Anda di halaman 1dari 4

AMALAN RUMAH TERBUKA

(TEMA) Rumah terbuka atau open house sudah menjadi lumrah pada sambutan perayaan di
negara ini termasuk Deepavali, Tahun Baru Cina, Hari Natal dan juga Hari Raya Aidilfitri.
Perayaan seperti ini tidak lengkap jika tiada rumah terbuka sehingga seluruh lapisan dan pelbagai
lapisan masyarakat mengetahui istilah rumah terbuka yang menjadi amat sinonim dalam
kehidupan mereka. (ISU) Kerajaan Malaysia pada tahun 2000 telah memutuskan sebanyak enam
perayaan kaum atau agama dianggap sebagai perayaan utama negara yang diraikan di peringkat
kebangsaan anjuran bersama kerajaan pusat dan kerajaan negeri. (ARAHAN) Menyedari
kesungguhan kerajaan untuk menganjurkan rumah terbuka pada peringkat nasional, persoalan
yang sering berlegar-legar di gawang minda kita ialah apakah kepentingan-kepentingan amalan
rumah terbuka?

(ISI 1) Sebenarnya, amalan rumah terbuka yang diwujudkan banyak memberikan kepentingan
terutamanya dalam mengeratkan perpaduan kaum dalam kalangan anggota masyarakat di negara
kita. (MENGAPA) Perpaduan yang terjalin sekali gus dapat memudahkan pencapaian matlamat
atau misi dan visi negara dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara bangsa. Selain
itu, amalan rumah terbuka memberikan makna besar kepada anggota masyarakat mengenai erti
perpaduan yang harus wujud untuk mengelakkan sebarang prejudis terhadap keharmonian kaum.
Amalan ini juga dilihat sebagai salah satu pertemuan yang melupakan pertentangan pendapat,
perbezaan idealogi, perbezaan konsep politik mahupun berlainan parti politik sama ada
pembangkang atau kerajaan. (BAGAIMANA) Jadi, setiap kaum seperti Melayu, India, Cina,
Kadazan dan sebagainya boleh berkunjung ke rumah terbuka kaum lain tanpa sebarang halangan
dan kekangan yang perlu dibimbangi. (KESAN) Sehubungan dengan itu, perasaan muhibah
antara satu sama lain dapat mewujudkan kehidupan yang lebih harmoni. (PENEGAS) Tegasnya,
konsep penyatuan antara kaum dapat dihidupkan melalui amalan rumah terbuka.

(ISI 2) Di samping mewujudkan perpaduan dalam kalangan anggota masyarakat serta pemimpin
sendiri, amalan rumah terbuka ini juga dapat membantu sesama kaum memahami budaya kaum-
kaum lain. (MENGAPA) Mereka hanya akan merayakan perayaan itu bersama-sama walaupun
mereka berbeza latar belakang, budaya dan juga agama. Amalan ini juga membolehkan setiap
kaum mengenali juadah kaum-kaum lain, memahami antara satu sama lain selain didedahkan
kepada adat resam dan pantang larang rakan-rakan mereka sendiri. (BAGAIMANA) Sebagai
contoh, orang-orang India, Cina, Iban, Kadazan dan sebagainya merayakan sambutan Aidilfitri
bersama-sama dengan orang Melayu dan begitu juga sebaliknya. (KESAN) Hal ini dapat
membantu mereka mempelajari budaya dan adat kaum lain serta budaya yang sihat juga dapat
diwujudkan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara kita. Secara tidak langsung
semangat toleransi akan tersemai dalam kalangan generasi sekarang. (PENEGAS) Pendek kata,
budaya dan adat resam kaum lain dapat dipelajari melalui amalan murni ini.
(ISI 3) Selain kepada anggota masyarakat negara ini sendiri, penganjuran rumah-rumah terbuka
juga merupakan persembahan kepada pelancong asing yang datang melancong di negara kita.
(MENGAPA) Mereka bukan sahaja datang ke Malaysia untuk melancong dan menikmati
keindahan negara tetapi mereka juga dapat mengalami dan memahami sendiri keunikan dan
keharmonian pelbagai kaum di negara ini semasa menyambut perayaan kaum masing-masing.
(BAGAIMANA) Kerajaan melalui Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan dengan
kerjasama kerajaan-kerajaan negeri berkenaan telah pun mengadakan majlis rumah terbuka
Malaysia semasa Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Pesta Keamatan, Hari Gawai, Deepavali
dan Krismas. (KESAN) Pengalaman pelancong asing meraikan perayaan-perayaan yang terdapat
di Malaysia akan menjadikan nama Malaysia sentiasa meniti dari bibir ke bibir mereka
sekembalinya mereka ke negara asal mereka dan sekali gus dapat merancakkan industri
pelancongan negara. (PENEGAS) Izharlah bahawa konsep rumah terbuka dapat memberikan
persembahan yang harmonis di mata pelancong asing kerana rakyat Malaysia yang berbilang
kaum dapat hidup di bawah payung keharmonian.
(ISI) Amalan rumah terbuka juga dapat merapatkan hubungan silaturahim dalam hubungan
kekeluargaan. (MENGAPA) Hal ini dikatakan demikian kerana simboliknya amalan rumah
terbuka ialah amalan ini merupakan medan pertemuan yang paling sesuai untuk memperkukuh
hubungan silaturahim antara ahli keluarga. Fenomena seperti ini amat dititikberatkan agar sistem
kekeluargaan akan sentiasa wujud dengan kukuh dan padu, bukannya semakin layu dan pudar.
Tanpa konsep rumah terbuka, hubungan silaturahim dan perpaduan akan terhakis sedikit demi
sedikit dan seterusnya akan hilang kepada generasi akan datang yang semakin tidak mengenali
sanak-saudara mereka. (BAGAIMANA) Semasa menghadiri rumah terbuka, mereka akan
beramah mesra dan dapat melepaskan kerinduan di samping mendapat perkembangan terkini
antara satu sama lain. Yang muda pula dapat mengenali mereka yang tua dengan lebih dekat
dalam pertemuan ahli keluarga ini. (PENEGAS) Ringkasnya, hubungan kekeluargaan dapat
diperkukuh dan serinya tidak akan hilang jika amalan rumah terbuka dibudayakan.

(PENUTUP) Bayang kian jelas bahawa amalan rumah terbuka lebih banyak membawa kebaikan
kepada negara dan masyarakat. (CADANGAN) Oleh itu, konsep rumah terbuka perlu dihayati
dengan mendalam oleh semua pihak. Sekiranya konsep ini tidak difahami dan dihayati, ditakuti
amalan ini akan mendatangkan keburukan atau sekadar syarat sahaja untuk menganjurkannya.
Kita tidak mahu menjadi seperti rumah sudah siap baru pahat berbunyi apabila menganjurkan
rumah terbuka. (HARAPAN) Jika amalan murni ini dibudayakan sudah pasti hasrat negara
untuk mencapai Gagasan Satu Malaysia akan menjadi realiti dan bukannya angan-angan Mat
Jenin. Walaupun negara kita merupakan satu titik kecil di dalam peta dunia namun usaha
kerajaan untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang bangsa dapat dijadikan teladan kepada
mata dunia



Bahagian A:
Marcapada kini penduduk Malaysia telah sekian lama mengetahui amalan rumah terbuka dalam
kalangan masyarakat sering dilakukan terutama sekali pada musim-musim perayaan. Rumah terbuka
sering diadakan kerana Malaysia merupakan negara yang mempunyai masyarakat yang berbilang kaum,
atau lebih dikenali masyarakat majmuk.
Amalan rumah terbuka sering diadakan kerana pelbagai perayaan yang wujud di Malaysia. Contohnya,
Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali. Dengan kepelbagaian kaum yang terdapat di
Malaysia, hal ini dapat mengeratkan ikatan yang sedia terjalin. Selain itu, dengan slogan Perdana
Menteri kita, "Satu Malaysia" hal ini amat sinonim sekali untuk menyatupadukan dan mengukuhkan
perpaduan rakyat negara ini.
Selain itu, amalan rumah terbuka dapat menyuburkan dan mengeratkan hubungan silaturahim dengan
jiran tetangga. Kesibukan bekerja adakalanya kita tidak mengenali jiran tetangga, maka inilah ruang dan
peluangnya kita mengenali mereka. Di samping itu amalan tolong-menolong,dan bergotong-royong
dapat disuburkan. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Hal ini sangat perlu, kerana bak kata
pepatah, bersatu teguh bercerai kita roboh.
Selain itu,dengan adanya rumah terbuka, kita dapat melihat dan merasai kepalbagaian aneka masakan
yang disajikan kepada tetamu. Kita juga dapat melihat keunikkan adat dan tradisi yang diamalkan oleh
sesuatu kaum. Adat dan budaya ini masih dipertahankan dan menjadi pegangan dan amalan kepada
setiap kaum di negara kita. Bagi mereka, biar mati anak, jangan mati adat.Kepelbagaian adat dan budaya
serta amalan pelbagai kaum di negara kita menjadi satu daya tarikan kepada masyarakat luar, khususnya
para pelancong.
Pada pendapat saya, amalan rumah terbuka banyak memberikan kebaikan kepada masyarakat kita. Oleh
itu amalan rumah tebuka ini haruslah disuburkan dalam kalangan masyarakat. Hal ini perlu supaya
amalan yang baik ini tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas.