Anda di halaman 1dari 1

NUR ATIQAH BINTI ABDULLAH 8 PISMP MT2 Page 1

Tokoh Pemimpin yang Saya Kagumi


Allahyarham Tun Abdul Ghafar bin Baba atau lebih dikenali sebagai Tun Ghafar Baba
merupakan tokoh pemimpin yang amat saya kagumi kerana banyak memberi
sumbangan kepada negara dalam mencapai perpaduan dan kemajuan. Beliau pernah
menyandang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri di bawah pemerintahan
Perdana Menteri, Tun Dr.Mahathir bin Mohamad. Abdul Ghafar bin Baba mula
memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 10 Mei 1986 sehingga 15 Oktober
1993. Kehadiran beliau dilihat sebagai tokoh penstabil politik Malaysia, ikon 'tokoh
politik kampungan' yang berjiwa Melayu tulen.
Menurut akhbar Utusan Malaysia (2012), peranan dan kepimpinan Tun Ghafar
Baba dalam politik perlu dikenang secara serius, terutama perjuangan beliau yang
besar membangunkan UMNO yang menjadi benteng umat Melayu dan Islam. Beliau
merupakan pemimpin politik dan negarawan yang luar biasa malah berbeza berbanding
dengan pemimpin yang lain sehingga mencapai status sebagai Timbalan Perdana
Menteri. Beliau juga merupakan bekas pemimpin pelajar Maktab Perguruan Sultan Idris
(SITC) Tanjung Malim kini Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) menjadi idola para
pelajar kerana kepimpinan, idea dan tindakan beliau. Beliau terlibat dalam pelbagai
pertubuhan sukarela antaranya Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan semasa berusia 20
tahun dipilih menjadi Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Kebangsaan Melayu Malaya
(PKMM).
Fakta yang paling unik berkenaan dengan Tun Ghafar Baba ialah beliau
merupakan satu-satunya pemimpin UMNO yang diberi kepercayaan
menerajui MCA sebagai pemangku Presiden MCA selama 10 bulan ketika parti
berasaskan kaum Cina itu dilanda krisis akibat perebutan kuasa antara presidennya
ketika itu, Tan Koon Swan dan bekas presiden Tan Sri Dr Neo Yee Pan. Ketika krisis
ini, Tun Ghafar Baba menjadi Setiausaha Agung Barisan Nasional.
Tun Ghafar Baba terkenal dengan sikapnya yang merendah diri. Ini kerana
beliau enggan menerima sebarang gelaran datuk atau pingat daripada mana-mana
sultan. Sehingga akhir hayatnya beliau dipanggil Encik Ghafar sahaja. Pingat darjah
kebesaran yang pernah diterima oleh Tun Abdul Ghafar adalah anugerah kehormat
Doktor Undang-Undang oleh Universiti Sains Malaysia pada 27 Julai 1985, anugerah
Bapa Perpaduan oleh Pemuda UMNO Kota Melaka pada tahun 1987, Malaysian
Institute of Management Honorary Fellowship Award pada tahun 1988, anugerah Bapa
Yang Disayangi oleh Persatuan Telegu Malaysia pada tahun 1990, pingat kebesaran
S.S.M. yang membawa gelaran Tun pada tahun 1995 dan anugerah Tun Abdul Razak
Foundation National Award pada 19 Mac 1998.
Allahyarham berkecimpung selama 67 tahun dalam politik dengan
meninggalkan jejak-jejak yang amat berharga kepada orang Melayu dan negara.
Akhirnya pada 23 April 2006, pada pukul 7.34 pagi pergilah seorang pejuang bangsa
yang semasa hayatnya tidak mengenal penat dan lelah menjelajah kampung dan desa
untuk melihat sendiri susah senang dan sakit pening rakyat. Akhirnya hasil daripada
perjuangan beliau, rakyat dan negara dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah
dengan negara maju lain.