Anda di halaman 1dari 3

LANGKAH-LANGKAH MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA

'Bahasa jiwa bangsa', itulah frasa yang paling sesuai untuk melambangkan signifikan sesuatu bahasa
kepada bangsa-bangsa di Malaysia. Pelbagai polemik telah dibangkitkan sejak akhir-akhir ini bagi
membicarakan identiti bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan bagi sebuah rumpun bernama
Malaysia. Bahasa Malaysia telah diadaptasikan daripada frasa asal 'Bahasa Melayu' yang disifatkan
berjiwa perkauman sekaligus tidak relevan dengan Gagasan 1 Malaysia. Namun begitu, apakah inisiatif
yang perlu dilaksanakan demi memartabatkan bahasa Malaysia dalam kalangan masyarakat?

Langkah-langkah yang patut diambil termasuklah menggesa semua urusan rasmi dan surat-menyurat
di semua jabatan kerajaan diimplimentasikan dalam bahasa ibunda. Mutakhir ini, jabatan-jabatan
kerajaan lebih gemar memilih bahasa Inggeris yang dianggap berdarjat tinggi berbanding bahasa
Malaysia untuk digunakan dalam urusan syarikat mereka. Sifat nafsi yang menggunung dalam jiwa
mereka wajar diibaratkan seperti kacang lupakan kulit kerana mereka persis mengenepikan sebuah
bahasa yang telah mendewasakan pemikiran mereka. Oleh itu, pihak-pihak ini haruslah menjaga
martabat bahasa Malaysia supaya tidak hilang ditelan zaman.

Selain itu, idea Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)
juga harus dilupuskan. Sifat dominan bahasa Inggeris dalam kehidupan kita tidak harus dinafikan, tetapi
langkah ini dilihat berpotensi memadamkan kegemilangan bahasa Malaysia di peringkat lokal. Jika teras
pentarbiahan turut dilaksanakan dalam bahasa asing, tidak mustahil pada satu era nanti, generasi akan
datang tidak mengenali lagi perkataan 'Melayu'. Ironinya, usaha Memartabatkan Bahasa Malaysia dan
Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI) dilihat sangat proaktif sebagai mangkin yang efektif demi
membejat kemelut bahasa yang sedang dihadapi Malaysia kini.

Sementelahan pula, kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil juga tidak harus
dikerling enteng berikutan perkara tersebut berkemampuan memperkasakan bahasa Cina dan bahasa
Tamil lantas menjatuhkan darjat bahasa ibunda di sekolah-sekolah berkenaan. Jika dilihat dari perspektif
berbeza, hal ini dapat menimbulkan nafsi perkauman bahkan tidak sejajar dengan penerapan 1Malaysia
dalam kalangan masyarakat. Maka, polemik ini mungkin tidak dapat mencapai objektif kemenjadian
bahasa sebagai agen perpaduan yang utuh bagi semua rakyat di negara ini. Tuntasnya, pihak-pihak yang
berwajib seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) harus berfikir secara kreatif dan kritis demi
menaikkan imej bahasa ibunda secara holistik.

Di samping itu, bagi mengukuhkan kedudukan bahasa Malaysia dalam sanubari rakyat rencaman
golongan, DBP harus melaksanakan pelbagai aktiviti yang menggapai minat umum terhadap keindahan
bahasa Malaysia. Aktiviti seperti Sayembara Pidato Antarabangsa anjuran Kementerian Kebudayaan,
Kesenian, Warisan dan Pelancongan dengan usahasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) baru-baru ini
dilihat sebagai anjakan paradigma yang berpotensi memperkenalkan bahasa kebangsaan di peringkat
dunia. Deduksinya, langkah yang sama harus diambil DBP untuk mewujudkan 'jiwa bahasa' dalam
kalangan rakyat.

Mendepani arus globalisasi kini, pelbagai perubahan serta modifikasi yang sudah dilaksanakan
terhadap bahasa Malaysia asal sehingga terbentuk bahasa rojak. Lihat sahaja di kiri dan kanan jalan raya
serta di bangunan-bangunan pencakar langit, banyak papan tanda memaparkan penggunaan bahasa
rojak. Perkara ini tidak patut dibiarkan berlarutan kerana keupayaannya untuk mencemarkan bahasa
adalah tinggi. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak harus berpeluk tubuh dan mendiamkan diri,
sebaliknya perlu mengambil tindakan Undang-undang bagi menyedarkan pihak berkenaan bahawa
bahasa Malaysia bukanlah sebuah wadah mainan komersial. Oleh itu, 'pidana bahasa' ini perlu dibejat
bagi mewujudkan rakyat kontemporari yang berpegang teguh dengan bahasa ibunda.

Konklusinya, semua pihak haruslah menggembleng sinergi untuk meledakkan darjat bahasa Malaysia
sebagai bahasa rasmi dalam semua urusan harian, selain status utamanya sebagai bahasa kebangsaan.
Janganlah kita menjadi manusia yang khusyuk menyelami sungai pemodenan dengan mementingkan
bahasa asing sebaliknya menidakkan kebolehan bahasa Malaysia untuk membawa kita ke mata dunia.
Pepatah Melayu ada menyebut, "yang kurik itu kendi, yang merah itu saga, yang baik itu budi, yang
indah itu bahasa". Oleh hal yang demikian, marilah kita berpijak di bumi yang nyata dengan menjaga
bahasa kebangsaan supaya kekal nirmala dan 'tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas'.

(597 patah perkataan)

KOSA KATA:
1. Signifikan = kepentingan
2. Polemik = perdebatan
3. Diadaptasikan = diubah suai
4. Inisiatif = daya usaha
5. Diimplementasikan = dilaksanakan
6. Mutakhir ini = baru-baru ini
7. Nafsi = mementingkan diri sendiri
8. Dominan = kuat pengaruh
9. Ironinya = secara bertentangan
10. Proaktif = maju
11. Mangkin yang efektif = usaha yang berkesan
12. Membejat kemelut = mengekang masalah
13. Sementelahan pula = tambahan pula
14. Agen perpaduan = pengaruh kesepunyaan kaum
15. Holistik = keseluruhan
16. Rencaman = pelbagai
17. Anjakan paradigma = perubahan yang lebih baik
18. Modifikasi = ubah suai
19. Wadah = alat
20. Komersial = bersifat ekonomi
21. Pidana = kejahatan
22. Kontemporari = era baru
23. Menggembleng sinergi = bersatu tenaga
24. Nirmala = kekal