Anda di halaman 1dari 3

Pembelajaran aktif merupakan salah satu usaha untuk menarik minat murid datang ke

sekolah melalui sistem pembelajaran yang menyeronokkan dan berkesan. Guru patut mengajar
sebagaimana murid belajar. Pembelajaran aktif melibatkan interaksi dua hala yang berkesan
antara satu sama lain.

Kaedah mengajar secara syarahan sahaja sudah patut di tinggalkan oleh para guru.
Mengikut kajian pembelajaran aktif lebih memberikan kesan dalam pembelajaran berbanding
teknik syarahan. Pelajar perlu dilibatkan dalam aktiviti pembelajaran dan pelajar perlu
memahami asas dan kemahiran dipelajari.Asasnya ialah setiap ilmu yang diperolehi perlu
mengoptimasikan 5 pancaindera kita sepenuhnya. deria mendengar,merasa, melihat membau dan
menyentuh.

Pembelajaran aktif bermula daripada susunan pelajar di dalam kelas, pembahagian
tugasan kepada pelajar dengan baik, arahan yang diberi dengan jelas, bahan bantu mengajar yang
mencukupi dan bermutu, suasana pembelajaran yang kondusif, membahagikan tugasan kepada
pelajar mengikut aras kebolehan masing-masing, mempelbagaikan teknik mengajar
,memanipulasikan kekuatan dan kelemahan pelajar dan macam-macam lagi.

Pembelajaran aktif sangat berkesan dalam memantapkan kemahiran pelajar yang pandai.
Pada peringkat sekolah rendah, pelajar yang pandai memerlukan dorongan guru untuk
memastikan tahap pembelajaran mereka sentiasa meningkat. Jika guru hanya menggunakan
kaedah syarahan semata-mata, murid-murid tidak akan berpeluang untuk meluahkan idea
mereka. Pembelajaran aktif akan menjadikan murid lebih cergas semasa proses pembelajaran
berlangsung.

Selain itu, strategi pembelajaran aktif akan memudahkan lagi pelajar untuk memahami
dan seterusnya membantu mereka mengingat apa yang telah mereka pelajari. Guru yang
mengaplikasikan pembelajaran aktif di dalam kelas bagi menyampaikan konsep-konsep yang
terkandung dalam matapelajaran seharusnya mencari penyelesaian bagi memastikan murid
memahami isi pelajaran dan seterusnya dapat mencapai objektif pembelajaran.

Kefahaman bagi sesuatu konsep bergantung kepada cara penyampaian yang digunakan
oleh guru. Para pelajar harus dirangsang dengan strategi pengajaran yang menarik bagi
meningkatkan tahap keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.Guru perlu mengurangkan cara
penyampaian secara syarahan ataupun lebih dikenali sebagai chalk and talk.Dengan strategi
pembelajaran aktif, komunikasi bukan hanya berlaku satu hala sahaja malahan ianya lebih
berkesan apabila kedua pihak antara guru dan murid dapat berkomunikasi satu sama lain.

Di samping itu, kelebihan pembelajaran aktif juga dapat meningkatkan keinginan murid
untuk belajar semasa aktiviti di dalam mahupun di luar kelas.Sudah menjadi naluri pelajar untuk
bermain Mengikut pendapat Dauer dan Prangrazi (1983), kanak-kanak mempunyai keinginan-
keinginan untuk bergerak, berlakon dan sentiasa aktif yang tidak boleh dipuaskan. Mereka lari
untuk mendapatkan kepuasan berlari semata-mata. Aktiviti bagi mereka adalah intisari
penghidupan.

Sejajar dengan cabaran masa kini, pembelajaran aktif juga merupakan suatu kelebihan
terhadap murid kerana ianya akan melibatkan bersama komponen pemikiran aras tinggi. Jelaslah
di sini terdapat keperluan yang serius untuk kita mempersiapkan masyarakat secara amnya, dan
para pelajar khususnya untuk memiliki kemahiran berfikir secara kritikal bagi menghadapi
pelbagai cabaran dan situasi yang bakal ditempuhi. Ini ditegaskan dalam Cornell Critical
Thinking Skills (1989) yang menegaskan kepentingan untuk mengintegrasikan kemahiran
berfikir di dalam kurikulum di semua peringkat. Adalah penting bagi seseorang individu
diterapkan kemahiran berfikir dan penyelesaian masalah untuk berupaya mengambil tindakan
yang jitu dan bertanggung jawab terhadap implikasi yang dihadapi

Kualiti pencapaian pendidikan pelajar sangat bergantung kepada pengajaran dan
pembelajaran (P&P) guru di dalam kelas. Kelebihan pembelajaran aktif secara tidak langsung
telah dapat meningkatkan keterlibatan murid secara maksimum.Seringkali dilihat bahawa pelajar
amat sukar untuk memberikan tumpuan dan minat dalam mengikuti aktiviti pengajaran dan
pembelajaran(P&P) dalam bilik darjah terutamanya pengajaran yang melibatkan kaedah
berpusatkan guru semata-mata tanpa ada sebarang alternatif atau usaha yang dapat menarik
minat dan penglibatan mereka. Dari segi kemahiran berfikir, pelajar kelihatan sukar untuk
mengeluarkan pendapat serta idea sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran berjalan.
Pelajar juga sukar untuk membuat gambaran secara imaginasi tentang apa yangdiajar oleh guru.
Akibatnya, pelajar kurang memahami dan mengingat apa yang diajar dalam bilik darjah.
Keberkesanan sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran amat bergantung kepada kaedah dan
strategi pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan oleh guru dalam kelas.

Oleh itu, seharusnya strategi pembelajaran aktif diperluas dan dipertingkatkan
penggunaan di dalam bidang pendidikan bagi melahirkan murid yang mampu bersaing dalam
segenap bidang. Melalui penglibatan secara aktif ini penekanan pembelajaran dapat diberikan
kepada pemikiran konstruktif oleh semua pelajar, dengan aktiviti biasanya tertumpu kepada
pembinaan pengetahuan dan kemahiran baru . Proses pemindahan dan penerimaan maklumat
hanya akan berlaku melalui penglibatan pelajar secara aktif. Pelajar akan dapat menterjemahkan
konsep yang dipelajari melalui latihan susulan yang diberikan kepada mereka.