Anda di halaman 1dari 8

Ulasan artikel-profesionalisme guru

Pengenalan
Malaysia merupakan sebuah negara maju yang semakin membangun. Pelbagai langkah dan
tindakan yang dirancang dan dilaksanakan untuk mencapai misi dan visi negara. Pelaksanaan
tersebut telah mula sebelum negara menggapai merdeka lagi. Langkah dan usaha kerajaan
tersebut meliputi pelbagai perkara dan segenap sudut seperti aspek kesihatan, pendidikan,
pengangkutan dan banyak lagi. Langkah dan usaha kearah kemajuan dan pembangunan
Negara yang dilaksanakan dalam bidang pendidikan. Hal ini dapat dilihat apabila terhasilnya
Laporan Rahman Talib, Ordinan Pelajaran, Laporan Razak dan lain lain lagi yang bertujuan
ke arah pembangunan dalam bidang pendidikan. Dewasa ini, bidang pendidikan telah
diangkat ke satu tahap yang lebih tinggi apabila kerjaya guru diiktiraf sebagai satu profesion.

Artikel daripada Berita Harian bertarikh 13 Mac 2012, bertajuk Minda Pengarang :
Menambahbaik Profesion Perguruan Mampu Tingkat Sistem Pendidikan, menyatakan sistem
pendidikan Negara yang bagus adalah faktor utama kepada penghasilan modal insan yang
berkualiti seperti yang dihasratkan negara. pelbagai usaha dan langkah yang telah
dilaksanakan oleh kerajaan bagi memastikan mutu sistem pendidikan negara bertambah baik
dari semasa ke semasa. Antara usaha tersebut ialah dengan memartabatkan profesion
keguruan.

Sebelum melihat dan menganalisis dengan lebih mendalam berkaitan pemartabatan
profesion keguruan, akan dibincangkan terlebih dahulu tentang kerjaya guru yang diiktiraf
sebagai suatu profesion. Pada era 2000, kerjaya guru kurang mendapat perhatian masyarakat
berikutan ledakan kemajuan negara ketika itu menjadikan penjanaan peluang pekerjaan yang
berasaskan kemajuan infrastruktur, teknologi maklumat, perindustrian dan perkilangan.
Namun kini, telah berubah apabila kerjaya guru menjadi rebutan khususnya pelajar-pelajar
lepasan SPM. Pada setiap tahun permintaan terhadap bidang ini semakin meningkat.
Sedangkan tempat yang ditawarkan adalah terhad (Syed Ismail dan Ahmad, 2012). Hal ini
ekoran kesukaran para lulusan universiti mendapat pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan
mereka. Bagi memastikan profesionalisme pendidikan guru berada di landasan yang betul
dan dijamin kualitinya, pihak kementerian telah menyediakan pelbagai kemudahan dan
mewajibkan bakal guru serta guru terlatih menjalani pelbagai kemahiran baharu sesuai
dengan arus globalisasi.

Latihan yang khusus adalah penting kepada seorang bakal guru untuk
membolehkannya melangkah ke alam profesion guru. Syed Ismail dan Ahmad (2012)
menyatakan, menurut Kamus Dewan, profesion adalah suatu bidang pekerjaan khasnya
yang memerlukan pendidikan dan kecekapan serta kemahiran yang tinggi dan latihan khas.
Mengikut Lieberman (1956), pula, sesuatu kerjaya yang digolongkan sebagai profesion
haruslah mengandungi beberapa ciri khusus. Pertama, mereka golongan profesional yang
pernah mendapat latihan khusus dalam sesuatu bidang kemahiran ikhtisas mengikut satu
tempoh masa tertentu. Seterusnya, pekerjaan itu, merupakan perkhidmatan yang unik dan
penting dengan matlamat yang jelas untuk masyarakat dan negara. Selain itu, pekerjaan yang
menggunakan banyak keupayaan dan kebolehan intelek semasa memberi perkhidmatan.
Kemudian mereka golongan pakar dalam bidang pekerjaan tertentu dan mempunyai kuasa
autonomi semasa menjalankan tugasnya. Mereka juga mementingkan mutu perkhidmatan
serta dedikasi terhadap pekerjaannya dan tidak mementingkan pendapatan atau ganjaran
kewangan semasa memberi perkhidmatan. Pekerja dalam kerjaya itu terdiri daripada ahli-ahli
satu organisasi yang berkuasa menentukan nilaitara-nilaitara untuk kemasukan, mengawal
mutu perkhidmatan dan penyingkiran ahli. Seterusnya, setiap ahli mematuhi sesuatu kod
etika yang ditentukan oleh organisasi profesion itu. Terakhir, setiap ahli akan
bertanggungjawab terhadap semua tindakan dan keputusan yang dibuat olehnya.

Berdasarkan ciri - ciri tersebut, Mok Soon Sang (1996) merumuskan secara ringkas
konsep profesionalisme sebagai suatu pekerjaan yang khusus dan dilaksanakan oleh orang
yang mempunyai kelulusan dan latihan ikhtisas yang cukup bermutu, bersikap jujur, dedikasi,
bertanggungjawab dan bermoral tinggi, mempunyai autonomi bertugas serta mematuhi kod
etika yang ditentukan oleh organisasinya. Oleh hal yang demikian, adalah pasti bahawa
kerjaya guru merupakan suatu profesion berdasarkan ciri-ciri dalam kerjaya guru yang
menepati ciri-ciri yang dinyatakan oleh Liberman.

Dalam dunia pendidikan, terdapat beberapa istilah yang nampak hampir sama pada
zahirnya, tetapi berlainan pada maknanya. Istilah-istilah ini adalah penting untuk diketahui
dan difahami. Pertama konsep perguruan dan kosep keguruan. menurut Kamus Dewan
(1989), konsep perguruan diertikan sebagai pengajaran, misalnya kepada guru pelatih, pelajar
dan sebagainya. Konsep keguruan adalah perkara yang berkaitan dengan guru seperti
peranan, tugas, kelayakan dan sebagainya. Kemudian, konsep profesion keguruan dan konsep
profesion perguruan. Menurut Kamus Dewan (1989) juga, konsep profesion keguruan adalah
pekerjaan yang berkaitan dengan peranan tugas, tanggungjawab, sifat dan kualiti guru.
Manakala, konsep profesion perguruan adalah pekerjaan pengajaran yang memerlukan
pelajaran yang tnggi dan latihan khas.

Menurut Syed Ismail dan Ahmad (2012) dalam konteks keguruan, guru yang
profesional haruslah mempunyai tiga ciri kemahiran professional guru iaitu mempunyai ilmu
pengetahuan dan kemahiran yang tinggi dalam banyak aspek, bukan sahaja mata pelajaran
yang diajarnya. Ciri seterusnya, bertanggungjawab dan memberikan perkhidmatan yang
bermutu tinggi. Ciri ketiga, ialah terlatih dan mahir dalam tugas-tugas mengajar dan
membimbing murid.

Perkembangan

Meningkatkan dan memartabatkan profesion keguruan adalah suatu pandangan positif
yang telah dapat dilihat oleh kerajaan sejak awal lagi. Hal ini dibuktikan berdasarkan
perancangan dan langkah yang telah dan akan direncana kerajaan kearah memartabatkan
profesion keguruan. KPM telah berusaha untuk memartabatkan profesionalisme guru dengan
meningkatkan kualiti guru, kerjaya guru dan kebajikan guru. KPM bermatlamat untuk
menjadikan profesion guru dihormati dan dipandang tinggi sesuai dengan amanah yang
dipikul. KPM berusaha memartabatkan profesion keguruan dengan memberi tumpuan kepada
fokus dan strategi pelaksanaan seperti menambah baik sistem pemilihan calon guru dengan
cara memperketat syarat dan kriteria pengambilan calon melalui Ujian Pemilihan Calon Guru
Malaysia (Malaysian Teachers Selection Test - MTeST), temuduga individu dan
berkumpulan serta ujian bertulis Bahasa Inggeris, telah banyak dijalankan oleh fakulti
pendidikan di universiti. Pemilihan melalui penampilan calon guru seperti pertuturan, dan
cara pembawaan, pandangannya terhadap sesuatu isu, kebolehannya untuk mengawal
perasaan dan keadaan fizikal seseorang merupakan kriteria yang boleh diuji semasa sesi
temuduga dijalankan. Tanpa temuduga seperti ini, kita dapat mengesan individu
yangmempunyai kelemahan atau kecacatan tertentu seperti tidak pandai bertutur dengan baik,
perwatakan yang tidak sesuai dan sikap terlalu gugup tidak dapat dikesan. Tindakan tersebut
juga terpaksa diambil untuk memastikan seseorang guru tidak memilih opsyen perguruan
sebagai pilihan terakhir mereka.

Seterusnya untuk meningkatkan lagi profesion keguruan, kerajaan telah
memperkenalkan falsafah pendidikan negara. Falsafah pendidikan merupakan langkah
permulaan dalam proses pembangunan sistem pendidikan. Penetapan aspek-aspek lain yang
terdapat adalah seperti matlamat, isi kandungan, pendekatan, srategi dan kaedah pengajaran
merujuk kepada falsafah pendidikan yang telah ditetapkan. Penting sebagai satu garis
panduan kepada guru untuk mengajar dengan lebih berkesan. Proses mendidik pelajar perlu
dijalankan secara terancang dan sistematik untuk mendatangkan hasil seperti yang
diharapkan. Falsafah pendidikan bukan sahaja menjadi asas kepada pembentukan sesuatu
sistem pendidikan tetapi juga menjadi panduan yang penting dalam pelaksanaan sesuatu
sistem pendidikan. Ketiadaan suatu sistem dasar yang jelas dan mantap akan menyebabkan
sistem pendidikan dan pelaksaaannnya tidak mempunyai hala tuju yang tetap dan dan tidak
akan berlangsungdengan lancar, teutamanya apabila dipengaruhi oleh persekitaran seperti
kepimpinan,kewangan, pengaruh politik, dunia tanpa sempadan, sosial dan lain-lain lagi yang
diambil kira untuk dijadikan asas bagi pelaksanaan sistem pendidikan.

Menurut Tan Sri Muhyiddin Yasin dalam sebuah buku Sudut Pandang Muhyiddin,
beliau menyatakan satu daripada contoh langkah memartabatkan profesion keguruan ialah
program pensiswazahan guru yang mensasarkan supaya menjelang 2015, kita akan
mempunyai 60 peratus guru siswazah di sekolah rendah dan 90 peratus di sekolah menengah.
Menurut Noriati et al. (2010) KPM (Kementerian Pelajaran Malaysia) telah mengadakan
pelbagai program pensiswazahan. Antara program pensiswazahan guru yang dikendalikan
oleh KPM adalah Program Khas Pensiswazahan Guru (PKPG). Program ini
memsiswazahkan guru-guru sekolah menengah dan merupakan program khas KPM yang
telah dimulakan pada tahun 1999. Program ini melibatkan kerjasama antara IPTA (Institut
Pengajian Tinggi Awam) dengan IPG (Institut Pendidikan Guru). Namun begitu, PKPG telah
ditamatkan ambilannya pada tahun 2006 setelah Keputusan Jemaah menteri yang berkaitan
Memorandum Bersama Kementerian Pelajaran Malaysia memutuskan ambilan terakhir
pelatih seramai 1500 orang dalam PKPG penempatan di sekolah menengah adalah pada tahun
2006. Kedua, Pensiswazahan Guru Sekolah Rendah (PGSR). Program ini khsusus ditawarkan
kepada guru-guru sekolah rendah untuk memberikan peluang kepada mereka menyambung
pengajian pada peringkat Ijazah Sarjana Muda Perguruan (ISMP). Program ini bermula
dengan ambilan November 2008. Program yang menggunakan mod Kursus Dalam Cuti
(KDC) adalah tempoh pengajiannya selama 4 tahun. Hal ini bermakna, guru-guru yang
mengikuti program PGSR akan mengikuti pengajian hanya pada waktu cuti sekolah dan pada
hari-hari lain mereka meneruskan kerjaya mengajar seperti biasa. Seterusnya Program Khas
Pensiswazahan Guru Besar (PKPGB) yang dilaksanakan oleh Institut Aminuddin Baki dalam
memastikan bahawa Guru Besar di sekolah memiliki ijazah. Program yang dijalankan secara
kolaborasi dengan Inuversiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim ini merupakan program
pengajian selama 3 tahun.

Menurut Tan Sri Muhyiddin Yasin, langkah lain dalam memartabatkan profesion
keguruan adalah pada aspek kenaikan pangkat, pelbagai faedah disediakan untuk
perkhidmatan perguruan dan kebanyakannya tidak dinikmati sektor perkhidmatan yang lain.
Satu contoh ialah Kerajaan meluluskan Bayaran Berprestasi Tinggi bagi menghargai jasa
guru dan kakitangan sokongan yang berkhidmat di Sekolah Berprestasi Tinggi. Begitu juga
keputusan kerajaan mewujudkan jawatan Guru Wibawa dan Pendeta Guru yang bakal
memegang gred tertingi dalam perkhidmatan awam. Semua ini sepatutnya boleh dilihat
sebagai isyarat jelas betapa kerajaan amat serius dalam usaha memartabatkan profesion
keguruan.

Dalam usaha memartabatkan profesion keguruan dan meningkatkan sistem
pendidikan negara, diwujudkan pula Sistem Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM). Sistem ini
adalah salah satu adaptasi inovasi yang merupakan suatu pembangunan dalam sistem
pendidikan negara yang telah berjaya dibangunkan oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti
(JNJK) pada tahun 2003. SKPM telah pun diperakui dan diiktiraf sebagai Piawai Pendidikan
Kebangsaan (sekolah), (Noriati et al, 2010). Antara tujuan SKPM adalah satu inisiatif yang
memberikan fokus kepada pemantapan profesionalisme tenaga pendidik di sekolah yang
dapat meningkatkan standard kualiti pendidikan di sekolah dapat dilaksanakan. Seterusnya ia
sebagai satu nilai tara atau sukatan tahap kecemerlangan pada sekolah dapat dilakukan.
Sistem ini juga bertujuan supaya peningkatan keberkesanan dan kecekapan pengurusan
sekolah yang bermatlamat akhirnya ialah peningkatan tahap pencapaian murid.

Peranan guru adalah amat penting dalam pembentukan modal indan cemerlang yang
dapat membawa kepada perubahan negara. Sehubungan dengan itu, yang diberi keutamaan
adalah pembentukan modal insan dengan hasrat guru dapat menjalankan tanggungjawab dan
peranan dengan baik. Hal ini berkait rapat dan bergantung kuat kepada sistem latihan
perguruan kepada guru-guru. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah membuat
perubahan dalam sistem latihan perguruan apabila menaik taraf maktab perguruan menjadi
Institut Pendidikan Guru (IPG). Maktab perguruan yang selama ini melatih guru di peringkat
Sijil Perguruan dan Diploma Perguruan telah berubah apabila guru-guru lepasan Institut
Pendidikan Guru dianugerahkan dengan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) sebagai
bekalan tenaga pendidik di sekolah rendah. Program pensiswazahan ini telah bermula pada
tahun 2006. Menurut Noriah et al. (2010) aspirasi KPM adalah untuk melahirkan guru
siswazah di sekolah rendah akan tercapai apabila IPG mendapat kelulusan melaksanakan
pogram ijazah.

Implikasi
Peningkatan profesion keguruan yang baik berasaskan matlamat dan tujuan yang
jelas akan menghasilkan kesan-kesan juga implikasi yang positif dalam segenap aspek dan
perkara yang berkaitan dengan profesion keguruan. Hal ini sememangnya sanagat perlu,
berikutan peranan pelbagai yang dimainkan oleh seseorang guru yang cemerlang. Guru yang
mempunyai budaya profesionalisme yang tinggi akan dapat merealisasikan aspirasi negara.
golongan ini akan memainkan peranan dengan cemerlang dalam melahirkan modal-modal
insan yang cemerlang. Modal insan yang cemerlang ini adalah harapan negara yang akan
memacu kemajuan dan memelihara keharmonian dan keamanan negara. Modal insan ini juga
adalah generasi penyambung kecemerlangan alam pendidikan di negara ini.
Guru yang berada di tahap profesion keguruan yang baik akan dapat membuatkan
kemenjadian pelajar yang tinggi. Hal ini kerana guru tersebut mempunyai telah dilengkapi
dan disediakan dengan ciri-ciri professional seorang guru. Guru yang profesional
mempunyai akauntabiliti diri dan kerja yang tinggi. Selain itu, guru tersebut mempunyai
integriti dan etika guru yang baik. Akan lahir minat untuk belajar dalam diri murid atau
pelajar yang dididik oleh seorang guru yang profesional. Hal ini kerana guru tersebut akan
merancang dan memastikan beliau dapat menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang
berkesan. Menurut Syed ismail dan Ahmad (2012) guru berakauntabiliti mendidik murid
untuk persediaan kehidupan mereka pada masa depan. Hubungan guru yang baik dengan
murid yang berteraskan keihklasan dan sifat penyayang akan memberi impak yang baik.
Implikasi peningkatan profesion keguruan yang seterusnya adalah kepada masyarakat.
Peranan guru bukanlah terbatas kepada komuniti dan masyarakat dalam sekolah sahaja, tetapi
guru yang juga sebagai agen perubahan berperanan membawa perubahan dalam masyarakat.
Menurut Syed Ismail dan Ahmad (2012), sebagai agen perubahan guru perlu membawa ilmu
pengetahuan dan mengajarkannya kepada masyarakat. Guru yang berakauntabiliti terhadap
masyarakat akan mengubah cara hidup masyarakat dengan memberikan pelbagai ilmu
pengetahuan yang boleh diadaptasi dan diamalkan oleh masyarakat dalam kehidupan harian
mereka.
Cadangan
Jika menginginkan kesempurnaan atau yang terbaik pada sesuatu perkara, maka
penambahbaikkan kepada perkara tersebut perlu sentiasa dilakukan. Untuk melaksanakan
penambahbaikkan pula perlu kepada cadangan-cadangan yang baik dan bernas. Terdapat
banyak cadangan untuk penambaikkan profesion keguruan yang boleh diambil. Antaranya,
pertama kursus peningkatan profesionalisme. Menurut Mok Soon Sang (1996) guru hari ini
hendaklah sentiasa berusaha melengkapkan diri dengan mengemaskini ilmu pengetahuan dan
kemahiran mengajar dari semasa ke semasa. Sehubungan dengan itu, guru hendaklah
mengikuti kursus-kursus pendidikan yang dianjurkan oleh ihak Kementerian Pendidikan,
Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah, misalnya Kursus Dalam
Perkhidmatan atau Kursus Peningkatan Profesionalisme Keguruan.

Cara yang seterusnya untuk meningkatkan profesion perguruan ialah dengan
meningkatkan akauntabiliti pendidik itu sendiri. Ini merupakan nilai yang terpenting untuk
membezakan guru yang komited dengan guru yang bermasalah. Kerja mendidik membawa
konotasi moral kepada orang yang menjalankan tugas ini perlu bertanggungjawab kepada diri
sendiri kerana mereka akan dipersoalkan sekiranya sesuatu tanggungjawab itu diabaikan. Jika
seseorang guru mempunyai akauntabiliti yang tinggi maka ia juga akan mempengaruhi
profesionalisme guru dan secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi profesionalisme
guru.

Cadangan seterusnya ialah, teknik pengajaran dalam bilik darjah yang berkesan. Guru
harus sentiasa mampu membawa perubahan dan penyesuaian teknik pengajaran dan
pembelajaran demi meningkatkan prestasi dan memberi perkhidmatan bermutu tinggi dalam
bidang profesion guru. Usaha ini boleh dijalankan dengan menguasai beberapa kaedah asas
seperti menjalankan kajian terhadap keberkesanan aktiviti pengajaran dan pembelajaran
mereka dalam bilik darjah, menggunakan teknik refleksi dan menguasai kemahiran penilaian
kendiri untuk mempertingkatkan kemahiran pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.
(Mok Soon Sang, 1996)

Guru juga harus berkualiti dari segi kerohanian untuk meningkatkan lagi
profesionalisme guru. Guru yang berkualiti kerohaniannya terdiri daripada mereka yang
memiliki sifat-sifat berikut iaitu memiliki sahsiah atau tingkah laku yang baik atau terpuji.
Antara ciri-ciri seorang guru yang mempunyai sahsiah baik ialah menjalankan tugas tepat
pada masanya, ikhlas dalam menjalankan tugas, menghormati rakan sejawat serta pelajar,
rajin dan lain-lain. Nilai tara sahsiah atau tingkah laku yang baik ini sudah terkandung dalam
etika dan profesion perguruan. Dalam pembentukan Falsafah Pendidikan Negara, agama
diletakkan ditempat yang tertinggi. Pegangan agama yang kuat akan menyebabkan seseorang
guru bertanggungjawab terhadap tugasnya, berilmu, berprinsip serta amanah. Guru itu juga
harus berkualiti dari segi rohani iaitu mempunyai penampilan dan imej diri yang baik melalui
cara berpakaian, tingkah laku dan tutur kata. Seseorang guru perlu memiliki tubuh badan
yang baik agar dapat menjalankan tugas dengan berkesan.


Untuk meningkatkan profesion keguruan, perlu kepada pendidikan kearah
perkembangan kendiri. Menurut H.V Perkins dalam bukunya Human Development and
Learning (1974) dalam Mok Soon Sang (1996), konsep diri (konsep kendiri) terdiri daripada
persepsi, kepercayaan, sikap serta nilai yang khusus yang dipegang oleh seseorang individu
tentang dirinya. Maka, konsep ini sememangnya mempengaruhi segala tingkah laku seorang
individu dalam alam sekitar sedikit sebanyak mencerminkan konsep dirinya.

Cadangan seterusnya, disyorkan pusat atau kelab guru diwujudkan. Kelab ini
dikendalikan oleh semua golongan pendidik dan bertujuan menjaga kepentingan professional
guru-guru temasuklah guru-guru pelatih yang menjalani latihan dalam sesebuah kawasan.
Menerusi badan ini bolehlah dikelolakan seminar dan bengkel tentang pengajaran dan
perkara-perkara berkaitan dengan pendidikan. Guru-guru juga boleh mendapat saluran untuk
berbincang dan bertukar-tukar fikiran tentang perkara-perkara yang mereka sama-sama alami,
seperti pengajaran untuk KBSM. Dengan wujudnya kelab ini khususnya guru pelatih, maka
dapatlah mereka sokongan dan bimbingan daripada rakan-rakan sejawat atau yang
berpengalaman dalam perkara-perkara tertentu. Seandainya segala usaha tersebut
dilaksanakan, maka ia dengan sendirinya akan menggalakkan perubahan yang besar dalam
sistem pendidikan kita. Ia meminta guru-guru memikirkan bersama-sama dengan pembuat
dasar di Kementerian Pelajaran cara-cara untuk merubah dan meningkatkan mutu pengajaran
di sekolah-sekolah.(Robiah Sidin , 1994).

Seterus, guru perlu berkongsi maklumat yang bermanfaat, kemahiran dan kepakaran
dengan orang lain, kerana guru yang cemerlang akan berkongsi matlamat yang sama dengan
pemimpin dan guru-guru lain untuk melahirkan sekolah yang cemerlang dan berkesan. Guru
yang profesional akan menjalankan tugas berkumpulan dengan aman dan harmoni kerana
mereka boleh berkerja bersama, saling bantu membantu dan sebagainya dalam meningkatkan
kecemerlangan sekolah dan warganya. Menurut Syed Ismail dan Ahmad (2012) kesediaan
dan kesanggupan guru berkongsi kepakaran dan pengetahuan bersama guru lain sudah pasti
dapat mengekalkan dan meningkatkan kecemerlangan potensi dirinya. Menurut mereka lagi,
untuk mencapai matlamat ini, guru mestilah mempuyai kesedaran diri yang tinggi dan
bersedia untuk berkongsi kepakaran yang dimilikinya bersama komuniti persekitarannya.
Perkongsian kepakaran ini boleh dilaksanakan melalui Program Dalam Latihan atau juga
dikenali sebagai Program Perkembangan Staf. Perkongsian kepakaran bukan sahaja boleh
dikongsi dalam komuniti sekolah, malah perlu dikongsi dengan komuniti pendidikan yang
lebih meluas. Sebagai contoh, guru boleh berkongsi kepakarannya dengan menawarkan diri
sebagai fasilitator atau penceramah dalam kursus motivasi guru-guru baharu anjuran Jabatan
Pelajaran Negeri (JPN) dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD). Usaha ini membolehkan guru
berkongsi kepakarannya bersama rakan sejawat yang baharu. (Syed Ismail dan Ahmad,
2012).




Selain itu, untuk meningkatkan profesion keguruan, pengamalan dan budaya refektif
perlu lebih diperkukuh. Menurut Syed Ismail dan Ahmad (2012), guru perlu meningkatkan
profesionalisme diri melalui pelbagai strategi amalan reflektif agar dapat memikul
tanggungjawab tersebut. Menurut mereka lagi, amalan reflektif adalah sangat penting dalam
pembentukan profesionalisme keguruan. amalan ini akan bertindak serta mempunyai
hubungan dan kesinambungan dalam mengekalkan serta membentuk peribadi professional
dalam diri setiap guru. Guru sebagai pemangkin perlu memberikan pendedahan amalan
reflektif kepada murid supaya mereka dapat membina daya pemikiran yang analitikal, kritis,
dan kreatif bagi menghadapi perubahan-perubahan semasa.


Rumusan

Guru yang mempunyai ciri-ciri professional, beretika dan berakauntabiliti amat penting
kerana ia memberi kesan positif atau implikasi baik yang banyak kepada banyak pihak yang
berkaitan secara langsung dan tidak langsung dengan dunia pendidikan. Dapat dilihat,
semenjak dahulu lagi pelbagai usaha telah digembleng dan dilaksana bagi memartabatkan
profesion keguruan dan sistem pendidikan negara. Usaha tersebut berterusan pelaksanaannya
sehingga kini dengan penambah baikkan hasil daripada penyelidikan-penyelidikan yang
dibuat terhadap profesion keguruan dan sistem pendidikan di negara ini. Warga pendidik
yang kehidupan kerjayanya adalah dalam dunia pendidikan. Modal insan yang cemerlang
adalah hasil didikan daripada pendidik yang cemerlang dengan ciri-ciri profesionalisme guru
yang cemerlang. Etika keguruan yang tinggi, akauntabiliti, integriti dan sebagainya. Profesion
keguruan yang baik akan mampu meningkatkan sistem pendidikan negara. hal ini kerana
kedua-duanya adalah elemen yang berkait rapat dalam dunia pendidikan.