Anda di halaman 1dari 6

CERPEN : GULAI LABU IKAN KERING

KARYA : AZRINA NUR RUSLY



Hujan yang menyimbah bumi semenjak pagi masih belum ada tanda-tanda mahu berhenti. Jika
berterusan begini sehingga ke malam, sudah tentu paras air di Sungai Merah akan naik. Pak
Dol dan Mak Wan keresahan di serambi rumah papan bertiang tinggi itu. Bukan Pak Dol dan
Mak Wan risaukan paras air yang akan naik dan berkemungkinan boleh menyebabkan banjir di
kampung itu. Pak Dol dan Mak Wan sebenarnya risaukan satu-satunya anak tunggal mereka,
Tajul, yang keluar berjumpa kawannya semenjak petang tadi.
Tajul berusia dalam lingkungan empat belas tahun. Masih bersekolah di tingkatan dua
Sekolah Menengah Kampung Sungai Merah dan berulang alik ke sekolah hanya dengan
berjalan kaki sahaja. Sekolah Menengah Kampung Sungai Merah didirikan tidak jauh dari
penempatan penduduk, bertujuan memberi kemudahan kepada anak-anak penduduk Kampung
Sungai Merah menimba ilmu pengetahuan yang diperlukan untuk keperluan hidup mereka di
masa hadapan. Setiap hari Tajul akan berjalan kaki ke sekolah bersama-sama Johari, sahabat
baik yang juga merupakan rakan sekelasnya. Manakala di sebelah petang pula, selepas
mereka makan dan solat di rumah masing-masing, mereka akan belajar bersama-sama di
rumah Johari.
"Bang, ke mana saja si Tajul ni, dari tadi tak balik-balik lagi. Wan risaulah bang.
Selalunya waktu-waktu begini, anak kita tu dah ada di rumah. Tu ha, lauk gulai labu dengan
ikan kering yang dimintanya Wan masakkan tadi, dah hampir sejuk di atas meja tu. Wan
risaulah bang." Mak Wan mula menyuarakan kebimbangan yang bertandang di dalam hatinya.
Memang benar, anak tunggalnya itu tidak pernah pulang lewat ke rumah. Apatah lagi musim
hujan sebegini. Mulalah di hati Mak Wan timbul perkara-perkara yang tidak enak.
Pak Dol mengalihkan pandangan daripada wajah Mak Wan ke halaman. Suasana yang
dingin dan kelam itu turut menimbulkan rasa kebimbangan di hati Pak Dol. Berbohonglah jika
dikatakan Pak Dol tidak merasa apa-apa tentang kelewatan itu. Jika hendak diikutkan hati,
mahu sahaja Pak Dol meredah hujan yang masih menggila itu mencari anak kesayangannya.
Sebagaimana isterinya, Mak Wan menyayangi Tajul, lebih lagi dalam hati Pak Dol kasih-
sayangnya kepada anak tunggal kesayangannya itu. Tajul itulah satu-satunya zuriat yang dia
perolehi semenjak bernikah dengan Mak Wan. Itupun setelah lebih sepuluh tahun mereka
mendirikan rumahtangga dan setelah puas mereka berubat ke sini dan ke sana, baharulah
mereka dikurniakan seorang cahayamata sebagai penyeri hidup mereka.
Hujan masih belum berhenti. Kebimbangan di dalam hati Pak Dol dan Mak Wan makin
memuncak. Tanpa berlengah, Pak Dol bangun dari sila lalu terus masuk ke rumah. Tidak lama
kemudian, Pak Dol keluar semula bersama dua kaki payung dan sebuah lampu suluh di
tangannya. Sehelai baju sejuk turut membaluti tubuh Pak Dol yang semakin dimamah usia.
"Abang nak ke rumah Johari sekejap ni Wan. Nak tengok kalau-kalau ada anak kita di
situ." Usai berkata, Pak Dol terus sahaja menuruni anak tangga. Selipar yang sudah hampir
hilang warnanya disarungkan ke kaki. Bukannya Pak Dol tidak mampu membeli selipar baharu,
tetapi untuk apa membazir jika yang lama masih elok dan boleh digunakan lagi.
"Wan nak ikut bang!" Mak Wan bergegas bangun hendak masuk ke dalam. Sudah tentu
hendak mengambil sekaki payung lagi dan mengambil selendang menutupi kepalanya yang
hanya dilitupi anak tudung. Namun belum sempat langkah Mak Wan sampai ke muka pintu, Pak
Dol sudah bersuara dari kaki tangga.
"Tak payahlah awak ikut. Awak tunggu saja di rumah. Manalah tahu kalau sekejap lagi
anak kita tu balik pula. Biar abang seorang saja yang pergi ke rumah Johari. Lagipun hujan ni.
Awak tu bukannya sihat sangat. Abang pergi dulu." Tegas suara Pak Dol sebelum terus
melangkah meninggalkan Mak Wan sendirian mematikan keinginan Mak Wan untuk turut sama
menjejaki Tajul di rumah Johari.
Mak Wan hanya mampu memandang tubuh Pak Dol yang makin hilang ditelan
kegelapan malam. Apabila tubuh Pak Dol sudah tidak kelihatan, Mak Wan masuk ke rumah dan
mengunci pintu. Bahaya jika Mak Wan terus berada di luar bersendirian. Walaupun belum
pernah berlaku kejadian tidak diingini di Kampung Sungai Merah, namun sebagai manusia yang
dikurniakan akal fikiran yang waras, Mak Wan tidak mahu mengambil sebarang risiko.

Mak Wan yang sudah hampir terlena di kerusi rotan yang terdapat di ruang tengah
rumah bergegas ke pintu apabila mendengar suara Pak Dol yang sedang galak mengetuk pintu
dari luar. Terdorong sedikit tubuh Mak Wan ke belakang apabila dirempuh oleh tubuh Pak Dol
sejurus pintu terbuka. Wajah Pak Dol kelihatan serba-salah. Tanpa menunggu lama, terus
sahaja Mak Wan memuntahkan soalan.
"Lama abang pergi! Macam mana bang? Mana Tajul? Ada dia di rumah Johari? Kenapa
abang tak bawa dia balik sekali?" Bertubi-tubi soalan menyentuh gegendang telinga Pak Dol
yang tidak senang duduk di kerusi. Pak Dol merasa serba-salah. Hendak diberitahu akan
keadaan sebenar, bimbang isterinya itu tidak dapat menerima ketentuan. Jika tidak diberitahu,
tidak sampai pula rasa di hati Pak Dol.
"Wan, awak sabar ya dengan apa yang abang nak cakapkan ni." Degup jantung Mak
Wan sudah tidak sekata. Hatinya dipagut bimbang yang makin keterlaluan. Sudahlah itu sahaja
zuriat yang dia ada. Janganlah berlaku perkara buruk kepada anak kesayangannya itu.
"Apa dia bang? Kalau Tajul tidur di rumah Johari, saya tak kecik hatipun. Biarkanlah dia.
Mungkin dia nak mengulangkaji dengan Johari agaknya. Tak apalah bang, biar saya ke dapur
kejap. Saya nak simpan lauk gulai labu dengan ikan kering tu ke dalam petiais. Esok boleh
dipanaskan." Mak Wan terus melangkah ke dapur, cuba meninggalkan Pak Dol di ruang tengah
rumah sendirian.
Pak Dol mengikuti langkah Mak Wan ke dapur. Hatinya bagai disayat sembilu apabila
mendengar kata-kata isterinya itu tadi. Tentu ada sedikit rasa terkilan di hati isterinya itu. Pak
Dol dapat merasainya melalui kata-kata yang diluahkan oleh isterinya itu tadi. Gulai labu dan
ikan kering itu kegemaran Tajul dan isterinya sudah bersusah-payah memasaknya senja tadi.
Namun jika Mak Wan tahu perkara yang sebenarnya terjadi, sudah tentu isterinya itu bertambah
sedih.
Mak Wan yang sudah selesai menyimpan gulai labu dan ikan kering ke dalam petiais
menyedari riak serba-salah di wajah Pak Dol. Ditarik kerusi yang kosong di sebelah tempat
yang diduduki Pak Dol. Disentuh lembut tangan Pak Dol yang diletakkan di atas meja.
"Kenapa ni bang? Semenjak abang masuk ke rumah tadi sampailah sekarang, muka
abang nampak lain macam saja. Ada apa-apa yang dah berlaku ke bang?" Lembut Mak Wan
melontar pertanyaan. Pak Dol menoleh sekilas ke wajah Mak Wan. Terlihat sinar mengharap di
mata Mak Wan. Pak Dol nekad. Biarlah dia berterus-terang sahaja. Sebentar tadipun hampir-
hampir sahaja dia memberitahu perkara yang sebenar sebelum dicantas bicaranya oleh Mak
Wan.
"Wan, sebenarnya anak kita tak ada di rumah Johari." Berubah riak wajah Mak Wan.
Terkejut bukan kepalang apabila mendengar kata-kata yang baru sahaja disampaikan oleh Pak
Dol.
"Tak ada? Habis tu, ke mana dia bang?" Mak Wan sudah mula menangis. Inilah yang
paling tidak disukai oleh Pak Dol. Mak Wan tidak pandai mengawal perasaannya. Bimbang pula
Pak Dol meneruskan ceritanya. Bimbang isterinya itu jatuh sakit pula. Tetapi jika tidak
diberitahu, bimbang perkara lain pula yang berlaku.
"Wan, Johari kata, petang tadi lepas mereka siapkan kerja sekolah, mereka pergi ke tepi
sungai. Tajul tergelincir jatuh ke sungai. Johari takut. Dia lari balik ke rumah." Bicara Pak Dol
terhenti apabila Mak Wan sudah melurut jatuh daripada kerusi yang didudukinya. Mak Wan
pengsan. Segera Pak Dol merenjiskan air ke muka Mak Wan hingga tersedar.
"Wan, awak jangan bimbang. Saya dah beritahu orang kampung. Tadipun kami dah cari
sekejap di sungai tapi hari kan masih hujan. Paras air Sungai Merah dah naik. Lagipun gelap di
situ. Sudah mereka nak mencari. Esok, bila hari dah terang sikit, kita dengan penduduk
kampung akan cari Tajul sekali lagi. Sudahlah, awak pergilah tidur dulu. Nanti kalau awak sakit,
susah." Mak Wan langsung tidak berganjak. Hanya mematung diri di atas lantai. Otaknya masih
ligat memikirkan berita yang baru didengari. Walang hatinya. Satu-satunya anak yang
dikandung sembilan bulan sepuluh hari di dalam rahimnya, yang susah payah dilahirkan dan
dibesarkan dengan sepenuh kasih-sayang, kini hilang di Sungai Merah. Entah apalah nasib
anaknya itu. Entahkan hidup entahkan mati. Tanpa sedar, airmata mengalir di pipi Mak Wan.
Mak Wan teresak, makin lama makin kuat dan akhirnya bertukar menjadi raungan hiba.
********
Pagi-pagi lagi warung Kak Limah Janda sudah dipenuhi orang kampung. Tidak pernah
pula semeriah itu keadaannya, apatah lagi jika hujan pada malam sebelumnya. Selalunya
mereka akan melekat di rumah, bersarapan di rumah jika dalam keadaan sebegitu namun
berlainan pula hari ini. Ramainya seperti hendak menyambut pesta. Tidak ketinggalan juga Tok
Penghulu yang turut sama memeriahkan suasana. Tidak menang tangan Kak Limah Janda
melayan permintaan pelanggannya pagi itu.

Dari kejauhan kelihatan seorang lelaki berjambang nipis berjalan perlahan menghampiri
warung Kak Limah Janda. Lelaki bernama Wak Herman itu berasal daripada Jawa Barat,
Indonesia tetapi sudah lama bermastautin di Kampung Sungai Merah. Rumah Wak Herman
tidak jauh daripada Sungai Merah. Memang sudah menjadi rutin Wak Herman pada setiap pagi
untuk datang bersarapan di warung Kak Limah Janda. Tiada terdetik niat lain di hati Wak
Herman dengan berbuat begitu, walaupun sudah banyak cakap-cakap yang kurang manis
sampai ke pendengarannya, namun sedikitpun tidak dipedulikannya. Hubungan baiknya
dengan Kak Limah Janda hanyalah sebagai penjual dan pembeli sahaja, tidak lebih dari itu.
Wak Herman mengambil tempat berhampiran tempat membancuh air. Usai meminta
segelas kopi 'o' pekat, Wak Herman mula memakan nasi lemak yang siap dibungkus yang
diletakkan di dalam pinggan di atas meja. Sambil Wak Herman makan, telinganya menangkap
perbualan yang agak menarik di meja sebelahnya. Seorang budak muda sedang berbual
tentang kehilangan Tajul di Sungai Merah. Wak Herman terus memasang telinga tetapi hanya
seketika sahaja apabila kedengaran suara Tok Penghulu mengajak semua penduduk kampung
yang ada ke Sungai Merah untuk menyambung kerja-kerja pencarian yang terhenti tadi malam.
Wak Herman meneruskan suapannya. Air kopi 'o' yang berasap nipis dihembus sedikit sebelum
diminum. Usai menjelaskan bayaran, Wak Herman segera berlalu dari situ.
Penduduk kampung Sungai Merah masih meneruskan pencarian. Beberapa orang anak
muda diarahkan untuk menyelam ke dasar sungai. Mujur pagi ini hujan sudah berhenti dan
paras air kembali ke asalnya. Sebahagian lagi penduduk kampung menjalankan pencarian di
sekitar tebing sungai dan di celah-celah semak yang ada di situ. Manalah tahu jika Tajul
berenang naik ke tebing dan terdampar di celahan senduduk.
Mak Wan di tepi tebing sudah bengkak mata menangis dari tadi malam. Tidak
sepicingpun dia dapat melelapkan matanya. Jika diikutkan rasa hati, mahu sahaja dia pergi ke
Sungai Merah malam tadi untuk mencari sendiri anak kesayangannya itu. Mak Som, ibu Johari
berada di sisi Mak Wan, menemani dan menenangkannya. Terdetik juga rasa bersalah di hati
Mak Som kerana Johari lari balik ke rumah selepas Tajul jatuh ke Sungai Merah malahan
anaknya itu turut merahsiakannya akibat ketakutan.
Semua orang sibuk menjalankan tugas masing-masing. Mak Wan masih terhenjut-
henjut bahu menangis. Mak Som pula sibuk memujuk dan menenangkan Mak Wan. Tok
Penghulu sibuk memerhatikan anak-anak buahnya mencari Tajul. Tidak seorangpun perasan
akan Wak Herman yang sedang menggendong seseorang di atas tangannya. Wak Herman
berhenti di belakang Mak Som dan Mak Wan.


"Assalamualaikum!" Mak Som segera menjawab salam yang diberi. Mak Wan pula
langsung tiada kedengaran suara yang keluar melainkan esak tangis sahaja semenjak tadi.
Mak Som segera berpaling. Dilihatnya Wak Herman berdiri tegak sambil menggendong
seseorang yang tidak sedarkan diri dan berbalut di dahi. Segera Mak Som memberitahu Mak
Wan akan kehadiran Wak Herman. Mak Wan bangun dan berlari ke arah Wak Herman. Dipeluk
tubuh Tajul yang terkulai yang berada di atas gendongan Wak Herman. Bercucuran airmata
Mak Wan. Sangkanya anaknya itu sudah meninggal dunia.

Usaha mencari dihentikan setelah Wak Herman membawa Tajul ke situ. Tidak terhingga
bersyukurnya Pak Dol dan Mak Wan akan kebesaran Allah mendatangkan pertolongan di
dalam bentuk itu kepada mereka. Aroma gulai labu dan ikan kering akan kembali memenuhi
ruang dapur Mak Wan dan Pak Dol selepas ini.