Anda di halaman 1dari 9

Sejarah perkembangan Bahasa melayu.

Suatu fakta yang perlu kita ingati dalam usaha memperkasa Bahasa Melayu adalah bahasa
ini mempunyai kekuatannya yang tersendiri dan telah terbukti sebagai bahasa yang menjadi
tulang belakang pembinaan ketamadunan alam Melayu. Ia juga diangkat menjadi bahasa
lingua franca (sebelum abad ke 13 lagi) di seluruh kepulauan Melayu (sebelum kedatangan
Barat). Bahasa ini juga menjadi bahasa pengantar kepada perkembangan agama Hindu dan
Islam di alam Melayu yang kemudiannya memperlihatkan ia menerima pengaruh bahasa
Sanskrit dan Arab. Oleh kerana bahasa ini ditutur oleh setiap pedagang yang datang ke
alam melayu khususnya di Melaka, ia juga menjadi bahasa perdagangan, pendidikan dan
sebagainya. Bagaimanapun keunggulan dan kemegahan bahasa Melayu ini mulai merudum
dan jatuh taraf serta statusnya di zaman British. Ia tidak lagi menjadi bahasa pengantaraan
tetapi hanya sebagai bahasa pasar. Kesan dari dasar pecah dan perintah oleh British telah
membawa perubahan kepada sistem politik, sosial dan budaya. Melalui sistem pendidikan
vernakular, bahasa Inggeris menjadi bahasa utama di sekolah-sekolah Inggeris yang mana
tahap pendidikannya berakhir hingga ke universiti. Menurut Raja Mukhtaruddin Raja Mohd.
Dain dalam Pembinaan Bahasa Melayu Perancangan Bahasa di Malaysia (1982: 6)
berbanding sekolah Melayu yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar,
ia berakhir setakat sekolah rendah (6 tahun sahaja) yang hanya menjadikan anak-anak
Melayu lebih baik sedikit dari ibu bapa mereka dan terus mewarisi ekonomi yang rendah.
Bahasa Cina dan Tamil juga menjadi saingan bahasa Melayu apabila semakin ramai imigran
dari India dan China masuk ke Tanah Melayu dan ia dikembangkan lagi melalui sistem
pendidikan yang dibiayai oleh mereka sendiri.

Bahasa Melayu diangkat menjadi bahasa kebangsaan selepas negara mencapai
kemerdekaan dan berkerajaan sendiri. Sebelum merdeka, Malaya yang ditadbir oleh British
menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama tetapi setelah mencapai
kemerdekaan, maruah bangsa perlu dipelihara dan bangsa yang bermaruah mesti
mempunyai bahasa kebangsaan sendiri. Oleh sebab itu Perdana Menteri Malaysia pertama,
Tunku Abdul Rahman menyatakan (Abdullah Hassan, 1997):,

kita berhak menghendaki bahasa kita sendiri. Apabila kita mempunyai bahasa kebangsaan
sendiri, kita akan bersatu dan mempunyai watak sendiri. Untuk kepentingan kebangsaan,
bahasa penjajah perlu digantikan dengan sebuah bahasa peribumi.

SEJARAH BAHASA MELAYU

Bahasa Melayu dikategorikan sebagai bahasa Polinesia iaitu daripada keluarga bahasa
Austronesia yang telah digunakan di wilayah Indonesia, Malaysia dan persekitarannya lebih
dari 1000 tahun yang lalu. Bahasa Melayu dikatakan berasal dari Sumatera Selatan iaitu di
sekitar Jambi dan Palembang. Bahasa Melayu kuno yang terawal dijumpai adalah pada batu
bersurat bertarikh 682M yang dijumpai di Sumatera Selatan. Bahasa Melayu kini menjadi
bahasa kebangsaan Malaysia, Indonesia, dan Brunei , serta salah satu bahasa rasmi di
Singapura . Di Indonesia bahasa Melayu kini dipanggil bahasa Indonesia dan di Malaysia,
bahasa Melayu pula dipanggil bahasa Malaysia. Selain daripada empat negara tersebut,
penduduk di Selatan Thailand, Filipina, Kemboja, Vietnam, Sri Lanka, dan Afrika Selatan
turut menuturkan bahasa Melayu
(http://ms.wikipedia.org/wiki/Bahasa_Melayu#Sejarah_Bahasa_Melayu).

Menurut statistik penggunaan bahasa di dunia, penutur bahasa Melayu dianggarkan
berjumlah lebih 300 juta (bersama penutur bahasa Indonesia) dan merupakan bahasa
keempat dalam turutan jumlah penutur terpenting bagi bahasa-bahasa di dunia selepas
bahasa Mandarin, bahasa Inggeris dan bahasa Hindi/Bahasa Urdu. Sebanyak 70,000 orang
mampu bertutur dalam bahasa Melayu di Sri Lanka, manakala di China terdapat radio dalam
bahasa Melayu. Bahasa Melayu turut diajar di universiti-universiti di United Kingdom,
Amerika Syarikat, Australia, Belanda, China, Jerman, New Zealand dan lai-lain lagi. Malah
bahasa Melayu juga diajar pada peringkat sekolah di Australia.

Di Malaysia, bahasa Melayu mengalami perubahan nama beberapa kali. Pada awal 1970-
an, Bahasa Melayu dinamakan Bahasa Malaysia atas sebab politik. Namun kemudiannya
nama "Bahasa Melayu" digunakan semula terutama dalam pendidikan. Bermula tahun 2007,
bahasa kebangsaan Malaysia dinamakan kembali kepada Bahasa Malaysia sebagai simbol
bahawa bahasa ini adalah bahasa untuk semua dan tidak mengira kaum. Di Indonesia,
bahasa Melayu juga dikenali sebagai Bahasa Indonesia atas sebab persatuan dan kesatuan
bangsa Indonesia iaitu Sumpah Pemuda tahun 1928. Di Singapura dan Brunei, Bahasa
Melayu tidak mengalami sebarang perubahan nama.

Menurut Asmah Hj Omar (1984: 1-2), sebelum 1969, bahasa kebangsaan ini dikenali
sebagai bahasa Melayu tetapi sesudah peristiwa 13 Mei 1969 bahasa ini diberi nama baru
tetapi nama baru ini umpama pakaian baru yang dikenakan oleh orang perseorangan untuk
tujuan tertentu tanpa menimbulkan sebarang perubahan pada dirinya. Nama bahasa
Malaysia mengambil tempat bahasa Melayu kerana timbul hujah yang menyatakan bahasa
Melayu seharusnya menjadi bahasa orang Melayu kerana bahasa ini adalah bahasa mereka
dan bukan bahasa rakyat Malaysia seluruhnya (sedangkan bahasa Inggeris bukanlah
bahasa orang Inggeris semata-mata). Rusuhan kaum 1969 merupakan dorongan ke arah
pertukaran nama bahasa kebangsaan dari bahasa Melayu ke bahasa Malaysia. Bahasa
kebangsaan sebenarnya adalah bahasa yang dimiliki oleh setiap orang dan kepunyaan
setiap warganegara Malaysia, dan sepatutnya tidak timbul ia bahasa kaum tertentu dan
dipaksa ke atas kaum lain. Stigma inilah yang perlu dan wajib dihapuskan.

Pemilihan bahasa kebangsaan lazimnya penuh dengan sengketa. Kaum etnik yang
mendiami negara ini bagaimanapun bersedia untuk bersatu melalui satu bahsa kebangsaan.
Penerimaan bahsa Melayu sebagai bahasa kebangsaan berlaku sewaal 1947. Sebuah
Perlembagaan Cadangan telah dibentuk oleh All Malaya Council of Joint Action (AMCJA)
yang mewakili kaum bukan Melayu dan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) yang mewakili
orang Melayu. Mereka mencadangkan supaya bahsa Melayu dijadikan bahsa kebangsaan
tunggal negara. Bagaimanapun, penggunaan bahasa-bahasa lain tidak dihalang (Abdullah
Hassan 1997: 2). Hasrat ini menjadi kenyataan apabila bahasa Melayu dimartabatkan
sebagai bahasa kebangsaan dalam Artikel 152 Perlembagaan Malaysia. Termetrinya
bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, maka rakyat Malaysia yang
terdiri daripada pelbagai etnik serta berbeza budaya, agama dan bahasa cuba untuk
disatukan melalui bahasa.

Inilah antara perancangan sosial yang dibuat oleh pemimpin negara untuk menyatukan
masyarakat majmuk di Malaysia. Bahasa kebangsaan menjadi bahasa rasmi yang
digunakan untuk menyampaikan pendidikan dan mentadbir negara. Oleh sebab bahasa
kebangsaan Malaysia adalah bahasa Melayu maka pada bahasa Melayu itulah terletaknya
teras maruah bangsa Malaysia.

BAHASA MELAYU DAN TULISAN JAWI

Sejarah mencatatkan bahawa perkembangan bahasa Melayu diperkukuhkan lagi dengan
penggunaan tulisan Jawi apabila bahasa Melayu berinteraksi dengan perkembangan Islam
di nusantara dan perluasan penggunaan bahasa Arab. Perkembangan media di negara ini
juga memperlihatkan penggunaan tulisan jawi yang meluas. Malah tulisan jawi turut dikuasai
oleh orang bukan Melayu. Namun setelah kemasukan dan pemerintahan British di Tanah
Melayu, memperlihatkan perkembangan dan penggunaan tulisan rumi yang semakin
meluas, sedikit demi sedikit penggunaan tulisan jawi semakin terpinggir. Malah pada hari ini
kaum Melayu sendiri ada yang bermasalah dalam penguasaan tulisan jawi ini. Justeru,
usaha kerajaan (melalui J-Qaf) dalam usaha maemartabatkan tulisan jawi juga diharap
diberi sokongan yang sepenuhnya.

DASAR DAN PELAKSANAAN BAHASA KEBANGSAAN SEBAGAI ALAT PERPADUAN

Bahasa kebangsaan bermaksud bahasa yang melambangkan identiti dan kedaulatan
negara. Fungsi utama bahasa itu adalah menyatukan rakyat. Bahasa rasmi pula bermaksud
bahasa yang digunakan dalam situasi rasmi, yakni dalam urusan pemerintahan dan
pentadbiran, sistem pendidikan negara, urusan perdagangan dan perusahaan, upacara
rasmi dan sebagainya. Melihat kepada fungsi bahasa rasmi itu maka bahasa kebangsaan
juga adalah bahasa rasmi (Asmah Hj Omar 1985: 27). Dalam konteks Malaysia, dari tahun
1957 hingga 1969 bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan tetapi dalam urusan
rasmi dalam pemerintahan dan sebagainya, bahasa Inggeris masih digunakan di samping
bahasa Melayu. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa,

bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan
sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen: dengan syarat
bahawa-

a). Tiada sesiapa pun boleh dilarang atau ditahan daripada menggunakan (bagi apa-apa
maksud, lain daripada maksud rasmi), atau daripada mengajar atau belajar apa-apa bahasa
lain; dan
b). Tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menyentuh hak Kerajaan Persekutuan atau hak
mana-mana Kerajaan Negeri bagi memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian
bahasa mana-mana kaum lain dalam Persekutuan.

Berdasarkan peruntukkan tersebut, bahasa Melayu memiliki hak dan martabatnya dalam
perlembagaan sementara bahasa-bahasa bagi kaum lain juga dipelihara dan tidak dinafikan
haknya. Bahasa Melayu kemudiannya memikul tugas sebagai bahasa rasmi negara, bahasa
pentadbiran, bahasa perhubungan awam dan sebagai bahasa pengantar di sekolah dan
institusi pengajian tinggi serta menjadi bahasa ilmiah (Nik Safiah Karim 1986: 1).
Rasionalnya bahasa Melayu itu diangkat menjadi bahasa kebangsaan adalah kerana ia
adalah bahasa lingua franca yang digunakan di Nusantara sejak berabad lamanya sebelum
kedatangan penjajah.

Menurut Abdullah Hassan (1987: 25) dalam Isu-isu Perancangan Bahasa: Pengintelektualan
Bahasa Malaysia menyatakan , selepas 1969 kerajaan dengan lebih tegas menjadikan
pembelajaran bahasa Malaysia lebih teratur. Langkah tersebut ialah dengan melaksanakan
bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah secara berperingkat-
peringkat. Walaupun dalam Penyata Barnes 1951 ada menyatakan perlunya menggunakan
bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan meletakkan bahasa Melayu setaraf dengan
bahasa Inggeris di sekolah-sekolah tetapi ia tidak melibatkan penggunaannya di peringkat
sekolah menengah (Asmah Hj Omar 1984: 18-19). Melalui Penyata Razak 1956
menegaskan lagi kesungguhan kerajaan dan pemimpin (Jawatankuasa yang diketuai oleh
Tun Abdul Razak Hussain yang menjadi Menteri Pelajaran ketika itu) untuk
memperkukuhkan bahasa kebangsaan apabila penyata itu menyebut perlunya dibentuk
sukatan pelajaran yang sama bagi semua sekolah walaupun bahasa pengantar yang
berbeza. Penyata itu juga menyebut bahasa Melayu perlu diajar di semua sekolah
(termasuk SRJK Cina dan Tamil) dan dijadikan syarat bagi sekolah-sekolah memperoleh
bantuan kewangan dari kerajaan. Malah sebagai daya penarik kepada bahasa Melayu,
Penyata Razak telah memberi nilai ekonomi kepada bahasa itu. Hal ini tidak pernah berlaku
dalam sejarah bahasa Melayu. Enam perkara yang dijangka menarik minat rakyat terutama
yang bukan Melayu adalah seperti berikut:

1. Kelayakan untuk mendapat jawatan kerajaan pada beberapa tingkatan
2. Akan dipertimbangkan untuk memasuki sekolah menengah dan satu perkara mustahak
dalam semua peperiksaan yang dianjurkan oleh kerajaan.
3. Syarat bagi sesiapa yang hendak mendapatkan biasiswa dari wang orang ramai (public
funds)
4. Boleh diadakan bonus pada beberapa tingkatan dalam jawatan kerajaan untuk
menggalakkan supaya orang ramai segera memperoleh bahasa itu
5. Wang bantuan diberi kepada sekolah-sekolah (yang menggunakan bahasa Melayu), juga
bantuan kewangan ke pada sekolah bergantung pada kemajuan bahasa Melayu
6. Bahasa Melayu dijadikan satu perkara penting dalam darjah latihan bagi guru dan dalam
peperiksaan.

Sementara itu, laporan Rahman Talib 1960 memperkukuhkan lagi kedudukan bahasa
Melayu di sekolah apabila ia disarankan penggunaannya hingga ke peringkat menengah
dan pengajian tinggi. Peperiksaan Sijil Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu telah diadakan
buat pertama kalinya dalam bahasa Melayu pada tahun 1962. Sementara di peringkat
universiti pula, Universiti Malaya telah menggunakannya sejak awal penubuhannya pada
tahun 1959 tetapi ia terbatas kepada kursus-kursus yang ditawarkan oleh Jabatan
Pengajian Melayu. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang ditubuhkan pada 1970 juga
telah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar malah matlamat
penubuhannya juga adalah untuk memperkasa bahasa kebangsaan itu sendiri.

BAHASA SEBAGAI ALAT PERPADUAN DAN PEMBANGUNAN

Taraf bahasa Malaysia dari segi ekonomi dan perjawatan juga dipertingkatkan. Kelulusan
kepujian bahasa Malaysia di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia menjadi satu keperluan bagi
mendapat jawatan ataupun untuk diserap ke jawatan tetap. Kelulusan Bahasa Malaysia
pada peringkat kemahiran bertutur juga menjadi syarat untuk lulus dalam peperiksaan ijazah
di universiti. Walaupun peraturan ini kemudiannya menyebabkan ramai yang gagal dalam
SPM dan menerima banyak bantahan tetapi kementerian Pelajaran tetap tegas
melaksanakannya. Buku teks yang dicetak dalam bahasa Malaysia juga ditambah dengan
kerjasama DBP.

Di kalangan pengamal media pula, kerajaan memperluaskan penggunaan bahasa Malaysia
dalam siaran radio dan televisyen atau alat sebaran am yang lain. Hanya masalah yang
masih belum selesai dari dahulu hingga kini ialah penggunaan atau struktur ayat yang tidak
tepat dan bercampur aduk antara bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia pada papan iklan
dan papan tanda. Secara tidak langsung ia menjatuhkan martabat bahasa itu sendiri di
samping tidak pekanya masyarakat dalam menggunakan struktur yang betul dalam bahasa
Malaysia.

Jika dilihat dalam bidang kewangan dan perdagangan, bahasa Melayu bukan sahaja
menjadi bahasa lingua franca tetapi juga bahasa perdagangan yang membolehkan
pedagang-pedagang Arab, Cina, India dan orang Melayu berurus niaga. Tetapi pada zaman
Kerajaan Melayu Melaka mata wang syiling yang dikeluarkan dicetak dengan nama Sultan
yang memerintah dan gelaran Islam baginda di sebelah lagi dengan menggunakan tulisan
Arab. Jadi bahasa Melayu kurang digunakan lagi pada mata wang ketika itu. Pada zaman
British pula, 1938 Lembaga Suruhanjaya Mata wang Malaya ditubuhkan dan telah
mengeluarkan wang kertas menggunakan dua bahasa iaitu bahasa Inggeris dan bahasa
Melayu tulisan Jawi. Apabila British kembali ke Tanah Melayu selepas jepun kalah, bahasa
Melayu tulisan Jawi sekali lagi digunakan dalam urusan kewangan (walaupun sedikit
sahaja).Wang-wang kertas pertama telah dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia pada
1967 yang melambangkan identiti negara dan menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya.
Namun dalam urusan bank, penggunaan bahasa Inggeris cukup meluas, ditambah bank-
bank tersebut pula adalah milik orang asing. Walaupun ada Akta bahasa Kebangsaan 1967
tetapi ia tidak melibatkan urusan pihak swasta (termasuk sektor kewangan dan perbankan)
(Ahmad Mohd Yusof 1995:35-36).

PERANAN BADAN KERAJAAN MEMPERKASA BAHASA

Agensi-agensi kerajaan adalah jentera pelaksana dasar bahasa Melayu. Antara badan
penting yang ditubuhkan ialah Dewan Bahasa dan Pustaka. DBP (atau nama asalnya Balai
Pustaka) ditubuhkan 22 Jun 1956 untuk menggerak dan memartabatkan bahasa Melayu.
Melalui Ordinan Dewan bahasa dan Pustaka 1959, DBP dinaikkan taraf lagi menjadi sebuah
badan berkanun. Dengan penaikan taraf ini, DBP diberi kuasa:
(http://ms.wikipedia.org/wiki/Dewan_Bahasa_dan_Pustaka):

Mengubal dasarnya yang khusus
Menyusun rancangan pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera
Menjalankan kegiatan penerbitan dan perniagaan buku yang serupa dengan sektor
swasta.

Pada awal penubuhannya, DBP ditugaskan untuk mencipta ejaan, istilah, kamus dan
tatabahasa, juga menyatukan bahasa Melayu serantau serta mengembangkan sastera
Melayu. Ia juga ditugaskan untuk membawa masuk ilmu ke dalam bahasa Melayu (Abdullah
Hassan Januari Mac 1999:115). Pada 14 September 1993 pula, Institut Terjemahan Negara
Malaysia Berhad (ITNMB) ditubuhkan untuk mengambil alih tugas DBP bagi
menterjemahkan buku ilmu.

Selain DBP, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga mempunyai tanggung jawab untuk
memperkasakan bahasa Melayu kerana merekalah yang memberi kelulusan papan tanda
atau papan iklan. Dalam hal ini mereka perlu bekerjasama dan meminta khidmat nasihat
pihak DBP dalam penggunaan bahasa yang betul.

ISU DAN CABARAN BAHASA MELAYU

Mendepani era kepesatan teknologi maklumat dan hegemoni bahasa Inggeris, bahasa
ibunda adalah antara yang menerima kesan yang mendalam. Antara isu dan cabaran dalam
memperkasa dan memartabatkan bahasa Melayu ialah:

1. Penggunaan struktur bahasa Melayu yang tidak betul atau penggunaan bahasa Inggeris
secara meluas pada papan tanda iklan.
2. Penggunaan bahasa Inggeris dalam pelbagai bidang ilmu di sekolah hingga ke universiti
3. Wujud pihak tertentu yang cuba mempertikaikan kedudukan atau mencabar bahasa
Melayu
4. Pengguasaan bahasa Melayu di kalangan rakyat Malaysia.
5. Penggunaan bahasa Melayu yang bercampur aduk dengan bahasa Inggeris di kalangan
pengamal media.
6. Kesungguhan dan perjuangan pemimpin kini memartabatkan bahasa
7. Bahasa Inggeris dianggap bahasa maju dan bahasa Melayu bahasa mundur
8. Kurang keyakinan daripada rakyat Malaysia sendiri terhadap kemampuan bahasa Melayu

KESIMPULAN

Bahasa jiwa bangsa, tetapi masih berjiwakah bahasa itu pada bangsa Malaysia. Sejarah
telah membuktikan bahawa kejayaan sebuah tamadun itu juga bersama bahasanya.
Negara-negara seperti Jepun, Peranchis, Jerman dan sebagainya berjaya dengan bahasa
ibunda mereka sendiri. Impak dasar pecah dan perintah, orang Melayu yang dikelompokkan
di kawasan luar bandar juga tertinggal jauh dalam pendidikan mereka. Bahasa Inggeris
berpusat di kawasan bandar. Apabila sekolah kebangsaan dan bahasa Melayu menjadi
bahasa pengantar sepenuhnya hingga ke peringkat IPT, ia telah berjaya membawa
pendidikan ke semua lapisan masyarakat. Ia telah melahirkan rakyat berilmu dan seterusnya
membantu penjanaan ekonomi negara. Secara tidak langsung orang Melayu juga meningkat
pendidikannya.

Namun dalam persaingan globalisasi hari ini, seluruh pelosok masyarakat dari peringkat
atas hingga ke bawah merasai keperluan untuk mempelajari dan menguasai bahasa kedua
iaitu bahasa Inggeris. Namun dalam hal ini sebahagian dari rakyat Malaysia tidak
berkeyakinan dengan bahasa Melayu itu sendiri sehingga ia dipinggirkan terus dan celaru
bagaimana untuk mempertahankan bahasa ibunda. Baik masyarakat atau pemimpin sudah
meletakkan bahasa Inggeris lebih ke hadapan daripada bahasa Melayu. Rakyat Malaysia
yang berbilang kaum ini juga sebahagiannya tidak lagi menjadikan bahasa Melayu sebagai
alat komunikasi sebaliknya lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris. Di sinilah letaknya
cabaran untuk melaksanakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam masa
yang sama bahasa Inggeris perlu dikuasai, sedangkan kedudukannya sudah lagi tidak
dipertikaikan dalam perlembagaan. Ibarat kata Awang Sariyan (1984), kegagalan
menguasai bahasa kebangsaan bererti gagal melaksanakan tanggung jawab menjayakan
penyatuan bangsa.

Melalui bahasa juga identiti bangsa itu terserlah kerana ia akan memancarkan nilai dan
konsep budaya bangsa itu. Dalam keadaan bahasa Melayu mendapat tempat di lebih 115
universiti di 35 negara yang mengajar bahasa Melayu, rakyat Malaysia pula bersikap seolah-
olah malu dengan bahasanya sendiri. Keyakinan bangsa itu sangat penting untuk melihat
bahasa Melayu terus berada pada kedudukan yang sepatutnya dan bahasa Melayu itu juga
bukan hak kaum Melayu tetapi bahasa kebangsaan iaitu bahasa milik rakyat Malaysia.

BIBLIOGRAFI

Abdullah Hassan (1987). Isu-isu Perancangan Bahasa: Pengintelektualan Bahasa Malaysia.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Abdullah Hassan (1997). Bahasa Melayu Sebagai bahasa Ilmu dan Esei-Esei Lain. Shah
Alam: Fajar Bakti Sdn Bhd.

Abdullah Hassan (Januari-Mac 1999). Agensi Kerajaan dan Bahasa Melayu dalam Pemikir.
Kuala Lumpur: Utusan Melayu (M) Bhd.

Asmah Haji Omar (1984). Pengajaran bahasa Malaysia Dalam Konteks Perancangan
Bahasa Kebangsaan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Asmah Haji Omar (1985). Perancangan bahasa Dengan Rujukan Khusus Kepada
Perancangan Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Awang Sariyan (1984). Isu-isu Bahasa Malaysia. Petaling Jaya: Fajar Bakti

Nik Safiah Karim (1986). Bahasa Melayu Persoalan & Pergolakan. Kuala Lumpur: Gateway
Publishing House Sdn Bhd.

Raja Mukhtaruddin Raja Mohd. Dain (1982). Pembinaan bahasa Melayu- Perancangan
bahasa di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Ahmad Mohd. Yusof, Mansor Jusoh, Juneidah Ibrahim, Abdul kahar Yaakob (1995).
Laporan Kaji selidik Penggunaan Bahasa Melayu Dalam Bidang Kewangan Dan Bank.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

(http://ms.wikipedia.org/wiki/Bahasa_Melayu#Sejarah_Bahasa_Melayu).
(http://ms.wikipedia.org/wiki/Dewan_Bahasa_dan_Pustaka)

Anda mungkin juga menyukai