentuk fizikal yang
ada pada seseorang. Contohnya ketinggian, kepandaian, atau sifat rendah diri. Persepsi kendiri
terhadap ciri tret seseorang boleh dipengaruhi oleh faktor pandangan masyarakat sekeliling.
Contohnya seorang lelaki Amerika yang berketinggian 6 kaki tidak pernah merasakan
ketinggiannya boleh menjadi satu isu. Walau bagaimanapun, dia berhijrah ke China atas
permintaan majikannya. Di persekitaran baru, dia selalu sahaj diperhatikan ke mana-mana sahaja
dia pergi disebabkan ketinggiannya. Ini sedikit sebanyak mempengaruhi persepsi kendirinya
terhadap tahap ketinggiannya.
Kecekapan
Kecekapan atau competencies merujuk kepada kebolehan, bakat atau pengetahuan yang ada pada
seseorang. Contohnya seseorang yang belajar hingga ke tahap Doktor Falsafah semestinya
mempunyai persepsi kendiri dengan seseorang yang hanya belajar hingga tamat sekolah
menengah. Begitu juga dengan seseorang yang berkebolehan dalam bidang sukan atau nyanyian.
Mereka yang mempunyai kebolehan dalam bidang tersebut pastinya mempunyai persepsi kendiri
yang berbeza dengan mereka yang tidak ada bakat dalam bidang tersebut.
Nilai
Dalam kategori ini, nilai merupakan apa jua elemen yang ada berdasarkan persepsi kendiri yang
boleh memandu dan menentukan setiap keputusan dan tingkah laku yang seseorang buat dalam
kehidupan seharian.
Ingin dinyatakan di sini, persepsi kendiri banyak mempengaruhi tahap harga diri seseorang. Ini
dapat dilihat melalui jarak antara persepsi kendiri seseorang dengan kendiri idealnya. Semakin
jauh jarak tersebut, semakin rendah harga diri seseorang. Kendiri ideal mengikut Rogers (1959)
ialah satu set tret, kecekapan, dan nilai yang seseorang individu itu berharap untuk memilikinya.
PERSEMBAHAN KENDIRI
Secara umumnya, persembahan kendiri merupakan proses pembawakan diri seseorang individu
itu di dalam dunia sosialnya. Menurut Goffmen (1967), tingkah laku sebenar seseorang individu
itu akan ditonjolkan secara tidak langsung semasa proses interaksinya dengan kelompok sosial di
sekeliling. Tambahannya, dalam proses interaksi seseotang individu itu kepada individu yang
lain, ekspresi wajah memainkan peranan penting dalam memperlihatkan nilai sosial yang positif
yang ada pada diri seseorang.
Walau bagaimanapun, individu sebaliknya cenderung mempamerkan pelbagai kendiri mengikut
situasi dan keadaan tanpa bergantung sepenuhnya pada satu kendiri sahaja yang mana proses ini
dikenali sebagai pengirisan tanggapan impresi atau pengawalan imej individu samada secara
sedar atau tidak. Dalam keadaan kita sedar atau tidak, kita sebenarnya selalu berusaha untuk
mempamerkan dan mengekalkan imej yang positif di mata individu lain dalam kelompok sosial
di mana kita berada. Terdapat beberapa istilah lazim yang dikaitkan dengan persembahan kendiri
antaranya topeng, promosi kendiri, intimidasi, eksemplifikasi dan suplikasi.
1. Topeng: proses ini berlaku apabila individu berusaha mempamerkan diri yang bukan
sepenuhnya dirinya dengan melindungi atau menyembunyikan kendirinya yang sebenar
sebagai usaha untuk menarik perhatian orang lain.

2. Promosi kendiri: kaedah promosi kendiri berlaku apabila seseorang individu itu
berusaha ntuk dirinya dilihat sebagai seorang yang berbakat, cekap, bijak, dan mahir.
Individu ini cenderung untuk memperkatakan atau menunjuk-nunjuk kelebihan yang ada
pada dirinya yang tidak ada pada diri orang lain. Dengan ini, individu tersebut akan
berjaya menutup kelemahan yang ada padanya.

3. Intimidasi: ini merujuk kepada proses seseorang itu memperoleh kuasa dan
membangkitkan rasa terancam dan takut di kalangan individu lain terhadapnya. Individu
yang menggunakan kaedah intimidasi ini kebiasaannya akan merasa lebih yakin untuk
mengawal interaksi sosial menggunakan kuasa dan imej yang dibentuknya di mana orang
lain. Malangnya, pihak yang rasa terancam akan mengalami kesukaran untuk berinteraksi
dengan golongan yang mempamerkan kendiri melalui kuasa ini.

4. Eksemplifikasi: kaedah ini merujuk kepada situasi di mana individu cuba menunjukkan
tingkah laku yang baik melalui tingkah laku yang positif. Sebagai contoh, seorang teman
serumah sengaja membersihkan bilik yang berselerak dan menolak ajakan rakan-
rakannya untuk keluar bersuka ria. Tingkah laku seperti ini secara tidak langsung akan
membangkitkan rasa bersalah dalam diri rakan-rakan yang lain kerana berhajat untuk
keluar bersuka ria sedangkan rumah seoatutnya perlu dikemas terlebih dahulu.

5. Suplikasi: kaedah ini dilakukan oleh seseorang yang sengaja mempamerkan kelemahan
dirnya di mata orang lain dengan harapan orang lain akan membantunya mengatasi
kelemahannya. Sebagai contoh, dalam satu tugasan berkumpulan yang memerlukan
penggunaan perisian komputer, seorang ahli kumpulan sengaja menonjolkan yang dirinya
tidak tahu menggunakan perisian itu dengan harapan ahli lain akan membantunya
meringankan lagi tugasnya. Dalam hal ini, kadangkala, ahli yang lemah itu bukanlah
lemah. Sebaliknya ahli tersebut malas dan tidak mahu merubah dirinya ke arah yang lebih
baik dan terlalu bergantung harap dengan orang lain.

PENUTUP
Sebagai kesimpulan, pemahaman dan pengetahuan berkenaan konsep kendiri amat penting untuk
dipelajari dan dikuasai dalam usaha mempertingkatkan nilai dan memanipulasi kemahiran serta
potensi yang ada untuk memantapkan diri sebagai individu yang berkualiti dan berjaya dalam
aspek kehidupan.