Anda di halaman 1dari 6

KULIAH 5: PENILAIAN SEJARAH SEJARAH

MELAYU
Naskah Melayu dalam bentuk tulisan Jawi mula ditulis sejak zaman kedatangan Islam pada abad
ke 15. Naskah asal (induk) menjadi sumber kepada berbagai versi naskah lain. Versi ialah
bentuk atau kelompok cerita yang sama sejenis tetapi berbeza dengan bentuk dan kelompok
cerita yang lain, walaupun berasal dari cerita yang sama.
Misalnya, Teks Sejarah Melayu mempunyai berbagai versi. Pengkajian ke atas versi-versi
naskahnya mula dilakukan oleh sarjana Barat seperti Sir Hugh Low, Sir Stamford Raffles, R.O.
Winstedt dan W.G. Shellabear. Mereka mencari dan mengumpul manuskrip-manuskrip naskah
Melayu di Nusantara.
Teks Sejarah Melayu
Teks ini lahir dalam masyarakat Melayu berlatarkan zaman sebelum dan semasa kerajaan
Melaka antara abad ke 15 dan 17. Nama lainnya dalam bahasa Arabnya ialah Sulalatus Salatin
bererti Salasilah Sultan-sultan. Dalam edisi Shellabear, Sulalatus Salatin diberi makna sebagai
Peraturan Segala Raja-raja.
Dipercayai terdapat kitab asal teks Sejarah Melayu, khususnya berasal dari sebuah Hikayat
Melayu yang dibawa dari Goa. Tun Sri Lanang adalah pengarang dan penyusun semula teks
Sejarah Melayu, sebagaimana diungkapnya pada bahagian mukadimah, menyebut:
Hamba dengan ada hikayat Melayu dibawa oleh orang dari Gua: barang kita perbaiki kiranya
dengan istiadatnya, supaya diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudiannya daripada
kita, dan boleh diingatkannya, oleh segala mereka itu, syahdan adalah beroleh faedah ia
daripadanya. (W.G. Shellabear, 1997, hlm. 2).
Dalam Teks ini tercatat tarikh-tarikh kenaikan, kemangkatan dan tempoh pemerintahan raja-raja
Melaka. Juga senarai raja-raja berkembang dan banyak perkara ditokok tambah, disisipkan
bahan-bahan mana yang sesuai - akhirnya wujudlah teks Sejarah Melayu yang ada masa ini.
Pengarang asal Sejarah Melayu dipercayai seorang scholar (intelektual) Melayu - meminati
sejarah dan peka terhadap perkembangan politik di Melaka ketika itu. Kemungkinan
pengarangnya didorong oleh Hikayat Zulkarnain dan Hikayat Raja-Raja Pasai, yakni dua naskah
sastera yang tertua yang wujud ketika itu. Ini adalah kerana dalam Sejarah Melayu dimasukkan
kisah-kisah mengenai tokoh-tokoh Iskandar Zulkarnian dan peristiwa-peristiwa daripada
Kesultanan Samudera-Pasai. Namun begitu, malangnya nama pengarang tidak dikenali.

Penyusunan semula teks Salalatus Salatin oleh Tun Seri Lanang pula menjadi sumber kepada
penyalin-penyalin seperti Stamford Raffles, R.O. Winstedt, W.G. Shellabear, A. Samad Ahmad,
dan lain-lain, menyebabkan timbulnya berbagai versi Sejarah Melayu.
Sejarah Melayu terkenal sebagai hasil kesusasteraan yang agung di alam Melayu. Ramai sarjana
Barat dan Nusantara mula mengkaji teks ini sejak tahun 1726 hingga sekarang. Misalnya, versi
Sejarah Melayu Manuskrip Raffles M.S. 18 dikaji semula oleh R.O. Winstedt. Manakala A.
Samad Ahmad telahpun mengkaji semua - 29 buah naskah versi - terdapat di perbagai koleksi
dan kepustakaan dunia (12 - Netherlands, 11 - United Kingdom, 5 Indonesia, 1 Russia).
Kemasyhuran Sejarah Melayu amat jelas kerana mendapat perhatian para pengkaji luar dan luar
negeri dalam usaha untuk mewujud sebuah naskah yang lengkap.
Punca Pelbagai Versi
Persoalan utama kini, mengapa munculnya versi-versi naskah Sejarah Melayu sehingga amat
sukar untuk ditentukan induknya? Permasalahan ini boleh dijelaskan berdasarkan faktor-faktor
berikut:
1. Sikap Pengarang Naskah
Asalnya sebuah karya Kesusasteraan yang hanya berupa senarai raja-raja Melayu yang
memerintah Melaka, lengkap dengan tarikh kenaikan sesorang raja, kemangkatan dan tempoh
pemerintah rajanya. Senarai raja-raja itu menjadi inti penulisan.
Penyalinan daripada naskah induk dibuat mengikut keadaan (zaman dan tempat) ianya disalin.
Hampir semua versi naskahnya dibuat pada abad ke 19.
Sikap pengarang - tidak meletakkan nama sebenar mereka pada naskah salinan. Ketika itu karya
bukan milik sesiapa tetapi adalah hak masyarakatnya. Belum ada satu hakcipta yang dapat
memelihara keaslian sesuatu karya.
Justeru itu, penyalin boleh membuat tokok tambah isi yang diperlukan dengan sesuka hati.
Mungkin juga sebaliknya - meniadakan mana-mana isi yang tidak diperlukan. Tindakan tokok
tambah ini ketika itu tidak dibantah malah disenangi. Perbezaan penceritaan wujud dengan
ketara dalam pelbagai versi. Misalnya;
Dalam versi R.O. Winstedt dan W.G. Shellabear - terdapat sedikit perbezaan dari segi isi cerita.
Versi Winstedt adalah lebih tua - menulis dalam cetera 3 tentang perkahwinan Sri Tri Buana
dengan anak Demang Lebar Daun, Wan Sendari. Hasil perkahwinan itu memperolehi 2 putera.
Kedua-dua rutera itu dilahirkan di Temasik - negeri baru - dibuka oleh Sri Tri Buana.
Manakala versi Shellabear adalah lebih terkemudian - menulis dalam cetera 2 tentang Sri Tri
Buana dikenali sebagai Sang Sapurba, berkahwin dengan Wan Sendari. Hasil perkahwinan ini
memperolehi 2 putera dan 2 puteri - Sang Manika, Sang Nila Utama, Puteri Sri Dewi dan Puteri
Cendana Dewi - dilahirkan di Palembang.
Sikap penyalin menambah dan mengurangkan perkataan-perkataan dalam teks berlaku dengan
ketara. Mungkin bertujuan untuk memperbaiki mutu bahasa penceritaan. Misalnya;
gilang-gemilang seperti cahaya matahari dan bulan, dan amat bijaksana
(W.G.Shellabear, 1977: 4)
gilang-gemilang seperti cahaya matahari, dan terlalu amat bijaksana
(R.O.Winstedt, 1938: 43)
Perubahan penceritaan juga berlaku kerana sikap ego si penyalinnya. Ini dilihat dengan
tindakan mereka seperti mengubah cerita peristiwa tertentu sehingga menampakkan unsur
anakronisme dalam karyanya. Contohnya, peristiwa peminangan Puteri Gunung Ledang oleh
Sultan Melaka. Perbezaan yang jelas wujud tentang watak yang memerintahkan peminangan itu.
Maka Sultan Mansur Syah memberi titah pada segala orang besar-besarbahawa kita hendak
beristeri terlebih dari segala raja-raja dalam dunia iniMaka titah baginda, Kita hendak
meminang Puteri Gunung Ledang, Laksamana dan Sang Setialah kita titahkan.
(R.O. Winstedt, 1938: 129)
Maka titah Sultan Mahmud, Jikalau beristeri sama anak raja-raja ini, adalah raja-raja lain pun
demikian jugaAkan sekarang kita hendak meminang Puteri Gunung Ledang, Laksamana dan
Sang Setia kita titahkan.
(W.G. Shellabear, 1977: 215)

Sikap egostik penyalin menyebabkan berlakunya pertindihan masa bagi peristiwa yang sama.
2. Anjakan Paradigma Penyalin Terkemudian
Wujudnya banyak perbezaan antara penyalin terawal dengan penyalin terkemudian adalah
disebabkan oleh hakikat perbezaan corak masyarakat, pemerintahan dan gaya hidup pada zaman
masing-masing. Penyalin mungkin merasai banyak perkara dalam cerita asal atau terdahulu yang
tidak bersesuaian dengan keadaan pada zamannya. Winstedt dan Shellabear jelas menampakkan
perbezaan ini.
Winstedt menamatkan kisahnya pada tahun 1535 (R.O. Winstedt, 1938: 189). Manakala
Shellabear pula pada tahun 1612. Ini menjelaskan bahawa versi Shellabear adalah lebih
terkemudian. Shellabear cuba membina versi baru dengan mengubah penceritaan tentang
peminangan Puteri Gunung Ledang. Kebanyakan versi termasuk versi Winstedt menyebut Sultan
Mansor Syah melainkan Shellabear menyebut Sultan Mahmud Syah.
Tujuannya agar zaman Sultan Mahmud Syah juga akan masyhur sekiranya terdapat peristiwa
luar biasa setanding dengan kemasyhuran zaman Sultan Mansor Syah.
3. Percanggahan Tafsiran
Hakikat semasa proses penyalinan, faktor masalah salah tafsiran ataupun salah bacaan oleh
penyalin dan penterjemah sering timbul.
Ada di antara penulis naskah boleh menulis tetapi tidak dapat menilai kandungan naskah
tersebut. Keadaan ini berlaku kerana penyalin tidak faham isi kandungan naskah asal. Tambahan
naskah asal itu ditulis dalam bentuk tulisan jawi - bukan semua penyalin arif membaca tulisan
jawi. Jika boleh membaca pun - mungkin tidak dapat menyebut bunyinya dengan tepat tetapi
terus menulis mengikut kefahaman mereka sendiri semata-mata.
Jelas sekali Winstedt membuat kesilapan terhadap beberapa perkataan jawi diterjemahkan ke
dalam bahasa Melayu tetapi ejaan jawinya masih dikekalkan. Contohnya;
Gudarz Kuhan - ?
Onang Kiu - ?
Dika - ?
(R.O. Winstedt, 1938: 47, 50, 52)
Tindakan seperti ini berlaku bertujuan untuk menggelakkan pertafsiran yang salah.

4. Pengaruh Istana
Pada zaman masyarakat Melayu tradisional kegiatan menulis hanya tertumpu di istana. Golongan
intelektual hanya terdiri daripada golongan istana tetapi tertakluk kepada perintah dan kehendak
raja yang memerintah. Lihat seungkap kata dalam versi Winstedt menjelaskan keadaan ini;
Maka fakir karangkan hikayat ini Kama Sami tu min jaddi wabi, dan fakir himpunkan daripada
segala riwayat orang tua-tua dahulu kala, supaya menyukai duli hadhrat baginda.
(R.O. Winstedt, 1938: 42).
Hal ini akan memberi kesempatan kepada golongan pemerintah untuk mempengaruhi hasil
penulisan agar memasukkan unsur yang boleh menaikkan martabatnya.
5. Sumber Penyalinan
Penyalin bebas memasukkan atau menambahkan bahagian-bahagian mana yang disukai dan
difikirkan perlu. Sumber tulisan dan sumber lisan telah digunakan. Hal ini telah mengubah cerita
sebenar. Misalnya sumber lisan walaupun hanyalah selitan kepada cerita sebenar. Begitulah juga
penggunaan sumber tulisan telah menyebabkan unsur tokok-tambah tidak boleh dielakkan.
Misalnya, teks Sejarah Melayu yang asal hanya satu bentuk senarai raja-raja Melayu kerajaan
Melaka daripada raja pertama hingga raja terakhir sekali. Ini dibuktikan dengan jumpaan naskah
(Cod.Or.3199(3) Bahagian 4. Berdasarkan jumpaan ini penyalin memasukkan cerita-cerita,
riwayat-riwayat dan isi-isi baru. Perubahan ini wujud dalam versi Maxwell No.105 yang
tersimpan di Royal Asiatic Society, London. Naskah tersebut diperolehi oleh Maxwell daripada
Raja Othman, Bendahara Perak.
Berdasarkan Versi Maxwell No.105, dimuatkan isi sejarah dan bukan sejarah bagi membentuk
riwayat yang lebih terperinci. Perubahan juga dilakukan dalam versi Raffles M.S. 18
(diselenggarakan oleh R.O. Winstedt pada tahun 1935).

Tradisi menyalin juga dilakukan oleh penyalin dari Siak - memasukkan riwayat kekeluargaan
Siak. Kegiatan menyalin diteruskan tetapi penceritaan semua salinan (versi) adalah berakhir
secara mendadak dengan peristiwa serangan Portugis terhadap Melaka pada tahun 1511. Versi
yang lain diusahakan oleh Abdullah Munsyi, Situmorang, Teeuw dan Dato Madjoindo.
Jelas di sini bahawa dalam proses penyalinan naskah asal Sulalatus Salatin dengan bergantung
kepada keupayaan si penyalin telah menyebabkan terhasilnya pelbagai versi Sejarah Melayu
pada hari ini.
6. Mengikut Kehendak Penerbit
Dalam tahun 1908, pemerintah Belanda di Indonesia telah mendirikan Kantor Penterjemahan
Kecil. Pada tahun 1920 ia diperluaskan lagi menjadi perusahaan penerbitan yang dinamakan
Balai Pustaka. Balai Pustaka menjalankan dasar mengarahkan pegawainya sendiri membetulkan
sebarang kesalahan yang dikesan dalam setiap naskah karya yang dijumpai. Akibatnya berlaku
kelainan daripada versi yang asal dan ini merumitkan lagi proses menentukan naskah asalnya.
7. Mengagungkan bangsa sendiri
Naskah Sejarah Melayu disalin oleh penyalin yang terdiri daripada berbagai bangsa. Oleh yang
demikian, mengalami berbagai bentuk sisipan atas kecenderungan pengarang atau penyalin itu
sendiri.
Dalam versi Blagden disisipkan kisah serangan Jambi terhadap Johor. Hakikatnya peristiwa itu
tidak ada kena mengena langsung dengan cerita sebelumnya. Cerita ini digunakan oleh penyalin
berbangsa Bugis di istana Riau-Lingga, iaitu Raja Ali Haji yang bertujuan untuk mengangkatkan
martabat keturunan Bugis lima bersaudara. Begitu juga penyalin berketurunan Siak pula
menambah episod tertentu dengan memasukkan riwayat kekeluargaan Siak bermula dari Raja
Kecil.
Dalam proses penyalinan, timbul berbagai perubahan. Hal ini terjadi kerana penyalin mempunyai
idea baru yang dijangkanya akan menarik minat pembaca. Penyalin juga mungkin kurang
memahami bahasa atau pokok persoalan naskah asal. Mungkin juga tulisan teks asal itu tidak
terang atau ketidaktelitian penyalin sendiri sehingga beberapa huruf hilang. Malah penyalin
bebas menambah, mengurang, mengubah naskah asal menurut seleranya, disesuaikan dengan
situasi dan kondisi zaman penyalin. Unsur-unsur lain seperti pengaruh pemerintah, pengkritik
dan penerbit juga menjadi punca. Apa yang jelas ialah setiap naskah salinan itu dianggap sebagai
tidak sempurna daripada naskah asal, sebaliknya melahirkan naskah yang berbeza versinya.

Anda mungkin juga menyukai