Anda di halaman 1dari 7

PENDAHULUAN

Sains Untuk Semua Bukan Milik Eksklusif Saintis



Bolehkah orang awam memahami sains? Apakah seseorang yang tidak berlatar
belakangkan sains mampu memahami sains? Adakah sains hanyalah milik
ekklusif untuk para saintis sahaja? Adakah sains sebuah topik yang sangat berat
sehingga kita jarang-jarang berbincang mengenainya?

Selalunya begitulah.

Perbincangan berkenaan sains jarang (atau mungkin tidak ada langsung)
dibincangkan di tempat-tempat awam atau di meja kopi. Ia tidak seperti topik-
topik seperti politik, gosip dan isu agama yang selalu kita cakap-cakapkan tidak
kira tempat. Sungguhpun begitu, kesudahannya kita tidak pula menjadi maju dan
berjaya di dalamnya?

Kita suka berbincang isu politik. Berbagai isu kita bincangkan. Orang yang tidak
berlatar belakangkan sains politik pun banyak pengetahuannya berkenaan
politik dan boleh bercakap dengan kawan-kawan di meja kopi dengan yakin.
Sama juga dengan isu agama. Di mana-mana sahaja kita memperkatakan
mengenainya. Tidak kira tempat. Tidak cukup di masjid dan surau-surau, isu
agama disambung-sambung pebincangannya di meja kopi, di kedai-kedai
mamak, di facebook dan di merata-rata tempat. Kita bertelingkah dan hebat
berbincangkan soal-soal bidaah, bahaya syiah, ancaman wahabi dan macam-
macam lagi. Tetapi kesudahannya di mana kita sekarang? Jawapan saya, tidak
kemana.

Walaupun kita kerap berbincang hal-hal politik, tetapi kesudahannya politik kita
pun tidak kemana. Malah membawa musibah pula kepada kita apabila politik itu
telah memecah belahkan masyarakat. Agama pun sama. Agama kita tidak
nampak hebat pun walaupun kita selalu berbincang mengenainya siang dan
malam. Pagi petang. Kita semakin diperlekehkan adalah. Imej agama kita
semakin buruk dan dibenci.

Manakala bidang sains yang jarang-jarang dibincangkan ini pula semakin maju.
Walaupun sains tidak dibincangkan di tempat-tempat awam, tetapi ia terus
menjadi unggul di seluruh dunia. Teknologi-teknologi canggih dicipta adalah
hasil daripada lmu-ilmu sains. Ia semakin maju dan semakin kedepan! Ironisnya,
sains menjadi begitu tanpa bantuan kita pun untuk dibincangkan di tempat-
tempat awam.

Jika hendak difikirkan lagi, sepatutnya isu sains lah yang perlu lebih hangat
untuk dibincangkan kerana cabangnya luas dan menarik pula untuk diterokai.
Berbalik kepada persoalan awal tadi iaitu bolehkah orang awam memahami
sains? Saya ingin teruskan dengan soalan yang seterusnya, apakah orang awam
mahu tahu berkenaan sains? Adakah sains penting kepada kita? Jawapan kepada
semua ini ialah YA!

Sungguhpun begitu, saya tidak pula bermaksud untuk menghasut para pembaca
supaya meninggalkan terus perbincangan politik dan topik-topik biasa yang
sudah biasa kita sembangkan. Tapi, apa kata kita tambah lagi sebuah topik iaitu
sains sebagai satu perkara yang perlu kita bualkan juga. Bagi saya, topik sains ini
sebenarnya jauh lebih menarik berbanding topik politik kebencian dan topik
agama mazhab ini sahaja yang betul.

Saya faham, kenapa sains selalu dilihat tidak menarik, kurang dibincangkan dan
dipandang sepi walaupun ia berada di sekeliling kita. Mungkin disebabkan apa
yang kita belajar disekolah dan mentaliti belajar kita yang hanya untuk
peperiksaan. Justeru sains itu tidak dipelajari untuk memuaskan rasa tahu,
faham dan dihayati. Cuma telan dan muntahkan. Itulah mentaliti kita.

Tambahan pula sains itu selalunya bersifat abstrak. Banyak sangat konsep!
Banyak sangat persamaan (equation)! Susah sangat nak faham dan hampir
mustahil hendak faham. Banyak sangat benda-benda yang tidak boleh dilihat
dengan mata kasar tetapi kita dipaksa untuk belajar mengenainya. Belajar pasal
sel tumbuhan lah, belajar mengenai sel haiwan lah. Belajar mengenai zarah-
zarah, elektron, proton neutron. Ah! Semuanya langsung tidak boleh dilihat. Jadi
untuk apa belajar benda-benda ini? Masyarakat kita tidak suka untuk tahu
perkara-perkara ini. Tidak ada urusan dengan periuk nasi kata mereka.
Tidak ada urusan dengan hidup yang memerlukan duit, kata mereka lagi. Yang
lain pula akan berkata, biarkan saintis sahaja yang memikirkannya.

Eh, tapi kenapa kita tak boleh berdisiplin dalam hal keagamaan? Kita bercakap
mengenai agama kita ikut taram walaupun kita bukan ustaz-ustaz yang belajar
agama. Biarkan sahaja agama itu dibincangkan oleh ustaz-ustaz dan orang
tertentu sahaja!

Tapi hal yang seperti itu tidak berlaku. Walaupun kita bukan ustaz dan
pengetahuan agama kita pun cetek, ibadah kita pun compang-camping, banyak
lubang sana sini, tapi kita suka nak ambil port berbincang mengenai agama.
Justeru tidak adil jika sains pun dilabel begitu iaitu ianya ekslusif untuk
dibincangkan oleh para saintis sahaja. Sama juga dengan politik. Kita ghairah
sangat bersembang mengenai politik walaupun kita bukanlah orang politik dan
tidak berkecimpung dalam politik.

Sungguhpun kita telah meminggirkan sains dari sudut perbincangan, tetapi
nampaknya kita tidak meminggirkannya dalam aspek komersial. Lihatlah
ramainya orang yang memiliki produk-produk sains. Ipad, telefon bimbit dan
macam-macam lagi. Budak sekolah pun mempunyai alat-alat teknologi begini. Di
sekolah sudah ada yang pakai DSLR yang harganya mencecah 7k! Tetapi hanya
tahu guna, tetapi tidak tahu apakah falsafah dan ilmu sains yang telah
menjadikan alat itu berguna.

Banyak dikalangan kita memandang sains sebagai sebuah perkara yang
memberatkan. Malas kita nak layankan dan bincangkan. Leceh! Tetapi realitinya,
setiap hari dalam kehidupan pasti kita akan berhadapan dengan alat-alat
teknologi. Di barat isu-isu semasa sains bukan sesuatu yang mereka pinggirkan.
Isu sains terus unggul dibincangkan dimana-mana. Ramai penulis-penulis
profilik menulis buku-buku dan isu berkenaan sains.

Professor-professor di universiti pun ramai yang turun padang dan mengambil
bahagian secara aktif untuk menerangkan sains kepada masyarakat. Mereka
menjadi figur dan mempunyai ramai pengikut dan peminat kerana kerap muncul
dalam televisyen dan banyak menulis buku-buku. Nama seperti Professor Brian
Coxx, Michio Kaku, Jim Khalili, Neil deGraisse Tyson adalah nama yang tidak
asing lagi bagi masyarakat awam di barat.

Majalah-majalah berkenaan sains pun banyak diterbitkan mereka. Dokumentari
sains juga banyak dikeluarkan dan disebar ke seluruh dunia. Kita pasti pernah
mendengar rancangan sains seperti geographic channel, the discoveries yang
ditayangkan di stesen-stesen televisyen.

Saban tahun pengetahuan berkenaan sains semakin berkembang dan banyak
penemuan baru telah diterokai. Apakah kita hanya akan membiarkan diri kita
ditinggalkan oleh ilmu sains yang semakin laju berkembang ini? Ingatlah,
pengetahuan sains bukan sahaja semakin diterima dan maju, malah ia semakin
berguna, penting dan tidak boleh terlepas dari kehidupan kita walaupun sesaat.
Ini realitinya. Jika kita tidak peduli akannya, kita pasti merugi.

Ya betul. Barat juga dahulunya macam kita. Masyarakatnya memandang sepi
akan sains. Memandang sepi disini bermaksud, pengetahuan sains itu hanya
dibincangkan dikalangan tertentu sahaja dalam kelompok saintis. Sementara
pada peringat awam, ia tidak dibincangkan sangat.

Tetapi pada tahun 1950, apabila USSR telah berjaya melancarkan Sputnik
ataupun apabila Neil Armstrong telah berjaya menjejakkan kakinya di bulan
masyarakat disana mula ghairah untuk mendekati sains dan ia dibincangkan
oleh ramai orang dan tidak ekslusif untuk saintis sahaja. Mereka mula sedar
akan kemampuan manusia untuk memperalatkan sains bagi mencapai tujuan
yang tidak masuk akal. Seperti menjejakkan kaki di bulan tadi. Ia dikira tidak
masuk akal dan mustahil dicapai! Tetapi dengan bantuan sainslah kita boleh
merealitikan apa jua perkara yang tidak masuk akal tadi!

Penerokaan sains semakin hari semakin maju. Pada abad ke 20 kita telah
menyaksikan banyak pencapaian-pencapaian sains terus diperalatkan untuk
membantu manusia dan menjadikan kehidupan mereka lebih mudah dan selesa.
Antaranya seperti pendaratan di planet Venus, kuantum komputer, fiber optics,
lubang hitam (Black holes), mikrochip, pemindahan jantung dan organ-organ,
superkonduktiviti dan pelbagai lagi.

Pokoknya, kita tidak perlu pun menjadi seorang ahli biologi untuk memahami
betapa kompleknya sel-sel hidupan. Kita juga tidak perlu menjadi ahli fizik dan
menjadi pakar dalam matematik untuk menerokai galaksi bimasakti. Ianya tidak
mustahil untuk difahami tanpa kita perlu menjadi saintis.

Ilmu sains dan segala yang diterokainya sangat menarik dan menakjubkan untuk
dibiarkan hanya untuk saintis. Ia patut dikongsi dan melibatkan keseluruhan
masyrakat tanpa mengira latar belakang apa pun mereka.Jangan pinggirkan
sains, ia terlalu menarik untuk dipinggirkan!

Dalam buku ini kita akan bincangkan beberapa pengetahuan sains yang selalu
kita hadapi tiap-tiap hari, tetapi kita tidak ambil peduli pun akan perkara detil
berkenaannya. Topik-topik tersebut meliputi :

Graviti dan hukum asas fizik

Struktur atom

Pembentukan alam dan teori letupan besar (Big Bang)
Sel dan genetik

Struktur DNA

Apa yang disenaraikan disini semuanya adalah jawapan sains kepada soalan kita,
what is... Ia bukannya perbincangan mengenai apa yang telah dicipta, atau
apa yang telah diinovasi, atau apa yang telah dikembangkan oleh manusia
daripada ilmu sains. Kita tidak akan berbincang mengenai alat teknologi.

Sebabnya, perbincangan berkenaan hal-hal yang demikian perlulah
dibincangkan secara lebih detil dan untuk memahaminya juga agak berat.
Sedangkan tujuan penulisan buku ini hanyalah untuk menyampaikan ilmu asas
sains untuk difahami oleh orang awam di semua peringkat. Justeru, jangan
khuatir jika buku ini akan gagal difahami oleh para pembaca sekalian.

Saya cuba menyampaikan hal-hal yang dibincangkan seringkas yang mungkin
supaya kita semua mendapat manfaat dan ilmu daripadanya. Buku ini akan
merungkaikan persoalan - bagaimanakah alam semesta ini boleh wujud? Apakah
proses yang terlibat untuk membentuk alam ini?

Kehidupan kita ini, apa yang membentuk mereka? Ia adalah perbincangan dari
sekecil-kecil perkara sehingga kepada sebesar-besar perkara berkenaan alam ini.
Dalam buku ini, kita tidak akan membincangkan perkara-perkara yang mustahil
yang melibatkan falsafah.

Umpamnaya, KENAPA alam ini perlu ada dan diwujudkan? Kita tak akan bincang
perkara seperti itu. Kerana jika ia hendak dibincangkan, kita memerlukan
mind of God. Tuhan sahaja yang tahu kenapa alam ini diciptakan dan untuk
apa ia diwujudkan.

Sedangkan kita bukanlah Tuhan dan hanyalah makhluk yang diciptakan olehnya.
Justeru kita tidak akan membincangkannya disini. Ia sudah keluar dari skop
perbincangan yang perlu diperincikan oleh sains. Biarkan sahaja ahli falsafah
dan ilmuwan agama yang membincangkan hal-hal seperti itu kerana mereka
lebih dekat kepada ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya.

Sains lebih cenderung untuk menerangkan perkara, dan memperincikan
perkara. Bukan mempersoalkan perkara tersebut. Sains akan menjawab
persoalan-persoalan seperti - bagaimana, dan apakah. Bukannya menjawab
soalan kenapa?

Sekarang, kenapa perkara-perkara diatas dipilih? Jika kita lihat pada topik yang
dibincangkan, 3 perkara pertama membincangkan hal yang berkaitan fizik
manakala yang kedua terakhir membincangkan hal yang berkaitan biologi.
Sebenarnya topik fizik adalah sangat luas dan bukan tertakluk kepada 3 perkara
ini sahaja. Banyak lagi hal-hal berkaitan fizik boleh dibincangkan selain dari 3
perkara di atas seperti, elektromagnetik, fizik nuklear dan pelbagai lagi. Tetaapi
3 perkara ini dipilih kerana faktor ia lebih mudah hendak disampaikan
sekurang-kurangnya untuk orang awam. Buat permulaan inilah 3 topik
berkaitan fizik yang akan kita bincangkan di dalam buku ini.

Kenapa fizik? Ini kerana, fizik adalah ilmu yang digunakan seluas-luasnya oleh
manusia pada hari ini. Kerana penguasaan kita dalam fizik maka kita boleh
mencipta teleskop Hubble yang canggih, kita boleh mencipta space shuttle yang
boleh menjengah sehingga ke planet Venus yang jaraknya adalah sejauh 261 juta
kilometer dari bumi! Dengan ilmu fizik juga kita telah diberi kefahaman untuk
menyelongkar kandungan zarah-zarah. Tanpa pengetahuan ini, maka mustahil
manusia boleh membina sebuah loji nuklear yang menjana tenaga elektrik.
Mustahil manusia boleh mencipta senjata nuklear yang telah memusnahkan
keseluruhan kawasan Hiroshima dan Nagasaki.

Begitu halnya dalam biologi. Jika kita tidak memahami sel-sel pada peringkat
fundamentalnya, masakan kita boleh meningkatkan tahap keluaran produk
perladangan kita. Bahkan kita memperbaiki lagi kualiti produk perladangan kita.
Tumbuhan perladangan menjadi lebih tahan penyakit, buah yang dihasilkan
lebih besar dan manis. Ini semua boleh dilakukan dengan adanya penguasaan
ilmu sains dalam biologi. Lagi, jika kita tidak mengetahui struktur DNA
bagaimana kita boleh mengubati penyakit-penyakit yang menyerang manusia.
Pokoknya apa yang saya cuba bawa disini adalah perkara-perkara yang sangat
fundamental dalam ilmu sains hari ini.

Apa yang cuba dibawa disini mungkin bersifat sangat abstrak dan tidak mampu
dilihat mata manusia seperti atom, sel dan DNA. Ataupun daya kegravitian, ia
juga sesuatu yang tidak boleh dilihat oleh mata. Tetapi sungguhpun begitu,
mereka wujud. Dan merekalah yang menjadikan apa yang telah terjadi pada
kehidupan kita.

Persediaan Mental

Seseorang yang ingin menghampiri sains perlulah berfikiran terbuka. Ia sangat
luas dan tidak terikat pada persekitaran kita sahaja. Ia tidak terikat dimana kita
tinggal dan dimana kita sedang berdiri. Umpamanya daya graviti. Kita mungkin
tahu graviti adalah sebuah daya yang menarik sesuatu objek supaya jatuh ke
bumi. Ia adalah daya ghaib yang menarik apa-apa jua objek ke bumi. Tetapi
graviti bukanlah sesuatu yang eksklusif. Ia bukan hanya wujud di bumi dan tidak
ada di tempat lain. Daya yang sama juga yang menyebabkan bumi ini berputar
mengelilingi matahari pada garisan orbitnya. Ini disebabkan oleh graviti yang
wujud pada matahari pula yang bertindak ke atas bumi.

Justeru, perbincangan dalam buku ini mungkin menjangkaui kop yang luas.
Selagi ia berkaitan, ia akan cuba dihubungkan seboleh mungkin. Ini bertujuan
supaya sains itu dapat difahami dalam seluas-luas perkara dan tidak terikat pada
tempat kita sahaja. Bersedialah untuk menjelajah ke seluruh alam melalui buku
ini!

Menghargai tokoh-tokoh

Dalam masa yang sama, sebagai tanda hormat dan penghargaan kita kepada para
saintis yang telah lama mengkaji sains dan memudahkan kita untuk
mempelajarinya, kita akan berbicara berkenaan banyak tokoh-tokoh sains yang
berkaitan dengan topik yang dibincangkan. Mereka adalah manusia-manusia
yang biasa macam kita. Perlu kepada makanan, air dan udara untuk hidup.
Tetapi mereka bukan biasa dalam aspek jati diri dan ketahanan mental. Mereka
bukan biasa dalam aspek attitude nya. Orang-orang inilah yang menjadi
tulang belakang kepada banyak pencapaian-pencapaian sains yang ada sekarang.
Tanpa bantuan mereka yang terlebih dahulu menyelongkar asas ilmu sains,
perkembangan sains di seluruh dunia pasti menjadi lambat. Dunia kita hari ini
tentu bukan macam sekarang.

Dengan segala kekurangan yang ada pada zaman mereka, kekurangan alat untuk
menjalankan eksperimen, dan kekurangan rujukan untuk membuat kajian,
mereka perlu bergantung sepenuhnya kepada kapasiti akal untuk merungkai
fenomena-fenomena alam yang belum dapat dijelaskan dulu. Mereka perlu
banyak bergantung kepada proses memerhati, membuat andaian dan cuba
membuktikannya pula melalui amali (eksperimen).

Entah berapa kali mereka gagal dalam setiap kajian yang dibuat. Tetapi mereka
gigih untuk berusaha mempelajari sains dalam lingkungan yang terbatas. Dan
adakalanya mereka terpaksa berhadapan dengan tekanan dan tindakanundang-
undang. Ada juga yang lebih buruk daripada itu, malah dibunuh. Umpamanya
seperti Giordano Bruno yang telah dihukum bunuh oleh gereja Katholik yang
kuat menganut falsafah sains Aristotle. Giordano akhirnya telah dibakar hidup-
hidp pada tahun 1600 di Campo de' Fiori, Rome Itali. Manakala Galileo pula telah
dipenjara. Inilah antara beberapa bentuk cabaran saintis pemula di zaman silam.

Disebabkan mereka, generasi terkemudian tidak lagi perlu berusaha keras dan
terhegeh-hegeh untuk memahami asas-asas sains. Sebaliknya mereka hanya
perlu memperalatkan asas-asas yang telah digali tadi untuk dibuat inovasi.
Justeru amatlah tidak elok jika kita membincangkan topik-topik sains tanpa kita
memberikan kredit kepada manusia-manusia yang telah menemuinya terlebih
dahulu sebelum kita. Dalam ruang yang tebatas ini, mungkin saya tidak dapat
senaraikan semua. Jumlahnya mungkin mencecah ribuan atau mungkin lebih
dari itu. Jadi keutamaan akan diberi kepada saintis yang benar-benar membawa
impak yang penting. Jika begitu halnya, buku ini akan terpaksa menyelitkan
unsur-unsur sejarah yang berkaitan disamping topik-topik sains yang menjadi
keutamaan.

Generasi manusia pada hari perlu rasa bertuah dan beruntung dengan
perkembangan positif yang berlaku dalam dunia sains. Sains dan para
ilmuwannya telah melalui zaman-zaman kesusahan dan kerana pengorbanan
saintis terdahulu kita mendapat manfaatnya pada hari ini. Ia adalah suatu
perkembangan sejarah yang menarik untuk diikuti. Sejarah perpindahan dari
zaman kebodohan kepada zaman yang celik pengetahuan. Daripada zaman yang
banyak persoalan kepada zaman mendapat jawaban. Daripada zaman kekeliruan
kepada zaman kefahaman.

Ianya umpama sebuah kabus gelap yang menutupi jalan-jalan kita untuk setapak
ke hadapan. Kini kabus tersebut telah pergi, dan kita sudah nampak jalannya
kemana kita hendak pergi. Semakin kita kehadapan semakin jelas jalan yang kita
hendak pergi. Jalan-jalan ini pada hakikatnya tidaklah kita tahu sebelum ini akan
memawa kita kemana, kerana kita buta mengenainya. Bersyukur kerana
terdapat generasi awal yang telah mengorbankan hidup mereka untuk
menunjukkan jalan-jalan itu. Merekalah saintis yang perlu kita hargai dan jangan
kita lupa.

Anda mungkin juga menyukai