Anda di halaman 1dari 2

Refleksi

Daripada pemerhatian yang telah saya buat di sekolah ini, terdapat beberapa cadangan
yang boleh dilakukan di sekolah ini dalam mencapai hasrat FPK.
Pertama, pihak pentadbiran terutamanya Guru Besar perlu sentiasa memantau dan
menilai pengajaran guru serta memantau kemajuan murid. Guru Besar juga boleh memberi
sedikit ganjaran untuk guru supaya guru-guru di sekolah ini lebih bersemangat untuk mengajar.
Selain itu, Guru besar juga hendaklah menyediakan insentif untuk murid supaya timbul rasa
minat dalam kalangan murid untuk terus bersaing secara sihat antara satu sama lain. Sekiranya
perkara ini dilakukan, saya pasti FPK akan tercapai dengan jayanya kerana guru-guru dan
murid-murid mendapat suntikan semangat melalui insentif dan ganjaran yang diberikan oleh
Guru Besar.
Kedua, Guru Besar perlu turut sama terlibat dengan perlaksanaan aktiviti-aktiviti yang
dirancang di sekolah. Guru Besar yang cemerlang akan sentiasa memberikan sokongan dan
galakan kepada guru-guru untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih baik dan
menarik minat murid-murid untuk belajar. Penglibatan secara langsung Guru Besar dengan
organisasi sekolah amat penting dalam mewujudkan suasana dan iklim sekolah yang harmonis
dan damai selaras dengan kehendak FPK.
Ketiga, pihak sekolah berperanan penting dalam melaksanakan matlamat FPK ini
dengan meningkatkan keberkesanan dan pelaksanaan program pengajaran dan pembelajaran
di dalam kelas. Sebagai contoh, peranan sekolah menaiktarafkan pusat sumber sekolah
dengan menambah bilangan buku dan kemudahan-kemudahan di dalam pusat sumber seperti
alat penghawa dingin, sudut kognitif dan sudut bacaan akhbar dapat menarik minat murid dan
guru-guru untuk ke sana. Jadi hal ini dapat meningkatkan ilmu pengetahuan murid-murid
selaras dengan matlamat FPK yang ingin melahirkan warganegara yang berilmu pengetahuan.
Dari aspek rohani, pihak sekolah boleh menubuhkan persatuan agama Islam, kelab
Tarannum dan banyak lagi di sekolah untuk mewujudkan keseimbangan perkembangan mental
(akademik) dengan perkembangan sosial, jasmani, dan rohani murid-murid sejajar dengan
kehendak FPK. Murid-murid juga dapat mengisi masa lapang dengan perkara yang berfaedah
serta dapat melahirkan kesejahteraan diri dengan penglibatan mereka di dalam aktiviti ini.
Kesimpulannya, berdasarkan kepada semua huraian diatas, maka ternyatalah bahawa
kejayaan sesebuah sekolah dalam merealisasikan FPK adalah bergantung kepada aspek pihak
pentadbiran, prasarana, aktiviti kurikulum dan kokurikulum. Semua aspek ini akan menentukan
modal insan yang bakal dihasilkan sama ada memenuhi hasrat FPK atau tidak. Kejayaan
sekolah dalam merealisasikan FPK juga secara tidak langsung mampu menjana dan membina
modal insan yang berkualiti.

Anda mungkin juga menyukai