Anda di halaman 1dari 6

Kes-kes Keganasan Yang Dilakukan Guru

Rafidahshapuans Weblog
February 18, 2008 at 2:02 am Filed under Feature Writing
Cabaran era komunikasi abad ke-21 terhadap sistem pendidikan negara begitu terasa.
Ledakan teknologi maklumat dan kemajuan teknologi global serta kewujudan arus perdana
Koridor Raya Multimedia (MSC) dalam sistem pentadbiran negara, menuntut konsep
pendidikan mencorak ke arah yang bercirikan teknologi secara saintifik.
Profesion perguruan juga merupakan badan yang dipertanggungjawabkan oleh
kerajaan untuk menghasilkan rakyat masa depan yang serba canggih sebagai jentera
penggerak negara. Tanggungjawab profesion perguruan menjadi semakin berat kerana rakyat
masa hadapan yang hendak dihasilkan itu bukan sahaja perlu diterapkan dengan pelbagai
ilmu pengetahuan semata-mata, tetapi perlu juga diseimbangkan dengan nilai sosial yang baik
dari segi moral dan etika yang murni. Malangnya ketika kita bersungguh-sungguh menyahut
cabaran masa kini untuk merealisasikan aspirasi negara, timbul pula pelbagai masalah
dikalangan guru-guru.
Berita guru memukul pelajar, mendera, mencabul dan merogol anak didik sendiri
sering berlaku dan menjadi topik media. Tidak kurang juga apabila ia menjadi bualan hangat
dikalangan masyarakat. Kejadian guru-guru memukul pelajar sering dipilih untuk dijadikan
tajuk utama bagi media massa. Dahulu, para pendidik mempunyai status yang tinggi dalam
hierarki hidup masyarakat tetapi sekarang tidak lagi. Adakah ini berpunca dari sikap dan
kelalaian guru itu sendiri?
Kes-kes Keganasan Yang Dilakukan Guru
Seterusnya kita ingin melihat bagaimana keganasan yang dilakukan guru terhadap
pelajar. Pada 15 Disember 2005, seorang guru tuisyen, Patricia Barbara Shanta, 54 tahun
telah ditahan kerana mendera pelajar dan menyebabkan kecederaan fizikal ke atas pelajar
tahun tiga. Sementara itu, seorang guru didakwa kerana telah menendang pinggang seorang
pelajar tahun enam sebanyak dua kali. Kejadian ini berlaku pada 2 April 2007 di salah sebuah
sekolah di Sik, Kedah. Antara beberapa lagi kejadian yang menunjukkan keganasan
dilakukan oleh guru adalah apabila muka seorang pelajar berusia dua belas tahun senget
akibat ditampar seorang guru pada 11 Jun lalu. Pelajar itu ditampar gara-gara ingin
mengambil buku di dalam beg sebelum lewat menghadiri penghimpunan.
Di Sarawak, 18 Julai lalu, seorang guru wanita dikatakan ingin mendisiplinkan para
pelajarnya yang membuang tuala wanita ke dalam mangkuk tandas dengan merendam
mereka beramai-ramai di dalam kolam. Guru tersebut yang juga merupakan seorang warden
asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Bawang Assan telah mengambil keputusan untuk
mendenda pelajar sedemikian akibat tidak tahan lagi dengan sikap pelajar-pelajarnya yang
tidak menjaga kebersihan tandas asrama mereka.
Seorang guru besar di Sekolah Kebangsaan Gayang, Tuaran, Sabah pula digantung
kerja selama dua bulan kerana telah didakwa menampar 22 pelajar tahun empat dari sekolah
berkenaan yang tidak menyiapkan kerja sekolah mereka pada 19 Julai lalu.

Belum pun reda kes 200 pelajar perempuan direndam dalam kolam ikan di Sibu, tujuh
pelajar lelaki dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Lama di Baram, Miri pula
mendakwa dirotan guru sebanyak 10 hingga 20 kali kerana mengotorkan kawasan asrama. Di
Alor Gajah, Melaka, gara-gara didakwa ponteng kelas, empat pelajar perempuan sebuah
sekolah menengah dirotan belakang betis sehingga lebam dan bengkak, selain seorang
daripada mereka dituduh mengandungkan anak luar nikah.

Sementara itu di Johor pula, beberapa nota ditulis seorang murid tahun dua untuk
mencurahkan perasaannya selepas dipukul guru Bahasa Melayu sebagai bukti penderaan
terhadapnya di sebuah sekolah rendah di Batu Pahat. Bukti itu semakin jelas apabila mata kiri
murid itu, mengalami pendarahan beku akibat dipukul guru terbabit.
Seorang murid sekolah agama dipercayai dibelasah oleh seorang guru disebabkan
beberapa kes kecurian wang. Kejadian ini berlaku pada 31 Mac 2011.
Kesalahan tingkah laku guru ini bukan sahaja berlaku di negara kita, malah turut
berlaku di negara lain juga. Misalnya seperti yang berlaku di Shanghai, menurut laporan dari
akhbar Xinming Evening News, seorang penolong guru besar sekolah tinggi wilayah Hubei
didapati bersalah kerana memasukkan racun tikus ke dalam makanan sekolah. Beliau berbuat
demikian untuk mendatangkan masalah kepada guru besar sekolah berkenaan supaya dia
berpeluang naik pangkat.
Berdasarkan kes-kes tersebut, kita dapat melihat betapa banyaknya kes-kes yang
melibatkan guru. Bukan sahaja salah laku terhadap pelajar, guru juga telah dilaporkan
bertindak ganas terhadap polis dengan menggunakan gergaji. Apakah yang menyebabkan
ramai guru-guru bertindak ganas? Wajarkah seorang guru yang dianggap sebagai satu
jawatan yang profesional bersikap sedemikian terhadap pelajar dan masyarakat?
Kenapa Guru Bertindak Kasar dan Ganas?
Biasanya bukan sengaja guru ingin menimbulkan masalah, sudah tentu punca datang
daripada kenakalan atau kedegilan kanak-kanak itu sendiri. Bukan semua murid itu baik dan
patuh pada peraturan sekolah. Itulah naluri kanak-kanak yang perlu kita fahami. Begitulah
yang dikatakan oleh pakar psikologi kanak-kanak dan remaja, Dr. Mohd. Amin Shariff.
Kita sememangnya tidak boleh memaafkan guru yang sudah dewasa dan berfikiran
matang terlibat dalam insiden itu, tetapi dalam sesetengah kes mereka mungkin hilang
pertimbangan, ujarnya lagi.
Beliau menjelaskan bahawa segelintir guru yang berhadapan dengan masalah disiplin
mahupun masalah pencapaian akademik murid yang lemah, membuat penilaian bahawa
murid perlu dihukum sebagai peringatan, pengajaran dan kesedaran kepada mereka. Mungkin
guru tersebut termasuk dalam golongan yang yakin bahawa hukuman fizikal seperti merotan
dan mendera akan memberi manfaat. Tetapi akibat daripada tindakan fizikal itu, kecederaan
hingga luka dan lebam sudah tentu merisaukan ibu bapa. Mungkin guru berkenaan tidak
berniat berbuat demikian hingga perlu mendapatkan rawatan perubatan, tetapi jika emosi
turut memainkan peranan dalam menjalankan hukuman, biasanya kesan negatif yang
berlebihan sebegitu akan terjadi.
Pada masa lalu memang banyak ibu bapa menyerahkan tanggungjawab mendidik
kepada guru. Jika guru menghukum murid, murid tidak berani mengadu kepada ibu bapa
sebab ibu bapa akan memihak kepada guru. Kini banyak ibu bapa berpelajaran tinggi dan
mengubah cara keibubapaan daripada penggunaan kekerasan kepada psikologi. Cara
kekerasan pada mereka adalah kuno dan kolot yang tidak sesuai lagi pada zaman ini. Tetapi
hakikatnya, bukanlah mudah untuk meninggalkan cara kekerasan dalam mendidik pelajar.
Menurut pakar pendidikan, Prof. Dr. Robiah Sidin, guru sekarang berdepan dengan
bilangan pelajar yang terlalu ramai ditambah dengan pelbagai karenah. Ini berbeza dengan
murid yang diajar oleh rakan sejawat mereka sedekad dua yang lalu. Ketika itu murid lebih
patuh kepada guru dan ia wajar dicontohi

.
Prof. Dr. Robiah Sidin berpendapat punca guru bertindak keterlaluan mungkin kerana
menghadapi tekanan jiwa akibat beban kerja yang terlalu banyak, tanggungjawab semakin
berat dan tuntutan masyarakat yang menggunung terhadap guru.
Ahli sosiologi UKM, Dr. Sarifa Zaleha Syed Hassan pula berkata, punca guru
bertindak agak kasar mungkin kerana hilang kesabaran. Mungkin jika seorang murid yang
nakal, guru dapat kawal tetapi kalau terlalu ramai, ia boleh menghilangkan kesabaran guru.
Guru juga manusia biasa, jika terlalu tertekan, sesekali kesabaran tidak boleh dikawal, jelas
beliau.
Walau bagaimanapun, munurut seorang kaunselor Universiti Islam Antarabangsa,
Asniza Mamat, salah satu andaian punca guru bertindak ganas terhadap murid ialah guru itu
sendiri tidak berminat kepada profesion perguruan .
Bila tidak minat, bagaimana seseorang guru itu hendak menyesuaikan diri dengan
karenah murid. Sudah tentu mereka tidak punya perasaan sabar. Mereka mudah merasa
marah. Guru juga adalah manusia biasa yang mempunyai emosi, kadangkala perasaan
marahnya sampai ke tahap lupa bahawa dia adalah guru dan berhadapan dengan anak orang
lain, jelas beliau.
Menurut beliau juga, sesetengah guru menghukum dengan tujuan untuk mendidik
kerana kenakalan murid berkenaan. Jangan salahkan guru sahaja kerana ibu bapa juga
terlibat kerana kurang menekankan pendidikan moral kepada anak masing-masing. Ada juga
murid yang berperangai baik di rumah tetapi nakal di sekolah, tegas beliau.
Menurut Asniza lagi, kebanyakan guru kini yang dikeluarkan dari maktab atau
universiti bukan sebenarnya bercita-cita untuk menjadi guru. Apabila bilangan guru amat
berkurangan, kita menerima sahaja golongan yang sebenarnya tidak begitu sesuai menjadi
guru. Mereka yang dilatih di maktab dan universiti inilah ada yang bersifat negatif dan orang
begini tidak sesuai sebagai guru.
Walau bagaimanapun, ini bukanlah menunjukkan bahawa kita harus menyokong
keganasan yang dilakukan guru. Sebaliknya kita sama-sama perlu memikirkan jalan terbaik
untuk menyelesaikan masalah agar perkara yang sama tidak berulang lagi dan bukan hanya
menuding jari kepada mana-mana pihak.
Pendedahan kes guru mendera murid ini juga ada kebaikan untuk masyarakat menilai
semula peranan masing-masing dalam mencari penyelesaiannya. Gejala ini perlu dibendung
dan semua pihak adalah terlibat.
Tokoh pendidikan, Tan Sri Prof. Dr. Awang Had Salleh mencadangkan agar Jabatan
Pendidikan Negeri mengenalpasti guru-guru yang menghadapi masalah psikologi dan
mengatasinya dengan segera. Beliau juga mencadangkan supaya bengkel-bengkel diadakan
bukan sahaja untuk menaikkan imej dan kualiti guru, tetapi membantu mereka menghadapi
situasi kerja yang semakin rumit serta mengendalikan perasaan tertekan.
Cara mengatasi guru ganas bukan sekadar menukarkan mereka ke tempat lain
semata-mata. Sebaliknya jika mereka tidak berminat mengajar, lebih baik diambil tindakan
tegas dengan memberhentikan guru tersebut, jelasnya lagi.
Beliau turut mencadangkan untuk mengatasi masalah guru ganas ialah dengan
menapis calon guru dari peringkat awal melalui ujian psikologi. Ujian ini berguna untuk
menguji kesesuaian seseorang sebagai guru.
Guru perlu sedar bahawa pelajar adalah manusia biasa yang memerlukan bimbingan
dan tunjuk ajar. Oleh itu murid patutlah mendapat layanan yang beradab. Dengan cara inilah
boleh mendorong murid memberi penghormatan yang setimpal dengan layanan yang
diberikan oleh guru kepada mereka. Sikap guru yang bengis dan garang hanya menakutkan
murid untuk ke sekolah, ujar beliau lagi.
Justeru itu, guru sewajarnya sentiasa menghayati dan mengamalkan Tatasusila
Profesion Penguruan. Guru perlu mengelakkan diri daripada nafsu marah dan jauhkan diri
daripada membuat kesimpulan terburu-buru tanpa penyelidikan terlebih dahulu seperti yang
digariskan dalam buku Panduan Tatacara Disiplin Sekolah Untuk Guru Besar dan Guru.
Peranan Sebenar Guru
Golongan guru merupakan anggota sekolah yang terlibat secara langsung dalam
perlaksanaan kurikulum dan program pendidikan di sekolah. Peranan yang dimainkan oleh
seorang guru dalam sesebuah sekolah amat penting terutama dari segi pencapaian aspirasi
dan matlamat sekolah. Menurut Mok Soon Sang (1988), antara peranan guru yang penting
ialah sebagai pengarah pembelajaran dengan membimbing pelajar supaya mereka berusaha
belajar secara individu atau berkumpulan dan bertindak sebagai ibu bapa kepada pelajar,
demi menjaga keselamatan dan kebajikan pelajar. Peranan ini akan membantu pelajar
menyesuaikan diri dan menganggap sekolah sebagai sebahagian keluarga mereka. Selain itu,
guru juga sebagai pendisiplin yang bertanggungjawab menjaga disiplin pelajar serta
membantu mereka membentuk sahsiah dan kelakuan yang sejajar dengan nilai dan norma
masyarakat. Guru juga sebagai contoh model hidup di mana tingkah laku guru menjadi
contoh teladan kepada pelajar.
Dengan ini, nilai-nilai murni yang ditonjolkan oleh guru di sekolah dapat diterapkan
dalam jiwa pelajar. Sebagai seorang pendidik yang bertanggungjawab, guru hari ini harus
menyedari tugas dan amanah yang diserahkan kepadanya untuk mendidik generasi yang akan
menjadi dewasa kelak.
Larangan mendera dan mencela pelajar
Guru tidak boleh mengenakan hukuman atau denda kepada pelajar yang melakukan
kesalahan kecil dengan cara mendera atau mencela, begitulah kata Timbalan Menteri
Pelajaran Datuk Noh Omar.

Beliau berkata guru sebaliknya perlu mendidik pelajar yang melakukan kesalahan
kecil, seperti membuat bising dalam bilik darjah, tidak memberikan perhatian sewaktu guru
mengajar dan berkeliaran semasa waktu persekolahan.

Macam-macam cara boleh dibuat. Guru boleh paksa murid menulis karangan di
rumah, bagi kerja-kerja yang boleh memberikan nilai murni kepada pelajar, kata beliau.
Menurut beliau juga, semua hukuman dan denda yang berbentuk pendidikan telah dinyatakan
secara jelas dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 8/1983 di bawah Mengenakan Hukuman
Biasa Terhadap Murid-murid Yang Melakukan Perbuatan Salah Laku Yang Tidak
Dinyatakan Dalam Peraturan-peraturan Pelajaran.

Dalam pekeliling ini diberitahu tindakan hukuman seperti mengetuk dan menyekel
kepala murid, menampar, mencubit hingga lebam, memulas telinga, membuat henjutan
sambil memegang telinga, mencela, mendera seperti berlari keliling padang, menjemur atau
menghukum murid secara berkumpulan tidak dibenarkan, tegasnya.

Beliau juga berkata guru perlu memahami peraturan dan panduan yang telah
digariskan. Sesungguhnya kebanyakan guru menghendaki murid-muridnya mematuhi segala
arahan sekolah, tetapi pada masa yang sama ada segelintir guru yang enggan mematuhi
peraturan yang ditetapkan oleh kementerian. Ada segelintir guru menjatuhkan hukuman
mengikut budi bicara sendiri.
Menurut Presiden Persatuan Penguam Muslim, Zaitoon Datuk Othman, terdapat
beberapa peruntukan undang-undang Kanun Keseksaan disediakan dan telah menetapkan
prosedur dan tindakan terhadap mereka yang mencederakan. Mulai dari Seksyen 319, ia
menyentuh pelbagai perundangan terhadap mereka yang mencederakan. Antara seksyen yang
menarik ialah peruntukan di bawah Seksyen 320 iaitu cedera parah; Seksyen 321 dengan
sengaja menyebabkan cedera dan Seksyen 322 dengan sengaja menyebabkan cedera parah.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa terdapat peruntukan di bawah Seksyen
350 iaitu kekerasan jenayah yang menetapkan bahawa barang siapa dengan sengaja
menggunakan kekerasan kepada seorang lain dengan tidak kerelaan, maka ia telah melakukan
atau dikatakan telah menggunakan kekerasan jenayah.
Sebagai contoh dalam Kanun Keseksaan, jika seorang guru besar telah menjalankan
budi bicaranya dengan munasabah sebagai guru sebat seorang pelajar, maka guru tersebut
tidak menggunakan kekerasan jenayah kepada pelajarnya kerana guru itu bermaksud hendak
menyebabkan ketakutan dan kegusaran, ia tidak menggunakan kekerasan dengan menyalahi
undang-undang. Bagaimanapun, jika murid berkenaan mengalami kecederaan yang teruk
akibat dipukul oleh guru berkenaan, maka ibu bapa dinasihatkan membawa anaknya
berjumpa dengan doktor di hospital kerajaan untuk tujuan rawatan dan laporan kesihatan. Ini
harus disusuli dengan laporan polis.
Dalam konteks tindakan undang-undang, ibu bapa boleh mengambil tindakan
prosedur undang-undang jenayah (criminal offence) ataupun sivil di bawah Undang-undang
Tort. Di bawah prosedur Undang-undang Tort, tindakan yang dibawa oleh ibu bapa sebagai
plaintif boleh menuntut pampasan bagi pihak anaknya daripada guru yang memukul di
mahkamah sivil.
Hal ini jelas apabila Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
sendiri mengatakan bahawa kementeriannya tidak akan berkompromi terhadap guru yang
memukul pelajar sekolah ketika mengajar. Oleh sebab itulah guru-guru dinasihatkan agar
tidak membuat tindakan terburu-buru dan mengikut emosi dalam menghukum pelajar.

Penyelesaian Bersama
Berita guru memukul murid sering menjadi bahan berita sensasi pihak media tetapi
adakah pihak media dan masyarakat bersimpati dengan guru sekiranya kereta mereka pula
yang dirosakkan oleh pelajar-pelajar?
Jelas sekali gurulah yang lebih rela memikul tanggungjawab mendisiplin dan
menghadapi pelbagai risiko keganasan pelajar sehingga diri sendiri yang tertekan. Layaknya
mereka disanjung atas kesudian mereka bukan dikutuk sebagai pendera.
Justeru itu, semua pihak termasuk ibu bapa dan media perlulah bersikap lebih adil dan
rasional apabila berdepan dengan kes guru memukul anak mereka. Tidak ada seorang guru
pun yang mahu memukul muridnya sesuka hati tanpa sebarang sebab. Guru adalah pendidik
dan berpendidikan. Mereka tahu kesan jika mereka memukul murid.
Ibu bapa dan masyarakat harus sedar bahawa tugas guru bukan sekadar memberi ilmu
pengetahuan dan mendidik. Lebih dari itu, mereka bertanggungjawab mendisiplinkan para
pelajar, satu proses pembudayaan yang jarang diterima pelajar sewaktu di rumah. Oleh itu,
isu guru mendera dan bertindak ganas adalah masalah yang perlu diberi perhatian semua
pihak. Seterusnya penyelesaian bersama hendaklah ada terutama di antara guru, ibubapa,
pelajar dan sekolah agar masalah-masalah ini dapat diselesaikan dengan cara terbaik.

http://rafidahshapuan.wordpress.com/2008/02/18/kes-kes-keganasan-yang-dilakukan-guru/

Anda mungkin juga menyukai