Anda di halaman 1dari 2

PERUTUSAN SEMPENA BULAN KEMERDEKAAN

UCAPAN GURU BESAR SEMPENA SAMBUTAN BULAN KEMERDEKAAN


PERINGKAT SEKOLAH 2014
29.08.2014


Terima kasih pengacara majlis,

Yang saya hormati, Guru Penolong Kanan Pentadbiran Pn Morni Bt Yusoff, Guru
Penolong Kanan HEM En Abdul Rashid Bin Muhd Rawther, Guru Penolong Kanan Ko-
kurikulum En Mohd Zaiki Bin Mansor, AJK Program Sambutan Bulan Kemerdekaan 2014
peringkat Sekolah Kebangsaan Seri Relau, para guru dan seterusnya murid-murid yang
dikasihi, selamat pagi dan Salam Perpaduan.

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan kali yang
ke-57 kepada seluruh warga SKSR. Saya juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada AJK
program Sambutan Bulan Kemerdekaan dan guru-guru serta para pelajar kerana dapat
merancang dan melaksanakan program ini. Pihak sekolah berharap, dengan adanya program
ini, dapat mendidik dan membina warga sekolah agar dapat mengukuhkan semangat
patriotisme untuk merealisasikan gagasan 1Malaysia. Selain itu, program ini juga dapat
memupuk semangat perpaduan dalam usaha membentuk kedamaian, keamanan hidup
bermasyarakat.

Pada tanggal 31 Ogos 2014 nanti, genaplah negara kita menyambut kemerdekaan
untuk kali ke-57 yang bertemakan Malaysia Disinilah lahirnya sebuah cinta. Namun,
saya percaya, dalam usia kemerdekaan yang melebihi 50 tahun, masih terdapat sebilangan
masyarakat khususnya golongan generasi muda yang kurang arif mengenai peranan dan erti
sebenar kemerdekaan yang telah dikecapi ini. Pada zaman kini, erti kemerdekaan bukan
sekadar bebas daripada penjajahan secara fizikal semata-mata malah, kita seharusnya sentiasa
peka dan menghindari penjajahan yang lebih merbahaya iaitu penjajahan mental melalui
pengaruh-pengaruh budaya serta amalan negatif yang berasal dari Barat. Jika dibiarkan, tentu
negara kita akan dijajah sekali lagi meskipun bukan secara fizikal tetapi impaknya dilihat
agak setaraf dan mungkin lebih parah. Saya sememangnya tidak mahu perkara itu berlaku
khususnya dalam kalangan murid-murid SK Seri Relau..

Murid-murid sekalian,
Biarlah kita terus menanam semangat kemerdekaan melalui cara pemikiran minda
kelas pertama sekali gus mempertahan kemerdekaan yang telah diperjuangkan oleh para
pemimpin negara yang terdahulu. Kita sebagai rakyat Malaysia, seharusnya berasa bangga
dengan amalan budaya budi perkerti yang tinggi yang telah berjaya menyatupadukan seluruh
rakyat yang berbilang kaum sekali gus mengekalkan kedaulatan negara Malaysia yang kita
cintai. Kedaulatan yang kita nikmati inilah yang telah membolehkan negara kita membangun
dengan pesatnya. Pelbagai infrastruktur dan kemudahan awam yang baik disediakan untuk
keselesaan rakyat jelata. Lebih-lebih lagi kebijaksanaan para pemimpin dalam
menyatupadukan rakyat sehingga akhirnya masyarakat di seluruh negara hidup dalam
suasana aman dan harmoni.


Marilah kita sama-sama mengekalkan kemerdekaan ini agar ia sentiasa berada dalam tangan
kita buat selama-lamanya. Janganlah kita leka dan alpa di atas kesenangan dan kemewahan
yang ada sekarang kerana kelak ia akan membuatkan kita tenggelam ditelan semuanya dan
akhirnya negara kita tergadai. Jangan Jangan biarkan ianya berlaku.

Akhir kata, SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN KALI KE-57.
MALAYSIA.DISINILAH LAHIRNYA SEBUAH CINTA.

MERDEKA..! MERDEKA..!! MERDEKA..!!!

Sekian dan terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai