Anda di halaman 1dari 4

1.

0 PENGENALAN

Kekukuhan jati diri di kalangan generasi muda sering kali menjadi kebimbangan
masyarakat. Kerisauan terhadap perkara tersebut berasas, memandangkan generasi muda
lazimnya terkenal dengan sifat-sifat seperti ingin mencuba suatu yang baru dan mudah
terikut-ikut. Dari sudut yang lain, generasi muda juga merupakan generasi harapan bangsa
yang bakal menerajui negara pada masa akan datang. Jati diri selalunya dikaitkan dengan
akhlak dan maruah individu, masyarakat atau negara. Pembentukan Jati Diri Kebangsaan
pula adalah suatu yang asasi dan menjadi agenda utama bagi setiap negara bangsa dengan
tujuan untuk membina identiti yang tulen dan murni yang boleh menjadi teras dan lambang
keagungan dan keunggulan sesebuah negara (Ismail Bakar 2010).
Oleh itu, sebagai usaha dalam membina jati diri generasi muda ini, pihak kerajaan
telah memasukkan satu kaedah pembelajaran bagi membantu pembentukan generasi yang
mempunyai daya tahan terhadap cabaran dunia yang semakin mendesak ini. Salah satu
kaedah yang paling efektif adalah pendidikan luar.
Sebenarnya pendidikan luar ini merupakan satu kaedah pembelajaran yang
menghendaki seseorang pelajar itu melakukan aktiviti-aktiviti yang telah disusun dan akan
dapat memberi kesan terhadap tahap peningkatan konsep kendiri, di mana elemen-elemen
yang berfaedah tentang program pendidikan luar dapat dikenal pasti dan perlu diambil kira
apabila merancang sesuatu program. Penilaian terhadap aktiviti dalam pendidikan luar dapat
mengenal pasti kesan terhadap aspek-aspek yang berbeza bagi memahami tahap kendiri
peserta.
Pusat Perkembangan Kurikulum (1989; petikan dari Abu Bakar Sidek, 2004) telah
menggariskan Falsafah Pendidikan Luar sebagai: Alam semulajadi merupakan sebuah
makmal hidup yang kaya dengan sumber ilmu. Ia boleh digabungjalinkan dengan amalan
yang bolehmemperkayakan pengalaman dan memupuk nilai-nilai murni bagi melahirkan
individu yang sihat dari segi mental, rohani dan jasmani dalam usaha mewujudkan integrasi di
kalangan masyarakat ke arah kesepaduan nasional.
Aktiviti luar juga didapati dapat melegakan tekanan di dalam kelas semasa duduk,
berfikir, senyap dan cuba hendak menjadi baik. Semasa aktiviti di luar memberi peluang
kepada peserta untuk berjumpa rakan dan bercakap tentang minat yang sama. Ini akan melatih
mereka untuk berinteraksi satu sama lain dan pada masa yang sama juga para peserta akan
menggunakan masa luar kelas untuk merancang dan membuat sesuatu bersama. Berkongsi
dan membina kemahiran sosial. Aktiviti luar menyediakan penerimaan sosial dan kepimpinan
kepada kanak-kanak yang sukar menyesuaikan diri dengan aktiviti formal.
Oleh itu dapatlah dikatakan bahawa pendidikan luar ialah satu saluran pembelajaran
yang berasaskan gerak kerja yang tersusun dan terancang dan aktivitinya dilakukan
sebahagian besar di luar bilik darjah. Dengan adanya pelbagai aktiviti yang dirancang dan
dilaksanakan pendidikan luar dilihat akan mampu meningkatkan kualiti individu pelajar
dalam melibatkan diri dengan rakan, ahli masyarakat serta dapat meningkatkan tahap disiplin
diri. Pendidikan luar juga berupaya memberikan sumbangan yang besar dalam melahirkan
produk yang benar-benar berkualiti serta mampu memberi sumbangan kepada masyarakat dan
negara.

2.0 DEFINISI PENDIDIKAN LUAR
Pendidikan luar boleh didefinisikan sebagai suatu falsafah pendidikan yang
berteraskan kaedah pembelajaran melalui pengalaman (experiential learning), ianya kerap
dilaksanakan di alam semula jadi dan melibatkan pelaksanaan aktiviti lasak seperti
berkhemah, berkayak, mendaki gunung dan berenang sebagai medium membina kemahiran
insaniah (Bunting, 2006; Md Amin, 2004). Falsafah pendidikan yang unik ini dipercayai telah
diaplikasikan oleh masyarakat dunia sejak ribuan tahun lampau sebelum pengenalan sistem
pembelajaran bilik darjah.
Namun begitu terdapat pelbagai definisi tentang pendidikan luar (PL) ini yang telah
diberikan oleh tokoh-tokoh terkemuka. Antaranya adalah :-

2.1 Definisi (Knapp, 1990)
Pendidikan luar pada asasnya boleh didefinisikan sebagai penggunaan sumber-sumber
luar daripada bilik darjah untuk mencapai matlamat dan objektif pendidikan (Knapp, 1990).
Ianya adalah merupakan suatu aktiviti yang menarik yang mana ia boleh dijalankan dengan
pelbagai aktiviti seperti rekreasi, aktiviti sosial dan aktiviti ibadah selain untuk pendidikan.
Dalam dunia pendidikan, ia disifatkan sebagai merentas kurikulum. Definisi lain yang
diberikan oleh beliau tentang pendidikan luar adalah proses pengalaman iaitu pembelajaran
dengan melakukan dimana meliputi sebarang aktiviti pendidikan dalam persekitaran terbuka
sama ada di bandar atau di pedalaman.
Apa yang dapat difahami dari definisi PL yang diutarakan oleh Knapp ini adalah,
dalam proses pencapaian objektif pengajaran dan pembelajaran (pdp), guru boleh
menggunakan inisiatif sendiri dengan melakukan aktiviti di luar bilik darjah dengan
menggunakan sumber yang ada di luar itu bagi menerangkan apa yang telah dipelajari
didalam bilik darjah.

2.2 Definisi (Abu Bakar Sidek, 2004)
Pendidikan luar adalah pembelajaran dan pengajaran yang melibatkan alam
semulajadi di mana ia menyediakan suatu tempat yang merupakan sebuah makmal hidup yang
kaya dengan sumber ilmu. Pendidikan luar juga bermaksud pembelajaran di dalam dan di luar
rumah. Ini bermakna tambahan dan pengkayaan kurikulum, menerusi pengalaman di luar. Ia
boleh digabungjalinkan dengan amalan sihat yang boleh memperkayakan pengalaman dan
memupuk nilai-nilai murni bagi melahirkan individu yang sihat dari segi mental, rohani dan
jasmani dalam usaha mewujudkan integrasi di kalangan masyarakat ke arah kesepaduan
nasional (Abu Bakar Sidek, 2004).
Ini bermakna pendidikan luar mesti dilakukan di luar kawasan sekolah ataupun
institusi pembelajaran bagi membolehkan pelajar mengalami sendiri pengalaman demi
membina jati diri.

2.3 Definisi (Brookes, 1994)
Selain itu aktiviti pendidikan luar adalah pembelajaran yang menghasilkan
pengalaman yang membolehkan interaksi dan mengetahui persekitaran alam semulajadi
(Brookes, 1994). Oleh itu, pendidikan luar didefinisikan sebagai satu medium untuk
masyarakat mendekatkan diri dengan alam sekitar. Contohnya, melalui aktiviti perkhemahan
termasuk dalam sukatan pelajaran dalam sesuatu pendidikan. Pendidikan luar mempunyai
sejumlah besar objektif, di antaranya termasuklah: untuk membantu individu hidup dalam
keadaan harmoni dengan alam semulajadi, untuk memperkembangkan asas pemahaman di
antara satu sama lain, untuk mempergunakan pendekatan disiplin ke arah pendidikan, belajar
menggunakan deria, belajar dalam makmal semulajadi dan untuk membangkitkan perasaan
ingin tahu dalam kalangan pelajar.
2.4 Definisi Ketiga (Meier dan Mitchell, 1993)
Selain itu pendidikan luar juga merupakan salah satu media yang membekalkan
pembelajaran melalui pengalaman. Perkara ini turut diakui oleh Meier dan Mitchell (1993),
yang menyatakan bahawa pendidikan luar termasuklah semua jenis pengalaman yang
meningkatkan pengetahuan, tingkah laku atau kemahiran luaran dan membantu membuatkan
kita lebih menghargai antara satu sama yang lain. Gabungan elemen kognitif, psikomotor dan
afektif dalam pendidikan luar akan menyumbang kepada pembinaan penghargaan diri (self-
esteem), ke arah pembentukan pelajar yang sihat dari segi mental dan fizikal. Maka, melalui
pendidikan luar, ia dapat diertikan sebagai proses pembelajaran dan pengajaran yang
menyatakan kepentingan bagi keperluan dan hubungan yang rapat antara pengalaman sebenar
dan pendidikan. Selain itu, pendidikan luar turut membantu memperkembangkan fizikal yang
diingini, mental, sosial dan semangat yang berkualiti (Meier & Mitchell,1993).

2.5 Definisi ( Lund,2002)
Menurut Lund pula, pendidikan luar merupakan satu kaedah pembelajaran melalui
pengalaman dengan mengaplikasikan kesemua deria panca indera. Ia berlaku, terutamanya
melalui pendedahan kepada persekitaraan semula jadi. Dalam pendidikan luar penekanan
untuk subjek yang dipelajari ke atas perkaitan antara manusia dan sumber alam.

Oleh itu, dari kelima-lima definisi tentang pendidikan luar yang diutarakan oleh tokoh
diatas dapatlah dikatakan bahawa pendidikan luar ini merupakan sebagai satu pendekatan
untuk mencapai objektif pembelajaran menerusi pengalaman melakukan sendiri di
persekitaran terbuka ataupun semulajadi. Pendekatan ini bukan sahaja memberi pengalaman
malah akan membina jati diri para peserta dengan mengubah cara berfikir dan merasai
nikmat di mana matlamatnya ialah untuk mempelajari kemahiran dan pengetahuan, malah
pendidikan luar ini juga bertujuan untuk membina dan mengekalkan keadaan mental, fizikal,
emasi dan sosial yang sihat serta melahirkan warganegara yang berpengetahuan luas,
berdisiplin dan bersatu padu. Oleh itu, pendidikan luar haruslah mengandungi unsur-unsur
pendidikan, etika, dan perpaduan.