Anda di halaman 1dari 4

WAJ3073 : SENI DALAM PENDIDIKAN

DISEDIAKAN OLEH:
NOR ARZILA BINTI ABDULLAH
RBT 2
TUGASAN INTERAKSI 1

Seni dalam pendidikan atau lebih dikenali sebagai SDP diwujudakan bagi
membantu perkembangan yang seimbang individu itu sama ada dari aspek jasmani,
emosi, rohani, intelek dan juga sosial sejajar dengan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan (FPK). Selain itu, ianya juga bermatlamat untuk menyediakan guru
permulaan dengan pengetahuan dan juga kemahiran untuk mengintegrasikan aktiviti
seni visual, seni pergerakan dan juga seni muzik dalam proses pengajaran dan
pembelajaran dalam mata pelajaran yang lain. Seni dalam pendidikan merupakan
sesuatu yang baru dan ianya menggabungkan tiga elemen penting. Elemen-elemen
tersebut ialah seni visual, seni pergerakan dan juga seni muzik. Dalam seni visual
ianya lebih melibatkan lukisan, manakala seni pergerakan melibatkan penggunaan
ruang dalam sesuatu aktiviti. Dan seni muzik pula lebih kepada interpretasi
seseorang terhadap muzik yang didengari.
Aplikasi seni dalam pengajaran ialah menggunakan aktiviti yang berkaitan
dengan seni seperti lakonan, nyanyian, sajak, pantun, syair, dan lain-lain lagi dalam
proses pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, seseorang guru boleh mengajar
pelajarnya menggunakan pelbagai elemen seni mengikut kretiviti seseorang itu. Hal
ini demikian kerana, aplikasi seni dalam pengajaran dapat digunakan bagi menarik
minat para pelajar mengikuti proses pembelajaran di samping dapat meransang
minat pelajar untuk memberikan fokus yang sepenuhnya kepada isi pelajaran.
Aplikasi seni di dalam pengajaran juga dapat memperkembangkan kemahiran
meneroka dan pengalaman yang tersediri kepada setiap pelajar. Di samping itu,
Teori Kecerdasan Pelbagai oleh Howard Gardner juga telah menyokong agar seni
diberi peranan yang lebih penting dalam kurikulum kerana menurutnya, manusia
memperolehi pengetahuan melalui kecerdasan yang pelbagai antaranya kecerdasan
logikmatematik, kecerdasan verbal-linguistik, kinestetik badan, muzik, ruang visual,
interpersonal, intra personal, naturalis, dan eksistensialis.
Kanak-kanak di sekolah rendah belajar dalam suasana yang aktif. Menurut
ahli piskologi kognitif dan ahli teori konsturktivisme, kanak-kanak tidak memperoleh
sesuatu ilmu pengetahuan melalui cara yang pasif. Mereka membina pengetahuan
secara aktif.Pembelajaran secara aktif dan juga melibatkan interaksi sosial amatlah
digalakkan.Melalui aktiviti yang dilakukan seperti meneroka, membuat eksperimen
dan mengolahbahan, murid akan memperoleh pengalaman yang baru. Pengalaman
tersebut akan kekal kerana mereka meneroka sendiri dan menggunakan
pencaindera mereka untuk menilai apa yang dilakukan. Oleh itu, melalui aktiviti seni,
kanak-kanak boleh meluahkan idea atau perasaan mereka yakni emosi secara
bebas dan kreatif.
Irama, warna dan juga ruang merupakan elemen yang senantiasa wujud di
sekeliling kana-kanak. Melalui kewujudan unsur-unsur ini, kanak-kanak dapat
mempelajari sesuatu yang baru disekeliling mereka dengan lebih seronok dan lebih
berkesan. Mereka juga digalakkan mencuba untuk meneroka sesuatu yang baru
dengan dibantu oleh guru sebagai pembimbing. Warna merupakan elemen yang
tidak kurang penting dalam kehidupan. Tanpa warna kehidupan akan menjadi tidak
bermakna kerana tiada kepelbagaian warna, yang ada hanya warna hitam dan putih.
Semestinya, kehidupan akan menjadi bosan dan tidak menarik. Warna juga turut
digunakan dalam seni pendidikan iaitu dalam komponen Pendidikan Seni Visual.
Warna dapat dibahagikan kepada tiga yang utama iaitu warna primer, warna
sekunder dan juga tertier. Kesemua warna ini sebenarnya wujud disekeliling kita.
Contoh-contohnya adalah seperti warna hijau yang terdapat pada daun, warna warni
yang terdapat pada pelangi dan juga sebagainya. Penggunaan warna juga turut
memberi kesan kepada manusia. Warna yang digunakan memberi kesan terhadap
personaliti, budaya dan juga psikologi seseorang. Terdapat juga warna panas dalam
seni visual. Sebagai contoh, warna merah yang menggambarkan perasaan marah,
semangat keberanian dan juga keceriaan dalam diri seseorang. Misalnya, jika
seseorang individu itu mengenakan pakaian yang berwarna terang seperti oren dan
merah, semestinya tanggapan yang wujud ialah dia seorang berani kerana memilih
warna tersebut sebagai pilihan. Warna sejuk pula memberi kesan yang lebih tenang
dan nyaman dalam sesuatu hasil seni visual. Ianya juga menggambarkan emosi
sedih dan juga sayu seseorang.
Irama merupakan elemen yang terdapat dalam seni muzik. Tanpa irama
maka muzik tidak dapat berdiri dengan sempurna. Irama dapat dinyatakan sebagai
sesuatu atau rentak yang berlaku secara berulang. Sesuatu irama itu boleh dinikmati
sewaktu kita mendengar muzik. Irama yang menarik dalam sesuatu muzik akan
mempengaruhi seseorang untuk mendengar muzik tersebut berulang kali. Dalam
kehidupan kita seharian, kita semestinya akan menemui pelbagai irama. Sebagai
contoh, bunyi tapak kaki, bunyi degupan jantung, bunyi titisan air di sinki dan
sebagainya. Semua ini merupakan irama yang wujud disekeliling kita tanpa kita
sedari dan kebanyakan ianya berlaku setiap masa. Kanak-kanak juga mampu
menghasilkan irama mereka sendiri. Ini dapat dilihat ketika mereka berkawad,
menepuk tangan, mengetuk meja dan sebagainya. Kepelbagaian irama yang
dihasilkan tersebut akan menghasilkan muzik yang menarik. Dalam pendidikan seni,
irama digambarkan sebagai sesuatu susunan sesuatu corak yang berulang,
susunan sekata yang mewujudkan pergerakan.
Kanak-kanak akan mula memahami dan belajar sesuatu kemahiran dalam
irama sewaktu mereka melakukan aktiviti seperti melompat, bergerak ke kiri dan ke
kanan, menari, melukis corak dan sebagainya. Sebenarnya irama dapat meransang
minda kanak-kanak untuk memberikan tumpuan apa yang sedang dilakukan. Tanpa
kehadiran muzik yakni irama, sudah semestinya sesuatu aktiviti itu menjadi hambar
dan murid akan merasa cepat bosan. Selain itu, kehadiran Irama dalam aktiviti yang
dilakukan secara tidak langsung menarik minat kanak-kanak untuk menyertai
sesuatu aktiviti dengan lebih seronok dan bersemangat. Kanak-kanak akan merasa
lebih seronok melakukan aktiviti seperti melompat sambil mengikut irama muzik.
Mereka juga akan meneroka pergerakan-pergerakan yang lebih kreatif dan menarik
apabila wujudnya tindakbalas kanak-kanak tersebut dengan muzik atau irama yang
mereka dengar.
Ruang juga merupakan elemen dalam mata pelajaran Seni Dalam
Pendidikan. Ruang dapat didefinisikan sebagai kawasan yang terletak di sekeliling
sesuatu objek atau dengan kata lain jarak antara dua objek. Dalam pergerakan kita
seharian, kita memerlukan ruang untuk bergerak dengan baik dan sempurna.
Penggunaan ruang yang baik, bijak dan sempurna akan mewujudkan keselesaan
dan menjadikan ruang tersebut lebih selamat. Menurut Howard Gardner (1983),
kecerdasan ruang melibatkan kebolehan melihat dunia visual spatial dengan lebih
tepat. Bilik darjah perlu disusun dengan baik bagi memastikan terdapat ruang yang
cukup untuk guru dan juga pelajar melakukan aktiviti dengan selamat, selesa dan
berkesan. Ini secara tidak langsung membantu menjadikan proses pengajaran dan
pembelajaran lebih efektif dan seterusnya mencapai matlamat P&P tersebut.
Secara kesimpulannya, aplikasi seni dalam pengajaran sememangnya amat
penting untuk diaplikasikan oleh semua guru mata pelajaran bagi membantu proses
pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar. Selain dapat menarik minat
para pelajar mengikuti pembelajaran, ia juga dapat meningkatakan perkembangan
diri pelajar itu sendiri apabila terlibat secara aktif semasa proses pengajaran dan
pembelajaran. Hal ini demikian kerana, dengan penggunaan seni dalam pengajaran,
sesuatu pengajaran dapat dilakukan dengan lebih berkesan dan menyeronokkan. Di
samping itu, aplikasi seni dalam pengajaran juga dapat membantu meningkatkan
kreativiti dan minat seseorang pelajar untuk terus kekal sepanjang proses P&P
berlangsung.

Anda mungkin juga menyukai