Anda di halaman 1dari 4

1.

0 PENDAHULUAN


1.1 Pengenalan

Mata pelajaran Kajian Tempatan bertujuan melahirkan murid yang setia pada negara,
cinta akan tanah air, prihatin dan berbangga sebagai rakyat Malaysia serta boleh
berinteraksi secara berkesan ke arah mewujudkan masyarakat Malaysia yang
harmonis, bersatu padu, demokratik, progresif dan sentiasa mensyukuri nikmat Tuhan.
(Sukatan Pelajaran, 2001).

Umum mengetahui subjek ini merupakan rangkuman aspek sejarah dan
geografi. Dalam aspek sejarah terdapat pelbagai konsep dan fakta yang harus
diketahui dan difahami oleh murid. Hal ini kerana fakta mempunyai kaitan dengan
konsep. Fakta merupakan maklumat atau data yang membantu membentuk, membina
dan mengembangkan sesuatu konsep (Abdul Rahim, 2000).

Memandangkan pembelajaran menggunakan konsep merupakan satu bahagian
penting dalam proses berfikir, maka penekanan kepada teknik pengajaran yang
membolehkan murid menguasai konsep sejarah dalam mata pelajaran Kajian
Tempatan adalah wajar dilakukan oleh para guru. Justeru, penggunaan peta minda
dalam proses pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran kajian tempatan adalah
satu teknik pengajaran yang sangat sesuai. Hal ini kerana penggunaan peta minda
akan dapat membantu murid lebih fokus, boleh membuat interpretasi dan lebih mudah
memahami topik yang dipelajari.

Dalam usia murid yang masih lagi dalam peringkat kanak-kanak, berfikir
memerlukan konsep yang konkrit. Konsep ini harus nyata dan jelas menurut persepsi
mereka. Kanak-kanak memerlukan satu medium sebagai kaedah menukar konsep atau
idea yang abstrak kepada sesuatu yang jelas dalam pandangan mereka. Dalam hal ini
peta minda menyediakan kaedah yang sangat diperlukan oleh kanak-kanak.
Penggunaan kaedah ini mampu memperkembangkan potensi dan pemikiran murid-
murid secara aktif dan baik sekaligus mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Negara
yang mana menjadi matlamat pendidikan negara.

1.2 Refleksi Pengajaran dan Pembelajaran Lalu


Pada sesi praktikum fasa ketiga, pengkaji telah ditempatkan di Sekolah Kebangsaan
Keluang yang terletak di daerah Besut, Terengganu. Pengkaji telah mengajar murid
Tahun 5 bagi topik Kesultanan Melayu Melaka di sekolah tersebut. Dalam kajian ini,
masalah yang dikenal pasti adalah murid tidak lulus mata pelajaran Kajian Tempatan
pada peringkat sekolah. Mengikut tinjauan guru-guru dan pengkaji sendiri, ada
kemungkinan bahawa ramai murid yang tidak lulus mata pelajaran ini disebabkan
mereka kurang meminati pelajaran Kajian Tempatan yang pada tanggapan mereka
merupakan mata pelajaran yang amat membosankan dan sukar mengingati fakta-fakta
sejarah, tajuk-tajuk dan nama yang memerlukan penghafalan.


Pengkaji telah mengajar kelas 5 Cerdas untuk subjek Kajian Tempatan. Dari segi
pemerhatian pengkaji, murid mengalami masalah untuk memberi tumpuan terhadap
pengajaran dan pembelajaran. Tambahan pula, kelas 5 Cerdas merupakan kelas kedua
yang rata-rata muridnya berada pada aras kognitif yang rendah. Majoriti murid tidak
memberikan perhatian terhadap pengajaran di hadapan. Seperti contoh, mereka
membuat bising dan mengganggu rakan-rakan yang lain. Selain itu, ada yang berbisik-
bisik sesama sendiri, berkhayal serta membuat kerja sendiri. Hal ini menimbulkan
masalah dari segi kawalan kelas. Pengkaji berasa kecewa dengan sikap murid.


Ketika pengkaji mengajar tajuk Peranan Sultan dan Pembesar Empat Lipatan,
murid masih bersikap sedemikian iaitu tidak memberikan perhatian sepenuhnya. Walau
bagaimanapun, pengkaji mendapati terdapat juga segelintir murid yang memberikan
fokus terhadap pengajaran pengkaji. Terutamanya murid yang berada di barisan
hadapan yang terdiri daripada murid perempuan.


Rentetan daripada itu, murid sukar mengingati peranan serta tugas-tugas
pembesar. Apabila pengkaji mengemukakan soalan, murid terpinga-pinga untuk
menjawabnya. Malahan ada yang terus berdiam diri. Murid tidak dapat memahami
bidang tugas setiap pembesar pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Justeru itu, ini
tidak dapat membantu murid membentuk konsep kandungan keseluruhan sesuatu bab
ataupun membantu mereka mengaitkan satu topik dengan topik yang lain dalam
sesuatu bab.


Pengkaji berpendapat cara pengajaran secara kuliah yang menggunakan
pendekatan sehala tidak menarik hati murid-murid dalam mendekati mata pelajaran ini.
Cara pengajaran pengkaji begini juga menyebabkan murid-murid kurang meminati mata
pelajaran ini. Pengkaji merasakan perlu mereka suatu kaedah pengajaran dan
pembelajaran yang berlainan dan dapat meningkatkan ingatan, pemahaman dan minat
mereka terhadap mata pelajaran Kajian Tempatan.




Di samping itu, pengkaji juga berpendapat kurangnya aktiviti yang melibatkan
murid dalam pengajaran dan pembelajaran. Hal ini menjadikan murid bosan dan
akhirnya sesi pengajaran dan pembelajaran hanya berlangsung satu hala sahaja. Hal
ini membimbangkan pengkaji mengenai prestasi murid lebih-lebih lagi ramai yang
masih belum menguasai tajuk Peranan Sultan dan Pembesar Empat Lipatan. Murid
masih lagi keliru siapakah pentadbir Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dan sentiasa
tertukar mengenai peranan yang dimainkan oleh setiap pembesar.


Penggunaan peta minda boleh mempelbagaikan kaedah pengajaran pengkaji
dan menjadikan pengkaji lebih berkaliber dalam menyampaikan pengajaran Kajian
Tempatan dengan lebih efektif lagi. Bagaimanapun, melalui pemerhatian dan tinjauan
yang dilakukan pada praktikum fasa ketiga, pengkaji mendapati murid-murid Tahun 5 di
Sekolah Kebangsaan Keluang, tidak dapat menguasai pengetahuan topik pada tahap
yang sepatutnya. Hal demikian dapat dibuktikan melalui keputusan ujian pra yang
menunjukkan hanya seorang murid mendapat gred A, seorang murid mendapat gred B
dan 27 orang murid mendapat gred C manakala enam orang murid gagal dalam mata
pelajaran Kajian Tempatan iaitu mendapat gred D dan gred E.


Justeru, pengkaji mengambil langkah untuk melihat kembali perlaksanaan
pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Kajian Tempatan di peringkat sekolah
rendah khususnya di sekolah pengkaji sendiri. Penggunaan kaedah yang sesuai dan
berkesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah menjadi perkara yang
amat penting.