Anda di halaman 1dari 4

PENULISAN JURNAL MINGGU 1

(26.01.2014 HINGGA 30.01.2014)



TAJUK / MASALAH :

KEMAHIRAN MOTOR HALUS KESUKARAN MEMEGANG GUNTING DENGAN
BETUL



MASALAH
Sepanjang minggu ini, sesi pengajaran dan pembelajaran diambil alih oleh guru
prasekolah. Pada 29 Januari 2014 bersamaan hari Rabu, saya bersama pasangan
praktikum telah mengambil satu slot guru untuk mengenali murid-murid prasekolah
secara lebih dekat. Saya telah menjalankan aktiviti menggunting bersama murid-murid.
Murid-murid dikehendaki untuk menggunting secara bebas ke atas kertas yang
diberikan kepada murid-murid setiap seorang.
Hasil pemerhatian saya daripada aktiviti yang telah dijalankan, saya mendapati
terdapat beberapa orang murid yang masih lemah dalam kemahiran menggunakan
gunting. Ada dalam kalangan mereka yang tidak tahu cara memegang gunting dengan
betul. Murid memegang gunting menggunakan jari yang salah dan dalam posisi yang
membahayakan diri sendiri dan murid lain.
Perkara ini sangat membimbangkan saya kerana cara murid tersebut
memegang gunting boleh membahayakan dirinya dan orang lain terutamanya di
peringkat awal persekolahan ini. Saya perlu melaksanakan tindakan yang sesuai untuk
menangani masalah ini daripada terus berlanjutan.

ANALISIS
Masalah murid sukar memegang gunting dengan betul akan mengganggu sesi
pengajaran dan pembelajaran yang akan datang terutamanya dalam aktiviti
menggunting. Jika saya tidak memperbetulkannya segera, sudah pasti objektif
pengajaran dan pembelajaran yang dirancang tidak dapat dicapai.
Menurut Haliza Hamzah dan Joy N. Samuel (2000), perkembangan fizikal adalah
proses perkembangan kemahiran psikomotor dalam diri individu. Kemahiran tersebut
biasanya memerlukan penggunaan anggota badan. Perkembangan fizikal seseorang
dapat dilihat dari dua aspek iaitu perkembangan motor kasar dan perkembangan motor
halus. Pada peringkat kanak-kanak berumur 5-7 tahun, kanak-kanak cenderung dalam
mengembangkan kemahiran motor. Peringkat prasekolah adalah masa yang terbaik
untuk perkembangan kanak-kanak.
Kemahiran motor halus ialah koordinasi gerakan otot kecil yang berlaku atau
kemahiran yang melibatkan penggunaan otot-otot halus yang mengawal tangan, jari
dan ibu jari. Pembangunan kemahiran ini membolehkan seseorang untuk dapat
menyelesaikan tugas seperti menulis, menggambar dan mengancingkan. Bagi
meningkatkan kemahiran motor halus kanak-kanak, aktiviti menggunting merupakan
salah satu aktiviti yang baik yang dapat membantu perkembangan kemahiran motor
halus kanak-kanak.
Oleh yang demikian, bagi memastikan murid-murid prasekolah menguasai
kemahiran motor halus, lebih-lebih lagi kemahiran menggunting, memerlukan
perancangan, masa dan pelbagai bahan bantu. Perkembangan motor halus amat
memainkan peranan yang penting dalam persediaan kanak-kanak yang baru memasuki
sekolah. Maka itu, perhatian oleh guru dan ibu bapa seharusnya diberi kepada murid-
murid bagi mempertingkatkan kemahiran motor halus supaya murid dapat menulis,
menggambar dan mewarna dengan lebih baik.


CADANGAN
Antara langkah-langkah yang boleh saya ambil bagi mengatasi masalah ini adalah
seperti berikut :
1. Memperbanyakkan aktiviti menggunting pelbagai jenis garisan dan gambar
bentuk yang mudah dan besar.
2. Menggunting gambar daripada surat khabar, majalah serta kertas tidak terpakai
dan menampal gambar tersebut di sebuah kertas atau kad manila membentuk
satu karya yang menarik.
3. Menggentel doh menjadi biji menggunakan jari.

TEMPOH MASA
Tempoh masa yang diambil bagi mengatasi masalah ini adalah selama sebulan iaitu
bermula minggu kedua praktikum sehingga minggu yang keempat. Insyaallah.

TINDAKAN SUSULAN
Tindakan susulan yang bakal saya laksanakan ialah melaksanakan cadangan yang
telah disebutkan dalam masa yang dianggarkan secara berperingkat. Saya juga akan
memantau perkembangan murid setiap minggu bagi memastikan murid dapat
menguasai kemahiran menggunting dengan baik. Tindakan dijalankan terhadap murid-
murid dan sasaran saya lebih bertumpu kepada murid yang tidak tahu langsung
menggunakan gunting. Saya juga akan berbincang lebih lanjut dengan guru
pembimbing, meminta pendapat guru-guru lain, kawan-kawan dan juga pensyarah
pembimbing.


KESIMPULAN
Secara keseluruhannya, saya akan cuba memberikan usaha yang terbaik bagi
mengatasi masalah ini. Saya tahu dan saya sedar jika mereka tidak dibantu, besar
kemungkinan kemahiran tersebut tidak dapat dikuasai sehingga mereka dewasa dan
membawa kesan buruk dalam kehidupan seharian. Oleh itu, tindakan susulan akan
saya laksanakan bagi membantu kanak-kanak yang bermasalah dalam kawalan motor
halus mereka. Insyaallah.

Disediakan oleh : Nurul Diyana binti Suliman



Disemak oleh Guru Pembimbing

Tandatangan : .............................................
Nama : .............................................
Tarikh : .............................................

Disahkan oleh Pensyarah Pembimbing

Tandatangan : .............................................
Nama : .............................................
Tarikh : .............................................

Anda mungkin juga menyukai