Anda di halaman 1dari 9

Peranan Guru

Peranan guru

Guru sebenar guru ialah seorang guru yang memiliki sifat dan ciri-ciri unggul sebagai penyampai ilmu
(yang benar), sebagai penyemai nilai luhur, pembimbing, penunjuk ajar dan pemberi pedoman hidup
serta yang paling penting dan berkesan sebagai contoh dan teladan kepada setiap anak didiknya.

Prinsip utamanya seorang guru mesti faham bahwa tugas mengajar dan mendidik serta meneladan
adalah pekerjaan yang sangat mulia. Guru mestilah dapat menganggap pergi ke sekolah sebagai
pergi ke medan jihad iaitu menentang, membasmi dan mencegah kejahilan, kebodohan, kebebalan,
kelemahan, kealpaan, kemunduran dan kehinaan akibat tidak berilmu pengetahuan. Kerja mengajar
pula adalah sebagai suatu ibadah. Oleh itu seseorang guru itu akan memainkan peranan mengikut
keadaan dan situasi secara penuh tanggungjawab, jujur dan ikhlas.

Dalam Islam tugas guru dikelaskan sebagai:
Al-mu'allim : menyampaikan ilmu yang benar
Al-murabbi : menjayakan proses tarbiah
Al-mu'addib : mengajarkan adab dan budi pekerti
Al-mursyid : membentuk kepimpinan insan
Al-mudarris : menitipkan pelajaran dan kemahiran

Seorang guru sentiasa berusaha meningkatkan ketrampilan dan kewibawaan diri ke tahap yang
paling tinggi. Guru yang perkasa bukan sahaja sihat tubuh badan dan sihat pula mental dan
pemikirannya tetapi seorang yang penuh dengan sifat-sifat iltizam, dedikasi, bertanggungjawab,
komited, tekun, sabar, bertimbang rasa, rajin, ceria, amanah, berpegang kepada janji, tetap tidak
akan mengkhianati tugasnya atau murid-muridnya. Guru yang berpekerti mulia seharusnya menerima
setiap pelajar dengan baik dan bersedia membantunya.

Guru sebagai pendidik perlu mempunyai iltizam yang lebih untuk melaksanakan aktiviti bagi
mencapai aspirasi-aspirasi yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Dengan
adanya ilmu pengetahuan yang baru, guru harus lebih bersedia untuk melaksanakan strategi
pengajaran dan pembelajaran baru bagi melahirkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi
intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Guru yang berpandangan futuristik akan sentiasa menokok tambah ilmunya dengan membaca dan
menghadiri seminar dan bengkel. Dia sentiasa menyedari perkembangan baru dalam arena
pendidikan dan dapat memainkan peranan sebagai seorang inovator.

Guru hendaklah sentiasa menekankan unsur perpaduan, keprihatinan, ikram, berbudi bahasa,
berkeupayaan bersaing dan berdikari dalam kegiatan pengajaran dan pembelajarannya. Unsur
warisan kebudayaan negara hendaklah diserapkan ke dalam di dalam proses pengajaran dan
pembelajaran. Aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan harus mirip ke arah
perkembangan potensi pelajar secara menyeluruh dan bersepadu yang merangkumi aspek intelek,
rohani, emosi dan jasmani.

Unsur bersatu padu hendaklah sentiasa ditekankan oleh guru dalam segala kegiatan yang
dikendalikannya dan cuba memastikan pelajar-pelajar pelbagai kaum sentiasa berinteraksi antara
satu sama lain. Unsur demokratik juga perlu disemai dalam proses pengajaran dan pembelajarannya
kecuali dalam hal-hal tertentu pelajar boleh diberi peluang untuk membuat keputusan.

Guru sewajarnya menitikberatkan nilai-nilai disiplin dalam pengajaran dan pembelajaran seperti
ketepatan masa, bersopan santun, bertimbang rasa, tolong menolong, prihatin dan bekerjasama di
kalangan pelajarnya yang mana amalan ini akan membolehkan para pelajar membesar menjadi ahli-
ahli masyarakat yang bersifat penyayang dan berdisiplin.

Sebagai golongan orang-orang yang berilmu pengetahuan dan terlatih guru bukan sahaja perlu mahir
dalam bidang masing-masing tetapi juga mestilah berkebolehan menggunakan teknologi komputer
secara kreatif dan inovatif. Mereka hendaklah melihat revolusi sistem pendidikan ini sebagai satu
peluang untuk meningkatkan kualtiti dan produktiviti pendidikan bukannya sebagai ancaman kepada
masa depan kerjaya mereka.

Jadi menyediakan diri menjadi guru yang profesionalisma perlukan latihan dan latihan-latihan semula
secara berterusan atau bila-bila sahaja jika ada peluang dan kesempatan. Hanya dengan sikap
proaktif, semangat dan keinginan yang tinggi bagi memperlengkapkan diri sahajalah seseorang guru
itu mampu menyesuaikan dirinya dengan pelbagai cabaran, tuntutan dan tekanan tugas dan kerja
yang sering berubah dalam proses peningkatan dan globalisasi.

Oleh itu selaku guru sewajarnya menyedari hal ini dan oleh kerana itu juga amat penting diingat
bahawa apa jua yang kita buat dan apa jua yang kita tidak buat akan mencerminkan siapa diri kita
sebenarnya. Dalam banyak senario kita boleh lihat dan nilai sendiri bagaimana guru yang dikatakan
seorang guru yang tidak jemu apabila sentiasa menampilkan sikap dan perlakuan positif seperti
datangnya awal baliknya lewat; atau seorang guru yang tidak jemu mengajar biarpun berhadapan
dengan segelintir murid yang lemah., lambat dan dengan berbagai karenah; guru yang tidak lesu
tetapi tetap bertenaga dari pagi sampai ke tengah hari (atau petang); ia tidak membezakan murid
atau kelas yang cerdas dengan murid atau kelas yang kurang cerdas.
Jangan sekali-kali ada perasaan apatah lagi tersimpan niat di hati, akibat dari sikap dan perbuatan
guru sendiri dan menyangka yang rosak dan buruk hanyalah organisasi atau sekolah sahaja.
Kerosakan yang lebih besar ialah rosaknya nama baik, cemarnya maruah, buruknya perangai diri
guru itu sendiri akibat mengikutkan hati dan nafsu.
Guru tidak mungkin menjadi efisyen jika mempunyai ciri guru yang "powerless" , tidak ada prinsip,
buta mata hati, tahu tapi tidak mahu tahu atau seorang guru yang ada ilmu tapi tidak beramal dengan
ilmunya. Setiap diri kita pasti mampu dan berjaya menjadi seorang guru yang sebenar guru
Dicatat oleh Kak Ram Gc di 3:00 PM
http://kakramgc.blogspot.com/2009/01/peranan-guru.html



PERANAN SEKOLAH DALAM MENJAYAKAN
HASRAT FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Sekolah merupakan institusi penting untuk merealisasikan matlamat Falsafah
Pendidikan Kebangsaan (FPK), iaitu untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi
intelek, rohani, emosi dan jasmani dan sahsiah terpuji. Sekolah merupakan institusi
formal pertama di mana murid-murid memperoleh ilmu dan kemahiran asas. Sekolah
juga adalah tempat pemupukan minat setiap murid untuk terus mencari ilmu dan
selanjutnya memberi sumbangan kepada khazanah ilmu yang sedia ada. Untuk
merealisasikan hasrat FPK, aspek-aspek kepemimpinan, budaya sekolah, aktiviti ko-
kurikulum, peranan guru dan disiplin murid perlu diberi perhatian dan diaktifkan secara
menyeluruh.
Sekolah berperanan dalam menyedia, menyelenggara dan mengurus
prasarana supaya pelajar-pelajar dapat memperolehi pengajaran dan pembelajaran
secara licin, optimum dan selamat. Penyediaan papan tulis, kapur dan pemadam
papan tulis adalah contoh prasarana yanh disediakan oleh sekolah. Selain itu
sekolah juga perlu menyelenggara kemudahan yang telah disediakan seperti
perpustakaan dan bilik media agar sentiasa berkeadaan baik. Pentadbiran yang
sempurna dapat mengawal keadaan sekolah agar lebih terkawal dan berdisiplin
Budaya yang berpusatkan nilai-nilai murni perlu diterapkan di sekolah
menerusi kurikulum formal dan tidak formal. Budaya yang mengandungi idea, norma
dan pemikiran yang postif dan mengembeling modal insan secara bersepadu.
Pembudayan Budaya Membaca Al-Quran, Budaya Berbudi Bahasa dapat dicapai
melalui pelaksanaan aktivti yang berseuaian. Sebagai contoh Budaya Membaca al-
Quran dapat dihidupkan melalui aktiviti seperti Majlis Tadarus al-Quran.
Iklim yang mewarnai alam persekolahan sangat memberi kesan yang besar
dalam pembentukan individu seseorang. Pengaruh sekolah selepas keluarga dalam
pembentukan personality pelajar adalah bersangkut paut dengan kecemerlangan
akademik pelajar. Melalui iklim sekolah yang teratur, terkawal, tenang dan tertib
yang memungkinkan suasan yang kondusif kepada proses pengajaran dan
pembelajaran berkesan dan positif. Hubungan sosial yang baik antara guru, pelajar,
warga sekolah dan masyarakt setempat akan membentuk suatu merupakan
menifestasi kepada dasar Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Biasanya organisasi sekolah yang sihat atau sakit akan mewujudkan iklim
persekolahan yang kondusif untuk aktiviti-aktiviti pendidikan. Indeks organisasi
sekolah yang sihat boleh dikenal pasti seperti berikut:
Mempunyai pusat sasaran untuk pencapaian matlamat sekolah
Kesusaian menyebar kebudayaan dan ilmu pengetahuan
Berkongsi kuasa autoriti dalam pengurusan sekolah
Keberkesanan dalam pengurusan sumber
Mempunyai semangat perpaduan di kalangan anggota sekolah
Anggota-anggota sekolah merasa kepuasan serta bercita-cita mengejar
kecemerlangan.
Anggota-anggota sekolah mempunyai kesedaran terhadap keperluan
reformasi pendidikan untuk kemajuan sekolah.
Mempunyai suatu sistem kawalan automatik yang dapat menangani
gangguan dari luar.
Mempunyai daya penyesuaian yang berupaya menghadapi dan
menangani konflik di antara aspirasi sekolah dengan organisasi luar.
Mempunyai organisasi yang baik serta sistem pengurusan yang rapi
untuk menangani konflik dalaman.
Falsafah Pendidikan Kebangsaan tidak akan dapat dilaksanakan jika tidak ada
pihak yang ingin mainkan peranan masing-masing. Di sekolah setiap individu
memainkan peranan masing-masing untuk melaksanakan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan ini. Antara pihak yang berkaitan ialah:
Guru Besar
Guru Penolong Kanan
Ketua Panitia
Guru Bilik Darjah
Peranan Guru Besar
Edmond (1977), Sweeney (1982), Hussein Mahmood (1993) dan Leithwood dan
Jantzi (1997) menekankan bahawa Guru Besar perlu mempunyai sesitiviti terhadap
bakat dan kemahiran guru-guru, berkongsi matlamat dan membuat keputusan,
memberi latihan pembangunan profesionalisme kepada guru-guru dan interaksi
yang tinggi terhadap guru-guru. Maksudnya di sini, Guru Besar berperanan penting
dalam meningkatkan tahap profesionalisme seseorang guru untuk mencapai objektif
sekolah yang dengan lebih efektif dan sistematik.
Guru Besar bukan sahaja merancang segala aktiviti dan program di sekolah,
namun perlu turut sama terlibat dengan perlaksanaan aktiviti-aktiviti yang dirancang
di sekolah. Guru Besar yang cemerlang akan sentiasa memberikan sokongan dan
galakan kepada guru-guru untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih
baik dan menarik minat murid-murid untuk belajar. Beliau bukan sahaja pandai
memberi arahan, namun perlu turut serta terlibat dengan program-program serta
perlaksanaan yang dijalankan di sekolah. Penglibatan secara langsung Guru Besar
dengan organisasi sekolah amat penting dalam mewujudkan suasana dan iklim
sekolah yang harmonis dan damai selaras dengan kehendak FPK.



Selain itu, Guru Besar juga dijadikan tempat rujukan organisasi sekolah. Jika
terdapat kakitangan sekolah yang menghadapi masalah, guru besar perlu peka dan
prihatin terhadap mereka. Seorang pemimpin yang baik akan dapat memahami
kesulitan yang dialami oleh kakitangannya. Beliau perlu meringankan tangan dan
bersedia untuk menolong kakitangannya yang mempunyai masalah tersebut. Sifat
empati yang tinggi perlu ada di dalam diri seorang pemimpin agar sentiasa dihormati
dan disenangi oleh semua pihak sekolah. Jika kita berbuat baik kepada orang lain,
orang lain akan senang memberikan pertolongan kepada kita kelak dan begitulah
sebaliknya.
Pemimpin yang tidak mengendahkan keadaan staf-stafnya akan
menyebabkan banyak berlaku implikasi negetif. Contohnya, guru tidak akan
memberikan kerjasama yang baik kepada Guru Besar jika Guru Besar meminta
pertolongan dari guru tersebut. Oleh itu, Guru Besar yang baik dan dihormati oleh
semua warga sekolah termasuk murid-murid perlulah mempunyai keterampilan yang
baik dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dalam menguruskan
pentadbiran sekolah
Guru Penolong Kanan
Guru Penolong Kanan (GPK)juga memainkan peranan yang penting di
sesebuah sekolah. Terdapat 3 jenis guru Penolong Kanan di setiap sekolah iaitu
GPK 1, GPK Kokurikulum dan GPK HEM. Tugas-tugas GPK ini adalah untuk
melicinkan segala pengurusan dan pentadbiran di sekolah. Mereka
bertanggungjawab kepada Guru Besar dalam hal pentadbiran, kurikulum,
pengurusan guru dan kakitangan bukan guru.
Guru Penolong Kanan 1 (GPK 1) merupakan orang yang paling hampir
dengan guru besar. Beliau akan menggantikan guru besar ketika ketiadaannya.
Segala urusan berkaitan dengan jadual waktu dan guru terletak di bawah tugas
GPK 1. Apabila terdapat guru yang tidak hadir maklumat perlu disampaikan kepada
GPK 1 dan beliau akan mencari guru ganti mengisi kekosongan kelas. GPK 1
merupakan orang kedua selepas guru besar dan perlu sama-sama memastikan
kelancaran pentadbiran sekolah. Segala masalah berkaitan dengan guru, GPK 1
akan menyelesaikannya. Ini kerana semua masalah guru terletak di bawah
tanggungjawab GPK 1. jadual waktu yang disediakan hendaklah selaras dan tiada
berlaku pertindihan waktu antara guru. Struktur organisasi sekolah juga berada di
bawah kawalan GPK 1 ini. Kesimpulannya,GPK 1 ini memainkan peranan penting
dalam membantu guru besar untuk melaksanakan Falsafah Pendidikan Kebanfsaan
dengan jayanya.
Guru Penolong Kanan Kokurikulum (GPK Ko) merupakan orang yang
bertanggungjawab dalam bidang kokurikulum di sesebuah sekolah. Kurikulum
merupakan satu rancangan pendidikan yang terkandung di dalamnya segala ilmu
pengetahuan serta kemahiran, nilai dan norma, unsur kebudayaan dan
kepercayaan yang telah menjadi pilihan masyarakat untuk diperturunkan kepada
ahlinya. GPK Ko mempunyai dua bidang iaitu kurikulum dan kokurikulum. Dari segi
kurikulum beliau bertanggungjawab dalam pembelajaran yang berlaku di sekolah.
Beliau menyelaraskan sistem pembelajaran supaya menepati kehendak dan
matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Dari segi kokurikulum pula beliau
melaksanakan sukan dan persatuan di dalam sekolah. Ini bertepatan dengan
kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang ingin melahirkan insan yang
seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Pelajar di sekolah bukan
sahaja pandai dari segi pelajaran tetapi pandai dari segi sukan dan persatuan. Guru
Penolong Kanan Ko yang bertanggungjawab untuk melaksanakan hasrat Falsafah
ini.



Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) merupakan guru yang
bertanggungjawab dalam hal kebajikan dan masalah palajar di sekolah. Jika
terdapat pelajar yang sakit, PK HEM yang bertanggungjawab untuk memaklumkan
kepada ibu bapa pelajar tersebut. Rancangan Makanan Tambahan (RMT) juga
berada di bawah kawalan guru ini. Pelajar yang kurang bernasib baik akan
diberikan bantuan RMT dan guru inilah yang bertanggungjawab mengenalpasti
pelajar yang kurang bernasib baik itu. Selain itu, PK HEM juga bertanggungjawab
mengenalpasti murid-murid yang cemerlang namun dalam golongan miskin untuk
diberi biasiswa. Pemberian biasiswa kecil kerajaan ini adalah bertujuan untuk
mengurangkan beban keluarga murid tersebut. Murid-murid yang mempunyai
masalah Masalah disiplin juga terletak di bawah kawalan guru ini. Jika berlaku
pergaduhan pelajar tersebut akan dipanggil oleh guru ini untuk diberikan sedikit
teguran dan ibu bapa akan dipanggil bagi sama-sama menyelesaikan masalah.
Guru ini bertanggungjawab untuk membanteras masalah disiplin di sekolah dan
mengambil berat kebajikan pelajar supaya pelajar yang keluar dari sekolah nanti
akan seimbang dirinya.



Kesimpulannya, Guru Penolong Kanan ini adalah pendokong kepada
kelancaran perlaksanaan pengurusan dan pentadbiran sekolah. GPK bukan sahaja
untuk melicinkan pentadbiran sekolah tetapi turut merupakan penasihat kepada
Guru Besar. Guru Besar dapat meminta pertolongan dan pandangan dari GPK agar
segala pengurusan yang dijalankan itu selaras dengan matlamat FPK yang ingin
melahirkan warganegara yang menyeluruh dan seimbang dari pelbagai aspek
Ketua Panitia
Guru yang dilantik menjadi ketua panitia kebiasaannya dipilih berdasarkan
kecemerlangannya dalam mata pelajaran tertentu. Setiap mata pelajaran
mempunyai seorang ketua panitia masing-masing. Sebagai contoh panitia Bahasa
Melayu akan diketuai oleh seorang ketua iaitu ketua panitia bahasa Melayu. Namun
terdapat mata pelajaran yang tidak mempunyai ketua panitia iaitu mata pelajaran
prasekolah, J-Qaf dan pendidikan khas.
Ketua panitia bertanggungjawab untuk memastikan kecemerlangan panitia
yang diketuainya. Menyediakan rancangan mengajar bagi panitia dan setiap guru
akan merujuk kepada rancangan mengajar tersebut. Rancangan mengajar yang
disediakan hendaklah selaras di semua sekolah demi untuk mencapai matlamat
Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Ketua panitia merancang untuk meningkatkan
kecemerlangan pelajar dalam bidang yang diuruskannya. Maksudnya jika panitia
matematik maka ketua panitia matematik merancang satu kem untuk meningkatkan
kecemerlangan dalam matematik. Ketua panitia ini memainkan peranan yang besar
untuk memajukan subjek-subjek di sekolah bagi mencapai matlamat Falsafah
Pendidikan Kebangsaan.



Jika seseorang guru mempunyai masalah berhubung dengan kurikulum dan
pengajaran, mereka perlu berjumpa dengan ketua panitia masing -masing sebelum
dirujuk kepada Guru Besar atau Guru-guru Penolong Kanan sekolah. Jadi ketua
panitia hendaklah sentiasa peka terhadap keperluan guru-guru di bawah
naungannya. Jadi, peranan ketua panitia ini amat penting dalam memperbaiki
kelemahan pengajaran selain dapat meningkatkan prestasi dan mutu semasa
proses pengajaran dan pembelajaran yang selaras dengan hasrat FPK yang ingin
melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan serta berkeupayaan memberi
sumbangan kepada kemajuan negara.
Guru Bilik Darjah
Guru bilik darjah memainkan peranan yang amat penting dalam
keseimbangan murid-murid di sekolah. Tugas guru bukan sahaja untuk mengajar
semata-mata namun mereka telah diberikan tugas untuk menjaga dan memegang
kelas yang terdapat di sekolah. Guru kelas bertindak menggantikan bapa atau ibu
ketika murid-murid di sekolah. Setiap masalah pelajar guru harus mengetahui
supaya tidak mengganggu sesi pembelajaran. Kehadiran pelajar guru harus
mengambil berat dan menanyakan sebab jika tidak hadir ke sekolah. Setiap masalah
yang berlaku guru kelas harus menyelesaikannya supaya pelajar minat untuk hadir
di sekolah. Guru bilik darjah juga bertanggungjawab untuk menghias kelas masing-
masing kerana terdapat program keceriaan yang dijalankan di sekolah. Penyusunan
organisasi di dalam kelas dan jadual bertugas juga dilakukan oleh guru bilik darjah.
Bilik darjah yang ceria dan menarik dapat menarik minat murid-murid untuk datang
ke sekolah.
Guru bilik darjah juga perlu membimbing murid-murid mereka cara belajar yang
baik. Sebagai contoh, guru perlu memberi sokongan dan dorongan yang tinggi
kepada murid kelas mereka supaya rajin belajar agar mendapat keputusan yang
cemerlang. Guru bilik darjah yang baik bertanggungjawab dalam mendisiplinkan
murid-murid di dalam kelasnya. Nasihat yang diberikan haruslah dapat membina
keyakinan mereka untuk belajar dan mengamalkan nilai-nilai murni. Kata-kata
nasihat yang baik dapat membentuk peribadi dan sahsiah murid-murid agar sejajar
dengan nilai dan norma dalam masyarakat pada hari ini.
Tuntasnya, guru bilik darjah ini merupakan tempat bergantung murid-murid ketika
di sekolah. Hal ini kerana, guru bilik darjahlah merupakan orang yang paling rapat
dengan murid-murid .Oleh itu, peranan guru bilk darjah amat penting dalam
melahirkan murid-murid yang seimbang dan berpekerti mulia.
http://guru-oh-guru.blogspot.com/2011/08/peranan-sekolah-dalam-menjayakan-hasrat.html

Anda mungkin juga menyukai