Anda di halaman 1dari 2

REFLEKSI

Syukur alhamdulillah kerana diberi kesihatan dan kekuatan fizikal dan mental dalam
menyiapkan Bina Insan Guru (BIG) di mana pada semester ini kami diberikan ceramah
di Dewan Besar Nik Muhyiddin Musa pada 3 Oktober 2013. Tidak dilupakan ucapan
terima kasih dan tahniah kepada rakan-rakan yang terlibat secara langsung dan tidak
langsung dalam menjayakan kursus BIG ini. Pepatah Melayu ada mengatakan berakit-
rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersusah-susah dahulu, bersenang-senang
kemudian. Dengan berkat usaha yang gigih dan kerjasama antara saya dan rakan-
rakan, BIG ini dapat diselesaikan dengan jayanya.
Masih terngiang-ngiang apa yang dikatakan oleh penceramah pertama iaitu
Encik Ishak Bin Alishah iaitu guru juga hendaklah mempunyai kemahiran pengurusan
dan perubahan diri. Seperti contoh, guru boleh menyesuaikan diri dan mengadaptasi
diri dalam budaya masyarakat yang baru apabila dihantar untuk mengajar ke tempat
yang baru kelak. Guru juga boleh melakukan perubahan pada diri sendiri jika
berhadapan dengan masalah yang baru, dan sentiasa mencari jalan penyelesaian
dengan fikiran yang positif dan rasional. Seorang guru yang cemerlang juga dapat
mengenali dan menilai diri sendiri dengan baik. Merefleksi semua perkara dan akitiviti
yang telah dilakukan agar boleh mencari sebarang kelemahan untuk dibaik pulih. Guru
juga dapat mengenali potensi diri yang ada pada mereka agar guru dapat merebut
semua peluang yang ada dalam meningkatkan potensi yang baik dan cemerlang dalam
kerjaya mereka dibidang pendidikan itu sendiri. Ini secara tidak langsung dapat
membantu melahirkan guru yang seimbang dari semua bidang, dan seterusnya dapat
memberikan yang terbaik kepada anak-anak murid mereka.
Selain itu, penceramah yang kedua iaitu Encik Khairi bin Zakaria juga ada
menyebut tentang rohani yang mana semuanya bermula daripada dalam diri
seseorang. Kerohanian dan akhlak keguruan itu menjadi titik permulaan untuk perkara
tersebut. Apa yang penting, seseorang yang melalui proses menjadi guru hendaklah
memahami domain pembangunan diri yang seimbang, seperti yang dinyatakan dalam
Falsafah Pendidikan Kebangsaan, memahami konsep, nilai dan etika keguruan,
memahami citra diri sebagai seorang insan guru dan membina pemikiran yang positif
dan motivasi yang tinggi terhadap profesion keguruan itu sendiri. Selain itu, seorang
guru itu juga perlu untuk memahami konsep akuantabiliti professional keguruan itu
sendiri, sentiasa membina komitmen dalam proses pengajaran dan pembelajaran
dalam pelaksanaan peranan guru sebagai seorang pendidik, pembimbing dan pembina
akhlak anak-anak muridnya.
Tugasan kali ini membawa seribu satu kebaikan kepada saya. Pada mulanya
saya rasa ianya sekadar tugasan sebagai seorang pelajar tetapi apabila saya mula
membuat tugasan ini saya merasa ianya satu tugasan yang membimbing saya dan
rakan-rakan ke arah persediaan sebagai seorang guru yang berdedikasi. Kesabaran
merupakan elemen penting yang dapat saya pupuk dalam menjalankan BIG ini.
Dalam masa yang sama, ianya menjadikan saya seorang yang senang
menerima teguran dan memahami apa yang patut dilakukan dalam menghadapi situasi
tertentu. Saya juga belajar menghargai masa kerana masa itu emas. Saya berusaha
sedaya upaya untuk menepati masa. Harapan saya semasa dan selepas kursus ini
adalah agar kursus seperti BIG seperti ini dapat diteruskan agar membentuk generasi
yang serba boleh dalam menjalani kehidupan sebagai seorang pendidik. Pengalaman
ini amat berharga dan bakal digunakan semasa saya habis belajar sebagai seorang
guru di sekolah. Mungkin ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki tapi secara
keseluruhannya tugasan ini menjadikan saya bakal guru yang berfikiran luas dan
inovasi. Biasalah setiap program mesti ada kekurangannya akan tetapi kekurangan itu
tidaklah menjadi masalah kepada saya.
Tuntasnya, saya sangat gembira dalam menyiapkan tugasan projek ini. Banyak
perkara yang diperoleh dalam menyiapkan tugas ini. Saya berharap perkara seumpama
ini menjadikan saya dan rakan-rakan semakin matang dalam menempuh hari-hari
mendatang. Banyak kebaikan dan kelebihan yang saya dapat dalam menyiapkan tugas
ini.

(MAWADAH BINTI SHAMSUDDIN)