Anda di halaman 1dari 9

Ketika dunia hari ini merentasi arus teknologi yang semakin canggih, isu-isu

kesantunan dalam masyarakat Malaysia pula semakin berleluasa dan menunjukkan belang.
Sifat positif dalam diri masyarakat Malaysia saban hari semakin luntur, ketidakprihatinan
yang ditunjukkan, masyarakat menjadi lebih biadab kerana kesantunan dalam berbahasa
semakin rapuh dan ampuh. Bahkan, kita sendiri mula merasa bahangnya apabila di
persekitaran kita semakin banyak contoh kerapuhan nilai kesantunan yang terjadi di
hadapan mata kita sendiri. Mengapakah hal ini berlaku? Justeru, marilah kita sama-sama
mengupas persoalan hangat ini yang sering terpampang di tabloid-tabloid tempatan.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), santun membawa maksud halus
sesuatu budi bahasa atau budi pekerti, beradab serta bersopan. Kesantunan pula merujuk
kepada kehalusan sesuatu budi bahasa dan budi pekerti. Berbahasa pula membawa
maksud memakai atau menggunakan bahasa. Maka, kesantunan bahasa dapat dirumuskan
sebagai kehalusan budi bahasa dalam memakai atau penggunaan sesuatu bahasa.
Menurut pendapat Asmah Hj. Omar (2000) pula, beliau mengaitkan kesantunan
bahasa dengan penggunaan bahasa sehari-hari yang tidak menimbulkan kegusaran,
kemarahan dan rasa tersinggung daripada pihak pendengar. Keadaan yang demikian akan
menimbulkan suasana hubungan yang harmoni antara penutur dan pendengar
Dalam konteks Amat Juhari Moain(1992), kesantunan berbahasa adalah kesopanan
dan kehalusan dalam menggunakan bahasa ketika berkomunikasi sama ada melalui lisan
atau tulisan. Dengan kata lain, kesantunan bukan sahaja penting dalam pertuturan seharian,
tetapi ia juga berkait rapat dengan skop penulisan, khususnya penulisan rasmi serta
akademik.
Kesantunan, dalam konteks yang lebih luas pula, tidak hanya merujuk kepada
kesantunan berbahasa semata-mata tetapi juga merujuk kepada aspek nonverval seperti
tingkah laku, mimik muka,dan nada suara. Dalam hal ini, Lakoff (1975) mendefinisikan
kesantunan sebagai perlakuan yang mengurangkan pergeseran dalam sesuatu interaksi.
Definisi ini adalah lebih kurang sama dengan definisi yang diutarakan oleh Asmah Hj. Omar.
Fraser dan Nolan (1981) pula menyatakan bahawa kesantunan berlaku apabila
kontrak perbualan digunakan oleh penutur dan pendengar bagi mengekalkan hubungan
yang harmoni dalam komunikasi. Selain itu, Brown dan Levinson (1987) pula menyatakan
kesantunan dianggap sebagai usaha mengurangkan Tindakan Ancaman Muka (TAM) dalam
perbualan terhadap pendengar.
Isu-isu kesantunan dalam masyarakat Malaysia juga termasuklah tentang isu
pendidikan, isu media, isu teknologi maklumat dan komunikasi, isu gejala sosial, isu sikap
ibu bapa dan masyarakat, serta isu pertembungan budaya. Dengan itu, konsep kesantunan
adalah kurang relevan jika perbincangannya terbatas kepada aspek berbahasa dan
perlakuan semata-mata, dan haruslah dikaitkan dengan konsep keihklasan. Sebagai
contohnya, seseorang itu boleh menuturkan madah bicara yang indah serta menunjukkan
tingkah laku yang sopan dalam sesuatu situasi, tetapi perlakuannya belum pasti
menggambarkan keihklasannya hatinya. Manusia boleh bertopengkan pelbagai wajah untuk
mencapai hasrat dan memuaskan hawa nafsunya, sedangkan hakikatnya tiada sesiapa pun
yang tahu dengan kebenarannya.
Dunia pendidikan Malaysia sememangnya banyak mengalami pelbagai kontroversi,
pengalaman suka mahupun duka yang memberikan pelbagai impak. Beberapa tahun yang
lalu, Malaysia telah digemparkan dengan kes guru agama yang memukul anak muridnya
yang berusia hanya 7 tahun sehingga menyebabkan kematian. Kejadian yang berlaku di
sebuah sekolah yang terletak di Perlis ini, merupakan tragedi yang mengecewakan. Lebih-
lebih lagi suspek, adalah merupakan tenaga pengajar sekolah agama. Mangsa, Saiful
Syazani Saiful Sopfidee, dikatakan diikat di tingkap sekolah agama berasrama tersebut
sebelum dibelasah gurunya yang berusia 26 tahun, atas sebab kesalahan mencuri duit
berjumlah RM7. Pelajar tersebut dibelasah hampir selama 2 jam dan pengsan akibat
kecederaan di kepala dan tubuh badan akibat dipukul bertubi-tubi. Tragisnya, tangisan serta
rayuan mangsa tidak diendahkan.
Dimanakah letaknya sifat perikemanusiaan guru tersebut? Sepatutnya, tugas-tugas
yang harus dilaksanakan oleh guru tersebut ialah mendidik generasi dengan cara yang
betul, tetapi bukan memberi contoh yang dipandang serong oleh masyarakat. Tidak
dinafikan, bahawa memikul tugas sebagai seorang guru tidak semudah yang disangka. Jika
dilihat kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan (1989), terdapat frasa yang menggariskan
pendidikan sebagai usaha berterusan untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmoni
dari aspek intelek, rohani, jasmani dan emosi dan sosial. Jika diteliti, tugas untuk
merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini amatlah berat. Adalah sukar untuk
membentuk manusia, lebih-lebih lagi pelajar yang mempunyai pelbagai latar belakang dan
acuan rohaninya. Oleh itu, guru harus mempersiapkan diri agar membantu anak didik untuk
mengembangkan daya berfikir atau penalaran sedemikian rupa sehingga mampu untuk turut
serta secara kreatif dalam proses transformasi kebudayaan ke arah peradaban yang positif
demi memperbaiki hidupnya sendiri dan kehidupan seluruh masyarakat yang dididik.
Sejak akhir-akhir ini, isu media semakin rancak diperdebatkan oleh seluruh lapisan
masyarakat. Seluruh dunia termasuklah Malaysia sedang menuju ke arah modenisasi dan
globalisasi. Tidak hairanlah bahawa setiap keluarga mempunyai sekurang-kurangnya
sebuah televisyen. Kini, televisyen boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja berbanding dengan
masa dahulukala dan telah pun menjadi sebahagian keperluan hidup masyarakat. Di
Malaysia, kanak-kanak secara keseluruhannya lebih banyak menonton televisyen
berbanding membaca dan menelaah buku serta mendengar radio. Hal ini kerana televisyen
merupakan satu medium yang menceritakan sesuatu dengan gabungan suara, muzik,
gambar dan gerakan.
Secara tidak langsung, kenyataan ini telah menimbulkan kebimbangan dalam
kalangan masyarakat terutamanya golongan ibu bapa tentang mesej yang cuba
disampaikan melalui iklan dan cerita kartun. Mereka berpendapat bahawa terdapat semakin
banyak unsur negatif yang dipaparkan seperti keganasan. Menurut Sandra L. Calvert dalam
bukunya Childrens Journeys Through the Information Age telah menyatakan, dalam
rancangan televisyen yang disiarkan ketika masa kemuncak, 70 peratus daripada
rancangan televisyen tersebut mengandungi unsur-unsur keganasan. Aksi-aksi ganas ini
ditunjukkan sebanyak 5 kali dalam satu jam dan hampir kesemua watak dalam program
televisyen melibatkan diri dalam kegiatan yang ganas malah melibatkan adegan seperti
pergaduhan malahan pembunuhan.
Sebenarnya, kandungan keganasan dalam cerita kartun kanak-kanak adalah lebih
banyak berbanding dengan rancangan televisyen yang lain. Misalnya, cerita kartun Ben 10
siaran Cartoon Network banyak memaparkan aksi-aksi pergaduhan untuk menentang
makhluk-makhluk asing. Hal ini menjadi kebimbangan utama para ibu bapa kerana kanak-
kanak yang menontonnya akan mengikuti aksi-aksi melawan yang dimainkan oleh watak
Ben Tennyson. Kanak-kanak yang tidak mempunyai sebarang pengetahuan dan
pengalaman akan menerima apa-apa sahaja yang mereka menonton dalam televisyen.
Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mendidik anak-
anak mereka supaya dapat membezakan dunia dalam media dan realiti. Ibu bapa haruslah
bersikap sabar dan meluangkan lebih banyak masa membuat penerangan kepada anak-
anak mereka mengenai mesej yang disampaikan dalam media dan bukannya memberikan
kepercayaan sepenuhnya kepada mesej media yang diketengahkan. Hal ini akan
mengelakkan kanak-kanak daripada mendapat pengaruh negatif dalam media.

Seterusnya, perihal teknologi maklumat dan komunikasi membawa maksud
pemerolehan, penyimpanan, pemprosesan dan penyebaran maklumat melalui penggunaan
teknologi komputer dan tele-komunikasi. Teknologi maklumat dan komunikasi mengandungi
tiga komponen iaitu komputer, komunikasi dan tahu-guna. Gabungan ketiga-tiga komponen
ini mencipta peluang kepada manusia dan organisasi untuk lebih produktif, berkesan dan
berjaya.
Namun begitu, kesantunan berbahasa semakin luntur dalam penggunaan teknologi
maklumat dan komunikasi. Pada era ledakan teknologi ini, keutamaan tidak diberikan lagi
kepada kesantunan berbahasa. Penggunaan bahasa yang suka membangga diri, memaki
hamun, memfitnah, mengejek dan merendahkan orang lain kian membusung nanah.
Perkara ini jelas menunjukkan penghakisan budaya ketimuran dan kesantunan berbahasa
selain menggambarkan peribadi bangsa yang negatif.
Seterusnnya, kemunculan jaringan sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram,
Google dan banyak lagi menjejaskan kesantunan berbahasa. Hal ini kerana penggunaan
kata-kata sapaan atau kata-kata panggilan yang kasar yang dikatakan kurang sopan kini
telah menjadi kebiasaan dalam kalangan pengguna IT. Sebagai contohnya, mereka
membahasakan orang yang lebih tua atau lebih berpangkat daripada mereka dengan kata
ganti awak, engkau, kamu yang sememangnya jika dilihat dari konsep kesantunan
bahasa Melayu, dianggap sebagai kurang sopan, kasar dan biadab. Seharusnya, kata ganti
nama yang halus dan bersopan seperti pak cik, mak cik, saudara, saudari, anda,
tuan dan puan wajar dipraktikkan dalam perbualan seharian sama ada dalam alam maya
seperti Facebook mahupun perbualan di alam realiti.
Generasi hari ini banyak menggunakan bahasa singkatan untuk komunikasi.
Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi menyumbang kepada penggunaan
perkataan singkatan dengan meluas. Contohnya, penggunaan aqyang membawa
maksudaku atau cyg membawa maksud sayang. Kesannya, perkara banyak
mempengaruhi penulisan dalam urusan rasmi dalam kalangan remaja dan ini mencerminkan
peribadi yang tidak baik terhadap mereka.
Dalam perkara ini, ibu bapa berperanan penting dalam mendidik anak-anak mereka
agar generasi muda ini dilatih dengan disiplin dan pertuturan bahasa yang sopan tidak kira
di mana mereka berada terutamanya ketika menggunakan laman sosial. Selain itu, pihak
sekolah juga betanggungjawab memantau para pelajar dari segi tingkah laku serta
peradaban mereka terutama sekali dari segi pertuturan yang diucapkan semasa mereka
berada di dalam dan luar sekolah.
Jika diperhatikan, kita selalu mendengar, melihat dan boleh dikatakan pernah
mengalami masalah sosial tidak kiralah dalam keluarga terdekat, kawan-kawan atau
masyarakat sekeliling. Masalah ini terjadi oleh pelbagai faktor pendorong yang dicipta oleh
manusia sendiri dan akhirnya manusia lain yang akan menjadi mangsa. Isu gejala sosial
termasuklah kes merempit dan lain-lain lagi semakin bermarajalela seolah-olah masyarakat
Malaysia tidak lagi mengikut panduan norma kehidupan masyarakat yang dulunya
menitikberatkan kesantunan yang suci dan murni.
Sebagai contohnya, gejala rempit hanya mendatangkan satu gejala yang boleh
memudarat sahaja, iaitu membahayakan penunggang atau dengan lebih tepatnya lagi
membahayakan pelumba haram berkenaan. Mat Rempit hanya mensia-siakan waktu muda
mereka yang sepatutnya digunakan untuk membangunkan potensi diri masing-masing.
Walau bagaimanapun, peluang untuk memakmurkan dan memajukan negara dimanfaatkan
oleh rakyat asing dek lantaran anak negeri sendiri tidak berminat untuk berusaha
bersungguh-sungguh bagi membangunkan negara. Ironinya, kegiatan rempit ini akan
menyumbang kepada kegiatan mencuri, meragut dan sebagainya, yang pastinya
menyumbang kepada gejala sosial yang lain.
Dalam membanteras isu merempit ini, Ops Lumba Haram sering dijalankan oleh
pihak berkuasa seperti pihak polis dan juga pihak polis trafik di sekitar jalan raya yang
menjadi lokasi utama mereka merempit. Gejala yang menjadi barah kepada negara ini perlu
sentiasa ditangani supaya gejala ini dapat dikawal penularannya. Pihak polis dan pihak polis
trafik sentiasa melakukan sekatan jalan raya untuk mencegah dan menjejaki mat rempit
yang berleluasa ini.
Tindakan sekatan jalan raya ini juga merupakan satu cabaran yang amat besar
kepada pihak polis kerana Mat Rempit ini sanggup melakukan apa sahaja untuk
melepaskan diri mereka dari ditahan oleh pihak berkuasa. Walaupun pihak polis mempunyai
senjata api, mereka seolah-olah berdepan dengan pihak musuh tanpa memperdulikan
keselamatan diri mereka. Ada di antara pihak polis mengambil tindakan dengan menendang
motosikal mereka dan ada juga yang membaling objek seperti kayu untuk memaksa
penunggang yang melawan arus untuk berhenti. Selain itu juga ada juga mat rempit yang
bertindak nekad dengan merempuh pihak polis untuk melepaskan diri tanpa mengira
risikonya yang boleh menyebabkan cedera parah bahkan menyebabkan maut.


Isu kelunturan sikap ibu bapa dan masyarakat juga semakin hari semakin bertambah
parah. Pada zaman dahulu kala, semua pelajar di bangku sekolah cukup takut kepada guru,
bukan kerana guru itu jahat, tetapi takut kerana guru cukup dihormati sehinggakan pelajar
tidak terasa hati jika dimarahi atau dirotan oleh guru. Walaupun berbekas dek kerana
dirotan, namun tidak berbekas dihati atau mendendami guru, kerana anak-anak sudah
dididik supaya menghormati guru, malah ibu bapa ketika itu beranggapan guru adalah ibu
bapa yang kedua di sekolah, maka mereka menyerahkan tanggungjawab mendidik anak
mereka. Dengan itu, guru berhak merotan demi kebaikan dan anak-anak agar menjadi anak
bangsa yang berdisiplin dan berjaya.
Namun demikian, bertentangan dengan adat lama, cara mendidik anak-anak pada
masa kini jauh berbeza. Sebaliknya, ibu bapa zaman sekarang mengajar anak mereka
supaya tidak menghormati guru, atau lebih tepat lagi, mereka tidak mengajar langsung anak
anak supaya menghormati orang yang lebih tua.
Sebagai contohnya, dalam insiden yang telah berlaku sebelum ini, dilaporkan
bahawa seorang guru lelaki berusia 28 tahun telah ditampar oleh ibu kepada seorang
pelajar yang marah dan tidak berpuas hati dengan tindakan guru tersebut menampar anak
wanita itu di sebuah sekolah menengah di Perlis. Walaupun pihak sekolah cuba
menjernihkan semula keadaan dengan mendamaikan kedua-dua pihak namun wanita
berkenaan masih tidak puas hati dan akhirnya bertindak menampar guru terbabit di hadapan
pengetua dan guru lain.
Dalam kes seperti ini, Kementerian Pendidikan Malaysia harus menguatkuasakan
undang undang untuk ibu bapa yang campur tangan dalam urusan guru dan pelajar di
sekolah, malah lebih baik jika anak terlalu kurang ajar dan menyerang guru, ibu bapa
mereka harus dihukum, kerana tidak pandai mendidik anak menjadi kurang ajar dan tidak
bermoral. Kita semua harus muhasabah diri, bahawa didikan agama juga harus diterapkan
dalam diri anak-anak sejak kecil lagi, agar tatasusila, akhlak mulia dan moral anak-anak
tersebut sudah sedia kala kukuh dan utuh, bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Ini kerana anak-anak ibarat kain putih, suci dan bersih, maka ibu bapa yang
bertanggungjawab mencorakkannya.




Malaysia terkenal dengan keunikannya yang mempunyai penduduk berbilang kaum
serta hidup rukun damai sejak kemerdekaannya 56 tahun lalu. Inilah yang menjadi resepi
dan pemangkin ke arah pencapaian kejayaan negara. Oleh sebab itu, kita haruslah
memahami agama dan budaya kaum lain untuk mengelakkan menyentuh sensitif kaum
lain.hal ini dapat mengekalkan perpaduan antara kaum. Sebagai rakyat yang prihatin, di
bahu kitalah tergalasnya tanggungjawab untuk mengekalkan keharmonian ini.
Namun begitu, isu pertembungan budaya pada hari ini semakin menjadi perhatian.
Pada realitinya pertembungan tidak akan berlaku sekiranya budaya yang mempengaruhi
tidak mendapat tentangan dari budaya yang lain. Pada masa kini, banyak bahasa barat
telah campur kepada bahasa kita. Contohnya, "Malam ini kita pergi dinner.". Ini
membuktikan betapa hebatnya pengaruh barat terhadap kita. Bahasa Melayu kita yang kita
sering gunakan sekarang sudah "bercampur" dengan bahasa dari barat menjadi satu cara
percakapan yang baru. Sebenarnya, ini bukan merupakan sesuatu yang buruk, kerana
bahasa barat lebih biasa digunakan. Namun cara percakapan yang kasar turut dicampur ke
dalam bahasa Melayu, terutamanya golongan remaja yang menganggap bahasa barat yang
kasar itu sesuatu yang dapat membesarkan maruah diri sendiri dan mereka tidak tahu
bahawa itu akan menjatuhkan maruah diri mereka.
Selain itu, budaya Hedonisme juga semakin berleluasa di negara kita. Budaya yang
berasal dari negara Barat ini sebenarnya merupakan barah yang kini semakin mengancam
jiwa remaja di Malaysia pada masa kini. Bukan begitu sahaja, ia mampu merapuhkan adat
berbudi bahasa dan kesantunan yang merupakan pegangan hidup masyarakat Malaysia
pada suatu masa dahulu. Budaya ini begitu cepat menular dalam kalangan remaja yang
terpengaruh dengan keseronokan dan aktiviti yang dianggap dapat menghilangkan rasa
bosan terutama remaja di bandar besar. Dengan kemunculan pelbagai pusat hiburan dan
kebebasan media yang tidak dikawal ketat, hedonisme merebak dengan pantas tanpa
disedari.
Pengaruh budaya Barat telah membawa kesan buruk kepada keruntuhan akhlak
seseorang mahupun masyarakat pada masa kini. Semakin ramai golongan muda hari ini
sentiasa mengejar gaya hidup global yang berasaskan kehidupan barat. Misalnya, memakai
pakaian berjenama barat, media barat yang semakin membanjiri masyarakat muda dan lain-
lain lagi. Kesan intelektual Barat telah memaparkan sifat negatif dalam kalangan mereka
apabila sesuatu perkara yang suci dan menerapkan nilai-nilai yang baik seperti institusi
agama tidak lagi serasi dengan jiwa mereka.

Secara keseluruhannya, semua pihak memainkan peranan penting dalam usaha
mengatasi isu-isu kesantunan dalam masyarakat Malaysia. Kita perlulah mengambi langkah
yang kreatif, kritis dan pragmatik supaya dapat memanifestasikan generasi pelapis negara
yang tidak akan lupa akan warisan mereka ibarat kacang lupakan kulit. Generasi pada hari
ini perlu digarap agar menghargai dan menjunjungi pegangan nilai budi bahasa dan
kesantunan yang diwarisi sejak turun-temurun agar kesantunan berbahasa mahupun dari
segi tingkah laku atau perlakuan akan terus hidup subur dalam kehidupan masyarakat kita.
Generasi muda perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan norma ini tidak
hanyut ditelan zaman. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu bagai lebah
menghimpun madu, agar impian ini tidak akan dipersia-siakan begitu sahaja dan terus dapat
dihidupkan dari semasa ke semasa.

















Bibliografi

NILAI KESANTUNAN DALAM KONTEKS SOSIOBUDAYA MASYARAKAT MELAYU. (2005). Jurnal
Pengajian Melayu, 238-253.
Kesantunan Bahasa J & M. (2013, Ogos 15). Retrieved from Kesantunan Berbahasa:
http://babacream0934.blogspot.com/2013/08/kesantunan-berbahasa-definisi.html
AHMAD, M. N. (2009, Disember). Prinsip Al-Quran Tentang Kesantunan Bahasa. Retrieved from
Prinsip Al-Quran Tentang Kesantunan Bahasa:
http://cikgunazeli.wordpress.com/category/penulisan-ilmiah/
Jalaluddin, P. D. (2004). Kesantunan Berbahasa Orang Melayu Menerusi Gaya Pengurusan Air Muka
dalam Saga: Aplikasi Teori Ting-Toomey. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Omar, A. H. (2007). Kesantunan Bahasa dalam Pengurusan Pentadbiran Media. Dewan Bahasa dan
Pustaka.