Anda di halaman 1dari 3

DAKWAH GUNA BIOINFORMATIK FOKUS SEMINAR

Source: Berita Harian-EKO


Date: 03/02/2005
Page No.: 09
Byline: Karim Sulaiman


KEKUATAN tamadun Islam sehingga kurun ke-13 Masihi sebenarnya bukan terletak
semata-mata kepada kekuatan ketenteraan, sebaliknya banyak bergantung kepada
kekuatan penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi yang diperkukuhkan dengan
keimanan dan ketakwaan.

Justeru, umat Islam perlu menyedari hakikat ini dan merebut peluang yang
disediakan oleh teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk mengejar kembali
mereka yang lama maju.

Dakwah melalui ICT perlu dipertingkatkan bagi disesuaikan dengan perkembangan
zaman.

Konsep tekno-daei ini adalah pemikiran yang dicetuskan Institut Kefahaman Islam
Malaysia (IKIM) sejak 2002.

Bagi menerus dan mengembangkan konsep itu, Ikim akan mengadakan Seminar
Islam Hadhari: Bioinformatik sebagai Alat Dakwah. Ia adalah lanjutan perbincangan
mengenai konsep tekno-daei dengan memberikan penumpuan khusus kepada
aplikasi teknologi bioinformatik.

Seminar pada 15 dan 16 Februari ini akan dirasmikan Pengerusi IKIM, Tan Sri Dr
Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Bioinformatik lahir daripada gabungan dan penumpuan dua teknologi iaitu
bioteknologi serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Penggunaan bioinformatik pada asalnya digunakan bagi penyelidikan dan
pembangunan (R&D). Ia mendapat perhatian meluas sewaktu berlangsungnya
Projek Genom Manusia pada dekad terakhir abad ke-20.

Kini, aplikasi bioinformatik diperluaskan dalam pelbagai bidang lain berkaitan biologi
seperti kesihatan, farmasi, dietari dan fisiologi.

Wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw mengandungi satu
fakta mengenai embriologi.

Malah, ada banyak ayat dalam al-Quran yang memperkatakan cabang biologi ini.

Persoalannya sekarang, bagaimanakah cara terbaik bagi umat Islam memanfaatkan
pelbagai maklumat biologikal yang diberikan Allah menerusi al-Quran, di samping
pelbagai sunnah Rasulullah saw yang menekankan aspek biologi ini?

Apa yang jelas, bidang bioinformatik menyediakan platform sesuai untuk
memuatkan maklumat dari al-Quran dan sunnah untuk dijadikan alat berkesan untuk
menjayakan dakwah Islamiah.

Justeru, fokus seminar ini kepada cara untuk menggunapakai bioinformatik bagi
tujuan dakwah.

Seminar itu antara lain bertujuan;

Membincangkan peranan teknologi bioinformatik dalam penyampaian ilmu
pengetahuan menerusi dakwah;

Membincangkan kepentingan teknologi bioinformatik kepada kemajuan
ummah.

Membincangkan rangka kerja bagi mengasaskan bioinformatik Islam di
peringkat kebangsaan.

Sebelas kertas kerja akan dibentang dalam seminar empat sesi itu.

Sesi pertama membincangkan konsep tekno-daie menggunakan bioinformatik yang
bakal dipengerusikan Timbalan Dekan Institut Pengajian Siswazah Universiti Malaya
(UM), Prof Dr Ramli Abdullah.

Kertas kerja yang akan dibentangkan adalah Manfaat Kepada Dakwah Islamiah Hasil
Penumpuan Bioteknologi dengan ICT oleh Pengarah Agrobio Universiti Putra Malaysia
(UPM), Prof Dr Makhdzir Mardan.

Kertas lain adalah Mewujudkan Sinergi di Antara Pendakwah dengan Ahli Biologi Bagi
Merealisasikan Gerakan Tekno-Daie oleh Felo Kanan Pusat Sains dan Teknologi Ikim,
Shaikh Mohd Saifuddeen Shaikh Mohd Salleh serta Menggunakan Bioinformatik
Secara Strategik untuk Dakwah Islam oleh Prof Madya Dr Juhana Salim dari Jabatan
Sains Maklumat, Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat Universiti Kebangsaan
Malaysia.

Sesi kedua pula membincangkan mengenai al-Quran dan bioinformatik yang akan
dipengerusikan Dekan Kulliyyah Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Universiti
Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Mohd Adam Suhaimi.

Tiga kertas kerja dibentangkan dalam sesi ini iaitu Mesej-mesej Biologi Dalam al-
Quran oleh Presiden Persatuan Perubatan Islam Malaysia, Prof Madya Dr Abdul Latiff
Mohamed.

Prof Madya Dr Zulkifli Mohd Yusoff dari Jabatan al-Quran dan al-Hadis Akademi
Pengajian Islam, UM pula bakal membentangkan kertas kerja Visualisasi al-Quran:
Aplikasi Dalam Rawatan Pesakit.

Kertas kerja, Pengetahuan Tentang Fisiologi Islam daripada al-Quran;

Untuk Ibadah dan Dakwah dibentangkan Prof Dr Abdul Manan Mat Jais dari Jabatan
Sains Bioperubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM.

Pada sesi ketiga yang membincangkan aspek al-sunnah dan bioinformatik yang
dipengerusikan Felo Kanan Pusat Ekonomi dan Kajian Sosial Ikim, Siti Fatimah Abdul
Rahman, tiga lagi kertas kerja akan dibentangkan.

Kertas kerja pertama adalah Mesej-mesej Biologi di dalam al-Sunnah yang bakal
dibentangkan oleh Penolong Prof Dr Habeeb Rahman Ibramsa dari Jabatan Quran
dan Sunah, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan UIAM.

Che Wan Jasimah Wan Mohamed Radzi dari Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi,
Fakulti Sains UM pula akan membentangkan kertas kerja Maklumat Mengenai
Pemakanan Sihat dan Pengubatan Menerusi al-Sunnah.

Kertas kerja Memanfaatkan Bioinformatik Untuk Menyampaikan Pengajaran daripada
al-Sunnah pula bakal dibentangkan Timbalan Pengarah Institut Multimedia dan
Perisian UPM, Prof Madya Dr Suhaimi Napis.

Seminar itu diakhir dengan sesi yang membincangkan potensi bioinformatik kepada
dakwah yang bakal dipengerusikan Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Nik Mustapha
Nik Hassan.

Dua kertas kerja akan dibentangkan pada sesi ini iaitu Menyampaikan Kefahaman
Tentang Maqassid al-Syariah Melalui Bioinformatik oleh Dekan Fakulti Farmasi
Universiti Teknologi Mara, Prof Dr Abu Bakar Abdul Majeed.

Kertas kerja terakhir adalah Menggunakan Bioinformatik untuk Menyalurkan
Maklumat Tentang Makanan dan Barangan Gunaan Islam oleh Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Mustafa Abdul Rahman.

Penyertaan seminar dibuka kepada golongan akademik, pendakwah, pelajar,
kalangan profesional ICT dan orang ramai. Yuran bagi menyertai seminar adalah
RM200 seorang.

Untuk keterangan lanjut, hubungi Sarina Othman atau Mohd Sholihin Mohamad pada
03-62046320/321/322/323 atau 03-62046201 (faksimile) atau sarina@ikim.gov.my
/ sholihin@ikim.gov.my

Anda mungkin juga menyukai