Anda di halaman 1dari 2

KOMITMEN ORGANISASI BERHUBUNGAN DENGAN KONFLIK PERANAN DAN KEKABURAN

PERANAN DALAM ORGANISASI


Pada masa kini, konsep komitmen organisasi telah meningkat popular dalam literatur
psikologi industri dan organisasi, dan gelagat organisasi. Konsep yang telah diterima ini
banyak terdapat dalam kajian-kajian empirikal sama ada kesan atau antesiden yang
dihubungkan dengan pembolehubah lain yang berkaitan dengan kerja. Kesan komitmen
dikaitkan dengan pembolehubah ciri personel, keadaan (perihal) peranan dan aspek
daripada persekitaran kerja yang merangkumi ciri kerja hingga dimensi struktur
organisasi. Manakala antesiden komitmen organisasi digunakan untuk meramal
ketidakhadiran kerja, prestasi, peralihan kerja dan lain-lain tingkah laku pekerja
(Mathieu dan Zajac, 1990).


Ciri personel, ciri kerja dan keadaan (perihal) peranan secara umumnya
dipertimbangkan sebagai antesiden komitmen (Mowday et al., 1982; Steers, 1977).
Keinginan tingkah laku dan tingkah laku sebenar secara umumnya dipertimbangkan
sebagai kesan komitmen organisasi. Tidak dapat diragui lagi bahawa terdapat
beberapa laporan kajian yang menunjukkan wujudnya hubungan timbal balik di antara
komitmen organisasi dengan beberapa pembolehubah di atas. Konflik peranan dan
kekaburan peranan yang bertindak sebagai antesiden tingkah laku (Steers, 1977;
Steers dan Mowday, 1981) dan telah dibuktikan sebagai faktor penyebab kepada
penurunan tahap komitmen kepada organisasi (Baird, 1969 dalam Morris dan Koch,
1979).


Konflik peranan dan kekaburan peranan juga dikaitkan dengan pengurangan terhadap
kepuasan kerja, komitmen organisasi dan penglibatan kerja termasuk juga peningkatan
tahap tekanan dan kecenderungan untuk meninggalkan organisasi (Jackson dan
Schuler, 1985). Terdapat dua kajian yang telah diperiksa menunjukkan bahawa
terdapatnya hubungan di antara komitmen organisasi dengan perihal (keadaan)
peranan. Dalam kajian yang pertama, komitmen mahasiswa adalah secara negatif
dikaitkan dengan konflik peranan yang dipersepsikan tetapi tidak dengan kekaburan
peranan (Baird, 1969 dalam Morris dan Koch, 1979). Dalam kajian berikutnya,
komitmen jururawat dan guru sekolah swasta secara negatif dikaitkan dengan
kekaburan peranan yang dipersepsikan tetapi tidak pula dengan konflik peranan
(Hrebiniak dan Alutto, 1972).


Morris dan Koch (1979) menyatakan bahawa konflik peranan dan kekaburan peranan
mempunyai hubungan yang negatif dengan komitmen organisasi dan penglibatan kerja.
Konflik peranan didapati lebih kuat hubungannya daripada kekaburan peranan bagi
kumpulan pekerjaan yang menggambarkan kompleksiti tugas pada tahap yang rendah.
Manakala kekaburan peranan pula didapati lebih kuat hubungannya daripada konflik
peranan bagi kumpulan pekerjaan yang menggambarkan kompleksiti tugas pada tahap
pertengahan dan tinggi. Bagi kumpulan pekerjaan tahap rendah hanya konflik peranan
sahaja yang mempunyai hubungan yang negatif dengan komitmen organisasi.
Sementara bagi kumpulan pekerjaan tahap pertengahan dan tinggi hanya kekaburan
peranan sahaja yang mempunyai hubungan yang negatif dengan komitmen organisasi.


Hrebiniak dan Alutto (1972) dan Stevens, Beyer dan Trice (1978) melaporkan bahawa
skala peranan seperti konflik peranan dan kekaburan peranan mempunyai hubungan
dengan komitmen organisasi. Morris dan Sherman (1981) mendapati konflik peranan
mempunyai hubungan yang signifikan dengan komitmen organisasi, sebaliknya
kekaburan peranan tidak mempunyai hubungan yang signifikan dengan komitmen.


Salancik (1977) menunjukkan bahawa konflik peranan merupakan persepsi
pengurangan tanggungjawab yang telah dipersepsikan termasuk pengurangan dalam
penglibatan peranan dan komitmen. Manakala kekaburan peranan merupakan sumber
kekeliruan yang mungkin mengurangkan komitmen dan mengurangkan hubungan yang
dipersepsikan antara peranan ahli dengan pencapaian matlamat organisasi. DeCotiis
dan Summers (1987) menunjukkan bahawa pembolehubah konflik peranan dan
kekaburan peranan berkorelasi secara signifikan dan konsisten dengan komitmen
seperti yang dilaporkan oleh Hrebiniak dan Alutto (1972) dan Stevens et al. (1978).


Mathieu dan Zajac (1990) membuktikan bahawa terdapat hubungan di antara konflik
peranan dan kekaburan peranan dengan komitmen organisasi. House dan Rizzo (1972)
mendapati bahawa kekaburan peranan adalah peramal dan pembolehubah yang lebih
baik daripada konflik peranan. Daripada hasil kajian meta-analisis oleh Fisher dan
Gitelson (1983) juga menunjukkan bahawa kekaburan peranan mempunyai hubungan
yang kuat dengan komitmen organisasi dan penglibatan kerja lebih daripada konflik
peranan. Kenyataan ini sama dengan penemuan awal oleh House dan Rizzo (1972). Ini
menunjukkan bahawa kekaburan peranan mungkin lebih mudah untuk dikawal dengan
perubahan amalan organisasi daripada konflik peranan.


Secara ringkasnya konflik peranan dan kekaburan peranan mempunyai hubungan yang
negatif dan signifikan dengan komitmen organisasi. Kedua-dua skala peranan ini
berhubungan secara bertimbal-balik dengan pembolehubah komitmen. Konflik peranan
dan kekaburan peranan yang tinggi akan menyebabkan komitmen pekerja kepada
organisasi menurun. Pekerja yang tinggi komitmennya kepada organisasi akan
menunjukkan tahap konflik peranan dan kekaburan peranan yang rendah.