Anda di halaman 1dari 16

Nor Hasnida Che Md Ghazali

Effandi Hj Zakaria
nidacmg@yahoo.com

Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia

Abstrak

Kertas konsep ini bertujuan untuk membincangkan cabaran-cabaran yang menyebabkan guru lemah
dalam perkembangan profesional mereka. Definisi perkembangan profesionalisme dan pembangunan
modal insan dijelaskan diikuti ciri-ciri guru profesional juga dikupas terlebih dahulu sebelum
menyentuh aspek cabaran yang mempengaruhi guru dalam perkembangan profesionalisme mereka.
Kemudian, ia diikuti dengan cadangan dalam membangunkan profesionalisme guru. Di antara
strategi khusus yang telah diutarakan seperti mengadakan sistem pementoran di sekolah, konsep
belajar seumur hidup, mengadakan program perkembangan staf, mengadakan aktiviti dalam Lesson
Study, menggalakkan amalan reflektif, mengaktifkan program Bimbingan Rakan Sekerja,
menggalakkan kerja berkumpulan dan lain-lain. Perkembangan profesional guru juga dilihat dari
perspektif Islam untuk membangunkan hakikat diri guru itu sendiri iaitu rohnya (spiritual science).
Perkembangan ini akan melahirkan guru-guru yang seimbang pembangunan akal, roh dan nafsunya.
Adalah diharapkan kertas konsep ini akan dijadikan panduan kepada semua pihak dalam memastikan
pendidikan menjadi lebih berkesan. Harus diingat bahawa pendidikan itu ialah nyawa, roh dan nadi
pada sesuatu bangsa dan negara. Identiti sesuatu bangsa ditentukan oleh pendidikan ertinya
pendidikanlah yang akan menentukan maju atau mundurnya sesuatu bangsa, bertamadun atau tidak,
berani atau penakut, bersatu atau berpecah, berjiwa besar atau kecil dan ada cita-cita atau tidak.
Pendidikan jugalah yang akan menentukan hala tuju sesuatu bangsa di sesebuah negara samada
bangsa itu menjadi satu bangsa yang baik atau jahat, lembut atau kasar, bangsa yang individunya
memikirkan diri sendiri atau memikirkan bangsa, agama dan negaranya.

Kata Kunci: Pembangunan modal insan, perkembangan profesional, guru, sistem pementoran,
program perkembangan staf, amalan reflektif

PENGENALAN

Masyarakat kita sering menganggap bidang perguruan sebagai satu kerjaya yang kurang profesional.
Sejak kebelakangan ini, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia dan ahli politik berusaha untuk
mempertingkatkan martabat profesion perguruan. Ini adalah kerana kepekaan mereka dalam menilai
peranan guru dalam merealisasikan Wawasan 2020. Sehubungan dengan itu, pelbagai cadangan telah
dikemukakan untuk meningkatkan martabat profesion perguruan termasuk kenaikan gaji serta cara
bagaimana profesion perguruan dapat ditingkatkan kemuliannya di mata masyarakat seperti di zaman
datuk nenek kita dahulu.
Peranan guru sebenarnya sangat penting. Guru adalah sumber penyampai ilmu pengetahuan dan
kemahiran kepada para pelajar. Selain itu, guru juga berperanan sebagai tempat untuk
memperkembangkan bakat, minat dan kebolehan pelajar serta sebagai wadah untuk membina daya
pemikiran yang kritis dan kreatif pelajar sehingga mereka nanti dapat menyesuaikan diri dengan
perubahan yang berlaku di sekeliling mereka. Seorang guru yang telah menyempurnakan latihan samada
di maktab perguruan atau di mana-mana pusat pendidikan guru tidak seharusnya menganggap proses
pembelajaran mereka telah sempurna. Begitu juga dengan guru yang telah lama mengajar. Kejayaan
seseorang guru dalam kerjayanya antara lain bergantung kepada kesediaan guru untuk memajukan diri
dan profesionnya melalui pelbagai aktiviti dan program pendidikan secara formal, informal atau
nonformal. Guru akan melalui pelbagai bentuk perubahan samada di dalam atau di luar profesion.
Diantara tuntutan dalaman yang diperlukan ialah kesediaan guru untuk mencuba pelbagai teknik, kaedah
serta pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang efektif disamping menghadapi perubahan dari segi
istilah, kandungan kurikulum serta penggunaan teknologi baru (Mohamad Sani Ibrahim & Zuraidah
Majid, 2002).
Membangunkan guru itu sendiri menjadi salah satu faktor dalam membangunkan pendidikan di
sesebuah negara. Perkembangan profesional juga dilihat sangat diperlukan kerana kebanyakan guru
terutama generasi dulu yang telah 10 hingga 20 tahun mengajar di sekolah masih mengguna cara lama
dalam mengajar, misalnya. Borko (1998) menyatakan bahawa guru-guru yang telah lama mengajar lebih
menumpukan kepada penguasaan konsep sebagai fokus utama dan kurang memberi fokus kepada proses
itu sendiri atau ilmu yang dijana dari penyelesaian masalah dalam subjek tersebut. Fokus kedua ini
sebenarnya dapat diperolehi dengan memperbanyakkan aktiviti yang menggalakkan penglibatan pelajar
dalam membina, mengguna dan menilai pemikiran mereka. Sebagai contoh, untuk pengajaran matematik
misalnya, perlulah memasukkan lebih penyelesaian masalah dalam matematik, lebih komunikasi antara
guru matematik dengan pelajar dan mencari hubungkait antara idea matematik dan aplikasi. Dengan ini
satu perubahan perlu dilakukan di mana ahli jabatan di universiti perlu meningkatkan kualiti pengajaran,
fakulti pendidikan mesti menitikberatkan kepentingan ilmu dan kerajaan negeri mestilah berusaha keras
dalam menjalankan satu usaha yang sistematik untuk mengembangkan pembangunan profesional para
guru (Wu, 1999).
Hasil membangunkan profesional guru, kelak kita akan dapat membina kemahiran, pengetahuan
dan strategi pengajaran-pembelajaran, ketrampilan serta kemampuan untuk berurusan dengan masyarakat
sekolah dengan lebih baik. Mungkinkah profesional guru boleh terbangun? Sekiranya pembangunan
profesional guru tidak menjadi pelan utama bagi Kementerian Pendidikan, sehingga itulah kita tidak akan
memenuhi keperluan pendidikan bagi semua pelajar (NJCLD, 2000). Untuk mencapai apa yang kita
inginkan, bukan sahaja para guru yang terlibat tetapi juga sepatutnya melibatkan banyak pihak termasuk
pentadbir di jabatan pendidikan, para-para pentadbir sekolah, staf sokongan dan penjaga atau ibu bapa. Ia
mestilah dianggap tanggungjawab bersama dalam mendidik anak bangsa kita.
Diantara kepentingan perkembangan profesional di sekolah sebagaimana yang disarankan oleh
Anna Cratt (1996) ialah ia dapat membaiki kemahiran prestasi kerja guru, membaiki ketrampilan,
menambah pengalaman untuk perkembangan kerjaya atau untuk naik pangkat, membina pengetahuan
profesional dan pemahaman seorang guru, meningkatkan peribadinya, menghargai sumbangan guru,
memberi kepuasan dari segi ikhtisas, meningkatkan kefahaman guru, membolehkan guru menjangka dan
bersedia untuk berubah dan memperjelaskan polisi sekolah dan jabatan guru. Untuk membangunkan
profesional guru perlu dibuat dengan usaha yang teliti dan berhati-hati. Ini kerana, kita tidak mahu usaha
kerajaan yang mengguna dana yang banyak tidak mendapat hasil yang sepatutnya.

TUJUAN KERTAS KONSEP

Tujuan kertas konsep ini ialah untuk melihat cabaran-cabaran yang menyebabkan guru lemah dalam
perkembangan profesionalisme dan cadangan untuk meningkatkan perkembangan profesional guru. Ini
adalah penting memandangkan perkembangan profesional seseorang guru itu sangat berpengaruh dalam
pembinaan kemahiran, pengetahuan, strategi pengajaran dan pembelajaran dan ketrampilan guru yang
lebih baik.

OBJEKTIF KERTAS KONSEP

Objektif kertas konsep ini ialah untuk :
1. Melihat cabaran-cabaran yang dihadapi guru-guru sehingga mempengaruhi perkembangan
profesional mereka.
2. Memberikan beberapa cadangan bagi meningkatkan perkembangan profesional dalam kalangan
guru.

PERKEMBANGAN PROFESIONAL DI KALANGAN GURU

Perkembangan profesional ialah perkembangan profesionalisme sepanjang karier seseorang. Ia
melibatkan kedua-dua aspek iaitu aspek deskriptif dan preskriptif. Bagi aspek deskriptif, perkembangan
profesional merujuk kepada cara bagaimana evolusi seorang guru mengambil tempat atau berperanan
sepanjang kariernya. Sebaliknya, aspek preskriptif menghubungkan faktor latihan dalam mencorak sikap
profesionalisme sebagaimana yang kita inginkan (Kelchtermans, 1993). Day (1999) menakrifkan
profesionalisme diri sebagai hasil dari suatu proses pemikiran profesional dan tindakan dalam
pembelajaran sepanjang hayat. Proses ini melibatkan penyemakan semula, pembaharuan dan peningkatan
dalam komitmen mereka sebagai agen perubahan terhadap tujuan pengajaran. Pembangunan profesional
juga dilihat sebagai suatu proses yang intensif, berterusan dan sistematik untuk meningkatkan pengajaran,
pembelajaran dan persekitaran sekolah (Ferst & Berliner, 1985). Pembangunan profesional juga boleh
dilihat sebagai suatu proses kesedaran dalaman yang membawa kepada pemikiran yang kritis dan usaha
untuk menyelesaikan masalah (Boon P.Y, 2002).

Perkembangan profesional juga merupakan suatu proses yang berterusan berserta latihan yang membina
yang membolehkan guru menyelesaikan pelbagai masalah dalam pemdidikan. Ia juga membolehkan guru
mendidik pelajar sehingga pelajar mampu berdepan denagn cabaran hidup di luar sekolah dan juga
memikul tanggungjawab di zaman kerjanya nanti pada tahap yang membanggakan (AFT, 2000).
Perkembangan profesional guru juga boleh dinyatakan sebagai pembangunan guru dalam profesionnya
yang bertujuan meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan sikap mereka sebagai ahli akademik bagi
mencapai kecemerlangan untuk memenuhi sepenuhnya keperluan mereka dan masyarakat (Ramaiah,
1992). Mogana (1996) menyatakan keberkesanan pembangunan profesional guru dapat dilihat dalam
proses membaiki pengajaran dan pembelajaran.
Perkembangan profesional boleh dilihat sebagai perkembangan dalam aspek penyuburan diri guru
dalam pekerjaan mereka, mengukuhkan keyakinan, memupuk kemahiran, mengemaskini pengetahuan
secara berterusan, mendalami dan memahami dengan meluas apa yang mereka ajar dan menambah
kesedaran tentang sebab mereka perlu berbuat sesuatu di dalam bilik darjah (Perry, 1980). Menurut
Kathryn et al. (2008), pembangunan profesional ialah suatu proses yang intensif, berterusan dan
bersistematik yang bertujuan untuk meningkatkan pengajaran, pembelajaran dan suasana sekolah.
Tambahan lagi, beliau berpendapat bahawa melalui proses ini juga, guru akan diberi peluang untuk
meningkatkan ilmu dan skil dalam kandungan dan pengajaran mereka. Dengan peningkatan ini diharap
dapat meningkatkan pembelajaran matematik dan sains di semua sekolah di seluruh dunia.

PEMBANGUNAN MODAL INSAN

Pembangunan modal insan ialah proses pembangunan sumber manusia yang mampu menyumbang secara
aktif kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sesebuah negara (Khalijah Mohd Salleh, 2007).
Bahkan, menurut Al-Namiy (1994), manusia sebagai insan yang disempurnakan sifatnya dengan akal,
potensi diri dan kemahiran bertujuan untuk memahami, menguasai ilmu dan menonjolkan keupayaan
seseorang serta mampu untuk meneroka kehidupannya dan menjauhkan mara bahaya dari menimpanya.
Mendapatkan modal insan yang berkualiti sangat diperlukan oleh negara dalam mencapai matlamat
negara maju sebagaimana yang disampaikan oleh YAB Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 1 Mei
2006 sempena Perutusan Hari Pekerja yang menegaskan:

Modal insan yang berkualiti adalah satu kemestian, bukan lagi satu kemewahan.
Pendidikan dan latihan kemahiran berkualiti yang berterusan juga akan memastikan modal
insan negara kekal relevan dengan kehendak industri dan pasaran serta mampu berdepan
dengan cabaran dan suasana persaingan antarabangsa yang kian meningkat.

Kalau dilihat sejarah, bagaimana pembangunan modal insan ini pernah berjaya direalisasikan oleh
baginda Nabi s.a.w dalam membentuk ummah dan negara. Pembangunan ini telah dimulakan dengan
revolusi ilmu yang mencorakkan cara berfikir, tingkah-laku, akhlak, hukum agama, undang-undang dan
aturan hidup. Secara kesimpulannya bolehlah dinyatakan bahawa modal insan yang berdaya maju dan
mempunyai semangat juang yang tinggi memerlukan kekuatan rohani dan jasmani yang dilandasi
kepintaran akal.

CIRI-CIRI GURU YANG PROFESIONAL

Seorang guru yang profesional seharusnya seorang guru yang berilmu (content knowledge), mempunyai
kemahiran dan ketrampilan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (pedagogical knowledge and
pedagogical content knowledge), mempunyai sahsiah yang boleh menjadi contoh teladan dan ikutan
kepada golongan yang dipimpin. Diantara ciri sahsiah yang perlu dimiliki oleh seorang guru ialah
peribadi mulia dan mempunyai komitmen yang tinggi untuk menjayakan apa sahaja program (Md Sani et
al., 2008) seperti yang ditunjukkan didalam Rajah 1 dibawah.











Sahsiah
Bertaqwa
Berakhlak
Berperibadi mulia
Mempunyai komitmen
Bersopan santun
Bersikap positif
Berkebolehan
memimpin
Mengamalkan budaya
ilmu
Keterampilan
Merancang PnP
Mengurus PnP
Memilih strategi
PnP
Kemahiran
teknologi
Kemahiran generik
Kemahiran
kaunseling
Menilai PnP
Ilmu
Isi kandungan Mata
pelajaran
Pedagogical Content
Knowledge
Bahan
Kaedah
Teknologi
RAJAH 1: MODEL GURU YANG PROFESIONAL
Bahkan guru yang profesional juga seharusnya mempunyai enam konsep berikut iaitu berkemampuan
terhadap amalan profesionalisme di dalam bilik darjah, melaksanakan amalan profesional di sekolah,
bertingkahlaku secara profesional di dalam bilik darjah dan sekolah, bertanggungjawab untuk
meningkatkan profesion, menerima latihan dan pendidikan pembangunan yang profesional dan
bertanggungjawab sebagai agen reformasi masyarakat (Robiah, 2002).

CABARAN YANG MEMPENGARUHI GURU DALAM PERKEMBANGAN
PROFESIONALISME.

Perkembangan dan cabaran dunia pendidikan yang dinamik masa kini menuntut guru membuat anjakan
paradigma yang menyeluruh. Pergolakan dalam bidang pendidikan memerlukan guru meneliti setiap
aspek pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan perubahan yang dilakukan dapat dimanfaatkan
sepenuhnya oleh setiap ahli masyarakat dalam sesebuah institusi pendidikan. Mengikut Sufean Husin
(2008) cabaran yang dihadapi oleh guru dalam profesion keguruan dikategorikan kepada cabaran daripada
pihak sekolah, cabaran daripada murid, cabaran untuk memenuhi harapan dan jangkaan ibu bapa, cabaran
untuk memenuhi harapan dan jangkaan negara, cabaran untuk memenuhi tuntutan perubahan masa dan
cabaran dalam diri guru itu sendiri terhadap profesion keguruan.
Cabaran Daripada Pihak Sekolah
Cabaran daripada pihak sekolah merupakan cabaran utama yang dihadapi oleh guru. Sistem pendidikan
yang berorientasikan peperiksaan melihat kejayaan sekolah berdasarkan prestasi peperiksaan yang dicapai
oleh muridnya. Fenomena ini mencetuskan persaingan akademik dalam kalangan pentadbir sekolah untuk
mendapatkan pengiktirafan umum dengan mengarahkan guru mengadakan program akademik seperti
kelas tambahan termasuk dalam masa cuti dan menambah bilangan buku rujukan serta menjalankan
aktiviti bercorak motivasi untuk menjana kecemerlangan murid dalam peperiksaan. Hal ini memberikan
tekanan kepada guru serta menambahkan lagi beban tugas mereka. Sekiranya peratusan kelulusan yang
disasarkan tidak dicapai, maka guru akan dianggap sebagai guru yang tidak komited dan kurang berjaya.
Selain daripada itu, masalah kekurangan guru, kekurangan prasarana dan kemudahan pengajaran dan
pembelajaran yang dihadapi oleh sesetengah sekolah turut memberikan tekanan kepada guru. Kekurangan
tenaga guru menyebabkan guru sedia ada terpaksa memikul tanggungjawab tambahan untuk mengajar
mata pelajaran yang bukan opsyennya. Hal ini menyebabkan guru terpaksa mengorbankan masa rehatnya
untuk membuat persediaan rapi dengan merujuk kepada bahan pembelajaran mata pelajaran yang bukan
opsyennya. Bilangan murid yang ramai, keadaan bilik darjah yang sesak memburukkan keadaan.
Cabaran Daripada Murid
Pengurusan pembelajaran yang berkesan dalam bilik darjah merupakan cabaran kepada guru. Pelbagai
kerenah yang dijelmakan oleh murid daripada pelbagai latar belakang, tahap pencapaian dan kebolehan
merupakan situasi yang sering dihadapi oleh guru. Kewujudan keperluan yang berbeza dalam kalangan
murid merupakan cabaran kepada guru yang menuntut usaha yang lebih daripada pihak guru untuk
memahami serta memenuhi kepelbagaian murid serta keperluan mereka. Dalam hal ini, guru perlu
mempunyai pengetahuan yang secukupnya dalam aspek memahami keperluan murid serta mempunyai
kemahiran pengurusan bilik darjah yang baik supaya proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan
lancar. Guru juga terbeban dengan masalah tingkah laku dan disiplin dalam kalangan murid. Disamping
itu juga ditambah lagi dengan masalah murid yang tidak minat untuk mengikuti proses pengajaran dan
pembelajaran. Ini merupakan masalah yang perlu ditangani oleh guru secara berkesan. Sekiranya masalah
ini tidak ditangani dengan berkesan, implikasi terhadap murid bermasalah dan murid lain akan menjadi
lebih serius. Dalam hal ini, sokongan daripada ibu bapa dan masyarakat adalah amat diperlukan bagi
menangani masalah yang timbul. Masyarakat dan ibu bapa dapat membantu dari aspek pemantauan
aktiviti anak-anak mereka di rumah. Kolaborasi di antara pihak sekolah, masyarakat dan ibu bapa sudah
tentu akan dapat membantu mengurangkan masalah yang dihadapi oleh guru dalam memberikan
pendidikan yang berkualiti.
Cabaran Untuk Memenuhi Harapan dan Jangkaan Ibu bapa.
Profesion keguruan sentiasa terdedah kepada kritikan masyarakat. Tanggungjawab mendidik seringkali
diserahkan sepenuhnya oleh ibu bapa kepada guru. Kehendak ibu bapa yang mahukan guru mendidik
anak mereka dan membentuk sahsiah dan keperibadian serta kebolehan intelektual anak mereka
merupakan tanggungjawab dan cabaran yang amat berat bagi guru. Ibu bapa juga cepat menyalahkan dan
mempertikaikan tindakan guru terutama sekiranya berlaku sesuatu peristiwa yang kurang disenangi di
sekolah yang melibatkan anak mereka. Suatu perkara yang amat penting bagi guru ialah mesti mengetahui
latar belakang murid dan keluarga, matlamat dan aspirasi ibu bapa terhadap anak mereka bagi
membolehkan guru menjalankan tugas mereka dengan lancar dan penuh keyakinan. Selain dari itu,
perkongsian dan jaringan pintar serta hubungan yang baik antara ibu bapa dan sekolah perlu dimantapkan
supaya proses pendidikan dapat dilaksanakan dengan sempurna dan kurang memberikan tekanan kepada
guru.
Cabaran Untuk Memenuhi Harapan dan Jangkaan Negara
Guru ialah golongan yang menjadi harapan negara dalam proses pembentukan modal insan demi
kemajuan negara di masa hadapan. Peranan guru dalam merealisasikan misi dan visi negara tertakluk
kepada bentuk warga yang dihasilkan melalui sistem pendidikan negara. Dalam konteks ini, guru perlu
memahami aspirasi masyarakat dan negara terhadap golongan guru. Dasar Pendidikan Kebangsaan,
Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Pelan Induk Pembangunan Negara merupakan antara dokumen
yang perlu difahami dan dihayati oleh guru dalam usaha untuk merealisasikan hasrat negara melalui
proses pembinaan modal insan. Penghasilan modal insan yang seimbang dari aspek intelek, jasmani,
rohani dan emosi yang menjadi tunjang pendidikan di bawah Falsafah Pendidikan Kebangsaan menjadi
cabaran yang perlu dihadapi oleh guru dengan penuh tanggungjawab. Cabaran yang dihadapi oleh guru
melalui perubahan kurikulum yang bersifat dinamik selaras dengan keperluan semasa menuntut guru
untuk melakukan penyesuaian agar segala objektif yang disasarkan melalui perubahan kurikulum akan
dapat dicapai. Perubahan secara mendadak boleh memberi tekanan kepada guru.
Cabaran Untuk Memenuhi Tuntutan Perubahan Semasa
Cabaran utama guru adalah berkaitan dengan keperluan masyarakat dan negara dalam menghadapi era
globalisasi dan k-ekonomi. Hargreaves (2003) menyenaraikan tiga cabaran utama guru dalam era k-
ekonomi iaitu: 1) menjadi pemangkin kepada masyarakat berpengetahuan (knowledge society) untuk
merealisasikan peluang yang dibawa bersamanya; 2) menjadi pengimbang kepada masyarakat dari
ancaman yang dibawa oleh era k-ekonomi; dan 3) menjadi pihak yang dipertanggungjawabkan untuk
memenuhi jangkaan dari segi pendidikan dengan menggunakan kos yang minima. Dalam hal ini, bidang
pendidikan dan guru adalah diharapkan berfungsi sebagai penyelamat masyarakat. Masyarakat yang
berpengetahuan merujuk kepada sistem ekonomi yang dijana melalui aspek kreativiti dan keaslian. Hal ini
menyebabkan masa hadapan dan kemakmuran negara bergantung kepada kemahiran tenaga kerjanya (k-
worker) yang meliputi aspek menterjemahkan idea yang kompleks, mengambil peluang daripada
perkembangan sains dan teknologi serta menyelesaikan masalah yang belum pernah dihadapi. Tambahan
pula, golongan k-worker ini diharapkan akan dapat memberikan nilai tambah kepada sebarang bentuk
produk dan perkhidmatan yang dihasilkan. Sehubungan itu, sekolah dan guru adalah diharapkan dapat
memainkan peranan penting dengan sebaiknya dalam menyediakan murid dengan kualiti tersebut dan
memperkembangkan pengajaran tentang kreativiti dan keaslian. Justeru, guru dan sekolah adalah
diharapkan akan dapat melahirkan modal insan yang berfungsi untuk kesejahteraan diri dan menyumbang
ke arah pembangunan negara.
Cabaran Dalam Diri Guru Terhadap Profesion Keguruan
Cabaran terbesar yang dihadapi oleh guru ialah untuk memotivasikan diri menjadi pendidik selaras
dengan harapan ibu bapa, masyarakat dan negara. Tekanan beban kerja, penghormatan masyarakat
terhadap profesion keguruan yang agak hambar serta imbuhan pendapatan yang tidak setanding dengan
golongan profesional lain boleh dikaitkan dengan tahap motivasi dalaman guru. Faktor bebanan tugas
yang boleh menimbulkan fenomena burn out dalam kalangan guru, imbuhan kerja yang kurang menarik
dan kekurangan peluang kenaikan pangkat menjadi faktor penolak kepada guru untuk terus kekal dalam
profesion yang mulia ini.

CADANGAN MEMBANGUNKAN PROFESIONALISME GURU

Perkembangan profesional guru sepatutnya mampu membawa perubahan kepada organisasi sekolah dan
meningkatkan sistem perguruan. Dalam menghadapi zaman yang teknologinya berkembang dengan
begitu pesat dewasa ini, guru harus mempersiapkan diri mereka dengan profesionalisme diri supaya
seiring dengan perkembangan zaman.
Secara amnya, usaha-usaha kearah membangunkan modal insan seorang guru dapat dilaksanakan
berdasarkan ciri-ciri dan nilai-nilai yang terdapat dalam 10 Prinsip Islam Hadhari (Abdullah Md. Zain,
2007). Diantaranya ialah dengan memperbetulkan dan memperkasakan pengetahuan umat Islam tentang
Tasawwur Islam, memperkasakan ketakwaan dan keimanan umat Islam, mempertingkatkan usaha
penguasaan ilmu secara meluas, berterusan dan besepadu antara ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah,
melahirkan lebih ramai pakar dalam pelbagai bidang dan menggunakan sepenuhnya kepakaran dalam
membangunkan negara, menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan ilmu dalam semua bidang,
memperbanyakkan hasil kajian baru yang boleh dimanfaatkan semua manusia dan menonjolkan peranan
ilmuan dan sumbangan mereka kepada pembangunan ummah serta berusaha menjadikan mereka sebagai
role model dalam masyarakat yang bertamadun.
Di antara strategi khusus yang membolehkan perkembangan profesionalisma seorang guru dalam
membangunkan modal insan mereka termasuklah aktiviti pementoran, melibatkan diri dalam latihan
dalam perkhidmatan, kursus dan seminar, amalan refleksi, amalan penyelidikan tindakan, latihan
profesional berterusan, perkembangan profesional online dan penglibatan dalam aktiviti Pusat Kegiatan
Guru.
Salah satu cara untuk meningkatkan profesionalisma di kalangan guru ialah sistem pementoran di
sekolah. Sistem pementoran adalah suatu sistem dimana seorang guru yang lebih berpengalaman
bertindak sebagai role model, penasihat dan pembimbing kepada guru lain yang kurang
berpengalaman untuk memindahkan perkembangan profesional dan peribadinya. Ini dilaksanakan
secara bersahaja dalam suasana kasih sayang di sepanjang waktu (Anderson & Shannon, 1995).
Proses pementoran melibatkan pengajaran, bimbingan, memberi galakan, kaunseling dan
membina persahabatan dengan guru yang lebih berpengalaman. Guru juga sepatutnya
bertanggungjawab bukan sahaja dalam peningkatan profesional guru dibawahnya, malah
sepatutnya peningkatan keseluruhan perkembangan guru tersebut. Pada kebiasaannya, seorang
guru akan mempunyai seorang atau beberapa orang mentor untuk membimbingnya.
Konsep belajar seumur hidup memberi peluang kepada guru membaca, menulis dan membuat
penyelidikan tindakan. Ini dapat memahirkan guru, seterusnya dapat meningkatkan
profesionalisme guru tersebut. Hanya dengan ilmu pengetahuan dapat menjadikan manusia
bertaqwa dan mengagumi Tuhannya (Tajul Ariffin & Noraini, 2002). Dengan ilmu jugalah
manusia mampu memikul tanggungjawab mengurus dan mentadbir alam ini. Dunia sekarang
semakin maju dan teknologinya juga cepat berkembang. Kemajuan dalam bidang internet
memungkinkan guru di Malaysia dapat berhubungan dan bertukar maklumat. Bukan itu sahaja,
kini dengan konsep dunia tanpa sempadan, membolehkan ilmu dan pengalaman dapat sampai ke
negara kita dengan cepat. Menurut Mohd Amin (2002), guru-guru bahasa Inggeris sangat bagus
dengan dengan penggunaan internet sebagai contohnya ialah VirTEC (Virtual Teacher Education
Center) telah berjaya merangsang guru dalam membina profesionalisme mereka.
Mengadakan program perkembangan staf. Diantara peranan yang dimainkan oleh perkembangan
staf termasuklah memberi sumbangan kepada peningkatan ilmu, ketrampilan dan kepakaran staf,
membina semangat berpasukan dan meningkatkan kualiti pembelajaran dan pengajaran di
sekolah. Menurut Sani et al. (2008), adalah mustahil untuk meningkatkan keberkesanan sekolah
atau menggerakkan profesionalisme guru tanpa program perkembangan staf. Malah, banyak
kajian tentang perkembangan staf telah membuktikan bahawa penglibatan melalui aktiviti
kerjasama dalam pasukan akan mencetuskan pemikiran dan memberikan perspektif baru yang
penting kepada perkembangan profesional staf (Little, 1982).
Bagi sesebuah negara, untuk mendapatkan pendidikan sesuatu subjek yang lebih baik mestilah
dengan mendapatkan guru yang lebih baik. Pihak kerajaan seharusnya menyusun satu program
yang canggih dan tersusun untuk melatih guru-guru secara berterusan seperti Kursus Pendek
Kelolaan Maktab (KPKM) dan lain-lain kursus. Sepanjang latihan, guru akan didedahkan dengan
kemahiran dalam subjek, mengembangkan kemahiran-kemahiran, memperkaya diri dengan
pengetahuan dan trend-trend pengajaran dan pembelajaran. Setelah menghadiri kursus, guru yang
pulang ke sekolah masing-masing sepatutnya menjalankan latihan dalaman untuk sekolah
masing-masing agar guru-guru lain juga dapat pengetahuan dan kemahiran dalam bidang tertentu
seperti pembelajaran bestari, pengajaran matematik dan sains dalam Bahasa Inggeris, teknologi
maklumat dan komunikasi atau bimbingan dan kaunseling.
Aktiviti-aktiviti dalam Lesson Study melibatkan pelajar, guru dan pensyarah dalam
pembelajaran dan pengajaran matematik, skil kehidupan, aktiviti hands on dan pembinaan silibus.
Objektif sebenarnya adalah untuk meningkatkan pendidik matematik dengan kegiatan pengajaran
matematik yang betul (Hera, 2003). Di Jepun, Lesson Study dibuat dengan guru membina pelan
pengajaran dan membina soalan-soalan dari perspektif pelajar matematik. Dengan menganalisa
soalan matematik tersebut, guru dikatakan boleh membina soalan matematik yang lebih bagus. Ia
ternyata dapat meningkatkan profesional guru dari segi pengajaran dan pelbagai metod
pengajaran. Para pensyarah pula dapat mengetahui masalah yang dihadapi oleh guru dengan lebih
jelas. Lebih dari itu, banyak bahan-bahan alat bantu mengajar telah dihasilkan oleh guru-guru dan
pensyarah matematik (Marsigit, 2007). Dengan bertambahnya pelbagai bahan mengajar, ini akan
menjadikan proses pengajaran dan pendidikan lebih efisien.
Pihak pentadbir sekolah perlu menggalakkan amalan reflektif di kalangan guru di sekolah. Tan et
al. (2003) merujuk amalan reflektif dalam perguruan sebagai guru tahu apa yang dilakukannya,
mengapa melakukannya dan menilai kesan dari apa yang dilakukan. Selain itu guru juga dapat
mengaplikasikan ilmu berkaitan pendidikan dan penyelidikan dalam membina hipotesis berkaitan
dengan keberkesanan sesuatu strategi pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah yang mana
hal ini sangat diamalkan, dinilai dan disemak dari semasa ke semasa. Dr Abd Yusof (2007)
melihat amalan reflektif sebagai satu proses ingin tahu terhadap sesuatu secara mendalam dan
sentiasa menambah nilai baik terhadapnya. Guru yang berjaya adalah guru yang menjadikan
amalan reflektif sebahagian amalan hariannya.
Pihak sekolah juga sepatutnya mengaktifkan program Bimbingan Rakan Sekerja. Ia adalah satu
program untuk melatih guru yang dapat membantu guru lain disekolah melalui pengintegrasian
teknologi maklumat dan komunikasi melalui sokongan, perbincangan dan perkongsian amalan
pengajaran. Ia juga boleh dikatakan sebagai satu kaedah peningkatan profesional yang dapat
meningkatkan mutu pengajaran. Ianya satu program dimana guru berkongsi kemahiran dan
menyumbang kepada sokongan dan bantuan untuk belajar skil-skil pengajaran yang baru dan
menyelesaikan masalah berkaitan pengajaran (Dalton, 1991). Ia juga dilihat sebagai satu strategi
yang sangat baik untuk meningkatkan profesional seorang guru kerana melalui strategi ini guru
dapat mengemaskini latihan pengajarannya dan meningkatkan pencapaian pelajar (Joyce et al.,
1996). Diantara peranan program ini ialah ia dapat merangsang perkembangan peribadi dan
profesionalisme, berkongsi strategi yang berkesan dalam proses pengajaran, memberi peluang
untuk membina dan mengguna skil bimbingan dan akhirnya membantu dalam melibatkan diri
dalam isu peribadi atau profesional.
Pihak sekolah dicadangkan membudayakan kerja berkumpulan di sekolah masing-masing. Satu
kumpulan terdiri daripada 2 hingga 5 orang guru bekerja bersama untuk merancang,
melaksanakan dan menilai aktiviti pembelajaran untuk sekumpulan pelajar yang sama. Guru
dalam satu kumpulan itu sebaiknya berbeza dari segi subjek yang diajar, minat, perspektif dan
tahap pembelajaran. Ini akan memberi kekuatan pada kumpulan dan perkembangan setiap ahli.
Kelebihan cara ini ialah dapat meningkatkan prestasi pelajar dari sudut bertambahnya
tanggungjawab terhadap pembelajaran. Pendedahan kepada skil dan pandangan dari lebih
daripada seorang guru boleh membina kefahaman yang lebih matang. Pembelajaran juga akan
menjadi lebih aktif. Ini boleh membawa pelajar mengarah kepada kerja berpasukan. Kajian
mendapati bahawa pelajar telah menilai yang kerja berkumpulan benar-benar berkesan dalam
pembelajaran mereka (Quinn et al., 1984).
Pihak kementerian atau pihak swasta diharapkan tampil dengan model-model baru dalam
meningkatkan pembangunan profesional guru. Kini, terdapat banyak model baru dari luar negara
yang boleh kita ubahsuai dan adaptasikan dengan budaya masyarakat kita. Contoh yang ada
sekarang ini ialah Model Kitar Penyelesaian Masalah. Didalam model ini terdapat 3 bengkel yang
saling berkaitan untuk guru matematik menyelesaikan masalah matematik. Proses penyelesaian
ini akan memberi peluang guru matematik untuk berkongsi pembelajaran, pelan pengajaran dan
pengalaman mengajar. Disini guru juga akan memikirkan secara mendalam tentang isi kandungan
matematik dan arahan dalam matematik. Guru dan fasilitator akan bekerja bersama untuk
memilih matlamat untuk bengkel pembangunan profesional termasuk matlamat untuk silibus
matematik dan meninjau latihan pedagogi yang baru (Jacob, 2005). Model ini dianggap sangat
penting dalam membina profesional guru. Ini adalah kerana dalam membina masyarakat yang
produktif dan bersaing dalam dunia yang semakin mencabar, pelajar sangat memerlukan
penerapan ilmu matematik yang berkesan. Ilmu tentang matematik sangat besar peranannya
dalam pembentukan diri pelajar dimasa akan datang.
Strategi-strategi lain yang boleh digunakan juga dalam meningkatkan profesionalisme guru ialah
dengan menetapkan laluan kerjaya untuk guru-guru dan mengenalpasti guru yang boleh dilantik
sebagai guru cemerlang dan memastikan guru lebih komited kepada matlamat dan nilai organisasi
masing-masing.

KESIMPULAN

Perkembangan profesional guru dilihat dari persepsi Islam ialah satu pembangunan yang dilaksanakan
untuk membangunkan hakikat diri guru itu sendiri iaitu rohnya (spiritual science). Ia merupakan didikan
yang dilaksanakan secara saksama dan bersepadu dalam membina akal, nafsu, roh dan fizikal manusia.
Perkembangan ini sangat jauh berbeza jika dibandingkan dengan perkembangan profesional di Barat yang
hanya menumpukan pembinaan akal, fizikal dan nafsu semata-mata. Maka lahirlah guru-guru yang tidak
seimbang antara pembangunan akal, fizikal, roh dan nafsunya. Kesan daripada didikan yang tidak
seimbang, realiti berlaku sekarang sangat berbeza dengan apa yang dibuktikan oleh sejarah. Bagi orang-
orang dahulu, roh dan akal mereka turut dewasa bersama fizikalnya. Sebagai contoh, Sayidina Usamah
bin Zaid telah dilantik sebagai panglima perang ketika umurnya 18 tahun. Hasan Al-Basri, pada usia
mudanya, iaitu 10 tahun, telah diiktiraf oleh Sayidina Ali untuk mengajar ulama dan Sahabat dalam
tafsir, fekah, tasauf dan lain-lain sedangkan beliau dari tabiin. Imam As- Syafie pula telah dilantik
menjadi mufti di Baghdad ketika berusia 15 tahun. Oleh itu, negara perlu merancang untuk membina
persekitaran yang merangsang pembinaan roh dan akal guru sehingga boleh melagang sistem pendidikan
dengan berkesan. Perlaksanaan sistem ini mesti dimulakan sekarang supaya menjadi role model kerana
setakat ini kita belum mempunyai contoh untuk diketengahkan. Mari kita ulang sejarah Muhammad Al-
Fateh yang ketika umurnya 21 tahun di Turki telah mampu membina empayar yang menundukkan kuasa
besar di kota Konstantinopel. Inilah bukti kebenaran yang dibawa oleh sistem pendidikan yang
mendewasakan roh dan akal selari dengan kedewasaan fitrah dan fizikal manusia. Kalaulah di usia muda
manusia mampu melakukan tanggungjawab yang besar, apatah lagi jika mereka telah mencapai usia yang
lebih dewasa. Sudah tentulah berbagai kejayaan lagi dapat mereka cetuskan. Perkembangan profesional
guru ini sangat penting kerana gurulah yang mendidik anak bangsa kita. Harus diingat bahawa pendidikan
itu adalah nyawa, roh dan nadi pada sesuatu bangsa dan negara. Identiti sesuatu bangsa ditentukan oleh
pendidikan. Ertinya pendidikanlah yang akan menentukan maju atau mundurnya sesuatu bangsa,
bertamadun atau tidak, berani atau penakut, bersatu atau berpecah, berjiwa besar atau kecil dan ada cita-
cita atau tidak. Pendidikan jugalah yang akan menentukan hala tuju sesuatu bangsa di sesebuah negara
samada bangsa itu menjadi satu bangsa yang baik atau jahat, lembut atau kasar, bangsa yang individunya
memikirkan diri sendiri atau memikirkan bangsa, agama dan negaranya. Perkembangan profesionalisme
guru secara berterusan adalah aspek yang tidak patut diabaikan oleh pentadbir institusi pendidikan
termasuk sekolah. Ianya perlu dijadikan sebagai aktiviti wajib dalam usaha untuk menginstitusikan
konsep pembangunan sumber manusia. Sekiranya aspek ini tidak dititikberatkan ia akan menjejaskan
profesion perguruan. Di Malaysia, program perkembangan profesionalisme untuk guru-guru belum lagi
merupakan program yang telah diinstitusikan diperingkat sekolah. Kegagalan dalam perkembangan
profesional mendatangkan banyak kelemahan seperti kekurangan kemahiran yang nanti akan
mempengaruhi pengajaran guru. Diharapkan kajian ini dapat memberikan sedikit gambaran tentang
langkah-langkah yang dapat diambil oleh semua pihak dalam meningkatkan perkembangan
profesionalisme para guru.

RUJUKAN

Abdullah Md Zain. (2007). Ulul Albab: Pendekatan Islam Hadhari kea rah melahirkan modal insan
terbilang. Kertas Kerja Seminar Ulul Albab. Anjuran JAKIM. Kuala Terengganu, 21 September
2006.hal 40.
Anderson, E.M and Lucasse Shannon A. (1995). Towards a conceptualization of mentoring in Issues in
Mentoring, London: Routledge,Open University.
Atkinson,T. (1996). Teacher mentors and student-teachers: what is transmitted? in Claxton,G.
Liberating the Learner-Lessons for Professional Development in Education, London: Routledge.
Baero,P. (1996). Didactics of Mathematics And The Profesional Knowledge of Teachers. Netherlands:
Kluwer Academic Publisher, 1097-1121.
Boon, P. Y. (2002). Amalan Reflektif Kearah Peningkatan Profesional Guru. Journal IPBA/Jilid 3 : Bil 2.
Borko, H & Putnam, R. (1998). Profesional development and reform-based teaching. Teaching and
Teacher Education, 14(1), 1-3.
Desimone, L; Porter, L, Garet, M. (2001). Features of profesional development that improve teachers
instruction : Results from a 3-year longitudinal study, U.S Department of Education: US.
Dr Abd Yusof. (2007). Guru dan kepentingan amalan reflektif: satu kajian kes. Journal Akademik, Institut
Perguruan Kota Bharu. Jilid 13.
Edward, A and Collison, J.(1996). Mentoring and Developing Practice in Primary Schools. Buckingham:
Open University Press.
Effandi Zakaria, Norazah Nordin & Sabri Ahmad. (2007). Trend pengajaran dan pembembelajaran
matematik. Kuala Lumpur : Utusan Publications.
Fullan,M . (1982). The meaning of educational change. New York. Teachers College Press.
Hamid Fahmy Zarkasyi. (1990). Pemikiran Al-Ghazali tentang pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
H,Wu. (1999). Profesional Development of Mathematics Teacher, Vol 46, Number 5
http://math.berkeley.edu/-wu-
Ishak Saat. (2009). Pendidikan Negara Bangsa Malaysia. Shah Alam: Karisma Publications Sdn Bhd.
Kathryn Chuah. (2008). Science & Mathematics Teachers Experiences, Needs and Expectations. Eurasia
Journal of Mathematics, Science & Teaching Education, 4(1), 31-43
Kelchtermans,G. (1993). Teachers and their career story: a biographical perspective in professional
development in Christopher, D. Research On Teacher Thinking : Understanding Professional
Development, London: The Falmer Press (198-217).
Khalijah Mohd Salleh. (2007). Pemikiran dalam pembangunan modal insane. Kertas kerja wacana
Hadhari siri kedua. Anjuran Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia. Bangi, 20
November 2007.
Laila Hairani. (1998). The Roles of English Language College Tutors In the School-Based Teaching
Practicum : A Case Study in Malaysia, unpublished M.Ed.dissertation, University of Bristol.
Laila Hairani. (2000). The impact of mentoring on teachers professional development. Journal
Pendidikan Tiga ENF, Jilid 2: Bil 4. K.L: Institut Perguruan Bahasa Antarabangsa.
Leikin,R & Winicki-Landman, G. (2001). Defining as a vehicle for professional development of
secondary school mathematics teachers, Mathematics Teacher Education & Development, 3,62-
73.
Little, J.W. (1982). Norms of Collegiality and Experimentation: Workplace conditions of school
success. Educational Research Journal, 19, 3 pg 325-340.
Marsigit. (2007). Mathematics Teacher Profesional Development Through Lesson Study in Indonesia.
Eurasia of Jounal of Mathematics, Science & Teacher Education, 3(2), 141-144.
Md Sani Ibrahim & Zuraidah Majid. (2002). Perkembangan Profesion Guru: Satu tuntutan dan satu
kemestian. Kertas dibentang di UPSITEC 2002.
Mogana Dhamotheran .1996. Open learning system for the continuing education of teachers in Malaysia.
Journal Pendidikan Universiti Malaya. No 17, 65-79.
National Joint Committee on Learning Disabilities .2000. Profesional Development for Teachers. ASHA
Supplement, 20, 37-41. Rockville, MD: America Speech Language Hearing Association.
National Joint Committee on Learning Disabilities. (2000). Learning Disabilities: Preservice Preparation
of General and Special Education Teachers.
Nik Azis Nik Pa. (2008). Isu-isu kritikal dalam pendidikan matematik. K.L: Penerbit UM.
Ramaiah, A.L. (1992). Kepimpinan pendidikan cabaran masa kini. Petaling Jaya: IBS Buku Sdn Bhd.
Robiah Sidin. (2002). Konsep Guru Profesional. Prosiding Seminar Kebangsaan Profesion Perguruan.
Bangi: Penerbitan Fakulti Pendidikan, UKM.
Sabri Ahmad, T. Zawawi T. Zainal & Aziz Omar. (2006). Isu Dalam Pendidikan Matematik. K.L :
Utusan Pub.
Siemon, D.E. (1989). School Mathematics: The challenge to change. Geelong, Victoria
Australia : Deakin University Press.
Suffean Husin. (2008). Pendidikan di Malaysia: sejarah, sistem, dan falsafah. Edisi 2. Kuala Lumpur :
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Tajul Ariffin & Noraini Dan. (2002). Pendidikan dan pembangunan manusia: pendekatan bersepadu.
Selangor: Penerbit As-Syabab Media.
Tan, Parsons, Hinson & Sardo-Brown. (2003). Educational Psychology : A Practitioner Reseacher
Approach. United Kingdom: Thompson.
Yin Cheong Cheng. (1996). School Effectiveness and School Based Management: a mechanism for
development. London: The Falmer Press.

Anda mungkin juga menyukai