Anda di halaman 1dari 13

Pengintergrasian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) mendatangkan manfaat

dan impak yang besar terhadap pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di sekolah
rendah. Namun begitu, terdapat pelbagai masalah yang menjadi kekangan bagi
memanipulasikan teknologi ini.

Pengenalan

Penggunaan teknologi maklumat dalam kehidupan pada masa kini telah menjadi suatu
yang penting dan sangat memerlukan. Teknologi maklumat juga dapat membantu manusia
memudahkan melakukan sesuatu perkara. Penggunaan teknologi pada abad ke 21 ini dapat
dilihat semakin meluas sama ada dalam bidang perniagaan, pembangunan malah kini yang
menjadi tumpuan adalah penggunaan teknologi maklumat dalam bidang pendidikan. Kerajaan
kini memandang serius berkenaan pengintegrasian teknologi maklumat dalam pendidikan
melalui matapelajaran yang diajar. Dengan penggunaan teknologi maklumat secara menyeluruh
mampu meningkatkan tahap kemahiran pelajar-pelajar untuk mendapat maklumat dengan
berkesan. Hjetland (1995) menyatakan bahawa Technology can make our lives
easier.Everyday tasks are simplified. Beliau juga menyatakan bagaimana teknologi dapat
mempermudahkan tugas serta meningkatkan prestasi guru seperti penggunaan teknologi untuk
kerja-kerja pengurusan dan kerja-kerja pengajaran pembelajaran.
Setiap aspek kehidupan manusia semakin dihimpit dengan computer. Justeru itu,
penggunaan komputer dalam pendidikan juga menjadi semakin dominan. Kita kini dikatakan
berada dalam satu masa perubahan iaitu dari zaman industri ke zaman informasi. Dunia tanpa
sempadan, IT, ICT, e, siber, global, dalam talian, pintar, rangkaian, dan pelbagai lagi istilah
yang sekiranya gagal untuk difahami menyebabkan kita seolah-olah berada di dunia lain.
Justeru itu, penggunaan teknologi maklumat seharusnya bukanlah lagi menjadi sesuatu yang
asing dalam pendidikan. Menurut Ahmad Fuad (2003), menyatakan bahawa dalam konteks
pendiidkan, teknologi maklumat merupakan satu rangkaian elektronik untuk mencari,
mengumpul, menyimpan, memproses, menyalur dan menyampai maklumat secara efektif,
pantas dan banyak untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran. Sehubungan itu
juga, kejayaan ICT dalam pendidikan khususnya bukan hanya terletak pada teknologi tetapi
juga melibakan faktor lain seperti pendekatan pedagogi, subjek yang diajar, jenis pelajar, tahap
pencapaian pelajar, keperluan pelajar, guru dan persekitaran bilik darjah. Pendekatan
penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran membolehkan bilik darjah
bertemu dengan dunia nyata serta membolehkan pelajar-pelajar meneroka mencari maklumat.

Dalam menjayakan penggunaan teknologi maklumat dalam proses pengajaran dan
pembelajaran memerlukan gandingan semua pihak sama ada pihak sekolah mahu pun pihak
masyarakat. Di sekolah, guru terutamanya perlu yakin bahawa terdapat banyak kebaikan dan
kepentingan penggunaan ICT atau teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran.
Guru juga perlu mempelajari serta diberikan kemahiran yang mencukupi untuk menggunakan
peralatan ICT secara cekap dan efektif. Kebanyakan sekolah-sekolah yang mempunyai guru-
guru yang telah lama berkhidmat, terdiri daripada mereka yang masih berada di tahap perlu
belajar dan perlu bimbingan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam ICT.
Keupayaan seseorang untuk menggabungkan teknologi maklumat dalam pengajaran bukan
berlaku secara automatis, tetapi memerlukan kepada usaha yang berterusan yang penuh
dengan minat. Pengetahuan dan kemahiran dalam ICT tidak menjamin pengintergrasiannya
dalam kurikulum dan juga pengajaran. Justeru, adalah penting bagi guru-guru untuk membuat
persediaan yang mencukupi agar dapat memenuhi tuntutan dan jangkaan masyarakat untuk
menggabungkan ICT dalam pengajaran. Keyakinan dan efikasi yang tinggi membantu
mempermudahkan proses peningkatan kemahiran dalam pelaksanaan ICT dalam proses
pengajaran dan pembelajaran.

Definisi teknologi maklumat

Teknologi maklumat merupakan satu bidang ilmu yang berasaskan pelbagai disiplin
terutamanya komunikasi dan sistem komputer. Bidang ini merupakan kajian tentang
penggunaan proses dan perkakasan dalam menangani maklumat yang pelbagai bentuk.
Teknologi maklumat (Information Technology) atau IT dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi
(Information and Communication Technology) atau ICT merupakan teknologi yang diperlukan
untuk pemprosesan data. Ruang lingkup tajuk teknologi sangat luas iaitu berkenaan dengan
segala aspek dalam pengurusan dan pemprosesan maklumat. Secara tepat dan mudahnya,
penggunaan komputer dan perisian adalah untuk mengubah, menyimpan, melindungi,
memproses, memindah, melihat dan mendapatkan maklumat tanpa mengira tempat dan waktu.





Pengintegrasian teknologi maklumat dalam pengajaran bahasa

Pengintegrasian teknologi malkumat dalam pengajaran bermaksud proses pengajaran
yang melibatkan penerapan teknologi seperti komputer serta menggunakan bahan bantu
mengajar berunsurkan ICT dalam pengajaran bahasa. Contohnya penggunaan korpus
berkomputer untuk mencari perkataan dan ayat yang berkaitan.

Kekangan Yang Perlu Dihadapi Oleh Guru Bagi Merealisasikan Pengajaran dan
Pembelajaran Bahasa Melayu Melalui TMK

Penggunaan komputer atau bahan teknologi maklumat merupakan satu wadah baru
yang di bawa ke dalam dunia pendidikan. Oleh itu, terdapat kelemahan-kelemahan yang timbul
akibat daripada kekurangan kemahiran dalam pengendalian dan pengurusannya.

Tahap kemahiran guru dalam bidang teknologi maklumat

Penggunaan bahan teknologi maklumat dalam pendidikan khususnya dari segi
pengajaran dan pembelajaran pada masa kini telah menjadi satu perkara yang penting bagi
guru-guru. Penggunaan teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran mampu
meningkatkan kefahaman para pelajar dengan lebih baik. Hal ini dapat kita perhatikan bahawa,
pembelajaran dari segi pencarian maklumat dan bahan-bahan terkini dalam sesuatu topik dapat
dilakukan oleh murid-murid dengan menggunakan alat teknologi maklumat seperti melalui
komputer, internet dan sebagainya.

Penggunaan teknologi maklumat dalam proses pengajaran dan pembelajaran
memerlukan kemahiran seseorang guru untuk mengendalikannya. Oleh yang demikian,
pengintegrasian teknologi maklumat dalam pengajaran bahasa di sekolah rendah mempunyai
beberapa kekangan yang perlu di ambil berat iaitu kekurangan guru terlatih dalam bidang
teknologi maklumat. Guru-guru yang telah lama mengajar dalam bidang bahasa khususnya
kurang berpengalaman dan pendedahan dengan penggunaan ICT. Justeru itu, guru tidak mahir
untuk membuat perancangan pengajaran berdasarkan ICT. Perkara sedemikian menyebabkan
timbul permasalahan di mana pengintegrasian teknologi maklumat dalam pengajaran dan
pembelajaran bahasa tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna. Hal ini akan membantut
perkembangan penggunaan bahan teknologi maklumat khususnya kepada murid-murid.

Penerimaan guru terhadap proses P&P menggunakan teknologi maklumat

Pengintegrasian teknologi maklumat dalam proses pengajaran merupakan salah satu
kaedah pengajaran dan pembelajaran terkini untuk meningkatkan tahap kemahiran guru
menyampaikan sesuatu perkara khususnya dalam pengajaran bahasa. Justeru itu, terdapat
segelintir guru bahasa masih tidak mahu mengikuti serta mengubah kaedah pengajaran
mereka. Perkara ini dapat kita perhatikan bahawa guru-guru bahasa yang telah lama
berkhidmat dalam dunia pendidikan enggan mengubahsuai corak pengajaran dan pembelajaran
mereka yang mana, kaedah guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah
hanya tertumpu kepada penggunaan buku teks serta papan tulis semata-mata dan tidak
mempunyai alternatif kaedah pengajaran bahasa yang lain. Sesetengah guru merasakan
penggunaan kaedah pengajaran tradisional sudah cukup untuk menyediakan pengajaran dan
pembelajaran yang berkesan di dalam bilik darjah.
Selain itu, terdapat guru-guru yang tidak memahami nilai penggunaan teknologi
maklumat ini menyebabkan mereka malas untuk belajar serta mendalami ilmu teknologi
maklumat. Penggunaan teknologi maklumat seolah-olah memberi satu bebanan kepada
mereka ketika sesi pengajaran dan pembelajaran. Menurut (Norizan Abdul Razak, 1997) dalam
kajian kesediaan guru menggunakan teknologi maklumat dalam pengajaran bahasa
membuktikan bahawa guru-guru masih lagi ragu-ragu dan takut untuk menggunakan komputer
dalam pengajaran mereka. Perkara ini menjadi salah satu perkara yang membantutkan
pengintegrasian teknologi maklumat dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa di
sekolah. Terdapat guru-guru yang berminat untuk belajar tetapi berputus asa kerana
merasakan sukar untuk menguasai bidang teknologi maklumat.

Kemudahan teknologi yang berkaitan tidak mencukupi

Proses pengintegrasian teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran
memerlukan prasarana yang mencukupi seperti kemudahan makmal komputer, peralatan
berkaitan dengan penggunaan teknologi maklumat, serta penyediaan dan penyelenggaraan
komputer yang mencukupi dan lancar. Sistem penyelenggaraan bahan teknologi maklumat di
sekolah yang tidak cekap menjadi salah satu punca permasalahan pengintegrasiaan ini tidak
dapat dilaksanakan dengan baik. Sehubungan itu juga, peruntukan kewangan yang lambat
serta tidak mencukupi untuk proses penyediaan kemudahan teknologi maklumat di sekolah-
sekolah tertentu menjadi salah satu punca timbulnya permasalahan dalam proses
pengintegrasian . Komputer yang digunakan di sekolah juga sering rosak dan ketinggalan dari
segi kapasiti dan teknologi. Di samping itu, terdapat kekangan dari segi sistem selenggaraan
komputer yang tidak cekap di sekolah. Masalah bilik komputer juga sering mengganggu
kelancaran penggunaan komputer dalam pengajaran. Terdapat guru bahasa yang tidak dapat
menggunakan bilik komputer kerana sering digunakan oleh kumpulan murid lain.

Penerimaan teknologi oleh murid

Penggunaan komputer dalam pengajaran dapat menambahkan minat murid terhadap
pengajaran bahasa. Walau bagaimanapun, murid yang pandai lebih berminat dalam pengajaran
apabila guru menggunakan komputer didalam pengajarannya. Bagi pelajar yang lemah pula,
mereka kurang menunjukkan minat dalam pembelajaran bahasa walaupun guru menggunakan
komputer. Penguasaan menulis karangan kurang berkesan jika menggunakan komputer. Dalam
hal ini, pembinaan dan penggunaan bahan pembelajaran perlu lebih menekankan aspek
multimedia dan interaktif bagi memberikan kesan yang lebih kepada murid-murid. Murid - murid
juga berminat jika menggunakan bahan internet di dalam pengajaran.

Kurikulum berasaskan peperiksaan

Antara masalah yang dihadapi guru dalam mempelbagaikan kaedah pengajaran di
dalam kelas adalah bebanan kurikulum. Sukatan pelajaran yang terlalu banyak menyebabkan
guru tergesa-gesa untuk menghabiskan silibus sebelum berakhir tempoh satu tahun. Oleh itu
guru terpaksa menggunakan kaedah tradisi bagi memastikan silibus dapat dihabiskan dalam
tempoh tersebut. Hal ini menyebabkan guru kurang masa untuk merancang pengajaran mereka
dengan lebih kreatif dan inovatif.

Salah satu faktor yang menjadi penghalang kepada pencapaian matlamat tersebut ialah
sistem pendidikan kita yang secara umumnya masih lagi berorientasikan peperiksaan. Sistem
pendidikan yang berorientasikan peperiksaan juga merupakan penghalang utama kepada
usaha pemupukan kreativiti dalam bilik darjah.Yong (1989) berpendapat bahawa walau pun
pelbagai usaha telah dijalankan untuk memajukan proses pengajaran guru, sekolah masih lagi
cenderung untuk menghasilkan para murid yang berorientasikan peperiksaan. Walaupun dalam
KBSR dan KBSM telah dinyatakan bahawa fungsi peperiksaan dan penilaian bukan sahaja
untuk menentukan taraf pencapaian pelajar tetapi juga untuk membantu memperbaiki lagi
proses pengajaran-pembelajaran di bilik darjah tetapi hakikat sebenarnya ialah penekanan
pembelajaran di sekolah masih lagi tertumpu kepada fakta-fakta untuk dihafal dan seterusnya
digunakan dalam peperiksaan, lantaran itu aspek pemikiran sama ada kreatif atau kritis
dipinggirkan.

Selain daripada itu, penekanan kepada peperiksaan terutamanya peperiksaan piawai
bagi keseluruhan pelajar di akhir tahun KBSR dan KBSM juga telah menyebabkan guru lebih
cenderung untuk melaksanakan proses pengajaran yang berpusatkan guru kerana kaedah
pengajaran yang berpusatkan guru terbukti lebih berkesan untuk menghasilkan pelajar yang
akan mendapat markah yang tinggi dalam peperiksaan (Toh, 2003). Seterusnya, guru yang
berjaya menghasilkan bilangan murid yang ramai mendapat keputusan yang cemerlang dalam
peperiksaan biasanya akan dilihat sebagai guru yang berkesan(Toh, 2003). Disebabkan itu
guru mendapati sukar untuk mengadaptasikan diri dengan KBSR dan KBSM yang berpusatkan
pelajar kerana mereka begitu menghayati kaedah pengajaran yang lama yang lebih
berpusatkan guru. Kesan negatif penekanan terhadap peperiksaan terhadap pembangunan
kreativiti pelajar begitu mendalam sekali, sehinggakan Yong (1989) tanpa ragu-ragu telah
menyatakan this emphases have taken a heavy toll on the creativity of Malaysia
students(m.s. 20). Gardner (1991) menyatakan bahawa tempoh umur antara dua hingga tujuh
tahun merupakan tempoh yang kritikal untuk kreativiti diluahkan. Walau bagaimanapun sebaik
sahaja murid memasuki alam persekolahan mereka menjadi kurang inovatif dan lebih berhati-
hati.

Jurang Digital

Terdapat jurang yang ketara dari segi taburan dan penggunaan ICT di antara
Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak serta antara Lembah Klang dan kawasan lain di
Malaysia. Masalah ini jika tidak diatasi segera boleh membantut usaha kerajaan melahirkan
individu yang berpengetahuan yang seterusnya membentuk masyarakat berpengetahuan.

Ancaman Siber

Ancaman siber merupakan masalah yang sering di hadapi oleh pengguna komputer
pada masa kini memandangkan kebanyakkan komputer mempunyai sambungan pada
rangkaian internet di mana ia merupakan pusat yang menghubungkan berjuta-juta pengguna
komputer di seluruh dunia secara terbuka. ICT dan internet yang sangat dinamik dan cepat
berubah juga merupakan faktor penyumbang kepada ancaman siber. Apa yang pasti kesan
ancaman ini boleh merebak secara global dalam masa yang singkat.
Bagaimanapun,ancaman atau aktiviti yang tidak sihat ini tidak seharusnya menjadi penghalang
untuk kita menjauhkan diri daripada internet kerana ia menjadi keperluan penting dewasa
ini.Maka amatlah penting para guru dan pengguna untuk mempunyai asas dan pengetahuan
mengenai keselamatan dunia siber dalam penggunaan komputer dan perkhidmatan komputer.

Cara-cara Mengatasi Kekangan Yang Dihadapi Oleh Guru Bagi Merealisasikan Pengajaran dan
Pembelajaran Bahasa Melayu Melalui TMK

Pengajaran bahasa akan menjadi lebih menarik, bermakna dan produktif dengan
pengabungjalinan penggunaan multimedia serta komputer. Hal ini demikian kerana bahan
teknologi maklumat biasanya menggabungkan teknik suara, bunyi, gambar, video serta teks
yang pelbagai untuk mewujudkan persekitaran yang baru disamping kaya dengan input bahasa.
Kelebihan ini tidak ada pada bahan bantu yang lain seperti buku teks atau bahan yang lebih
bersifat satu hala. Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) adalah diasaskan oleh
perkembangan dan kemajuan pesat dalam bidang mikroelektronik dan menghasilkan pelbagai
kemudahan teknologi seperti komputer peribadi. Telekomunikasi multimedia dan sebagainya.
Kemunculan internet juga telah meluaskan penggunaan ICT dengan jaringan informasi
bersepadu dan diaplikasikan sebagai media komunikasi yang melibatkan teks, bunyi, grafik dan
video.

Membawa Bahasa Melayu dalam konteks masyarakat Melayu di peringkat maya adalah
satu usaha yang perlu dilakukan dengan tekad dan azam yang kuat. Dengan mendotcomkan
bahasa Melayu di dalam gerbang internet akan menyediakan ruang untuk pelunsur
menggunakan bahasa Melayu di internet dan seterusnya meningkatkan imej bahasa Melayu
seiringan dengan bahasa- bahasa seperti Bahasa Inggeris, Peranchis, Jepun dan Cina. Ia
suatu nilai yang penting untuk menangkis segala tanggapan bahawa bahasa Melayu tidak
mampu bersaing atau tiada tempat di persada dunia. Justeru itu, untuk bersaing dengan
bahasa-bahasa utama, Bahasa Melayu harus berkembang dalam menerbitkan istilah-istilah
baru bagi menterjemah istilah-istilah baru yang asing. Istilah-istilah baru seperti tetikus, perisian,
perkakasan, siber, laman, jaringan, internet dan batang bedek telah berjaya diterbitkan dan
digunapakai. Walaupun begitu, keterbukaan sifat bahasa Melayu seharusnya sentiasa dipantau
perkembangannya dengan ketat agar tiada penyelewengan dalam memelayukan istilah-istilah
asing. Bagi mengatasi masalah-masalah ini, semua pihak perlu memainkan peranan mereka.

Peranan Kerajaan

Kerajaan memberikan kesedaran dalam penggunaan komputer untuk mempercepatkan
penerimaan dan penggunaan teknologi maklumat. Perdana Menteri, Dato Seri
MahathirMohamad telah melancarkan Kempen Kesedaran Teknologi Maklumat pada 11
Oktober1977. Kerajaan juga memastikan setiap sekolah, mendapat skim peruntukan
kelengkapan makmal komputer yang cukup kepada semua sekolah terutamanya sekolah-
sekolah di kawasan luar bandar. Selain itu juga, kerajaan perlu menyediakan kursus teknologi
maklumat untuk guru-guru yang bakal mejadi tenaga pengajar di sekolah sama ada di universiti
ataupun kursus-kursus semasa. Kerajaan haruslah peka terhadap keperluan semasa
masyarakat dan sentiasa peka terhadap perubahan teknologi global. Selain itu, kerajaan telah
menjalinkan kerjasama dengan sektor swasta dalam menangani jurang digital di Malaysia.
Kerajaan turut membekalkan komputer riba kepada murid-murid demi untuk melaksanakan satu
rumah satu komputer. Dengan demikian, ia membolehkan masyarakat membudayakan ICT
dalam kehidupan mereka.

Menyedari akan kepentingan keselamatan siber dan ancamannya yang mampu
membawa impak yang besar kepada masyarakat maka kerajaan telah mengambil pelbagai
langkah pencegahan antaranya menubuhkan CyberSecurity Malaysia sebuah badan koordinasi
untuk nisiatif keselamatan siber kebangsaan.

Peranan Sekolah

Strategi untuk menggabungkan dan memantapkan penggunaan ICT dalam P&P bukan
hanya semata-mata terletak di bahu guru sahaja tetapi juga kepada pemimpin sekolah.
Peranan pemimpin adalah amat penting dalam membentuk budaya ICT di sekolah. Mereka
bukan sahaja perlu memberi sokongan dari segi kewangan tetapi juga menjadi model sebagai
pengguna ICT dalam pentadbiran dan memberi respons kepada perubahan. Untuk menerapkan
budaya ICT di sekolah, satu dokumen polisi bertulis seharusnya disediakan. Polisi ini
membantu merekabentuk dan mengurus program ICT bagi membolehkan guru dan murid
menguasai ICT secara teratur dan progresif. Sesebuah polisi tidak perlu statik tetapi perlu
disemak setahun sekali terutamanya apabila tahap kepakaran guru meningkat dan terdapat
perubahan pada dasar dan prosedur Kementerian Pendidikan. Kerangka polisi ICTdibina
berdasarkan kepada matlamat dan perancangan sekolah. Pandangan daripada ibu bapa dan
komuniti, polisi Pejabat Pendidikan Daerah, polisi rasional penyelidikan tentang pengajaran dan
pembelajaran yang efektif dan perkembangan teknologi (Mohammed Sanidan Mohd Jasmy,
2002). Bagi melaksanakan polisi dan matlamat yang telah ditetapkan sekolah harus
menyediakan pelan pembangunan. Heinrich (1995) menyatakan pelan ini
mengandungi aktiviti-aktiviti spesifik seperti strategi pemantauan yang telah ditentukan oleh
Kementerian Pendidikan. Pihak Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah
seharusnya dilibatkan bagi membimbing dan menyokong sekolah untuk membuat pelan
pembangunan ICT dan seterusnya memantau perlaksanaannya.

Pemimpin sekolah harus memastikan prasarana yang lengkap dikendalikan dan
digunakan secara optimum oleh guru semasa P&P dijalankan. Penggunaan makmal komputer
hendaklah mengikut jadual waktu yang ditetapkan oleh pihak pentadbiran agar kekecohan dan
kecelaruan tidak timbul di kalangan guru-guru. Peranan penyelaras ICT mesti dipantau supaya
budaya menyelenggara alat-alat perkakasan sentiasa dilakukan selepas makmal komputer
digunakan. Penyelaras ICT harus peka dan jelas dengan arahan-arahan Kementerian
Pendidikan tetapi dalam melaksanakannya di peringkat sekolah, mereka perlu mengubahsuai
prosedur mengikut kemampuan guru-guru untuk melaksanakannya dengan berkesan.
Pemberian komputer daripada pihak swasta atau atas inisiatif PIBG hendaklah dilengkapkan ke
bilik-bilik darjah sekiranya makmal komputer telah disediakan. Ini akan menambahkan lagi
penggunaan ICT oleh guru semasa proses P&P.

Perkembangan dan pembangunan staf harus diberi perhatian yang lebih oleh pemimpin
sekolah. Pembangunan staf yang melibatkan ICT dan inovasi adalah berdasarkan kepada dua
bidang iaitu penguasaan ICT dan perkembangan aktiviti pembelajaran mengikut keperluan
murid. Perancangan pihak sekolah untuk memberikan kursus-kursus dalaman dan luaran
kepada guru adalah perlu. Untuk itu pengurus sekolah hendaklah sentiasa melakukan
kajiankeperluan untuk mengenal pasti tahap penguasaan guru dalam bidang kemahiran ICT
dan instruksional. Program perkembangan staf amat perlu untuk memastikan guru-guru
menguasai ilmu dan ketrampilan yang diperlukan untuk menggunakan peralatan ICT dan
bagaimana mereka dapat membantu pelajar-pelajar untuk menggunakan dengan betul.
Program ini harus selari dengan polisi ICT dan pelan pembangunan sekolah.

Peranan guru

Menurut Skinner (1974), melalui teori pembelajaran Behaviorisme pembelajaran berlaku
apabila seseorang itu bertindakbalas terhadap sesuatu rangsangan dan kemudiannya diberi
pengukuhan. Sementara teori kognitivisme menegaskan pembelajaran merupakan satu proses
maklumat diterima, diproses dan disimpan dalam pemikiran seseorang. Implikasi ini
menunjukkan maklumat dianggap sebagai objek yang boleh dipindahkan kepada murid (Newell,
1990). Di bawah kerangka behaviorisme dan kognitivisme, guru berperanan sebagai penyampai
maklumat dan memastikan bahawa pelajar telah mempunyai pengetahuan sedia ada. Oleh itu
segala perancangan dibuat mengikut turutan aktiviti supaya objektif pembelajaran tercapai.

Aktiviti pembelajaran yang mengaplikasi teori behaviorisme dan kognitivisme ialah
pembelajaran tutorial yang menggunakan ICT untuk menyampaikan kandungan pelajaran.
Aktiviti ini merangkumi demonstrasi, fenomena yang menggunakan perisian CD Rom, laman
web yang disimpan di dalam cakera keras, latihan yang dikawal oleh sistem dan pembelajaran
ekspositori. Sebahagian besar perisian pendidikan yang digunakan dalam pembelajaran tutorial
direka dalam bentuk berdasarkan kepada model tradisional P&P, model transmisi yang
memperlihatkan guru sebagai penyampai maklumat utama dan murid sebagai penerima (Merill,
1996). Pendekatan seperti ini harus diberi pertimbangan yang teliti oleh guru sebelum ianya
dilaksanakan. Adalah dicadangkan guru perlu menilai setiap perisian yang sesuai sebelum
menjalankan proses P&P serta melakukan persediaan yang rapi dalam penyediaan peralatan
ICT. Kumpulan murid yang cemerlang dan lemah dibahagikan supaya memudahkan guru
membuat penilaian diakhir sesi pengajaran. Kumpulan yang lemah akan diberi latihan yang
berbentuk latih tubi sementara yang cemerlang diberi latihan bebentuk pengayaan. Kesilapan
dalam memberikan pertimbangan boleh mengakibatkan pembaziran masa dan tenaga serta
menghalang penggunaan kemudahan ICT yang lebih produktif.

Teori pembelajaran kontruktivisme memberi tumpuan kepada pembinaan ilmu oleh
individu. Pembelajaran berlaku apabila seseorang itu dapat membina atau menginterpretasi
ilmu serta mengaplikasi dalam situasi yang baru (Piaget, 1981; Brunner, 1990). Dengan kata
lain teori ini memberi penekanan kepada pemikiran kritis, penyelesaian masalah, pengalaman
pembelajaran yang autentik dan pengetahuan yang dibina melalui interaksi sosial. Melalui
pendekatan teori pembelajaran ini, guru berperanan sebagai fasilitator dalam mengendalikan
proses P&P dan menggunakan ICT sebagai alat. Pelbagai strategi pengajaran digunakan untuk
menjana idea serta meningkatkan kemampuan murid untuk memanipulasikan maklumat yang
telah dikumpul. Pembelajaran secara penerokaan boleh digunakan oleh guru untuk
menghubungkan antara teori konstruktivisme dengan P&P. Kaedah pembelajaran ini
membolehkan murid-murid mencari dan mengakses maklumat daripada ensaiklopedia
multimedia atau bahan-bahan daripada internet (Haynes & Holmevik, 1998). Melalui
pengumpulan bahan-bahan ini, maklumat akan digunakan untuk menjana dan menguji hipotesis
dalam penyelesaian masalah.

Perhatian yang lebih perlu diberikan oleh guru apabila menggunakan kaedah
pembelajaran penerokaan. Ini kerana murid-murid mungkin menggunakan terus maklumat yang
diperolehi tanpa memanipulasi (mencari, membanding dan menilai). Dalam proses
pembelajaran ini guru perlu menyediakan soalan-soalan terbuka untuk menjana pemikiran
murid-murid dan menggalakkan pembelajaran secara hafalan (rote learning). Peranan guru
dalam memantau penggunaan aplikasi pemprosesan perkataan, lembaran kerja dan
persembahan adalah perlu untuk mengelakkan pemesongan tumpuan murid daripada perkara
yang lebih penting. Guru perlu memastikan bahawa penggunaan ICT adalah untuk membantu
proses P&P seperti menganalisis maklumat dan bukannya digunakan sebagai mesin taip
elektronik.

Penggunaan ICT sebagai alat komunikasi merupakan serampang dua mata dalam
perkongsian maklumat dan komunikasi. Guru boleh mengambil peluang daripada keupayaan ini
untuk menjalankan pembelajaran kolaboratif di dalam kelas. Kaedah ini digunakan untuk
membolehkan murid dan guru daripada lokasi yang berbeza menghantar, menerima dan
berkongsi maklumat dalam pelbagai bentuk elemen multimedia seperti teks, grafik, audio video
dan animasi. Ini akan mewujudkan hubungan kerja berpasukan di kalangan murid di samping
memantapkan kemahiran berkomunikasi. Namun begitu guru perlu menyediakan garis panduan
yang jelas dan terperinci untuk memastikan disiplin murid semasa penggunaan e-mail, chat
room dan sebagainya dalam pembelajaran kolaboratif. Penilaian boleh dijalankan oleh guru dan
kumpulan pebincangan apabila hasil dibentangkan di dalam kelas. Ini akan menggalakkan
percambahan pemikiran dan memantapkan kemahiran berfikir serta komunikasi murid-murid.
Strategi guru menggunakan ICT dalam proses P&P harus selaras dengan isi kandungan mata
pelajaran dan menekankan implikasi atau hasil pembelajaran yang diharapkan berdasarkan
tahap murid.

Peranan pelajar

Pelajar menggunakan pemprosesan perkataan untuk menyediakan laporan-laporan
aktiviti untuk aktiviti pengayaan, tugasan serta projek. Pelajar boleh mengulangi tutorial
mengikut keperluan, kemampuan dan kadar sendiri. Aktiviti dijalankan sama ada secara
individu dengan akses kendiri atau dalam kumpulan kecil. Pelbagai projek di sediakan dalam
muka indeks laman web untuk membolehkan pelajar mengakses maklumat daripada World
Wide Web seperti tugasan mencari jurubina-jurubina terkenal di dunia, bangunan-bangunan
bersejarah yang menarik, mencari URL laman berkaitan. dengan Seminar Teknologi Maklumat
dan Komunikasi Dalam Pendidikan, MPBL, 2002 pelan dan dongakan serta murid
berkomunikasi dengan pelajar di sekolah yang sama atau dari sekolah yang lain melalui e-mail
untuk mengongsi maklumat yang ditemui sama ada untuk tujuan perbincangan atau memberi
cadangan pelaksanaan tugasan /projek . Maklumat ini disimpan dalam laman web untuk
diakses oleh murid yang lain. Misalnya dalam pautan e-mail murid dan cadangan murid.

Peranan Masyarakat

Untuk memantapkan integrasi ICT dalam proses P&P sekolah harus menggunakan
pelbagai perkhidmatan luar seperti pihak swasta, kerajaan, badan akademik, komersial serta
komuniti setempat. Pusat Sumber Pendidikan Negeri merupakan sumber rujukan yang paling
relevan untuk mendapat khidmat nasihat mengenai teknik dan kaedah P&P menggunakan ICT.
Teknik perkongsian pintar antara sekolah dan sektor swasta boleh digunakan sebagai strategi
untuk meningkatkan kemahiran ICT guru dan semua warga sekolah. Sekolah harus
menggunakan peluang yang ada dalam komuniti setempat dari segi mendapatkan sumbangan
dalam bentuk tenaga pakar untuk membantu guru-guru dalam menjadikan penggunaan ICT
dalam P&P secara berkesan.





Penutup

Sistem pendidikan sekolah di Malaysia hari ini dikatakan dapat menyediakan murid-
murid yang serba boleh bagi menghadapi masa depan yang lebih mencabar. Dari masa ke
semasa, kerajaan akan sentiasa mencari jalan supaya pendidikan di Malaysia dapat
dipertingkatkan. Dalam keghairahan mengguna teknologi maklumat dalam pendidikan, kita
harus berwaspada terhadap bahaya dan kesan negatif akibat penggunaan yang tidak terkawal.
Walau apapun pandangan kita, penggunaan teknologi maklumat dalam pengajaran dan
pembelajaran sedikit sebanyak sudah pasti akan mengubah corak pendidikan masa depan dan
tingkah laku kanak- kanak. Oleh itu, pengawalan dan pengawasan yang rapi harus diberikan
apabila menggunakan teknologi canggih ini.

Perkembangan ICT dalam bidang pendidikan ini memberi kesan besar kepada usaha
membangunkan Malaysia sebagai sebuah ekonomi berasaskan pengetahuan yang berdaya
saing. Memandangkan ICT merupakan antara penentu utama dalam proses pembangunan bagi
meningkatkan ekonomi maka ICT dilihat mampu memperkasakan ekonomi penduduk melalui
kejayaan dalam pendidikan.

Anda mungkin juga menyukai