Anda di halaman 1dari 2

OLEH: RIDHUAN TEE ABDULLAH

Tarikh: January 27, 2014



MULANYA saya cuba bersangka baik dengan apa yang menimpa seorang guru
mualaf di SJKC Nan Ya, Kota Tinggi, Johor, atas nama dakwah. Tetapi setelah
lama mengikuti isu ini, ditambah oleh sebuah syarikat pembinaan yang
menghalau artis bertudung dalam majlisnya, menjadikan saya jadi geram.

Mana tidaknya, lembaga sekolah tersebut telah memaksa guru mualaf untuk
membuka tudungnya dan diancam keselamatannya jika tidak berbuat demikian.

Sedihnya, apabila guru tersebut melaporkan kepada pihak berkuasa, beliau
ditukarkan serta-merta ke sekolah lain.

Peliknya, tiada tindakan tegas dikenakan terhadap kepimpinan SJKC tersebut.
Mana keberanian kita? Mana dia pemimpin yang memperjuangkan Islam dan hak
asasi manusia ini? Kejam sungguh kita semua. Kena pada orang Islam, tak apa.
Kena pada bukan Islam, heboh 1Malaysia.

Saya ingatkan orang bukan Islam telah insaf dan memahami perkara asas
mengenai Islam. Maklumlah sudah lama tinggal di tanah air tercinta ini. Paling
kurang memahami kedudukan Islam selaku agama negara. Rupa-rupanya tidak.

Apabila ada desakan mahukan tindakan disiplin diambil terhadap ahli lembaga
sekolah tersebut, maka kita pun berkata ini isu kecil dan hanya permainan
politik untuk mengalihkan pandangan rakyat dari isu ekonomi yang lebih
meruncing.

Apa semua ini? Lebih meloyakan, ketika pengerusi lembaga dan guru besar
sekolah tersebut memohon maaf secara terbuka, maka kita pun beramai-ramai
datang memberikan sokongan dan tepukan.

Sambil bersalaman dengan guru mualaf tersebut, guru besar itu berkata: Saya
harap isu ini selesai dan dapatlah kita semua hidup dalam harmoni, sesuai
dengan slogan 1Malaysia. Kita pun tutup fail. Wah senang sungguh.

Mudah sangat hidup di Malaysia. Bila bukan Islam buat salah, minta maaf,
selesai, atas alasan 1Malaysia. Bila kita buat silap, maka dikatakan bertentangan
dengan 1Malaysia. Maka kita terus salah, mereka terus betul.

Apakah kita sudah lupa isu pengetua SMK Tunku Abdul Rahman, Kulaijaya yang
didakwa mengeluarkan ucapan rasis pada tahun 2010? Seluruh media ultra
kiasu menghentam habis-habisan pengetua tersebut. Langsung tidak diberikan
peluang untuk membela diri. Desakan demi desakan dilakukan agar beliau
dipecat dan ditukar.

Julai dan Ogos 2013, pengetua SMK Alam Megah, Shah Alam, turut menerima
nasib sama kerana dikatakan memberi ucapan rasis. September 2013, guru
penolong kanan SMK Engku Husin Semenyih, Kajang, pun turut menjadi mangsa.

Pada Julai 2013 apabila gambar murid bukan Islam SK Sri Pristana makan di
tandas semasa bulan Ramadan tersebar, sekali lagi seluruh media ultra kiasu
dikerah untuk melondehkan isu tersebut sehingga habis FB guru besar turut
digodam.

Pelbagai tuduhan dibuat tanpa langsung memberi peluang kepada beliau
membela diri. Beliau dan keluarga dimalukan, dihina dan dikecam sehingga anak
beliau sendiri merayu dan menulis di status FB jangan diganggu ayah beliau lagi.

Namun, dalam isu guru mualaf dan SJKC ini, semua media ultra kiasu senyap
sepi. Kenapa tidak sensasikan isu ini dan memaksa guru besarnya dipindahkan
atau meletakkan jawatan? Jawapannya mudah, mereka sekapal.

Saya yakin, penghinaan ke atas guru mualaf tersebut, dan artis bertudung,
sengaja dilakukan. Peliknya, guru mualaf tersebut yang ditukarkan ke sekolah
lain, bukan guru besar itu.

Lebih menjengkelkan lagi, ketika isu ini dibangkitkan, kita diminta sabar, siasat
dahulu, jangan bertindak terburu-buru, perlu berhikmah dan bermacam-macam
alasan. Inilah sifat orang Melayu, terlalu bertolak ansur, sehingga ditolak
beransur-ansur.

Benar, memaafkan seseorang itu satu sifat yang baik. Tetapi itu bukan bermakna,
pesalah boleh terlepas begitu sahaja.

Masih ingatkah kita pada zaman Nabi, apabila seorang Muslimah dipermainkan
oleh Yahudi sehingga terselak kain dan menampakkan auratnya? Apa tindakan
selepas itu? Jawapannya, perang.

Hari ini kita tidaklah sampai ke peringkat perang. Tetapi menjadi tanggungjawab
seorang pemimpin negara untuk memastikan bahawa tidak ada mana-mana
rakyat Islam di bawah pemerintahannya dianiaya oleh musuh-musuh Islam.

Ingatlah! maruah dan keadaan umat Islam semakin tercabar. Malangnya, tiada
pemimpin yang berani bangkit dan dengan tegas bersuara mempertahankan
maruah umat Islam yang tercalar. Lebih menyedihkan, penghinaan itu berlaku di
bumi kita sendiri yang berasaskan Melayu dan Islam.

Anda mungkin juga menyukai