Anda di halaman 1dari 5

SERANGAN JUBAH PUTIH

Oleh: Nurul Akmar Ali dan Mastura Omar



Hari ini, pagi di Batu Pahat cukup mendamaikan. Tepat jam 10.00 pagi,
kelihatan sebuah teksi Mercedez Benz berhenti di hadapan balai polis.
Penumpangnya yang seramai lebih kurang 5 orang itu keluar dari mulut teksi
dengan berpakaian jubah putih dan berserban. Sekali imbas mereka seperti
tetamu Allah yang baharu pulang dari mengerjakan rukun islam yang kelima.
Mereka berjalan pantas menuju masuk ke dalam balai polis tersebut. Namun
tanpa diduga, kumpulan jubah putih itu mengeluarkan pedang lalu dihayun
kepada sesiapa sahaja yang mereka temui. Kedamaian pagi mula tercalar dek
jeritan mangsa-mangsa yang menahan kesakitan. Darah merah mula membasahi
di segenap sudut balai.
Lima minit kemudian, muncul pula sebuah kereta Mazda 808 yang berhenti
di belakang balai. Enam orang lagi si Jubah Putih keluar dengan terus
mengganas mencari mangsa yang tidak bersalah. Dengan pakaian menutup
sebahagian kepala, berkasut getah, pedang yang semuanya berwarna putih
termasuk sarung pedang bersalut kain putih dan bertulis ayat dua kalimah
syahadah, mereka terus menggila.
Allahuakbar! Allahuakbar! Sambil melibas mangsa, mereka melaungkan
kebesaran Tuhan sedangkan mereka terus melakukan kemungkaran yang
dilarang Tuhan. Seorang ibu mengandung turut menjadi mangsa libasan rakus
kumpulan Jubah Putih. Anggota polis dan orang awam turut tidak terkecuali.
Bagaimanapun ketika mereka ingin bertindak lebih ganas, dentuman tembakan
bertubi-tubi dilepaskan anggota polis yang menyedari serangan itu. Enam
daripada mereka mati serta-merta menyebabkan yang lain bertempiaran
melarikan diri. Namun, mereka menuju pula ke Pejabat Kadi Daerah Batu Pahat
dan Mahkamah Rendah yang terletak berhampiran. Mereka seakan dirasuk
sambil terus bertakbir kuat, menyebabkan keadaan menjadi kecoh. Mujurlah tiada
yang menjadi mangsa.
Kumpulan Jubah Putih itu kemudiannya melarikan diri dan bersembunyi di
sebuah kampung iaitu di Jorak Senawi yang terletak kira-kira 10 kilometer dari
bandar Batu Pahat. Seorang penduduk di situ terkejut apabila melihat empat lelaki
berjubah putih dengan tiga daripada mererka berlumuran darah keluar dari
sebuah teksi yang berhenti di hadapan rumahnya. Penduduk itu mengenali dua
daripada mereka, seorang adalah saudaranya dan seorang lagi tinggal di Sri
Medan. Dia yang tidak tahu apa-apa segera membantu mereka dan membawa
masuk ke rumah. Melihat mereka yang tidak berkata sepatah pun menyebabkan
penduduk itu curiga lalu dia menyelinap keluar dan pergi ke Tongkang Pechah.
Di sana, dia bertemu rakannya dan mengetahui tentang kejadian serangan di
Balai Polis Batu Pahat sekaligus menyebabkan dia mengesyaki serangan itu
angkara mereka yang berlindung di rumahnya. Kira-kira jam 1.15 petang, pasukan
polis mula mengepung rumah penduduk kampung itu. Namun, kumpulan jubah
putih tidak mengendahkan arahan polis lalu serbuan dilakukan. Dua daripada
mereka terbunuh dan polis terus memburu semua saki baki ahli kumpulan itu.
Hasil dari pemeriksaan yang dibuat, polis menjumpai sejadah, bendera putih yang
mengandungi dua kalimah syahadah dan perkataan Muhammad, Mahadi dan Isa
dalam huruf jawi bewarna hijau dan putih.
Serangan kumpulan jubah putih ini telah mancatat satu lakaran hitam pada
sejarah Malaysia. Lantaran fahaman songsang, kumpulan yang seramai 15 orang
ini bertindak gila dengan membunuh sesiapa sahaja. Tanpa rasa takut pada
Tuhan apatah lagi pada senjata api milik polis, mereka terus menyerang
menggunakan pedang kononnya untuk melalui jalan pantas ke syurga. Dalam
fahaman mereka, untuk ke syurga itu mensyaratkan semua orang kafir di negara
ini perlu dihapuskan dan itulah langkah permulaan mereka dengan menyerang
balai polis.
Sebenarnya, kumpulan yang mula bergiat pertengahan september 1980 ini
telah merancang awal untuk melakukan serangan ini iaitu pada 12 Oktober 1980.
Namun rancangan meraka dapat dihidu oleh pihak polis menyebabkan mereka
menyembunyikan diri di puncak Bukit Payong, Batu Pahat. Di situ dikatakan
mereka membina sebuah pondok yang digantung sesikat pisang pada dinding
dan melakukan amalan seperti bertapa, beratip dan bertahlil. Kononnya untuk
tujuan persediaan diri sebelum pergi berperang.
Hasil daripada intipan pihak polis, mereka mengesan seramai 20 orang
menganggotai kumpulan sesat yang dipelopori oleh dua pelarian Kemboja ini dan
diketuai oleh Mohamed Nasir Ismail. Dia mengakui bahawa dirinya ialah Imam
Mahdi dan pembantunya Lamin ialah Nabi Isa a.s. Mereka diberi gelaran
kumpulan jubah putih oleh orang kampung kerana sering memakai jubah putih.
Walaupun penampilan mereka agak pelik tetapi kehadiran mereka tidak pernah
mengganggu orang kampung.
Ahli kumpulan ini hanya terdiri daripada golongan lelaki iaitu penduduk
tempatan dan ada juga golongan imam serta bilal. Ketua kumpulan jubah putih ini
telah mengambil kesempatan terhadap amarah penduduk kampung yang tidak
berpuas hati berkaitan beberapa isu. Antaranya ialah rasa tidak puas hati
beberapa pemimpin kampung, isu kegagalan mereka mendapat hak milik tanah
dan imam yang tidak dapat meneruskan jawatannya. Ketua kumpulan itu, Ahmad
Nasir dikatakan mendekati golongan ini dengan menyatakan rasa simpatinya
terhadap nasib mereka dan secara tidak langsung menyebarkan ajaran sesat.
Ajaran ini akhirnya turut mempengaruhi orang lain.
Dalam ajaran kumpulan ini, mereka tidak perlu bersolat menghadap kiblat,
tidak perlu membaca Al-Fatihah dalam solat subuh, tidak perlu sembahyang
jumaat dan kain putih digunakan untuk tayamum menggantikan debu tanah.
Mereka ini juga didakwa berzikir dengan menyebut nama Guru Yahya dan
percaya yang diri mereka kebal hingga menyebabkan mereka berani menyerang
balai polis dengan berbekalkan sebilah pedang.
Menurut seorang bekas anggota polis yang bertugas di Balai Polis
Tongkang Pechah, Ahmad Nasuha, 83, sebaik sahaja menerima aduan, polis
telah menjalankan siasatan tentang kumpulan jubah putih itu. Aduan yang
diterima mengatakan kumpulan ini mengamalkan ajaran sesat di puncak Bukit
Payung dan merancang untuk menyerang Balai Polis Batu Pahat. Namun usaha
pihak polis mendaki Bukit Payung gagal kerana kumpulan tersebut mendaki bukit
pada masa-masa tertentu sahaja.
Pedang yang menjadi senjata serangan ke atas balai polis pula telah
ditempah daripada seorang tukang pedang di Batu Pahat yang dikenali sebagai
Wak Surani. Namun, hasil daripada siasatan mendapati tukang pedang itu tidak
bersalah kerana dia sekadar mengambil tempahan tanpa mengetahui tujuan
sebenar kumpulan itu. Dikatakan kumpulan itu, membuat tempahan pedang
untuk tujuan belajar silat. Lebih-lebih lagi Wak Surani memang terkenal dengan
hasil buatan pedang yang baik dan sering membuat pedang untuk kumpulan Silat
Sendeng Malaysia. Sejak peristiwa itu, beliau hanya menerima tempaha daripada
orang yang dikenali sahaja.
Berkaitan pada motif serangan mereka ke atas Pejabat kadi Batu Pahat
dan Mahkamah Syariah, dikatakan mereka tidak berpuas hati atas keputusan
hakim yang mengatakan ajaran yang dibawa oleh kumpulan itu adalah ajaran
sesat. Jadi mereka cuba memburu hakim tersebut untuk membalas dendam.
Seorang saksi kejadian, Suhani Sarjani, 64 menceritakan bahawa terdapat
empat hingga lima orang lelaki berjubah putih dengan kesan darah pada pakaian
masing-masing bertempik Allahuakbar dengan salah seorang daripada mereka
bergerak menuju ke bilik pejabat hakim mahkamah syariah. Mereka beredar
setelah tidak menemui orang yang dicari iaitu hakim. Mujurlah pada ketika itu,
hakim dikatakan pulang ke rumah untuk mengambil wuduk. Ada juga sumber
yang mengatakan bahawa hakim ada di bilik pejabatnya, namun mata ahli
kumpulan itu seolah-olah digelapkan Allah swt sehinggakan mereka melihat bilik
itu kosong.
Menurut kisah Abu Sarin Mohd Sharif, 51, pada hari peristiwa hitam itu
berlaku, beliau bangun dari tidur untuk memulakan tugas. Pada masa itu, biliknya
terletak di bahagian belakang balai. Ketika bangun untuk membuka kelambu,
beliau ternampak sebuah teksi berhenti dalam keadaan tergesa-gesa. Kemudian
keluar enam orang berjubah putih sambil melibas-libaskan pedang kepada
sesiapa sahaja. Beliau segera mengejutkan rakan-rakan yang lain dan mula
berfikir untuk menyelamatkan diri. Namun, setelah seorang anggota polis yang
cedera meminta agar beliau menyelamatkan keluarganya, serta-merta beliau
bersemangat untuk menghentikan peperangan itu dengan mula melepaskan
tembakan. Seorang anggota polis telah membawa seorang ahli kumpulan jubah
itu yang masih hidup. Apabila Abu Sarin menyelak penutup muka penyerang itu,
beliau sangat terkejut kerana wajahnya bukan wajah orang melayu. Beliau
segera menanggalkan seluar penyerang itu dan mendapati dia tidak berkhatan.
Pedang milik penyerang itu pula terukir dengan nama Imam Mahdi. Penyerang itu
dipercayai merupakan ketua kumpulan jubah putih iaitu Ahmad Nasir. Dia turut
mati akibat kecederaan yang teruk.
Akibat daripada peristiwa hitam ini seramai 23 orang termasuk kakitangan
awam dan orang awam yang sedang membuat laporan polis serta 14 orang
anggota polis cedera. Semua mangsa mendapat rawatan di Hospital Batu Pahat
dan Hospital Muar. Manakala, seramai lapan orang ahli jubah putih pula terbunuh
pada hari serangan telah dikebumikan di dalam satu liang lahad di perkuburan
Bukit Cermai. Berikutan tragedi yang menimpa balai polis, kerajaan telah
mengarahkan supaya dibina pondok kawalan keselamatan di setiap pintu masuk
balai polis.
Kini selepas hampir 32 tahun berlalu, tragedi serangan kumpulan jubah
putih masih diingati oleh penduduk Batu Pahat. Pelbagai perubahan telah berlaku.
Balai Polis juga sudah berpindah ke Jalan Bakau Condong, manakala bangunan
lama telah menjadi Ibu Pejabat Unit Trafik. Bangunan Pejabat Kadi juga sudah
dirobohkan dan didirikan sebuah bangunan wakaf yang menjadi pusat dialisis.
Tukang pedang, Wak Surani pula telah meninggal dunia pada tahun 2010.
Mangsa-mangsa juga kebanyakan masih menetap di sini. Namun, bagi mereka
biarlah peristiwa hitam itu terus berlalu dan usah dikenang-kenang lagi dengan
harapan pisang tidak berbuah dua kali.