Anda di halaman 1dari 3

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.

Tuan-tuan, puan-
puan warga pendidik dan murid-murid yang dikasihi sekalian,
1. Semenjak tahun 1972, peranan dan fungsi guru telah diiktiraf begitu signifikan dan
diabadikan menerusi ungkapan tema Hari Guru yang diraikan pada 16 Mei setiap
tahun. Guru dipandang tinggi sebagai pemangkin pembangunan negara, pembentuk
generasi dan menjadi asas kemajuan pendidikan negara di samping memacu kejayaan
rakyat. Guru yang melengkapi diri dengan kualiti dan Standard Guru Malaysia diakui
mampu menjamin keberhasilan negara, antaranya guru yang inovatif dan kreatif teras
kejayaan wawasan, guru berkesan pendidikan cemerlang, guru berkualiti pemangkin
kegemilangan dan guru cemerlang negara terbilang.
2. Pada tahun ini, tema Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara
telah dipilih sebagai galakan kepada guru menyuburkan inovasi. Tema ini selaras
dengan pengisytiharan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia bahawa
tahun 2012 merupakan Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional. Sehubungan itu,
amat wajarlah bagi para pendidik mempersiap diri membudayakan inovasi dalam
proses pengajaran dan pembelajaran dan aktiviti koakademik serta kokurikulum di
dalam dan di luar bilik darjah.
3. Sebagai golongan profesional yang menjana dan menjuarai perubahan, kita perlu
peka dan bersedia memperlengkapi diri menjadi guru yang inovatif. Guru yang inovatif
berupaya menjana idea, konsep atau strategi baru yang boleh mempertingkat amalan
berkesan dalam menyampaikan ilmu kepada generasi anak didik. Guru yang inovatif
juga berkemampuan mencipta kelainan atau modifikasi menggunakan unsur dan
sumber sedia ada serta menjelmakannya sebagai elemen sintesis yang memudah dan
melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, seorang guru yang
inovatif juga mempunyai tahap ketekunan yana tinggi, belajar daripada kesilapan,
menyusun dan mengurus idea secara perekodan sistematik serta sentiasa cenderung
mendapatkan pengetahuan baharu. Natijah yang akan dihasilkan ialah modal insan
yang berpengetahuan dan bermaklumat serta berinovatif dalam mempermajukan
teknologi, berkebolehan mencerna dan mengadaptasikan teknologi dan seterusnya
berupaya mengembangkan idea-idea.
Warga pendidik yang diraikan sekalian,
4. Kesinambungan sistem pendidikan negara dimanifestasi melalui transformasi yang
berbentuk dinamik dan progresif yang akan direalisasikan oleh para guru yang inovatif,
proaktif, berdedikasi, dan berdaya saing. Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran
Malaysia telah melaksanakan program bina upaya untuk meningkatkan amalan
profesionalisme keguruan bagi menyokong usaha melaksana transformasi pendidikan
secara keseluruhan. Objektif Pelan Pembangunan Profesionalisme Pegawai
Perkhidmatan Pendidikan secara khususnya bermatlamat melahirkan para pendidik
yang berwatak profesional, berkompeten dan berkesanggupan memikul amanah yang
lebih besar.
Warga pendidik sekelian,
5. Pelbagai ganjaran disediakan dan inisiatif direncana oleh pihak kerajaan bagi
memastikan kebajikan dan kesejahteraan guru terjamin. Keprihatinan kerajaan ini
disalurkan menerusi pelbagai usaha, misalnya melalui pemberian dan penganugerahan
kepada warga guru seperti dalam aspek perjawatan dan perkhidmatan. Anugerah dan
beberapa 5 penambahbaikan dalam skim perkhidmatan guru menggambarkan
keprihatinan kerajaan kita. Sesungguhnya perkara ini diharapkan menjadi sebagai satu
inspirasi dan dorongan kepada guru untuk terus memberikan perkhidmatan yang
effisyen dan cemerlang dalam dunia pendidikan yang berkembang pesat di samping
melengkapkan diri bagi menghadapi cabaran global.
6. Pihak kerajaan dan kementerian juga amat prihatin dengan beban tugas guru yang
semakin bertambah dan rencam. Sehubungan itu, bermula pada tahun 2012,
Jawatankuasa Kerja Pelaksana Menangani Isu Beban Tugas Guru (JKPMIBTG) telah
memberikan tumpuan kepada lima fokus utama bagi menangani isu beban tugas guru
iaitu menambah baik pelan operasi latihan tahunan untuk mengelakkan pertindihan
kursus; menambahkan staf sokongan untuk tugas perkeranian; mengurangkan bilangan
jawatankuasa di peringkat sekolah; mengurangkan bilangan ujian/peperiksaan dan
meningkatkan penggunaan ICT dalam pengurusan sekolah dan pengajaran dan
pembelajaran.
7. Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini mewakili semua warga pendidik di
negara ini untuk menyatakan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak
terhingga kepada pihak kerajaan yang tidak pernah meminggirkan kebajikan para guru.
Keprihatinan berterusan oleh kerajaan ini merupakan suntikan semangat agar warga
pendidik terus gigih, inovatif, berdedikasi dan berintegriti dalam menggalas
tanggungjawab melahirkan generasi masa depan yang berjati diri, berdaya saing,
bertanggungjawab, berpegang teguh kepada ajaran agama serta mengamalkan nilai
sejagat.
Anak-anak murid yang disayangi sekelian,
8. Saya yakin bahawa tanggungjawab berat yang digalas oleh para guru di samping
tekanan yang dihadapi sedikitpun tidak melunturkan rasa kasih dan sayang kepada
anak-anak didik semua. Semua guru yang ada di hadapan murid-murid semua adalah
guru penyayang. Kehadiran murid ke sekolah tentulah dengan harapan dan semangat
untuk menimba ilmu dan mempertingkat kualiti diri. Setiap murid di mata dan hati
seorang guru adalah permata yang mempunyai keistimewaan dan kebolehan tersendiri.
Jika digilap dan dikembangkan potensinya nescaya akhirnya mereka dapat menjadi
individu dan warganegara yang berdaya saing, berfikiran kreatif dan kritis, berbudi
pekerti mulia dan sedar akan kepentingan amalan berterima kasih. Sekiranya ada
antara murid-murid yang ditegur oleh guru, janganlah mudah berkecil hati atau merasa
diri kurang disayangi. Anggaplah para guru sebagai ibu dan bapa di sekolah yang
sentiasa mengambil berat dan menginginkan yang terbaik untuk murid-murid semua.
9. Akhir kalam, besarlah harapan saya agar warga pendidik yang dikasihi sekalian terus
melaksanakan amanah yang diberi penuh dedikasi, bertunjangkan integriti dan
berlandaskan etika perkhidmatan. Selaku pencetus, penggerak dan pemegang amanah
kepada proses transformasi sistem pendidikan negara, warga pendidik mempunyai
kedudukan tersendiri, disegani dan dipandang tinggi oleh masyarakat. Marilah kita
teruskan amalan budaya kerja cemerlang, sikap kebertanggungjawaban, istiqamah dan
semangat mujahadah setiap daripada kita untuk melakukan yang terbaik demi nusa dan
bangsa. Sebagai penutup, ingin saya titipkan mutiara kata Syeikh Muhammad Abduh,
seorang tokoh pendidikan di Mesir, Kemuliaan ialah membangun umat yang telah
binasa, membuka selubung kebodohan mereka, memberi peringatan dan petunjuk
(hidayah), menuntut hak yang terampas, mengingatkan akan kemuliaan yang hilang,
membangun umat dari tidur dan kelalaian mereka, serta menyatukan suara untuk
memperbaharui gerak langkah.