Anda di halaman 1dari 16

Artikel Hubungan Etnik

MASYARAKAT MAJMUK DAN PENDIDIKAN



Oleh : Mohd Zuhairi Bin Safuan

1. Pendahuluan
Sosiologi pendidikan membincangkan aspek-aspek sosial yang boleh
mempengaruhi pendidikan. Kewujudan masyarakat majmuk diMalaysia banyak
mempengaruhi sistem pendidikan di Malaysia. Oleh itu ia memberi impak besar
dalam merumuskan Dasar Pendidikan Negara. Peristiwa 13 Mei 1969 dan Kg.
Medan 6 Mac 2001 banyak memberi pengajaran perlunya sistem pendidikan
memberi sumbangan kepada perpaduan.
Masyarakat majmuk terdiri dari berbagai kelompok ras / etnik yang berlainan tetapi
berada di bawah satu bentuk pemerintahan. Masyarakat majmuk pelbagai etnik ini
mempunyai kebudayaan, agama, bahasa dan adat resam yang tersendiri.
Ciri utama bentuk masyarakat ini ialah konflik, percanggahan dan paksaan.
Kehidupan mereka terasing dan interaksi sosial yang terhad yang biasanya pada
sektor ekonomi sahaja. Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk mesti
menanggani persoalan hubungan etnik ini sebaik mungkin supaya seluruh tenaga
dan fikiran rakyat dapat disalurkan kepada pembangunan negara.
Oleh itu pelajar mesti didedahkan dalam situasi pembelajarannya tentang;
a. Kesedaran mengenai kewujudan masyarakat majmuk. Pelajar harus
mengamalkan persefahaman, toleransi, kerjasama dan perpaduan melalui
pergaulan yang sihat di kalangan masyarakat majmuk dalam semua aktiviti
pembelajaran dan kehidupan kampus. Ini kerana dalam bidang sosial; mereka
berbeza dari segi pakaian, agama, tempat tinggal, pendidikan, bahasa dan
sebagainya. Ada pertubuhan sosial yang berbeza dan sekolah yang berbeza.
Majoriti orang Melayu tinggal di luar Bandar, orang China tinggal di lombong yang
kemudiannya menjadi Bandar dan orang India di estet kesan dari dasar (divide and
rule) pecah dan perintah penjajah Inggeris.
Keadaan ini telah mengurangkan interaksi sosial tetapi memperkuatkan semangat
kekitaan etnik yang menyuburkan prasangka dan ketidaktahuan mengenai etnik
yang lain. Setiap etnik mempunyai sistem pendidikan yang tersendiri (vernacular).
Orang Melayu belajar di sekolah Melayu yang menggunakan bahasa Melayu. Di
UiTM, pensyarah dari kalangan kaum lain dapat membantu dalam aspek ini.
b. Pelajar harus mengambil aspek kebaikan dari kemajmukkan demi
memperkayakan kehidupan. Ini kerana setiap etnik mempunyai agama yang
berbeza Islam, Kristian, Buddha, Hindu, Sikh, Animisme dan lain-lain sehingga
membawa kepada polarisasi etnik. Perbezaan boleh menebal jika sentimen
perbezaan dimainkan oleh pemimpin agama. Pelajar boleh mengetahui dan
memahami aspek persamaan dan perbezaan agama selain anutannya dan
menghormati amalan kebebasan agama. Ini membantu mewujudkan masyarakat
yang bersatupadu dan bertanggungjawab.
c. Pelajar perlu melakukan mobiliti sosial melalui pendidikan untuk menjamin
keseimbangan ekonomi antara kaum. Ini kerana dalam bidang ekonomi; Ada
pembahagian yang jelas seperti orang Melayu bergiat dalam pertanian, sebagai
nelayan dan sektor awam yang berpendapatan rendah dan sederhana, orang China
dalam sektor perniagaan dan perlombongan yang berpendapatan sederhana dan
tinggi, manakala orang India dalam sektor perladangan, perkilangan dan keretapi
yang berpendapatan rendah.
Berlaku ketidakseimbangan pendapatan sehingga berlaku tuntutan setiap etnik
untuk mendapat hak yang lebih munasabah dan baik yang kesannya jika tidak
ditangani membawa kepada ketidakstabilan negara.
d. Berusaha menjadi pelajar yang bersikap moderat dan harmonis dalam semua
kegiatan berpersatuan. Ini kerana dalam realiti dunia politik masyarakat majmuk
mementingkan survival masing-masing dengan dipimpin oleh kalangan mereka
sendiri dan sukar menerima kalangan pemimpin etnik lain. Setiap etnik ada parti
politik tersendiri. Orang Melayu (UMNO dan PAS), orang China (MCA, DAP,
Gerakan), orang India (MIC, IPP) dan demikian juga di Sabah dan Sarawak.
Parti yang berasaskan agama dan pelbagai kaum, gagal mendapat kepercayaan
rakyat. Kewujudan parti politik berasaskan etnik menyuarakan kepentingan masing-
masing sehingga menimbulkan persaingan kepentingan dan semangat perkauman
terutamanya pada isu-isu seperti bahasa, agama, pendidikan, ekonomi dan
sebagainya. Kita pernah didedahkan mengenai perjuangan chauvanisme persatuan
bahasa Cina dan persatuan bahasa Tamil di UM.
2. Penutup
Pendidikan dan perpaduan merupakan ramuan penting untuk Malaysia menjadi
negara yang maju, makmur, aman dan damai. Pengetahuan dan penggunaan ilmu
sosiologi dalam pendidikan dapat membantu penting usaha-usaha perpaduan
negara demi untuk kemajuan politik, ekonomi dan sosial. Perasaan kekitaan dan
taatsetia terhadap Negara Malaysia perlu digerakkan melalui pendidikan. Sekian
terima kasih.






















Atasi polemik hubungan etnik

Oleh ANUAR AHMAD

KEPUTUSAN kerajaan berkaitan Akta
Hubungan Kaum sudah jelas. Tetapi itu
tidak bermakna isu berkaitan hubungan
kaum terhenti begitu sahaja.
Dasar dan program yang jelas perlu
dirangka agar polemik hubungan kaum
dapat ditangani.
Sukarnya perpaduan di Malaysia daripada segi
pentadbiran adalah kerana walaupun diletakkan
di bawah Kementerian Perpaduan, Kesenian dan
Warisan (KEKWA), isu perpaduan juga adalah
teras perkhidmatan di kementerian-kementerian
lain.
Kerajaan mungkin bimbang kewujudan sebuah
kementerian khusus berkaitan perpaduan akan
menunjukkan bahawa masalah hubungan kaum
di negara ini seperti tidak terkawal. Namun
daripada sudut lain, sebuah kementerian khusus seperti itu sangat diperlukan demi kelangsungan
kestabilan negara.
Perpaduan memerlukan satu usaha yang berterusan khususnya
melaluipendidikan demi sebuah bangsa Malaysia.
Ada baiknya kerajaan merangka kembali dasar dan strategi perpaduan kaum di
negara ini. Perubahan ini memerlukan pemikiran dan dasar baru. Hubungan etnik
juga tidak lagi sekadar berdasarkan kaum Melayu, Cina dan India sahaja.
Selain ras dan perbezaan fizikal, bahasa, adat, budaya dan agama, sekarang jurang
ekonomi, lokasi residensi dan pekerjaan juga menyebabkan masyarakat negara ini
menjadi semakin kompleks dan berbeza.
Itulah sebabnya Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini
menyuarakan bahawa sangat penting untuk kita mengetahui apakah asas-asas
bersama (common ground) kehidupan antara etnik di Malaysia.

PEMAHAMAN mengenai toleransi antara
kaum perlu dipupuk di kalangan generasi
muda bagi memastikan usaha
menyemarakkan perpaduan berjaya
dilaksanakan dan memastikan
kelangsungan kestabilan negara.

Tiga asas bersama tersebut ialah menghormati Perlembagaan negara, berkongsi
kuasa politik dan ekonomi secara adil serta membina sistem pendidikan yang
dipersetujui bersama.
Persoalannya bagaimana untuk menguruskan hubungan etnik di Malaysia?
Profesor Robert Park, ahli sosiologis hubungan etnik dalam bukunya The Nature of
Race Relations (1950) menegaskan, hubungan etnik secara lumrahnya akan wujud
bila dua atau lebih kumpulan yang berbeza budaya, agama dan adat berada dalam
ruang yang sama.
Situasi hubungan etnik hanya wujud bila kumpulan tersebut menyedari adanya
perbezaan. Jika mereka tidak menyedari atau mengambil sikap mengabaikan
perbezaan itu, maka hubungan etnik tidak akan menjadi satu isu yang perlu
diuruskan.
Dua kerangka utama yang sering digunakan untuk memahami hubungan etnik ialah
model asimilasi dan juga model pluralisme. Asimilasi merujuk kepada usaha untuk
meningkat kebersamaan dan keserasian antara etnik di sesebuah negara.
Maka itu Perlembagaan Persekutuan dibentuk untuk mewujudkan kebersamaan
tersebut. Penarafan Bahasa Melayu dan agama Islam sebagai entiti rasmi negara
adalah strategi untuk membina kebersamaan tersebut.
Malah cadangan pembentukan sekolah satu aliran juga sebenarnya satu lagi usaha
untuk membina keserasian antara kaum.
Kerangka asimilasi boleh dijayakan menerusi empat peringkat utama iaitu asimilasi
budaya, struktur, psikologi dan biologikal.
Model pluralisme pula merujuk kepada usaha menjayakan hubungan dengan
meraikan kepelbagaian etnik melalui budaya, sukan, muzik, fesyen dan makanan.
Ia akan membina toleransi identiti dan seterusnya meningkatkan usaha hubungan
etnik.
Bagi menjayakan hubungan etnik ini, yang utama ialah seluruh rakyat menghayati
dan memahami Perlembagaan Persekutuan berkaitan dengan hubungan etnik
sebagai asas bersama. Kegagalan memahaminya akan menyebabkan kita kembali
berpolemik.
Kajian oleh Nur Atiqah T. Abdullah (2006) di Pusat Pengajian Umum UKM mengenai
Perlembagaan Persekutuan menunjukkan, tahap pengetahuan responden daripada
semua etnik masih rendah.
Maka tidaklah hairanlah apabila sebahagian besar rakyat dengan begitu mudah
berjaya dieksploitasi oleh ahli politik yang berkepentingan peribadi. Pengetahuan
yang rendah akan mendedahkan rakyat kepada risiko perbalahan antara kaum dan
menjejaskan kestabilan negara.
Perlembagaan Persekutuan merupakan sumber tertinggi perundangan negara.
Semua undang-undang yang digubal perlu memenuhi semangat dan aturan yang
termaktub di dalamnya.
Satu bangsa Malaysia hanya boleh wujud secara realistik bila keluhuran
perlembagaan diterima, dihormati dan dihayati oleh seluruh lapisan masyarakat
pelbagai etnik di negara ini.
Penelitian dokumen Perlembagaan Persekutuan (cetakan terbaru - sehingga
5 Mac2008) menunjukkan, daripada 183 Perkara, tujuh menyentuh isu hubungan
etnik.
Antaranya ialah Perkara 3 yang menyatakan, Islam adalah agama rasmi Malaysia.
Perkara ini jelas dan tidak sukar untuk difahami. Tinggal lagi atas niat seseorang
untuk mempertikaikan perkara tersebut.
Perkara 8 berkaitan dengan jaminan sama rata daripada segi undang-undang dan
semua warganegara berhak mendapat perlindungan tanpa membezakan agama,
kaum, keturunan, tempat lahir dan jantina.
Perkara 11 mengenai kebebasan beragama. Penganut mana-mana agama
dibenarkan menguruskan hal ehwal agamanya melalui persatuan dan yayasan serta
menjana dan memiliki harta mengikut undang-undang.
Perkara 14 pula berkaitan dengan jaminan sebagai setiap rakyat yang layak berhak
untuk memiliki kewarganegaraan.
Penting hak ini difahami oleh semua kaum sebagai menghargai pengorbanan orang
Melayu dan pribumi lain yang bersedia membuka jalan untuk kaum Cina dan India
menjadi warganegara semasa peringkat awal kemerdekaan dahulu.
Perkara 149 pula melibatkan usaha pengawalan sensitiviti berkaitan hubungan etnik
melalui pencegahan kepada perlakuan subversif seperti hasutan serta penghinaan
terhadap kumpulan etnik yang lain.
Perkara 152 pula berkaitan pengiktirafan bahasa Melayu sebagai Bahasa
Kebangsaan. Namun liberalisasi toleransi yang tinggi kepada seluruh warganegara
menyebabkan tiada sesiapa pun boleh dilarang atau ditahan daripada menggunakan
bahasa lain untuk tujuan komunikasi umum.
Sementara itu, Perkara 153 pula menyatakan mengenai kedudukan istimewa orang
Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak.
Hak ini diberikan dengan jaminan bahawa orang bukan Melayu tidak akan
dipinggirkan daripada perancangan serta turut menikmati sepenuhnya
kemajuanekonomi negara.
Maka, keputusan untuk tidak meneruskan penggubalan Akta Hubungan Kaum
menunjuk sikap positif kerajaan berkaitan hubungan kaum di negara ini.
Sebagai alternatifnya, sangat penting untuk merangka satu dasar hubungan etnik
dan perkemaskan pelaksanaannya sebagai satu proses mendidik generasi muda.
Sekurang-kurangnya, mereka tidak mudah dieksploitasi oleh pemimpin politik
berkepentingan sehingga boleh mengucar-ngacirkan kestabilan negara.
Semoga hubungan etnik di negara ini akan berkembang subur dan menjadi contoh
kepada negara lain di dunia.
Penulis ialah Pensyarah Sosiologi Pendidikan,
Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Kongsi Konten di :


Artikel
Penuh:http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0128&pub=utusan_m
alaysia&sec=rencana&pg=re_01.htm#ixzz3BMw0IBoO
Utusan Melayu (M) Bhd












ARKIB : 20/08/2006
Perpaduan dan perdamaian etnik
Oleh: PROF. MADYA KAMARULZAMAN ASKANDAR
Negara yang dianggap paling maju sekalipun, harus berusaha melakukan
penyelidikan dan inovasi untuk terus menjadi lebih maju. Begitu juga negara yang
dianggap paling aman juga harus terus berusaha mengekalkan
keamanan. Malaysia bukanlah negara yang paling maju mahupun yang paling
aman. Kita mempunyai wawasan yang tertentu untuk menjadi negara maju dan
banyak tanda menunjukkan bahawa kita akan dapat mencapai sasaran kita tepat
pada waktu yang ditetapkan. Kita juga terus berusaha dan cuba mencari jalan bukan
saja untuk mengekalkan keamanan yang sedia ada, tetapi mencari penyelesaian
kepada isu-isu yang boleh memantapkan keamanan dalam masyarakat Malaysia.
Salah satu isu fokus yang sering memberikan cabaran kepada kita ialah isu
hubungan etnik.
Hubungan etnik adalah antara isu yang paling penting dalam sejarah pembentukan
negara-bangsa Malaysia. Dalam sebuah negara multi-etnik, dengan
sistem politik yang berpaksikan etnik, dengan banyak parti politik yang ditubuhkan
untuk mewakili kepentingan kumpulan etnik mereka yang tersendiri, etnisiti sering
dipolitikkan untuk mendapat undi, kuasa, dan kekuasaan. Etnisiti dalam konteks ini
bukan sahaja merupakan simbol yang mencerminkan, menggambarkan, atau
mewakili sesuatu kumpulan, tetapi ianya juga boleh dan sering digunakan sebagai
alat mendapatkan sesuatu kepentingan. Etnisiti, kalau dilihat secara kasar,
mempunyai kedua-dua konotasi positif dan negatif, tergantung kepada bagaimana
ianya diterima dan digunakan. Manusia, sebagai individu, maupun sebagai
sebahagian dari kelompok yang lebih besar, tidak boleh lari dari isu-isu, simbol, dan
label etnisiti. Kita juga tidak tidak boleh lari dari terlibat dengan aksi tolak-tarik dan
perdebatan positif-negatif etnisiti.
Yang penting ialah kita mengakui dan menerima bahawa wujudnya senario ini dan
berusaha supaya cara penyelesaian yang terbaik dapat ditimbulkan. Perkara-
perkara dan nilai-nilai yang boleh dianggap sebagai positif haruslah ditonjol dan
difokuskan. Perkara yang negatif dikurangkan, sementara usaha-usaha yang
berterusan dijalankan untuk mencari penyelesaian yang sesuai kepada masalah
tersebut. Tidak dilupakan atau diketepikan, tetapi dikurangkan untuk sementara
waktu, dan dihadapi bila senario berubah menjadi lebih baik dan masyarakat lebih
bersedia untuk menghadapinya.
Isu hubungan etnik dan masalah yang timbul dari hubungan ini bukanlah perkara
yang baru dalam konteks Malaysia. Masalah tinggalan era penjajah ini kerap timbul
dari masa ke semasa walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk mengurus dan
menyelesaikannya. Dalam beberapa tahun ini sahaja, kita berhadapan dengan
insiden-insiden yang mencabar keutuhan hubungan etnik di negara ini dan memberi
tanda tanya tentang keberkesanan program-program yang telah diperkenalkan untuk
mewujudkan perdamaian dan perhubungan etnik yang positif. Antara insiden besar
termasuk kes-kes Kampung Rawa pada tahun 1998 dan Kampung Medan pada
tahun 2001. Di samping itu, data-data yang dikumpulkan oleh Jabatan Perpaduan
mengenai insiden konflik sosial dari tahun 1998 hingga 2004 menunjukkan bahawa
walaupun insiden konflik kerana isu etnik atau perkauman adalah sedikit (cuma 1
peratus dari semua jenis isu konflik), insiden-insiden lain yang melibatkan isu-isu
seperti sosial, agama, keselamatan, politik, dan ekonomi, banyak melibatkan aktor
atau pelaku dari kumpulan etnik yang berbeza.
Ini boleh dibaca dengan dua cara. Satu, kita tidak perlu bimbang dengan isu etnik
kerana ianya bukan isu utama yang menimbulkan konflik di negara ini. Kedua, kita
harus meneruskan usaha memperbaiki hubungan etnik kerana majoriti insiden
konflik sosial yang berlaku melibatkan pihak atau aktor dari kumpulan etnik yang
berbeza. Bahayanya jika insiden-insiden ini tidak ditangani dengan baik, mereka
mungkin akan meningkat menjadi konflik etnik. Bahayanya juga jika hubungan etnik
ahli masyarakat Malaysia tidak baik, trend ini akan berterusan dan kesemua insiden
yang berlaku akan ditafsirkan oleh pihak-pihak tertentu sebagai konflik etnik, kerana
aktor-aktornya adalah daripada kumpulan etnik yang berbeza. Selain insiden-insiden
konflik sosial yang tercatat ini, indikator lain perhubungan etnik adalah tanggapan
masyarakat sendiri terhadap status dan tahap perhubungan antara etnik yang dibuat
secara pemerhatian kasar dan analisa oleh ahli masyarakat.
Saban hari kita sering mendengar keluhan-keluhan tentang status dan tahap
hubungan etnik. Ini selalunya dilakukan oleh beberapa kelompok. Pertama,
golongan yang pernah melalui era perpaduan dalam masyarakat. Yang membesar,
bermain, belajar, dan berkongsi sejarah dalam masyarakat majmuk dengan
kepelbagaian etnik, budaya, dan agama. Golongan ini sering membuat
perbandingan antara masyarakat sekarang dengan masyarakat dulu, dan melihat
masyarakat sekarang sebagai sudah hilang perpaduan, dan hubungan etnik
sekarang tidak lagi semurni dulu kerana telah dikotori oleh politik ahli politik dan
kepentingan politik.
Kedua, golongan yang melihat hubungan etnik sebagai sesuatu yang tidak relevan.
Yang melihat kepentingan sendiri, sama ada individu ataupun
kelompok, ekonomi atau politik, sekarang atau masa depan, sebagai sesuatu yang
lebih penting. Usaha mencapai perpaduan yang dijalankan dilihat sebagai boleh
melemahkan (secara sengaja atau tidak) kepentingan dan kedudukan mereka yang
selalunya sangat fokus, kepada etnisiti, bahasa, budaya, ekonomi, serta politik.
Keluhan-keluhan ini harus ditanggapi sebagai cabaran pembangunan negara.
Menghadapi cabaran yang ditimbulkan oleh hubungan etnik bukannya mudah.
Pelbagai usaha dijalankan termasuk penubuhan Jabatan Perpaduan Negara dan
Integrasi Nasional pada awal tahun tujuhpuluhan yang memperkenalkan program-
program memupuk perpaduan dalam masyarakat. Antara program-program yang
telah diperkenalkan oleh negara untuk menangani masalah ini termasuklah Rukun
Tetangga hinggalah kepada Pelan Integrasi Nasional;
penubuhan Sekolah Wawasan; Program Latihan Khidmat Negara di samping
banyak lagi program yang memfokuskan kepada kelompok belia ini; program
"Kongsi-Raya" dan lain-lain yang berusaha mempromosi perpaduan dan kefahaman
tentang budaya yang berbeza melalui cara meraikan hari kebesaran semua
kelompok secara bersama.
Di peringkat pengajian tinggi pula, fokus diberikan kepada pembelajaran dan
pemahaman budaya yang berbeza dengan harapan akan timbul apresiasi di
kalangan mahasiswa terhadap budaya-budaya tersebut. Pengenalan kursus-kursus
ini selalunya bersesuaian dan bertindan dengan cabaran-cabaran terkini yang
dihadapi oleh negara. Contohnya, bila Islam sedang dilihat oleh sebahagian
kelompok sebagai agama yang sering dikaitkan dengan keganasan dan
penggunaan kekerasan, kursus Tamadun Islam dan Tamadun Asia Tenggara
diperkenalkan. Ini diteruskan di peringkat nasional dengan memperkenalkan konsep
Islam Hadhari supaya Islam dapat dikaitkan kembali dengan fokusnya yang sebenar
iaitu pembangunan insan, pembangunan masyarakat, dan perdamaian.
Pengenalan kursus hubungan etnik di institusi pengajian tinggi negara yang begitu
hangat diperdebatkan pada masa ini pula adalah sebagai salah satu usaha untuk
menangani masalah hubungan etnik yang sering menjadi isu dalam proses
pembangunan negara. Ianya tidak bersifat reaktif, kerana ini bukanlah masalah yang
baru, tetapi lebih kepada meneruskan kesinambungan dalam usaha kita mencari
jalan penyelesaian kepada isu ini. Huraian di atas yang berdasarkan kajian dan
sejarah menunjukkan bahawa ianya adalah sesuatu yang sangat perlu. Fokusnya
kepada golongan mahasiswa di institusi pengajian tinggi adalah sesuai, dan usaha-
usaha Kementerian Pengajian Tinggi haruslah disokong dan dibantu. Pengenalan
kursus seumpama ini adalah yang terbaik kepada golongan ini kerana di samping
didedahkan kepada konsep-konsep hubungan etnik, mereka juga diberi peluang
untuk melakukan aktiviti secara bersama yang bukan sahaja dapat menambah ilmu
tentang isu yang difokuskan, tetapi lebih penting lagi dapat menggalakkan interaksi
antara mereka. Contohnya, di Universiti Sains Malaysia (USM), di samping
mengikuti kuliah tentang hubungan etnik di negara ini, mahasiswa juga diletakkan di
dalam kumpulan-kumpulan kecil untuk menjalankan praktikum atau kerja luar
dengan menfokuskan kepada isu-isu berkenaan masyarakat Malaysia sebagai
bahan kajian. Isu-isu ini merujuk kepada kepelbagaian etknik di Malaysia dengan
harapan akan timbul dan berkembang apresiasi mahasiswa terhadap kekayaan
budaya, adat resam, dan cara hidup yang berbeza di negara ini. Tajuk-tajuk yang
dipilih oleh mahasiswa sebagai tajuk praktikum ini pada semester yang lalu
termasuk kajian terhadap alat muzik, tarian, atau pakaian tradisional; kepercayaan-
kepercayaan dan hari-hari perayaan yang utama; tokoh dan karyawan dalam
sejarah pembentukan dan pembangunan negara; serta amalan-amalan seharian
termasuk apa yang dimakan, dijadikan sebagai permainan, dan lain-lain lagi.
Penekanan diberikan khususnya kepada mempelajari dan memahami apa yang
menjadi amalan kumpulan etnik yang lain. Interaksi dalam kumpulan yang berbilang
kaum serta interaksi dengan responden untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang
tajuk yang dipilih dapat memberi ruang dan peluang mengeratkan lagi hubungan
etnik antara mahasiswa di institusi pengajian tinggi, serta antara mereka dengan ahli
masyarakat.
Ini semua dilakukan dalam keadaan kita sedar bahawa usaha perpaduan dan
memantapkan hubungan etnik bukanlah sesuatu yang hanya boleh diajarkan
kepada masyarakat, terutamanya golongan muda. Ianya adalah sesuatu yang
seharusnya dirasai, dinikmati, dan dilalui bersama. Ia seharusnya dimulakan pada
peringkat yang paling awal kerana pada waktu itulah kanak-kanak mempelajari
pelajaran-pelajaran yang paling berguna dalam hidup mereka dan yang akan
menjadi pegangan hidup mereka nanti. Pada waktu itu juga mereka secara
umumnya belum diwarnai dengan warna-warna kehidupan dengan efeknya yang
pelbagai, positif maupun yang negatif. Kita juga tahu bahawa pengaruh kepada
mereka yang paling utama pada ketika itu ialah ibu bapa, ahli keluarga, dan guru.
Inilah golongan-golongan yang seharusnya menjadi sasaran kita kerana di sinilah
semuanya bermula.
Kembali kepada hubungan etnik di IPT, pendekatannya boleh dimantapkan lagi.
Memantapkan program ini memerlukan kita melihat isu hubungan etnik di negara ini
dari kaca mata perpaduan dan perdamaian. Memantapkannya juga memerlukan kita
memberi ruang yang lebih luas kepada golongan akademik, terutama pensyarah dan
mahasiswa, untuk berbincang secara jujur dan ikhlas tentang isu-isu yang mungkin
dianggap sensitif. Tafsiran, asumsi, dan andaian mereka mungkin berbeza-beza bila
membincangkan konsep-konsep hubungan etnik. Begitu juga dengan pendapat
mereka tentang sejarah pembentukan negara dan pelajaran masa silam, tetapi
kepelbagaian pendapat seperti ini tidak dapat dielakkan dalam negara yang
mempunyai kepelbagaian budaya dan yang kaya dengan kepelbagaian ini.
Kepelbagaian pendapat ini harus dipertahankan jika kita ingin menjadi negara yang
matang. Jika golongan akademik mentafsirkan konsep dan sejarah sedemikian rupa,
peranan masyarakat bukanlah untuk menyekat tafsiran ini, tetapi
membincangkannya, dan memberikan ruang untuk ianya dibincangkan.
Perbincangan ini juga seharusnya berlaku dalam senario yang tidak melibatkan
golongan politik dengan kepentingan politik yang kadang-kadang agak sempit.
Memantapkannya juga memerlukan kita kembali menekankan perhubungan antara
hubungan etnik dengan perpaduan dan dengan perdamaian. Hubungan etnik adalah
sinonim dengan perpaduan. Perpaduan adalah kedua-dua matlamat akhir dan juga
proses yang dapat membantu kita mencapai objektif bersatu-padu. Perpaduan
sebagai matlamat akhir adalah satu keadaan di mana masyarakat yang berbilang
etnik dapat hidup dalam satu masyarakat sebagai sebuah komuniti masyarakat
Malaysia. Perbezaan, yang jelas dan tidak jelas, masih tetap wujud dalam komuniti
ini kerana setiap kumpulan membawa keistimewaan mereka yang tersendiri, dengan
ciri-ciri agama, bahasa ibunda, makanan, pakaian, budaya, dan adat resam yang
telah dipengaruhi oleh sejarah perkembangan kumpulan mereka. Perbezaan-
perbezaan ini, walaubagaimanapun tidak mengganggu (atau tidak seharusnya
mengganggu) proses perpaduan dan pembentukan komuniti ini. Sejarah telah
membawa terwujudnya komuniti ini dan kepada terbentuknya sejarah yang dikongsi
bersama, sejak zaman sebelum merdeka sehinggalah sekarang ini.
Perpaduan sebagai satu proses juga mengajak kita menggunakan kaedah dan
pendekatan yang inklusif (inclusive) dan bukannya eksklusif (exclusive). Matlamat
negara haruslah dicapai dengan melibatkan semua kelompok masyarakat dan
bukan hanya segelintir ahlinya sahaja. Proses ini memerlukan penglibatan semua
golongan dan lapisan, bergerak bersama untuk mencapai matlamat yang dikongsi
bersama.
Perpaduan seterusnya adalah sinonim dengan perdamaian, yang juga merupakan
matlamat akhir yang diimpikan, di samping proses yang boleh membawa kita ke
matlamat tersebut. Jika cara yang digunakan dalam proses untuk mendapatkan
perdamaian bukanlah dengan cara yang damai, hasilnya iaitu perdamaian dalam erti
kata yang sebenar tidak akan tercapai. Perdamaian boleh dilihat dari dua perspektif
yang berbeza. Perspektif yang pertama melihat perdamaian dalam masyarakat
apabila tidak berlakunya keganasan, penggunaan kekerasan, dan peperangan
dalam masyarakat tersebut. Pertumpahan darah tidak berlaku, walaupun terdapat
isu-isu yang mungkin ingin dibangkitkan oleh ahli masyarakat. Dan peperangan tidak
berlaku, walaupun terdapat konflik dalam masyarakat tersebut. Keadaan ini lebih
dikenali sebagai perdamaian negatif.
Negatif kerana situasi masyarakat ini sebenarnya adalah rapuh dengan banyak isu
yang mungkin satu hari nanti menjadi tidak terkawal atau tidak dapat dikawal.
Kawalan yang ketat berupa undang-undang dan peraturan serta sistem pemantauan
dan implementasi yang terperinci dan keras, memastikan situasi terkawal dan
luahan aspirasi yang berlebihan pada masa kini dapat dikawal dan dicegah. Bak
gunung berapi yang masak, ianya akan pasti meletup satu hari kelak. Apabila ini
berlaku, masyarakat akan huru-hara dan sistem ini akan melalui proses perubahan
yang mungkin akan membawa pembaharuan, sama ada baik atau lebih buruk,
kepada masyarakat tersebut.
Perdamaian yang positif pula membawa maksud bahawa wujud semua perkara
yang disebut di atas tentang perdamaian negatif - iaitu masyarakat yang tiada
keganasan, kekerasan, dan peperangan. Bezanya ialah dalam perdamaian positif,
undang-undang dan peraturan yang ada dalam masyarakat bukanlah untuk
menekan rakyat tetapi adalah berdasarkan keadilan dan bertujuan mewujudkan
keadilan sosial, ekonomi, dan politik dalam masyarakat tersebut. Ianya tidak
bertujuan menindas luahan aspirasi ataupun mengetepikan mana-mana kelompok
masyarakat. Terdapat pula saluran-saluran dan mekanisme yang sah untuk
memastikan luahan ini dapat disalurkan dan konflik yang ada, dan bakal timbul,
dalam masyarakat dapat diurus dan diselesaikan dengan baik. Perdamaian yang
positif juga tiada keganasan struktural - iaitu struktur masyarakat yang menindas
sebahagian ahlinya sendiri; dan tidak mempunyai budaya keganasan - iaitu
kebiasaan menggunakan kekerasan dan keganasan dalam menyelesaikan masalah.
Apa yang ada adalah budaya perdamaian. Untuk menanam budaya perdamaian ini
boleh dilakukan dengan pelbagai cara. Salah satu daripada cara yang paling penting
adalah melalui pendidikan. Di sini pentingnya kursus-kursus seperti hubungan etnik
ini yang menekankan perdamaian sebagai cara hidup kita.
Kesimpulannya, dalam konteks Malaysia, perdamaian adalah sinonim dengan
perpaduan dan perpaduan pula sinonim dengan hubungan etnik yang baik. Jika kita
menyokong perdamaian, maka kita haruslah menyokong perpaduan dan usaha-
usaha untuk meningkatkan kualiti hubungan etnik di negara ini. Program-program
yang diperkenalkan untuk meningkatkan usaha-usaha seperti ini, termasuk program
seperti hubungan etnik di institusi pengajian tinggi, akan dapat memberi kesan yang
positif jika ianya dilakukan dengan niat yang betul dan sokongan masyarakat yang
komited kepada perpaduan dan perdamaian. Alternatifnya boleh kita perhatikan
dalam masyarakat lain yang bergelumang dengan isu dan konflik etnik yang tidak
terkawal dan merosakkan, dan seharusnya dicegah dari berkembang di bumi
Malaysia.
- Profesor Madya Kamarulzaman Askandar ialah Unit Penyelidikan dan Pendidikan
untuk Perdamaian Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains
Malaysia


Artikel
Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0820&sec=Rencana
&pg=re_05.htm#ixzz3BMx16ThO
Utusan Melayu (M) Bhd








ARKIB : 24/07/2013
Menghormati sensitiviti kaum di Malaysia
Oleh DR. MOHD MAHZAN AWANG
PENULIS ialah Pensyarah di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.
MALAYSIA adalah sebuah negara yang sering dikaitkan dengan kebijaksanaan dalam pengurusan
keharmonian antara kaum. Ini kerana lebih 50 tahun merdeka, tidak ada pergolakan kaum yang
benar-benar serius.
Beberapa siri insiden yang melibatkan perkauman dapat diselesaikan dengan jayanya. Kebanyakan
insiden perkauman di Malaysia berpunca daripada sensitiviti perkauman dan keagamaan. Ia adalah
api kecil yang boleh marak dengan pantas sekiranya tidak dipadam dengan cara yang berhikmah.
Tambahan pula dengan keunikan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada tiga kaum majoriti
dengan tiga agama utama. Unsur-unsur kebudayaan Melayu jelas dalam amalan Islam di Malaysia
serta banyak pengaruh Islam terhadap kebudayaan Melayu. Begitu juga dengan amalan agama
Buddha dan Hindu yang turut diwarnai oleh pengaruh kebudayaan Cina dan Hindu.
Penyerapan unsur budaya warisan dalam tradisi sesuatu kaum dalam amalan keagamaan
menjadikan banyak fenomena hidup berlainan kaum memiliki elemen-elemen sensitiviti. Haiwan-
haiwan seperti lembu, khinzir dan anjing adalah antara makhluk yang berpotensi menjadi isu sensitif
jikalau ia dibincangkan dalam konteks yang tidak berhikmah. Keadaan sebeginilah yang menjadikan
situasi budaya di Malaysia amat berbeza dengan negara-negara luar. Faktor-faktor sosio-budaya ini
jugalah mempengaruhi pemilihan lokasi kediaman, bentuk pendidikan, hala tuju kerjaya dan
pelbagai lagi.
Banyak kajian empirikal berkaitan hubungan etnik di Malaysia mendapati bahawa masyarakat
pelbagai kaum di Malaysia lebih selesa untuk berada dalam kelompok etnik masing-masing ekoran
daripada persamaan sosio-budaya yang memudahkan urusan penjagaan sensitiviti kaum. Malah,
ramai yang berasa lebih selesa memilih lokasi kediaman yang sama kerana persamaan bahasa,
budaya, cara fikir serta agama.
Hari ini, kita dapat lihat banyak kawasan yang diberi jolokan seperti kawasan Melayu, Cina dan India
namun itu bukan bererti tiada kaum lain dalam kawasan kediaman tersebut. Biarpun banyak usaha
dilakukan kerajaan untuk mempertemukan masyarakat pelbagai etnik dalam satu agenda perpaduan
seperti menerusi konsep Sekolah Wawasan, kuota perumahan bumiputera-bukan bumiputera,
penyaluran geran penyelidikan kesepaduan sosial secara jangka panjang, Program Kesepaduan Sosial
Negara (PADU), Rancangan Integrasi Murid untuk Perpaduan dan bermacam-macam lagi,
masyarakat pelbagai etnik masih cenderung untuk berada dalam kelompok etnik masing-masing.
Lebih 50 tahun merdeka, masyarakat pelbagai kaum masih memilih untuk berada dalam kelompok
majoriti kaum masing-masing tetapi mengekalkan keharmonian dan perpaduan. Mungkin inilah cara
masyarakat Malaysia untuk mengekalkan keharmonian. Setiap etnik dilihat yang lebih cenderung
untuk bersama-sama kelompok etnik masing-masing dan pada masa sama menjaga sensitiviti kaum
lain.
Maka, isu-isu sensitif dibicarakan dalam kelompok etnik-etnik masing secara bersemuka, berhikmah,
dalam skop dan konteks yang terkawal iaitu demi menjaga hati sahabat berlainan kaum.
Saya pasti isu-isu sensitiviti kaum sering dibincangkan tetapi dalam skop yang benar-benar terkawal
kerana perbincangan umum isu sensitif boleh melukakan hati sahabat berlainan kaum. Namun,
tanpa disedari kecanggihan teknologi telah membuka wadah baru dalam perbicaraan isu-isu sensitif.
Banyak isu sensitif telah menjadi bahan perbualan, perdebatan dan sindiran di laman-laman maya
untuk aktiviti interaksi sosial. Media sosial seperti Facebook dan Twitter telah mengumpulkan rakan-
rakan dalam satu forum terbuka. Jaringan sosial dalam media sedemikian tidak lagi terhad kepada
sesuatu kaum di Malaysia malah telah menjadi wadah global yang teramat terbuka. Natijahnya,
segala isu dibincangkan tanpa batasan dan berpotensi menjadi punca kepada ketidakharmonian
antara kaum dan agama.
Hari ini, banyak perkara yang dahulunya taboo telah menjadi perkara biasa dalam perbincangan di
media sosial. Perlu disedari bahawa media sosial adalah satu akses terbuka yang boleh tersebar
dengan cepat. Sejarah membuktikan bahawa kegagalan mengurus sensitiviti kaum dan agama
adalah penyumbang utama kepada ketidakselesaan dalam kalangan masyarakat, malah berupaya
mengundang risiko.
Justeru, dalam keadaan tahap pendidikan kebanyakan masyarakat di Malaysia makin tinggi,
kesedaran tentang peri pentingya keharmonian untuk kelestarian keamanan negara amatlah
penting. Saya pasti, dalam segenap proses pendidikan semenjak di bangku sekolah sehingga
universiti, para pendidik amat menitikberatkan perbincangan isu sensitif secara berhikmah dan
terkawal. Jangan kerana emosi, keharmonian tergadai.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130724/re_07/Menghormati-
sensitiviti-kaum-di-Malaysia#ixzz3BMxkCkhV
Utusan Melayu (M) Bhd









Artikal
Dewan masyrkt
Majalah
Surat khabar