Anda di halaman 1dari 9

PENULISAN JURNAL REFLEKTIF

MINGGU PERTAMA
(1 APRIL- 5 APRIL 2013)
MASALAH
Melalui pemantauan saya pada minggu pertama, saya mendapati murid-
murid kelas 4 Cerdas mempunyai masalah disiplin iaitu mereka suka membuat
bising, suka bercakap, suka berjalan dan tidak menumpukan perhatian semasa
pengajaran guru menyebabkan saya tidak dapat mengawal kelas.
ANALISIS MASALAH
Saya cuba mengenalpasti punca-punca masalah murid-murid yang tidak
memberi perhatian kepada pengajaran saya . Pelbagai persoalan yang timbul di
dalam fikiran saya iaitu :
Adakah murid-murid ini menganggap saya seorang guru yang lemah ?
Apakah yang menyebabkan murid-murid ini tidak memberi perhatian semasa
pengajaran saya ?
Bagaimanakah saya mengatasi masalah-masalah ini ?

Saya merasakan punca-punca masalah mereka ialah:
Murid-murid cepat memahami pelajaran, tetapi cepat bosan kerana mereka
telah mengetahui pengajaran yang diajar dan cara yang digunakan sama.
Murid-murid di kelas ini terdapat pelbagai kecerdasan yang perlu dicungkil
Kelas ini mempunyai pelbagai aras kemahiran, latar belakang dan kemahiran
murid serta pengetahuan sedia ada yang berbeza.
Guru menggunakan teknik pengajaran yang sama.
CADANGAN
Untuk membantu murid-murid yang kurang berminat untuk belajar, guru hendaklah :
Memperbanyakkan aktiviti yang melibatkan semua murid
Menggunakan sistem token
Sentiasa menyebut nama murid tersebut supaya mereka rasa mereka sedang
diperhati
Menggunakan alat bantu mengajar yang dapat menarik minat murid
Mengenalpasti kecenderungan setiap murid sama ada cenderung ke arah
muzik, ruang, linguistik dan sebagainya.
Guru perlu mempelbagaikan aktiviti supaya murid akan berasa gembira
semasa sesi pengajaran itu berjalan.
TEMPOH PENYELESAIAN
1 April 2013 26 April 2013 (4 Minggu)
TINDAKAN SUSULAN
Berdasarkan masalah di atas, apabila difikirkan dan diamati sedalam-
dalamnya, ada pelbagai inisiatif yang dapat dijalankan untuk membantu murid-murid
ini. Antaranya ialah, guru mengadakan sesi soal jawab secara rawak yang berkaitan
pelajaran yang diajar. Ini secara tidak langsung, dengan cara ini, guru dapat
menyedarkan murid-murid yang tidak mahu memberi perhatian semasa sesi
pengajaran dan dapat menguji ingatan murid. Kepandaian murid sememangnya
menjadi kebanggaan bagi seorang guru, namun perhatian daripada murid adalah
satu kepuasan bagi seorang guru.
Guru juga perlu membuat rekod khusus untuk mengetahui kecenderungan
setiap murid yang diajar. Kebolehan dan kecenderungan setiap murid adalah
berbeza. Impaknya, guru suka mengajar dan murid suka belajar.

KESIMPULAN
Murid akan memberi tumpuan kepada guru apabila guru menggunakan
pelbagai kaedah dan bahan bahan bantu mengajar yang menarik dalam pengajaran
dan pembelajaran.


INSTITUT PENDIDIKAN GURU,KAMPUS PERLIS
PENULISAN JURNAL REFLEKTIF
MINGGU KETIGA
(15 APRIL- 19 APRIL 2013)
Masalah:
Selepas menjalani praktikum selama 3 minggu, saya dapati murid saya mempunyai
satu masalah yang serius iaitu tidak dapat menulis ayat dengan baik. Murid saya
mengambil masa yang lama untuk menulis satu ayat.

Analisis:
Saya cuba mengenalpasti punca-punca masalah murid-murid yang tidak
memberi perhatian kepada pengajaran saya . Pelbagai persoalan yang timbul di
dalam fikiran saya iaitu :
Bagaimanakah saya mengatasi masalah-masalah ini ?
Adakah saya perlu memperbaiki corak pengajaran saya untuk mengatasi
semua masalah ini ?

Saya merasakan punca-punca masalah ini ialah:
1. Kurang latihan menulis ayat daripada guru kerana guru lebih memberi
penekanan pada bacaan sahaja.
2. Murid tidak diberi pendedahan awal untuk menulis ayat
3. Murid kurang yakin dalam membina ayat

Cadangan:
Untuk membantu murid-murid yang kurang berminat untuk belajar, guru hendaklah :
1. memberikan banyak latihan membina ayat bermula daripada menyusun
perkataan menjadi ayat, membina ayat majmuk dan seterusnya membina
ayat tunggal setelah murid sudah mahir
2. memberi pendedahan dalam bentuk didik hibur lebih digemari oleh murid dan
saya akan cuba untuk merancang perlaksanaan aktiviti yang menggunakan
didik hibur.
3. memberi bimbingan yang berterusan kepada murid yang lemah dan
memberikan contoh-contoh ayat.
4. memberi latihan tambahan kepada murid dan meminta waris kepada murid
untuk memberi semangat kepada mereka untuk terus menulis.
5. Memberikan contoh ayat terlebih dahulu sebelum murid membina ayat

TEMPOH PENYELESAIAN
15 April 2013 26 April 2013 (2 Minggu)
TINDAKAN SUSULAN
Saya akan membuat kelas tambahan kepada murid jika mereka tidak dapat
membina ayat walaupun telah dibimbing di dalam kelas.

KESIMPULAN
Setiap murid mempunyai aras pemikiran yang berbeza. Guru hendaklah sentiasa
memberi perhatian kepada murid yang lemah dalam proses pengajaran dan
pembelajaran.






INOVASI 1
Nama Inovasi
Nombor ajaibku

Penerangan Dan Perincian Tentang Inovasi
Saya mengambil inisiatif untuk menjadikan nombor sebagai nombor ajaibku kerana
saya mengalami kesukaran dalam mengingat nama murid serta memilih murid untuk
datang ke hadapan bagi melakukan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Selain itu,
ia adalah untuk mengelakkan daripada memanggil murid yang sama pada setiap kali
pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, murid tidak lagi mempersoalkan kepada
saya bahawa mereka tidak pernah dipanggil dalam sesuatu aktiviti.
Saya meletakkan nombor-nombor yang telah diberikan kepada murid di
dalam kotak. Semua murid mempunyai nombor masing-masing dan mereka
dikehendaki memakai serta mengingat nombor mereka kerana mereka akan
dipanggil dengan menggunakan nombor tersebut. Murid yang telah dipanggil tidak
akan dipanggil lagi selagi nombor-nombor di dalam kotak tersebut tidak habis.
Penilaian Keberkesanan Inovasi
Penggunaan nombor ini banyak membantu saya dalam mengingat nama murid
kerana di bahagian belakang nombor yang dicabut terdapat nama murid. Selain itu,
ia juga membantu agar murid tidak bising semasa saya meminta mereka untuk
mencuba. Mereka telah mengetahui bahawa saya akan memanggil mereka melalui
nombor dan mereka hanya perlu bersedia sekiranya nombor mereka dipanggil. Ia
sesuai dijalankan dalam apa jua bidang kerana semasa mengajar penglibatan murid
perlu dititikberatkan agar pengajaran dan pembelajaran secara aktif berlaku.
Selain itu, ia dapat memupuk murid supaya berani mencuba dalam
melakukan sesuatu. Sekiranya mereka memberikan jawapan yang tidak tepat, saya
dapat membimbing mereka dengan memberikan jawapan yang tepat dan
mengulang kembali penerangan yang lebih mudah supaya murid dapat
memahaminya. Di samping itu juga, saya dapat menilai hasil pembelajaran yang
dirancang sama ada tercapai atau tidak.
INOVASI 2
Nama Inovasi
Jom mengumpul mata

Penerangan Dan Perincian Tentang Inovasi
Inovasi pada kali ini, saya berazam untuk memperbaiki tingkah laku murid dalam
pengajaran dan pembelajaran saya kepada murid tahun 4 Cerdas. Saya sedar
tingkah laku murid sangat mempengaruhi suasana di dalam kelas. Murid saya
membuat bising dan tidak memberi perhatian semasa saya mengajar. Jadi saya
telah mewujudkan satu buku yang berbentuk token serta setiap warna token
mempunyai nilai untuk mengawal kelakuan murid. Nilai token murid akan meningkat
apabila mereka berkelakuan baik dan aktif di dalam kelas. Saya telah menyatakan
kepada murid bahawa sekiranya murid tidak memberikan kerjasama dan membuat
bising di dalam kelas, saya akan menolak nilai token yang telah diberikan kepada
mereka.
Setiap kali masuk ke dalam kelas untuk pengajaran dan pembelajaran, saya
akan membawa buku token tersebut dan menunjukkan kepada murid bilangan token
yang telah mereka kumpul sepanjang kelas sebelumnya.
Penilaian Keberkesanan Inovasi
Penggunaan inovasi ini banyak memberikan bantuan kepada saya untuk mengawal
perjalanan kelas. Apabila diugut hendak menolak nilai token jika mereka bising,
mereka akan diam dan memberikan kerjasama. Saya menggunakan buku token
tersebut dalam semua bidang yang diajar dalam Bahasa Melayu.
Murid menjadi lebih seronok dan berlumba-lumba untuk berkelakuan baik
setelah wujudnya buku token ini. Mereka juga akan membantu saya jika melihat
saya membawa barang yang banyak semasa masuk atau hendak keluar daripada
kelas. Oleh itu, saya berpendapat bahawa penggunaan token ini amat berkesan
dalam membentuk disiplin murid.

TEORI

NAMA TEORI:
Teori Ganjaran Hebat

PENERANGAN TENTANG TEORI SENDIRI :
Melalui pemantauan saya sepanjang melaksanakan pengajaran dan pembelajaran
pada minggu pertama dan kedua, saya mendapati bahawa murid-murid tidak
memberi tumpuan ketika proses pengajaran dan pembelajaran. Mereka didapati
seperti tidak berminat untuk belajar serta tidak menghormati guru yang sedang
mengajar di hadapan kelas. Mereka suka membuat bising dan membuat kerja
sendiri semasa saya mengajar. Selain itu, sesetengah daripada mereka juga
didapati suka berjalan semasa pengajaran dilaksanakan. Apabila berlakunya situasi
seperti ini, saya berasa khuatir dan merasakan aspek kawalan kelas saya sangat
lemah.
Saya cuba mengenalpasti punca-punca masalah murid-murid yang tidak
memberi perhatian kepada pengajaran saya. Daripada tinjauan dan pemerhatian
saya melalui segala persoalan yang berlegar di fikiran saya, beberapa dapatan telah
saya senaraikan :
Murid-murid di kelas ini terdapat pelbagai kecerdasan yang perlu dicungkil
Guru menggunakan teknik pengajaran yang sama.
Guru tidak tegas dalam memberi arahan

Justeru, bagi mengatasi masalah ini daripada berlarutan, saya telah
menghasilkan satu teori yang dinamakan Teori Ganjaran Hebat. Menurut Skinner,
teori dan konsep yang dikemukakan oleh beliau ialah Teori Pelaziman Operan di
mana perkataan operan adalah satu tindak balas yang beroperasi ke alam sekitar. Ia
adalah sebagai tingkah laku yang menjadi instrumen dalam menghasilkan
perubahan dalam persekitaran (Mohamad Saleh Lebar, 1999). Skinner terkenal
kerana kajian beliau ke atas tikus dengan menggunakan Kotak Skinner. Walaupun
tikus jauh berbeza dengan manusia, namun Skinner telah mengandaikan bahawa
segala konsep berkaitan dengan tingkah laku tikus boleh diaplikasi ke atas manusia.
Justeru, tidak menghairankan apabila Skinner bercadang untuk membesarkan
anaknya di dalam Kotak Skinner. Perbuatan menekan butang untuk memperoleh
makanan disebut pelaziman operan. Pembelajaran melalui cara ini disebut
pembelajaran melalui pelaziman. Eksperimen ini menunjukkan bahawa satu gerak
balas hanya akan berulang jika wujud ganjaran. Contohnya, biji-biji makanan dalam
eksperimen tersebut sebagai ganjaran. Sekiranya ganjaran dihentikan, gerak balas
itu akan terhapus juga.
Berdasarkan teori ini Skinner telah mereka bentuk pendekatan dan
rancangan pengajaran yang dinamakan 'programmed instruction' atau pengajaran
terancang. Dalam Teori Pelaziman Operan terdapat peneguhan (reinforcement) dan
hukuman. Menurut Mahmood Nazar Mohamed 1990), peneguhan positif ialah
ransangan yang diberi kepada organisma selepas berlakunya sesuatu tingkah laku
yang dapat meningkatkan kebarangkalian berlakunya tingkah laku yang
dikehendaki. Manakala menurut Mok Soon Sang (2003), menyatakan bahawa
peneguhan positif merupakan stimuli yang boleh menambah kebarangkalian
berulangnya sesuatu tingkah laku operan. Berdasarkan takrifan-takrifan yang
diberikan dapat kita simpulkan bahawa peneguhan positif ini merupakan suatu
ransangan yang boleh menyebabkan berulangnya sesuatu tingkah laku yang
dikehendaki.
Peneguhan (reinforcement) adalah perkara yang dilakukan untuk
menggalakkan sesuatu perlakuan itu diulangi. Peneguhan (reinforcement) terbahagi
kepada dua iaitu peneguhan positif dan peneguhan negatif. Peneguhan positif
adalah seperti ganjaran, hadiah dan juga pujian yang diberikan bagi menggalakkan
seseorang itu melakukan pekerjaan secara berulang-ulang. Peneguhan ini dianggap
oleh Skinner sebagai asas dalam proses pembelajaran. Peneguhan berlaku apabila
lakuan itu diberi balasan dengan hadiah. Keinginan mendapat balasan hadiah ini
menimbulkan keinginan supaya berbuat demikian untuk mendapa hadiah yang
sama. Oleh itu, lakuan itu akan diulang. Pengulangan yang kerap dilakukan akan
mengukuhkan proses pembelajaran. Peneguhan negatif pula ialah sesuatu yang
menyakitkan dan ingin dielakkan oleh individu (Mohamad Saleh Lebar, 1999).
Sebagai contoh, seorang murid akan membersihkan papan hitam bagi mengelakkan
dimarahi oleh gurunya dan bukan untuk mendapatkan pujian. Hukuman adalah
sesuatu tingkah laku negatif jika dipamerkan, boleh menghasilkan sesuatu yang
menyakitkan atau yang boleh menyebabkan kurang selesa (Roediger dalam
Suppiah Nachiappan, Ramlah Jantan & Abdul Aziz Abdul Shukor, 2008).
Justeru, daripada bukti-bukti inilah saya mengkaji dan mendapat idea bagi
menghasilkan teori baru yang dinamakan Teori Ganjaran Hebat ini. Dengan
berbekalkan inovasi Jom Mengumpul Mata, saya mengaplikasikan teori ini di mana
buku tersebut digunakan untuk mengumpul markah bagi setiap individu mengikut
disiplin masing-masing. Disiplin tersebut merangkumi semua aspek sama ada
disiplin individu tersebut mahupun secara berkumpulan. Sekiranya mereka memberi
kerjasama, memberi tumpuan semasa guru mengajar, bertoleransi semasa
melakukan aktiviti berkumpulan serta berdisiplin, markah bagi individu itu akan
ditambah mengikut jumlah-jumlah markah yang telah ditetapkan iaitu 10,20,30,40
ataupun 50 markah. Namun, sekiranya berlaku sebaliknya, maka markah tersebut
akan ditarik dan dikurangkan kembali. Pada akhir praktikum, murid yang paling
banyak mengumpul markah akan diberi ganjaran berupa hadiah.
Selain itu, teori ini diaplikasikan di mana saya menggunakan kata pujian
'bagus' bagi murid-murid yang menjawab soalan dengan betul. Ini bertujuan untuk
mengukuhkan jawapannya, manakala cuba lagi bagi jawapan yang salah atau tidak
tepat. Menurut B.F. Skinner (dalam Suppiah Nachiappan, Ramlah Jantan & Abdul
Aziz Abdul Shukor, 2008), dalam teori pelaziman operan gerak balas dilakukan
(diulangi) atau dihapuskan (tidak diulangi) jika diberikan peneguhan sebaik-baik
sahaja gerak balas itu ditunjukkan.
Kesimpulannya, teori yang telah dihasilkan ini telah berjaya dilaksanakan dan
ia telah membuatkan murid-murid melibatkan diri secara aktif di dalam kelas dan
cuba untuk bersaing dengan rakan-rakan lain bagi mendapat markah yang tinggi.
Selain itu juga, murid akan rasa tergugat dengan penolakan markah token mereka
serta situasi ini telah membuatkan kelas menjadi lebih terkawal dan terurus.