Anda di halaman 1dari 10

Iman dan istiqamah

Written by Pengurus Web


Saturday, 17 December 2011 11:37
Sabda Rasulullah s.a.w. dalam satu hadis baginda yang bermaksud; Diriwayatkan dari Sufyan
Ibn Abdullah r.a. menceritakan; Aku telah berkata kepada Rasulullah s.a.w.; Ya Rasulullah!
Nyatakan untukku di dalam Islam ini satu ungkapan yang mana aku tidak akan bertanya lagi
tentangnya dari orang lain selain engkau. Jawab Rasulullah s.a.w.; Katakanlah; Aku beriman
kepada Allah dan kemudian hendaklah kamu istiqamah.
(Hadis riwayat Imam Ahmad, an-Nasai, Muslim, at-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Dalam hadis tersebut ada dua perkara yang ditekankan oleh Rasulullah bagi membina
pegangan yang kukuh dengan ajaran Islam iaitu;

1. Beriman kepada Allah
2. Istiqamah

Berkata al-Qadhi Iyadh rhm; Hadis ini antara ungkapan yang ringkas dan padat (Jawamiul
Kalim) dari Rasulullah s.a.w.. Sesungguhnya orang-orang yang berkata; Tuhan kami adalah
Allah dan kemudian mereka beristiqamah yakni mereka mentauhidkan Allah dan beriman
dengannya dan selepas itu mereka beristiqamah di mana mereka tidak berpaling dari tauhid
dan senantiasalah mereka beriltizam mentaati Allah S.W.T. hinggalah mereka menemui
kematian di atas iman dan istiqamah tersebut.

Menurut Imam al-Minawi dalam kitabnya Faidhul Qadir; seruan Rasulullah s.a.w. Katakanlah;
Aku beriman dengan Allah, bermaksud; perbaharuilah iman kamu kepada Allah dengan
menyebutnya dengan hati kamu serta menuturnya dengan lidah kamu dengan menghadirkan
segala pengertian iman yang disyariatkan. Adapun seruan baginda; hendaklah kamu
beristiqamah bermaksud; beriltizamlah mengerjakan amalan-amalan ketaatan dan menjauhi
perkara-perkara yang bertentangan (dengan kehendak Allah).

Hadis ini mengumpulkan keseluruhan makna iman dan Islam merangkumi iktiqad, ucapan dan
amali di mana Islam itu terangkum di dalamnya dua perkara iaitu;
a) Tauhid
b) Taat.

1 / 10
Iman dan istiqamah
Written by Pengurus Web
Saturday, 17 December 2011 11:37
Tauhid terhasil dengan seruan pertama iaitu beriman dengan Allah). Sementara Taat terhasil
dengan seruan kedua iaitu beritiqamah.

Iman

Iman dari segi bahasa bermakna at-Tasdiq iaitu membenarkan. Hakikat Iman ialah at-Tasdiq bil
Qalbi iaitu membenarkan dengan hati segala yang disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w..

Namun oleh kerana apa yang ada dalam hati itu adalah tersembunyi, maka disyaratkan
mengakui iman itu dengan lidah (yakni al-Iqrar bil Lisan) sebagai bukti di hadapan manusia
bahawa seseorang itu beriman. Kemudian iman itu hendaklah diikuti dengan amalan anggota
iaitulah mentaati segala titah-perintah Allah dalam kehidupan.

Maka iman yang sempurna hendaklah merangkumi tiga unsur;

1. Iktiqad dengan hati iaitu at-Tasdiq
2. Pengakuan dengan lidah iaitu al-Iqrar
3. Beramal dengan anggota iaitu al-Amal

Pengertian iman tersebut menjadi iktiqad imam-imam ahli Sunnah Wal Jamaah antaranya
Imam as-Syafiie, Imam Malik, Imam Ahmad dan beberapa lagi yang mentakrifkan Iman
sebagai;

Membenarkan dengan hati, mengakui dengan lidah dan beramal dengan anggota badan.
(Syarah Aqidah at-Thawiyyah, Imam Abil Izzi al-Hanafi)

Namun harus difahami untuk mengelakkan kekeliruan- bahawa beramal dengan anggota
adalah syarat kesempurnaan iman. Ia melazimi iman itu sendiri. Maka tidak sempurna iman
seseorang yang tidak beramal sebagaimana yang diperintahkan oleh Islam. Namun tidaklah ia
terkeluar dari Islam selama mana masih ada keyakinan (at-tasdiq) dalam hatinya.
2 / 10
Iman dan istiqamah
Written by Pengurus Web
Saturday, 17 December 2011 11:37

Menurut ulama ahli Sunnah Wal Jamaah; seorang yang tunduk (membenarkan) dengan
hatinya tetapi tidak beramal dengan Islam atau melakukan dosa-dosa besar, ia masih dianggap
seorang muslim tetapi muslim yang asi (derhaka) atau fasiq atau muznib (berdosa).
Keadaannya di akhirat terserah kepada Allah sama ada ingin mengampunnya atau
mengazabnya.

Tegasnya, apa yang ternafi dari orang-orang Islam yang melakukan maksiat ialah
kesempurnaan iman (kamalul Iman), bukan asas iman (aslul Iman). Kerana itu mereka tidak
dianggap sebagai kafir semata-mata kerana maksiat yang dilakukan.

Beriman kepada Allah

Beriman kepada Allah adalah teras kepada Aqidah Islam dan juga kepada ajaran Islam itu
sendiri. Tidak diterima amalan hamba di sisi Allah tanpa didahului dengan beriman kepada
Allah.

Tatkala Rasulullah s.a.w. menghantar Muaz Ibn Jabal kepada kumpulan ahli Kitab untuk
mengajak mereka kepada Islam, perkara pertama yang disuruh oleh Rasulullah ialah menyeru
mereka supaya beriman dengan Allah, kemudian barulah menyeru mereka supaya menunaikan
kewajipan-kewajipan yang difardhukan. Kata Rasulullah kepada beliau;

Wahai Muaz. Sesungguhnya engkau akan pergi kepada satu kaum ahli Kitab. Maka
hendaklah engkau seru mereka supaya bersaksi bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan
bahawa aku (yakni Muhammad) adalah rasul Allah. Jika mereka mentaati seruan kamu itu,
maka nyatakan kepada mereka bahawa Allah mewajibkan mereka menunaikan solat lima
waktu sehari semalam. Jika mereka mentaatinya, maka nyatakanlah pula kepada mereka
bahawa Allah mewajibkan ke atas mereka zakat yang dipungut dari orang-orang kaya dan
diberikan kepada orang-orang miskin di kalangan mereka. Jika mereka mentaatinya, maka
hendaklah kamu pelihara dirimu dari kehormatan harta-harta mereka. Berjaga-jagalah dari doa
orang yang dizalimi kerana tidak ada hijab di antara doanya dengan Allah.
(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

3 / 10
Iman dan istiqamah
Written by Pengurus Web
Saturday, 17 December 2011 11:37
Pengertian beriman kepada Allah

Beriman kepada Allah bukan hanya dengan mengakui kewujudanNya, tetapi juga dengan
mentauhidkannya iaitu mengakui keesaannya. Secara lebih terperinci, dapatlah kita nyatakan
bahawa beriman kepada Allah tidak akan sempurna melainkan dengan merangkumi dua
perkara iaitu;

1. Beriman wujudnya Allah
2. Mentauhidkan Allah

Beriman dengan kewujudan Allah

Iaitu meyakini adanya Allah berdasarkan dalil-dalil yang terang yang berupa Aqli (akal fikiran)
dan juga Naqli (wahyu). Alam cakerawala ini dan segala isi di dalamnya semuanya menjadi dalil
adanya Allah. Kerana itu, Allah memerintahkan manusia supaya sentiasa memerhatikan alam
ini supaya mereka bertambah yakin akan hakikat kewujudan Allah Tuhan yang menciptakan
mereka dan makhluk-makhluk selain mereka.

Apakah ada keragu-raguan terhadap Allah, pencipta langit dan bumi?. (Ibrahim: 10).

Dan matahari berjalan di tempat peredarannya. Demikianlah ketetapan Yang Maha Perkasa
lagi Maha Mengetahui. (Ya Sin: 38)

(Mengapa mereka tidak beriman?) Adakah mereka telah tercipta dengan tiada yang
menciptanya, atau adakah mereka yang menciptakan diri mereka sendiri? Adakah mereka telah
menciptakan langit dan bumi itu? Bahkan mereka adalah orang-orang yang tidak meyakini
(kebenaran apa yang mereka pernah mengakuinya). (At-Thuur: 35-36).

Mentauhidkan Allah
4 / 10
Iman dan istiqamah
Written by Pengurus Web
Saturday, 17 December 2011 11:37

Tauhid bermakna mengesakan. Mentauhidkan Allah bermakna mengesakan Allah sama ada
dari segi zat, sifat dan perbuatannya. Firman Allah;

Katakanlah: Dia-lah Allah, Yang Maha Esa, Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya
segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan, dan tidak ada seorangpun
yang setara dengan Dia. (al-Ikhlas: 1-4)

Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia (yakni Allah), dan Dia-lah Yang Maha
Mendengar lagi Maha Melihat. (as-Syura: 11)

Kesempurnaan Tauhid itu hendaklah meliputi tiga perkara iaitu;

a) Mentauhidkan Allah dari segi Rububiyyah

Iaitu meyakini bahawa Allah sahajalah satu-satunya Tuhan Yang mencipta atau menjadikan
alam ini, yang memilikinya, yang mengatur perjalanannya, yang menghidup dan mematikan,
yang menurunkan rezki, yang berkuasa memberi manfaat dan memberi mudharat dan
sebagainya. Firman Allah;

Ingatlah, bagiNya (yakni Allah) jualah urusan penciptaan dan segala urusan. Maha tinggi Allah,
Tuhan semesta alam. Al-Araf: 54)

b) Mentauhidkan Allah dari segi Uluhiyyah

Iaitu mentauhidkan Allah dengan beribadah kepadanya. Hanya kepada Allahlah ditujukan
segala pengabdian hamba. Termasuk dalam pengertian ibadah ialah;

5 / 10
Iman dan istiqamah
Written by Pengurus Web
Saturday, 17 December 2011 11:37
I. Doa-doa dan permohonan
II. Mendirikan syiar-syiar agama seperti solat, puasa, sedekah, haji, nazar, sembelihan dan
sebagainya.
III. Tunduk dan patuh kepada ajaran agama, menurut hukum-hakam yang ditetapkan oleh
Allah.

Firman Allah;

Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku.
(az-Zariyat: 56)

Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan
keta`atan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama dengan lurus, dan supaya mereka
mendirikan shalat dan menunaikan zakat; dan yang demikian itulah agama yang lurus.
(al-Bayyinah: 5)

Katakanlah: Sesungguhnya shalatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah,
Tuhan semesta alam. (al-Anam: 162)

c) Mentauhidkan Allah pada nama-nama dan sifat-sifatNya

Iaitu meyakini dan mengakui segala nama dan sifat Allah secara ijmal dan tafsil menurut apa
yang diberitahu di dalam al-Quran dan oleh Rasulullah s.a.w. di mana Allah mempunyai Asma
al-Husna (nama-nama yang paling baik) dan segala sifat kesempurnaan dan maha suci Ia dari
segala sifat kekurangan. Firman Allah;

Hanya milik Allah asma-ul husna (nama-nama yang terbaik), maka bermohonlah kepada-Nya
dengan menyebut asmaa-ul husna itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang dari
kebenaran dalam (menyebut) nama-nama-Nya. Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap
apa yang telah mereka kerjakan. (al-Araf: 180)

6 / 10
Iman dan istiqamah
Written by Pengurus Web
Saturday, 17 December 2011 11:37
Dialah Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Dia mempunyai al
asmaaul husna (nama-nama yang baik). (Thaha:

Di antara nama-nama Allah ialah yang terkandung dalam firmanNya;

Dia-lah Allah Yang tiada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia, Raja, Yang Maha Suci,
Yang Maha Sejahtera, Yang Mengaruniakan keamanan, Yang Maha Memelihara, Yang Maha
Perkasa, Yang Maha Kuasa, Yang Memiliki segala keagungan, Maha Suci, Allah dari apa yang
mereka persekutukan. Dia-lah Allah Yang Menciptakan, Yang Mengadakan, Yang Membentuk
Rupa, Yang Mempunyai Nama-Nama Yang Paling baik. Bertasbih kepada-Nya apa yang ada di
langit dan di bumi. Dan Dia-lah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (al-Hasyr: 23)

Di antara sifat-sifat Allah ialah hidup, mendengar, mengetahui, berkehendak dan berkuasa
sebagaimana yang dinyatakan dalam firman-firmanNya;

Dan bertawakkallah kepada Allah Yang Hidup (Kekal) Yang tidak mati. (al-Furqan: 58)

Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (al-Baqarah: 181)

Sesungguhnya Tuhanmu Maha Pelaksana terhadap apa yang Dia kehendaki. (Hud: 107)

Sesungguhnya Allah berkuasa atas segala sesuatu. (al-Baqarah: 20)

Syirik

Lawan kepada Tauhid ialah Syirik. Syirik bermaksud menyengutukan Allah sama ada dari segi
RububiyyahNya, UluhiyyahNya atau al-asma Wa SifatNya. Syirik merupakan antara dosa
paling besar yang disabdakan Rasulullah s.a.w.;
7 / 10
Iman dan istiqamah
Written by Pengurus Web
Saturday, 17 December 2011 11:37

Dosa-dosa paling besar ialah;
1. Mensyirikkan Allah
2. Membunuh manusia
3. Menderhakai dua ibu-bapa
4. Memberi kesaksian palsu/dusta.
(Hadis riwayat Imam Bukhari dari Anas r.a.)

Bahkan orang yang mati dalam keadaan mensyirikkan Allah sekali-kali tidak akan mendapat
keampunan Allah di akhirat sebagaimana firmanNya;

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa
yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang
mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar. (an-Nisa: 48)

Luqman dalam wasiatnya kepada anaknya telah berpesan;

Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran
kepadanya: Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan (Allah) sesungguhnya
mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar. (Luqman: 13)

Istiqamah

Setelah diperintahkan supaya beriman sepenuh hati kepada Allah, kita diperintahkan pula
beristiqamah. Arahan supaya istiqamah ini terkandung juga di dalam al-Quran di mana Allah
berfirman;

Maka beristiqamahlah kamu sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan (juga) orang
yang telah taubat beserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia
Maha Melihat apa yang kamu kerjakan. (Hud: 112)
8 / 10
Iman dan istiqamah
Written by Pengurus Web
Saturday, 17 December 2011 11:37

Maksud Istiqamah ialah tetap dan teguh di atas jalan yang benar iaitu jalan Islam. Menurut
Imam al-Minawi dalam kitabnya Faidhul Qadir; Istiqamah bermaksud tunduk-patuh kepada
segala yang diperintahkan dan menjauhi segala tegahan. Ada ulama yang mentakrifkan
istiqamah sebagai; berterusan beramal dengan sunnah Nabi Muhammad s.aw. dan berakhlak
dengan akhlak yang diredhai (Allah). Ada yang mentakrifnya sebagai; mengikuti (sunnah Nabi
s.a.w.) dan meninggalkan bidah. Ada juga mengertikannya dengan; meletakkan diri di atas
akhlak al-Quran dan as-Sunnah.

Untuk terhasilnya Istiqamah seseorang itu tidak dapat tidak mestilah berpegang-teguh dengan
kitab Allah dan sunnah NabiNya. Dua sumber inilah yang berupaya mengikat manusia agar
sentiasa berada di atas jalan yang benar. Selagi manusia berpegang teguh dengan al-Quran
dan juga sunnah Nabi, selagi itulah ia dijamin oleh Rasulullah s.a.w. akan bebas dari
penyelewengan dan kesesatan. Sabda Rasulullah s.a.w.;

Wahai sekelian manusia! Sesungguhnya aku telah tinggalkan untuk kamu sekelian satu
peninggalan yang selagi kamu berpegang-teguh dengannya maka selagi itulah kamu tidak akan
sesat selama-lamanya iaitu; Kitab Allah dan Sunnah NabiNya. (Hadis riwayat Imam al-Hakim
dari Ibnu Abbas)

Rujukan dan bacaan

1. Syarh al-Aqidah at-Thahawiyyah, al-Imam Ibn Abil Izzi al-Hanafi, cet. al-Maktab al-Islami,
Beirut, Lubnan (1984)
2. Faidhul Qadir Syarh al-Jami as-Saghir, al-Imam al-Allamah al-Minawi, cet. Dar al-Fikri
(tanpa tahun).
3. Syarah al-Aqidah at-Thawiyyah, susunan Abdul Halim Ahmad, keluaran Markas Khidmatul
Mujtama al-Kuliyyah al-Islamiyyah, Yala (Thailand) (2000).
4. Syarah al-Aqidah at-Thahawiyyah (jawi), Syeikh Abdul Qadir Ibn Abdil Muthallib al-Mandili,
cet. Mathbaah al-Anwar, Mesir (1961)
5. Beriman kepada Allah, Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang, cet. Pustaka Aman Press, Sdn.
Bhd., Kota Baharu, Kelantan (1991).
6. Tafsir al-Qurthubi, Imam al-Qurthubi (CD al-Quran al-Karim terbitan syarikat as-Sakhr, Mesir,
versi 6.50/1997).
7. Tafsir al-Quran al-Adziem, Imam Ibnu Kathir, cet. Dar al-Hadith (1991).

9 / 10
Iman dan istiqamah
Written by Pengurus Web
Saturday, 17 December 2011 11:37
Artikel : www.ilmudanulamak.net
10 / 10

Anda mungkin juga menyukai