Anda di halaman 1dari 10

PENGALAMAN TERINDAH TANPA SERIBU SESALAN

SESUNGGUHNYA aku keterlaluan menebarkan lamunan. Mutiara jernih


berjuraian menuruni pipiku tanpa kusedari. Tersedar, perlahan-lahan aku menarik nafas
dalam-dalam. Sudah beberapa hari hidupku di sini, tetapi aku masih lagi memikirkan
cita-citaku yang tidak kesampaian. Jiwaku terasa amat kosong. KOSONG! Seri hidupku
hilang bagaikan tiada gantinya lagi. Aku juga tidak lagi seceria dahulu. Sifat nakal dan
gelak tawaku hilang sekelip mata. Aku memasang tekad untuk menyesuaikan diriku di
bumi asing ini, namun apakan daya aku menerima tamparan yang maha hebat
daripada-Nya. Aku tidak setabah yang aku sangkakan. Mungkin sudah tertulis suratan
hidupku begini.
Aku cuba menahan rasa sebakku yang kini kembali mencengkam dada. Aku
tidak mahu tangisanku didengari. Aku bukannya seorang yang mahukan simpati orang
lain. Biarlah aku menanggung sendiri betapa peritnya perasaanku apabila melakukan
sesuatu yang bercanggah dengan pendirian hidupku.
Lamunanku terus menerawang jauh nun di luar sana. Sesekali keluhan kasar
terlepas daripada ulas bibirku. Kata-kata ayah kesayanganku terngiang ngiang lagi.
Ta sayang, teruskanlah pengajian kamu di sana. Demi masa depan kamu, nak. Papa
dan mama nak lihat kamu berjaya. Kamulah harapan kami, tulang belakang kami. Ya,
aku ikut nasihat orang tuaku. Tapi jiwa dan batinku terseksa. Impianku punah begitu
saja. Secara ikhlasnya, aku tidak dapat menerima hakikat ini. Adakah aku terlalu
mementingkan diri? Aku cuma mahu mengejar impianku sahaja. Tapi, keluargaku
langsung tidak memahami isi hatiku. Aku terperangkap dalam pilihanku sendiri. Kalau
aku tidak memohonnya dulu, sudah tentu perkara ini tidak akan menjadi serumit ini.
Itulah yang paling aku kesali. Berkali-kali aku mengungkapkan kata-kata ini kepada
ibuku. Namun, nasi sudah menjadi bubur. Aku tidak boleh mempersoalkannya lagi.
Terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan, tidak ada maknanya lagi!
Ta! Ta! , apa yang kau fikir tu? Berangan tak habis-habis! Hehehehehe..
Sambil itu, tangannya lincah sahaja mencubit pahaku. Fuhh!! Kalau nak tahu,
cubitannya itu teramatlah pedih macam disengat tebuan! Hisy, melebih lebih pula aku
ini.
Hanna atau nama manjanya An mengejutkanku dengan dialek Sabahnya.
Orangnya kecil, comel dan bercermin mata. Walaupun beberapa hari sahaja kami
berkenalan tetapi aku selesa berkawan dengannya. Mungkin bak kata orang, ada
chemistry di antara kami. Aku menjegilkan mataku kepadanya. Mahu sahaja aku
membalas perbuatannya, tapi kawan-kawanku dan pelajar lain memandangku tajam.
Aku kehairanan.
Eh, An..awat depa tengok aku semacam je? Buang tabiat apa! Aku comel
sangat kot ?, tanyaku dalam loghat utaraku kepadanya.
Ceh, perasannya hang! Depa tengok hang sebab hang jerit macam singa lapar
tadi. Hahahahahaambik kau. Kena sebijik! . Jawab Hanna dengan ajukannya dalam
bahasa utara sejurus mengenakan aku.
Darah merah memercik ke seluruh wajahku. Aku berasa malu sendiri. Aku
terkekek-kekek ketawa. Baru aku sedar bahawa aku terjerit sebentar tadi. Aku
menghabiskan sisa tawaku dengan linangan air mata. Mungkin Hanna menyangka aku
geli hati dengan gurauannya. Sedangkan dalam hati, siapa yang tahu? Jiwaku merintih.
Peristiwa hari itu masih lagi terpahat kukuh di ingatanku. Hari aku mengubah
haluan hidupku.
Angin sepoi-sepoi bahasa menenangkan hati dan perasaanku. Rambut
panjangku yang tidak diikat kemas kubiarkan beralun mengikut arus angin. Daun pokok
nyiur melambai lambai ke arahku. Burung-burung berkicauan menceriakan lagi pagi
yang damai.
Aku menyapu daun daun kering yang gugur di halaman rumahku sambil
menyanyi kecil. Begitulah rutin harianku selepas bersarapan. Aku duduk sebentar di
anak tangga rumahku. Penat betul rasanya mengumpulkan daun-daun kering sebentar
tadi.
Tinggal beberapa hari saja lagi aku akan meneruskan pengajianku ke Politeknik
Premier Ungku Omar. Tidak sabar rasanya. Itulah arah hidupku selepas tidak mendapat
tawaran ke universiti tempatan. Mungkin pencapaian aku tidak menepati tahap
kelayakan yang dikehendaki oleh IPTA.
Aku meminati jurusan Pengurusan Perniagaan sejak dulu lagi dan kini kian
menjadi kenyataan. Aku akan melapor diri di politeknik tidak sampai seminggu lagi.
Sedang aku melayan angan-anganku untuk menjadi businesswoman suatu hari nanti.
Tiba- tiba.
Ta! Ta! Datang sini kejap, mama nak cakap sikit! panggil mamaku dalam
bahasa Hokkien.
Ala mama ni, kacau line betullah!
Mama memanggilku dengan begitu nyaring sekali. Aku sudah sedia maklum
dengan jeritannya itu. Tentu ada sahaja berita yang menggembirakannya. Namun,
selalunya untuk aku, perkara tersebut akan menjadi berita buruk.
Ya mama, kenapa? Aku menyahut panggilannya dan dengan langkah yang
longlai aku menapak ke ruang tamu rumahku. Sebaik saja aku melangkah masuk ke
dalam rumah, aku dapat melihat segaris senyuman yang sangat manis di bibir ibuku.
Ayahku pula terus memelukku sambil mengelus-ngelus rambutku. Aku
merasakan air jernih menitik di atas tanganku. Tidak silap lagi tekaan aku. Papa
menangis! Seumur hidup aku, aku tidak pernah nampak papaku menangis. Mungkin
terlalu gembira. Hatiku berdebar-debar. Tidak dapat aku bayangkan perkara apa yang
begitu menggembirakan hati orang tuaku.
Mama baru saja dapat berita dari kakak sepupu kamu. Tahniah sayang,
permohonan kamu berjaya!. Aku terpinga-pinga. Apa yang aku mohon ya?
Aku tidak memberikan sebarang reaksi.
Mama dapat membaca riak muka aku yang seperti orang kebingungan itu. Terus
mama menceritakan lebih lanjut perkara sebenarnya. Aku terduduk. Sangkaan aku
meleset sama sekali! Aku tidak sangka aku lulus untuk temuduga tempoh hari
berdasarkan prestasi aku yang agak kurang memuaskan. Perasaan aku waktu itu
bercampur-baur. Mama dan papa nampak gembira sangat! Tapi aku?
Tahniah sekali lagi sayang, kamu dapat opsyen TESL! Papa betul-betul
gembira. Tak lama lagi, dapatlah kamu berbakti kepada lapisan-lapisan muda kat
kampung kita ni. Papa sangat bangga terhadap kamu nak. Ujar papaku dalam nada
gembira.
Aku terkaku. Lidahku menjadi kelu secara tiba-tiba. Masakan boleh jadi begitu.
Aku memohon untuk opsyen bahasa Melayu, tetapi apa yang aku dapat adalah opsyen
TESL iaitu Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua. Aku tidak yakin kepada
diriku sendiri.
Adakah aku gembira? Jawapannya sudah pastilah TIDAK! Aku tidak tahu
bagaimana untuk menunjukkan reaksi aku di depan papa dan mama aku. Aku keliru.
Jauh di sudut hati aku, aku tidak dapat menerima kenyataan ini.
Aku menarik nafas dalam-dalam dan mengumpul segala kekuatan yang ada
untuk berterus-terang kepada orang tuaku. Aku tahu jawapanku ini sudah pastilah akan
menghampakan harapan mereka.
Papa dan mama, saya tahu jawapan saya ini akan menghampakan papa dan
mama. Saya tak akan melanjutkan pelajaran saya di Institut Perguruan. Saya tak
berminat untuk menjadi seorang guru. Papa dan mama tahu tentang itu kan? Aku
menyuarakan hasrat hatiku.
* * *
Fikiranku bercelaru. Hatiku diruntun pilu dan hiba. Sudah seharian aku
menangis. Hasratku ditolak oleh kedua-dua orang tuaku. Aku bukannya mahu menjadi
anak yang tidak mengenang budi. Tapi bagaimana dengan perasaan aku? Aku juga
seperti insan biasa yang lain, yang ingin mengejar cita-citaku untuk menjadi seorang
usahawan yang berjaya suatu hari nanti.
Sayang, kamu fikirlah betul-betul. Semua ini demi kebaikan kamu. Masa depan
kamu akan terjamin. Lagipun, kerja sebagai guru adalah kerja yang mulia. Papa dan
mama harap kamu akan menerima tawaran itu. Kamulah harapan kami. Papa
menasihatiku.
Aku membuka kelopak mataku. Aku memandang papa dan mamaku silih
berganti. Mampukah hati ini melihat kesedihan yang terpancar di muka mereka?
Mampukah hati ini menghancurkan segala harapan mereka?
Luluh hatiku tatkala aku melihat air muka orang tuaku. Aku pasrah. Mungkin ada
hikmah di sebaliknya.
Ta! Oh Ta! kenapa dengan kau ni? Marilah kita pergi. Kau tunggu apa lagi?
Hanna bertanya kepadaku sambil melambai-lambaikan tangannya di depanku.
Ti..tidak ada apa-apalah. Aku gugup. Sekali lagi aku mengelamun.
Entah berapa lama aku terjerat di kancah kelekaan itu, aku pun tidak pasti. Apa
yang jelas dan terpaksa kuakui, masa berlalu begitu sahaja. Buktinya, buku nota kecilku
masih belum lagi terusik. Aku tidak sedar bahawa ceramah sudah pun sampai di
penghujungnya.
Dewan Aminuddin Baki sudah beransur - ansur lengang. Rata-rata pelajar lain
sudah mula meninggalkan dewan ini. Mungkin mengejar masa yang tinggal lagi sejam
untuk mengerjakan solat Zohor dan membersihkan diri. Aku memang sudah biasa
dengan rutin pelajar Islam dan agak fasih berbahasa Melayu. Begitulah kata-kata yang
sering aku dengar daripada mulut kawan-kawan yang baru kukenali. Mungkin
disebabkan itulah ramai rakan-rakan sekuliah yang salah anggap terhadapku pada hari
pertama aku mendaftar di kampus ini.
Awak ni Melayu ke?. Itulah kata-kata pertama yang memecah gegendang
telingaku sebaik saja aku menghenyakkan punggung aku di atas kerusi merah itu.
Minta maaf, cik dah salah anggap. Saya ni orang Siam mixed Cina. Tanpa
membuang masa aku menjelaskan kebenarannya. Mungkin wajahku persis orang
Melayu. Barangkali itulah persoalan yang sering bermain di minda orang yang baru
mengenali diriku.
Lucu pula rasanya apabila memikirkan kemungkinan itu. Kadang kadang naik
hot juga aku apabila orang mempersoalkan mengapa aku tidak bertudung. Tapi, semua
itu bukanlah salah mereka. Sudah lumrah manusia, mempunyai persepsi masing -
masing. Jadi, aku harus berfikiran terbuka sebaik mungkin.
Arrggghhberangan lagi rupanya kawan kita yang sorang ni. Jomlah kita
pergi! Kita kena bersedia untuk persembahan malam ni Ta. Teriak Shida kepadaku.
Rohashidah. Nama penuh empunya badan yang kecil molek ini. Anak kelahiran
Negeri Sembilan. Suaranya sangat lantang, tidak padan sama sekali dengan badannya
yang kecil. Kalah bunyi meriam! Walaupun begitu, aku senang sekali dengan
keletahnya yang kadang - kadang mencuit hati aku. Orangnya hanyalah setinggi
bahuku dan memiliki rupa paras yang agak comel. Persis pelajar sekolah rendah! Aku
sangat kagum dengan kematangannya dalam menangani sesuatu perkara.
Jomlah kita pergi! Aku cuba memaniskan mukaku sebaik mungkin dan senyum
kepadanya. Kami bertiga jalan beriringan untuk ke kolej kediaman yang kami diami.
Blok CERIA, itulah pelindungku daripada panas dan hujan sepanjang aku berada di
sini.
Tanpa aku sedari, sudah banyak hari aku menjalani orientasi di kampus ini. Dan
akan bermulalah episod baruku sebagai guru pelatih di IPG Kampus Tuanku Bainun.
Tempat yang aku tidak pernah aku impikan dalam hidupku.
* * *
Muhammad Ehsan bin kamarudin. Classmate yang senasib denganku. Bibirnya
tidak pernah lekang dari senyuman. Orangnya sangat periang dan ceria. Lawak jenaka
menjadi darah dagingnya. Aku dan teman seperjuangan yang lain tidak pernah kering
gusi dengan lawak jenakanya. Kadang-kadang haru-biru juga kami dengan
perangainya. Tidak tahu sama ada dia serius ataupun tidak. Aku dan Ehsan
mempunyai minat terhadap subjek yang sama iaitu Bahasa Melayu. Apakan daya, kami
ditakdirkan untuk mendapat opsyen TESL. Aku tahu perasaannya seperti aku. Tetapi,
semangatnya tidak pernah pudar dalam menghadapi apa jua cabaran.
Asalkan ada kemahuan, di situ ada jalan begitulah kata-kata semangat yang
selalu ditiupkan kepadaku sambil tersenyum manis. Kata-katanya sedikit sebanyak
menaikkan semangat aku. Berkat nasihatnya, aku mampu meneruskan perjuanganku di
kampus ini.
Aku juga mula menyukai Bahasa Inggeris. Lagu-lagu Inggeris sudah menjadi
temanku di kala bosan. Aku yakin aku dapat memperbaiki Bahasa Inggerisku sedikit
sebanyak daripada bait-bait lagu yang aku dengar. Hanna banyak mengajarku
menguasai Bahasa Inggeris. Tidak keterlaluan rasanya kalau aku mengatakan dia
expert dalam Bahasa Inggeris. Tanyalah apa pun, semuanya dia boleh jawab.
Walaupun aku berlainan bangsa dengannya, tapi hubungan kami akrab bagai isi
dengan kuku. Ke mana sahaja aku pergi, pasti ada Hanna. Aku beruntung mempunyai
teman sepertinya. Dialah tempat aku mengadu apabila aku stress. Dialah tempat aku
meluahkan perasaan apabila aku mempunyai masalah.
Pernah sekali aku mengalami tekanan yang amat teruk. Aku stress apabila
mendapat tugasan yang banyak dan tarikh hantarnya juga bertindan. Sudah itu aku
juga lemah dalam Bahasa Inggeris. Saat itu, aku hampir berputus asa.
Kau pasti boleh ta. Jangan menyerah kalah. Yang bulat tidak datang menggolek,
yang pipih tidak datang melayang. Ingat tu. Kau kena kuat.
Aku merenung ke bola mata Hanna. Aku cuba menyelami hatinya. Aku tahu dia
ikhlas. Air mataku merembes keluar tanpa dapat ditahan.
Saat itu, jari-jemariku digenggam erat oleh Hanna. Semangatku semakin bertambah
apabila kawan baikku memberikan sokongan kepadaku. Ya! Aku akan teruskan
perjuangan ini sehingga ke penghujungnya. Dan tidak mungkin aku akan berpatah
balik.

* * *
Setahun kemudian.
Aku mula menyesuaikan diriku dengan keadaan di kampus ini. Selok-belok
kampus ini sudah kuterokai. Aku akui hidupku mulai berubah! Aku senang dengan
keadaanku di sini. Aku tahu aku tidak sendirian mengharungi liku-liku kehidupan
sebagai seorang guru pelatih. Keakraban antara aku dan rakan-rakan sekelas pula
memang tidak dapat dipertikaikan lagi. Kami ibarat adik-beradik. Merekalah tempat aku
bermanja dan mendapat kasih sayang. Karenah mereka yang pelbagai sedikit
sebanyak mengubati kerinduanku terhadap keluarga di kampung.
Di dunia kampus ini, aku mengetahui apa itu erti persahabatan, kesusahan dan
kesenangan. Aku sedar akan sesuatu hakikat. Kehidupan kita ini ibarat roda,
adakalanya kita menemui kegembiraan dan kesenangan dan adakalanya kita dilanda
kesusahan. Itulah yang terjadi kepadaku. Aku belajar erti kesabaran dalam
mengharungi segala rintangan sepanjang aku berada di sini.
Aku berpegang pada pepatah Usaha Tangga Kejayaan. Kata pepatah inilah
yang menaikkan semangat dan kekuatanku untuk meneruskan perjalananku untuk
menjadi seorang pendidik. Aku kini seorang yang lincah dan aktif. Segala sifat pendiam
beransur-ansur hilang dari diriku.
Aku juga belajar menguruskan diriku untuk hidup di sini. Hidup sebagai seorang
guru pelatih memerlukan ketahanan mental, fizikal dan emosi yang sangat tinggi. Aku
teringat lagi kali pertama aku mengikuti kem rekreasi di Tasik Chenderoh, Perak.
Itulah kali pertama aku mengikuti perkhemahan pada semester pertama aku
bergelar guru pelatih di kampus Tuanku Bainun. Pengalaman di sana banyak mengajar
aku untuk lebih bersedia dalam menempuh segala rintangan pada masa hadapan..
Aktiviti-aktiviti luar yang diadakan mampu menaikkan keyakinan diri aku. Aku menimba
banyak pengalaman baru dan mempelajari kemahiran dalam sesuatu aktiviti. Di
sanalah kali pertama aku belajar berkayak. Pada mulanya, semuanya jadi kacau-bilau
disebabkan kami tidak tahu berkayak dan sampan tidak dapat bergerak dengan cara
yang betul dan tidak seimbang. Jadi, semangat kerjasama itu perlu utuh dalam setiap
diri guru pelatih. Lucu pula rasanya mengenangkan keletah-keletah aku dan teman
seperjuanganku dulu. Di sana juga aku belajar untuk menguruskan masa dengan baik.
Masa itu emas untuk insan bergelar seorang guru. Aku sedar menepati masa amat
penting dalam menjalankan tugas sebagai seorang pendidik.
Usia aku semakin menginjak dari hari ke hari. Kehidupan di kampus ini pastinya
menjadi satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Ranjau serta duri yang ditempuhi
pastinya membantu mendidik jiwa yang matang serta membentuk peribadi aku untuk
bergelar seorang pendidik.
Semua pengalaman ini banyak membentuk diriku untuk menjadi seorang yang
lebih berkeyakinan dan matang. Aku sendiri tidak percaya akan keberanianku berdiri di
tengah-tengah pentas melakonkan watak witch dalam drama Macbeth. Itulah kali
pertama aku berlakon di depan khalayak ramai. Maluku bukan kepalang lagi apabila
berdiri di atas pentas sambil membuat mimik suara ahli sihir. Tapi, aku rasa semuanya
berbaloi kerana apa yang aku dan kawan-kawan lakukan adalah demi projek kami
untuk subjek English Studies. Aku yakin kemahiran berlakon aku juga ada peningkatan
dan yang paling penting, aku dapat mengatasi perasaan maluku sedikit demi sedikit.
Semester kedua untuk program asasi, aku belajar untuk menganjurkan pameran
mini. Seperti biasa, ini adalah projekku untuk subjek Social Studies. Sebelum ini, aku
tidak pernah menganjurkan sebarang pameran. Aku dan ahli kumpulanku yang lain
memilih isu Pencemaran Alam Sekitar untuk pameran kami. Siang dan malam aku dan
kawan-kawanku bersengkang mata untuk menyediakan booth pameran kami.
Tahniah!
Perkataan pertama yang keluar dari pensyarah kami, Encik Saat bin Abbas. Saat
itu aku mengucapkan kesyukuran kerana kumpulanku berjaya menyediakan booth
pameran yang terbaik. Sistem pelajaran di sini banyak mengajarku ilmu berkenaan
dengan pengurusan dan keusahawanan. Aku belajar untuk membuat penanda buku
dan klip kertas daripada temanku, Eva. Salah seorang temanku yang tidak kurang
hebatnya dalam bidang kesenian. Aku akui aku tidak akan mendapat pengetahuan
seperti ini di institusi pendidikan yang lain.
* * *
Tahun demi tahun yang berlalu, suka duka, pahit maung, onak dan duri yang aku
tempuhi mengajarku akan erti kehidupan. Semuanya demi mengejar segulung Ijazah
Sarjana Muda Pendidikan yang bakal melayakkan diriku bergelar seorang guru. Jatuh
dan bangun, tawa dan tangis serta beraneka lagi resepi kehidupan telahku lalui
sepanjang tempoh ini. Menuntut Ilmu dan Menuai Kejayaan... Semuanya bermula
daripada kesedihan, kesusahan dan keletihan. Aku kini sudah di semester pertama
untuk program ijazah. Keputusan peperiksaanku masa asasi telah melayakkan aku
untuk meneruskan pelajaranku di kampus ini. Keputusan peperiksaanku tidaklah
memberangsangkan seperti pelajar-pelajar yang lain. Walaupun begitu, aku tetap
berpuas hati dengan pencapaian aku, hasil titik peluhku sendiri.
Terlalu banyak kisah suka dan duka untuk dicoretkan, biarpun ada yang pahit, ia
tetap menjadi kenangan indah yang akan sentiasa terpahat di hatiku, sesuatu yang
tidak akan diperolehi di tempat lain. Beberapa semester di sini, segala mehnah dan
tribulasi berdiri mengejar ilmu dan bernafas dalam kehidupan dapatku tempuh atas
pertolongan sahabat-sahabat di kampus ini, tanpa mereka siapalah aku sekarang. Aku
tidak akan sesekali melupakan jasa mereka serta pensyarah-pensyarahku yang telah
membimbingku dalam perjalananku untuk bergelar seorang pendidik di masa hadapan.
Papa dan mamaku akan sentiasa menjadi pendorongku untuk mengejar
segulung ijazah di kampus ini. Merekalah insan yang akan bertakhta di hati aku sampai
bila-bila. Tidak sesekali akan berubah!
Papa dan mama, tidak akan aku hampakan harapanmu!
Tiada lagi sekelumit sesalan untuk aku bergelar seorang pendidik.
-Tamat-

Anda mungkin juga menyukai