Anda di halaman 1dari 3

RUMUSAN / CADANGAN

Pengalaman Berasaskan Sekolah atau PBS yang telah saya jalani bersama
Lim Peng Ang dan Kheng Poo Hock dari kelas PSV 2 serta Solehah binti Ahmad
dari PAI 1 bukan lagi bagai pungguk rindukan bulan tetapi bagai bulan jatuh ke
riba. Demikian itu, saya sekali lagi berpijak di bumi nyata di tanah SKPJ. Perasaan
saya yang bercampur baur, tiada siapa yang tahu. Kenangan silam, memori
terdahulu, kesemuanya tersingkap kembali. Guru-guru yang dulu pernah menabur
dan mencurah bakti kapada saya tersenyum tanda syukur. Semuanya berada dalam
ketentuan Allah S.W.T.
Apa yang dapat saya rumuskan melalui rumusan ini ialah saya sangat jelas
dengan perkembangan kanak-kanak melalui pemerhatian saya sepanjang PBS.
Dalam erti kata yang lain, setiap aspek dari segi prasarana sekolah dan sebagainya
memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi perkembangan kanak-
kanak atau lebih sinonim dengan panggilan murid-murid. Dari Tahun 1 sehinggalah
Tahun 6, pemerhatian saya menunjukkan bahawa mereka mempunyai
perkembangan yang berbeza-beza. Sebagai contoh, seorang guru memerlukan
teknik yang betul untuk mengawal tingkah laku murid tahap 1 berbanding dengan
murid tahap 2. Dalam erti kata yang lain, guru memainkan peranan dalam mengawal
tingkah laku murid di sekolah. Hal ini membawa maksud bahawa dalam konsep
fitrah manusia, Tuhan telah menciptakan manusia menurut perspektif Islam dengan
beberapa bakat dan potensi dalam diri secara semula jadi. Sehubungan dengan itu,
sebagai pendidik yang bertanggungjawab sebagai ibu dan bapa kedua murid di
sekolah perlulah peka dengan kelebihan yang ada pada setiap murid. Tambahan
pula, guru yang cakna dan prihatin akan melahirkan murid yang kondusif serta
berkebolehan di samping prestasi murid dapat berkembang dengan baik. Maka
dengan itu, perkembangan murid-murid dapat dilihat dengan jelas oleh guru sendiri.
PBS yang telah saya jalani pada 5 hingga 9 Mac 2012 di SKPJ telah
mengadakan Ujian Prestasi 1 (UP1). Makanya, kami diberi peluang dan
kepercayaan untk menjaga ujian yang diadakan. Dengan hal ini, guru boleh melihat
prestasi murid-murid dari masa ke semasa. Antara kepentingan lain dalam
mengadakan UP1 ialah guru boleh melihat kelemahan dan kekuatan murid-murid.
Demikian itu, seorang guru boleh membuat penambahbaikan dalam sesi P&P demi
menampung kelemahan yang terdapat pada seseorang individu murid. Selain itu,
kekuatan murid juga boleh dijadikan sebagai pembimbing rakan sebaya demi
membantu rakan-rakan yang agak lambat mahupun sukar memahami sesuatu topic
atau bab-bab yang berkenaan. Sehubungan dengan itu, perkembangan kanak-
kanak iaitu murid-murid dapat di lihat melalui UP1 ini.
Tambahan pula, perkembangan kanak-kanak adalah suatu perubahan dari
segi pemikiran, rohani, moral dan sosial yang bermula sejak azali lagi sehinggalah
ke akhir hayat. Perkembangan kanak-kanak juga mempunyai lima prinsip asas.
Manakala, baka dan persekitaran merupakan faktor utama yang mempengaruhi
perkembangan kanak-kanak. Persekitara perkembangan pula terdiri daripada lima
sistem iaitu mikrosistem, mesosistem, ekosistem, makrosistem dan kronosistem.
Oleh itu, seseorang guru yang sentiasa berpandangan jauh perlu memahami konsep
perkembangan kanak kerana pengetahuan ini dapat memudahkan guru dalam
memahami tingkah laku murid-murid dan seterusnya dapat membuat kaedah
penyelesaian yang bersesuaian dengan tahap perkembangan kanak-kanak tersebut.
Sebagai contoh, pemerhatian saya dalam PBS telah memperlihatkan kekreatifan
seorang guru prasekolah dalam sesi P&P yang dijalankan olehnya. Hal ini oleh
kerana beliau telah membuat satu kad bacaan agar murid prasekolah lebih cepat
mebaca. Namun, di belakang kad tersebut ada tertulis tahap atau aras manakah
yang murid tersebut dapat membaca. Oleh itu, para ibu dan bapa akan memainkan
peranan apabila melihat kad tersebut untuk memantapkan lagi pembacaan anak-
anak mereka. Dalam hal ini, guru prasekolah SKPJ merupakan insane yang peka
dan tahu akan tahap perkembangan kanak-kanak seterusnya mengambil inisiatif
sendiri dalam menghasilkan kad yang kreatif bagi mempercepatkan lagi pembacaan
murid-muridnya.
Selain itu, peranan pihak sekolah pula dalam membudayakan amalan
membaca dalam kalangan murid-murid pula merupakan suatu amalan yang terpuji
kerana pihak sekolah mahu murid-muridnya mencintai ilmu pengetahuan. Dalam erti
kata yang lain, aktiviti ini akan membuatkan murid-murid menggunakan masa yang
terluang dengan aktiviti yang berfaedah. Makanya, secara tidak langsung masa
murid tidak terbuang dan sia-sia sahaja malah dapt menambahkan sedikit lagi ilmu
pengetahuan. Hal ini juga turut mempengaruhi tahap perkembangan kanak-kanak
dari segi aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Sebagai contoh, dari segi
aspek rohani peranan pihak pengurusan sekolah cakna dengan menerapkan
pembacaan doa sebelum sesi P&P berjalan dan setelah selesai sesi P&P yang
terakhir. Dalam hal ini, sebelum sesi P&P, murid diwajibkan membaca doa sebelum
memulakan pembelajaran manakala setelah selesai P&P yang terakhir pula mereka
diwajibkan mebaca doa naik kenderaan. Sesungguhnya pihak sekolah
amatmenitikberatkan pengisian rohani dalam kalangan murid SKPJ. Sudah terang
lagikan bersuluh bahawa SKPJ memainkan peranan yang penting dalam tahap
perkembangan kanak-kanak.
Kesimpulannya, semua pihak haruslah mengembleng tenaga agar hasil
produktiviti negara melalui perkembangan kanak-kanak dapat dituai suatu masa
kelak. Oleh itu, guru harus berminda kelas pertama dahulu sebelum melahirkan
murid yang berminda kelas pertama. Cadangan yang dapat saya nyatakan ialah
setiap sesuatu yang wujud itu pasti mempunyai negatif dan positif, pro dan kontra
serta hitam dan putih. Dalam hal ini, peranan pihak sekolah semamangnya amat
penting, namun belum tentu lagi pada masa hadapan murid SKPJ mampu mentadbir
negara apatah menguruskan diri sendiri. Sehubungan dengan itu, pihak sekolah
juga boleh mendedahkan murid-murid terhadap ancaman sosial di zaman
modenisasi walhal SKPJ adalah sekolah di luar bandar. Hal ini tidak boleh
dipandang enteng kerana virus masalah kebejatan sosial sangat kronik dan amat
parah dalam kalangan remaja hari ini. Sebagai contoh, kes pembuangan bayi,
rempit, zina, melacur dan banyak lagi aktiviti yang tidak bermoral. Cadangan saya
ialah pihak sekolah perlu menekankan aspek ini agar virus ini dapat dikecam.
Dengan pendedahan awal tentang masalah sosial pada hari ini kepada murid SKPJ,
mungkin mereka boleh mengambil sedikit iktibar mahupun pedoman agar tidak
terjerumus ke dalam kancah dan lembah kehinaan. Seterusnya, hasrat negara
dalam melahirkan modal insan kelas pertama yang bakal memimpin dan mentadbir
negara suatu hari nanti dapat dilahirkan seramai mungkin menjelang angka keramat
2020.