Anda di halaman 1dari 17

1

PENGENALAN
Keberkesanan pengajaran guru dan kebolehan murid-murid memahami isi
pelajaran yang disampaikan oleh guru di dalam bilik darjah adalah amat bergantung
kepada bagaimana guru menyampaikan ilmu pengetahuan tersebut dan setakat
manakah murid-murid berkeupayaan mengaplikasi ilmu yang diperolehi tersebut di
dalam kehidupan harian.
Menurut Connell (1981), proses mengajar dan belajar merupakan satu
interaksi dinamik antara guru dan murid, malahan guru dan murid masing-masing
saling mempengaruhi antara satu sama lain. Malah, keberkesanan pengajaran
bergantung kepada kebolehan menggunakan kemahiran mengajar yang berjaya
memudahkan aktiviti pembelajaran murid-murid.
Perkataan strategi pembelajaran memang tidak asing lagi di kalangan kaum
guru tetapi sejauh manakah guru itu serius dengan pelaksanaan strategi pengajaran
yang dirancang itulah yang menjadi persoalannya. Rata-rata para guru faham
bahawa strategi yang sesuai boleh menarik perhatian murid-murid dan seterusnya
murid-murid mudah memahami apa yang disampaikan oleh guru.
Namun demikian, tanpa kita sedari, dalam masa yang sama wujud strategi
pembelajaran yang jika dilaksanakan dengan serius boleh membina kemahiran
murid-murid secara menyeluruh yang mampu menyediakan murid-murid dengan nilai
tambah (value-added) apabila mereka memasuki alam pekerjaan nanti.
Terdapat empat jenis strategi pembelajaran di dalam proses pengajaran dan
pembelajaran di dalam bilik darjah iaitu pemusatan guru, pemusatan murid,
pemusatan bahan, dan pemusatan tugasan/aktiviti. Saya memilih strategi
2

pembelajaran berpusatkan guru dan strategi pembelajaran berpusatkan murid atau
Student Centred Learning (SCL) untuk dibuat perbandingan berdasarkan beberapa
aspek iaitu konsep, prinsip-prinsip, ciri-ciri, aplikasi dalam pengajaran dan
pembelajaran di dalam bilik darjah dan implikasinya di dalam pengajaran dan
pembelajaran di dalam bilik darjah.
KONSEP
Strategi pembelajaran berpusatkan guru atau strategi pemusatan guru
merupakan strategi pengajaran dan pembelajaran secara kelas yang telah lama
diamalkan dalam sistem pendidikan negara. Strategi pemusatan guru menjadikan
guru tumpuan utama dalam aktiviti di bilik darjah. Di dalam strategi ini, guru
memainkan peranan yang utama iaitu menguasai dan mengawal segala aktiviti yang
berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Kepimpinan
guru adalah secara autokratik dimana guru bertindak sebagai ketua yang
memonopoli setiap aktiviti dan fokus pengajaran. Murid-murid hanya duduk
mendengar dan menerima setiap isi pelajaran yang disampaikan oleh guru. Menurut
Brophy (1978), pendekatan ini merupakan suatu pendekatan yang mudah dirancang
dan diurus. Gaya penyampaian berbentuk syarahan adalah sangat popular dalam
strategi pemusatan guru.





PENGETAHUAN
PENGALAMAN
GURU
MURID
3


Manakala strategi berpusatkan murid atau pemusatan murid bermaksud murid
mengambil alih sedikit tanggungjawab serta tumpuan diberikan kepada murid-murid
dalam melaksanakan aktiviti pengajaran. Guru bertindak secara autoritatif dengan
mengagihkan sedikit kuasanya kepada murid.Jadi, murid-murid memiliki kebebasan
untuk melakukan aktiviti pembelajaran dan guru berperanan sebagai fasilitator atau
pemudahcara yang sentiasa membimbing dan memantau aktiviti murid-murid. Murid-
murid menyertai aktiviti pengajaran dan pembelajaran secara aktif sesama mereka
dengan mewujudkan komunikasi berbentuk dua hala melalui soaljawab antara guru
dan murid serta murid dan murid. Orlich et. al., 2007 menyatakan bahawa strategi
pemusatan murid dapat meningkatkan penglibatan pelajar dan menggalakkan
pembelajaran aktif. Strategi pemusatan murid dilihat mempunyai potensi untuk
memperkembangkan kebolehan murid dalam mengaplikasi konsep sikap yang
positif, mewujudkan motivasi serta menggalakkan kemahiran sosial kumpulan.
Aktiviti simulasi, main peranan, dan sumbang saran merupakan contoh aktiviti yang
berkaitan strategi pembelajaran pemusatan murid.







PENGETAHUAN
INDIVIDU &
KOLABORASI
MURID
PENGALAMAN
KEPERCAYAAN
GURU
4

PRINSIP-PRINSIP
Antara prinsip-prinsip strategi pemusatan guru adalah seperti berikut :
i. Sebagai pakar ilmu, guru mengarah proses pembelajaran dan berupaya
mengawal hak murid-murid untuk menerima maklumat.
ii. Murid-murid diibaratkan sebagai bekas kosong di mana pembelajaran dilihat
sebagai satu proses penambahan ilmu, kemahiran dan nilai.
iii. Pengajaran mengutamakan murid-murid yang sederhana pencapaian
akademik, dan mengenepikan mereka yang cemerlang dan lemah.
iv. Semua murid berkembang mengikut kadar yang sama.
Manakala di dalam strategi pemusatan murid, prinsip-prinsipnya adalah
sebaliknya iaitu :
i. Murid-murid membina makna masing-masing melalui percakapan,
pendengaran, penulisan, bacaan, dan refleksi terhadap kandungan pelajaran yang
disampaikan, dan isu-isu serta keprihatinan yang timbul.
ii. Murid-murid bukan bekas kosong. Sebaliknya, mereka membawa
bersama kerangka persepsi masing-masing ke dalam bilik darjah.
iii. Pembelajaran adalah satu proses yang aktif dan dinamik yang sentiasa
mengalami perubahan demi kepentingan murid-murid.
iv. Setiap murid mempunyai gaya pembelajaran tersendiri.



5

CIRI-CIRI
i. Peranan Utama
Dalam strategi pemusatan guru, guru memainkan peranan yang penting
menyampaikan isi pelajaran sedangkan murid berperanan sebagai pendengar atau
penerima isi pelajaran sahaja. Sebaliknya, dalam strategi pemusatan murid, murid
memainkan peranan penting dengan melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti
pembelajaran serta mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran dengan
bimbingan dan pemantauan guru.
ii. Komunikasi dan Interaksi
Dalam strategi pemusatan guru, komunikasi dan interaksi antara guru dan
murid-murid adalah secara sehala iaitu guru bercakap dan murid-murid hanya
mendengar tanpa reaksi untuk bertindakbalas. Manakala dalam strategi pemusatan
murid, komunikasi dan interaksi adalah secara dua hala di antara guru dan murid
serta murid dan guru. Selain daripada itu, wujud juga interaksi di antara murid
sesama murid. Dalam aktiviti pembelajaran ini, guru mengemukakan sesuatu idea
dan murid-murid diberi peluang bersoaljawab dan berbincang mengenai idea
tersebut bersama guru dan rakan-rakan.
iii. Sifat-sifat Sosial
Sifat-sifat sosial yang positif seperti bekerjasama, tolong menolong,
berkeyakinan diri dan bertolak ansur tidak dapat dipupuk di dalam aktiviti
pembelajaran berpusatkan guru. Ini adalah kerana murid-murid tidak diberi peluang
untuk mempraktikkan amalan itu di dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
Sebaliknya, melalui pembelajaran berpusatkan murid, mereka berpeluang untuk
6

memupuk semangat bekerjasama di antara rakan-rakan dan mempunyai keyakinan
diri yang tinggi melalui aktiviti perbincangan atau pembentangan sesuatu projek.
iv. Pencapaian Objektif
Strategi pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan guru lebih
mengutamakan pencapaian objektif pengajaran guru. Maksudnya, guru lebih
mementingkan rancangan atau sukatan pelajarannya dapat diselesaikan dalam
tempoh masa yang dirancangkan. Manakala strategi pengajaran dan pembelajaran
yang berpusatkan murid lebih mengutamakan pencapaian objektif pembelajaran
murid iaitu murid dapat menguasai kemahiran di akhir suatu aktiviti pengajaran dan
pembelajaran.
v. Kreativiti dan Inisiatif
Dalam strategi pemusatan guru, murid-murid menjadi kurang kreatif dan tidak
berinisiatif dalam menghasilkan suatu tugasan yang diberi oleh guru. Murid-murid
hanya menerima segala idea yang diberikan oleh guru tanpa membuat penilaian
atau pentafsiran mengenai idea itu.
Sebaliknya, dalam strategi pemusatan murid, sifat dan naluri ingin tahu murid
dapat dikembangkan kerana mereka diberi peluang dan ruang untuk melakukan
sendiri sesuatu tugasan atau projek pembelajaran. Secara tidak langsung, ini akan
meningkatkan kreativiti dan inisiatif murid-murid.
vi. Sifat Kepimpinan
Dalam strategi pemusatan guru, kepimpinan guru adalah bersifat autokratik di
mana guru mempunyai kuasa penuh menentukan hampir keseluruhan aktiviti
pengajaran dan pengajaran di dalam bilik darjah. Guru banyak bertindak mengawal
dan memberi arahan kepada murid-murid. Murid-murid pula tidak berpeluang untuk
menyumbangkan pendapat dan idea mereka mengenai sesuatu perkara yang
7

dikemukakan. Dalam sesetengah keadaan, guru boleh mengkritik, memperbetul dan
menolak pandangan murid mengenai sesuatu isu yang dibincangkan.
Manakala dalam strategi pemusatan murid, kepimpinan guru adalah bersifat
demokratik di mana murid bebas mengemukakan pandangan dan idea sesama
rakan atau kepada guru. Selain daripada itu, guru juga bebas menerima dan
menggunakan pemikiran, idea dan cadangan murid semasa proses pengajaran dan
pembelajaran berlangsung.
vii. Suasana Pembelajaran
Suasana pembelajaran dan reaksi murid adalah pasif dalam strategi
pemusatan guru. Murid-murid seperti tidak menunjukkan minat dan komitmen
terhadap pengajaran yang disampaikan oleh guru disebabkan tiada aktiviti
melibatkan murid. Suasana pembelajaran hambar dan tidak menggambarkan
keseronokan belajar.
Manakala dalam strategi pembelajaran berpusatkan murid, keadaan
sebaliknya berlaku dimana suasana pembelajaran menjadi lebih bermakna dan aktif
apabila wujud penglibatan semua murid dalam setiap aktiviti yang diberikan oleh
guru.







8

APLIKASI DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DI BILIK DARJAH.
Strategi pembelajaran pemusatan guru dapat diaplikasikan oleh guru di dalam
bilik darjah apabila hendak memperkenalkan tajuk atau isi kandungan pelajaran
yang baru. Contohnya, guru ingin menerangkan konsep, pengenalan atau definisi
sesuatu tajuk dalam keadaan murid yang belum ada pengetahuan dalam tajuk
tersebut. Dalam strategi ini, guru menerangkan isi pelajaran yang disampaikan. Guru
memberi fokus kepada rangsangan dan gerak balas supaya murid dapat
menganalisis, menilai dan menaakul mengikut pendapat Schuman, 1996
berdasarkan hasil kajian Teori Bahavioris. Kaedah kuliah boleh digunakan dalam
strategi ini. Untuk mendapatkan rangsangan, guru hendaklah mengemukakan
soalan-soalan yang menimbulkan perasaan ingi tahu murid.
Apabila murid sudah memahami konsep, pengenalan atau definisi, strategi
pemusatan murid dengan menggunakan kaedah perbincangan dalam kumpulan
dapat dijalankan untuk membina idea-idea yang baru mengikut Teori
Konstruktivisme. Murid-murid dapat mengaplikasikan atau melanjutkan konsep
terhadap situasi baru disamping mengaitkan pengalaman baru dengan pengalaman
lalu.
Dengan peruntukan waktu yang singkat, strategi pengajaran berpusatkan guru
lebih sesuai digunakan. Contohnya, kaedah kuliah. Dengan peruntukan masa yang
panjang, strategi pemusatan murid pula lebih sesuai digunakan kerana guru boleh
merancang banyak aktiviti berpusatkan murid. Contohnya, guru boleh
melaksanakan kaedah inkuiri-penemuan, sumbangsaran dan simulasi.
9

Dalam keadaan kelas yang ramai murid, strategi pengajaran pemusatan guru
adalah lebih sesuai digunakan. Ini kerana kekurangan ruang untuk melakukan aktiviti
dan kesukaran mengendalikan aktiviti. Contohnya, melalui kaedah pengajaran
secara eksplisit. Berbanding dengan keadaan kelas yang tidak ramai murid dan
ruang yang banyak, strategi berpusatkan murid dapat dilaksanakan. Contohnya,
aktiviti dalam kumpulan kecil.
Bagi kumpulan murid yang sederhana dan lemah, strategi pemusatan guru
diperlukan kerana murid perlu mendapat bimbingan secara langsung daripada guru
berbanding dengan murid-murid yang cemerlang, mereka dapat mengakses kendiri
dalam mencari maklumat untuk tugasan mereka.
Dalam keadaan kekurangan alatan seperti komputer dan internet, strategi
pemusatan guru adalah lebih sesuai dengan menggunakan kaedah demonstrasi.
Dengan adanya alatan yang banyak dan mencukupi, strategi berpusatkan murid
dapat dijalankan. Murid-murid dapat mengakses sendiri maklumat yang diperlukan.
Bagi isi matapelajaran yang berasaskan teori, strategi berpusatkan guru
adalah lebih sesuai kerana guru dapat menyampaikan isi pelajaran dengan lebih
tepat dan dapat menjimatkan masa. Manakala matapelajaran amali, penggunaan
strategi berpusatkan murid adalah lebih berkesan kerana murid dapat mempraktik
dan menimba pengalaman baru secara langsung. Biasanya kaedah inkuiri-
penemuan digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Strategi pemusatan guru amat sesuai digunakan ketika menjalankan aktiviti
ujikaji atau eksperimen yang berbahaya atau lebih berbentuk teknikal seperti ujikaji
dalam matapelajaran Sains yang menggunakan bahan kimia berbahaya. Sebaliknya,
10

apabila murid mempunyai kepakaran dalam penggunaan alatan dan kurang dari segi
teknikal prosedur amali, strategi berpusatkan murid adalah lebih sesuai digunakan
supaya murid dapat mempraktikkan kemahiran yang mereka ada. Biasanya murid ini
mempunyai kemahiran menggunakan alatan tersebut.
Bagi murid yang belum menguasai sesuatu kemahiran, strategi pemusatan
guru diperlukan supaya guru dapat memberi tunjuk ajar dan bimbingan berbanding
dengan murid yang telah bersedia dan sedar untuk belajar. Mengikut Teori
Konstruktivis, murid yang sudah mempunyai pengetahuan sedia ada, guru boleh
memberi tugasan kepada murid untuk membina dan mengembangkan idea-idea
baru. Murid-murid sendiri yang mencari maklumat pembelajaran. Guru hanya
sebagai pemudahcara atau fasilitator.










11

IMPLIKASI TERHADAP PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DI BILIK
DARJAH.
Memang tidak dapat dinafikan setiap strategi yang dijalankan oleh guru sama
ada strategi pemusatan guru atau strategi pemusatan murid akan memberi beberapa
implikasi atau kesan terhadap proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik
darjah.
Implikasi atau kesan yang wujud hasil daripada strategi pembelajaran
berpusatkan guru ialah murid-murid menjadi pasif dan tidak kreatif semasa aktiviti
pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Mereka tidak berkeyakinan untuk
melakukan sesuatu tugasan yang diberi kerana tidak pernah diberi peluang dan
kepercayaan oleh guru untuk melaksanakan sesuatu aktiviti.
Sebaliknya dalam strategi pemusatan murid, murid menjadi lebih aktif dan
kreatif untuk memperoleh pengetahuan dan kemahiran tentang sesuatu tugasan
yang diberi oleh guru. Peluang dan kepercayaan yang diberi oleh guru dalam
sesuatu kerja lapangan seperti simulasi, perbincangan dan inkuiri-penemuan akan
melahirkan semangat keyakinan diri yang tinggi dalam diri murid tersebut. Dalam
strategi ini, guru bukanlah tarikan utama. Menurut Alley (1996), pelajar diistilah
sebagai pasangan dengan guru dalam proses pembelajaran. Keberkesanan atau
kegagalan guru mencapai objektif pengajaran adalah bergantung kepada
keupayaan murid untuk mengendalikan aktiviti pembelajaran.
Pengajaran dan pembelajaran berpusatkan guru juga boleh memberi kesan
negatif kepada murid-murid dalam aspek pembentukan dan penyuburan nilai murni
atau sikap sosial. Mereka kurang didedahkan kepada peluang untuk terlibat dalam
12

aktiviti yang berkaitan dengan semangat tolong menolong atau bekerjasama,
bertolak ansur, bertanggungjawab, menepati masa dan sebagainya.
Manakala dalam strategi pemusatan murid, kebanyakan aktiviti pengajaran
dan pembelajaran adalah melibatkan murid-murid. Contohnya, aktiviti main peranan
dan perbincangan. Mereka perlu berinteraksi dan berkomunikasi untuk menyiapkan
tugasan yang diberi oleh guru. Secara tidak langsung, sifat-sifat sosial yang positif
seperti bekerjasama dan hormat-menghormati dapat dipupuk dalam diri murid-murid
tersebut. Menurut Jones dan Moore (1995), kemahiran sosial merupakan faktor
utama dalam mentakrifkan ketrampilan seseorang individu.
Selain daripada itu, implikasi yang wujud daripada strategi pemusatan guru
ialah berkaitan aspek penyampaian ilmu pengetahuan dan kemahiran yang
berbentuk hafalan. Pembelajaran murid banyak berbentuk mengingat dan menghafal
fakta-fakta pembelajaran. Kesannya, murid-murid kurang berkeupayaan untuk
membuat interpretasi dan perkaitan konsep tentang sesuatu idea.
Sebaliknya, dalam strategi pemusatan murid, kemampuan serta kebolehan
murid-murid untuk membuat interpretasi dan hubungan sesuatu fakta adalah lebih
baik kerana konsep strategi pembelajaran berpusatkan murid menekankan interaksi
dan percambahan idea sesama murid. Menurut Meyes dan Jones (1993), guru
bertanggungjawab menyediakan pelajar peluang belajar secara bebas dan ini akan
meningkatkan motivasi, pemahaman dan pelajar akan meminati pelajaran yang
diajar.
Implikasi yang seterusnya dalam strategi pemusatan guru ialah murid kurang
mempraktikkan amalan komunikasi dan interaksi sesama rakan semasa proses
13

pengajaran dan pembelajaran. Ini adalah kerana corak penyampaian pengajaran
guru yang sehala atau berbentuk talk and chalk.
Keadaan sebaliknya berlaku dalam strategi pemusatan murid dimana murid
mampu berkomunikasi dan berinteraksi dengan guru dan rakan dengan berkesan
melalui aktiviti pengajaran yang melibatkan murid. Kecekapan berkomunikasi dapat
dibentuk dan dipraktikkan di dalam strategi berpusatkan murid. Seorang tokoh
pendidikan di Amerika iaitu Richard M.Felder berkata, beban komunikasi akan
terletak pada murid dalam strategi pemusatan murid atau Student Centred Learning
(SCL).
Seterusnya, murid dilihat kurang adil dan tidak menyeluruh memperoleh ilmu
pengetahuan yang disampaikan oleh guru dalam strategi pemusatan guru. Ini adalah
kerana guru mementingkan pengelolaan kaedah keseluruhan kelas tanpa mengambil
kira perbezaan murid dari segi tahap kebolehan dan minat mereka.
Perkara ini tidak berlaku dalam strategi pemusatan murid dimana guru
mengambil kira tahap kebolehan murid untuk melakukan aktiviti kerana murid sendiri
akan mengendalikan aktiviti tersebut. Oleh itu, guru terpaksa mengagihkan tugasan
mengikut kebolehan dan minat mereka.
Implikasi positif yang wujud daripada strategi pembelajaran berpusatkan guru
ialah sukatan pelajaran dapat diselesaikan dalam tempoh masa yang ditetapkan.
Maksudnya, guru dapat menghabiskan semua topik yang ditetapkan untuk diajar
dalam tempoh setahun kerana kebanyakan masa digunakan oleh guru untuk
penerangan secara kelas atau kuliah. Selain daripada itu, masalah kawalan kelas
14

dan bising tidak berlaku kerana tiada komunikasi dua hala. Situasi pembelajaran
adalah melibatkan guru bercakap dan murid mendengar.
Sebaliknya, dalam strategi pemusatan murid, guru berkemungkinan besar
menghadapi masalah tidak dapat menghabiskan sukatan pelajaran kerana terlalu
menumpukan kepada pengendalian aktiviti melibatkan murid. Selain daripada itu,
masalah kawalan kelas serta suasana bising juga memberi kesan negatif kepada
murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran.
Implikasi seterusnya jika strategi pemusatan murid digunakan ialah,
berkemungkinan sesetengah murid tidak dapat memahami konsep asas sesuatu
topik pembelajaran. Ini adalah kerana guru secara terus memberi aktiviti kepada
murid tanpa menerangkan konsepnya terlebih dahulu. Dengan kata lain, murid sukar
memahami sesuatu isi pelajaran sekiranya dibiarkan belajar sendiri. Hal ini akan
berlaku pada matapelajaran yang berkaitan dengan fakta seperti Sains, Matematik
dan Sejarah.
Setelah perbincangan dari pelbagai aspek dibuat, dapatlah dibuat kesimpulan
bahawa setiap strategi sama ada pemusatan guru atau pemusatan murid masing-
masing mempunyai implikasi baik dan implikasi buruk. Apapun, kebijaksanaan dan
kebolehan guru membuat perancangan dan memilih strategi secara wajar mengikut
keadaan merupakan perkara penting dalam mempastikan objektif pengajaran dan
pembelajaran tercapai.



15

REFLEKSI
Daripada tugasan EDU 3103 Murid dan Alam Belajar ini, banyak perkara dan
ilmu baru yang berkaitan dengan ilmu pendidikan yang saya perolehi dan dapat
saya aplikasikan dalam tugas saya sebagai guru.
Dalam tugasan ini, saya dapat recall dengan ilmu pengetahuan pedagogi
sedia ada saya. Walaubagaimanapun, masih ada lagi pengetahuan yang belum
mencukupi tentang strategi pengajaran berpusatkan murid kerana kurang
pendedahan yang secukupnya. Itulah sebabnya saya kerap menggunakan kaedah
pengajaran berpusatkan guru. Sepatutnya, saya perlu memahami kepentingan
pembelajaran berpusatkan murid. Oleh itu, beberapa program kesedaran dan latihan
wajar saya sertai.
Sukatan pelajaran tidak dapat dihabiskan sekiranya saya tersilap memilih
strategi pengajaran. Daripada tugasan ini, saya dapat memilih strategi yang sesuai
dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang akan dilaksanakan. Untuk menarik
minat dan mencabar kebolehan murid, strategi berpusatkan murid boleh digunakan.
Sekiranya peruntukan masa adalah terhad, strategi berpusatkan guru adalah lebih
sesuai digunakan. Sebaiknya, setiap aktiviti murid perlu dirancang dengan teliti
pelaksanaannya dari segi peruntukan masa.
Selain daripada itu, saya juga sedar bahawa setiap guru perlu mempunyai
kemahiran mengawal kelas serta pengetahuan tentang strategi pembelajaran.
Keadaan kelas yang tidak terkawal dan bising semasa aktiviti melibatkan murid-
murid menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran tidak dapat dijalankan
dengan sempurna dan banyak masa terbuang. Untuk mengatasi masalah ini, saya
16

perlu tegas dan memberi arahan dengan jelas serta mudah difahami oleh murid-
murid.
Harapan saya agar ilmu pengetahuan yang saya perolehi dalam tugasan ini
menjadi panduan kepada saya dan dapat diaplikasi dalam proses pengajaran saya
di dalam bilik darjah. Seterusnya, kualiti pengajaran saya dapat ditingkatkan dari
semasa ke semasa. Produk atau hasilnya, iaitu murid-murid saya merupakan modal
insan yang cemerlang dan unggul dari pelbagai aspek yang meliputi jasmani, emosi,
rohani dan sosial (JERIS).

PENUTUP
Sebagai kesimpulannya, dapatlah dikatakan bahawa amat penting bagi
seseorang guru melengkapi diri dengan ilmu dan kemahiran mengenai pelbagai jenis
pendekatan, kaedah, strategi dan teknik pengajaran. Apabila guru mempunyai ilmu
pedagogi yang luas, amat mudah untuk mengubahsuai proses pengajaran dan
pembelajaran selaras dengan kebolehan, minat dan gaya pembelajaran murid yang
berbeza-beza. Secara tidak langsung, pengajaran guru menjadi lebih berkesan dan
berkualiti.







17

Anda mungkin juga menyukai