Fokus kajian ini adalah untuk meningkatkan kawalan kelas semasa sesi soal jawab dengan menggunakan
sistem Run Birdy Run. Daripada analisis data, telah dapat dikenal pasti tiga isu iaitu kawalan kelas,
pengajaran dan pembelajaran dan disiplin murid. Dapatan yang diperoleh setelah sistem Run Birdy Run
dijalankan adalah seperti berikut:
A. Kawalan kelas
Kawalan kelas merupakan faktor penting di dalam mengendalikan sistem Run Birdy Run ini. Kawalan
kelas yang baik dapat membantu guru untuk menyampaikan isi pelajaran seperti yang telah dirancang
dengan berkesan. Kawalan kelas yang tidak berkesan akan menjurus kepada wujudnya tingkah laku
bermasalah dalam kalangan murid. Menurut Demir (2009), sekiranya seorang guru itu kerap berhadapan
dengan tingkah laku bermasalah dalam kalangan murid sehingga mengganggu suasana pengajaran dan
pembelajaran di dalam kelas, itu menunjukkan bahawa terdapat satu masalah signifikan di dalam
pengurusan kawalan kelas tersebut. Dalam mengendalikan sistem Run Birdy Run ini, saya harus
menerangkan sistem dengan jelas supaya murid-murid dapat memahami sistem tersebut dengan baik dan
mematuhi setiap peraturan sistem yang telah digariskan. Pada masa-masa tertentu, saya juga perlu
mengingatkan kembali kepada murid-murid mengenai peraturan sistem supaya mereka tidak lupa dan
leka.
Hasil analisis dan interpretasi data pemerhatian dan soal selidik menunjukkan bahawa saya telah
mengawal kelas saya dengan baik. Murid-murid telah diberikan taklimat terlebih dahulu mengenai sistem
Run Birdy Run pada sesi perkenalan dengan murid-murid. Sepanjang saya mengajar kelas tersebut, saya
telah mengingatkan kepada murid-murid beberapa kali apabila murid-murid kelihatan semakin lupa akan
peraturan sistem tersebut. Pada setiap kali berakhirnya kelas, saya telah memberikan satu bintang kepada
kumpulan yang telah berjaya menuruti peraturan sistem tersebut dengan baik. Pada akhir sesi pengajaran
dan pembelajaran juga, saya telah dapat lihat bahawa kelas telah berjalan dengan lancar dan baik. Hal ini
menunjukkan bahawa sistem ini telah berjaya membantu saya dalam meningkatkan kawalan kelas dengan
lebih baik. Perkara ini juga turut dipersetujui oleh kajian yang dijalankan oleh Zlomke & Zlomke (2003)
yang menunjukkan bahawa dengan penggunaan sistem token ekonomi, hasilnya menunjukkan terdapat
perubahan yang signifikan dalam kekerapan berlakunya tingkah laku bermasalah dalam kalangan murid.
B. Pengajaran dan pembelajaran
Suasana pengajaran dan pembelajaran yang baik dapat diwujudkan apabila guru berjaya menimbulkan
rasa minat, bermotivasi dan bersemangat dalam kalangan murid untuk belajar. Berdasarkan hasil analisis
dan interpretasi data pemerhatian dan soal selidik, didapati bahawa murid-murid telah menunjukkan rasa
semangat untuk meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran. Konsep sistem Run Birdy Run yang
seakan aplikasi permainan telah menyebabkan murid-murid menjadi teruja untuk menyertainya. Ganjaran
yang ditawarkan sekiranya berjaya memperolehi tiga bintang pada setiap peringkat juga menyebabkan
murid-murid termotivasi untuk mematuhi peraturan sistem dengan menjaga tingkah laku mereka. Hal ini
menunjukkan bahawa konsep seperti token ekonomi ini dapat mengurangkan masalah tingkah laku dalam
kalangan murid dan seterusnya meningkatkan kawalan kelas guru. Perkara ini turut dipersetujui oleh
McDonnell (2012) yang menyatakan bahawa penggunaan token ekonomi amat berkesan apabila
difokuskan kepada mengurangkan kadar berlakunya tingkah laku bermasalah dalam kalangan murid.
Justeru itu, sistem ini telah berjaya membantu saya dalam meningkatkan kawalan kelas dari aspek
menimbulkan semangat untuk belajar dalam kalangan murid.
C. Disiplin
Disiplin murid merupakan isu yang paling penting dalam kajian ini. Hal ini adalah kerana, fokus kajian
ini adalah untuk meningkatkan kawalan kelas semasa sesi soal jawab. Kawalan kelas berkait rapat dengan
disiplin serta tingkah laku murid. Tingkah laku bermasalah mampu menyebabkan masa pengajaran
seseorang guru terbazir, menjurus kepada rasa kekecewaan dan peningkatan kadar kegagalan akademik
dalam kalangan murid-murid (Ruiz-Olivares, Pino & Herruzo, 2010). Justeru itu, adalah penting untuk
saya mengawal kelas saya khususnya semasa sesi soa jawab agar pengajaran dapat dijalankan seperti
yang telah saya rancang. Dalam kajian saya, tingkah laku bermasalah yang telah saya fokuskan
berdasarkan kajian rintis sebelum ini adalah keadaan di mana murid-murid menjerit-jerit dan serta
berebut-rebut untuk menjawab soalan semasa sesi soal jawab. Mereka akan menjeritkan jawapan sejurus
sebelum saya memilih seseorang untuk menjawab soalan tersebut. Akibatnya, kelas menjadi bising dan
tidak terkawal. Kajian ini juga turut memfokuskan kepada masalah tingkah laku murid yang gagal
mendengar arahan guru. Sungguhpun sudah ditegur, namun masih ada murid yang akan melakukan
tingkah laku bermasalah seperti membuat bising, mundar-mandir di dalam kelas dan sebagainya.
Seterusnya, kajian ini memfokuskan kepada tingkah laku bermasalah murid di mana ada dalam kalangan
mereka yang gemar mundar-mandir di dalam kelas serta tidak duduk di tempat sendiri. Hal ini
menunjukkan bahawa mereka tidak fokus kepada soalan yang saya sampaikan. Bukan itu sahaha, kajian
ini turut memfokuskan kepada masalah tingkah laku bermasalah di mana murid-murid melompat-lompat
semasa sesi soal jawab. Hal ini menyebabkan kawalan kelas saya menjadi kucar kacir.
Hasil dapatan analisis dan interpretasi data pemerhatian, senarai semak dan soal selidik mendapati
bahawa murid-murid telah dapat mengawal tingkah laku mereka dengan lebih baik dan berdisiplin. Hal
ini disebabkan kerana mereka begitu terdorong untuk mematuhi peraturan sistem Run Birdy Run, lalu
meletakkan kumpulan mereka pada kedudukan yang lebih baik dan seterusnya mendapatkna ganjaran
yang telah ditawarkan. Peneguhan ekstrinsik ini secara tidak langsung dapat melatih murid-murid untuk
terus berkelakuan seperti yang saya harapkan di dalam kelas agar kawalan kelas saya menjadi lebih baik
dan akhirnya isi pelajaran dapat disampaikan dengan lancar dan berkesan.