Anda di halaman 1dari 4

UTUSAN MALAYSIA ARKIB : 22/07/2007

HAI penyakit jangkitan hospital


Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN
SEPERTI yang kita sedia maklum, hospital menempatkan sejumlah besar orang sakit dan
mempunyai sistem imun atau ketahanan tubuh yang lemah.
Petugas perubatan bergerak dari pesakit ke pesakit sekali gus menyediakan ruang kepada
patogen (mikroorganisme penyebab penyakit) untuk tersebar. Begitu juga dengan prosedur-
prosedur perubatan yang melangkau penghadang perlindungan semula jadi tubuh.
Justeru, tidak hairanlah jika tinjauan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan,
lebih 1.4 juta orang menderita komplikasi jangkitan yang diperoleh dari hospital (hospital
acquired infection) atau ringkasnya HAI, di seluruh dunia.
Sementara itu, kira-kira 10 peratus kadar jangkitan berlaku di hospital-hospital seluruh Asia
Tenggara. Bagaimana dengan Malaysia? Berapa banyakkah yang kita ketahui mengenai
senario jangkitan ini di dalam negara?
Kementerian Kesihatan dalam satu kajian baru-baru ini menganggarkan 1.3 peratus kes HAI
berlaku di negara ini. Nampak kecil. Bagaimanapun, angka itu jauh lebih berkurangan dari
situasi sebenar disebabkan oleh kesukaran untuk mendapatkan data-data tempatan yang
memerlukan pemantauan berterusan daripada kakitangan hospital.
Apa yang pasti HAI merupakan satu bebanan penyakit major yang mana sebahagian besar
daripadanya boleh dielakkan sebagaimana yang dibincangkan pada Kongres Antarabangsa
Persatuan Kawalan Jangkitan Asia Pasifik Ketiga (APSIC) yang dianjurkan Kuala Lumpur,
baru-baru ini.
HAI merujuk kepada jangkitan yang terjadi semasa pesakit tinggal di hospital yang sebelum
ini tidak mereka hidapi sebelum dimasukkan atau ditahan di wad. Kalau seseorang
mengalami patah tulang di hospital, adakah itu juga boleh dinamakan sebagai HAI? Turut
dikenali sebagai nosokomial, ia hanya eksklusif untuk jangkitan.
Nosokomial merupakan satu nama lain yang cuma agak fancy bunyinya bagi HAI. Ia diambil
dari perkataan Greek nosokomeion yang bermaksud hospital (nosos = penyakit, komeo =
penjagaan).
Kamus jururawat penerbit Fajar Bakti mendefinisikan jangkitan nosokomial sebagai
jangkitan yang berpunca dari hospital, seperti yang dihidapi oleh seorang pesakit selama
ditempatkan di hospital atau yang berkembang di kalangan kakitangan hospital.
Beberapa agen tertentu yang boleh ditularkan termasuklah bakteria, virus, fungus/kulat,
parasit dan prion. Bakteria Clostridium difficile dikenal pasti sebagai ketua penyebab
cirit-birit nosokomial di Amerika Syarikat dan Eropah.
Jangkitan nosokomial yang paling kerap ditemui termasuklah trek urinari (berkaitan saluran
kencing) dan pelbagai jenis pneumonia (radang paru-paru).
Setiap tahun, ribuan nyawa melayang disebabkan oleh jangkitan yang berlaku dalam
lingkungan kemudahan penjagaan kesihatan di negara-negara maju dan membangun yang
perlu segera ditangani kerana masalah ini berlaku di seluruh dunia, kata Pengerusi
Jawatankuasa Penganjuran APSIC, Prof. Dr. Nordiah Awang Jalil.
HAI mendatangkan bebanan yang ketara terhadap pesakit dan kesihatan awam kerana ia
merupakan punca utama kos morbiditi (keadaan berpenyakit) dan mortaliti (kematian).
Justeru, ujar beliau, meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai tahap keselamatan
pesakit serta memperbaiki kualiti penjagaan kesihatan di negara ini, terus menjadi
keutamaan.
Kemajuan dalam intervensi kawalan penyakit telah dikenal pasti sebagai salah satu medium
kritikal bagi memastikan keselamatan pesakit sekali gus mengawal prevalens/kelaziman
insidens HAI di hospital-hospital.
Jangkitan melalui aliran darah merupakan salah satu daripada HAI yang paling kerap berlaku
disebabkan oleh bakteria atau fungus yang memasuki saluran darah.
Sementara itu, jangkitan intravena (IV) iaitu terapi pemindahan cecair ke dalam pembuluh
darah adalah prosedur invasif yang paling biasa dilakukan di hospital dan diberikan sama ada
melalui periferal atau laluan pusat.
Kateter IV merupakan antara sumber jangkitan HAI melalui aliran darah yang sering terjadi.
Kateter adalah suatu tiub untuk disisipkan ke dalam bukaan yang sempit supaya cecair-cecair
dapat dimasukkan atau dikeluarkan.
Menggunakan pendekatan yang ringkas dan strategi intervensi berkesan boleh membantu
dalam mengurangkan kadar HAI terutamanya di kalangan mereka yang mempunyai risiko
jangkitan yang tinggi, jelas Pengasas dan Pengerusi Konsortium Kawalan Jangkitan
Nosokomial Antarabangsa, Prof. Dr. Victor Rosenthal.
Menerusi amalan menjaga kebersihan tangan, penjagaan kateter dan sistem infusi (suntikan
perlahan suatu bahan ke dalam vena atau tisu subkutaneus) tertutup, Dr. Rosenthal
mendapati, kadar jangkitan aliran darah mampu dikurangkan dengan ketara. Menurut beliau,
hasilnya adalah waktu tinggal di hospital yang lebih pendek bagi pesakit, kadar kematian
yang rendah, kekebalan terhadap bakteria dan kos yang dapat dikurangkan.
Bagaimanapun, tumpuan kepada strategi intervensi berkesan secara tunggal tidak
memadai. Apa yang penting, hospital dan organisasi yang menyediakan penjagaan kesihatan
perlu memfokuskan kepada usaha meminimumkan jangkitan yang boleh dielakkan.
Ia boleh dilakukan dengan cara mengukuhkan program-program pencegahan dan kawalan
jangkitan yang hanya boleh dicapai melalui pendekatan pasukan berbilang disiplin,
tambah Dr. Rosenthal.
HAI atau jangkitan nosokomial boleh diterjemahkan sebagai:
* Jangkitan yang diperoleh di hospital oleh pesakit yang dimasukkan ke wad disebabkan
penyakit lain yang tidak berkaitan jangkitan
* Jangkitan berlaku di kalangan pesakit yang berada di hospital atau lain-lain kemudahan
penjagaan kesihatan yang mana jangkitan tidak hadir atau mengeram pada waktu pesakit
dimasukkan ke hospital
Ini termasuklah jangkitan yang diperoleh di hospital tetapi mula timbul selepas pesakit keluar
dari hospital, dan juga jangkitan pekerjaan di kalangan kakitangan di dalam bidang berkaitan.
Prevalens
* HAI berlaku di seluruh dunia termasuklah negara-negara maju dan membangun
* Lebih 1.4 juta orang menderita komplikasi HAI di seluruh dunia
* Di negara maju, 5 hingga 10 peratus pesakit yang dimasukkan ke hospital mendapat satu
atau lebih jenis HAI, dengan risiko yang meningkat di negara-negara sedang membangun
(>25 peratus)
* Tinjauan WHO mendedahkan kekerapan HAI paling tinggi dilaporkan dari hospital-
hospital di Timur Mediterranean (11.8 peratus) dan Asia Tenggara (10 peratus).
* Kadar kekerapan bagi rantau Eropah dan Barat Pasifik masing-masing 7.7 dan 9 peratus
* Tinjauan terbaru oleh Kementerian Kesihatan menganggarkan, insiden HAI di negara ini
berada pada paras 1.3 peratus. Jumlah sebenar dijangkakan lebih tinggi.
Penyebab
* HAI selalunya berpunca daripada jangkitan luka pembedahan, jangkitan trek urinari dan
jangkitan trek pernafasan bawah
* Kajian WHO mendapati, kelaziman tertinggi jangkitan nosokomial terjadi di unit-unit
rawatan rapi, wad pembedahan akut dan wad-wad ortopedik (berkenaan tulang)
* Pesakit-pesakit daripada kalangan warga emas, bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan,
mempunyai penyakit-penyakit lain, menjalani kemoterapi adalah tergolong dalam mereka
yang berisiko tinggi menjangkiti HAI.
Kesan
* Jangkitan yang berpunca di persekitaran penjagaan kesihatan merupakan antara penyebab
utama kematian dan meningkatkan morbiditi di kalangan para pesakit yang terpaksa ditahan
di hospital
* HAI bukan sahaja memberi beban ketara terhadap pesakit tetapi juga kesihatan awam
* HAI menambah stres emosi dan ketidakupayaan fungsi pesakit dan dalam sesetengah kes,
boleh mendorong kepada ketidakupayaan fizikal yang menjejaskan kualiti hidup mereka
* Kos ekonomi turut bertambah dengan jangka masa berada di hospital yang lebih lama bagi
pesakit yang dijangkiti.
Pencegahan
* Hadkan pemindahan organisme antara pesakit dalam penjagaan pesakit secara langsung
dengan cara membersihkan tangan dengan betul (kakitangan hospital) sebelum menyentuh
setiap pesakit, menggunakan sarung tangan, amalan aseptik (bebas daripada bakteria yang
merosakkan) dan pembasmian kuman, strategi pengasingan serta mencuci pakaian
* Mengawal persekitaran yang berisiko untuk jangkitan
* Melindungi pesakit melalui penggunaan antimikrobial profilaktik (agen mencegah
perkembangan penyakit), pemakanan dan vaksinasi
* Mengehadkan risiko jangkitan endogenous (berasal dari dalam) dengan cara
meminimumkan prosedur invasif (bersifat terbuka) di samping menggalakkan penggunaan
antimikrobial optimal
* Pengawasan jangkitan, pengenalpastian dan kawalan wabak
* Mencegah jangkitan di kalanga kakitangan
* Meningkatkan amalan penjagaan kakitangan-pesakit dan mendidik petugas kesihatan secara
berterusan.

Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0722&pub=Utusan_Malaysia&sec=
Kesihatan&pg=kn_04.htm#ixzz3DRttHDxW
Utusan Melayu (M) Bhd