Anda di halaman 1dari 14

Meruntuh Tembok Dendam

Melihat berita yang terpampang didada akhbar itu seperti gurisan sembilu yang melukakan
jiwa. Hati siapa yang tidak terluka? Jiwa siapa tidak meraung? Kata-kata yang digarap dalam
akhbar itu perit untuk direnung. Di mana ibu dan ayah kandungku? Siapakah mereka? Kekecewaan
berkecamuk dalam dada. Penyesalan bernanah parah. Kertekilanan bergulung mengocak
kerasionalan yang menyeruak hingga ke kepala. Kewarasan dikaburi dendam yang kian
mencengkam. Mengapa aku ditinggalkan di tempat ini? Apa dosa aku? Siapakah juga yang akan
menjemputku nanti? Sudah banyak kali aku cuba untuk lari dari tempat ini. Aku ingin mencari
sendiri siapakah ibu dan ayah kandungku. Keyakinanku begitu tebal dan menggempal dalam dada
untuk mencari mereka.
Pusat Penjagaan Kanak-kanak Lambir adalah tempat di mana aku dibesarkan tanpa
belaian dan kasih sayang daripada ibu bapa kandung sendiri. Mak Mah sahajalah tempat aku
mengadu. Mak Mah adalah ibu dan juga ayah bagiku. Mak Mah kian renta berbanding usia yang
dipagut waktu. Berjela cerita yang disampaikan oleh Mak Mah yang menyayat hati dan sanubariku.
Mak Mah, kenapa saya berada di tempat ni? Mak Mah tau ke siapa ibu dan ayah kandung
saya? Ujarku kepada Mak Mah yang sudah lama bekerja dengan pusat itu.
Ain, Mak Mah serba salah nak ceritakan benda ni pada awak. Dulu, ada seorang wanita
yang masih dalam lingkungan remaja usianya datang berjumpa dengan Mak Mah. Wanita itu yang
datang ke sini untuk menyerahkan Ain. Seingat Mak Mah Ain masa tu masih kecil lagi. Baru lahir
agaknya.
Lepas tu Ain, wanita itu meninggalkan Ain bersama dengan Mak Mah. Tapi, Mak Mah tak
ingat pula nama wanita tu. Apa yang Mak Mah ingat wanita tu cakap dia akan ambil Ain bila Ain
dah cukup umur. Itu yang Mak Mah tak faham dengan kata-kata wanita itu.
Mak Mah membuka lembaran persoalan yang bersarang di benakku satu demi satu. Wajah
tua Mak Mah itu masih menyimpan pelbagai rona warna rahsia yang perlu aku selongkar-gali agar
setiap persoalan itu terungkai. Siapakah wanita itu? Ibuku? Mana ayahku?
Aku merenung wajah-wajah penghuni di situ. Tidak ada seorang pun yang tersenyum.
Adakah mereka juga senasib denganku? Mengapa mereka dihantar ke pusat ini juga? Mengapa
Aisyah dah diambil oleh ibu dan ayahnya minggu lepas? Sampai bila aku harus menunggu di sini?
Argh, aku tak mahu serabut. Aku harus fokus dengan masa depan aku agar nasib aku terbela.
Mulai saat ini aku anggap yang ibu dan ayah kandungku telah meninggal dunia. Sungguh.
Ain, kenapa awak selalu termenung? Ada masalah ke? tanya Zetty yang duduk sebilik
denganku.
Zetty, saya tak ada masalah sebesar mana pun. Saya cuma nak tahu siapa ibu dan ayah
kandung saya je. Kenapa awak berada di tempat ni juga? balasku.
Ibu dan ayah saya kemalangan beberapa tahun yang lepas. Saya anak tunggal. Tak ada
orang yang nak jaga saya. Jadi, pak cik saya hantar saya ke sini, jelas Zetty dengan linangan air
matanya yang membasahi pipi gebunya itu.
Zetty masih beruntung kerana sudah berjumpa dengan ibu dan ayah kandungnya sebelum
peristiwa pahit itu menimpa orang tuanya. Sekurang-kurangnya dia pernah diberi kasih sayang oleh
orang tuanya. Api kebencian semakin marak dalam hatiku mengenangkan perkara yang
diceritakan oleh Mak Mah. Kenapa teganya ibu menghantar aku ke sini?
Pagi itu, sedang aku dan Zetty sibuk menyapu rumput kering di hadapan blok pentadbiran
datang seorang wanita yang masih muda dengan seorang bayi yang kurang jelas jantinanya. Aku
yakin bahawa wanita itu datang dengan niat untuk meninggalkan bayi itu di pusat ini. Wajah wanita
itu penuh dengan drama. Mungkin dia cuba untuk meraih simpati. Mungkin.
Aku tidak mahu memerhatikan terus gerak-geri wanita itu. Tidak mahu menjaga tepi kain
orang lain. Cukuplah aku sudah menjadi mangsa kepada ibu kandungku sendiri. Berapa
banyakkah lagi bayi-bayi dan kanak-kanak yang malang akan disumbat ke tempat ini?
Mak Mah, Ain ada benda nak tanya dengan Mak Mah ni. Mak Mah tak sibuk ke? ujarku
ringkas.
Tak Ain. Ada apa Ain? balas Mak Mah.
Aku mahu Mak Mah berterus terang kepadaku. Aku ingin tahu apa wanita yang
dimaksudkan oleh Mak Mah itu lakukan terhadap aku. Siapa sebenarnya wanita itu? Benarkah dia
ibu kandungku? Kenapa dia langsung tidak menjenguk aku di sini? Adakah dia sudah kembali
kepada pencipta-Nya? Fikiranku makin serabut.
Ain, sabar ya sayang. Mak Mah tak mahu Ain runsing memikirkan hal tu. Kalau Ain nak
tahu sangat Mak Mah terpaksa menceritakan hal ini kepada Ain, kata Mak Mah penuh rasa serba
salah.
Saya sudah bersedia untuk mengetahui segalanya Mak Mah. Mak Mah ceritakan saja,
ujarku berkobar-kobar.
Ain, 12 tahun yang lalu Ain telah dihantar oleh seorang wanita yang menggelar dirinya Azie
ke pusat ini. Wanita itu meminta Mak Mah merahsiakan hal ini daripada Ain. Wanita itu juga berjanji
akan mengambil Ain apabila tiba masanya nanti. Mak Mah tak tahu bila pula wanita itu akan
mengambil Ain. Sekarang dah hampir 13 tahun Ain tinggal di sini, terang Mak Mah masih ada
samar-samar lagi.
Aku masih tidak faham kenapa wanita itu menghantar aku ke pusat ini. Mak Mah tak
menjawab secara langsung soalan yang aku ajukan. Apa lagi yang Mak Mah rahsiakan daripada
aku sehingga kelu mulutnya untuk berbicara. Berdosakah dia kalau memberitahu aku tentang
perkara yang sebenar?
Mak Mah, kenapa bayi-bayi banyak dihantar ke pusat ini? Adakah ini menunjukkan
keruntuhan akhlak di negara ini semakin berleluasa? Kenapa tidak ada usaha untuk mengekang
masalah ini? Bentakku geram.
Ain perlu bersyukur sebab ibu Ain hantar Ain ke pusat ni. Kalau tidak Ain akan menjadi
mangsa pembuangan bayi macam yang selalu kita lihat dalam media massa. Kalau tidak Ain akan
menjadi mangsa pemerdagangan manusia juga. Banyak masalah yang berlaku sekarang ni Ain.
Ain perlu teruskan hidup di sini, nasihat Mak Mah yang sangat membina.
Pilu juga hati apabila mendengar kata-kata yang dilontarkan oleh Mak Mah. Ramai bayi
yang menjadi mangsa sekarang ini. Kenapa insan ciptaan Tuhan yang tidak berdosa ini menjadi
boneka kepada manusia yang berhati binatang? Jenayah itu seperti gemerencing rantai yang
membelit-jerut hatiku.
Seringkali mulutku melongo cuba menebak dan menghadap setiap perkara yang dihadapi
di pusat ini. Semua kami mempunyai nasib yang berbeza tapi berada di bumbung yang sama. Ada
yang kurang bernasib baik kerana tidak berjaya sampai di pusat ini dan telah menjadi mangsa
penganiayaan manusia yang jumud pemikirannya.
Memang. Aku kagum dengan apa yang aku alami sekarang ini kerana aku membesar tanpa
kasih seorang ibu dan ayah. Aku membesar dengan melihat rakan-rakan yang senasib dan orang
yang paling berperanan dalam hidup aku iaitu Mak Mah. Wanita yang mengasuhku dari kecil lagi.
Mak Mah memang penuh dengan ciri keibuan. Dalam kelembutan ada tegasnya. Dalam ketegasan
ada sindiran. Dalam marahnya diselit bujukan.
Ya Allah, hanya pada-Mu aku bersujud. Bimbinglah aku ke jalan yang benar.
Sesungguhnya aku rindu untuk bersua dengan orang tuaku. Siapakah mereka ya Allah? Bisikkanlah
ke telinga mereka bahawa aku ingin berjumpa dengan mereka, doaku yang tidak pernah putus.
Aku tidak tahu apa akan berlaku jika wanita yang diceritakan oleh Mak Mah itu datang
menjemputku. Betapa bencinya aku mendengar namanya. Api dendam aku kian marak dan kian
sukar dipadam. Kenapa wanita itu saja yang datang menghantar aku? Mana suaminya? Mana
ayahku? Adakah aku anak luar nikah? Benci!
Jangan jadikan pandangan mata ini seperti mata lalat yang hanya mencari sesuatu yang
busuk dan buruk yakni yang hanya melihat keburukan dan kesalahan orang lain. Jadikanlah
pandangan mata ini seperti mata lebah yang hanya memandang kewangian dan keindahan yakni
yang memandang kebaikan orang lain sehingga melupakan keburukan orang lain, ujar Ustaz
Kazim sebagai penutup kelasnya pagi itu.
Ustaz Kazim seolah-olah menyindir aku. Memang betul juga kerana siapa makan cili
mestilah dia yang rasa pedasnya. Apa-apa pun aku tak akan semudah itu untuk menerima wanita
yang bernama Azie itu dalam hidupku.
Mak Mah, buat apa tu? tanyaku.
Mari sini Ain. Mak Mah nak cerita sikit dengan Ain, balas Mak Mah.
Ain, kalau Ain dah besar nanti. Ain mesti nak kahwin macam orang lain. Mak Mah nak
ingatkan agar Ain carilah lelaki yang boleh membimbing Ain ke jalan yang diredhai Allah. Ain mesti
patuh dengan suami Ain. Kalau ada anak Ain mesti didik anak dengan baik agar mereka menjadi
anak yang soleh dan berguna kepada agama, bangsa dan negara, nasihat Mak Mah penuh
makna yang tersurat dan tersirat.
Aku hanya mengangguk tanda faham. Mak Mah sangat baik orangnya. Mak Mah seringkali
menasihatkan kami tentang masa depan. Tentang kehidupan berumah tangga. Mak Mah tidak
sanggup melihat bayi-bayi yang dianiaya dan menjadi mangsa kekejaman manusia.
Masa berganti masa, hari berganti hari dan bulan berganti bulan aku masih lagi di sini.
Penantian yang sia-sia. Menunggu janji temu yang tidak pernah dilafazkan seperti menunggu bulan
jatuh ke riba.
Ain, ikut Mak Mah ke blok pentadbiran. Ada orang nak jumpa Ain, ujar Mak Mah
membuatkan aku keliru.
Siapa Mak Mah? balasku.
Aku melangkahkan kaki dengan tabah. Mak Mah tidak membuka mulut seperti
menyembunyikan sesuatu daripada kotak pengetahuanku. Adakah Mak Mah diupah untuk
menyembunyikan semua ini? kenapa berat sangat untuk Mak Mah menceritakan semua ini
kepadaku?
Ain, wanita ini adalah ibu kandung Ain. Azie, ini anak awak yang saya jaga dari dulu, ucap
Mak Mah di hadapan seorang wanita yang bernama Azie.
Ya Allah, dah besar anak mak. Ain, ini mak Ain. Mari sini sayang, mak datang nak jemput
Ain, ujar wanita itu kepadaku.
Tungguuu...! Awak siapa sebenarnya? Ibu Ain? Ibu jenis apa awak ni? Sanggup awak
tinggalkan saya di sini berbelas tahun. Mana letak hati awak sebagai seorang ibu? Mana suami
awak? Siapa ayah saya? Awak mungkin perempuan jual dirikan? Perempuan simpanan? balasku
dengan menyemburkan segala dendamku terhadap wanita itu.
Wanita itu hanya berdiam diri dan tidak mampu berkata apa-apa lagi. Mak Mah cuba
menenangkan aku. Aku memang dah agak perkara itu akan berlaku. Aku berlalu dari situ dan tidak
mahu melihat wajah yang pernah meninggalkan aku merangkak seorang diri di sini.
Sabar Azie, dia perlukan masa untuk terima awak. Saya dah ceritakan apa yang awak
pesankan tu. Dia memang keliru dengan semua tu, kata Mak Mah.
Saya faham Mak Mah. Kalau macam tu saya balik dulu, kata wanita itu lalu beredar dari
situ.
Aku menadah tangan memohon doa kepada Allah S.W.T. Aku buntu. Aku tidak tahu apa
yang harus aku lakukan. Aku tidak dapat menerima wanita itu sebagai ibu kandungku kerana asal
usulnya pun aku tak tahu. Maklumat yang diceritakan oleh Mak Mah langsung tidak dapat
meyakinkan aku.
Ain, kenapa Ain sanggup cakap macam tu dengan ibu kandung Ain sendiri? Ain tak takut
dosa ke? Syurga Ain masih di telapak kaki wanita itu tau. Ain nak jadi anak derhaka ke? kata Mak
Mah menggugat hatiku.
Salah ke apa yang saya cakap tu Mak Mah? balasku.
Sangat salah! Awak tak patut cakap macam tu, jawab Mak Mah sambi menggelengkan
kepalanya melihat gelagatku.
Aku terduduk dan tertunduk. Perkara itu seolah-olah memijak-henyak hati dan perasaanku.
Dendam itu masih berbalam dalam hati. Aku rimas untuk berdepan dengan perkara itu. Mak Mah
seperti mahu mengucap kata-kata dengan kemutan mulutnya yang kian terbuka.
Ain, Mak Mah akan beritahu perkara sebenar. Wanita itu tadi memang ibu kandung Ain.
Ayah kandung Ain telah pergi ke pangkuan Allah S.W.T ketika Ain masih dalam kandungan lagi.
Dalam masa yang sama ibu Ain sedang bertarung dengan penyakit kanser payu dara. Dia
memerlukan kos rawatan yang tinggi untuk membuat pembedahan. Harta peninggalan arwah ayah
Ain tidak mencukupi untuk menampung kos pembedahan itu. Selepas Ain lahir, ibu Ain terus
menghantar Ain ke sini untuk dijaga oleh Mak Mah kerana ibu Ain ingin bekerja untuk mencari
wang untuk pembedahan itu. Allah masih memberi harapan pada ibu Ain kerana Allah masih
memberi peluang kepada dia untuk mencari wang dan memberi peluang dia untuk berjumpa
dengan satu-satunya anak yang dia ada, jelas Mak Mah menceritakan segala rahsia yang
dipendamnya selama ini.
Aku terkedu setelah mendengar cerita itu. Air mataku berderai mengenangkan
pengorbanan yang besar yang dilakukan oleh ibu kandungku. Sedikit demi sedikit perasaan
marahku terhadap wanita itu padam.
Ain, sekarang masih belum terlambat untuk Ain. Hargailah seseorang itu selagi mereka
ada di depan mata, kata Mak Mah.
Mak Mah mengiringi aku untuk berjumpa dengan ibu kandungku itu. Aku melangkah
pantas. Allah itu Maha Penyayang. Mak Mah sungguh sabar dan tabah merahsiakan hal itu dari
pengetahuanku.
Maafkan Ain ibu, ucapku sambil memeluk sekujur badan yang lemah itu.
Ibu pun minta maaf dengan Ain, balas wanita itu.
Mak Mah hanya mampu tersenyum. Aku menangis dalam kegembiraan. Setiap penantian
ada pengakhiran. Terima kasih Allah sebab memberi kesabaran kepadaku selama ini. Akhirnya,
tembok dendam itu runtuh berkecai. Kesabaran aku, ibu, dan Mak Mah akhirnya meruntuhkan
tembok dendam itu. Aku mahu bahagia bersama ibu kandungku. Aku tidak mahu berpisah lagi.

Nama Sebenar : Bandang Anak Galayan
Umur : 22 Tahun
Tahap Pendidikan : SPM (Sijil Pelajaran Malaysia)
Alamat Surat-menyurat : Lot 724, No. 44, Lorong 2A, Taman Susur Jambu, 96100 Sarikei,
Sarawak
e-mel : abhenqiut@ymail.com
no. Tel : 014-5838196

Anda mungkin juga menyukai