Anda di halaman 1dari 8

SURAT RASMI

1. Surat rasmi ditulis untuk tujuan tertentu yang rasmi seperti membuat permohonan, membuat
aduan, membuat rayuan, jemputan rasmi, pesanan, dan sebagainya.

2. Surat rasmi ialah jenis karangan berformat.

3. Nama dan alamat pengirim ditulis di penjuru bahagian atas surat. Kemudian setelah selang
satu baris, buat satu garisan melintang di bawahnya.

4. Setelah selang satu baris,nama, jawatan, dan alamat penerima ditulis di bawah garis lintang,
iaitu selari dengan alamat pengirim. Baris terakhir alamat penerima hendaklah digaris.

5. Tarikh ditulis di sebelah kanan, iaitu sebaris dengan baris akhir alamat penerima. Nama bulan
hendaklah ditulis dengan huruf besar dan diakhiri dengan tanda noktah.

6. Kata ganti diri penerima hendaklah ditulis dengan panggilan rasmi iaitu:
A) Tuan (untuk lelaki)
B) Puan (untuk perempuan)
C) Yang amat Berhormat (Perdana Menteri, Timb. P. Menteri, Menteri Besar, Ketua-ketua
Menteri)
D) Yang Berhormat (ADUN atau Parlimen)

7. Perkara surat ditulis selepas panggilan hormat penerima dan gariskan di bawahnya.

8. Tujuan dan isi surat hendaklah ditulis dengan ringkas dan tepat. Bagi perenggan pertama dan
perenggan akhir, anda hendaklah menulisnya ditepi surat tanpa diberi nombor.

9. Bagi perenggan kedua, ketiga dan seterunya,anda haruslah menulis nombor dan tanda
noktah(.) Permulaan ayat hendaklah dijarakkan dua anak jari. Iaitu terkeluar sedikit.

10. Bagi perenggan yang mempunyai pecahan, gunakan huruf abjad seperti (a), (b), (c) dan
sebagainya.

11. Akhiri surat rasmi dengan ucapan terima kasih.

12. Pengakuan pengirim seperti "Yang benar" atau "Yang ikhlas" hendaklah ditulis di sebelah kiri
dan diikuti dengan tanda tangan, nama pengirim dalam huruf besar dan jawatan yang
disandang.








Kamu ingin memohon cuti sekolah untuk melawat nenek kamu yang sedang sakit di kampung.
Tuliskan sepucuk surat kepada guru kelas atau Guru Besar untuk menyampaikan hasrat kamu
itu.

3413, Bagan Dalam,
12100 Butterworth,
Pulau Pinang.

Puan Guru Besar,
Sekolah Kebangsaan Kuala Perai,
Bagan Dalam,
12100 Butterworth. 18 MAC 1998.

Puan,
Memohon Cuti
Berhubung dengan perkara di atas, saya Noor Afizah Ahmad, pelajar tahun Enam Dinamik tidak dapat
hadir ke sekolah dari 1 Mei hingga 7 Mei 1998.
2. Untuk pengetahuan puan, sebenarnya pada tarikh tersebut saya dan keluarga
terpaksa pergi ke Kuching untuk melawat mak cik saya yang sedang sakit tenat.
3. Menurut doktor yang memeriksan mak cik saya, beliau mengatakan mak cik saya menghidapi
penyakit jantung fasa 3 iaitu kritikal. Jadi, mak cik saya perlu sentiasa memerlukan perhatian yang
rapi.
4. Saya berjanji akan membuat kerja rumah yang diberikan oleh guru sepanjang
saya tidak hadir ke sekolah. Saya telah berpesan kepada rakan-rakan sekelas saya supaya menyimpan
satu salinan nota-nota yang akan diberikan oleh guru-guru.
5. Saya amat-amat berharap agar pihak tuan dapat meluluskan permohonan cuti ini.
Kerjasama daripada pihak tuan amat saya hargai.
Sekian, terima kasih.

Yang berharap,
---------------------------------
(NOOR AFIZAH AHMAD)



Sebagai setiausaha Persatuan Bahasa Melayu, anda diminta oleh guru anda menulis surat kepada
Persatuan Bahasa Melayu sekolah lain. Tujuannya ialah menjemput persatuan itu menyertai
pertandingan drama yang akan diadakan di sekolah anda. Tuliskan surat tersebut.
Setiausaha,
Persatuan Bahasa Melayu,
Sekolah Kebangsaan Kuala Perai,
Bagan Dalam,
12100 Butterworth. Tel : 04-3231884

Persatuan Bahasa Melayu,
Sekolah Rendah Kebangsaan Convent,
Jalan Sungai Nyior,
12200 Bagan Luar,
Pulau Pinang. 31 JULAI 1998.

Tuan/Puan,
MENJEMPUT UNTUK MENYERTAI PERTANDINGAN DRAMA

Berhubung dengan perkara di atas, saya selaku Setiausaha Persatuan Bahasa Melayu Sekolah
Kebangsaan Kuala Perai ingin menjemput Persatuan Bahasa Melayu sekolah puan untuk menyertai
pertandingan drama.
2. Pertandingan drama yang akan diadakan ini adalah seperti tahun-tahun sebelum
ini juga. Beberapa buah sekolah turut dijemput untuk menyertainya. Tarikh pertandingan itu masih
belum ditetapkan lagi. Tarikh itu akan diadakan selepas mendapat persetujuan daripada semua
pihak.
3. Tujuan pertandingan ini diadakan adalah untuk mencungkil bakat murid-murid
yang terpendam selama ini. Di samping itu, kita juga dapat meneratkan tali silaturrahim antara guru-
guru dan murid-murid yang berada di sekolah berlainan.
4. Kerjasama daripada pihak puan amat kami hargai. Sekiranya puan ada masalah
tentang hal ini, hubungilah kami ditalian seperti yang tertera di atas. Semoga pihak puan dapat
memberikan jawapannya secepat mungkin.
Sekian, terima kasih.
Yang benar,
___________________________
(SITI NUR HAMIMAH MOHAMED)
Setiausaha,
Persatuan Bahasa Melayu,
Sekolah Kebangsaan Kuala Perai.

Sebagai ketua pasukan bola sepak sekolah, kamu diminta menulis surat kepada pasukan bola
sepak sekolah lain untuk mengadakan perlawanan persahabatan. Tuliskan sepucuk surat untuk
menyampaikan hasrat itu.
Ketua Pasukan,
Bola Sepak Sekolah,
Sekolah Kebangsaan Kuala Perai,
Bagan Dalam,
12100 Butterworth. Tel: 04-3231884

Pasukan Bola Sepak,
Sekolah Rendah Assumption,
Jalan Assumption,
12200 Butterworth,
Pulau Pinang. 12 OGOS 1998.

Tuan,
MENGADAKAN PERLAWANAN PERSAHABATAN BOLA SEPAK

Merujuk kepada perkara di atas, saya selaku ketua pasukan bola sepak sekolah ini ingin menjemput
pasukan bola sepak sekolah tuan untuk mengadakan perlawanan persahabatan.
2. Tujuan perlawanan persahabatan ini hendak diadakan adalah untuk membiasakan
diri para peserta dengan perlawanan. Kebiasaannya, mereka hanya bertanding dengan pasukan
sekolah sendiri sahaja. Di samping itu, ianya juga bertujuan untuk mengeratkan tali silaturrahim
antara murid-murid.
3. Kami bercadang hendak mengadakan perlawanan ini selepas peperiksaan UPSR
nanti iaitu pada 8 September 1998. Sekiranya tarikh yang ditetapkan itu sesuai, kita akan tetapkan
hari dan tarikh yang lain pula.
4. Semoga pihak tuan dapat bekerjasama dengan kami. Sekiranya pihak tuan ada
sebarang pertanyaan, hubungilah kami di talian seperti yang tertera di atas. Jasa baik pihak tuan
kami ucapkan terima kasih.
Sekian, terima kasih.
Yang benar,
__________________________
(MUHAMMAD HAFIZ MOHAMED)
Ketua Pasukan,
Bola Sepak,
Sek. Keb. Kuala Perai.


Surat Tidak Rasmi

1. Surat jenis ini ialah surat bersifar peribadi yang ditulis kepada sahabat-handai, ahli-ahli
keluarga atau saudara-mara.

2. Terdapat beberapa jenis surat tidak rasmi iaitu surat bertanya khabar, surat tahniah, surat
takziah dan sebagainya.

3. Nama, alamat pengirim dan tarikh ditulis di sebelah kanan atas surat.

4. Tarikh ditulis di bawah alamat pengirim dan diletakkan tanda noktah di hujungnya.

5. Pembuka kata dan kata-kata pujian ditulis ke dalam sedikit, iaitu di kiri surat. Pembuka kata
dan kata-kata pujian ini hendaklah ditulis setelah menalgkau satu atau dua baris selepas tarikh.

6. Bagi surat jenis ini kata-kata tujuan bergantung kepada sesiapa penerima surat tersebut.

7. Ganti nama-ganti nama yang sesuai mestilah digunakan. Ganti nama tersebut adalah seperti
berikut.

Pengirim Penerima surat
a) Anak ( anakanda ) Ayah ( ayahanda )
b) Anak ( anakanda ) Ibu ( bonda )
c) Adik ( adinda ) Abang/Kakak ( kakanda )
d) Abang/Kakak( kakanda ) Adik ( adinda )
e) Cucu ( cucunda/cunda ) Nenek/Datuk( nenda )
f) Saya Saudara/Saudari/Sahabat
g) Saya Cikgu/Tuan/Puan

8. Perenggan isi dan penutup ditulis ke dalam sedikit, iaitu sejajar dengan pembuka kata.
Perenggan-perenggan isi dan penutup itu sebaik-baiknya ditulis selepas melangkaui satu baris
kosong.

9. Rangkai kata seperti Yang ikhlas, Yang benar , dan sebagainya ditulis sebagai pengakhir
surat. Rangkai kata ini ditulis di sebelah kanan surat, iaitu selepas melangkau dua hingga tiga
baris setelah menulis penutup surat. Huruf pertama pada kata pertama mestilah huruf besar
dan tanda koma mestilah diletakkan selepas rangkai kata tersebut.

10. Tandatangan diletakkan di bawah rangkai kata berkenaan.















Kamu tinggal dengan nenek kamu di kampung. Pada hujung minggu akan datang, guru kelas kamu
telah merancang membuat lawatan ke Zoo Negara. Kamu juga ingin turut serta.Tulis sepucuk surat
kepada bapa kamu untuk meminta izin dan juga sedikit wang belanja.

54 Kampung Padang Relau,
Tiga Ratus Kaki,
Seberang Perai Selatan.

12 Oktober 1998.

Menemui ayahandaku yang kini berada di Pulau Pinang dengan selamatnya. Apa khabar
ayahanda dan bonda di sana? Anakanda serta nenda di sini sentiasa sihat. Moga-moga ayahanda dan
bonda lebih-lebih lagi hendaknya.
Ayahanda,
Tujuan anakanda melayangkan surat ini kepada ayahanda adalah untuk meminta sedikit
wang daripada ayahanda. Untuk pengetahuan ayahanda, guru kelas anakanda akan membuat
lawatan ke Zoo Negara pada hujung minggu akan datang. Oleh sebab itu, anakanda ingin meminta
sedikit wang untuk belanja. Wang untuk lawatan telah nenda berikan. Anakanda ke sana selama
sehari sahaja.
Di samping itu, anakanda juga ingin meminta kebenaran daripada ayahanda untuk menyertai
lawatan tersebut. Anakanda telah meminta kebenaran daripada nenda dan nenda membenarkan
anakanda menyertainya. Nenda juga ingin memberi wang kepada anakanda untuk belanja. Tetapi
anakanda menolak. Ayahanda sudah tentu membenarkan anakanda menyertainya.
Sekian sahaja warkah anakanda untuk kali ini. Sampaikan salam anakanda kepada bonda
serta ahli keluarga yang lain. Sekian, terima kasih. Wassalam.

Yang ikhlas,
________________________
(Siti Nur Hamimah Mohamed)





Anda tinggal di asrama di sebuah bandar. Tuliskan sepucuk surat kepada keluarga di kampung dan
ceritakan tentang kehidupan anda sekarang.

Asrama Puteri,
Sekolah Menengah Al-Irshad,
Kepala Batas,
Pulau Pinang.

8 Ogos 1998.

Menemui bonda dan ayahanda yang kini berada di Butterworth dengan selamatnya. Apa
khabar? Anakanda harap bonda dan ayahanda berada di dalam keadaan sihat walafiat.
Bonda dan ayahanda,
Bagaimana keadaan keluarga di kampung sekarang? Anakanda berharap mereka semuanya
sihat-sihat belaka. Sudah lama anakanda tidak bersua muka dengan keluarga semua. Anakanda di sini
amat merindui keluarga di kampung.
Sejak kebelakangan ini, anakanda sibuk mengulangkaji pelajaran untuk menghadapi
peperiksaan akhir tahun. Oleh sebab itulah anakanda tidak sempat untuk menghantar khabar berita
kepada keluarga. Inipun anakanda mencuri masa untuk menulis surat ini kepada keluarga di
kampung.
Walaupun dahulu anakanda tidak dapat menyesuaikan diri sewaktu mula masuk di sekolah
ini. Sekarang tidak apa lagi. Alhamdullah, anakanda sudah dapat menyesuaikan diri dengan tempat
ini sekarang. Sungguhpun kita jauh di mata namun dekat di hati.
Sekarang anakanda rasa begitu letih sekali. Ini kerana anakanda juga sibuk menjalani latihan
sukan yang diadakan pada waktu petang. Anakanda harap ayahanda, bonda serta keluarga
memahami keadaan anakanda di sini sekarang.
Sebelum anakanda mengakhiri warkah kali ini, terima salam rindu daripada anakanda kepada
semua. Sekiranya ada terkasar bahasa, maafkanlah. Restuilah anakanda di sini. Wassalam.

Anakandamu,
Hamimah
(Siti Nur Hamimah Mohamed)



23. Anda telah mengetahui ibu kawan karib anda telah meninggal dunia. Tulis sepucuk surat ucapan
takziah kepadanya.

10, Kampung Nyiur Bukit,
14020, Bukit Mertajam,
Seberang Prai,
Pulau Pinang.

4 April 1997.
Menemui sahabatku Sabarina di Arau dengan iringan doa semoga sentiasa dalam keadaan
sihat dan tenang selalu.
Saudari,
Saya di sini sihat dan sentiasa mengingati saudari di sana. Saya berharap saudari sentiasa
dilindungi Allah. Bersabarlah dengan apa yang saudari sedang hadapi sekarang.
Tujuan saya menulis surat ini adalah untuk mengucapkan takziah kerana kematian ibu
saudari yang disayangi. Saya amat terkejut dan bersimpati atas kejadian yang saudari alami itu.
Saya mendapat tahu tentang perkara ini daripada rakan lama kita semasa berada di Asrama
Sri Puteri, iaitu Azizah. Azizah telah datang sendiri ke rumah saya kerana dia dalam perjalanan ke
Kuala Lumpur.
Setiap yang hidup akan mati juga. Begitulah juga dengan kita yang belum tahu bilakah
masanya. Tuhan amat menyayangi ibumu dan sebab itulah dia kembali menemui Tuhan terlebih
dahulu. Saya tahu ibu saudari terpaksa menanggung keperitan hidup kerana menghidap penyakit
buah pinggang. Saya doakan agar Tuhan memasukkan rohnya bersama golongan orang-orang yang
beriman.
Anggaplah kejadian ini sebagai dugaan Tuhan terhadap hamba di bumi ini. Bersabarlah
meneruskan liku-liku hidup ini kerana sabar itu sebahagian daripada iman. Tiada yang lebih
mengetahui dan berkuasa kecuali Allah.
Akhirnya kata, sambutlah salam saya dan bertenanglah menempuh hidup tanpa ibu di sisi.
Biarlah segala rintangan dan cubaan terus m,enguatkan azam dan semangat saudara untuk terus
melangkah ke arah kejayaan. Anggaplah apa yang terjadi sebagai titik permulaan kepada
kemenangan.
Sekian, terima kasih
Sahabatmu,
Indah