Anda di halaman 1dari 11

Tatkala kembali dari Thaybah menuju ke Makkah, di satu tempat bernama Abwa`, kembalilah

Sayyidah Aminah radhiyaAllahu `anha ke rahmatUllah. Beliau meninggalkan Junjungan Nabi


SAW yang ketika itu baru berusia 6 tahun. Junjungan Nabi SAW tidak pernah lupakan bonda
baginda, baginda telah meminta izin untuk menziarahi kubur bondanya itu dan telah diizinkan.
Perkara ini dinyatakan dalam hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Imam Abu Dawud
dan Imam an-Nasa-i rahimahumUllah sebagai berikut:-


"Sayyidina Abu Hurairah RA berkata bahawasanya Junjungan Nabi SAW telah menziarahi
kubur bonda baginda, lalu baginda telah menangis dan para sahabat yang ada bersama turut
menitiskan air mata mereka. Kemudian baginda bersabda: " Aku telah meminta izin daripada
Tuhanku untuk beristighfar baginya, tapi Dia tidak mengizinkannya, lalu aku meminta
keizinanNya untuk menziarahi kuburnya, maka aku dizinkan. Oleh itu ziarahilah kamu akan
segala kubur kerana sesungguhnya perbuatan tersebut mengingatkan akan kematian."
Hadits ini kerap dinukilkan oleh segelintir manusia untuk memberikan tanggapan bahawa bonda
Junjungan Nabi SAW itu adalah tergolong daripada kalangan orang musyrik atau kafir yang
menjadi penghuni neraka yang ditegah kita memohon keampunan Allah bagi pihak mereka.
Adakah pandangan ini benar ? Syaikh Manshur 'Ali Naasif rahimahUllah, seorang ulama al-
Azhar yang disebut oleh Musnid Dunya Syaikh Yaasin al-Fadani dalam "al-Kawaakib ad-
Daraari " halaman 376 sebagai gurunya, dalam karya beliau yang masyhur "at-Taaj al-J aami'
lil Ushuul fi Ahaadiitsir Rasul SAW", menyangkal pendapat tersebut. Beliau menuliskan
penjelasannya itu pada halaman 382 sebagai berikut:-


Ziarah Junjungan Nabi SAW akan kubur bonda baginda. Beliau adalah as-Sayyidah Aminah
binti Wahb rahimahAllahu wa radhiya `anha. Ketika Junjungan Nabi SAW menziarahi
kuburnya, baginda telah menangis kerana bondanya tidak sempat menemui zaman Islam dan
menikmati nikmat Islam. Baginda tidak diberi keizinan untuk beristighfar bagi bondanya kerana
Islam adalah syarat bagi membolehkan beristighfar baginya sedangkan bonda Nabi SAW telah
wafat atas agama kaumnya sebelum Junjungan Nabi membawa syariat Islam. Akan tetapi ini
tidak menafikan yang bonda J unjungan Nabi SAW akan memasuki syurga kerana
sesungguhnya beliau termasuk dalam golongan ahlul fatrah dan jumhur ulama berpendapat
bahawa mereka adalah golongan yang selamat daripada dimasukkan ke neraka, di mana
Allah telah berfirman: "Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami
mengutuskan seorang Rasul" - iaitu kepada setiap umat. Bahkan telah warid dan sahih di sisi
para awliya` yang kasyaf bahawasanya Allah ta`ala telah menghidupkan ayahanda dan bonda
Nabi SAW setelah baginda diutuskan menjadi rasul, lalu mereka berdua telah beriman dengan
baginda SAW. Maka dari itu, jadilah keduanya daripada golongan ahli syurga dengan pasti.
Sebahagian ulama telah bersyair menyatakan:-
Telah kuyakini bahwa ayah bonda Junjungan Nabi
Dihidupkan Tuhan al-Karimul Bari
Atas kebenaran kerasulan baginda mereka bersaksi
Maka kejadian sedemikian tadi
Adalah suatu kemuliaan bagi Pilihan Allah Baginda Nabi
Justru sesiapa yang mendhaifkan akan khabaran ini
Maka dia yang lemah lagi dari hakikat berlepas diri

Dan hal ini bukanlah sesuatu yang mustahil dan pelik untuk diterima akal, kerana sesungguhnya
anugerah Allah itu luas dan permuliaanNya kepada kekasihNya adalah tersangat murah lagi
luas, Allahu a'laam.
Oleh itu, amatlah penting untuk kita merujuk kepada para ulama yang muktabar dalam ikhtiar
kita memahami sesuatu ayat al-Quran al-Karim atau al-Hadits asy-Syarif. Sentiasalah melihat
akan kelemahan diri kerana dengan begitu kita akan sentiasa tawadhu dengan para ulama yang
tentu lebih alim daripada kita yang baru belajar ini serta dapatlah kita memahami segala ajaran
Islam menurut pandangan para pakarnya dan tidaklah kita meraban mengkhinzir buta.









Status Ayah Bonda Junjungan - JAIS
PANDANGAN MENGENAI STATUS IBU BAPA NABI
MUHAMMAD S.A.W. MATI DALAM KEADAAN KAFIR ATAU SEBALIKNYA.
ISU DAN MASALAH:-
Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah
menerima surat aduan bertulis mengenai status keislaman ibu bapa Nabi Muhammad S.A.W
yang disiarkan dalam sebuah akhbar tempatan bertarikh 30 April 2010 (Jumaat). Persoalan
tersebut telah dijawab secara panjang lebar oleh seorang pendakwah dari sebuah IPTS. Dengan
menggunakan hujah beberapa hadith, pendakwah tersebut menyimpulkan bahawa ibu Nabi
(Aminah) dan bapa Nabi (Abdullah) mati dalam keadaan bukan dalam Islam dan kedua-duanya
akan masuk api neraka dan diazab.
Berikutan penjelasan isu di atas, ianya telah menimbulkan sensitif di kalangan umat Islam dan
terdapat rungutan supaya jawapan tersebut dikaji semula. Berikut adalah sanggahan terhadap isu
tersebut.
PENJELASAN MENGENAI HADITH BERKAITAN BAPA NABI DI DALAM NERAKA
Berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Muslim dengan lafaz:
Daripada Hammad ibn Salamah daripada Thabit, daripada Anas ibn Malik RA: Sesungguhnya
seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah S.A.W. Wahai Rasulullah! Di manakah bapaku?
Rasulullah S.A.W. menjawab, Di dalam neraka. Tatkala lelaki tersebut berpaling, Rasulullah
S.A.W. memanggilnya lalu berkata, Sesungguhnya bapaku dan bapamu di dalam neraka.
Keterangan daripada pendakwah tersebut menterjemahkan maksud lafaz hadith secara harfiah:
Sesungguhnya bapaku dan bapamu di dalam neraka. Tanpa meneliti dengan lebih mendalam
pelbagai disiplin ilmu, maka dengan tergesagesa beliau menyatakan bahawa ayahanda Nabi mati
dalam kekufuran.
Bahagian Penyelidikan & Pembangunan, JAIS menyanggah pandangan tersebut di atas. Jika
diteliti dalam kesepakatan para ahli hadith, mereka mengesahkan bahawa lelaki yang bertanya
kepada Rasulullah S.A.W. itu ialah seorang Arabi (Badwi). Pendapat ini disepakati berdasarkan
hadith yang menceritakan kisah yang sama, yang diriwayatkan oleh Mu`ammar daripada Thabit.
Tetapi, perbezaan di antara kedua-dua jalan ialah hadith yang diriwayatkan melalui jalan
Muammar tidak mempunyai lafaz:


Maksudnya : Sesungguhnya bapaku dan bapa kamu di dalam neraka.
Berdasarkan maksud hadith berkenaan jelaslah bahawa lafaz di atas tidak disepakati oleh para
perawi hadith.
Hadith yang diriwayatkan oleh Muammar tanpa lafaz tersebut lebih diyakini dari aspek
riwayat dan lafaz, menurut ahli hadith, Muammar adalah seorang yang lebih terpelihara
hafazannya dan dia tidak menerima sebarang kritikan dari ulama Jarah dan Tadil.
Tambahan lagi al-Bukhari dan Muslim bersepakat dalam menyatakan keyakinan mereka
terhadap Muammar. Ini berbeza dengan situasi Hammad yang hanya diyakini oleh Muslim
tetapi tidak di sisi al-Bukhari.
Katakanlah lafaz Hammad ibn Salamah dalam Sahih Muslim di atas adalah dari lafaz Nabi
S.A.W. sendiri, maka ia tidak juga boleh dijadikan sandaran dalam menghukum kekufuran ayah
Nabi S.A.W. kerana illah dari aspek matan menunjukkan bagaimana Rasulullah S.A.W.
menggunakan teknik dan kaedah yang membawa erti kesamaran supaya keadaan menjadi lebih
tenang dan terkawal. Rasulullah S.A.W. menggunakan lafaz persamaan kedudukan bagi kedua-
dua bapa untuk tujuan-tujuan tertentu.
Di antaranya:
a) Tujuan menyemarakkan semangat mendalami ajaran Islam.
Apabila Rasulullah S.A.W. menyatakan persamaan kedudukan kedua-dua bapa mereka di dalam
neraka, wujud persamaan dan tautan hati lelaki Arabi terhadap Rasulullah S.A.W. dan lebih
bersemangat untuk mendalami ajaran Islam.
b) Tujuan mengelak kontroversi ke agama asal.
Sekiranya Rasulullah S.A.W. menyatakan bahawa bapa Arabi tersebut di dalam neraka,
sedangkan bapa Baginda S.A.W. di dalam syurga, maka lelaki Arabi itu akan merasakan jurang
perbezaan di antara mereka berdua dan dikhuatiri perkara ini akan menyebabkan lelaki Arabi
tersebut menjauhi Islam serta kembali murtad.
c) Tujuan menang-menang.
Sekiranya Rasulullah S.A.W. membezakan kesudahan bagi kedua-duanya, dikhuatiri lelaki
Arabi yang terkenal dengan sikap degil dan keras hati akan mengeluarkan kata-kata sumpahan
dan cacimaki terhadap Rasulullah S.A.W. yang bakal mengundang laknat dan kemurkaan Allah
S.W.T.
d) Tujuan dakwah secara bijaksana.
Teknik yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. bertujuan untuk mengelakkan fitnah dan
sebarang kejadian yang tidak diingini terhadap kaum Arabi dan kaum kerabatnya. Ini juga
bertujuan untuk menarik lebih ramai kaum kerabat lelaki Arabi tersebut memeluk Islam.
Sekiranya dikaji dengan lebih luas lagi, terdapat banyak lafaz-lafaz dari hadith Nabi S.A.W.
yang menunjukkan gaya kaedah sebegini. Kerana Nabi S.A.W. adalah seorang yang bijak dalam
berdakwah dan berbicara dengan manusia sekadar mana pencapaian akal para pendengarnya.
Apabila berurusan dan berbicara dengan orang Arab Badwi, maka mu`malah Nabi S.A.W. lebih
lembut, mengalah, bertolak ansur dan lunak berbanding dengan mereka yang telah lama
memahami serta mendalami Islam.
Selanjutnya jika dikaji secara teliti, terdapat pandangan daripada Hafiz al-Suyuti mengatakan
bahawa hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim ini diriwayatkan oleh Hammad ibn
Salamah dengan makna, bukan dengan lafaz.
Manakala lafaz itu berbunyi :


Ianya merupakan lafaz yang tidak disepakati oleh para perawi dari jalan hadith yang lain.
Berdasarkan riwayat Muammar daripada Thabit pula, tidak kedapatan lafaz di atas, akan tetapi
diriwayatkan dengan lafaz yang lebih umum.
Dalam riwayat yang lain, dikeluarkan oleh al-Bazzar dalam Musnadnya dan alTabrani di dalam
kitab al-Mujam al-Kabir dengan sanad rijal yang sahih, daripada Saad ibn Abi Waqqas :
Maksudnya, Sesungguhnya seorang Arabi datang bertemu Nabi S.A.W. lalu bertanya, Wahai
Rasulullah! Di manakah bapaku? Rasulullah S.A.W. menjawab, Di dalam neraka. Maka
lelaki Badwi tadi bertanya pula, Di mana pula bapamu? Rasulullah S.A.W. menjawab,
Tatkala kamu berjalan berhampiran kubur seorang kafir, beritakan kepadanya bahawa dia di
dalam neraka.
Hadith yang diriwayatkan dari Saad ibn Waqqas ini secara jelas menerangkan bahawa lelaki
yang bertanya soalan kepada Rasulullah S.A.W. ini adalah seorang badwi. Disebabkan oleh
Badwi tersebut dikhuatiri akan murtad kerana imannya belum mantap, kefahamannya mengenai
Islam masih cetek. Kerana itu, secara psikologi Rasulullah S.A.W. menjawab sedemikian.
Para ulama menyatakan bahawa lafaz Abi di dalam riwayat Muslim bukanlah
ditujukan kepada Abdullah kerana tradisi masyarakat Arab ialah mereka memanggil
ayah, bapa saudara dan datuk dengan gelaran Abi. Ini yang harus difahami dengan jelas
oleh para penafsir hadith.
RUMUSAN
Jika diteliti kesimpulan yang diberikan oleh pendakwah dari IPTS itu, beliau menegaskan
bahawa berdasarkan hadith-hadith sahih yang dipetik dari Bukhari dan Muslim, jelaslah ibu bapa
Nabi meninggal dunia berstatus kafir. Walaupun hadith tersebut sahih dari segi sanadnya
tetapi jumhur ulama berpendapat bahawa teks hadith ini tidak boleh difahami secara
zahir semata-mata. Ia adalah suatu yang biasa berlaku ketika penafsir berinteraksi dengan
hadith. Bukan hanya kesahihan sanad menjadi penentuan hukum daripada sesuatu hadith.
Terdapat juga kaedah-kaedah tertentu dalam memahami teks hadith itu sendiri yang
perlu dipatuhi.
Berdasarkan kaedah-kaedah dalam memahami sesuatu teks hadith, jelaslah bahawa
penafsiran hadith di atas tidak mendokong kesimpulan bahawa ibu dan bapa Nabi S.A.W.
kufur dan diazab. Pertamanya, makna zahir hadith ini tidak boleh diterima kerana ia
bertentangan dengan nas-nas al-Quran. Antaranya, ayat-ayat yang mensabitkan bahawa
Nabi S.A.W. adalah berasal daripada keturunan yang mulia dan terpelihara seperti dalam
Surah al-Syuara 26 : 219 yang bermaksud, dan (Allah melihat) pergerakanmu di antara
orang-orang yang sujud. Ibnu Abbas r.a, seperti yang diriwayatkan oleh al-Bazzar, al-
Tabrani dan Abu Nuaim serta dalam tafsir al-Tabari dan al-Qurtubi, berpendapat bahawa
ayat ini bermaksud bahawa Nabi sa.w. telah berpindah dari satu sulbi ke satu sulbi di
kalangan nenek moyang yang sujud dan beriman.
Maksud zahir hadith ini juga bertentangan dengan nas-nas al-Quran.
Hal ini menurut satu kaedah bahawa Allah SWT tidak akan mengazab sesuatu kaum sebelum
dikirimkan para rasul-Nya untuk menyampaikan agama yang benar. Lihat al-Quran Surah al-
Isr 17 : 15, Surah al-Anm 6 : 131, Surah al-Syuar 26 : 208 dan Surah al-Nis 4 : 165.
Terdapat pula ayat-ayat yang menafikan bahawa terdapat rasul yang dikirim kepada kaum Nabi
Muhammad S.A.W. sebelum kebangkitan Baginda. Lihat juga Surah Sab 34 : 44 dan Surah al-
Qasas 28 : 46. Maka kesimpulan yang lebih tepat adalah kedua-dua ibu dan bapa Nabi S.A.W.
sama ada beriman dengan peninggalan risalah rasul-rasul yang terdahulu ataupun tergolong
dalam kalangan Ahlul Fatrah, iaitu mereka yang berada di zaman yang tiada rasul, menyebabkan
mereka secara prinsipnya tidak akan diazab.
Adalah menjadi suatu kewajipan bagi semua umat Islam termasuk para pendakwah hendaklah
meneliti sesuatu hukum itu dengan mendalam dan mengambil kira kesan positif terhadap umat
Islam sejagat. Pandangan yang bersifat membina kekuatan umat Islam lebih afdal berbanding
mengeluarkan sesuatu kenyataan yang bersifat merendahkan maruah umat Islam di kalangan
bukan Islam. Adalah lebih baik dan berakhlak dengan mencontohi akhlak seperti yang
ditunjukan dalam al-Qur`an. Jika diteliti dalam al-Qur`an, terdapat satu ayat berbunyi dengan
maksudnya Sesungguhnya mereka yang menyakiti Allah dan RasulNya, mereka dilaknat oleh
Allah di dunia dan akhirat serta disediakan bagi mereka azab yang menghinakan.
Dalam satu kenyataan yang lain disebut : Dan tiadalah perkara yang lebih menyakitkan
Rasulullah S.A.W. selain menyatakan bapa Baginda diazab di dalam neraka. Berdasarkan
maksud ayat di atas dapatlah difahamkan bahawa umat Islam diperintahkan supaya sentiasa
menjaga adab dan menghormati Nabi S.A.W. dan ahli keluarga termasuk kedua ibu bapanya.
Umat Islam tidak dibenarkan untuk menyakiti hati Rasulullah S.A.W. dengan mengeluarkan apa-
apa kenyataan sama ada secara tulisan mahupun secara lisan. Adalah amat tidak beradab bagi
orang yang sanggup mengeluarkan kata-kata yang secara langsung menyakiti ibu bapa
Rasulullah S.A.W. dengan berpandukan hadith-hadith seperti yang dinyatakan di atas.
Justeru, JAIS berpandangan, ibu bapa Rasulullah S.A.W. mati dalam keadaan tidak
diazab dan tidak dimasukkan dalam neraka kerana berpandukan ayat al-Qur`an Surah
Al-Isra 17 : 16 yang maksudnya : Dan Kami tidak akan mengazab seseorang pun kecuali
telah sampai padanya utusan (dakwah) dan dia enggan menerima.
Dalam istilah yang lebih mudah difahami, dapat dikatakan bahawa kedua ibu bapa Nabi
Muhammad iaitu Aminah dan Abdullah termasuk dalam golongan ahli fatrah iaitu golongan
manusia yang tidak sampai dakwah dan golongan tersebut tidak diazab oleh Allah S.W.T.
Sementara itu, kebanyakan ulama Shafie berpendapat bahawa ibu bapa Nabi dan ahli
keluarganya sebelum kedatangan Islam, adalah berpandukan kepada agama al-Hanifiyyah
dan tiada bukti mereka menyembah berhala. Sila lihat Fatwa Mantan Mufti Mesir Asy-
Syeikh Muhammad Bakhit al-Mutiiy dalam Al-Fatawa Al-Islamiyyah, 1982.
PENUTUP
Adalah dicadangkan supaya umat Islam tidak membincangkan hadith-hadith yang menjurus
kepada timbulnya isu percanggahan pendapat di kalangan para ulama secara terbuka. Dikhuatiri
ianya boleh memberi impak negatif terhadap masyarakat awam yang kurang memahami tentang
percanggahan pendapat tersebut.
Perbincangan ilmiah berkaitan sesuatu hadith secara tertutup sama ada di kalangan pelajar atau
golongan akademi adalah sesuatu yang amat digalakkan, tetapi perbincangan secara terbuka
khususnya melalui media massa seperti surat khabar dan sebagainya tidak digalakkan dan
hendaklah dihentikan serta merta !
Semua pihak hendaklah berhati-hati dengan mana-mana media yang didapati mempunyai
tendensi yang kuat bagi membuka ruang dan peluang memperagakan lslam dengan permasalahan
remeh temeh dan sensitif.
Disediakan oleh,
Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan
Jabatan Agama Islam Selangor
Pada: 3 Jun 2010 / 20 Jamadilakhir 1431H




Penghuni Hadzhiratul Qudsi
Imam al-Faqih Abul Laits as-Samarqandi al-Hanafi
meriwayatkan Sayyidina `Ali RA menyatakan bahawa di antara sebab bagi Sayyidina `Umar RA
untuk menganjurkan sholat Tarawih dilaksanakan secara berjemaah adalah kerana satu hadits
yang baginda dengar daripada Sayyidina `Ali RA. Hadits tersebut menyatakan bahawa
Junjungan Nabi SAW bersabda: "Adalah bagi Allah di sekitar arasy itu satu tempat yang
dinamakan sebagai "Hadzhiratul Qudsi" yang dicipta daripada nur. Padanya terdapat malaikat
- malaikat yang tiada terhitung jumlahnya melainkan Allah ta`ala. Mereka beribadah kepada
Allah `azza wa jalla tanpa henti-henti sepanjang masa. Ketika menjelang malam-malam bulan
Ramadhan, para malaikat ini meminta keizinan Allah untuk turun ke bumi agar mereka dapat
bersholat bersama-sama anak Adam. Maka turunlah mereka ke bumi pada setiap malam
tersebut, lalu sesiapa yang disentuh oleh mereka atau menyentuh mereka nescaya dia akan
memperolehi kebahagiaan yang tiada penderitaan setelahnya selama-lamanya". Mendengar
sabdaan ini, maka Sayyidina `Umar pun berkata : " Kita lebih berhak untuk ini" (yakni lebih
berhak dan perlu untuk memperolehi kelebihan ini), lalu baginda pun menghimpunkan manusia
untuk bertarawih secara berjemaah dan menegakkannya. Diriwayatkan bahawa Sayyidina `Ali
RA apabila keluar pada malam bulan Ramadhan dan mendengar bacaan al-Quran dari masjid-
masjid dan melihat lampu - lampu yang menghiasi / menyinari masjid-masjid tersebut, berdoa
dengan katanya: "Semoga Allah menerangi kuburnya `Umar sebagaimana diterangkannya
masjid-masjid dengan al-Quran."

Mudah-mudahan masjid-masjid kita juga sentiasa makmur dengan para mushalli yang beribadah
dengan tulus ikhlas kepada Allah SWT, bukan sahaja dalam bulan yang mulia ini, bahkan dalam
bulan-bulan yang lain juga.






Mazhab bantu memahami agama
SOALAN:
Apakah maksud sebenar mazhab dan apakah kepentingan kita mengikut sesuatu mazhab?
JAWAPAN:
MAZHAB menurut kamus dewan adalah: "Cabang ajaran Islam yang diikuti oleh umat Islam".
(Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur, hlm: 1010).
Mazhab adalah berasal daripada bahasa arab, yang bermaksud kecenderungan dalam sesuatu
perkara. Soalan sebegini sudah acap kali orang bertanya.
Bila baca soalan sebegini dan sebelum ini ada juga yang bertanya soalan yang seumpama dengan
ini lantas apa yang terlintas di benak saya, adakah kita lebih hebat daripada Imam Syafie, Imam
Hanafi, Imam Maliki dan Imam Hanbali sehingga sudah tidak mahu berpegang kepada mazhab?
Saya tidak salahkan yang bertanya, tetapi saya yakin pertanyaan ini adalah sebagai landasan
mendapat penjelasan yang betul dalam persoalan yang dimusykilkan.
Kepentingan bermazhab adalah bagi membolehkan kita mengamalkan agama dengan faham
yang sebenarnya. Sebabnya, kita tidak mampu dan kebanyakan kita tidak layak kerana tidak
mempunyai ilmu yang cukup untuk berijtihad. Para ulama yang muktabar telah memudahkan
kita memahami Islam dengan lebih mudah.
Contohnya hadis berkaitan wuduk dalam sahih al-Bukhari dalam kitab bersuci, wuduk, di bawah
tajuk ini adalah 75 bab dan 105 hadis, di dalam kitab al-Ghusl (mandi) terdapat 29 bab dan 44
hadis.
Kadang-kadang dalam satu bab ada ada dua tiga mungkin lebih lagi. Mungkin juga di antara
hadis-hadis itu pada zahirnya macam bertentangan tetapi hakikatnya tidak. Semua ini orang
awam boleh faham ke untuk menghasilkan hukum?
Tidak semudah yang disangka. Memang Islam itu mudah, tapi tidaklah sampai dimudah-
mudahkan Islam itu.
Pandangan peribadi saya adalah lebih baik orang awam di negara ini berpegang kepada satu
mazhab, iaitu mazhab Syafie, yang menjadi pegangan majoriti penduduk dunia.
Saya juga mengagumi dan menghormati mazhab-mazhab yang lain. Tetapi negara ini kita sudah
serasi dan menjadi pegangan untuk kian lama.
Silibus fiqh di sekolah dan universiti juga bermazhab Syafie. Oleh sebab itu, saya berani
mengatakan mazhab Syafie telah menjadi mazhab rasmi masyarakat yang beragama Islam di
negara ini.
Keadaan umat Islam semakin bercelaru dengan berbagai aliran dan pemikiran selepas kewafatan
Rasululah SAW. Terutama pada zaman Saidina Ali yang muncul berbagai-bagai fahaman seperti
aliran Khawarij, Mu'tazilah dan Syiah dan macam-macam ajaran yang membingungkan hala tuju
manusia.
Oleh kerana terdapat berbagai aliran ini, tepatlah al-hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Al-Imam
al-Thabarani: "Bahawa pada akhir zaman, umat ku terbahagi pada 73 golongan, hanya satu
golongan sahaja yang dapat memasuki syurga manakala yang lain terjun ke dalam neraka. Maka
sahabatnya pun bertanya, siapakah golongan yang satu tersebut, ya Rasulullah? Jawab baginda
Ahlul Sunnah Wal Jamaah (ASWJ)".
ASWJ adalah mereka yang mengikut sunnah Rasululah dan juga sunnah sahabat-sahabat
Baginda serta sunnah umat zaman Tabiin (Zaman 300 tahun selepas Rasulullah). Keempat-empat
Imam ASWJ iaitu Imam Hanafi, Imam Maliki, Imam Al-Shafie dan Imam Hambali tersebut
hidup pada zaman tabiin yakni lingkungan 300 tahun selepas Rasulullah SAW.
Mendalami ilmu
Imam Hanafi lahir pada 80 hijrah dan Imam Malik lahir pada tahun 93 hijrah dalam kurun yang
pertama lagi. Imam Al-Syafie lahir pada pada 150 hijrah dan Imam Hambali lahir pada 164
hijrah.
Semua mereka terkenal dengan sifat-sifat terpuji dan terkenal dengan ketokohan mereka dalam
bidang ilmu. Seawal usia mereka telah menghafal al-Quran, selesai menghafal al-Quran mereka
akan mendalami ilmu hadis serta ilmu tafsir, disusuli dengan ilmu fiqh dan tauhid.
Mereka sanggup berehlah ribuan batu untuk mendapatkan ilmu, sanggup mengharung perit
maung dalam mencari ilmu. Sepanjang riwayat hidup mereka kita akan dengar yang baik-baik,
yang indahnya mereka adalah ulama yang jujur dalam menegakkan kebenaran demi Allah SWT
dan Rasul-Nya.
Perjuangan mereka jujur ijtihad mereka juga semata-mata mencari keredaan Allah SWT.
Keempat-empat Imam tersebut juga boleh mengistinbatkan hukum selain dari al-Quran dan al-
hadis. Selain itu, keempat-empat mereka juga mempunyai kitab rujukan pada anak murid dan
umum.
Seperti Imam Hanafi yang mempunyai kitab al-hadis yang bernama Al Wasit, Imam Malik dalam
kitab Al-Muwattha, Imam Al-Shafie dalam kitab Al-Uum dan Al-Imam Hambali (Ahmad bin
Hambal).
(Mazhab bagi keluarga Ibn Tamiyah di mana bapanya adalah ulama bermazhab Hambali) dalam
kitab al-Hadis yang terkenal yang bernama Al-Musnad yang merangkumi 35,000 hadis di
dalamnya.
Keempat-empat Imam tersebut apabila memberi fatwa atau berijtihad atau mengeluarkan hukum,
mereka merujuk kepada al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.
Kalau ada mana-mana pihak yang mengikuti salah satu daripada empat mazhab tersebut, ertinya
mereka juga telah mengikut al-Quran dan al-hadis.
Cuma sebagai orang awam yang tidak tahu ayat al-Quran dan al-hadis mana yang diterima pakai.
Kerana itu digelar muqalidin atau pengikut.
Memang sudah menjadi sunnatullah sejak Nabi Adam sehingga pada akhir zaman, orang yang
jahil tentang ilmu Islam lebih ramai daripada orang alim. Walaupun sebenarnya ramai yang ingin
menjadi alim.
Begitu juga dalam ilmu pengetahuan, sedikit sahaja yang berilmu tetapi yang jahil amat ramai.
Dalam pada itu patutkah diminta pendapat orang awam mengkaji dan menggali sendiri al-Quran
dan hadis?
Tidak munasabah meminta mereka berijtihad sendiri kepada al-Quran dan hadis. Oleh yang
demikian berpegang kepada satu mazhab yang muktabar seperti mazhab Syafie adalah lebih baik
dan lebih selamat.
Ini kerana kita akan seragam dalam penghayatan dan pengamalan serta mengelakkan
pertelingkahan antara satu sama lain

Anda mungkin juga menyukai