Anda di halaman 1dari 21

GURU SEBAGAI SATU PROFESION

Pendahuluan (Konsep Profesion)


Dalam mencapai misi Nasional, Pendidikan adalah merupakan salah satu faktor penting
bagi tujuan tersebut. Bagi menjayakan misi dalam memertabatkan profesion keguruan,
guru adalah merupakan tunjang sebagai penjana dan pencetus bagi merealisasikan
matlamat tersebut. Menurut Kamus Dewan (1970), guru bererti pendidik, pengajar dan
pengasuh. Jika dihuraikan dengan lebih mendalam lagi, pendidik bermaksud orang
yang memelihara dan melatih. Pengajar ialah seorang yang menjadi petunjuk kepada
orang lain, manakala pengasuh memberi makna orang yang memelihara, menjaga dan
mendidik. Manakala keguruan ialah sesuatu yang mempunyai perkaitan dengan bidang
menuntut ilmu atau tempat mendapatkan ilmu seperti sekolah, tempat belajar,
pengajaran dan pembelajaran dan sebarang perkara yang mempunyai perkaitan
dengan guru. Berdasarkan ciri-ciri profesion, Mok Soon Sang (1996) merumuskan
secara ringkas konsep profesionalisme sebagai suatu pekerjaan yang khusus dan
dijalankan oleh orang yang mempunyai kelulusan dan latihan iktisas yang cukup
bermutu . Untuk menjadi seorang yang profesional haruslah bersikap jujur, dedikasi,
bertanggungjawab dan bermoral tinggi serta mempunyai outonomi bertugas dengan
mematuhi kod etika yang ditentukan oleh organisasinya. Etika profesion perguruan
adalah merupakan satu set tingkahlaku atau tanggungjawab guru terhadap masyarakat
dan negara, pelajar, rakan sejawat dan ibu bapa. Garis panduan etika ini bertujuan
menjadikan bidang perguruan sebagai satu kerjaya yang professional yang disanjung
dan dihormati oleh masyarakat. Setiap warga pendidik wajar mengikuti dan mentaati
nilai-nilai asas etika dalam menjalankan tugas sebagai pendidik. Oleh itu, Kementerian
Pelajaran telah berusaha memperkenalkan dasar-dasar dan garis panduan sejak
dahulu lagi untuk menjadikan dan memartabatkan profesion perguruan sebagi satu
bidang profesional. Untuk itu, Laporan Suruhanjaya DiRaja Mengenai Perkhidmatan
Perguruan Malaysia Barat(Laporan Aziz, 1971), telah mencadangkan supaya diadakan
Etika Profesion Perguruan(EPP) bagi Pembentukan Tatasusila Guru). Seterusnya ,
keguruan adalah merupakan satu profesion yang telah menjadi satu konsep yang amat
penting dan menekankan kepada ciri-ciri tertentu seperti :
1. Perkhidmatan yang unik dan penting
2. Banyak menggunakan keupayaan.
3. Mendapat latihan yang khusus.
4. Mempunyai autonomi semasa menjalankan tugas.
5. Mementingkan mutu perkhidmatan serta dedikasi terhadap kerja.
6. Merupakan ahli kepada autonomi yang menentukan nilai taranya.
7. Bertanggungjawab terhadap semua keputusan yang dibuat.

Maka adalah amat jelas maksud profesion adalah merupakan sesuatu perkerjaan yang
dilaksanakan secara khusus oleh seseorang yang mempunyai kelulusan dan latihan
ikhtisas yang cukup bermutu, amanah, penyayang, jujur, berdedikasi,
bertanggungjawab dan bermoral tinggi serta mematuhi kod etika yang ditetapkan oleh
sesebuah organisasi. Profesion adalah merupakan perkhidmatan yang unik dan penting
seperti. Proffesion juga bayak menggunakan keupayaan dan mendapatkan laithan
khusus supaya pihak yang dilatih mempunyai outonomi semasa menjalan tugas.
Terdapat berbagai-bagai bidang profesion di negara kita seperti khidmat guaman,
perubatan, akauntan, perniagaan, kaunseling dan lain-lain lagi. Dalam bidang profesion
juga mementingkan mutu perkhidmatan serta dedikasi terhadap kerja .Malah, profesion
juga merupakan ahli kepada autonomi yang menentukan nilai antaranya dan
bertanggungjawab terhadap semua keputusan yang dibuatnya. Dalam kontek
pendidikan guru, telah dijelaskan melalui kamus dewan (1989), adalah diertikan
sebagai pengajaran, misalnya perguruan kepada guru pelatih, murid,dan sebagainya.
Manakala keguruan pula telah ditakrifkan sebagai perkara yang berkaitan dengan guru
iaitu yang merangkumi peranan, tugas, dan kelayakan sebagai guru serta . Profesion
keguruan adalah merupakan salah satu pekerjaan yang membawa bersama
tanggungjawab, integriti dan akauntabiliti terhadap masyarakat. Sebagai contoh
masyarakat menyanjung sifat-sifat keguruan iaitu peranan serta tugas guru yang luhur.
Konsep guru sebagai satu profesion boleh ditakrifkan sebagai satu skop pengajaran
yang memerlukan pendidikan dan pengetahuan yang tinggi dan mendapat latihan khas
misalnya latihan yang dijalankan di maktab-maktab perguruan. Manakala,profesion
keguruan merupakan satu pekerjaan yang berkaitan dengan peranan,tanggungjawab,
sifat dan kualiti guru. Adakah keguruan sebagai satu profesion atau bukan profesion?
Dalam mempersoalkan perkara tersebut, terdapat perbezaan penerangan di antara
kedua-duanya. Perguruan menurut Kamus Dewan (1989), adalah diertikan sebagai
PENGAJARAN, misalnya perguruan kepada guru-pelatih, murid dan sebagainya.
Manakala perkataan keguruan boleh diertikan sebagai PERKARA YANG BERKAITAN
DENGAN GURU, iaitu yang berkaitan dengan peranan, tugas dan kelayakan sebgai
seorang guru. Maka, profesion perguruan adalah sebagai satu perkerjaan pengajaran
yang memerlukan kepakaran dan pelajaran yang tinggi dan latihan khas. Profesion
keguruan pula merupakan satu pekerjaan yang membawa bersama tanggungjawab,
integriti dan akauntabiliti terhadap masyarakat. Keguruan sebagai satu profesion.

1. Mempunyai latihan ikhtisas dalam latihan keguruan.
2. Mempunyai autonomi menentukan kaedah-kaedah mengajar dalam bilik darjah.
3. Menjadi ahli kesatuan yang menentukan kod etika sebagai panduan guru dalam
segala aktiviti.
4. Pekerjaannya merupakan perkhidmatan yang penting kepada individu dan negara.
5. Guru digolongkan sebagai pakar dalam pendidikan. Keguruan dalam konsep bukan
profesional
1. Perkerjaan guru tidak terhad kepada guru terlatih sahaja. Orang yang tidak
mempunyai latihan ikhtisas dalam bidang perguruan juga boleh digelar sebagai guru,
selagi dia menjalankan tugas mengajar. Selain itu, seseorang itu tidak semestinya
peroleh ilmu pengetahuan daripada buku sahaja, tetapi juga daripada telivisyen,
majalah, buku dan sebagainya.
2. Kemasukan ahli dalam profesion keguruan tidak sukar dan tidak banyak persaingan.
3. Autonomi seseorang guru adalah terhad. Kebanyakan keputusan tidak boleh dibuat
oleh pentadbir sekolah.
4. Kesatuan guru tidak mempunyai kuasa untuk memecat guru daripada mengajar di
sekolah jika guru itu tidak mematuhi kod etika yang ditentukan oleh kesatuannya.
5. Bukan semua guru diwajibkan menjadi ahli dalam kesatuan guru. Tambahan pula,
terdapat banyak kesatuan guru yang mempunyai matlamat penbuhan mereka yang
berbeza.

Kepentingan Kod Etika Perguruan Malaysia
Perkara utama yang perlu dilaksanakan ialah guru itu harus memahami konsep
sebenar kod etika keguruan. Kod etika menyediakan garis panduan bagaimana tingkah
laku dalam profesion perguruan sesuai untuk dirujuk dan diamalkan oleh guru . Kod
Etika Perguruan menyatakan dengan jelas tentang tanggungjawab guru sebagai
pemegang amanah dalam bidang pendidikan. Kod Etika ini digubal dalam bentuk
dokumen, supaya usaha untuk menyemak semula kod ini dapat dilakukan. Bagi
memartabatkan profesion keguruan, guru adalah subjek utama yang akan
menyumbang ke arah pencapaian matlamat ini. Setiap organisasi kerajaan ataupun
swasta mempunyai kod etika yang tersendiri untuk membentuk ahlinya ke arah yang
dikehendaki. Bagi seorang guru yang telah memilih pekerjaan ini sebagai profesion
dalam hidupnya juga tidak terlepas dengan kod etika keguruan. Kod etika keguruan
adalah bertujuan untuk menjaga status, akhlak dan maruah dalam profesionnya.
Menurut Dewan Bahasa & Pustaka, 1995 bahawa etika merupakan satu sistem dasar
akhlak, adat atau tingkah laku atau kesusilaan. Manakala dalam Kamus Oxford, 1994
pula didapati etika diertikan sebagai prinsip moral atau set prinsip moral. Moral menurut
Keith(2006) pula merujuk` to that part of human behavior that can be evaluated in terms
of right or wrong. Menurut The Oxford School Dictionary(1994), Science of Morals
pula`Morals itself is defined as concerned with goodness or badness of character or
disposition or with the distinction between right or wrong. Oleh itu, etika dan moral
mempunyai perkaitan yang sangat rapat dan berkaitan antara satu sama lain
memandangkan kedua-duanya mempunyai pengertian yang hampir sama. Akan tetapi
perbezaannya hanyalah berkaitan situasi tempat seseorang itu berada dan bekerja.
Etika lebih sesesuai dan tepat bagi kegiatan dan tingkahlaku seseorang terhadap
profesion yang diceburi, manakala moral pula berkaitan kehidupan seseorang secara
umum. Etika profesion perguruan adalah merupakan satu set tingkah laku atau
tanggungjawab guru terhadap masyarakat dan negara, pelajar, rakan sejawat dan ibu
bapa. Garis panduan etika ini bertujuan menjadikan bidang perguruan sebagai satu
kerjaya yang professional yang disanjung dan dihormati oleh masyarakat. Setiap warga
pendidik wajar mengikuti dan mentaati nilai-nilai asas etika dalam menjalankan tugas
sebagai pendidik. Oleh itu, Kementerian Pelajaran telah berusaha memperkenalkan
dasar-dasar dan garis panduan sejak dahulu lagi untuk menjadikan dan memartabatkan
profesion perguruan sebagi satu bidang profesional. Untuk itu, Laporan Suruhanjaya
DiRaja Mengenai Perkhidmatan Perguruan Malaysia Barat(Laporan Aziz, 1971), telah
mencadangkan supaya diadakan Etika Profesion Perguruan(EPP) bagi Pembentukan
Tatasusila Guru). Menyedari betapa besarnya peranan dan tanggungjawab segai
seorang guru dalam bidang pelajaran dengan usaha menuju ke arah pembentukan
warganegara yang berilmu, yang taat setia, yang bertanggungjawab dan berkebolehan,
yang menyedari betapa pentingnya usaha menuju kearah kebenaran dan ke arah
pencapaian hasrat yang gemilang dan yang percaya demokrasi, kebebasan
perseorangan dan prinsip-prinsip rukunegara sesorang guru sewajarnya menghayati
dan memahami betapa besarnya tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.
Semua garis panduan yang bertujuan meningkatkan tahap kualiti, produktiviti dan
disiplin dalam perkhidmatan dengan memberi penekanan terhadap semua aspek yang
berkaitan dengan peraturan dan peradaban, peranan nilai, serta tingkah laku profesion
dalam masyarakat. Skop Etika Perguruan (ETP) dibentuk untuk meningkatkan
profesionalisme keguruaan yang didasari kepada :

1. Mencakupi sebahagian besar kehidupan ahli profesional kecuali hal-hal yang benar-
benar peribadi seperti mencuci kereta, menanam bunga dan lain-lain.
2. Dalam Islam, etika ialah akhlak yang diamalkan oleh manusia yang bertakwa dalam
keseluruhan hidupnya.
3. Etika Perguruan bermaksud satu tingkah laku atau tanggungjawab guru terhadap
masyarakat , negara, pelajar, rakan sejawat dan ibu bapa pelajar. Etika Profesion
Perguruan telah dibentuk dengan menggariskan empat tanggungjawab yang perlu
diikuti oleh seseorang guru.

Pertama sekali adakah tanggungjawab terhadap pelajar. Pihak guru harus
mengutamakan kebajikan dan keselamatan pelajar kami daripada hal-hal lain. Mereka
juga perlu bersikap adil terhadap setiap orang pelajar tanpa mengira faktor-faktor
jasmani, mental,emosi, politik, ekonomi, sosial, keturunan atau agama. Untuk
melindungi kepentingan murid,merahsiakan maklumat ikhtisasatau sulit mengenai
pelajar kecuali kepada mereka yang berhak mengetahuinya. Peranan guru adalah
membimbing atau mengajar seseorang pelajar dalam darjah sendiri atau dalam mata
pelajaran yang diajar di bilik darjah tanpa sebarang bayaran. Sebagai teladan , pihak
guru perlu menunjukkan suatu cara pakaian, pertuturan dan tingkah laku yang dapat
memberikan contoh yang baik kepada pelajar. Sebagai seorang guru juga harus
memelihara dan membaiki kecekapan ikhtisas, persidangan, mesyuarat atau seminar
supaya pengajaran mencapai mutu yang setinggi-tingginya. Seterusnya kod etika
perguruan yang kedua adalah berkaitan tanggungjawab guru terhadap ibubapa.
Sebagai seorang guru yang profesion harus berusaha mewujudkan hubungan yang
mesra terutama di antara ibu bapa serta sentiasa memberi kerjasama yang erat di
antara institusi pendidikan dengan menghormati tanggungjawab utama ibu bapa
terhadap anak-anak mereka. Selain itu,pihak guru perlu menganggap semua maklumat
yang diberikan kepada ibu bapa berhubung dengan keadaan rumah tangga atau
berkaitan dengan anak mereka sebagai sulit dan tidak akan membocorkan kepada
sesiapa. Jika perlu , guru akan memberikan maklumat kepada ibu bapa demi
kepentingan anak-anak mereka dan mengutamakan maklumat yang diterima daripada
ibu bapa secara teliti dan bijaksana. Manakala guru juga harus mengelakkan diri
daripada menggunakan atau dipengaruhi oleh kedudukan sosial dan ekonomi ibu bapa
pelajar serta mengelakkan diri daripada mengeluarkan kata-kata atau melakukan
sesuatu yang boleh menjejaskan kepercayaan pelajar terhadap ibu bapa. Selain itu kod
etika perguruan yang ketiga adalah berkaitan tanggungjawab terhadap masyarakat dan
negara. Guru sebagai seorang guru yang profesion , guru harus memupuk dalam diri
setiap pelajar sikap dan nilai yang boleh membantu dan membimbing mereka untuk
menjadi warganegara yang taat setia, bertanggungjawab dan berguna, menghormati
orang-orang yang lebih tua dan menghormati adanya perbezaan kebudayaan,
keturunan, dan agama serta mengelakkan diri daripada menyebarkan sesuatu ajaran
yang boleh merosakkan kepentingan pelajar, masyarakat, negara ataupun yang
bertentangan dengan Rukun Negara. Untuk menjadi seorang guru yang cemerlang ,
guru perlulah memupuk dalam diri setiap pelajar sikap dan nilai yang dapat membantu,
dan sentiasa memberi sumbangan cergas untuk meninggikan moral kehidupan dan
kecendiakiawan masyarakat. Di samping itu semua guru harus berpengang kepada
tingkah laku yang sopan yang diterima oleh masyarakat serta menggalakkan kerjasama
dan kesefahaman di antara komoniti setempat dan menjalani kehidupan yang baik
dalam rutin kehidupannya.

IMPLIKASI KOD ETIKA PERGURUAN MALAYSIA KEPADA AKAUNTABILITI GURU

Definisi Akauntabiliti Melalui Dewan Bahasa dan Pustakan, akuantabiliti adalah
disimpulkan adalah merupakan satu dasar akhlak, adat atau tingkah laku atau
kesusilaan .Sementara kamus dewan edisi keempat pula menyatakan, akauntabiliti
bermaksud sifat bertanggungjawab kepada seseorang atau terhadap suatu tindakan,
keputusan dan sebagainya serta bersedia memberikan penjelasan, justifikasi yang
diperlukan. Sebagai contoh, seorang guru mengutip yuran daripada pelajarnya perlu
menjelaskan butiran-butiran yang hendak dikutip dengan jelas kepada pelajar. Sebagai
seorang guru yang berkualiti mestilah mempunyai ciri-ciri akauntabiliti yang tinggi
supaya dapat membina generasi baru yang berguna dan berwibawa. Dengan ini
barulah bidang perguruan dapat membantu atas perkembangan negara. Akauntabiliti
adalah satu proses mendatangkan keputusan maksimum. Akauntabiliti pendidikan
bermakna sistem pendidikan yang dibentuk adalah bertanggungjawab untuk mencapai
objektif-objektif pendidikan. Secara lebih luas lagi, akauntabiliti merupakan satu laporan
umum oleh satu kumpulan pemeriksa bebas tentang pencapaian pelajar yang
diharapkan bagi sesuatu perbelanjaanwang atau penggunaan sumber. Akauantabiliti
bermaksud maklum balas dan merupakan keuntungan pelajar secara
berseorangan.Sekolah sepatutnya mempunyai intensif untuk membolehkan setiap
pelajar mencapai kejayaan dan pelajar berhak menuntut ganti rugi jika pihak
sekolahgagal. Tujuannya ialah mengekal dan memajukan sistem pendidikan dan
menyediakan maklumat untuk menunjukkanusaha.





Implikasinya Terhadap Akauntabilti Guru

a) Akauntabiliti terhadap diri sendiri

Seorang guru haruslah menjaga kebersihan dan kesihatan dirinya agar dapat
menjalankan tugas sebagai pendidik dengan sempurna. Emosi hendaklah di kawal
oleh guru sendiri dan juga perlu menghindarkan diri dari sebarang ketegangan jiwa
yang boleh mengganggu tugasnya. Di samping itu, guru-guru juga akan mempunyai
sikap yang positif terhadap profesionnya. Guru harus mementingkan kebajikan
pelajar daripada perkara lain. Guru perlu memberi tumpuan kepada pelajar yang
lemah, menyediakan tugasan yang lebih mencabar kepada pelajar yang cemerlang
supaya mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran. Guru bersikap adil. Guru
membantu pelajar-pelajarnya tanpa mengira kaum, bangsa, status sosio ekonomi.
Guru juga harus mempunyai sikap yang tegas dengan memberi hukuman atau
ganjaran dengan sesuai. Yang penting, guru harus mempunyai tingkah laku yang
sesuai. Antara tingkah laku yang sesuai ialah bertatasusila, ada perasaan belas
kasihan, sabar, jujur, bersih dan menepati masa dan sebagainya. Dengan ini,
barulah guru dapat menjadi teladan baik yang dapat dipelajari oleh pelajar-
pelajarnya. Sebagai seorang guru, guru hendaklah bijak menguruskan kewangan
dengan bijaksana dan mengimbangi pendapatan dengan perbelanjaan. Ini adalah
kerana jika guru gagal menguruskan kewangan maka guru akan menghadapi
masaalah luaran yang boleh menjejaskan tumpuannya terhadap proses pengajaran
di sekolah. Guru juga di galakkan melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu
pengetahuan. dan peka terhadap peristiwa di sekeliling melalui media massa atau
elektronik supaya mudah memberikan imput yang berguna terhadap profesionnya.
Guru juga boleh melibatkan diri dalam sesuatu hobi dan aktiviti berfaedah di masa
lapang yang boleh menjadikan guru itu sihat dari segi mental dan fizikal. Di samping
itu juga, sebagai seorang guru haruslah menunjukkan teladan yang baik kepada
pelajarnya. Oleh itu, melalui kod etika, guru akan berusaha meningkatkan
pengetahuan diri. Guru harus menguasai subjek yang diajar degan mendalam dan
mahir. Pengajaran tidak dapat diasingkan daripada pembelajaran. Guru harus
belajar tentang bidang pengajarannya dengan lebih mendalam pada setiap masa.
Melalui kod etika tersebut guru akan mempunyai pengetahuan tentang kanak-
kanak. Guru akan mempunyai pengetahuan psikologi tentang kanak-kanak, iaitu
tingkah laku, minat, bakat, minat-minat dan keperluan kanak-kanak. Selain daripada
itu, guru juga harus mempunyai pelbagai kemahiran yang tertentu. Antaranya ialah
kemahiran unutk menyampaikan pengajaran yang berkesan, kemahiran
mengemukakan soalan, menggunakan contoh-contoh, kemahiran menyediakan
soalan-solan yang baik, kemahiran melibatkan semua pelajar dalam pelajaran,
kemahiran pengurusan bilik, kemahiran mengawal disiplin pelajar dan sebagainya.
Pelbagai kemahiran patut dimiliki oleh gurusupaya pelajar-pelajarnya dapat
mengaplikasikan kemahiran mengguna, menganalisis, membuat sintesis serta
penilaian, aktiviti pengajaran dapat dijalankan dengan lancar, pelajar-pelajarnya
dapat menyerap ilmu pengetahuan dengan berkesan dan dengan cara yang
menarik. Hal ini disebabkan guru dapat memahami kebolehan dan minat setiap
pelajarnya supaya guru dapat menyediakan aktiviti-aktiviti yang sesuai bagi setiap
pelajar mengikuti tahap yang berbeza. Oleh itu, pelajar dapat menjalankan sesuatu
aktiviti dengan menarik dan dapat menikmati kejayaannya. Selain itu, melalui Guru
perlu mempunyai pengetahuan tentang mata pelajaran yang diajar dan kaedah
mengajar yang sesuai supaya pelajarnya boleh mendapat ilmu pengetahuan
dengan berkesan. Setiap matapelajaran mempunyai kaedah mengajar yang
berbeza. Kaedah mengajar yang berkesan akan mencapai objektif pengajaran dan
pembelajaran di samping pelajar yang lemah juga mendapat manfaatnya dan guru
juga perlu mengambilkira keperluan-keperluan pelajar yang cerdas supaya mereka
tidak berasa bosan. Sebagai seorang guru yang professional perlu memiliki
kefahaman yang mendalam tentang tugasnya. Guru perlu mempunyai kefahaman
terhadap pelajar-pelajarnya, kefahaman tentang mata pelajaran yang diajar serta
kefahaman terhadap diri sendiri. Guru mempunyai kefahaman yang mendalam
tentang tugasnya supaya proses pengajaran dapat dijalan dengan lancar,berupaya
meneliti sesuatu konsep dari suatu perspektif yang lebh luas danmengawal emosi
sendiri dengan baik.

b) Akauntabiliti Terhadap Pelajar

Guru bertanggungjawab melengkapi pelajar-pelajarnya dengan pelbagai ilmu
pengetahuan supaya mereka dapat lulus dalam peperiksaan di samping
memperkembangkan diri sendiri dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dengan
sempurna. Guru juga bertanggungjawab menwujudkan suasana emosi bilik darjah
yang tenang supaya pelajarnya dapat kestabilan emosi. Sebagai seorang guru yang
professional, akauntabiliti terhadap pelajar ialah lebih mementingkan kebajikan
pelajarnya daripada hal-hal lain. Pembentukan akhlak pelajar yang baik merupakan
tanggungjawab seorang guru. Penerapan nilai-nilai murni dan pendidikan agama
dapat meninggikan taraf akhlak pelajarnya. Guru juga perlu melatih pelajarnya
dapat bersosialisasi dengan baik supaya pelajarnya dapat berkomunikasi dengan
orang lain dengan baik. Perkara ini dapat dilatih melalui aktiviti-aktiviti kokurikulum
di dalam sekolah dengan menyertai persatuan, unit-unit beruniform dan sukan.
Maka aktiviti kumpulan di dalam kelas juga dapat membantu pelajar meningkatkan
sosialisasi pelajarnya.

c) Akauntabiliti Terhadap Ibu Bapa

Sebagai ibu bapa, mereka pasti mengharapkan anak-anak mereka mendapat
keputusan yang baik dalam akademik. Oleh itu, mereka akan menginginkan guru-
guru anak mereka dapat meningkatkan prestasi akademi anak-anaknya. Ibubapa
mengharapkan nilai-nilai murni dapat diterapkan semasa mereka belajar didalam
kelas sepanjang masa. Apabila anak-anak mereka besar nanti akan menjadi
seorang yang bertanggungjawab, berinisiatif, proaktif serta bersedia untuk
menghadapi segala cabaran hidup. Selain itu, ibu bapa juga mengharapkan guru
dapat membantu anak-anak mereka membina kemahiran berfikir secara kritis dan
kreatif, kemahiran membaca pantas serta mencari dan memilih maklumat, patriotik,
kemahiran tentang bidang teknologi maklumat serta kemahiran dari aspek
interpersonal supaya pelajar dapat membuat keputusan dengan bijak serta
intrapersonal supaya pelajar dapat mengawal emosinya dengan baik. Di samping
itu, ibu bapa mengharapkan guru dapat menjadi kaunselor anak-anaknya. Untuk itu
seorang guru haruslah menjalankan tugasnya dengan penuh dedikasi di bilik darjah
termasuk mematuhi masa dalam jadual waktu serta melaksanakan pengajaran dan
pembelajaran mengikut kaedah dan teknik yang berkesan. Bagi pelajar yang lebih
lemah, guru harus lebih memberi tumpuan kepadanya supaya mereka dapat
menguasai konsep-konsep yang ingin disampaikan. Bagi pelajar yang cemerlang
juga perlu diberi perhatian. Merekaperlu diberi latihan yang lebih mencabar supaya
tidak berasa bosan terhadap akademik. Ibu bapa juga mengharapkan anak mereka
bersopan-santun. Guru perlu mengendalikan masalah-masalah yang dihadapi oleh
pelajar-pelajar kepada ibu bapanya. Misalnya masalah berbentuk akademik, sosio
emosi dan sebagainya. Guru harus membudayakan seluruh kehidupannya yang
positif supaya murid memperohi model yang terbaik untuk dicontohi. Ini adalah
kerana seorang guru merupakan orang yang di hormati oleh pelajarnya, oleh yang
demikian perlulah guru menjaga profesionalisme guru supaya mereka tidak di
benci,di pandang serong dan tidak di hormati lagi oleh anak muridnya.

d) Akauntabiliti Guru Terhadap Program Pendidikan

Setiap program yang direncanakan melalui program pendidikan adalah berasaskan
kepada kecemarlangan keseluruhan pelajar (JERI). Oleh itu, guru perlu memastikan
aktiviti program pendidikan dijalankan dengan berkesan supaya dapat mencapai
matlamat-matlamat program pendidikan. Dengan ini pelajar akan menjadi berbudi
pekerti, berpandangan progresif dan saintifik, berdisiplin serta bersedia menjunjung
aspirasi negara dapat dibentuk. Tugas guru ialah mengajar, membimbing, memberi
dorongan kepada pelajar supaya mereka dapat berfikir secara kritis dan kreatif.
Oleh itu guru haruslah sentiasa memberi sokongan yang sepenuhnya bagi
memastikan setiap program yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan berjalan
lancar dengan jayanya.



e) Akauntabiliti Guru Terhadap Negara

Sistem pendidikan negara adalah satu institusi yang menjalankan dasar dalam
membentuk generasi bagi menghasilkan tenaga pekerja mengikut keperluan-
keperluan negara. Kurikulum yang digunakan seharus bersepadu supaya
perkembangan individu akan menjadi seimbang melalui sistem persekolahan.
Setiap guru telah diamanahkan bagi menjayakan dasar ini dan diberi imbuhan yang
setimpal dengan kerjayanya. Oleh itu, mereka bertanggungjawab untuk menjawab
atau memberi penerangan kepada atas segala kegagalan atau kelemahan kepada
negaranya. Guru perlu memberi penjelasan kepada kerajaan jika kegagalan
menyempurnakan sesuatu perkara.

Ciri-Ciri Dan Kualiti Guru Yang Profesional
Profesion perguruan adalah merupakan perkerjaan yang khusus dimana ia
dilaksanakan oleh seseorang yang berpendidikan tinggi atau mempunyai kelulusan
dam latihan ikhtisas yang cukup bermutu. Tugas guru bukan sahaja menyebar ilmu
pengetahuan. Guru juga merupakan contoh teladan kepada murid-murid. Oleh
itu,seorang guru yang profesional seharusnya mempunyai ciri-ciri dan kualiti
peribadi, profesional dan sosial yang baik. Seorang guru yang bersifat baik akan
melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya sebagai pendidik dan
pengajar.Seseorang guru yang baik seharusnya mempunyai sifat dan kualiti
peribadi seperti suka berjenaka, dedikasi, baik hati, tegas, toleransi dan
sebagainya. Pelajar menghabiskan tempoh hampir enam jam di bilik darjah, masa
yang begitu panjang di dalam bilik darjah akan membawa kebosanan kepada para
pelajar. Jadi guru harus bijak berjenaka pada masa yang sesuai untuk mewujudkan
suasana bilik darjah yang gembira agar menghilangkan kebosanan murid-murid di
bilik darjah. Selain itu, suasana yang riang ini juga membawa kesan yang baik
kepada pengajaran dan pembelajaran.Ia akan menjadikan pembelajaran lebih
bermakna dan menarik. Guru merupakan pendidik atau pengasuh kanak-kanak
agar mereka akan menjadi modal insan dan memberi sumbangan kepada negara.
Kelahiran generasi baru yang berkaliber ini adalah untuk memajukan negara kita
dalam setiap bidang dan menuju Wawasan 2020. Guru juga memainkan peranan
yang penting dalam bidang pendidikan. Pendekatan individu merupakan komponen
kemahiran dan teknik personal pada seseorang guru semasa proses interaksi
berlaku antara guru dan pelajar. Kebolehan guru bagi mewujudkan persefahaman
dan rasa saling percaya mempercayai dengan pelajar dengan mengambil kira
beberapa aspek. Ciri-ciri personal guru yang digemari oleh pelajar akan
membolehkan guru dengan lebih mudah diterima dan mendapat sokongan daripada
pelajar-pelajar, seterusnya memudahkan tugas pengurusan dan pengajaran guru di
sekolah dan di bilik darjah. Pada umumnya, pelajar menyanjung tinggi guru-guru
yang memiliki ciri-ciri personal yang berhemah tinggi. Ciri-ciri personal guru yang
berhemah tinggi ini juga sangat penting bagi membolehkan guru yang menjadi
model yang berwibawa dan dihargai oleh pelajar-pelajar. Di antara ciri-ciri personal
yang digemari oleh pelajar ialah mempunyai sifat sabar, tenang, dedikasi, periang,
bertimbang rasa, adil, rajin.mesra, kreatif, inovatif, kesediaan mendengar kritikan
dan teguran. Penampilan juga memainkan peranan dalam membentuk personaliti
seseorang guru. Guru perlu menampilkan ciri-ciri seperti pemilihan pakaian,
kebersihan tubuh badan dan kekemasan diri. Penampilan guru yang boleh
mengganggu tumpuan pelajar adalah seperti imej guru yang tidak kemas, selekeh,
tidak bersih, memakai perhiasan diri yang keterlaluan ataupun haruman yang
melampau mencerminkan keperibadian guru tersebut. Cara duduk guru turut
mendapat permerhatian pelajar di sekolah. Pelajar sentiasa memerhati kelakuan
guru terutamanya ketika proses pengajaran dan pembelajaran.Sekiranya guru
berada dalam posisi duduk, pastikan tidak terlalu menyandar ke kerusi. Duduk
dalam keadaan tegak mahupun condong sedikit ke hadapan bagi menunjukkan
yang guru berminat dengan pelajar. Bagi posisi berdiri pula, guru digalakkan berdiri
secara berhadapan dengan pelajar. Posisi ini akan membolehkan guru melihat
keseluruhan tingkah laku tanpa lisan yang ditunjukkan oleh guru itu. Guru juga perlu
mempunyai tahap tenaga yang mencukupi apabila melayan pelajar. Tahap tenaga
yang ditunjukkan akan memberi gambaran pada mood guru sama ada dalam
keadaan cergas, bersemangat, letih, lesu ataupun tidak berminat dengannya.
Biasanya tahap tenaga akan memberi kesan pada hubungan yang dibina bersama
pelajar. Guru yang dalam keadaan bersemangat akan mengajar dengan
bersemangat juga dan secara tidak langsung akan bersungguh-sungguh
menyampaikan ilmu.Pelajar turut bersemangat untuk terus belajar setelah melihat
kesungguhan guru semasa mengajar. Keberkesanan dalam usaha mengajar dan
mendidik pelajar mungkin mempunyai pengertian yang berbeza di kalangan para
guru. Ini adalah bergantung kepada kefahaman dan penekanan mereka mengenai
konsep berkenaan. Ada guru yang mengutamakan penguasaan pelajar mengenai
isi pengajaran dan pembelajaran manakala ada juga guru yang berpendapat
pengajaran yang berkesan membawa maksud kemajuan dalam pertumbuhan dan
perkembangan sosial pelajar yang dinilai dari sudut, sama ada pelajar tersebut telah
mencapai sikap yang positif mengenai diri sendiri dan orang lain. Kemungkinan bagi
kebanyakkan guru berpendapat bahawa pengajaran yang berkesan adalah satu
imbangan yang sempurna di antara kemajuan pemikiran dan perasaan dan di
antara penekanan kepada isi mata pelajaran dan pelajar. Personaliti guru
merupakan di antara faktor-faktor guru yang memainkan peranan penting dalam
pengajaran yang berkesan atau tidak di sekolah. Besar kemungkinan bahawa dua
orang guru yang mempunyai kelulusan akademik yang sama, dan latihan perguruan
yang serupa masih berbeza dari segi kebolehan mereka, menggalakkan motivasi
pelajar dalam pembelajaran. Sebahagian daripada perbezaan itu adalah
disebabkan oleh kesan atau pengaruh personaliti guru terhadap pelajar. Aspek
tingkah laku guru tanpa lisan dan aspek fizikal turut memainkan peranan dalam
mewujudkan proses pengajaran dan pembelajaran berlaku dengan baik. Keadaan
serta lokasi bilik perlu dipastikan sesuai dan sekiranya komunikasi bersifat
serius,ianya perlu mengambil kira beberapa keadaan seperti keadaan dan lokasi
bilik yang selesa, suasana tidak terlalu sejuk ataupun panas dan kondusif. Bagi
membina hubungan yang berkesan adalah digalakkan supaya duduk di atas kerusi
secara berhadapan ataupun duduk dalam keadaan yang membolehkan guru dapat
melihat keseluruhan posture (kedudukan tubuh) dan gesture(gerakan badan)
pelajar. Guru juga perlu memastikan ruang komunikasi tidak terlalu dekat ataupun
tidak terlalu jauh iaitu kira-kira sedepa tangan guru atau antara 1 meter hingga 1.5
meter dengan pelajar bagi mewujudkan kontek atau hubungan mata yang sesuai.
Dari aspek tingkah laku tanpa lisan pula, guru perlu membentuk ekspresi wajah,
kedudukan dan pergerakan badan yang sesuai ketika proses pengajaran. Guru
perlu membentuk item-item tanpa lisan seperti ekspresi wajah, mimik muka, sinaran
ataupun pandangan mata, kedutan dahi, bentuk senyuman dan kedudukan serta
pergerakan tubuh badan seperti pergerakan tangan dan kaki serta suara separa
bahasa. Guru yang baik juga perlu mengetahui aspek-aspek komunikasi dan
tingkah laku tanpa lisan kerana mesej-mesej yang lahir daripadanya boleh memberi
makna-makna tertentu kepada guru. Ekspresi wajah guru pula menunjukkan guru
dalam keadaan gembira, marah, terperanjat, sedih dan sebagainya dengan
kombinasi pergerakan mata, kening, pipi, hidung dan mulut. Bagi pelajar yang
memahami pergerakan tubuh, guru yang kerap berpeluk tubuh menggambarkan
marah, kurang bersedia, rasa tidak selamat dan defensive. Pergerakan yang
berjalan ke hulu dan ke hilir menggambarkan seseorang itu dalam keadaan resah,
gelisah dan bimbang. Manakala pergerakan yang mengangkat bahu mambawa
maksud ragu-ragu dan tidak tahu. Suara guru turut memainkan peranan yang mana
bunyi-bunyi suara seperti mengecis, menarik ataupun menghela nafas, tinggi atau
rendah nada suara ataupun pic suara yang dikeluarkan dan juga kelajuan
percakapan. Semua aspek ini mempengaruhi pelajar untuk menarik minat terhadap
pengajaran yang disampaikan oleh guru. Menurut Mel Silberman(2004)
kecenderungan seseorang pelajar lupa tentang apa yang didengarinya adalah
berkaitan dengan kelajuan seseorang guru, ini menunjukkan pelajar hanya
berupaya mendengar antara 50 hingga 100 patah perkataan sahaja dalam masa
seminit atau pun separuh daripada apa yang diperkatakan oleh guru. Ini
menunjukkan tahap pemahaman pelajar banyak bergantung kepada kelajuan
percakapan guru ketika mengajar. Personaliti ini banyak dipengaruhi oleh pengaruh
budaya dan amalan yang biasa dilakukan oleh individu dan masyarakat setempat.
Guru perlu mempunyai kemahiran mendengar bagi membantu guru menafsir dan
membuat penilaian yang baik pada maklumat yang disampaikan oleh pelajar. Ianya
juga dapat membantu guru memberi maklum balas yang tepat kepada pelajar
berkaitan maklumat yang diterimany bagi membuar rumusan ataupun cadangan.
Setiap individu yang bergelar pendidik, perlu membina hubungan interpersonal bagi
mewujudkan persefahaman dan rasa saling percaya mempercayai dengan pelajar
iaitu mengambil kira beberapa aspek positif seperti prihatin, mengambil berat,
mesra,ikhlas dan mempunyai sikap menerima. Kebolehan-kebolehan ini juga
memerlukan beberapa kemahiran tertentu bagi memastikan hubungan yang
diterima berada di tahap situasi yang diterima baik dalam hubungan sosial biasa.
Kemahiran interpersonal ini memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan
tugas sebagai seorang guru dan seseorang guru perlu menanamkan sifat ini di hari
pertama bergelar pendidik. Kemahiran ini akan terus berkembang dari masa ke
semasa mengikut pengalaman guru itu berkhidmat. Personaliti guru mudah dikenali
oleh masyarakat umumnya. Personaliti guru ini tidak dididik secara formal sewaktu
kita belajar di Maktab Perguruan atau di Universiti tetapi pada hakikat sebenarnya
profession sebagai pendidik membentuk personaliti guru sebenarnya. Guru harus
mengekalkan personality yang diterapkan sejak dari dulu lagi. Biarlah walaupun
seseorang itu tidak memperkenalkan dirinya sebagai seorang guru, tetapi ianya
tetap dikenali sebagai seorang guru berdasarkan penampilan dan perwatakan
seorang guru. Kesemua sifat personal pengurus yang berkesan bagi seseorang
guru ini amat penting dimiliki oleh guru-guru untuk melayakkan mereka menjadi
pendidik yang berwibawa dan dapat mencorakkan prestasi kerjaya yang cemerlang.
Sifat-sifat ini akan dapat mencorakkan kualiti personal yang berkesan untuk
menangani pelbagai masalah, perubahan dan cabaran dalam dunia pendidikan dan
dalam dunia profesion perguruan yang mengalami perkembangan yang terbuka dan
dinamik. Personaliti guru sentiasa mendapat perhatian dari anak didik dan secara
tidak langsung masyarakat membuat penilaian terhadap guru. Kepercayaan
masyarakat terhadap profesion pendidikan banyak dinilai dari sikap dan tingkah
laku seseorang guru, secara tidak langsung rasa hormat dan elemen persefahaman
serta rasa mempercayai adalah mustahak bagi menjayakan hubungan berkesan di
antara guru, pelajar dan ibubapa. Ini penting ini bagi memastikan proses pengajaran
dan pembelajaran berjalan dengan lancar dan baik dan secara tidak langsung
membantu pelajar minat terhadap apa yang disampaikan oleh guru kepada palajar.
Di samping itu guru memerlukan satu pengorbanan. Kepentingan individu sentiasa
diketepikan berbanding dengan kepentingan pelajar. Sifat dedikasi guru amat
diperlukan. Guru yang berdedikasi akan melaksanakan tugasnya dengan
sempurna, malah akan menjalankan pelbagai tugas di luar waktu kerjanya. Kejadian
ini akan berlaku semasa pelajarnya menghadapi masalah. Guru sanggup
mengorbankan masanya untuk mendengar kesusahan murid itu dan membantunya
dengan mengadakan kelas tambahan bagi pelajar yang lebih lemah dalam
pelajaran. Guru yang berdedikasi akan meluangkan masanya untuk mengadakan
aktiviti-aktiviti yang luar kelas untuk membantu pelajar dari segi fizikal, rohani dan
emosi. Di samping itu, sikap baik hati dan timbang rasa seseorang guru amat
dihargai oleh para pelajar. Guru yang bertimbang rasa akan memberi murid-murid
belajar dalam suasana yang tenteram, yakin dan senang hati.Sebaliknya, guru juga
berperanan sebagai seorang pendisiplin dalam bilik darjah. Di dalam kelas, guru
mestilah menjamin peraturan-peraturan dapat dipatuhi oleh pelajar. Bagi
mewujudkan disiplin pelajar yang baik, guru yang tegas tetapi adil amat diperlukan
bagi melancarkan pengajaran dan pembelajaran guru dalam kelas. Semasa
menjalankan tugas, guru akan menghadapi pelbagai jenis masalah disiplin, pelajar
yang lemah dalam akademik dan sebagainya. Pada masa itu, sifat toleransi amat
diperlukan. Sekiranya guru kurang bertoleransi akan bertindak terburu-buru dalam
menyelesaikan masalahitu. Misalnya, semasa menghadapi masalah disiplin, guru
mungkin akan menghukum pelajar berkenaan tanpa membuat penyiasatan dalam
kes terseut. Tindakan ini akan menimbulkan perasaan tidak puas hati atau benci
terhadap guru. Guru yang bertoleransi pula akan menghadapi setiap masalah
dengan penuh sabar. Guru akan berusaha memahami setiap masalah yang ditimbul
dan berfikir sebelum mengambil sesuatu tindakan. Sifat dan kualiti profesional yang
tinggi merupakan salah satu syarat bagi seorang pendidik. Seorang guru yang
profesional akan membentuk pelajar yang pintar serta pengajaran dan
pembelajarannya adalah berkesan. Guru sebagai seorang profesional hendaklah
peka terhadap kebolehan, keperluan-keperluan dan minat seseorang pelajar.
Contohnya, apabila timbul situasi yang bosan, guru harus peka terhadap situasi ini
dan berusaha menghilangkan kebosanan dalam bilik darjah. Selain itu, dalam
aktiviti seharian di kelas, terdapat pelajar yang bertindak aktif, ada yang pasif atau
pemalu. Guru yang peka patut berusaha melibatkan pelajar yang malu dalam aktiviti
supaya pelajar boleh berkomunikasiantara satu sama lain. Bagi setiap profesional,
sifat dedikasi juga salah satu sifat yang penting. Guru yang berdedikasi tentu akan
menjalankan tugasnya dengan sempurna dan memainkan peranannya sebagai
seorang pendidik. Tambahan pula, guru yang berdedikasi akan mementingkan
tugasnya daripada perkara-perkara peribadinya.Seseorang guru yang profesional
sedar tentang keperluan-keperluan kebangsaan. Keperluannya seperti perpaduan
negara, warganegara yang taat setia kepada raja, semangat patriotik, mematuhi
undang-undang dan sebagainya. Guru yang kerap mengingati keperluan ini akan
berusaha ke arah memenuhinya. Sebagai contoh, bagi memenuhi keperluan
perpaduan negara, guru sentiasa memastikan aktiviti kurikulum atau kokurikulum
adalah disertai oleh pelajar daripada pelbagai kaum. Selain itu, guru yang ingin
menjadi pelajarnya warganegara yang taat setia kepada raja dan mencintai negara
akan menerapkan nilai-nilai dalam pengajarannya. Seseorang profesional
hendaklah sentiasa memperkenalkan sesuatu yang baru. Guru yang inovatif akan
berusaha mencuba strategi pengajaran yang baru atau alat-alat bantu mengajar
yang baru dan inovasi. Guru juga harus sentiasa untuk meningkatkan mutu
pengajaran dengan menghadiri kursus-kursus, taklimat atau seminar yang berkaitan
dengan pengajaran. Dalam zaman era globalisasi ini, guru yang inovatif
memperkenalkan penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran
seharian. Selain daripada ciri-ciri dan kualiti peribadi dan profesional, sifat dan
kualiti sosial juga sangat penting. Antaranya ialah bermoral, sifat
kepimpinan,berbudi pekerti, merendah diri dan lain-lain lagi. Guru hendaklah
memainkan peranan untuk menyebarkan nilai-nilai murni kepada pelajar. Oleh itu,
guru yang bermoral tinggi mestilah menjadi contoh pelajar. Guru dapat
mempraktikkan nilai-nilai murni dalam aktiviti-aktiviti seharian dengan mengadakan
kerja kumpulandan nilai-nilai tolak ansur, bekerjasama, tolong-menolong,
bertoleransi dansebagainya. Dengan ini, semua nilai-nilai murni dapat ditekankan
dengan lebihberkesan berbanding dengan penerangan nilai-nilai tersebut. Dari segi
sosial,sifat kepimpinan harus ditonjolkan oleh guru di dalam kelas. Guru merupakan
pemimpin dalam kelas kerana guru bertanggungjawab untuk menganjurkan aktiviti-
aktiviti seperti gotong-royong, kempen-kempen dan sebagainya. Sebagai seorang
pemimpin, guru harus membuat rancangan secara teliti dan memastikan aktiviti
dijalankan dengan lancar dan berjaya. Setiap kegiatan yang dijalankan mempunyai
tujuannya, jadi guru mestilah menjelaskan tujuan dan cara pelaksanaannya.Sebagai
seorang guru yang berjaya, guru diharapkan dapat menonjolkan sifat budi pekerti.
Ini termasuklah kelakuan guru yang bersopan santun semasa bergaul dengan
rakan-rakan sejawat atau pelajarnya. Sifat ini sangat pentingbagi seorang guru
kerana sifat ini akan sentiasa dihormati dan disanjungi oleh orang ramai begitu juga
dengan murid-muridnya. Selain itu, sifat merendahkan diri akan disenangi oleh
orang ramai. Tiada orang suka bergaul dengan orang yang sombong, terutamanya
guru. Guru tidak boleh mempunyai sifat sombong kerana guru merupakan teladan
bagi pelajar. Oleh itu, sifat merendah diri perlu ada pada seseorang guru.Secara
umumnya, guru yang mempunyai ciri-ciri dan kualiti peribadi,profesional dan sosial
akan disanjungi dan dihormati oleh orang ramai dan pelajarnya. Guru adalah
merupakan seorang pendidik dan bertanggungjawab bagi menyebarkan ilmu
pengetahuan dan peliti untuk murid-murid. Hanya guru yang memiliki sifat ini dapat
melaksanakantugas serta kewajipannya dengan sempurna. Seseorang guru dalam
profesion keguruan ini perlu serba tahu. Guru diharapkan dapat mambawa isu-isu
semasa untuk perbincangan dan mencari penyelesaiannya bersama-sama pelajar
di dalam kelas. Contohnya, di Malaysia kadar kemalangan jalan raya adalah tinggi,
pendidikan memandu kereta adalah satu perkara yang dipandang serius oleh
kerajaan pada masa ini. Keselamatan di jalan raya dan cara-cara memandu yang
selamat dan bertimbang rasa boleh dibincangkan di dalam kelas untuk
menyedarkan pelajar tentang keperluan memperbaiki situasi yang terdapat
sekarang, dengan harapan mereka tidak akan berkelakuan sedemikian apabila
mereka menjadi pemandu kelak. Melalui pembacaan guru dapat menambah
pengetahuan mengenai isu-isu semasa sama ada yang berkaitan dengan
kekeluargaan , komuniti, isu semasa, ekonomi dan juga politik. Dalam hal seperti
ini, guru diharapkan dapat menggunakan kebijaksanaan dan inisiatif sendiri dalam
menggunakan isu-isu semasa untuk dikaji dan dibincangkan dengan pelajar. Dalam
perubahan-perubahan system pendidikan yang semakin mencabar ini, profesion
keguruan juga perlu menyediakan diri dengan amalan nilai dan akhlak yang terpuji.
Dalam kurikulum pendidikan peringkat rendah dan menengah telah ditegaskan nilai-
nilai murni perlu diterapkan dalam pengajaran. Pelaksanaan penerapan nilai penting
untuk menyediakan para pelajar menjadi warga yang berguna kepada negara pada
masa hadapan. Hal yang sama juga perlu dihayati oleh guru. Enam belas nilai
murni yang disarankan dalam kurikulum pendidikan perlu dimiliki oleh guru terlebih
dahulu. Sebagai seorang pendidik yang bertanggungjawab, guru hari ini perlu
menyedari bahawa tugas dan amanah yang diberikan itu adalah untuk mendidik
generasi yang akan menerajuai negara ini. Oleh itu kemahiran dan pengetahuan
mengenai method-method pendidikan harus diperkemaskan dari semasa ke
semasa . Untuk mendepani cabaran dan tuntutan daripada perubahan-perubahan
kurikulum berkenaan, guru hendaklah sentiasa berminat untuk berusaha
melengkapkan diri dengan strategi-strategi pengajaran dan pembelajaran di dalam
bilik darjah Sehubungan dengan kehendak tersebut guru harus mengikuti kursus-
kursus pendidikan yang dianjurkan oleh pihak Kementerian Pendidikan , Jabatan
Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah. Contohnya para guru boleh
mengikuti Kursus Dalam Perkhidmatan ataupun Kursus Peningkatan
Profesionalisme Keguruan.Kursus-kursus pendidikan yang dihadiri penting bagi
seseorang guru untuk mempertingkatkan keupayaan dan prestasi dalam profesion
pendidikan yang kian mencabar dan kompleks ini. Memandangkan keperluan
pendidikan untuk menyokong usaha-usaha kerajaan, maka profesion keguruan
diharapakan dapat membuat anjakan paradigma kepada budaya yang berasaskan
ilmu dan pemikiran( Rohani Abdul Hamid,1998) Individu yang terlibat dalam
profesion keguruan sebenarnya akan terlibat sebagai pentadbir, pengurus,
perancang, pelaksana, penilai, penyelia, pengawal dan sebagainya.Sebagai
pentadbir ataupun pengurus, guru harus boleh membuat sesuatu keputusan dalam
melaksanakan sesuatu tindakan dan menilai semula hasil sesuatu perkara yang
dijalankan.Perubahan-perubahan dalam kurikulum pendidikan juga memerlukan
guru untuk menguasai kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif. Pendekatan ini
bukan sahaja perlu digunakan oleh guru dalam pengajaran dan pembelajaran di
dalam bilik darjah,tetapi jika perlu keadah berfikir secara kritis dan kreatif boleh
diaplikasikan dalam pentadbiran,mengurus ataupun dalam perancangan sesuatu
program. Untuk itu sebagai melengkapkan ciri-ciri kualiti guru yang profesional, guru
adalah merupakan individu yang berupaya membuat keputusan dan menyelesaikan
masalah serta mampu berfikir secara kritis dan kreatif dalam pelbagai perkara.
Penutup Dengan memahami dan menghayati makna sebenar guru satu profesion
yang terangkum di dalamnya konsep etika perguruan dan akauntabiliti , guru dapat
memahami tanggungjawabnya yang sebenar. Penghayatan etika perguruan
haruslah di hayati sepenuhnya kerana akan dapat meningkatkan tahap
profesionalisme keguruan. Ini kerana penghayatan tersebut membolehkan semua
guru dapat menjalankan tanggungjawab dan tugas-tugasnya dengan penuh komited
dan dedikasi. Akauntabiliti atau tanggungjawab seorang guru merangkumi
akuntabilitinya terhadap sekolah, diri sendiri , murid-murid dan profesion keguruan
akan dapat ditingkatkan sekiranya seseorang guru itu benar-benar menjalankan
tanggungjawabnya sebagai seorang pendidik dengan berkesan. Selain itu guru juga
dapat melaksanakan tugas itu dengan bersungguh-sungguh dan penuh dedikasi
sekiranya guru tahu tanggungjawabnya terhadap kerjayanya. Kesedaran kepada
akauntabiliti akan menjadikan seseorang guru itu lebih bertanggungjawab terhadap
tanggungjawab yang di laksanakannya. Peningkatan dalam bidang tersebut
melambangkan tingginya kualiti seseorang guru yang juga akan meningkatkan taraf
profesionalisme keguruan. Selain itu guru juga dapat melaksanakan tugas itu
dengan bersungguh-sungguh dan penuh dedikasi sekiranya guru tahu
tanggungjawabnya terhadap kerjayanya. Kesedaran kepada etika perguruan akan
menjadikan seseorang guru itu lebih bertanggungjawab terhadap tanggungjawab
yang di laksanakannya. Oleh yang demikian, etika perguruan perlulah dihayati oleh
semua guru. Sekiranya seseorang guru itu mengabaikan etika perguruan , maka
tanggungjawabnya tidak dapat di jalankan dengan baik dan akan gagal melahirkan
modal insan seperti yang di cita-citakan negara. Ini akan menjatuhkan martabat
profesion perguruan oleh kerana perbuatan yang tidak bertanggungjawab terhadap
amanah yang di berikan.

Anda mungkin juga menyukai