Anda di halaman 1dari 3

27

Semasa menerima tajuk tugasan bagi kursus BMM3101 : Pengajian Sukatan


Bahasa Melayu Sekolah Rendah ini, di peringkat awal lagi saya sangat susah hati dan
kurang yakin adakah saya mampu merealisasikan kehendak tugasan seperti yang
dinyatakan secara terperinci. Sebagai guru sains yang mempunyai pengalaman mengajar
mata pelajaran sains 7 tahun di sekolah menengah dan 9 tahun di sekolah rendah, saya
tidak pernah diberi peluang sekali pun untuk mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu
sepanjang tempoh tersebut. Pengalaman saya berkaitan isi kandungan bahasa melayu ini
kali terakhir adalah semasa saya di tingkatan lima.

Pada tugasan pertama, saya tidak menghadapi banyak masalah kerana tajuk
tersebut pernah dipelajari semasa semester dua dahulu di bawah kursus Murid dan Alam
Belajar. Apa yang pentingnya, saya perlu membuat analisa terlebih dahulu tentang definisi,
takrif dan konsep bagi strategi pembelajaran yang dinyatakan. Saya perlu faham dengan
baik ketiga-tiga aspek ini bagi setiap strategi yang dibincangkan. Ini bagi membolehkan
saya membuat pilihan tentang strategi atau kaedah mana yang sesuai saya gunakan
semasa melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Terdapat perbezaan
yang agak ketara pada keempat-empat strategi tersebut, namun bagi konsep pembelajaran
secara kontekstual dan konstruktivisme, saya berpendapat ada sedikit persamaan kerana
kedua-duanya melibatkan pengalaman atau pengetahuan sedia ada murid untuk
diaplikasikan dalam situasi yang baharu atau mempunyai perkaitan dengan isi pelajaran
yang baharu.

Di dalam menyiapkan tugasan yang kedua, saya berdepan dengan sedikit cabaran.
Kumpulan kelas kami agak bernasib baik kerana pensyarah kursus ini Tuan Haji Mohamad
Zaki B. Haji Shamsudin memberikan kami contoh Rancangan Pengajaran Harian (RPH)
sebagai rujukan. Saya mengambil masa sehari untuk memahami langkah-langkah dalam
rancangan tersebut. Sebagai langkah awal, saya merujuk kepada guru Bahasa Melayu
yang berpengalaman dan meminta bantuan mereka dengan berbincang isi kandungan
Bahasa Melayu tahun 4. Kemudiannya, saya mendapatkan rancangan pelajaran tahunan
dari guru tersebut serta meminjam buku teks Bahasa Melayu tahun 4 dari Unit SPBT
sekolah.

Sungguh besar cabaran yang saya lalui untuk menyiapkan tugasan yang kedua ini
berbanding yang pertama. Saya mengambil masa dua minggu dalam merangka dan
menulis rancangan pengajaran harian yang lengkap. Penulisan ini menjadi lebih rumit
kerana rancangan pengajaran yang dibuat perlu di rancang berdasarkan kaedah
27

pembelajaran yang telah ditetapkan iaitu pembelajaran secara koperatif. Mujurlah saya
dapat merujuk kaedah ini pada tugasan pertama kerana ianya ada kaitan dengan tugasan
tersebut. Saya memilih teknik STAD ( Student Teams Achievement Divisions) atau
Bahagian Pencapaian Pasukan Pelajar. Kaedah ini agak mudah dipraktikkan dalam
kumpulan murid yang mempunyai pelbagai kecerdasan di samping mereka terdiri dari
kumpulan kelas pertama. Setelah selesai disemak dan diberi komen oleh rakan guru yang
mengajar bahasa melayu, mereka berpuas hati dengan hasil kerja saya.

Pada pendapat saya adalah lebih efektif sekiranya saya diberi peluang untuk
mengajar mengikut rancangan pengajaran ini sebanyak dua waktu,namun apakan daya
tugasan ini dibuat dalam keadaan sekolah yang sangat sibuk membuat persiapan untuk
UPSR 2013. Saya sendiri terlibat secara langsung mamandangkan saya mengajar mata
pelajaran sains tahun 6. Pelbagai program dijalankan sebagai pecutan akhir untuk murid
tahun 6 menduduki UPSR 2013.

Secara keseluruhannya daripada kedua-dua tugasan yang telah dilaksanakan,
sebagai seorang guru, saya seharusnya mempunyai pengetahuan pedagogi yang mantap
bagi melaksanakan rutin harian pekerjaan saya iaitu mendidik anak murid. Di samping itu
juga, latar belakang murid terutamanya dari sudut sosio ekonomi dan tahap kognitif mereka
haruslah saya teliti dan selidiki terlebih dahulu dalam merangka strategi dan kaedah yang
akan digunakan dalam pengajaran saya. Saya berharap suatu hari nanti, dengan adanya
sedikit input tentang sukatan pelajaran Bahasa Melayu ini, saya diberi peluang untuk
mengajar dan mengaplikasikan ilmu pengetahuan pedagogi yang saya telah pelajari dalam
kursus ini. Insya Allah.












27