Anda di halaman 1dari 33

Cikgu Zara

Buat cikgu-cikgu yang tercinta, terima kasih Hanya Allah yang bisa
membalas jasa kalian

Kertas putih berlipat kemas itu ditatap lagi. Masuk kali ini, sudah
tujuh kali dibacanya. Hatinya masih gundah dan resah. Dia masih
belum dapat menerima isi kandungan surat itu. Masakan! Masakan
mereka tergamak melakukan hal ini kepadaku? Apa dosa aku? Sudah
puas dia bertekak dengan bapanya, Datuk Zamri Kadir, orang besar
dalam kerajaan, supaya bapanya itu melakukan sesuatu untuk
menukar isi kandungan surat itu. Gagal. Sebagai seorang bapa, Datuk
Zamri kenal benar dengan perangai anak bongsunya itu. Bukan tidak
sayang, namun dia lebih arif bahawa pengorbanan yang besar itu
akan membawa seribu satu kebaikan. Dan sebagai orang kerajaan,
Datuk Zamri tahu anak muda seperti anaknya itulah yang amat
diperlukan oleh kerajaan pada masa ini. Tambahan pula, sekiranya
dia melakukan sesuatu yang boleh mempengaruhi keputusan akhir
surat itu, sudah pasti dia bakal dilabel sebagai korup. Seumur
hidupnya sebagai pekerja kerajaan, sumpah dia tidak pernah
mengamalkan nepotisme. Maka keputusannya untuk tidak tunduk
kepada desakan anaknya itu dilihat sebagai cukup munasabah dan
relevan. Walaupun jauh di sudut hatinya, tergerak juga rasa untuk
mencuba-cuba, setidak-tidaknya anaknya tidaklah terlalu berjauhan
dengan keluarga, namun dia cepat-cepat menidakkan perasaan itu.
Dan dia pasti, suatu hari nanti, anaknya pasti akan berterima kasih
kepadanya.

Kali ini ditatap pula sampul surat berwarna perang muda itu.
Dipandang tepat pada perkataan PENTING dan URUSAN RASMI
KERAJAAN yang sengaja dihitampekatkan. Ah! Apa yang penting
sangat dengan surat ini? Penting sangatkah aku ini, sampai tidak ada
orang lain yang mahu dicampak mereka ke hujung dunia? Tanpa
disedari, mengalir air mata di pipi. Lagi. Bukan sekali dua dia sudah
membazirkan air matanya. Sudah naik culas dia merengek, meraung
bahkan tergolek! Pasrah. Tiada gunanya. Hatta mengalir air mata
berlian sekali pun, dia tahu tiada apa yang dapat dilakukannya untuk
tidak mematuhi arahan dalam surat tersebut. Letih Datin Sumayyah,
ibunya itu memujuk, namun hatinya rajuk. Penat juga Datin
Sumayyah memujuk suaminya, agar diikutkan kehendak hati anak
perempuan kesayangan mereka itu, namun hati suaminya pula yang
sejuk. Akhirnya Datin Sumayyah yang bujuk. Kerana dia tahu, segala
apa yang berlaku itu, pasti ada hikmah yang tersorok!

***

UNTUK PERHATIAN: CIK ZAHARAH SOFIYA ZAMRI KADIR

Kementerian Pelajaran Malaysia,
Parcel E,
Persiaran Sultan Abdul Aziz Shah,
48000 Putrajaya.

3 JANUARI 2005.

Tuan/Puan/Encik/Cik

Arahan Bertugas ke Sabah

Merujuk kepada perkara di atas, saya dengan ini menyampaikan
arahan pihak atasan, bahawa Tuan/Puan/Encik/Cik telah ditugaskan
ke Sekolah Kebangsaan Kampung Titingan, Tawau Sabah berkuat
kuasa serta merta pada tanggal 30 Januari 2005.

Sila laporkan diri di Jabatan Pelajaran Daerah seminggu sebelum
tarikh yang disebutkan di atas. Maklumat tambahan ada dilampirkan
bersama-sama surat ini.

Sekian, terima kasih.

Saya yang menurut perintah,

Abdul Aziz
......................
(ABDUL AZIZ SAMSUDDIN)

Setiausaha Kanan,
Bahagian Sumber Manusia,
Jabatan Bahagian Sekolah,
Kementerian Pelajaran Malaysia.
***

Sepanjang perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Tawau,
Zaharah tidak sudah-sudah memikirkan apakah yang bakal
ditempuhinya di Sabah nanti. Macam-macam yang sudah didengari
tentang negeri di bawah bayu itu. Kononnya, penjenayah cukup
ramai di situ. Pendatang asing yang banyak menimbulkan masalah
juga tidak terkira jumlahnya. Belum lagi dikira masalah bahasa dan
budaya! Mampukah aku pantas menyesuaikan diri? Zaharah
mengeluh panjang. Jus oren yang dihidangkan oleh pramugari
berkebaya hijau biru seawal penerbangan tadi langsung tidak
disentuhnya. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja Zaharah terjun
daripada kapal terbang, terus jatuh ke dalam Laut Cina Selatan! Lebih
rela dia dimamah jerung atau lemas dibadai ombak, daripada
mengikut kehendak orang atasan. Ikut hati mati.

Zaharah berfikir panjang. Dia bukan sembarangan cikgu. Dilatih di
Kings College London selama 3 tahun sebelum memperoleh sijil
perguruan di Universiti Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim,
Zaharah mempunyai kepakaran dalam mengajar Matematik dan
Bahasa Inggeris. Dia sering ditanya oleh rakan-rakannya, mengapa
dia memilih profesion itu. Jika mahu dikira pencapaian akademiknya,
dia merupakan antara pelajar yang paling cemerlang di Sekolah Seri
Puteri dahulu. Itulah masyarakat zaman ini, cetus hatinya. Jika
keputusan SPM cemerlang, mesti perubatan atau kejuruteraan yang
dijadikan taruhan! Sedangkan negara amat memerlukan kepakaran
dalam bidang perguruan. Sekiranya semua bakal guru adalah mereka
yang kecundang dalam pelajaran, bagaimana mereka mahu
diharapkan untuk mendidik anak-anak kita di masa hadapan? Itu
jawapan benaknya. Minat, jawapan ringkas yang diberikan. Malas
rasanya dia mahu berdebat dengan rakan-rakannya. Arakian
diberikan seribu segala alasan, sudah pasti petah mereka
mematahkan. Minat

Namun keputusan Kementerian Pelajaran yang satu ini hampir-
hampir sahaja mematahkan semangatnya. Arahan pihak atasan itu
tipis sahaja mahu mengena perasaan kesalnya. Manakan tidak.
Sebelum dia mengambil keputusan untuk menerima biasiswa
Kementerian Pelajaran dahulu, perang dunia ketiga hampir sahaja
tercetus antara dia dan abang-abangnya. Abang sulungnya, Zaim Sofi
merupakan seorang pakar mata yang kini bertugas di United
Kingdom. Abangnya yang tengah, Zaid Safri pula adalah seorang
akauntan yang sedang mencipta nama di syarikat audit terkemuka
KPMG Malaysia. Dan abangnya yang bongsu, Zuhri Solihin sedang
melanjutkan pelajaran sijil Masters di Amerika Syarikat dalam bidang
Akuamarin. Lantas, apabila mereka mendapat tahu adik perempuan
kesayangan mereka memilih untuk menjadi cikgu, habis sahaja
Zaharah diserang bertalu-talu dari tiga arah yang berbeza. Zaim,
dengan senjata bazookanya, melancarkan serangan terhadap masa
hadapan yang bakal Zaharah tempuhi. Zaid pula, dengan bom tangan
klusternya, mempersoalkan integriti kerjaya sebagai seorang guru.
Mujur abangnya Zuhri tidak terlalu keras. Dengan hanya
menggunakan keris Melayu, dia cuma khuatir kalau-kalau Zaharah
kelak tidak mampu menanggung beban yang besar sebagai seorang
guru. Berkat kesabaran dan kecekalan hati, Zaharah berjaya
mematahkan serangan mereka satu persatu. Tambahan pula, dengan
campur tangan pihak Nato dan PBB, yakni ibu dan bapa yang sentiasa
menyokong keputusan anak-anak mereka, kedamaian dan keamanan
akhirnya berjaya diwujudkan.

Namun kini Zaharah kurang pasti. Patutkah aku mendengar nasihat
Zaim dahulu? Wajarkah aku menurut desakan Zaid yang mahukan
aku menjadi seorang ahli ekonomi? Ah, hanya Zuhri yang benar-
benar memahami aku. Dia tahu bahawa minat bisa mengatasi segala-
galanya. Dan telah aku buktikan. Aku tidak tidak boleh berputus asa.
Sekiranya aku tewas menyerah kalah, pasti Zaim dan Zaid akan
mentertawakan aku. Sekiranya aku tunduk rebah, pasti Zuhri kecewa
dengan aku. Tidak! Aku akan buktikan kepada mereka semua, pada
mama dan papa, bahawa Zaharah Sofiya bukan lagi adik dan anak
perempuan manja yang mereka tatang bagai minyak yang penuh!
Aku mampu! Zaharah cekalkan semangat, tabahkan hasrat dan
kuatkan firasat. Dia tahu, perjalanannya masih jauh
***

Sudah sebulan Zaharah mengajar di Sekolah Kebangsaan Kampung
Titingan ini. Dia masih belum dapat membiasakan dirinya dengan
keadaan di sini. Seolah-olah dia berada di bumi asing. Walhal, Sabah
masih mengibarkan Jalur Gemilang, menghormati dan menyanyikan
Negaraku dan melaungkan Rukun Negara yang lima! Perasaan
rindunya pada papa dan mama, rakan-rakan baiknya, KLCC,
panggung wayang, Coffee Bean, Secret Recipe dan banyak lagi,
membuak-buak di dalam hati. Tiada siapa yang tahu. Tiada siapa
yang peduli pada perit dan jerih yang terpaksa dilaluinya sepanjang
sebulan di sini. Kadang-kadang, dia menangis keseorangan tidak
tertahan. Kasihan Zaharah. Sudahlah tidak punya kawan yang ramai,
anak-anak muridnya pula seakan-akan tidak suka padanya. Sering
kali mereka mengusik dan mengejeknya.

Ada juga di kalangan guru lelaki yang nakal cuba mengusik Zaharah.
Manakan tidak, lelaki mana yang tidak tertoleh sekali pandang pada
Zaharah! Tinggi lampai, hidung mancung, putih melepak, dengan
tudung ala ala Wardina dicampur lagi dengan gaya fesyen terkini,
siapa sangka Zaharah adalah seorang guru sekolah rendah! Tetapi,
malang sekali. Kecamuk hati lebih kuat menonjolkan diri. Akibat
terlalu lembab menyesuaikan diri, Zaharah dicop sebagai sombong
dan berhidung tinggi. Guru-guru perempuan yang lain kurang senang
untuk mendekati Zaharah, kerana tercabar dengan kecantikan dan
gaya personaliti Zaharah yang menawan. Mereka menghasut pula
guru-guru lelaki agar tidak terlalu rapat dengan gadis metropolitan
itu, dengan menyebarkan pelbagai dakyah dan fitnah. Zaharah
semakin tertekan. Mujurlah Ustazah Soraya sentiasa di sisi. Kepada
gadis muda bertudung labuh itulah tempat dia mengadu kasih dan
sedih. Mujur juga Ustazah Soraya cukup memahami. Dia juga bukan
berasal dari bahagian pantai barat ini. Setidak-tidaknya, Zaharah
punya teman untuk membujuk.

Dia masih ingat ketika pertama kali dia memperkenalkan diri di
perhimpunan pagi sekolah.

"Hallo everyone. My name is Zaharah Sofiya. You can call me Zara.
I

Belum sempat dia menghamburkan perkataan yang seterusnya,
sudah bingit, hiruk pikuk satu dewan perhimpunan. Rata-rata
tergelak. Malah, ada antara rakan sekerja yang menutup mulut
menahan sedu tawa. Zaharah tergamam. Lidahnya bagai disiat bisu,
mulutnya dikunci kelu. Merah padam mukanya. Dia lantas turun
daripada pentas perhimpunan, tidak peduli lagi untuk menyudahkan
ucapan perkenalan dirinya. Dia kecewa. Maha kecewa. Pagi itu
bukanlah permulaan yang baik untuknya. Ada segelintir guru-guru
yang peduli cuba untuk memujuk. Zaharah hanya tersenyum simpul.
Mujurlah dia sudah diberi amaran oleh Ustazah Soraya bahawa hal
sedemikian adalah satu kemungkinan yang nyata. Ustazah Sorayalah
yang pantas memujuk Zaharah. Hilang sedikit perasaan marah dan
hiba, melihat kebaikan dan kemesraan yang ditunjukkan oleh
Ustazah Soraya.

Ketika dia melangkah ke dalam kelas pertamanya, kelas 5 Mahathir,
dia sekali lagi disambut dengan perasaan syak wasangka oleh anak-
anak muridnya. Ada yang ketawa, namun segera disenyapkan oleh
rakan-rakan yang lain. Zaharah melangkah berat ke dalam kelas itu.
Dia cuba memulakan bicara.

Assalamualaikum semua. Seperti yang anda tahu, saya Cikgu
Zara"

Bangun! Wa-a-lai-kum-mus-salam cik-gu! Ketua darjah memimpin
rakan-rakan yang lain.

"Er.. Terima kasih. Sila duduk. Saya.."

Te-ri-maaa Kaaa-siiiih cikgu!

Sama-sama. Baik, kita mulakan kelas sekarang. Mulai hari ini, saya
akan mengajar Matematik untuk kelas ini. Tapi, sebelum saya
mulakan, saya mahu berkenalan dengan anda semua. Uhm, mulakan
dengan kamu? Ya, kamu, yang duduk di sebelah tingkap itu."

My name is Ahmad Boestamam! You can call me, er, Tamam!

Anak muridnya itu mengusik, dengan loghat British pekat yang
dibuat-buat. Segera ayat penyudahnya itu disambut dengan gelak
tawa oleh rakan sekelas. Zaharah hanya mampu tersenyum. Geram
juga rasa hatinya.

"Nama saya Musran, nama mesra Mawi!

Hahahahahahahahahaha. Ada yang menepuk meja, ada yang
menghentak kaki.

Saya Sandra anak Makip, panggil saya
***

Akhirnya Zaharah redha. Rutin hariannya sama setiap hari. Bangun
pagi, ke sekolah dan mengajar, dan kemudiannya cepat-cepat dia
mahu pulang ke rumah. Seboleh-boleh dia mahu megelak daripada
terlibat dengan sebarang aktiviti tambahan. Melainkan yang wajib,
segala macam pekerjaan yang sunat, apatah lagi yang harus, pasti
ditolak tepi. Ustazah Soraya, satu-satunya rakan sekerja yang benar-
benar mengambil berat akan perihal diri Zaharah, ada juga cuba
memancing-mancing. Namun degil Zaharah bukan kepalang. Hatinya
kini meradang. Dia seakan-akan tidak peduli lagi tentang kerjayanya
itu. Di mana visi seorang guru yang tegas dilaungkannya dahulu? Di
mana cita-cita murni yang sering ditanamkan dalam benak
keringatnya suatu ketika dahulu? Di tidak tahu. Dia tidak peduli. Dia
merajuk. Dia sudah benar-benar tidak kisah. Apa hendak jadi,
jadilah!

Namun bukankah air yang surut, pasti akan pasang jua? Suatu
kejadian yang berlaku setelah hampir tiga bulan dia mengajar di
Tawau benar-benar telah mengubah dirinya. Bapa salah seorang
daripada anak muridnya, Stephen telah mati dibunuh. Lelaki itu,
James Dompok merupakan seorang penjual VCD dan DVD haram
yang terkenal di Bandar Tawau. Bukan sahaja menjadi buruan pihak
berkuasa, malah ramai juga musuhnya di kalangan peniaga-peniaga
pasar gelap itu. Maka, dalam melarikan diri daripada mulut harimau,
entah bagaimana, tersilap langkah agaknya, dia termasuk kandang
buaya. Lantas, orang atasan sebuah kongsi gelap mengarahkan agar
dia dibunuh sahaja. Mayatnya dijumpai terapung-apung di sungai
Tawau, 5 hari setelah kehilangannya dilaporkan. Sayugia Zaharah
mendengar berita itu, hatinya gumam. Berdebar-debar. Perasaan
takut bercampur kasihan menguasai dirinya. Akhirnya, belas
kemanusiaan dijadikan keutamaan. Bersama-sama Ustazah Zaharah,
dia memberanikan diri pergi melawat keluarga Stephen di pinggir
Kampung Titingan.

Tatkala dia melangkah masuk ke kawasan kampung tersebut, hatinya
cepat menjadi hiba. Kemiskinan dan kepapaan melata di mana-
mana. Rumah papan beratapkan zink bersepah-sepah di kiri dan
kanan jalan tanah merah kampung tersebut. Kali ini, orang tertoleh
melihat kelibat dua wanita bukan sahaja kerana kecantikan mereka,
tetapi lebih kerana hairan, menerima tetamu yang tidak pernah
kunjung tiba. Seakan-akan melihat malaikat lagaknya. Zaharah
memberanikan diri untuk bertanya arah di sebuah kedai kopi. Pemilik
kedai kopi tersebut, seorang wanita Murut kemudiannya menjerit
memanggil seseorang dari ruang dapur kedai. Kau tunjukkan jalan,
kata wanita itu. Tanpa disangka, rombongan tiga orang menjadi lima,
kemudian lapan dan sebelas. Semakin jauh mereka berjalan, semakin
ramai yang menuruti. Penduduk kampung itu tampaknya berminat
benar dengan tetamu mereka yang dua orang itu. Dari si kecil
sehinggalah yang berbongkok tiga, semuanya pelik benar dengan
kelibat dua wanita bertudung itu.

Tiba sahaja di depan rumah Stephen, bagai diusik naluri
kewanitaannya, Zaharah tersedak. Sedaknya bukan kerana tertelan
biji ciku muda yang bersepah di lantai kaki kawasan kampung itu,
namun dek kesedihan yang melampau melihatkan kemiskinan
keluarga anak muridnya itu. Dinding rumah berlubang-lubang.
Cahaya matahari bisa menembus masuk terus ke kaki lantai dek atap
yang bocor. Ah, besar lagi laman belakang rumah aku di Kuala
Lumpur sana, getus hatinya. Zaharah hanya sedar yang matanya
mengalirkan air apabila pedih mencucuk-cucuk retinanya. Dan sayup-
sayup kedengaran, tangisan meratapi kematian yang cukup
mendayu-dayu di halaman depan. Zaharah tersedu. Sambil menarik
nafas yang panjang, dia memberanikan diri dan memberikan salam
hormat. Stephen bingkas bangun, kaget melihat cikgunya itu.

Cikgu Zara Apa yang cikgu buat di sini?

Stephen, cikgu dapat tahu tentang ayah kamu. Cikgu bersimpati"

Oh Terima kasih cikgu Terima kasih

Entah bagaimana, Stephen tiba-tiba sahaja menangis dan terus
memaut tubuh Zaharah. Rengekan Stephen ditambah dengan
pemerhati di sekeliling benar-benar membuatkan Zaharah rasa
bersalah. Dipeluk manjanya Stephen, diusap rambutnya dan dipujuk
mesra. Ustazah Soraya hanya mengangguk memberikan galakan.

Cikgu Ayah dah tiada.

Cikgu tahu Stephen, cikgu tahu Kamu bersabar ya? Cikgu ada di
sini.

Cikgu Saya terpaksa berhenti sekolah. Kena bantu ibu, adik
ramai.

Apa? Masakan? Apa kamu pasti Stephen?

Ya Saya sudah pun berjumpa dengan guru besar pagi tadi. Saya
tidak mampu cikgu..

Zaharah terkesima. Tidak pernah terlintas di fikirannya, kejadian atau
bencana yang hanya ditonton di Bersamamu akan benar-benar
berlaku kepada dirinya. Setelah pulang daripada melawat Stephen,
Zaharah merancang pelan tindakan. Dia tekad. Dia nekad. Dia mesti
membantu Stephen. Ya, bukan sahaja Stephen, malah sesiapa sahaja
yang senasib dengan anak muridnya itu. Terngiang-ngiang di
kepalanya, kata-kata pensyarahnya sewaktu di UPSI dahulu,

Guru, seperti yang sudah anda bosan mendengarnya, adalah
pekerjaan yang paling mulia di muka dunia. Mengapa? Kerana pada
suatu hari nanti, robot ciptaan manusia bakal menakluki dunia. Kita
sudah ada robot menjadi tabib pengubat manusia. Kita sudah ada
robot yang mampu memimpin orkestra. Tetapi percayalah, robot
tidak mungkin dan tidak bisa menggantikan anda semua, guru
pendidik bangsa! Jadikan diri anda tempat pergantungan anak
bangsa. Sayangi mereka. Cintai ilmu yang diajarkan kepada mereka.
Nescaya, ruh pendidik mulia pasti meresap ke dalam tubuh dan
jiwa

Tiba-tiba sahaja Zaharah bersemangat. Semangat yang dahulunya
hilang kini sudah kembali. Malam itu tidak tidur dia sehingga ke
Subuh, berfikir dan memerah otak, bagaimana dia dapat membantu
anak bangsa seperti Stephen. Dia panjatkan doa, tatkala berjemaah
bersama Ustazah Soraya, agar dipermudahkan jalan dan ditunjukkan
laluan untuk dia melaksanakan rancangannya itu. Zaharah
menghantar e-mail yang panjang lebar kepada bapanya, meminta
buah fikiran di samping wang bantuan. Tidak sampai seminggu
Zaharah melawat Stephen, anak kecil itu sudah kembali ke sekolah.
Zaharah tersenyum panjang apabila melihat Stephen duduk di
tempat biasanya, bergurau senda bersama rakan sebaya. Stephen
juga gembira tatkala melihat Zaharah melangkah masuk ke dalam
kelas. Cikgu Zara! Terima kasih! Terima kasih, Cikgu Zara! Buat
pertama kalinya sejak sekian lama, senyuman seorang anak kecil
begitu bermakna buat diri Zaharah. Entah mengapa, kepuasan yang
dirasakannnya cukup berbeza, tidak pernah dialaminya sebelum ini.

Semenjak itu, Cikgu Zara tidak pernah menoleh ke belakang lagi. Ada
sahaja kes-kes atau kisah-kisah yang menyentuh jiwa menyentak
rasa didengari telinga, pasti dia dan Ustazah Soraya akan bertindak
segera. Zaharah bertambah gembira apabila ramai di kalangan guru-
guru Sekolah Kebangsaan Kampung Titingan menyambut baik usaha
murninya itu. Daripada berdua, kini pasukan mereka sudah berlima.
Cikgu Zaharah semakin popular dan disenangi di sekolah itu. Ramai
benar anak-anak murid yang telah dibantunya. Nama Cikgu Zara
bukan lagi dijadikan mainan atau ejekan, tetapi menjadi kesayangan
dan kehormatan. Guru-guru lelaki kini sudah berani mengurat
Zaharah. Zaharah hanya mampu tersenyum, sering juga tertawa,
apabila dia melintas lalu, pasti ada yang menyiul manja. Cikgu
Bernard Ongkili dan Cikgu Ahamad Tusin yang paling nakal. Tidak
sedar diri, geleng Zaharah. Dua-dua sudah berpunya! Ramai juga ibu
bapa yang menghargai usahanya, sehinggakan sekiranya ada majlis-
majlis keramaian di kampung-kampung berdekatan, nama Cikgu Zara
wajib diletakkan di dalam senarai tetamu yang dijemput.

Tanggal 16 Mei 2005 melakar suatu kenangan yang tidak mungkin
akan dilupakan. Hari itu merupakan sambutan Hari Guru yang
pertama buat Zaharah. Dia tidak meletakkan sebarang harapan
untuk anak-anak muridnya memberikan hadiah, hatta kad ucapan.
Cukuplah sekadar ucapan ikhlas Selamat Hari Guru. Dia sedar, dia
masih baru di sekolah itu. Jasa yang ditaburkan, masih belum cukup
untuk diberikan penghargaan. Benih yang ditanam dan dibaja, masih
mentah untuk membuahkan hasilnya. Dan dia juga faham,
kemiskinan anak-anak muridnya bermakna, hadiah untuk seorang
guru hanya akan menambah beban. Betapa silapnya sangkaannya
itu. Sebaik sahaja upacara rasmi disudahkan, berduyun-duyun anak
muridnya datang menyerangnya untuk memberikan hadiah dan kad
ucapan.

Selamat Hari Guru, cikgu! Laung anak-anak muridnya.

Cikgu, yang ini, emak yang bagi, dahului Siti Sarah.

Cikgu cikgu, kad ini, saya buat sendiri tau?? Musran menunjuk.

Cikgu, saya tak tahu nak bagi cikgu apa. Jadi saya belikan bunga
sahaja, kata Michael Leo tersipu-sipu.

Sepanjang hari itu Zaharah tersenyum. Terharu. Bagai orang gila
lagaknya. Namun kejutan terbesar datangnya daripada Stephen. Di
hujung waktu persekolahan, ketika Zaharah sedang sibuk mengemas
mejanya, Stephen datang ke bilik guru, minta untuk berjumpa
dengan cikgu kesayangannya itu.

Cikgu Sudikah cikgu berkahwin dengan saya.?

Zaharah terdiam. Mengira-ngira apakah yang patut dijawabnya.

Er, Stephen Kamu bergurau, bukan?

Alaaaaaaa Saya dah agak, cikgu mesti tak sudi Keluh Stephen.

Hahaha.. Kamu ni Stephen. Jangan mengarutlah! Kamu masih kecil,
sebelas tahun. By the time kamu dah ready nak kahwin, cikgu dah
tua gayut dah! Zaharah tersenyum mengusik.

Ye la ye la Ni cikgu, tadi saya malu hendak beri hadiah ni kepada
cikgu. Masakan tidak, rakan-rakan yang lain semua belikan cikgu
hadiah yang hebat belaka. Saya tak mampu cikgu. Ni sahajalah yang
mampu saya berikan.

Sebuah bungkusan kecil berbalut kertas merah jambu bercorak hati
dan bunga dikeluarkan daripada poket seluar Stephen yang lusuh,
dan dihadiahkan kepada Zaharah.

Op op, tunggu tunggu! Cikgu tak boleh buka hadiah tu sekarang!

Ala kamu ni Stephen Tak cool la

Cool tak cool. Cikgu kena janji, cikgu hanya boleh buka hadiah tu
bila cikgu dah sampai rumah, ok? Stephen tersenyum manja.

Zaharah mengangguk tanda setuju. Dia mengusap belai rambut anak
muridnya itu. Tidak disangkanya, usaha kecil tidak seberapa sebulan
yang lalu memberikan makna kehidupan yang baru buat Stephen.
Tidak disangkanya, niat ikhlasnya untuk membantu seorang insan
yang hidup dalam kedaifan kini bertukar menjadi jalinan yang cukup
mapan.

Setiba sahaja dia di rumah, sementelah menghempaskan diri pada
sofa empuk di biliknya, dia terus mencapai bungkusan yang diberi
Stephen yang disorok rapi di dalam beg tangannya. Sayang benar.
Perlahan-lahan bungkusan merah itu dibuka. Zaharah terkedu.

"Ke hadapan Cikgu Zara yang amat saya sayangi,

Terima kasih cikgu, atas segala-galanya. Bukan sedikit jasa cikgu pada
saya. Saya amat menghargainya. Sehingga saya mati pun, tidak
mungkin saya dapat membalas segala budi dan bakti yang telah cikgu
curahkan.

Kulit-kulit kerang ini saya kutip di tepi pantai semalam. Saya cuba
mengutip sebanyak yang mungkin, kerana saya mahu cikgu tahu,
setiap kulit kerang melambangkan betapa kasihnya saya pada cikgu.
Saya simpan di dalam bekas kaca ini, supaya kasih saya pada cikgu
akan kekal buat selamanya"

Yang benar,
Stephen Dompok.

Ustazah Soraya terkejut melihat rakan karibnya itu tersedu-sedu
sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam rumah. Sangkanya,
pasti ada berita buruk dari Kuala Lumpur. Bila ditanya mengapa,
Zaharah menyerahkan surat karangan Stephen. Pendek, tapi cukup
menyentuh. Ustazah Soraya pantas menyertai sedu Zaharah, sebaik
sahaja dia selesai menatap warkah ikhlas itu.
***

Kertas putih berlipat kemas itu ditatap lagi. Masuk kali ini, sudah
tujuh kali dibacanya. Hatinya masih gundah dan resah. Dia masih
belum dapat menerima isi kandungan surat itu. Masakan! Masakan
mereka tergamak melakukan hal ini kepadaku? Tahun ini masuklah
tahun ketiga Cikgu Zara menabur bakti di Sekolah Kebangsaan
Kampung Titingan. Hatinya sudah terpaut dan kakinya sudah
tersangkut di sekolah ini. Dia sudah cukup sayang dengan Kampung
Titingan. Kampung Titingan juga sudah jatuh hati pada Cikgu Zara.
Masakan tergamak mereka melakukan hal ini kepadaku? Ditatapnya
lagi sampul surat berwarna perang muda, berjatakan Kementerian
Pelajaran Malaysia itu.
>Surat itu diterima pagi tadi, betul-betul seminggu sebelum
sambutan Hari Guru yang ketiga buat diri Zaharah. Dia telah
diarahkan bertukar sekolah ke Convent Bukit Nanas, Kuala Lumpur.
Cukup hampir dengan rumahnya di sana. 20 minit berkereta dan 10
minit sahaja jika dia menaiki monorel. Tetapi itu bukan soalnya.
Sekiranya surat itu diterimanya 3 tahun yang lalu, sudah pasti dia kini
melompat kegirangan. Sudah pasti dia tertawa keseronokan. Tapi itu
3 tahun yang lalu. Kini segala-galanya telah berubah. Kini dia hampa
kesedihan. Kini dia menangis kehibaan...
***

Sekiranya bapa saya ada di sini bersama-sama pada hari ini, nescaya
saya akan mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga
kepadanya, kerana tidak menurutkan hawa jiwa saya suatu ketika
dahulu, yang enggan ditugaskan di sekolah ini. Maklumlah, anak jati
Kuala Lumpur Kini, saya benar-benar bersyukur, kerana
ditempatkan di sekolah ini sebagai tugasan pertama saya.

Saya masih ingat, ketika pertama kali saya berucap di pentas ini, saya
ditertawakan anda semua. Dan hari ini, saya lihat, ada di kalangan
anak-anak didik kesayangan saya yang mengalirkan air mata. Saya
melihat itu sebagai petanda baik, suatu isyarat bahawa saya
diterima.

Zaharah tidak dapat meneruskan ucapan. Sebak.

Saya Saya amat berterima kasih kepada anda semua Saya

Zaharah terpaksa berhenti seketika, untuk mengembalikan nafas dan
tenangnya. Dilapnya air mata yang bergenang di kelopak.

Saya amat berterima kasih kepada anda semua, kerana di sinilah
saya belajar apakah itu erti kehidupan. Apa itu erti kasih sayang. Apa
itu erti pengorbanan. Sungguh, selama 3 tahun saya dini,
pengalaman dan pelajaran yang saya kumpul dan bina, telah pun
membina sebuah mahligai yang jauh lebih cantik daripada teratak
bobrok yang saya diami 20 tahun yang lampau. Kampung Titingan
akan kekal dalam ingatan, sehingga hayat dikandung badan

Kali ini, bukan sahaja Zaharah yang sebak, malah hampir seluruh
dewan turut meratap. Ya benar, sekiranya dilihat orang luar, pasti
sahaja mereka berasa pelik dan jelik. Mengapa anak KL itu mahu
disanjung dan dijunjung? Mengapa anak si kaya itu mahu dilambung-
lambung? Jawapannya cukup mudah buat penduduk Kampung
Titingan. Bagi mereka, Cikgu Zara sudah menjadi sebahagian
daripada mereka. Jasa Cikgu Zara pada mereka cukup besar, cukup
bermakna. Tidak hairanlah, pada tanggal 16 Mei 2008 ini, ramai yang
sayu dan hiba, seolah-olah berkabung menangisi suatu kematian.

Zaharah dihantar oleh seluruh warga sekolah ke lapangan terbang.
Hari ini, cukup banyak air mata yang dibazirkannya. Dia juga terpaksa
membayar tambang lebih buat bagasinya yang melebihi had berat
minima. Manakan tidak. Hampir seluruh warga Sekolah Kebangsaan
Kampung Titingan memberikannya sesuatu, paling tidak ikan masin
sepat yang cukup terkenal di Tawau, untuk dijadikan kenangan.
Namun Zaharah tidak kisah. Malah dia cukup terharu dengan layanan
kelas pertama yang diberikan kepadanya, walaupun
perkhidmatannya di sekolah itu tidaklah selama mana. Sebelum
berlepas, Zaharah peluk erat Ustazah Sofiya. Jaga anak-anakku. Jaga
sekolahku, ya? Ustazah Soraya mengangguk lemah, sambil mengesat
mata dengan kain tudungnya.

Zaharah akhirnya masuk ke dalam balai berlepas, selepas berkali-kali
namanya diumumkan oleh petugas lapangan terbang. Berat hati dan
kakinya untuk melangkah.

"Cikgu Zara!"

Zaharah memaling, sedikit kaget dengan laungan itu. Dia meneka
apakah gimik yang bakal dipersembahkan oleh anak-anak muridnya.

"SELAMAT HARI GURU! Anda guru kami, buat selamanya!

Kali ini Zara tersenyum. Tersenyum bangga. Zaim, Zaid, Zuhri, papa
dan mama, Zara telah buktikan kepada kalian! Zaharah pegang erat
bekas kaca pemberian Stephen. Tersenyum. Zaharah melangkah
pergi.

***
Berburu di padang datar,
Dapat rusa belang di kaki,
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi."
- Allahyarham Usman Awang, Sasterawan Negara

SELAMAT HARI GURU buat semua warga pendidik Malaysia!

Nota: Semua watak dalam cerita ini adalah imaginasi penulis semata-
mata. Sekolah Kebangsaan Kampung Titingan merupakan sebuah
sekolah yang sebenarnya dan sememangnya terletak di Tawau,
Sabah. Nama kelas 5 Mahathir hanya direka. Penulis memohon maaf
seandainya terdapat sebarang unsur-unsur atau perkataan-
perkataan yang menyinggung mana-mana pihak. Hak Cipta
terpelihara 2008.

Anda mungkin juga menyukai