Anda di halaman 1dari 13

Pendidikan seni

Pendahuluan:
Karya seni visual adalah merupakan rekod pencapaian manusia, kerana ia merupakan
manifestasi nilai dan kepercayan manusia yang diilham dan dijelmakan melalui karya
seni atau pun bentuk-bentuk seni. Penelitian yang kritikal terhadap bentuk-bentuk seni
yang ada di sekeliling kita boleh mendorong kita untuk lebih memahami budaya silam,
budaya kini dan akan datang . Dengan lain perkataan ia membuat kita menilai atau
mendorong untuk membuat refleksi tentang nilai dan kepercayaan yang bertaliarus
dengan perkembangan dan kemajuan sesuatu masa. Kita harus bertanya melalui
kesedaran itu ke manakah arah hidup kita ? Inilah sebahagian daripada contoh nilai
pendidikan yang boleh disumbang oleh pendidikan seni.

Pendidikan Seni Dalam Kontaks Sistem Pendidikan Kebangsaan:

Mata pelajaran pendidikan seni bukanlah semata-mata bermatlamat untuk melahirkan
semua pelajar sebagai pelukis atau pereka. Keyakinan untuk mewujudkan warga
negara yang berbudaya khususnya individu yang imaginatif, kreatif, berdaya reka,
berpengetahuan dan peka terhadap ciri-ciri estetika dijadikan landasan pembentukan
dan perlaksanaan mata pelajaran pendidikan seni di sekolah. Dalam konteks
bersepadu, mata pelajaran pendidikan seni bertujuan membolehkan pelajar menyedari,
memahami dan menghargai peranan seni sebagai satu keperluan dalam urusan hidup,
hubungannya dengan kejadian alam, kaitannya dengan perkembangan sains dan
teknologi, aplikasi seni dalam industri rekaan dan pembuatan, sumbangannya dalam
bidang keusahawanan dan ekonomi negara, peluangnya dalam kerjaya serta kesannya
terhadap budaya kebangsaan, bidang komunikasi, rekreasi, alam persekitaran dan
kehidupan sehari-hari.

Satu sukatan pelajaran pendidikan seni visual yang mantap dan bersifat global
telah sedia untuk mencanai pelajar-pelajar menuju ke arah matlamat yang telah
ditetapkan (sukatan pelajaran pendidikan seni visual untuk sekolah menengah 2000 dan
sukatan pelajaran pendidikan seni visual STPM 2000). Walaupun pada hakikatnya
banyak lagi yang boleh diperbaiki selaras dengan perkembangan dan isu-isu semasa.
Contohnya seperti kurikulum berlandaskan kepada budaya tempatan yang kaya dengan
nilai-nilai seni yang lahir daripada kepelbagaian budaya yang terdapat di Malaysia.
Falsafah Pendidikan Kebangsaan ada menyebut tentang usaha yang berterusan ke
arah memperkembangkan bakat dan potensi individu secara menyeluruh. Segala
kebolehan pelajar yang ada tidak patut disia-siakan. Ini bermakna peranan pendidikan
seni untuk pembentukan individu yang seimbang dan bersepadu perlu menjadai fokus.
Ini adalah kerana penglibatan di dalam kegiatan seni bukan sahaja menyentuh
perasaan, estetika dan daya kreatif seseorang melalui penajaman daya intuisi, persepsi
dan konsepsinya, malah boleh mewujudkan rasa kepuasan dan kesedaran terhadap
bakat dan kemampuan diri di dalam bidang seni. Sifat-sifat tersebut akan menjadikan
individu lebih sensitif, bersikap sederhana dan mampu mengamalkan pertimbangan
kesenian dan kesempurnaan dalam mengendalikan kehidupannya.

Dasar Pendidikan Negara (DPN) dan Perancangan Kurikulum.

Dasar Pendidikan Negara menggariskan tujahan-tujahan yang dapat dijadikan
landasan bagi meletakkan pendidikan sebagai wadah untuk pembangunan insan.
Akta Pelajaran 1961

Dasar Pelajaran Persekutuan yang asasnya diisytiharkan dalam Ordinan 1957
adalah untuk membentuk satu sistem pelajaran kebangsaan yang akan memenuhi
keperluan-keperluan negara dan menggalakkan pertumbuhan kebudayaan sosial,
ekonomi dan politik

Dalam konteks negara Malaysia yang berbagai kaum dan agama, DPN merupakan
suatu yang dapat menggerakkan semua golongan masyarakat ke
arah perpaduan. Melalui sistem pendidikan yang sama dan halatuju yang seiring,
pendemokrasian pendidikan memastikan hak setiap individu dalam masyarakat terjamin
dengan menerima nilai dan ilmu yang sama dan semangat perpaduan boleh
dipupuk. Dasar Pendidikan Negara juga menggariskan keperluan guna tenaga yang
tinggi dalam era teknologi dan maklumat selari dengan perkembangan
semasa. Dalam jangka panjang juga DPK memegang hasrat untuk
melahirkan warganegara yang berdisiplin, Kesemua kehendak DPK ini didokong oleh
FalsafahPendidikan Kebangsaan (FPK) yang digarap dengan begitu kemas untuk
memperjelas setiap aspek yang perlu dipraktikkan oleh pendidik.

Dalam konteks perkembangan universal, setiap individu mewakili budaya, adat,
etnik, latarbelakang keluarga, kepercayaan dan kelas sosio ekonomi yang
berbeza, membentuk suatu adunan yang menarik sekiranya dapat dilakukan
dengan teliti. Peri pentingnya budaya dalam konteks menyatupadukan masyarakat,
memberi kita suatu pandangan yang luas dan menarik mengenali fungsi budaya
dalam pendidikan.
Arvizu (1980) dalam Boyle, L. (1999) menjelaskan

a definition of culture that conveys how wide and broad its effect is on what we
know, what we value, and how we behave, culture is a dynamic, creative, and
continuous including behaviors, values, and substance learned and shared by
people that guides them in their struggle for survival and gives meaning to their lives.

Matlamat global pendidikan adalah untuk memepertingkat pengetahuan, kemahiran dan
sikap yang membenarkan seseorang individu melihat dunia sebagai sebuah komuniti di
samping menghargai dan mengapresiasi budaya dan warisan bangsa. Hubungan antara
pendidikan dan kehidupan melibatkan penggubalan kurikulum yang dapat menyediakan
pengalaman secara amnya, pendidikan didokong oleh 10 prinsip iaitu:

..sebagai asas pengetahuan, pembelajaran jangkahayat, pembelajaran kooperatif,
pembelajaran kajian sosial, ekonomi, teknologi, sebagai suatu pembelajaran kritikal
dan kreatif, pembelajaran pelbagai adat dan budaya dan pembelajaran
moral(tatarakyat dan sivik)( ibid).

Justeru penyediaan perancangan kurikulum yang komprehensif harus digubal ke
arah merealisasi pendidikan yang dapat menjamin pembentukan individu yang dapat
menyumbang ke arah pembangunan negara dan bangsa.

Apakah yang boleh disumbangkan oleh pendidikan seni kepada masyarakat di
abad ke 21 ?

Sebagai sebuah wadah untuk menjana ilmu, pendidikan seni khusus dalam aspek
yang berkaitan dengan ilmu dan kemahiran ia mampu manyediakan ruang
untuk meningkatkan kualiti insan . Lansing (1972) berpendapat bahawa menerusi
pelajaran pendidikan seni ketiga-tiga domain pelajar perlu dipenuhi, iaitu domain
kognitif , afektif dan psikomotor. Pelajaran ini perlu memberikan ilmu yang berkaitan
dengan prosedur, ilmu sejarah seni, ilmu tentang estetika ilmu tentang gubahan dan
ilmu yang berkaitan dengan seni dalam kehidupan. Sementara dalam domain afektif
pula perlu membangunkan nilai dan peribadi insan yang menyentuh aspek-aspek
pengukuhan keyakinan diri di kalangan pelajar. Di samping itu pelajar perlu diberi
latihan untuk meningkatkan kemahirannya psikomotor dalam penggunaan peralatan
dan bahan. Sementara Laura Chapman (1978 ) dan Efland (1977) pula
mencadangkan pelajaran pendidikan seni harus boleh memberi latihan kepada
pelajar untuk membuat pernyataan seni dan bertindak balas dengan meningkatkan
keupayaan individu sebagai seorang penggiat atau sebagai seorang peminat seni ,
peka kepada warisan seni yang ditinggalkan dan berupaya melihat hubungan dan
peranan seni dalam masyarakatnya . Hasil daripada kajian sekumpulan pakar
pendidikan seni yang dibantu oleh Yayasan Gatty kurikulum pendidikan seni
berasaskan disiplin (DBAE) telah diperkenalkan . DBAE menekankan kepada empat
disiplin ilmu iatu disiplin yang berkaitan sejarah seni, estetika, kritikan dan
menghasilkan produk seni. Keempat-empat disiplin itu diajar secara bersepadu.

Dalam konteks perkembangan kurikulam pendidikan seni di negara kita
pembentukan kurikulum sejak kurikulum baru sekolah menengah (KBSM)
diperkenalkan pada tahun 1988 yang lalu dan perubahan yang berlaku pada tahun
2001 pada sukatan pelajaran KBSM dan STPM sedikit sebanyak terpengaruh
dengan perubahan-perubahan yang berlaku di arena antarabangsa dari segi struktur
kandungannnya. Perubahan yang dilakukan adalah bertujuan untuk peningkatan
mutu kandungan kurikulum yang sedia ada bagi menghadapi keperluan negara
sekurang-kurangnya untuk lima hingga sepuluh tahun yang akan datang pada dekat
pertama abad ke 21 ini. Persoalannya , sejauhmanakah dengan perubahan yang
telah dilakukan itu pelajaran ini dapat memberi sumbangan kepada pembentukan
dan pembinaan generasi muda seperti yang diharapkan oleh DPN dan FPK.
Perancangan pendidikan seni di masa hadapan bergantung kepada perubahan yang
diperlukan oleh masyarakat dan keperluan negara. Bekas Y.A.B. Perdana Menteri
menegaskan dalam kertas kerja Malaysia Melangkah Ke Hadapan(MMKH), dan juga
sewaktu melancarkan Dasar Pembangunan Nasional(DPN) di Parlimen pada 17 Jun
1991. Dalam MMKH, beliau berkata:
Kita patut membangunkan negara menurut acuan kita sendiri. Malaysia tidak patut
dibangunkan dari sudut ekonomi sahaja. Ia sepatutnya menjadi sebuah negara
yang membangun sepenuhnya(maju) dalam semua bidang: ekonomi, politik, social,
rohani, psikologi dan budaya.
(Para 3 & 4, hal. 1)
Oleh kerana matlamat dan objektif sesuatu pelajaran itu dinamik dan sedia berubah
mengikut keperluan semasa maka struktur kandungannya juga dinamik. Tetapi
dalam pendidikan seni tidak berlaku pemisahan di antara pelajar, konteks dan
kandungan pelajaran. Siapa yang belajar, mengapa dipelajari dan apa yang
dipelajari adalah perkara-perkara utama dalam memberi definisi pendidikan seni
(Efland, 1995). Adalah lebih tepat jikalau asas kurikulum Pendidkan Seni di Malaysia
ini berteraskan budaya tempatan dan menjadikan perkembangan di luar
negarasebagai suat perbandingan.

Meningkatkan daya kreativiti dan inovasi dan melahirkan tenaga mahir .

Menerusi pelajaran pendidikan seni ini sumbangan yang boleh diberikan untuk
meningkatkan kualiti generasi muda di abad ke 21 adalah untuk meningkatkan daya
kreativiti dan berkeupayaan tinggi dalam membuat inovasi . Daripada kelohan
pemimpin kita yang menyatakan bahawa Malaysia kekurangan inovator adalah
satu cabaran kepada sistem pendidikan negara ini, khususnya pelajaran yang
sepatutnya boleh melatih dan membentuk asas nilai dan keupayaan kreatif dan
inovatif ini. Pendidikan seni adalah salah satu mata pelajaran yang boleh memupuk
kebolehan ini. Selepas beberapa genarasi berlalu yang telah melalui pelajaran ini
tetapi masih belum dapat memenuhi keperluan negara masa kini sepenuhnya.
Dengan menambah satu atau dua mata pelajaran baru belum menjamin melahirkan
generasi yang kreatif dan inovatif. Tetapi apa yang perlu dipastikan adalah
kesesuaian isi kandungan dan perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran yang
berkesan terhadap mata pelajaran sedia ada, agar berupaya membina nilai dan
keupayaan tersebut. Oleh itu untuk menangani keperluan di abad ini perancangan
perlu dibuat agar kualiti kreatif dan inovatif ini dapat disemai di kalangan pelajar
melalui pelajaran pendidikan seni dengan memberi penekanan yang lebih serious
malah terancang agar dapat membantu melahirkan guna tenaga yang berkualiti.
Untuk melahirkan guna tenaga yang berkualiti, maka tenaga pengajar juga perlu
berkualiti . Dalam proses mencanai hingga ke tahap ini kita perlu melihat senario
masa kini terhadap keupayaan tenaga pengajar dalam industri yang berkaitan
dengan seni. Saya membawa contoh masalah tenaga pengajar institusi kraf di
negara ini:

Menurut kajian profil industri batik di Malaysia oleh PKKM bersama MEDEC (1998)
didapati taraf pendidikan pengusaha kraf batik adalah seperti berikut:
Pemegang Ijazah 4.6 %
Pemegang Diploma 6.7 %
Sekolah Menengah Atas 47.7 %
Sekolah Menengah Rendah 23.8 %
Mereka diharapkan dapat memainkan peranan untuk melahirkan kumpulan
usahawan berteknologi tinggi. Perkembangan ini menunjukkan status akademik di
kalangan tenaga akademik yang mengendalikan pelajaran ini perlu diambil
perhatian. Begitu juga untuk mendapatkan tenaga akademik yang berkelayakan
untuk menjadi pensyarah di universiti dalam bidang-bidang tertentu seperti bidang
seni gunaan, rekabentuk kraf dan beberapa bidang lain amat sukar. Usaha untuk
membawa masuk tenaga pakar dari luar negara pun masih banyak halangan kerana
kebanyakan mereka tidak memenuhi syarat perjawatan yang dikenakan oleh JPA.
Sedangkan mereka adalah benar-benar profesional dalam bidang berkaitan , bidang
kraf umpamanya mereka yang pakar tida kelulusan akademik yang tinggi tetepi
mereka adalah sangat pakar dalam bidangnya. Inilah kekangan yang dihadapi oleh
kita untuk menaikkan taraf tenaga akademik dalam bidang seni.

Keadaan ini amat bertentangan dengan perkembangan industri pembuatan negara
kita. Berdasarkan Kajian Separuh Penggal RMK 1996-2000 oleh Unit Perancangan
Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (1999) Produktiviti dalam bidang barangan
pembuatan pada tahun 1998 adalah berjumlah RM 2.9 bilion ianya semakin
meningkat pada tahun 1999 kepada RM 3.4 bilion

Nilai eksport barangan buatan untuk tahun 1998. (Jadual 1) (cuba dapatkan data terkini
untuk perbandingan)


ITEMS 1998
Ceramic 143798528
Wood 2750260810
Pearls,Precious & Semi Precious Stones 4657242
Leather of Composition or Patent Leather 6998797
Embroidery, Lace 431112
Copper Zinc base Alloy (Brass) 917909
Silver 27850012
Bamboo 51463
Rattan 52038993
Jumlah (RM) 2,987,004,886

Dipetik daripada Kajian Separuh Penggal RMK 1996-2000 oleh Unit Perancangan
Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (1999)

Nilai eksport barangan buatan untuk tahun 1999. (Jadual 2)


Item
1999
Ceramic 245,824,960
Wood 3,106,498,978
Pearls,Precious & Semi Precious Stones 66,529
Leather of Composition or Patent Leather 8,179,526
Embroidery, Lace 255,658
Copper Zinc base Alloy (Brass) 280,000
Silver 38,601,287
Bamboo 6,2906
Rattan 36,513,432
Jumlah (RM) 3,436,283,276

Dipetik daripada Kajian Separuh Penggal RMK 1996-2000 oleh Unit Perancangan
Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (1999) (cuba dapatkan data terkini untuk
perbandingan)

Suatu usaha untuk meningkatkan kualiti tenaga mahir dalam bidang-bidang yang
berkaitan dengan seni perlu diambil perhatian segera. Masyarakat di negara maju
akan berhadapan dengan persaingan di pasaran antara bangsa. Sebagai contoh
walaupun dari segi teknologi mutu buatan barangan perabut kita tinggi tetapi dari
segi rekabentuk barang-barang perabut kita masih ketinggalan berbanding dengan
negara-negara jiran. Ini terbukti pada pameran perdagangan antarabangsa di Emirit
Arab Bersatu menjelang abad ke 21 yang lalu.

Walaupun ada usaha pihak kerajaan menyediakan tenaga mahir dalam bidang industri
dan keusahawanan menerusi beberapa institusi dan pusat latihan bertaraf sijil dan
diploma, umpamanya melalui Institut Kemahiran Mara (IKM), Pusat Kemajuan
Kraftangan, dan lain-lain seumpamanya tetapi, pembentukan asas kemahiran dan
pengetahuan perlu dimulakan peringkat awal melalui sistem persekolahan. Mencontohi
sistem pendidikan di Indonesia, pelajar-pelajar yang
berbakat dan berketerampilan di dalam sesuatu bidang seni akan dijuruskan ke dalam
bidang khusus selepas sijil menengah rendah (selepas PMR di Malaysia) dan mengikuti
kursus selama tiga tahun dalam bidang berkenaan. Pelajar bukan sahaja mendapat
pendidikan asas malahan mereka juga dilatih agar mampu berdikari sebagai tenaga
separa mahir. Mereka boleh memilih untuk terus berkerja atau menyambung pelajaran
di peringkat yang lebih tinggi dengan asas kemahiran yang kukuh atau menceburi
bidang perekerjaan.

Untuk meningkatkan lagi kualiti penyedian tenaga mahir yang mempunyai asas
yang kukuh kurikulum pendidikan seni di abad ke 21 perlulah memperkenalkan
penggunaan teknologi dalam kurikulum pendidikan seni di sekolah-sekolah.
Paradigma terhadap pendidikan seni perlu diubah. Bilik pendidikan seni yang khusus
lengkap dengan peralatan dan teknologi yang sesuai perlu disediakan. Dengan
hanya menyediakan tiga buah komputer grafik untuk sebuah sekolah adalah tidak
mencukupi untuk tujuan pembelajaran pelajar. Walaupun pihak kerajaan terpaksa
mengeluarkan belanja lebih tetapi itu adalah suatu keperluan yang perlu dipenuhi.
Penggunaan teknologi asas perlu untuk pelajaran pendidikan seni di sekolah-
sekolah. Weinklemann(1717-1768) seorang ahli falsafah Jerman menyatakan
bahawa seni itu sebahagian daripada cabang sains dan tidak wajar dipisahkan.
Keindahan sesebuah karya bukan sahaja satu proses melihat malah ia melibatkan
proses pemikiran yang kritis. Proses merekabentuk perlu menggunakan komputer.
Tetapi kita jangan menapikan kepentingan dalam penguasaan kemahiran melalui
kaedah tradisional (secara manual). Selari dengan keperluan masa kini Celik
komputer di kalangan pelajar boleh membantu meningkatkan kualiti rekabentuk dan
rekacipa. Kajian yang dilakukan oleh Iberahim dan Hassan (2002) jelas
menunjukkan aplikasi teknologi ICT dalam Pelajaran Pendidikan Seni amat
memberangsangkan. Apabila pelajaran pendidikan seni diajar secara interaktif
menerusi multimedia melalui e-learning sudah tentu harapan melahirkan
masyarakat berilmu dan mahir dalam penggunaan teknologi maklumat khususnya
dalam seni akan terbentuk. Selain daripada itu melalui mata pelajaran ini penerapan
budaya membuat kajian dan penyelidikan perlu diamalkan khususnya dalam proses
pengajaran dan pembelajarannya. Proses mengkaji dan menyelidik merupakan
sebahagian daripada proses pemikiran kreatif dan inovatif yang perlu ditekankan
bagi menyumbang ke arah tenaga kerja yang berketrampilan

Membina generasi yang peka dan mampu membudayakan kepentingan nilai
estetika dalam kehidupannya.

Pelajaran ini juga seharusnya boleh meningkatkan kualiti deria kepekaan individu
khususnya yang berkaitan dengan bentuk-bentuk seni dan persekitarannya. Peka
kepada keindahan dan kebersihan fizikal dan kebersihan rohani boleh dibentuk
melalui pelajaran ini. Untuk menangani tekanan dan pembangunan yang pesat
sebagai negara maju di abad ke 21 sifat peka ini perlu ditanam di kalangan generasi
muda . Melalui pelajaran pendidikan seni domain afektif pelajar dipupuk dan dijana
agar sifat-sifat murni dan pembinaan rohani mereka terbentuk. Salah satu masalah
yang sering dihadapi oleh negara maju ialah generasi muda yang gemar
menconteng dan memusnahkan barangan awam, mungkin untuk meluahkan
perasaan dan tenaga yang berlebihan tanpa mengira kesannya kepada persekitaran
dan keperluan ramai. Pertimbangan yang mereka amal lebih kepada kepentingan
individu yang dipengaruhi emosi. Senario ini bertentangan dengan budaya
masyarakat timur, tetapi nilai-nilai negatif ini semakin menular di kalangan generasi
muda dan perlu dibendung. Perasaan sayang dan perlukan keindahan alam sekitar ,
memerlukan hidup selesa dengan suasana yang nyaman dan tahu pula bagaimana
untuk memulihara keindahan itu perlu dididik dari peringkat awal. Oleh itu
perancangan kurikulum pendidikan seni untuk menyediakan generasi muda abad ini
perlu dibuat dengan teliti agar nilai-nilai murni itu berjaya dibentuk dan direalisasi .
Hasrat ini akan dapat dicapai apabila suatu perancangan yang khusus untuk
meningkatkan pengetahuan dengan penuh kesedaran dan amalan yang berterusan
sehingga dapat membina satu generasi yang mampu membudayakan kepentingan
nilai estetika dalam kehidupannya. Perancangan yang sehebat mana pun tidak
akan menjanjikan perubahan sekiranya pelaksana program itu tidak mampu
melaksanakan peranannya.
Meningkatkan Kemahiran Menghayati Seni
Selain daripada itu keupayaan mentafsir dan berbicara tentang sesuatu makna,
falsafah, pendidikan, nilai dan kepercayaan yang tersirat di dalam sesuatu bentuk
seni perlu di tingkatkan. Dengan lain perkataan ilmu tentang menghayati seni perlu
diberi tumpuan supaya dapat menyokong kekuatan sesorang individu terhadap
hubungannya dengan bentuk-bentuk seni. Harapan kita agar ilmu ini akan dapat
melahirkan sebuah masyarakat yang tahu berbicara tentang seni, tahu menilai
sesuatu bentuk seni seterusnya mampu meletakkan nilai seni itu sebagai warisan
bangsa dan budaya sesuai pada tempatnya. Golongan inilah yang akan
menggerakkan industri seni negara, yang menjadi pelanggan kepada penggiat seni.
Semakin berkembangnya masyarakat yang celik seni maka semakin
berkembanglah industri galeri dan muzium seni di negara ini. Industri ini ada
perkaitan dengan industri pelancongan yang merupakan satu lagi cabang ekonomi
negara-negara maju. Apabila ada kesedaran masyarakat untuk menghayati seni
dan boleh pula menjadikan seni itu sebagai sebahagian daripada aktiviti di masa
senggang maka mereka perlukan galeri atau muzium atau industri-industri sokongan
lain untuk tujuan tersebut, mereka akan melancong ketempat-tempat berkenaan,
sementara pelancong pula tertarik untuk berkunjung dan sanggup mengeluarkan
perbelanjaan untuk kepuasan, maka lingkaran perniagaan industri seni dan
pelancungan akan terus berkembang.
Untuk merealisasikan keadaan ini semua pihak perlu terlibat dan memberi
sumbangan. Kerjasama antara pihak sekolah dengan institusi, agensi atau badan-
badan profesional, tokoh-tokoh seni, seniman perseorangan amat diperlukan.
Membina Disiplin
Menerusi pelajaran pendidikan seni disiplin pelajar yang tinggi seharusnya dapat
dibentuk kerana setiap kegiatan dalam pelajaran ini menyentuh aspek yang
berkaitan dengan prosedur, tatacara dan peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi
khususnya yang berkaitan dengan penggunaan alat dan bahan, penggunaan
teknologi, seterusnya perlu mematuhi lunas-lunas seni yang halus itu. Disiplin boleh
dibentuk secara beransur-ansur tetapi tekal. Membina masyarakat yang berdisiplin
adalah salah satu daripada matlamat DPN juga hasrat FPK. Pembentukan disiplin di
kalangan pelajar-pelajar melalui mata pelajaran pendidikan seni masih banyak ruang
perlu diperbaiki. Kurang berkesannya membentuk disiplin ini juga boleh
mempengaruhi tahap pengiktirafan pihak-pihak tertentu termasuk pelajar sendiri
terhadap matapelajaran seni. Persoalan yang boleh ditimbulkan di sini
adalah mengapa tahap disiplin pelajar ketika berada di makmal sains atau di
bengkel kemahiran hidup begitu tinggi berbanding apabila mereka berada di bilik
seni. Sebagai contoh disiplin yang berkaitan dengan merancang, jimat cermat,
menjaga kebersihan bilik dan perabut, mematuhi prosedur penggunaan alat dan
bahan, menjaga keselamatan alat dan bahan, disiplin ketika berkerja, disiplin
berpameran, disiplin penyimpanan dan perekodan dan sebagainya masih boleh
dibentuk dengan lebih berkesan melalui latihan berterusan dan perancangan yang
rapi oleh [pihak guru. Di samping mata pelajaran lain yang terdapat di sekolah,
keistimewaan mata pelajaran pendidikan seni yang khusus, dapat membina nilai-
nilai halus dan murni, secara kreatif dan inovatif ianya juga mampu membentuk
disiplin pelajarnya seperti juga kentalnya disiplin adiguru atau pandai tukang dahulu
dan para seniman masa kini.

Membina jati diri dan membina ilmu seni yang bersifat global.
Seperti yang telah dinyatakan di atas bahawa pendidikan seni adalah suatu bidang
ilmu yang menyentuh semua domain. Ilmu yang disampaikan menerusi pelajaran
pendidikan seni bukan setakat menanamkan ilmu yang berkaitan dengan kemahiran
semata-mata tetapi turut melibatkan ilmu yang berkaitan dengan estetika , sejarah
dan peradaban seni dan kritikan seni, dan ilmu kemahiran yang berkaitan dengan
prosidur pembuatan yang melibatkan proses kreatif.. Melaluinya dapat dilahirkan
genarasi yang celik seni dan boleh menjadi pelanggan kepada industri seni itu
sendiri malahan boleh menentukan hidup matinya industri tersebut. Apabila
wujud generasi yang mempunyai ilmu mengenai seni, khususnya seni yang lahir
daripada budaya bangsanya dan boleh pula membandingkan ilmu-ilmu seni itu
dengan ilmu seni yang merentasi budaya, negara, zaman dan ruang, maka dengan
kekuatan ilmu ini seharusnya boleh membina jati diri individu tersebut, memupuk
rasa bangga dan menghargai hasil seni yang dicipta oleh bangsanya dan
menyanjung dan memartabat nilai-nilai dan keistimewaan warisan bangsanya itu
berbanding dengan budaya lain di dunia ini.

Sesuatu bentuk seni yang dicipta oleh sesorang seniman atau adiguru itu adalah
merupakan sebuah rekod atau catatan tamadun bangsanya pada sesuatu masa
tertentu. Selagi ia dipelihara dan dihargai oleh bangsanya maka ia akan tetap kekal
sebagai lambang kepada perkembangan tamadun bangsa tersebut. (Contoh beri
gambar) Sebagai contoh kita mengenali tamadun Mesir purba , tamadun Greek dan
banyak lagi tamadun di dunia ini adalah melalui peninggalan bentuk-bentuk seni
yang dicipta oleh seniman atau ahli profesional di zaman-zaman berkenaan. Bukan
setakat itu sahaja malahan kita dapat mempelajari kebudayaan dan nilai serta
kepercayaan mereka melalui peninggalan seni. Bangsa Malaysia kaya dengan
bentuk-bentuk seni tetapi sekiranya kita gagal membina nilai jati diri melalui
pelajaran seni ini, lama kelamaan bahan seni itu akan luput oleh zaman. Ini telah
terbukti dengan semakin pupusnya pengetahuan dan keperhatinan generasi
sekarang terhadap kraf tradisional seperti seni telepok, seni tekat malah songket pun
sedang beransur-ansur hilang dari ingatan dan pilihan genarasi muda, walaupun
ada usaha dari pihak tertentu untuk menyelamatkannya. Kandungan pelajaran
pendidikan seni perlu mampu menarik semula perhatian pelajar kepada bentuk-
bentuk seni warisan budaya dan bangsanya dengan memberi suntikan terhadap
berbagai-bagai jenis ilmu, nilai, dan falsafah yang boleh menyingkap akar
umbi identiti bangsa dan budaya kita. Dengan ini pembentukan jati diri di kalangan
generasi muda akan lebih mampan.

Pada abad ke 21 Malaysia akan menjadi sebuah negara maju, kini telah satu abad
berlalu. Itulah harapan dan matlamat negara kita. Sebagai sebuah negara maju
rakyatnya perlu berkualiti antarabangsa. Salah satu daripada sifat-sifat tersebut
ialah sekurang-kurangnya boleh mengenali di manakah negara-negara yang
menjadi pasaran produk barangan negaranya yang diedarkan di merata dunia.
Untuk mengenali lebih dekat tentang budaya mereka pemupukan pengetahuan di
kalangan generasi muda dapat dilaksanakan menerusi pendidikan seni. Ini dilakukan
oleh Jepun, sebuah negara timur yang diiktiraf barat sebagai berteknologi dan
berdaya saing dalam pasaran ekonomi dunia. Hasil temubual saya dengan En
Fakuda Takamasa, profesor pendidikan seni dari Fakulti Pendidikan Universiti
Yamaguchi Jepun dan En. Sasaki Tsukasa dari Universiti Pendidikan Hokkaido,
Kushiro Jepun yang telah beberapa kali datang ke Malaysia dan beberapa negara
Asia Tenggara untuk membuat penyelidikan terhadap perancangan dan
perkembangan kurikulum pendidikan seni. Saya tertarik dengan kenyataan beliau
bahawa kurikulum pendidikan seni Jepun perlu penambahan satu komponen yang
berkait dengan budaya masyarakat Asia Tenggara termasuk Malaysia di samping
budaya-budaya lain di dunia. Mempelajari seni dalam budaya lain jelas dapat dilihat
daripada buku-buku rujukan pendidikan seni mereka, pelajar-pelajar diperkenalkan
dengan bentuk-bentuk seni yang dihasilkan dan digunakan oleh penduduk Afrika,
Amerika Selatan, Amerika Tengah, dan banyak lagi. Situasi ini mendorong untuk kita
membuat tafsiran; mengapa pelajar-pelajar Jepun diperkenalkan kepada budaya
antarabangsa ?
Anggapan bahawa pengetahuan yang dipelajari menerusi bentuk-bentuk seni itu
akan dapat memupuk satu kesedaran di kalangan pelajarnya bahawa pertamanya,
untuk memperkayakan lagi kualiti ilmu seni, di samping mempelajari nilai-nilai seni
budaya sendiri tetapi nilai-nilai seni dari budaya lain juga perlu dipelajari sebagai
perbandingan seterusnya dapat membuka minda pelajarnya terhadap nilai-nilai
antarabangsa. Keduanya rakyat di negara-negara berkenaan merupakan pasaran
ekonomi Jepun, kerana mereka adalah pengguna barangan keluaran Jepun yang
diketahui menakluki hampir keseluruhan pasaran dunia. Perasaan bangga kepada
keupayaan bangsanya akan timbul menerusi pelajaran itu. Ketiganya dari sudut
psikologi, reka bentuk pula untuk menarik minat pengguna antarabangsa terhadap
barangan keluarannya maka cita rasa pengguna itu perlu dipenuhi selaras dengan
keperluan. Ini boleh dilakukan dengan mendekati cita rasa seni sesuatu budaya
yang boleh dibentuk asasnya di kalangan pelajar-pelajar sekolah melalui pendidikan
seni. Dengan mempelajari daripada pengalaman penstrukturan kurikulum Jepun
sebagai negara yang maju dan produk industrinya menguasai pasaran dunia para
pendidik dapat dibuat anjakan dan penyesuaian terhadap kandungan sukatan
pelajaran dan memperbaiki pendekatan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.
Kesimpulannya bahawa kurikulum pendidikan seni Malaysia pada abad ke 21 perlu
berupaya membina semangat jati diri dan membina ilmu seni yang bersifat global .

Membina nilai-nilai perpaduan melalui pendidikan seni .
Melalui pembentukan jati diri dan keupayaan membina budaya ilmu seni di kalangan
generasi muda merupakan satu daripada beberapa pendekatan untuk memupuk
semangat perpaduan di kalangan ahli masyarakat Malaysia yang terdiri daripada
berbilang kaum dan budaya. Ini boleh dirancang menerusi penerapan dan amalan nilai
toleransi terhadap sesuatu nilai bagi sesuatu budaya atau kaum. Toleransi perlu
dijadikan teras kepada pemupukan semangat perpaduan melalui pemahaman dan
penerimaan terhadap kepelbagaian nilai yang boleh didapati pada bentuk-bentuk seni
yang dilahirkan oleh berbagai-bagai kaum yang terdapat di negara ini. Kita harus
mempelajari bagaimana terbentuknya seni di kalangan umat Islam yang berbeza-beza
di dunia ini. Bersatu di bawah satu kepercayaan (akidah) tetapi kebudayaan dan
kesenian mereka terus kekal berkembang, mereka masih dapat mengekalkan identiti
kaum mereka. Di negara Cina, orang Cina Islam masih dengan bentuk dan hiasan seni
kecinaannya, Di negara India orang India Islam masih dengan bentuk dan hiasan seni
yang berunsur keindiaan. Begitu juga dengan suku kaum lain di dunia ini. Dengan
berasaskan kepada satu kepercayaan (prinsip ketawhidan) seni yang terbentuk di dunia
Islam berkembang secara organik, yang melalui berbagai-bagai proses transformasi
yang bergantung kepada unsur-unsur atau nilai persekitaran yang diadaptasi selaras
dengan prinsip ketawhidan (Ismail Farki 1992).
Mempelajari daripada asas perpaduan yang boleh dibentuk antara umat Islam itu,
kandungan pelajaran sejarah dan apresiasi seni perlu menyentuh dan merangsang
pelajar untuk memahami beberapa aspek nilai dan kepercayaan sesuatu budaya yang
terkandung di dalam sesuatu bentuk seni kaum-kaum berkenaan. Dan menjadikan
matlamat pembentukan negara bangsa yang berpegang kepada prinsip-prinsip rukun
negara sebagai landasan untuk memupuk semangat perpaduan di kalangan generasi
muda melalui pelajaran pendidikan seni. Oleh itu tajuk-tajuk yang lebih menyeluruh
menyentuh budaya dan kesenian berbagai kaum yang terdapat di negara ini perlu
dinyatakan di dalam isi kandung pelajaran pendidikan seni dan dilaksanakan secara
menyeluruh dan berpegang kepada semangat toleransi. Pelajaran yang menggunakan
pendekatan budaya adalah sesuai untuk tujuan ini.

Kesimpulannya:
Persediaan untuk menghadapi alaf baru bagi abad ke 21 telah pun dilakukan. Kini
telah satu abad berlalu. Wawasan 2020 yang diunjurkan oleh pemimpin Malaysia
mengandungi intisari pandangan masa hadapan yang optimis, matlamat yang dapat
mempertingkat maruah, martabat dan jati diri bangsa Malaysia turut disokong oleh
pembentukan Dasar Pendidikan Kebangsaan sebagai langkah persediaan untuk
menangani cabaran sama ada dari aspek rohani, sosial, politik, ekonomi, sains, dan
teknologi membuktikan keperluan pembangunan sumber manusia yang lengkap
amat diutamakan. Sukatan pelajaran pendidikan seni visual untuk sekolah rendah,
menengah dan Seni Visual Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (Tingkatan Enam)
masih boleh diteliti dan dilaksanakan secara menyeluruh. Perubahan yang
menyeluruh telah dilakukan untuk pendidikan seni visual STPM. Urutan dari sukatan
pelajaran pendidikan seni visual sekolah menengah, perancangan itu telah
mengambil kira peningkatan kualiti ilmu dan kemahiran yang menjurus kepada dua
paksi ilmu pendidikan seni iaitu komponen penghasilan produk seni dan komponen
sejarah dan apresiasi seni visual. Di peringkat sekolah menengah pengubahsuaian
kandungan tertumpu kepada memperkenalkan teknologi multimedia dalam
kandungan komunikasi visual dan mengamalkan penggunaan teknologi dalam
penghasilan bentuk seni. Prinsip humanizing education menjadi semakin penting
demi menjamin masa hadapan generasi dan bangsa yang aman, makmur dan
sejahtera. Berdasarkan pernyataan objektif pendidikan seni sekolah menengah yang
lebih jelas dan realistik hanya akan tercapai sekiranya objektif-objektif itu dapat
diterjemahkan ke dalam bentuk operasi pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah
oleh guru dan pihak pentadbiran yang profesional dan faham bagaimana untuk
merancang pelajaran ini selari dengan keperluan individu, kehendak masyarakat,
budaya dan negara pada dekad pertama abad ini. Tumpuan kepada pemupukan
budaya ilmu, penerapan nilai murni, pemupukan budaya sains dan teknologi,
pengukuhan perpaduan negara dan meningkatkan kualiti kemahiran merupakan
agenda utama dalam mempersiapkan pendidikan seni seiring dengan cabaran abad
ke 21.

BIBLIOGRAFI
Chapman, L H. (1978). Approaches to Art in Education. New York: Havcourt Brace
Jovanovich Inc.
Boyle, L. (1999). Educating The Global Village. Including the Young Child in the
World. Ohio: Merill(Prentice Hall).
Efland, A.D. (1977). Planning Art Education. Middle/Secondary School Of Ohio: State of
Ohio Dept. of Education.
Ismail R, al-Faruqi dan Lois Lamya al-Faruqi, Atlas Budaya Islam,( terj. Mohd Ridzuan
Othman, dan rakan,1992), Kuala Lumpur:DBP,
Lansing, K. M. (1971). Art, Artists and Art Education. New York: Mc Grraw-Hill Book
Company.
Lowenfeld, Victor and Brittain W. L (1970). Creative and Mental Growth. 5 th. ed.
New York: Macmillan Company.
Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (1999) Kajian Separuh
Penggal RMK 1996-2000. KL.Percetakan Negara.
Afland .A.D. (1995), The Spiraland Lattice:Changes in cognitive learning theory with
implications for art education. Studies in Art Education, 36(3):134-153.
PKKM , MEDEC (1998) Kajian profil industri batik di Malaysia dalam Misroni Haji
Sulaiman.(2000), Summary of Craft Export. Kertas Kerja Tembikar Moden Di
Malaysia Cabaran Dan Harapan, Seminar Tembikar Dari Wawasan Ke wawasan.
30 Mei 2000. Anjuran Lembaga Muzium Selangor Dengan Kerjasama Jabatan
Muzium Dan Antikuiti, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dan Muzium Seni
Asia, Universiti Malaya

Anda mungkin juga menyukai