Anda di halaman 1dari 15

Pengenalan

Perpaduan boleh ditakrifkan sebagai satu proses yang


menyatupadukan anggota masyarakat dan negara seluruhnya melalui
ideologi negara supaya tiap-tiap anggota masyarakat dapat
membentuk satu identiti dan nilai bersama serta satu perasaan
kebangsaan dalam kalangan mereka. Perpaduan masyarakat
merupakan antara aspek yang penting dalam membentuk
perpaduan negara. Malaysia kini dihuni oleh beberapa kaum dan
etnik yang bersifat majmuk yang membawa kepada wujudnya
jurang perpisahan .

Pada zaman pemerintahan British di negara ini , mereka
mengamalkan dasar pecah dan perintah terutama membiarkan
penduduk negara ini mengamalkan kegiatan ekonomi masing-
masing mengikut komposisinya. Orang Melayu dibiarkan berada di
kampung yang terlibat dalam bidang pertanian dan penanaman padi
serta menangkap ikan manakala tenaga buruh di ladang diambil dari
negara India dan di kawasan lombong bijih timah tenaga imigran dari
China diambil. Kesannya jurang perpaduan mula timbul disebabkan
kegiatan ekonomi yang diusahakan di samping tempat tinggal yang
berbeza . Keadaan ini mengurangkan kebarangkalian penduduk
Melayu , Cina dan India bersama-sama dalam satu lokaliti.Kesan
jangka panjang keadaan ini ialah wujudnya jurang pemisahan antara
kaum.

Bersama-sama dengan kedatangan imigran ini ialah sistem
pendidikan mereka yang dibawa ke negara ini. Orang Cina dan India
memiliki sistem sekolah vernakular sendiri yang membawa masuk
guru, buku dan sukatan pelajaran dari negara mereka. Kesannya di
negara ini telah wujud satu sistem pendidikan yang di dalamnya
terdapat sekolah aliran agama , Inggeris, Cina , Tamil dan aliran
Melayu. Kesan langsung wujudnya sistem pendidikan zaman British
ini menyebabkan terhalangnya proses asimilasi yang boleh
memungkinkan pergaulan kaum dapat dilakukan dengan sempurna.


Penaklukan Jepun di Tanah Melayu pada Perang Dunia Kedua iaitu
pada 1941-1945 juga tak kurang mendatangkan kesan yang hebat ke
atas hubungan integrasi kaum di negara ini. Pihak Jepun pula
mengamalkan dasar anti-Cina dan pro-Melayu yang ternyata
mengeruhkan lagi keadaan semasa dengan menyebabkan timbulnya
perasaan benci dan prasangka buruk masyarakat Cina terhadap orang
Melayu. Orang Cina bertindak mengambil kesempatan utuk membalas
dendam dengan menganggotai Bintang Tiga atau lebih dikenali
sebagai Parti Komunis Malaya (PKM) dalam tempoh masa Jepun
menyerah kalah dan sebelum kedatangan kembali pihak British. Ketika
inilah berlakunya keganasan 14 hari seperti membunuh, menculik,
membakar masjid dan bangunan sebagai cara membalas dendam .
Keadaan ini menyebabkan berlakunya persengketaan kaum antara
orang Melayu dan orang Cina. Lebih memburukkan lagi keadaan
adalah apabila kebanyakan orang Cina terlibat dalam pergerakan PKM
manakala orang Melayu kebanyakannya merupakan anggota pasukan
keselamatan ketika zaman darurat pada 1948-1960.

Semasa kempen Pilihan Raya 1969, calon-calon pilihan raya serta ahli-
ahli politik dari kalangan parti pembangkang, telah membangkitkan
soal-soal Bangsa Malaysia berkaitan dengan Bahasa Kebangsaan
(Bahasa Melayu), kedudukan istimewa orang Melayu sebagai
(Bumiputera) dan hak kerakyatan orang bukan Melayu. Hal ini telah
memberi kesempatan kepada ahli-ahli politik yang ingin
mendapatkan faedah dalam pilihanraya.

Pada pilihanraya umum 1969 Parti Perikatan yang dianggotai oleh
(UMNO-MCA-MIC) telah gagal memperolehi majoriti 2/3 diparlimen,
walaupun masih berjaya membentuk kerajaan persekutuan. Hal ini
disifatkan oleh parti pembangkang sebagai satu kemenangan yang
besar buat mereka. Jumlah kerusi yang dimenanginya dalam Dewan
Rakyat (Parlimen) telah menurun daripada 89 kerusi pada tahun 1964
kepada 66 kerusi pada tahun 1969.Parti Gerakan Rakyat Malaysia
(Gerakan), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Progresif Rakyat
(PPP) menang 25 buah kerusi dalam Dewan Rakyat manakala PAS
menang 12 kerusi.

Pihak pembangkang yang memperoleh pencapaian gemilang dalam
pilihanraya telah meraikan kemenangan mereka pada 11 Mei 1969.
Perarakan tersebut sebenarnya tidak bermotif untuk menimbulkan isu
perkauman. Malah terdapat segelintir pengikut perarakan telah
mengeluarkan slogan-slogan sensitif berkenaan isu perkauman
semasa mengadakan perarakan di jalan-jalan raya di sekitar Kuala
Lumpur. Perarakan turut dijalankan pada 12 Mei 1969 di mana kaum
Cina berarak menerusi kawasan Melayu, melontar penghinaan
sehingga mendorong kepada kejadian tersebut. Pihak pembangkang
yang sebahagian besar darinya kaum Cina dari Democratic Action
Party dan Gerakan yang menang, mendapatkan permit polis bagi
perarakan kemenangan melalui jalan yang ditetapkan di Kuala
Lumpur. Bagaimanapun perarakan melencong dari laluan yang
ditetapkan dan melalui kawasan Melayu Kampung Baru, menyorak
penduduk di situ. Sesetengah penunjuk perasaan membawa penyapu,
kemudiannya dikatakan sebagai simbol menyapu keluar orang Melayu
dari Kuala Lumpur, sementara yang lain meneriak slogan mengenai
tengelamnya kapal Perikatan . Orang Melayu memandang perisitiwa
ini sebagai kaduk naik junjung. Natijahnya berlaku kemarahan yang
meluap-luap dalam kalangan orang Melayu sehingga menumpahkan
darah .Maka berlakulah kejadian yang dinamakan Tragedi 13 Mei
1969. Kepanasan isu ini cepat menular sehingga ke seluruh negara
dalam masa yang begitu singkat sahaja.

Perpaduan negara ini juga diuji dengan pelbagai isu berkaitan dengan
agama dan soal hak kerakyatan dan beberapa isu sensitif lain yang
mampu menjejaskan perpaduan kaum di negara ini . Ianya dibawa
dan dimainkan oleh beberapa badan bukan kerajaan yang cuba
mendapatkan nama dalam usaha mendapatkan sokongan berterusan
sehingga ke tarikh pilihanraya akan datang. Jika dibiarkan begitu
sahaja tanpa diselesaikan atau dirungkai terlebih awal hal ini mampu
merobek perpaduan kaum sedia ada pada masa sekarang.










Kepentingan perpaduan kaum
Perpaduan dalam kalangan pelbagai etnik di negara kita haruslah
dikekalkan untuk menjamin keselamatan negara agar kemerdekaan
yang kita kecapi sekarang ini berkekalan .Hal ini adalah untuk
mengelakkan berulangnya perkara yang tidak diingini seperti rusuhan
kaum pada 13 mei 1969 yang telah berlaku di negara kita. Kesan
daripada rusuhan ini kita dapat lihat betapa ramai masyarakat negara
kita yang mati dalam peristiwa berdarah ini. Oleh itu, perpaduan
penting agar kejadian yang sama tidak akan berulang. Dalam nada
yang sama kita akan dapat mengekalkan kestabilan politik jika
kejadian rusuhan kaum ini dapat dielakkan oleh semua anggota
masyarakat yang memiliki semangat nasionalisme dan patriotik yang
tinggi.

Selain itu, keharmonian ini juga mestilah dikekalkan untuk melahirkan
perasaan cintakan tanah air dan sanggup berkorban untuk negara
kita. Perpaduan dalam kalangan etnik di negara ini juga akan dapat
mengukuhkan lagi keselamatan negara daripada ancaman luar dan
dalam negara. Warganegara yang memiliki semangat nasionalisme
akan melahirkan kekuatan dalam mempertahankan negara ini
daripada campurtangan kuasa luar seterusnya memelihara kedaulatan
negara ini dan mengekalkan kemerdekaan negara ini seterusnya.

Perpaduan negara yang jitu juga dapat membina sebuah
masyarakat yang saling menghormati antara satu sama lain
disebabkan faktor rasa bersama dan kekitaan yang lahir dalam jiwa
seluruh anggota masyarakat. Sifat dengki dan khianat akan terlebur
begitu sahaja jika semua anggota masyarakat memiliki sifat saling
menghormati yang dipupuk sejak kita kecil lagi.

Faktor yang menyumbang kepada pengukuhan perpaduan kaum
Peristiwa 13 Mei telah menjadi catatan sejarah yang suram di negara
ini. Hal ini demikian kerana peristiwa ini memperlihatkan bahawa
hubungan kaum akan menjadi rapuh jika ada tindakan luar batasan
dilakukan dan tindakan mencegah tidak dilakukan dengan
secukupnya. Peristiwa berdarah ini menjadi iktibar bahawa perpaduan
kaum boleh menjadi bom jangka yang boleh meletup pada bila-bila
masa memandangkan terdapat sebahagian anggota masyarakat yang
gemar menjaja isu sensitif bagi meraih sokongan politik mudah untuk
bangsa mereka. Selepas kejadian ini lahir kesedaran untuk
menyatupadukan kaum di negara ini dengan terbentuknya Rukun
Negara yang menjadi satu identiti bagi semua anggota masyarakat.
Dalam masa yang sama kekurangan orang Melayu dalam bidang
ekonomi cuba diselesaikan dengan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru
yang dilancarkan pada 1970.

Rentetan peristiwa tersebut juga telah terbentuknya MAGERAN pada
17 Mei 1969 yang berfungsi sebagai pengembali keamanan dan
undang-undang negara; penentu pentadbiran yang licin dan
sempurna; dan pengembali keharmonian dan kepercayaan antara
kaum. MAGERAN didapati berjaya mengembalikan keamanan kepada
negara selepas dua tahun ditubuhkan. Seterusnya, pada tahun 1969
juga, Jabatan Perpaduan Negara(JPN) dan Majlis Muhibah
Negara(MMN) telah dibentuk. JPN yang diketuai Tan Sri Mohd
Ghazali Shafie telah ditubuhkan untuk membantu kerajaan
menggerakkan dan membimbing rakyat ke arah perpaduan negara.
MMN pula ditubuhkan pada 18 Julai 1969 bertujuan memulihkan
kepercayaan dan keyakinan antara kaum, mengkaji dan mengatasi
masalah untuk menghapuskan perselisihan faham, membantu dan
menyusun kerja-kerja sukarela. MMN dan JPN telah digabungkan
pada 1Januari 1972 menjadi Kementerian Perpaduan Negara yang kini
bergelar Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan
Masyarakat yang ditugaskan untuk mengendalikan aktiviti-aktiviti
bercorak muhibah untuk masyarakat yang berbilang kaum

Penubuhan parti politik di negara kita sebenarnya bermula pada 1940
apabila kesedaran politik mula melonjak hasil pengenalan Malayan
Union oleh Inggeris di negara ini. Penubuhan UMNO , MCA dan MIC
pada awalnya bermaksud untuk membela masyarakat atau kaum
masing-masing dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. Perpaduan
kaum mula dibentuk apabila Parti Perikatan mula ditubuhkan hasil
gabungan UMNO,MCA dan MIC yang merapatkan hubungan antara
orang Melayu, Cina dan India dalam bidang politik dalam usaha
memuju kerjasama kaum ke arah mencapai kemerdekaan. Proses ini
dilakkukan mulai 1948 hinggalah 1956 . Dapat dilihat pada masa ini
kesedaran pentingnya perpaduan kaum dibentuk bagi menjamin
keadaan negara yang aman dan damai dengan penduduknya dapat
bekerjasama antara satu sama lain.

Kerajaan telah merangka Dasar Pendidikan Kebangsaan sebagai
landasan mewujudkan masyarakat yang bersatu padu. Penyata Razak
dan Ordinan Pelajaran yang telah termaktub sebelum merdeka telah
disemak semula menghasilkan Laporan Rahman Talib dan seterusnya
dimaktubkan dalam Akta Pelajaran, 1961 merupakan antara usaha
awal kerajaan dalam sektor Pendidikan. Matlamat Dasar Pendidikan
Kebangsaan diharapkan dapat memenuhi keperluan tenaga rakyat
negara ini dalam jangka pendek dan panjang demi melahirkan
masyarakat yang bersatu padu, berdisiplin dan terlatih. Antara strategi
yang dirancang untuk mencapai matlamat Dasar Pendidikan
Kebangsaan ialah menjadikan Bahasa Kebangsaan bahasa pengantar
yang utama, mengadakan kurikulum yang sama dan berorientasikan
Malaysia bagi semua jenis sekolah, mewujudkan sistem peperiksaan
yang sama dan sebagainya.
Cabaran untuk mengekalkan perpaduan kaum
Cabaran kepentingan etnik dari aspek politik iaitu politik perkauman
boleh menimbulkan perasaan kurang senang hati dan mengukuhkan
semangat perkauman jika sesuatu tindakan diambil tanpa mendapat
kata sepakat oleh semua pihak. Isu-isu perkauman seperti bahasa,
kebudayaan, pendidikan, agama, kerakyatan, dan ekonomi jika
dipergunakan untuk tujuan berpolitik, pastinya, ia tidak akan
menyumbang ke arah masyarakat yang bersatu padu.Ianya ditambah
lagi dengan usaha parti tertentu yang mengemukakan ideologi
Malaysian Malaysia bagi mendapatkan hak yang sama rata dalam
kalangan penduduk di negara ini.Sekali pandang ianya merupakan
suatu isu yang kecil tetapi sebenarnya isu ini berlawanan dengan
kontrak sosial yang dibuat sebelum negara ini mencapai
kemerdekaan.

Sejak zaman penjajahan lagi, masalah integrasi telah wujud
terutamanya semasa penjajahan British. Mereka menjalankan dasar
divide and rule iatu dasar pecah dan perintah agar dapat
memerintah dan mengeksploitasi ekonomi negara. Dasar ini jugalah
yang memisahkan kaum-kaum utama negara ini mengikut bidang
ekonomi yang dijalankan. Masyarakat melayu mengendalikan
pertanian dan ditempatkan di kawasan luar Bandar iaitu di kampong-
kampung. Masyarakat Cina ditempatkan dilombong-lombong bijih
timah dan bandar-bandar kerana aktiviti perlombongan dan
perdagangan yang dijalankan mereka. Manakala masyarakat India
pula ditempatkan di lading-ladang getah. Perubahan fungsi ini telah
menyebabkan ketiga-tiga kaum ini terpisah dan hubungan semakin
terhada dan menjadi bertambah renggang.

Penyalahgunaan media sosial telah mula menular sejak akhir-akhir
ini. Media sosial seperti web dan blog serta face book menyebabkan
timbulnya kerenggangan kaum kerana banyak menimbulkan isu
sensitif . Beberapa laman web yang bebas bergerak telah
memperkatakan begitu banyak isu bersifat sensiti di samping
menaburkan fitnah serta berita palsu menyebabkan wujudnya
keresahan dalam masyarakat di negara ini. Beberapa kenyataan
bersifat rasis dan berunsur perkauman begitu berleluasa pada masa
sekarang. Keadaan ini pula tidak diambil tindakan oleh pihak berkuasa
kerana pertindihan tugas dan bidang kuasa antara badan
penguatkuasa dan badan pengawal komunikasi. Penyebaran berita
palsu dan tohmahan juga menjadi punca perbalahan dan
persengketaan terhadap anggota masyarakat di negara ini. Isu
kalimah Allah dalam bible yang diterbitkan dalam Bahasa Melayu
contohnya menyebabkan berlaku pertentangan pendapat dalam
kalangan rakyat di negara ini. Ianya bakal menyebabkan wujudnya
rasa benci dan dendam dalam masyarakat yang mampu mengguggat
keamanan negara.
langkah-langkah untuk mengekal dan memantapkan perpaduan kaum
di Malaysia
Beberapa kempen dan program yang dilaksanakan oleh pihak
kerajaan mampu mengekal dan memantapkan perpaduan kaum di
negara ini. Pelan Tindakan Perpaduan & Integrasi Nasional telah
dirancang oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional. Ia
merupakan rancangan lima tahun iaitu dari 2005-2010 yang
merancang pelbagai usaha untuk memupuk dan mempertingkatkan
perpaduan dan integrasi nasional. Pelan ini mengandungi pelbagai
strategi yang dirancang dari pelabagai aspek seperti strategi politik,
ekonomi, pendidikan, penggunaan Bahasa Kebangsaan, Agama,
Kebudayaan, Integrasi Wilayah, Keselamatan, Pembangunan Kawasan,
Penggunaan Tenaga Manusia, Media Massa, Kesukanan,
Pemasyarakatan Perpaduan, Pertubuhan Sukarela, Penyelidikan Dan
Penerbitan Bahan Bacaan, Pemantauan Isu-isu Semasa dan Konflik,
Penubuhan Panel Penasihat Perpaduan Negara (PANEL) dan
Jawatankuasa Penasihat Perpaduan Peringkat Negeri (JKPPN),
program dan aktiviti perpaduan, Sekolah Wawasan dan Program
Latihan Khidmat Negara. Kesemua program, pelan dan aktiviti yang
dirancang telah dijalankan dengan bertujuan supaya masyarakat
dapat melibatkan diri dan memupuk hubungan etnik yang erat antara
rakyat di negara ini.

Perpaduan kaum juga dapat dipupuk melalui aktiviti kemasyarakatan
yang memerlukan setiap kaum mengambil bahagian dalam setiap
aktiviti yang dijalankan. Cara ini dapat memupuk semangat kerjasama
dan saling membantu antara satu sama lain dengan menghapuskan
sikap mementingkan diri yang tertanam di dalam jiwa masyarakat kini.
Namun, sikap negative masyarakat terutamanya masyarakat yang
duduk di bandar yang hanya bekerja tidak tentu masa dan melakukan
kerja sendiri menyebabkan usaha memupuk semangat perpaduan
sukar untuk diterapkan. Aktiviti memperteguh jalinan kemesraan harus
dijalinkan seperti aktiviti gotong royong yang memerlukan
sumbangan setiap pihak untuk menjayakan aktiviti tersebut supaya
perpaduan secara maksimum dapat dilahirkan. Pendek kata, aktiviti
kemasyarakatan dapat menjadi wadah yang terbaik bagi memupuk
semangat perpaduan yang perlu ada dalam diri setiap rakyat seiring
dengan hasrat negara untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu
padu walaupun berlainan bangsa mahupun agama

Satu daripada cara mencapai perpaduan di antara kaum ialah
menjaga budi bahasa serta akhlak dalam pergaulan. Perbezaan agama
serta kepercayaan tidak mengurangkan kepentingan pemupukan budi
bahasa. Adat istiadat adalah peraturan yang sentiasa dlpatuhi dan
diamalkan dalam masyarakat Malaysia terutamanya pada hari
perayaan. Adat istiadat ini mencirikan Kebudayaan Kebangsaan.
Antara hari-hari perayaan yang sama-sama dihormati ialah Hari
Kebangsaan Malaysia pada 31 Ogos, Hari Deepavali, Tahun Baru Cina,
Hari Raya,
Rumusan
Pengetahuan
Keamanan negara ini sangat penting dalam usaha negara ini
menginjak menjadi sebuah negara maju menjelang tahnun 2020.
Antara faktor utama kejayaan ini boleh dicapai ialah melalui situasai
keamanan dan kesejahteraan negara sentiasa terjamin atau tidak
boleh dikompromi oleh sebarang faktor lain.
Berdasarkan peristiwa 13 Mei 1969 kita wajar memperkuat semula
perpaduan kaum di negara ini agar semua anggota masyarakat dapat
hidup dalam keadaan aman dan harmoni di negara yang kita cintai
ini.
Dalam nada yang sama kita seharusnya memahami dan menghayati
peristiwa sejarah negara negara ini yang terjajah sekian lama dan
memerlukan kekuatan segenap sudut bagi menjamin penjajahan ke
atas negara ini tidak lagi akan berlaku .
Iktibar
Kita juga seharusnya mengambil iktibar bahawa perpaduan hanya
dapat dicapai jika semua rakyat bersatu padu , bertolak ansur, hormat
menghormati antara sesama angota masyarakat
Harapan
Saya berharap agar semua warga negara ini akan sentiasa mematuhi
undang-undang/ peraturan, tidak terpengaruh dengan anasir luar dan
menghargai jasa tokoh yang telah banyak berjuang bagi
mendapatkan kemerdekaan dan memenuhi kemerdekaan ini agar
menjadi lebih bermakna akhirnya.

sumber rujukan
http://ms.wikipedia.org/wiki/Peristiwa_13_Mei
https://www.google.com.my/?gws_rd=ssl#q=RIMUP

Anda mungkin juga menyukai