Anda di halaman 1dari 5

Dewasa kini, negara kita bukan saja di banjiri oleh kes pembuangan bayi yang tidak berdosa

seperti sampah, tetapi dalam diam juga kes anak membuang ibu bapa sendiri dengan
meninggalkan ibu bapa mereka dalam keadaan tidak terjaga atau terbiar hidup sengsara tanpa
pembelaan anak-anak semakin menular dan membudaya dalam masyarakat hari ini samada
disedari atau pun tidak. Malah, ada sehingga ke tahap yang sanggup mencederakan ibu bapa
mereka atau sanggup membunuh ibu bapa mereka kerana tidak mendapat apa yang
dikehendaki dari ibu bapa mereka seperti wang, geran tanah atau geran kenderaan. Seolah-
olah anak-anak pada masa kini sudah hilang rasa hormat, taat setia atau dalam bahasa
mudahnya berakhlak mulia dan berbelas ehsan terhadap ibu bapa mereka sendiri.
Walaupun aneh bunyinya, tetapi ianya benar-benar berlaku dalam masyarakat kita hari
ini. Ibu bapa yang menjadi mangsa dek perbuatan anak sendiri ini bukan dari calang-calang
orang, mereka kebanyakannya dari golongan tahfiz, bekas pegawai tentera, pegawai bank, dan
pesara kerajaan. Ramai anak-anak masa kini terutamanya yang sibuk dengan kehidupan
masing-masing sanggup menghantar ibu bapa mereka yang sudah tua ke rumah orang-orang
tua. walaupun tidak membuang ke dalam tong sampah, di tepi-tepi jalan mahupun dalam
longkang, tetapi dengan perbuatan menghantar ibu bapa sendiri ke rumah orang-orang tua dan
mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang anak adalah suatu perbuatan yang sangat tidak
mengenang budi dan dipandang hina oleh semua agama, sedangkan mereka mampu untuk
melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai seorang anak.
Suatu ketika dahulu kita digemparkan dengan kisah anak-anak derhaka yang sanggup
membuang bapa mereka yang telah dimamah usia sehingga terpaksa merempat meminta belas
ihsan orang lain. Mengapa perkara sebegini boleh berlaku dalam masyarakat kini yang lebih
luas pengetahuan agamanya berbanding masyarakat zaman Jahiliah dahulu yang jahil tentang
agama? Apakah yang menyumbang kepada tercetusnya masalah ini? Salah satu faktor
terjebaknya mereka dalam perbuatan ini adalah kerana tuntutan hidup masing-masing yang
sibuk dengan kerjaya untuk menyara kos hidup yang tinggi dan sibuk mengumpul kekayaan
dunia supaya boleh hidup senang. Kelekaan anak-anak dalam mengejar harta dunia telah
melalaikan mereka dan lupa tentang tanggungjawab mereka terhadap ibu bapa asing-masing.
Ibu bapa ditinggalkan bersendirian di rumah usang tanpa pulang untuk menjenguk keadaan ibu
bapa mereka. Bayangkan, betapa sunyinya ibu bapa kita bersendirian di rumah tanpa dijenguk
oleh anak-anaknya walaupun seorang. Sedangkan, hampir setiap hari mereka tidak putus-putus
menunggu kepulangan anak-anaknya yang ditatang sejak kecil bagai minyak yang penuh.
Selain itu, ibu bapa yang telah tua, terutamanya mereka yang telah uzur atau
berpenyakit kronik yang memerlukan sepenuh perhatian dan penjagaan rapi serta perlu
mendapatkan rawatan berterusan menjadi penyebab mengapa anak-anak mereka tidak mahu
menjaga kedua orang tua mereka itu. Tambahan pula, anak-anak zaman moden sekarang
mempunyai kerjaya masing-masing, tidak kira samada lelaki mahupun perempuan. Mereka
tidak mempunyai ruang untuk memberikan perhatian kepada ibu bapa mereka dan ada di
kalangan mereka ini menganggap ibu bapa sebagai beban kepada mereka, apatah lagi apabila
ibu bapa ini kerap meminta bantuan anak-anak untuk bergerak atau menguruskan diri. Ibu bapa
menjadi penagih simpati daripada anak-anak sendiri sedangkan tulang empat kerat itu lah yang
telah membanting tulang siang malam untuk membesarkan dan memberikan kesenangan
kepada anak-anaknya.
Bagi anak-anak yang telah mempunyai keluarga sendiri pula akan merumitkan lagi
keadaan lantas menjadi salah satu faktor mereka membuang ibu bapa mereka itu. Sudah
semestinya mereka akan sibuk menguruskan segala hal rumah tangga masing-masing.
Lantaran, tanggungjawab terhadap ibu bapa terabai dan tidak pernah mengambil tahu langsung
tentang kebajikan orang tua mereka yang telah uzur itu. Terdapat juga segelintir anak-anak
yang telah berkeluarga ini membawa ibu bapa mereka untuk tinggal bersama-sama bagi
memudahkan mereka melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai seorang yang bergelar
anak. Tetapi, malangnya menantu pula tidak suka akan mertuanya yang terpaksa dijaganya
bersama dan memberikan perhatian, sedangkan itu bukanlah ibu atau bapa kandung mereka.
Mereka mersakan ini merupakan beban besar yang perlu di tanggung dan akan menyusahkan
hidup mereka sekeluarga. Lantas, disebabkan sikap buruk itu, maka, terbuanglah ibu bapa ini di
rumah orang tua-tua mahupun di tepi-tepi jalan untuk menghabiskan sisa usia yang ada,
alangkah sedihnya hati mereka apabila diperlakukan sedmikian rupa.
Baru-baru ini kita digemparkan dengan kisah anak-anak derhaka yang sanggup
membuang bapa mereka yang telah dimamah usia sehingga terpaksa merempat meminta belas
ihsan orang lain. Dalam kes pertama, seorang bapa yang baru sahaja selesai menjalani
pembedahan jantung ditinggalkan di sebuah perhentian bas kerana dikatakan kehadirannya
tidak disukai oleh isteri anaknya, lalu kewujudan beliau di rumah boleh menjejaskan
keharmonian rumah tangga mereka. Dalam kes kedua pula, seorang bapa yang menghidap
penyakit buah pinggang yang kronik dianggap sebagai beban bagi anak-anak kerana perlu
menghantar bapa mereka ke pusat hemodialisis, lalu ditinggalkan bapanya yang sedang sakit
itu di pusat tersebut. Maka, tercampaklah kedua-dua bapa yang suatu ketika dulu telah
bertungkus-lumus membanting tulang untuk membesarkan anak-anak mereka di rumah orang-
orang tua Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Apa yang lebih mendukacitakan sifat tidak berperikemanusiaan ini timbul dari kalangan
mereka yang mengaku sebagai orang Islam, sedangkan Islam telah mencela dengan keras
perbuatan seumpama ini. Nabi Muhammad S.A.W. pernah bertanya kepada para sahabat
sebanyak tiga kali " Mahukah aku memberitahu kalian tentang dosa yang paling besar?" Maka,
mereka (para sahabat ) pun menjawab "Sudah tentu wahai Rasulullah." Baginda menjelaskan
"Syirik kepada Allah, derhaka kepada ibu bapa dan sumpah yang palsu." Hadis riwayat Imam
al-Bukhari di dalam sahihnya, no : 2654. Lihatlah, bagaimana dosa menderhaka kepada ibu
bapa ini diletakkan di dalam satu kategori bersama dosa mensyirikkan Allah S.W.T. iaitu dosa
yang paling keji di atas muka bumi ini. Justeru itu, Islam telah mengajar penganutnya agar
sentiasa berusaha untuk menggembirakan ibu bapa lebih-lebih lagi yang telah lanjut usianya
dengan apa jua cara sekalipun selagimana ianya tidak bercanggah dengan syarak.
Sikap biadap kepada ibu bapa yang sudah tua ini turut bertentangan dengan budaya
orang Melayu yang trekenal dengan tatasusila yang tinggi serta lemah lembut. Entah mana
silapnya sifat jelik menghina dan membuang ibi bapa sehingga merempat di tepi jalan ini boleh
wujud di tengah-tengah masyarakat Melayu yang beragama Islam. Penduduk sekeliling perlu
menghukum mereka yang menzalimi orang tua mereka dengan memboikot mereka dalam
urusan harian agar mereka tahu perbuatan mereka itu tidak diterima oleh masyarakat. Jangan
kita berlembut dengan si penderhaka yang tidak tahu mengenang jasa orang tuanya itu.
Baru-baru ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM)
telah bercadang dan masih dalam kajian untuk mewujudkan satu akta yang membolehkan
tindakan diambil terhadap anak-anak yang mengabaikan tanggungjawab menjaga ibu bapa
mereka. Memandangkan kes anak-anak membuang ibu bapa ini semakin meruncing dalam
masyarakat kini, walaupun tidak terlalu kritikal, perkara ini harus dibendung lebih awal dengan
melaksanakan akta ini sebagai langkah utama supaya masalah ini tidak membudaya dalam
masyarakat kini dan seterusnya.
Menjaga ibu bapa yang sudah tua memang bukan satu urusan yang mudah.
Kebiasaannya tubuh yang telah dimamah usia itu menyebabkan pergerakan mereka terbatas
bahkan adakalanya memerlukan bantuan daripada anak-anak untuk bergerak. Jiwa mereka
juga semakin sensitif, kuat terasa hati bahkan agak cerewet dalam pelbagai perkara. Ada juga
yang telah lemah daya ingatannya menyebabkan perbualan dengan mereka adakalanya boleh
menyebabkan seseorang anak itu hilang sabar. Namun, kesukaran dalam menjaga ibu bapa ini
tidak datang dengan sia-sia. Bagi mereka yang sabar dengan kerenah ibu bapa mereka dan
tetap menjaga mereka dengan baik dalam apa jua keadaan sekalipun maka mereka sebenar
telah menempah tiket untuk ke syurga.
Secara realitinya, setiap manusia sememangnya tidak boleh lari dari melakukan
kesilapan. Namun, hendaklah seseorang itu menebus segala kesilapannya itu dengan tidak
meneruskan perbuatan tersebut serta segera bertaubat. Sabda Rasulullah S.A.W. "Setiap anak
Adam itu sering membuat kesilapan dan sebaik-baik orang yang selalu membuat kesilapan
adalah orang yang suka bertaubat". Hadis riwayat al-Tirmidzi di dalam sunannya, no:2423.
Sehubungan dengan itu, bagi mereka yang telah menderhaka kepada kedua orang tua mereka,
hendaklah kembali ke pangkal jalan. Bertaubatlah segera kerana Allah sentiasa menerima
taubat-taubat hamba-Nya walau sebesar mana dosa mereka sekalipun selagi tidak melakukan
perbuatan syirik. Segeralah memohon keampunan kepada ibu bapa yang telah dizalimi itu dan
jangan ulangi kesilapan yang lalu. Kembalikan mereka ke pangkuan keluarga, jagalah dengan
baik dan jangan biar mereka terus bersedih di rumah orang-orang tua seolah-olah mereka ini
tiada zuriat yang bertanggungjawab atas hal ehwal mereka.
Walaupun apapun alasan dan puncanya anak sepatutnya perlu lebih bijak dalam menangi
situasi ini, kerana dalam usia senja ibu bapa mereka tidak lagi memerlukan wang ringgit
mahupun hadiah mewah daripada anak mereka, namun cukuplah sekadar belaian dan kasih
sayang.
Menyedari akan institusi kekeluargaan hari ini semakin longgar disebabkan oleh
kesibukan mengejar kejayaan mahupun kekayaan dunia, maka sudah tiba masanya untuk
kerajaan menyemak dan menilai kembali sistem pendidikan hari ini yang lebih mengutamakan
keuntungan dunia. Apakah sistem pendidikan yang ada hari ini memberi tumpuan kepada
pembentukan akhlak dan sahsiah anak-anak. Perkara ini penting bagi memastikan negara tidak
berdepan dengan pelbagai masalah sosial ketika sedang melangkah untuk menuju ke arah
negara maju. Mungkin juga sudah tiba masanya untuk kerajaan menggubal dasar baru dengan
menjadikan pendidikan Islam sebagai subjek wajib lulus bagi peperiksaan utama di negara ini.
Umum mengetahui bahawa keruntuhan institusi keluarga dan masalah sosial ini berlaku adalah
disebabkan kegagalan mendapat didikan agama sempurna.

Anda mungkin juga menyukai