Wahai manusia, makanlah apa-apa yang ada di atas muka bumi yang halal lagi baik dan
janganlah kamu mengikut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan merupakan musuh
yang nyata bagi kamu. Antara perbelanjaan yang perlu kita lakukan setiap hari adalah berkaitan dengan makan dan minum. Ayat di atas menekankan dua perkara yang perlu dijaga dalam konteks pemakanan. Pertama, umat islam wajib memastikan kehalalan makanan itu sebelum mengambilnya, kedua umat Islam perlu memastikan makanan itu dating dari sumber yang baik lagi berkhasiat. Imam Ibnu Kathir menafsirkan makanan yang baik sebagai yang sesuai dengan selera di samping tidak mendatangkan kemudaratan kepada badan dan akal. Kepesatan pembangunan teknologi menyebabkan pelbagai kemungkinan bahan kimia masuk ke dalam makanan samaada ditambah secara sengaja oleh pengeluar untuk mengaut keuntungan yang berlipatganda mahupun didapati terdapat didalam makanan melalui proses migrasi atau perpindahan dari bahan pengbungkus kepada makanan yang dipengaruhi oleh faktor suhu selalunya. Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan sekalian, isu cemaran kimia yang terbaru adalah isu berkaitan dengan pencemaran di (2-ethylhexyl) phthalate (dehp) dan diisononyl phthalate (dinp) dalam makanan import dari Taiwan.
Bahagian Keselamatan Dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum akan laporan mengenai pencemaran di(2-ethylhexyl) phthalate (DEHP) dan di-isononyl phthalate (DINP) dalam beberapa produk makanan keluaran Taiwan yang dilaporkan dalam media sejak 25 Mei 2011. Produk-produk makanan terlibat adalah minuman sukan, jus buah-buahan, produk jeli, jam, yogurt dan clouding agent, sejenis bahan aditif makanan. Bahan DEHP dan DINP telah ditambah kepada clouding agent untuk mengurangkan kos pengeluaran produk makanan.
Pihak Taiwan Food and Drug Administration (FDA) telah memaklumkan KKM berkenaan beberapa makanan keluaran Taiwan yang telah disahkan tercemar dengan DEHP dan telah dieksport ke Malaysia untuk tindakan selanjutnya seperti berikut:
i) Uni-President Asparagus Juice dengan tarikh luput sebelum 18 Mei 2012 yang dikilangkan oleh syarikat Uni-President Enterprises Corp., Taiwan.
ii) Sunkist Lemon Juice, Sunkist Lemon Juice Drink with Aloe Vera Pulp, Sunkist Orange Juice dan Sunkist Orange Juice Drink yang dikilangkan oleh syarikat Country House Inc., Taiwan dan dieksport ke Malaysia oleh syarikat Sunlight Foods Corp., Taiwan.
Sehubungan dengan itu, KKM telah menghubungi kesemua pengimport produk terbabit di atas untuk melaksanakan tindakan pemanggilan balik produk makanan tersebut yang berada di pasaran tempatan dengan kadar segera. Dalam pada itu, KKM juga akan menjalankan pemantauan di pasaran tempatan dan sekiranya produk terlibat masih dijual, tindakan rampasan akan dijalankan. Di samping itu, semua pengimportan Uni-President Asparagus Juice, Sunkist Lemon Juice, Sunkist Lemon Juice Drink with Aloe Vera Pulp, Sunkist Orange Juice dan Sunkist Orange Juice Drink oleh Syarikat Country House Inc. dari Taiwan dilarang masuk ke negara ini (Pemeriksaan Tahap 6 di bawah FoSIM-Food Safety Information System of Malaysia). Bagi produk makanan lain yang diimport dari Taiwan seperti jus buah- buhan, jeli, jam, yogurt dan minuman sukan, tindakan pemantauan dijalankan di pintu masuk.
BAhagian Keselamatan Dan Kualiti Makanan, KKM ingin memaklumkan bahawa produk minuman sukan keluaran syarikat Young Energy Resource Co. Ltd., di Taiwan yang dikesan mengandungi DEHP seperti dilaporkan oleh pihak Centre for Food Safety, Hong Kong pada 25 Mei 2011 iaitu Speed Sports Drink 600ml, Speed Sports Drink (Lemon Flavour) 600ml dan Dong Nung 1000 Sports Drink tidak diimport ke negara ini berdasarkan maklumat dari FoSIM.
DEHP dan DINP adalah sejenis bahan kimia yang digunakan dalam pembuatan plastik untuk menjadikannya lebih lembut (flexible). Ianya boleh dipindahkan (migrate) kepada makanan semasa proses pembuatan, pembungkusan dan penyimpanan.3-DEHP diketahui berkemungkinan boleh menyebabkan kesan karsinogenik ke atas manusia. Namun begitu, masih terdapat kekurangan bukti saintifik berkaitan kesan karsinogenik DEHP kepada manusia.
Sekiranya terdapat mana-mana pihak yang terlibat dalam pengimportan, penyimpanan, penyediaan, pengedaran dan penjualan produk-produk yang membahayakan kesihatan, jika bersabit kesalahan di bawah Seksyen 13(1), Akta Makanan 1983 boleh didenda tidak melebihi RM 100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.
Sehubungan dengan itu, orang ramai tidak perlu khuatir akan keselamatan makanan yang diimport dari Taiwan memandangkan kawalan telah dikenakan ke atas makanan terbabit dari Negara tersebut. Pengguna yang telah membeli produk makanan berkenaankeluaran Taiwan dinasihati tidak memakan produk tersebut.
Untuk makluman hadirin sekalian juga, sekiranya ingin mendapatkan maklumat lanjut berkaitan isu tersebut, bolehlah layari laman web http://fsq.moh.gov.my.
Selai dari itu, buat masa sekarang, Negara-negara Eropah sedang diserang dengan wabak E.Coli 0104, di mana strain e.coli tersebut jarang ditemui. Sehingga kini wabak tersebut telah menyebabkan kematian seramai 18 orang dan menyebabkan beratus-ratus yang lain sedang mendapatkan rawatan di hospital.
Keracunan makanan yang disebabkan oleh bacteria tersebut boleh menyebabkan berlakunya cirit-birit berdarah yang teruk sehinggalah menyebabkan sindrom hemolytic uremic yang boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, Seperti mana yang kita sedia maklum, agama Islam menganjurkan dua perkara utama di dalam hal makanan iaitu, kehalalan serta kebersihan makanan yang diambil. Di dalam agama Islam selagi tidak ada nas yang mengharamkan sesuatu benda itu, maka ia adalah halal untuk dimakan. Namun demikian, soal kebersihan dan keselamatan makanan turut berkait rapat dalam pengambilan sesuatu makanan. Halal tetapi tidak bersih serta tidak selamat, samada dari segi penyediaan mahupun ketika makanan itu diproses, akan mengakibatkan kesihatan seseorang terjejas. Oleh itu ketiga-tiga faktor tersebut saling berkait di antara satu sama lain. Makanan yang halal tetapi tidak selamat, mungkin akibat daripada pelbagai teknik yang digunakan bagi mempercepatkan pertumbuhan, dilihat sebagai makanan yang boleh memudaratkan kesihatan. Jika sesuatu itu sudah pasti akan mendatangkan kemudaratan kepada kehidupan manusia, agama Islam sama sekali tidak akan menyokongnya. Di dalam agama Islam, sesuatu yang halal itu semestinya tidak mendatangkan kemudaratan kepada si pemakan. Masyarakat Islam di negara ini lazimnya akan memberi keutamaan kepada logo halal apabila memilih makanan, tetapi kurang mengambil kira kandungan zat di dalam makanan tersebut. Boleh dikatakan tahap kesedaran masyarakat masih rendah mengenai kandungan makanan yang sihat untuk kesihatan. Mereka tidak mempunyai ilmu tentang kandungan makanan yang diambil; ditambah pula dengan pelbagai istilah yang digunakan contohnya, asid amino atau omega 3, membuatkan ramai yang tidak kisah. Ini ditambah dengan iklan-iklan yang hanya mengiklankan barangan tanpa menerapkan nilai- nilai ilmu yang boleh dimanfaatkan oleh pengguna. Atas kesedaran ini, Kementerian Kesihatan dikatakan akan menguatkuasakan peraturan yang mewajibkan restoran makanan segera menyenaraikan maklumat kandungan makanan dan minuman yang dijual kepada orang ramai.
Terdapat juga cadangan untuk menguatkuasakan larangan menyiarkan iklan makanan segera serta penajaan iklan bagi program kanak-kanak di media elektronik. Dengan adanya maklumat berhubung istilah-istilah kandungan makanan dapat membantu menyedarkan masyarakat mengenai pengambilan makanan yang seimbang. Dengan ilmu mengenai kandungan dalam makanan, mampu mengatasi masalah kesihatan masyarakat. Sememangnya umat Islam harus mengambil berat apa jua sumber yang menjadi asas pemakanannya. Ini kerana kita tahu setiap makanan yang diambil akan menjadi darah daging manusia itu sendiri. Jadi mengambil makanan yang halal, bersih dan selamat bukan saja menjamin kesihatan seseorang malah mampu membentuk nilai spiritual yang amat tinggi di dalam diri seseorang itu dengan akhlak dan perilaku yang baik. Tidak dinafikan terdapat faktor-faktor lain yang turut mempengaruhi tingkah laku seseorang seperti faktor keturunan, persekitaran, pendidikan, namun agama Islam memang menitikberatkan hal pengambilan makanan seseorang. Ini jelas apabila Rasulullah SAW bersabda seseorang yang di dalam tubuhnya terdiri daripada makanan yang haram, Allah sukar untuk memperkenankan setiap doa-doanya. Imam Ghazali pula menceritakan, seorang wali Allah, Suhail, pernah berkata, apabila seseorang itu makan makanan yang haram, anggota badannya enggan mengikuti fikirannya. Walaupun di fikirannya hendak melakukan amal soleh dan kebajikan, namun anggota badan yang dibentuk daripada makanan yang haram terlalu berat untuk melaksanakannya. Dalam hal ini perlu juga diperhatikan tentang pengambilan makanan yang syubhah, kerana ia tetap memberi kesan kepada tingkah laku seseorang. Makanan yang syubhah contohnya, memberi makan anak buah dari pokok orang lain tanpa meminta izin tuan punya pokok terlebih dahulu, akan mempengaruhi tingkah laku anak, ditakuti menjadi anak yang nakal. Oleh itu menjadi tanggungjawab ibubapa untuk mempastikan setiap makanan yang diberikan kepada anak-anak adalah halal. Abdul Kadir al-Jailani menjadi seorang ulama tersohor kerana kedua-dua ibubapanya begitu prihatin tentang halal dan haram sesuatu perkara; khasnya yang berkaitan dengan pemakanan yang diberikan kepada anak-anaknya. Juga perlu diingat, memakan makanan yang halal dan baik merupakan salah satu bentuk ketaatan kepada Allah dalam memenuhi segala perintahNya. Sekian, wabillahitaufik wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.