Anda di halaman 1dari 11

Soalan 1

Huraikan dengan jelas bagaimanakah guru dapat menjayakan matlamat FPK


tersebut dalam pelaksanaan kurikulum dan kokurikulum di sekolah.
Guru ialah seorang pendidik yang berilmu pengetahuan dan dilatih untuk
menguasai kemahiran mengajar. Proses pengajaran merupakan suatu aktiviti atau
proses yang berkaitan dengan penyebaran ilmu pengetahuan atau kemahiran tertentu.
Ia meliputi perkara-perkara seperti aktiviti perancangan, pengelolaan, penyampaian,
bimbingan dan penilaian dengan tujuan menyebar ilmu pengetahuan atau kemahiran
kepada pelajar-pelajar dengan cara berkesan. Proses peningkatan kecemerlangan
yang berterusan akan mewujudkan situasi yang baik menjadi lebih baik dan yang lebih
baik menjadi terbaik dan kita menjadi yang terbaik antara yang terbaik. Sebagai
seorang pendidik yang bertanggungjawab, guru hari ini harus menyedari tugas dan
amanah yang diserahkan kepadanya untuk mendidik generasi yang akan menjadi
dewasa nanti. Hal ini kerana pendidikan pada masa kini adalah sesuatu yang berharga.
Pendidikan yang terbaik mestilah datang dari pendidik atau guru yang terbaik.
Guru merupakan komponen teras yang menentukan kejayaan pelaksanaan
kurikulum dan kokurikulum tersurat dan tersirat yang terkandung dalam Falsafah
Pendidikan Kebangsaan(FPK), di samping pembentuk wajah pelapis kepimpinan dan
pemacu pembangunan negara. Seseorang guru yang menghayati Falsafah Pendidikan
Kebangsaan dengan lebih mendalam menyebabkan sesuatu pembelajaran itu
disampaikan dengan baik dan ilmu yang disampaikan itu dapat diberi secara
menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari
segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan
(FPK). Dengan ini ia akan dapat meningkatkan kepuasan bekerja serta prestasi
seseorang guru. Bagi menjayakan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK)
dalam pelaksanaan kurikulum dan kokurikulum para guru mempunyai pelbagai peranan
dan tanggungjawab yang harus dilaksanakan.


Kurikulum
Kurikulum merupakan satu aspek yang penting untuk menjadi seorang guru yang
berilmu dan berpengetahuan. Ia merupakan satu skop dan isi kandungan sesuatu mata
pelajaran di institusi pendidikan seperti sekolah dan universiti yang mencakupi
pembelajaran samada di luar mahupun di luar kelas. Terdapat pelbagai tanggungjawab
atau peranan yang harus dimainkan oleh seseorang guru dalam menjayakan matlamat
Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam pelaksanaan kurikulum. Yang pertamanya
adalah penggunaan teori, strategi dan kaedah pembelajaran dalam aktiviti PNP di
dalam kelas.
Teori, Strategi dan Kaedah Pembelajaran
Terdapat beberapa teori, strategi dan kaedah pembelajaran yang boleh digunakan oleh
seseorang guru dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran iaitu proses
PNP di dalam kelas. Penggunaan pelbagai kaedah dan teknik mengajar akan dapat
memudahkan murid-murid untuk menjalankan aktiviti pembelajaran mereka dengan
lebih berkesan. Antaranya adalah:
Pembelajaran Kontekstual
Pembelajaran kontekstual merujuk kepada strategi pengajaran dan pembelajaran yang
menggabungkan isi pengajaran dengan pengalaman harian individu, masyarakat dan
alam pekerjaan. Dalam pembelajaran kontekstual, pelajar akan melalui satu atau lebih
daripada bentuk pembelajaran yang lebih dikenali sebagai REACT yang terdiri
daripada R(relating/ menghubungkait), E(experiencing/ mengalami), A(applying/
mengaplikasikan), C(cooperating/ bekerjasama) dan T(transfering/ memindahkan).
Kaedah Tunjuk Cara / Demonstrasi
Tunjuk cara ialah satu cara untuk melatih pelajar memerhati dan melakukan sesuatu
aktiviti mengikut prosedur. Ia melibatkan demonstrasi guru atau seorang individu di
hadapan kelas untuk menunjukkan sesuatu aktiviti atau prosedur atau langkah. Cara ini
sesuai untuk pengajaran tarian, kemahiran hidup, lukisan atau proses pengajaran yang
menjalankan sesuatu aktiviti. Kaedah tunjuk cara ini memberi peluang kepada para
pelajar untuk benar-benar memahami apa yang hendak dipelajari setelah melalui
prosedur yang ditunjukkan. Selain itu, kaedah ini juga akan membuatkan para pelajar
menguasai konsep dan prinsip dengan mudah. Ia juga akan meningkatkan ingatan
pelajar terhadap langkah-langkah pelaksanaan sesuatu eksperimen. Malah, ia juga
mampu meningkatkan keyakinan pelajar untuk menjalankan sesuatu aktiviti dan
seterusnya membolehkan pelajar mencontohi sesuatu perlakuan dengan lebih mudah.
Kelebihan teknik tunjuk cara ini ialah memperkenalkan bahan pembelajaran baru
kepada pelajar melalui penglihatan dan pendengaran. Tiga jenis tunjuk cara ialah model
hidup, model simbolik dan model persepsi.
Kaedah Strategi Main Sambil Belajar
Strategi main sambil belajar adalah aktiviti yang dijalankan secara spontan yang
membawa kepada pembelajaran. Main merupakan ekspresi kendiri yang kreatif dan
perkembangannya paling jelas pada peringkat kanak-kanak. Kanak-kanak akan
mencari pengetahuan dengan kaedah permainan yang merupakan salah satu kaedah
yang sangat menyeronokkan dan mampu menarik minat para pelajar untuk belajar.
Antara jenis-jenis permainan yang boleh dijalankan dalam proses pengajaran dan
pembelajaran ialah manipulatif, fizikal dan permainan bahasa.
Permainan manipulatif adalah termasuk teka-teki, jadual bernombor, domino,
catur dan congkak. Permainan fizikal pula dijalankan dalam mata pelajaran Pendidikan
Jasmani di mana daya fizikal digunakan dalam pergerakan, koordinasi, kecekapan dan
kemahiran fizikal. Permainan bahasa pula ialah dimana aktiviti pengajaran dan
pembelajaran bahasa mengandungi unsur bermain dengan menggunakan bahan-
bahan dan daya kreativiti pelajar untuk mewujudkan suasana belajar yang
menyeronokkan dan bermakna. Kebaikan teknik ini ialah ia akan dapat merangsang
motivasi belajar kesan daripada keseronokkan bermain. Ia juga akan membantu
mengembangkan daya imaginasi untuk membantu kanak-kanak menyelesaikan
masalah.


Kaedah inkuiri
Guru menggalakkan proses inkuiri murid melalui kajian dan eksperimen. Dalam hal ini,
guru memberi peluang kepada murid untuk membina pengetahuan baru dengan
memahaminya dengan lebih mendalam berdasarkan pengetahuan sedia ada dan
kemahiran asas yang dikuasai.
Kaedah perbincangan
Teknik perbincangan adalah suatu teknik pengajaran yang berbentuk perbualan dan ia
dilakukan dalam kalangan murid-murid di bawah penyeliaan dan kawalan guru.
Sewaktu perbincangan dijalankan, murid-murid diberikan peranan aktif untuk
mengeluarkan pendapat atau pandangan mereka mengenai sesuatu topik sambil guru
memandu serta mengarahkan pandangan-pandangan mereka ke satu prinsip atau
pendapat menyeluruh. Melalui teknik ini para pelajar dapat memperkembangkan
pertumbuhan diri dan sosial mereka dengan baik. Mereka digalakkan berfikir dengan
jelas, mengutamakan pendapat-pendapat di samping bekerjasama dengan murid-murid
lain untuk mencapai matlamat atau menyelesaikan masalah perbincangan.
Dengan cara ini, penglibatan murid amat menggalakkan. Pelajar akan kelihatan
lebih cergas, berani untuk menyuarakan pendapatnya dan tegas. Bahan-bahan yang
harus disediakan oleh guru perlu mempunyai skop yang khusus sesuai dengan masa
yang diperuntukkan. Selain itu, guru perlu mengehadkan topik perbincangan dan
terangkan isi-isi utama yang sesuai untuk dibincangkan mengenai topik berkenaan bagi
membolehkan murid-murid memahami apa yang dikehendaki dan dapat
membincangkan perkara itu dalam jangka masa yang dijangkakan. Dalam masa yang
sama, guru harus bijak memberikan ruang dan menggalakkan murid-murid agar mereka
berminat untuk bekerjasama serta mengemukakan soalan-soalan yang akan dapat
mencungkil fakta-fakta dan mendorong murid-murid untuk berfikir.
Seterusnya adalah pengurusan bilik darjah yang dinamik oleh seseorang guru ke
arah pembinaan modal insan yang berkualiti. Salah satu aspek daripada pengurusan
bilik darjah ialah pengurusan fizikal, sumber dan organisasi. Seseorang guru
perlulah memastikan bilik darjah mempunyai kesemua peralatan asas seperti papan
hitam, papan kenyataan dan ruang yang selesa, meja dan kerusi untuk guru dan murid,
almari yang dihiasi dengan penyediaan bahan-bahan bacaan dan bahan bantuan
mengajar serta peralatan sokongan dan dihiasi dengan keceriaan dan kebersihan.
Susunan meja dan kerusi yang kemas dan rapi di dalam bilik darjah akan memberi
kemudahan kepada murid-murid mengadakan aktiviti pembelajaran berpusatkan murid
iaitu proses pengajaran dan pembelajaran secara dua hala dan aktiviti berkumpulan.
Murid-murid juga akan dapat berinteraksi sesama mereka dan mudah berinteraksi
dengan guru. Bilik darjah yang berukuran 7 meter x 9 meter boleh memuatkan 40 orang
murid. Cahaya yang mencukupi dan pintu serta tingkap yang terbuka membolehkan
pengedaran udara yang secukupnya dan membuatkan para pelajar berasa lebih selesa.
Papan kenyataan yang dilengkapi dengan jadual waktu, jadual bertugas, carta
organisasi, pelan keselamatan, sudut mata pelajaran, sudut bacaan atau rujukan, kata-
kata motivasi termasuk kemudahan penggunaan laman web, komputer, CD dan LCD
sehingga dapat melahirkan pembudayaan bilik darjah yang kondusif. Hasilnya, suasana
yang harmonis, ceria dan bersemangat dapat diwujudkan. Hal ini dapat menyebabkan
murid dan guru berada lebih lama di dalam bilik darjah kerana berasa seolah-olah
berada di rumah mereka sendiri. Wujudnya perasaan saling bekerjasama dan kekitaan
serta semangat berdikari iaitu bersama berusaha memajukan diri dan kumpulan secara
kolektif.
Seseorang murid itu perlulah berpengetahuan, berkemahiran dan berketrampilan
dalam perancangan dan pengurusan strategik yang berkesan. Suasana pembelajaran
yang kondusif, menyeronokkan, bermotivasi, bermoral, kreatif akan menjadikan proses
pengajaran dan pembelajaran lebih berfokus. Kejayaan guru mengurus fizikal, sumber
dan suasana bilik darjah yang kondusif, bermakna guru telah berjaya membentuk
budaya berdisiplin, kerjasama, sayang kepada keindahan alam sekitar, mematuhi
setiap arahan, kehidupan berkualiti yang melambang kepada sebahagian daripada
keimanan. Ada kalanya murid tidak memberi perhatian atau berkelakuan di luar
daripada nilai-nilai murni yang hendak digarap boleh dilihat berpunca daripada tidak
terdapat kesinambungan dalam pelajaran disebabkan persediaan guru dari aspek
bahan, peralatan, pengetahuan dan kemahiran yang kurang mantap.
Di samping itu, guru juga memainkan peranan dalam mewujudkan iklim dan
aplikasi bilik darjah yang kondusif. Suasana bilik darjah yang harmonis dapat
membantu dalam meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.
Pembentukan iklim dan budaya bilik darjah yang baik adalah menjadi tanggungjawab
setiap guru. Pendekatan-pendekatan yang hendak digunakan bagi mengawal iklim
dalam bilik darjah perlulah berlandaskan kepada tahap perkembangan murid-murid.
Iklim bilik darjah yang baik biasanya dikaitkan dengan kepatuhan dan keseronokkan
murid bersama guru dalam bilik darjah.
Guru yang memiliki gaya kepimpinan yang matang sedia menerima dan
menghormati setiap murid dalam bilik darjah, memperbaiki peraturan-peraturan supaya
peraturan itu boleh berubah mengikut keadaan dan suasana serta menekankan kepada
jangkaan-jangkaan yang positif. Apabila keadaan ini berlaku guru sebagai pemimpin
dapat menyesuaikan diri dengan pelbagai situasi dan pertumbuhan diri murid-murid
serta bersikap keterbukaan dalam perkara-perkara yang membawa kepada kebaikan.
Pengurusan bilik darjah akan menjadi bertambah baik jika sistem penyeliaan diurus
dengan berkesan. Murid-murid diberikan tugasan dalam mewujudkan iklim yang
kondusif serta membantu dalam penyediaan bahan dan alatan, tugasan-tugasan yang
diberikan kepada setiap murid pada awal tahun lagi dapat membantu mengembangkan
budaya bertanggungjawab, bekerjasama serta hubungan yang baik antara mereka dan
juga hubungan antara guru dengan murid, peranan guru sebagai pembantu
penyelesaian masalah yang dihadapi oleh murid-murid.
Seterusnya adalah guru-guru haruslah menjalankan pengurusan murid yang
lebih berkesan. Murid adalah pelanggan bagi setiap guru di dalam sesebuah kelas,
mereka akan berada bersama setiap kali proses pengajaran dan pembelajaran
dijalankan di dalam kelas. Hati mereka perlulah dibersihkan melalui pendidikan yang
terbaik, yang melampaui tingkah laku manusia. Terdapat perbezaan di antara individu
murid atau kumpulan murid dengan yang lain yang mendesak guru menggunakan
kaedah yang optimum dalam pengurusan sesebuah kelas dan adalah penting bagi
seseorang guru memahami tingkah laku dan budaya murid supaya sebarang tindakan
dapat dilakukan mengikut kaedah yang betul dan tepat.
Pengurusan hal ehwal murid dalam bilik darjah melalui pendekatan penyayang
yang ditunjukkan oleh guru, dapat menjinakkan mereka, bercakap dengan bahasa yang
lembut dan bersopan, menegur dan membetulkan kesilapan dengan cara yang
berhemah di samping menggunakan segala sifat mahmudah akan mempercepatkan
proses kecintaan dan kesetiaan murid terhadap gurunya dan kemujaraban pemindahan
maklumat daripada guru kepada muridnya. Kemahiran berkomunikasi memainkan
peranan yang penting ke arah pembentukan budaya penyayang, komunikasi berkesan
melalui cara pertuturan yang baik, penggunaan bahasa badan, penulisan dan juga
melalui penggunaan alat-alat tertentu seperti komputer, telefon dan sebagainya.
Apabila seseorang guru menggunakan kemahiran berkomunikasi terhadap muridnya, ia
akan dapat menghasilkan suasana pembelajaran yang lebih dinamik, pembentukan
akhlak, kemahiran-kemahiran tertentu dapat diterap dengan lebih mudah dan berkesan.
Komunikasi berkesan akan dapat menghasilkan motivasi yang berkesan, murid dengan
mudah dapat menerima motivasi yang disampaikan secara berhemah dan berhikmah,
nilai-nilai murni yang hendak ditanam dalam diri seseorang murid adalah melalui laluan
yang lebih mudah dan berkesan.
Guru yang berwibawa sentiasa melihat pembelajaran sosial sebagai satu aspek
penting dalam sesebuah kelas. Setiap murid yang dipimpinnya memerlukan
pengiktirafan dan penghargaan dan guru seharusnya bijak menggunakan
kebijaksanaan komunikasi serta pendekatan penyayang dengan menghadiahkan
senyuman, memberikan penghargaan apabila mereka mempamerkan sesuatu yang
lebih baik daripada sebelum, misalnya kelas yang lebih teratur, kemas dan bersih.
Menghabiskan ayat hafazan sebelum jangka masa yang ditentukan, markah yang
semakin baik. Sekeping kertas berbentuk penghargaan atau sebatang pen sebagai
tanda penghargaan sudah menunjukkan keikhlasan guru bagi meningkatkan prestasi
mereka. Guru haruslah menunjukkan teladan sebagai seorang profesional
membentuk program-program yang bertujuan membangunkan murid dengan peraturan
dan arahan yang jelas bagi mengurangkan segala tingkah laku yang negatif. Seseorang
guru haruslah mengelakkan diri daripada menggunakan pendekatan-pendekatan yang
bertentangan dengan nilai-nilai serta norma kemanusiaan yang menggalakkan murid
menghargai pertumbuhan pengetahuan dan kemahiran diri.
Kejayaan seseorang guru sebagai pengurus di bilik darjah tidak semata-mata
hanya dinilai dari aspek kemahiran dan teknik pengajaran dan pembelajaran semata-
mata, tetapi kualiti peribadi dan sahsiah diri juga menjadi tarikan kepada murid-
murid. Pada amnya guru yang disukai murid antaranya ialah yang sentiasa berwajah
periang, pandai berjenaka, bersangka baik, berperasaan yang matang, jujur dan ikhlas
dalam menjalankan tugas, berfikiran positif, tenang menghadapi sebarang masalah,
pendengar yang aktif, berjaya menyelesaikan konflik, dan tidak mudah menyalahkan
orang lain. Imam al-Ghazali menggariskan ciri-ciri guru yang efektif iaitu guru yang
memiliki rasa simpati kepada setiap murid dan melayani mereka seperti anak sendiri,
meneladani sunnah Rasulullah S.A.W yang ikhlas dalam memberi perkhidmatan, tidak
membenarkan murid melaksanakan sesuatu tugas kecuali guru benar-benar
mengetahui pengetahuan tersebut, menasihati murid dengan cara lembut dan
berhemah supaya dapat meninggalkan perkara-perkara yang buruk, tidak sekali-kali
merendahkan disiplin ilmu yang lain di hadapan murid, mengehadkan pembelajaran
bersesuaian dengan tahap pencapaian dan pemahaman murid dan tidak memaksa
mereka mencapai sesuatu di luar kemampuan serta menyediakan bahan pembelajaran
yang mudah difahami, jelas dan bersesuaian dengan tahap perkembangan akal murid.
Seseorang guru juga memainkan peranan dalam pelaksanaan kurikulum dari
aspek mentafsir. Isi kandungan sesuatu kurikulum sekolah yang utamanya ialah
bahan pelajaran. Tanpa bahan pelajaran yang bernas, kurikulum itu tidak akan
berguna dan tidak menjadi bermakna. Oleh itu, pemilihan bahan pelajaran untuk
membentuk sesuatu kurikulum yang berkesan merupakan tugas yang berat dan
terpenting. Bahan pelajaran yang dipih untuk mengajar para pelajar hendaklah sah dan
tepat sekali tanpa sebarang tafsiran kekaburan dan keraguan. Sekiranya ditinjau dari
perspektif falsafah moral, bahan pelajaran yang dipilih hendaklah mengutamakan unsur
pendidikan yang dapat membantu para pelajar memupuk nilai moral yang tinggi dan
sesuai dengan kehendak masyarakat. Sekiranya ditinjau dari perspektif perkembangan
psikologi pula, bahan pelajaran hendaklah diorganisasi dan disusun mengikut turutan
perkembangan intelek dan fizikal kanak-kanak iaitu daripada senang kepada susah,
mudah kepada kompleks dan sebagainya. Manakala, sekiranya ditinjau pula dari
perspektif ekonomi dan pragmatisme bahan pelajaran yang dipilih hendaklah berguna,
sesuai dengan keperluan pelajar dan masyarakat. Bahan pelajaran yang mempunyai
nilai ekonomi dan praktikal atau berguna, ialah bahan pelajaran yang boleh membawa
faedah untuk kehidupan dalam masyarakat, memanfaatkan pelajar daripada
pemupukan nilai-nilai murni dan tingkah laku positif serta boleh menambahkan ilmu
pengetahuan dan kemahiran khasnya dalam teknologi maklumat pada masa kini.

Kokurikulum
Kegiatan kokurikulum meliputi semua kegiatan di luar bilik darjah dan
lanjutan daripada kurikulum yang diajar di bilik darjah. Kegiatan kokurikulum di sekolah
bertujuan untuk menyemai, memupuk dan menanam perasaan kekitaan dalam
kalangan pelajar berbilang kaum, merancang, membimbing dan membuat penilaian
pelajar yang tinggi. Setiap murid diwajibkan untuk menyertai dalam sekurang-kurangya
satu unit-beruniform, persatuan atau kelab permainan. Guru memainkan peranan yang
penting dalam menjayakan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dalam
pelaksanaan kokurikulum di sekolah.
Guru penolong kanan kokurikulum memainkan peranan dalam perancangan
dan pengelolaan kokurikulum di sekolah. Guru penolong kanan bertanggungjawab
kepada Pengetua atau Guru Besar untuk mencapai matlamat Falsafah Pendidikan
Kebangsaan iaitu bertanggungjawab melicinkan pentadbiran, mempertingkatkan
prestasi penglibatan dan penyertaan murid serta guru dalam aktiviti kokurikulum bagi
mencapai Wawasan 2020.
Antara tanggungjawab lain yang harus dilaksanakannya ialah menjalankan
tugas-tugas Pengetua atau Guru Besar semasa ketiadaan beliau. Seterusnya adalah
mengajar para pelajar sebilangan waktu mengikut arahan Pengetua / Guru Besar.
Beliau juga bertanggungjawab kepada Pengetua/ Guru Besar di dalam semua aspek
pengurusan kokurikulum termasuk sidang petang, menyelia dan menilai aktiviti
kokurikulum di sekolah dan seterusnya membantu Pengetua/Guru Besar di dalam
semua aspek perancangan dan pengurusan sekolah termasuk sidang petang. Dalam
aktiviti kokurikulum, beliau mempunyai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dalam
persatuan dan kelab. Antaranya adalah merancang kegiatan persatuan dan kelab,
mengurus pemilihan peserta untuk kegiatan persatuan dan kelab, menyelia kegiatan
persatuan dan kelab serta menyelaras aktiviti-aktiviti persatuan dan kelab di dalam dan
di luar sekolah.
Seterusnya adalah pasukan pakaian seragam. Guru penolong kanan
kokurikulum memainkan peranan dalam merancang kegiatan pasukan pakaian
seragam, mengurus pemilihan peserta untuk kegiatan pasukan pakaian seragam,
menyelia kegiatan pasukan pakaian seragam serta meyelaras aktiviti-aktiviti pasukan
pakaian seragam di dalam dan di luar sekolah. Seterusnya adalah dalam kelab sukan
dan permainan. Beliau memainkan peranan dalam merancang kegiatan pasukan
kelab sukan dan permainan, mengurus pemilihan peserta untuk kegiatan kelab sukan
dan permainan, menyelia kegiatan kelab sukan dan permainan dan menyelaras aktiviti-
aktiviti kelab sukan dan permainan di dalam dan di luar sekolah.
Di samping itu, guru juga memainkan peranan sebagai penasihat aktiviti
kokurikulum. Di setiap sekolah terdapat berbagai-bagai kelab, aktiviti sukan dan unit-
unit beruniform. Persatuan-persatuan tersebut ialah seperti Persatuan Bahasa Melayu,
Persatuan Bahasa Inggeris, Persatuan Sejarah dan Geografi, Persatuan Bimbingan
dan Kaunseling, Persatuan Pengguna dan sebagainya. Unit-unit beruniform di sekolah
ialah seperti St.John, Pandu Puteri, Pengakap, Bulan Sabit Merah, Kadet Polis dan lain
lain lagi. Persatuan-persatuan permainan dan sukan termasuklah badminton, bola
keranjang, pingpong, sepak takraw, bola tampar, gimnastik, bola sepak, bola ajring dan
sebagainya. Gurulah yang memainkan peranan sebagai penasihat dalam menjalankan
berbagai-bagai aktiviti tersebut, sama ada aktiviti unit-beruniform, kelab ataupun sukan.
Malah, guru dalam kegiatan kokurikulum berperanan untuk mengatur jadual
kegiatan-kegiatan kokurikulum agar dapat melicinkan pengurusan kokurikulum dengan
lebih sistematik serta mengadakan peraturan-peraturan yang berkaitan dengan
pelaksanaannya agar dapat mendisiplinkan para pelajar. Seterusnya seseorang guru
menjadi penyelaras di antara ahli-ahli persatuannya dengan guru disiplin / Guru Besar
sekiranya masalah disiplin timbul di dalam persatuan. Mereka akan bertindak untuk
menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul dengan cara rasional dan tidal berpilih
kasih. Guru juga bertanggungjawab dalam mengatur acara atau kegiatan yang
menarik dan berfaedah bagi merangsang minat pelajar untuk persatuannya dan
sekaligus untuk memupuk bakat yang terpendam dalam kalangan para pelajar.
Guru-guru penasihat kokurikulum perlu berperanan sebagai pembimbing
pelajar di mana guru-guru harus membimbing pelajar-pelajar mereka ke arah kejayaan
secara berterusan. Para pelajar amat memerlukan guru yang baik dan cekap sebagai
pembimbing yang dapat meningkatkan kualiti serta membawa kepada kejayaan
mereka. Untuk menjadi pembimbing yang baik guru perlu memiliki sifat sifat seperti
kesabaran, kesungguhan serta semangat membantu untuk memajukan pelajar-pelajar
tanpa mengharapkan balasan atau ganjaran. Guru yang baik dapat memberi inspirasi,
motivasi dan membimbing pelajar ke arah kejayaan (Abd.Rahim 1999). Komitmen guru-
guru seperti ini amat diperlukan jika Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang
mahukan individu dikembangkan secara bersepadu dalam melahirkan insan yang
seimbang dan harmonis supaya mereka berilmu, berpengetahuan, berketrampilan,
berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri
serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga,
masyarakat dan negara direalisasikan. Begitu juga guru perlu melaksanakan aktiviti-
aktiviti kokurikulum yang telah dirancang. Mekanisma koordinasi dan menstrukturkan
organisasi dengan membian kaedah serta membuat prosedur agar aktiviti yang
dirancang dapat dilaksanakan dengan teratur. Sekiranya guru-guru penasihat
kokurikulum dapat melaksanakan program kokurikulum dengan baik, tahap keyakinan
diri dan komitmen mereka juga akan berada di tahap yang tinggi.

Anda mungkin juga menyukai