Terima kasih tuan pengerusi majlis, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana serta para hadirin sekalian. Assalamualaikum wtb dan salam satu Malaysia. Pada hari ini saya akan menyampaikan sebuah cerita yang memberi banyak pengajaran untuk renungan kita bersama. Kerana Sepasang Kasut. Dengar dan hayatilah cerita ini. Kring.. loceng sekolah berbunyi menandakan waktu persekolahan sesi petang baru sahaja bermula. Kelihatan seorang budak lelaki berpakaian lusuh memikul sebuah beg berlari pantas menuju ke pintu pagar sekolah. Budak lelaki itu telah ditahan oleh guru disiplin. Guru disiplin yang berbadan tegap dan bersuara kuat itu bernama Cikgu Azman. Setiap murid di sekolah itu pasti gerun apabila berhadapan dengan Cikgu Azman. Kenapa kamu lambat lagi hari ini? tanya Cikgu Azman. Mamamaafkan saya, cikgu, kata Hafiz. Belum sempat Hafiz memberikan alasan, satu libasan rotan hinggap dikakinya. Aduh! Hafiz mengerang kesakitan. Termasuk hari ini, sudah sepuluh hari kamu datang lewat ke sekolah. Cikgu tidak mahu mendengar alasan kamu lagi. Pastikan esok kamu datang lebih awal, bentak Cikgu Azman bagaikan halilintar itu. Selalu lewat datang ke sekolah. Berlari laju sehingga lelah Tiada siapa ingin membantu. Seorang diri menanggung malu Hafiz merupakan seorang pelajar yang datang daripada sebuah keluarga miskin yang tinggal di ceruk kampung. Dia mempunyai seorang adik perempuan bernama Hafizah. Ibunya bekerja sendiri seperti menjual sayur-sayuran yang ditanam untuk menyara hidup mereka. Ayahnya sudah lama meninggal dunia. Kehidupan mereka ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Wang yang diperolehi hasil menjual sayur-sayuran itu cukup-cukup digunakan untuk makan dan menghantar Hafiz dan Hafizah ke sekolah. Pada suatu hari, kasut yang dipakai oleh Hafizah rosak teruk dan tidak boleh dipakai lagi. Hafiz berasa kasihan kepada adiknya tetapi dia tidak mampu melakukan apa-apa. Hafiz mendapat idea, dia memberi cadangan kepada adiknya. Adik, adik gunakanlah kasut abang , biarkan abang tidak bersekolah, kata Hafiz. Tidak mengapa, biarlah adik duduk di rumah, abang pergiiah ke sekolah, kata Hafizah pula. Hafiz berasa serba salah lalu berkata, baiklah, kita bergilir-gilir memakainya. Mula- mula adik pakai dahulu, selepas adik balik dari sekolah, abang pula yang memakainya. Hafizah pun bersetuju dengan cadangan itu. Semenjak hari itu, setelah Hafizah pulang ke rumah, Hafiz pula menyarung kasut sekolahnya dan berlari sekuat hati pergi ke sekolah. Oleh sebab itulah dia selalu lewat sampai ke sekolah dan selalu dimarahi oleh gurunya. Pada suatu hari, sekolah Hafiz mengadakan pertandingan marathon. Hadiah utama pertandingan itu ialah sebuah basikal, namun Hafiz tidak teruja dengan hadiah pertama, dia teruja dengan hadiah tempat ketiga iaitu sepasang kasut sekolah. Hafiz mengambil keputusan untuk menyertai acara tersebut dan dia merancang untuk mendapat tempat ketiga supaya dia menerima sepasang kasut sekolah untuk adiknya. Hadirin sekalian, Sungguh mulia hati si abang yang ingin membantu adiknya. Hafiz memasuki pertandingan berlari. Tempat ketiga ingin dimiliki. Hari pertandingan telah tiba. Hafiz berlari sekuat hatinya meninggalkan peserta yang lain. Hafiz mendapat tempat pertama. Hafiz menangis teresak-esak. Dia menangis bukan kerana dia gembira tetapi kerana dia sedih tidak mendapat apa yang diinginkannya. Apa yang diinginkannya hanyalah sepasang kasut untuk adiknya. Kisah Hafiz ini sampai ke pengetahuan Cikgu Azman. Cikgu Azman menitiskan air mata. Dia menyesali perbuatannya yang telah menghukum tanpa mengetahui kisah sebenar. Sejak hari itu, Cikgu Azman berusaha mengutip sumbangan untuk diberikan kepada keluarga Hafiz. Hafiz berterima kasih kepada Cikgu Azman dan pihak sekolah atas bantuan yang diberikan. Dia sangat bersyukur kerana kini dia dan adiknya sudah memiliki sepasang kasut sekolah yang cantik, putih dan selesa dipakai. Hadirin sekalian, Begitulah cerita tentang Hafiz dan Hafizah, semoga cerita ini akan menjadi pengajaran dan teladan kepada kita semua. Hayatilah puisi ini, Hari ini kita mendongak langit Kita mengharapkan matahari terus menyinari bumi, Tetapi Tuhan turunkan hujan Kita bersedih dan tertanya-tanya Ke manakah perginya matahari? Rupa-rupanya Tuhan telah memberikan pelangi Setelah hujan turun membasahi bumi. Janganlah kita berputus asa, usaha dan terus berusaha, Pasti kejayaan menjadi milik kita. Andai kita gagal di pertengahan, pasti ada sinar harapan. Sekian, terima kasih.
TEKS CERITA (TAHAP 1) PASU TANPA POKOK BUNGA Assalamualaikum wtb, salam, sejahtera dan salam satu Malaysia saya ucapkan. Terima kasih pengerusi majlis, para panel hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru, rakan- rakan dan seterusnya sidang hadirin yang dirahmati Allah. Apa khabar kawan-kawan, harap-harap semuanya sihat. Pada hari ini saya akan menyampaikan sebuah cerita yang bertajuk Pasu Tanpa Pokok Bunga. Ehhkenapa pula pasu tidak ada pokok bunga haKalau kawan-kawan hendak tahu, marilah duduk dekat dengan saya dan pasang telinga ya. Mari semua kita dengarkan, kisah teladan di dalam cerita, Baginda Sultan mencari waris, untuk menjaga keamanan negeri. Pada zaman dahulu, ada seorang raja yang sudah tua. Baginda tidak mempunyai putera untuk mewarisi takhta baginda. Ini menyebabkan baginda berasa sungguh risau. Pada suatu hari, Raja berfikir bagaimana hendak melantik pengganti baginda. Akhirnya baginda mendapat satu akal. Raja memberikan biji-biji benih kepada semua budak lelaki di negerinya. Mana-mana budak lelaki yang menghasilkan bunga yang paling cantik daripada biji benih itu akan dijadikan putera angkat baginda. Semua budak lelaki menyemai biji-biji benih bunga itu dengan bersungguh- sungguh. Salah seorang budak lelaki itu bernama Shahril. Dia seorang anak yang miskin dan tinggal bersama ibunya. Dia menjaga biji-biji benih tersebut dengan baik. Shahril menjaga biji-biji benih tersebut dengan baik seperti menyiram setiap hari sambil menyanyi. Kusiram biji benih, biji benih bunganya banyak. Lalalala..lala..la. Kusiram biji benih, biji benih bunganya banyak. Lalalala..lala..la. Sehinggalah setengah bulan dan akhirnya genap sebulan. Shahril hairan melihat biji-biji benih yang di semainya itu tidak bercambah. Kemudian Shahril bertanya kepada ibunya tentang perkara tersebut. "Cuba anakku tukarkan tanah dalam pasu ini," kata ibu Shahril. Sharil mengikut sahaja apa kata-kata ibunya tetapi biji-biji benih itu tidak bercambah juga. Shahril berasa sungguh risau kerana hari perlantikan putera angkat semakin hampir. Shahril berusaha mencari jalan dan tidak berputus asa Akhirnya hari perlantikan putera angkat itu pun tiba. Semua budak lelaki datang menghadap raja. Mereka membawa pokok-pokok bunga yang subur itu di dalam pasu masing-masing. Pada ketika itu, Raja tidak bertitah apa-apa, cuma menunjukkan muka masam baginda sahaja. Rupa-rupanya baginda tidak tertarik dengan pokok- pokok bunga yang subur itu. Tiba-tiba Raja ternampak seorang budak sedang menangis teresak-esak. Budak itu membawa pasu tanpa pokok bunga di dalamnya. Raja menghampiri budak itu lalu bertitah, "Siapakan namamu wahai anakku? Mengapa bawa pasu tanpa pokok bunga di dalamnya?". "Nama saya Shahril, Tuanku," jawab Shahril sambil menangis. Shahril terus menangis teresak-esak. Seketika kemudian dia mengesat air matanya lalu berkata, "tiap-tiap hari patik menjaga biji-biji benih itu dengan bersungguh-sungguh tetapi biji-biji benih itu tidak bercambah juga. Raja berhati-hati mendengar keterangan Shahril itu sambil tersenyum. Kemudian baginda memegang tangan Shahril lalu membuat pengumuman, "anak ini adalah putera angkat beta," titah Raja kegembiraan. Budak-budak lain terperanjat mendengar pengumuman baginda itu. Mereka kehairanan dan tertanya-tanya mengapa Tuanku melantik budak yang membawa pasu tanpa pokok bunga itu menjadi putera angkat tuanku. "Anak-anakku," titah Raja, "Sebenarnya beta berikan anak-anakku biji- biji benih yang telah direbus. Biji-biji benih itu sepatutnya tidak boleh bercambah sama sekali." Kawan-kawan, Buah pelaga makan dikikir, dibawa orang dari hulu, sebarang kerja hendak fikir, supaya jangan mendapat malu.
Budak-budak itu tunduk kerana malu sungguh setelah mendengar Raja bertitah sedemikian. Sebenarnya mereka telah menggunakan biji-biji benih lain sebagai pengganti biji-biji benih yang tidak boleh bercambah itu. Semua budak lelaki itu menggunakan helah,cuma Shahril sahaja yang jujur. Oleh itu Raja telah melantiknya menjadi putera angkat baginda. Shahril berasa gembira dan bersyukur kepada Tuhan kerana telah telah mendapat rezeki menjadi putera angkat raja. Maka kehidupan susah dan miskin yang dilalui oleh Shahril bertukar menjadi senang. Kawan-kawan dan hadirin sekalian, Buah cempedak bentuknya bujur Sangat disukai oleh semua Jika kita bersikap jujur Hidup kita dipandang mulia Berakhirlah sudah kisah Pasu Tanpa Pokok Bunga. Kejujuran Shahril patut dicontohi oleh semua orang. Sesungguhnya orang yang tamak termasuk di kalangan orang yang rugi. Semoga kisah ini memberi manfaat kepada kita semua. Cantik sekali si burung nuri, Hinggap sebentar di atas atap, Seikhlas hati menyusun jari, Memohon maaf salah dan silap.
Sekian dulu cerita saya, salah dan silap harap dimaafi Mana yang baik jadi teladan, mana yang buruk jadi sempadan.